Sunday, January 23, 2011

MIRWANA @ ABPBH

MIRWANA berjaya dicalonkan sebagai top 5 Penyanyi Nasyid Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Terima kasih buat semua yang mengundi. Untuk pemilihan top 5 ini pula, di bawah ialah kod SMSnya:

Undian SMS ABPBH untuk MIRWANA:

Kategori Nasyid Popular: BH ABP D18
Bintang Paling Popular: BH ABP BPP 18

Hantar ke 33333. Tarikh undi ialah pada 17 Januari 2011 sehingga 27 Mac 2011.

Rujukan: http://www.abpbh.com.my

Teruskan menyokong MIRWANA dalam menghasilkan lagu-lagu berkualiti dalam menyampaikan mesej-mesej kesejahteraan sejagat berlandaskan Islam!

Dan.. nantikan single² terbaru MIRWANA yang akan ditampilkan dalam tahun ini! Tunggu~

Tuesday, January 18, 2011

derma darah di hospital

Ahad 16 Januari 2011, saya bertugas sebagai felo on call. Jam 6.30 petang, seorang pelajar lelaki minta dihantar ke hospital disebabkan masalah perkumuhan. Dah lama tak guna perkataan sains ni. Belum keluar peristalsis lagi.

Jam 8.30 malam pula, seorang pelajar perempuan sesak nafas. Oh, para felo memang wajib belajar bantuan kecemasan. Mujur saja ada pelajar merangkap ketua aras blok tersebut yang punya kemahiran yang diperlukan. Bernafas dalam plastik. Hebat. Pelajar itu juga saya hantarkan ke hospital, ditemani 2 sahabatnya.

Mujur saja saya ni memang suka berjalan. Jadi, berulang-alik ke hospital tak jadi masalah.

Pada penghujung shif, jam 11.30 malam, saya ke hospital sekali lagi untuk jemput 2 sahabat pelajar perempuan yang sesak nafas itu. Beliau ditahan di wad. Sahabat-sahabat beliau tak dibenarkan tinggal di wad.

Semasa bersama pelajar di kaunter pendaftaran, saya terpandangkan notis tentang senarai kondisi yang dikecualikan daripada pembayaran. Termasuklah... DERMA DARAH.

Rupa-rupanya, ini juga caranya Tuhan mudahkan urusan saya. Saya asyik lupa niat saya bertanyakan waktu derma darah di Hospital Port Dickson selepas terlepas kempen derma darah semester ini di politeknik. Terlepas sebab batuk. Sangat kecewa.

Untuk makluman semua, waktu derma darah di Hospital Port Dickson adalah dari Isnin hingga Jumaat pada waktu pejabat.

Sumber: http://hpd.moh.gov.my/

Mewah! Boleh pergi bila-bila masa saja lepas ini! Tak perlu tunggu kempen lagi!

Maka, keesokan harinya, Isnin 17 Januari 2011, buat pertama kalinya, saya ke hospital untuk menderma darah. Seronok. Aktiviti derma darah selalu beri saya pengalaman baru setiap kali.

Juga pertama kali saya menjelajah pusat penawar kebanyakan sakit itu. Jumpa unit itu, jumpa unit ini. Yang paling panting, sudah tahu bagaimana prosedurnya menderma darah di situ.

1. Ambil dan lengkapkan borang di Tabung Darah
2. Jumpa doktor di bahagian rawatan (bahagian hadapan hospital) untuk pemeriksaan kesihatan.
3. Kembali ke Tabung Darah untuk pendermaan.


Bilik di sana ditulis sebagai 'Bleeding Room'. Yang Bahasa Melayunya ditulis dalam kurungan sebagai 'Bilik Derma Darah'. Bukan Bilik Berdarah?

Proses pendermaan berjalan lancar. Saya derma 300ml. Sepatutnya saya layak derma 350ml. Tapi mereka cuma ada beg 300ml dan 450ml. 450ml terlalu banyak untuk berat saya sekarang.

Usai, saya diberi kupon RM4 untuk digunakan di kafeteria hospital. Alhamdulillah, selamat semua. Sangat gembira dan puas hati.

"Hobi yang aneh"

;)

Wednesday, December 08, 2010

ke hospital

Pada masa saya menaip entri ini (kira-kira 6.30 petang), saya baru pulang dari hospital. Baru saja jejakkan kaki ke rumah jam 5 petang tadi, terus dapat panggilan daripada pelajar. Nak ke klinik atau hospital katanya. Gatal-gatal. Oh, saya felo on call hari ini.

Awanan mimpi untuk terus rebahkan diri ke tilam setibanya ke rumah, pecah.

Saya demam dan batuk bermula petang semalam. Sebab rindukan seseorang. Kot. (Saja bikin kontroversi yang tak punya)

Perlu juga saya ke hospital.

Tadi sudah berdebat dengan seorang teman. Kata saya, MC itu sangat tak releven. Jika ada kudrat untuk dapatkan MC, adalah juga kudrat untuk ke tempat kerja. Apatah lagi saya yang jarak ke hospital lebih jauh daripada sejengkal ke tempat kerja.

Kata beliau, MC itu beri peluang kita berehat, supaya cepat sembuh.

Saya bermotivasi, "Bukankah dengan berfikiran positif bahawa kita tidak sakit itu lebih mudah untuk sembuh?"

Kemudian, seorang yang berpangkat abang pula tanya kenapa tak dapatkan MC?

Juga, jawab saya, hospital itu lebih jauh daripada tempat kerja. Lagipun, biasanya saya tak makan ubat jika sakit. Biar saja sembuh sendiri.

Panadol dan Breacol tak perlu ke hospital. Di kedai dan farmasi pun ada.

(Saya tak rajin mahu sambung yang Farmasi itu lebih jauh dari hospital. Di pekan sana!)

Sambungnya, tak makan ubat tak apa. Asal banyak minum air dan tidur.

Kemudian, seperti kebiasaannya, beliau sambung topik itu dengan tazkirah-tazkirah berkaitan. Tentang kafarah dosa. Tentang syirik kecil. Saya tak mahu huraikan di sini. Abang itu memang bagus.

Mungkin beliau akan jawab, "Saya tak ada upaya untuk beri tazkirah begini tanpa izin Allah. Ilham itu semua datang dari Allah".

Untung saya punya teman-teman yang mengambil berat begini :)

Jadi, ini pertama kali saya ke hospital ini. Tujuannya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang felo. Tapi juga boleh ambil peluang jalani prosedur dapatkan ubat di hospital ini. Supaya saya dapat rasa apa yang pelajar rasa. Dan tahu menjawab tentangnya jika disoal kelak.

1. Kami diperiksa oleh seorang penolong pegawai perubatan. Lelaki. Saya kira lebih muda daripada saya. Suhu badan saya 38 darjah Celcius.

2. Kami mendaftar pula di kaunter pendaftaran.

"Hospital ini pakai HRMIS atau tidak ya?" tanya saya ingin beramah-ramah. Atau sekadar ingin beritahu bahawa saya pegawai kerajaan yang tak perlu dicaj untuk perkhidmatan hospital kerajaan?

"Kami akan pakai jika pesakit ditahan di wad. Jika sakit biasa-biasa macam ini, daftar biasa saja," jawabnya.

"Alamat di sini di mana ya?

"Politeknik."
Saya jawab ringkas.

"Asrama?"

Oh, saya sangat sukakan soalan ini. Sekali lagilah.

"Asrama?"

Sekali lagi.

"Asrama?"

Ok, cukup. Kembang hati dulu. Niat nak berseloroh dengan soalan biasa dimatikan bila mereka serius saja.

"Tidak, kuarters."

3. Kami dibawa pula berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor Cina. Lelaki. Muda juga.

4. Kami perlu beri slip doktor itu di kaunter farmasi. Ok, patutlah kebanyakan felo akan pulang dulu ke politeknik selepas menghantar pelajar. Prosedurnya sangat panjang.

Dan, kami perlu berjalan sedikit, di luar bilik pemeriksaan untuk ke Farmasi.

Ubat diberi. Ubat demam (panadol) dan batuk itu sudah biasa. Tapi ditambah lagi dengan ubat kumur warna merah. Memang tak pernah guna. Anak tekak saya beradang merah sebab kerap batuk kahak agaknya.

Akhirnya, ubat yang kedua saya peroleh dari hospital kerajaan!

Pertama kali semasa di MRSM. Demam, batuk dan selsema yang agak teruk. Ada kawan sebilik yang mahu pergi sekali. Jadi turut. Di sana terserempak dengan sahabat sekerja mak.

Mak terima laporan dan beritahu saya kembali, "Ni kalau tak duduk MRSM ni tak pandai pergi hospital ambil ubat sendiri."

Sama ada ia kata semangat atau sinis sebab saya tak suka tinggal di asrama. Pada waktu itu. Pertama kali. 'Sakit-rumah'.

Sepanjang prosedur yang panjang itu, saya mesej felo-felo lain jika mereka boleh bertukar waktu bertugas dengan saya malam ini. Saya sangat teringin mahu tidur saja. Saya sudah sangat tak larat. Mata dan badan membahang. Tetapi terasa sejuk.

"Kakak, boleh tak saya nak tukar waktu bertugas saya malam ini dengan waktu bertugas kakak esok? Saya demam.. ingat mahu berehat saja.."

Saya sangka ayat itu sudah cukup buat orang kasihan pada saya. Tapi, tidak. Ada yang di Seremban. Ada yang penat bertugas semalam. Ada pula yang turut MC pada hari itu.

Jadi, saya akan gagahkan juga diri bertugas di pejabat kamsis malam ini. Tuhan, ku pohon dipinjamkan kudratMu~

Jangan tanya saya akan mandi atau tidak. Sangat sejuk, ok~