Monday, July 16, 2007

cikgu, cikgu...

Cuti lepas, cuti yang sama kami ke Perkampungan Hadhari, saya ada ajarkan adik-adik yang bertiga tu buat bisnes. Bisnes kecil saja. Yang pernah saya buat dengan Fitri juga zaman sekolah rendah dulu. Penanda buku. Homemade.



Sambutannya sangat menggalakkan. Saya lukis, mereka rajin mewarna, menggunting dan menampal. Ayuni rajin menjual dan kawan-kawan Ayuni pun rajin membeli. Kenapa Ayuni seorang? Amir jenis pendiam, dan dia nak jual gula-gula je. Hehe. Aliah pula.. membaca pun belum tahu. Baru 5 tahun.

Budak-budak sekarang, duit belanja sekolah dah banyak. Setakat penanda buku 50 sen, tak luak pun duitnya. Tak macam kita dulu, 50 sen tu lah yang kita ada untuk sehari. Ye tak?

Abah pun bangga je anak-anak kecil dia tak tahu bisnes. Tiap-tiap hari tanya Ayuni dapat berapa hasil jualan. Mak pun. Tapi mak tak tunjuk terus. Cuma dia yang sampaikan cerita pada abah. Dan abah, seperti biasa, beri pendapat dia untuk Ayuni terus majukan jualan.

Sebelum saya bertolak pulang ke UIA, saya sempat pesan pada Amir supaya teruskan bisnes [dia seorang sebab dia je yang dah bangun tidur sebelum saya bertolak ke terminal bas pagi tu].

Semalam, Fitri khabarkan sesuatu yang buat hati saya panas. Cikgu Ayuni dah tak benarkan dia menjual.

Apahal? Dia jual dadah ke???

Sebelum marah-marah, saya nak tanya, adakah sebarang peraturan atau undang-undang yang mengharamkan bisnes di sekolah? Atau adakah sebab bisnes penanda buku ni tak berdaftar?

Kalau tak ada, bolehlah nak sambung marah. Budak tu baru je nak minat bisnes. Kanak-kanak bukan tahu pun kepentingan kemahiran keusahawanan atau dalam bahasa mudah, dapat duit lebih. Mereka tak perlu duit lebih pun.

Malah, masa cuti itu lagi Ayuni dah ada mengadu pada saya akan seorang rakannya yang jual majalah Ana Muslim di sekolah ditegur cikgu. "Awak nak belajar ke nak berniaga?"

Mak tahu, dia pun macam angin juga. Mak suruh Ayuni jawab, "Belajar berniaga".

Tapi, nak suruh Ayuni membangkang? Ayuni Pengawas Pusat Sumber. Jika sebab ini saja dia dilucutkan jawatan macam mana? Lagi benci dia dengan bisnes nanti.

Tak ke dengan halangan macam ni, walau sekecil mana yang kita sangka, dapat menjatuhkan semangat mereka? Nak suruh memberontak atau buat aduan? Siapa yang patut sedar akan kepentingan menggalakkan kreativiti kanak-kanak dan sunnah Nabi Muhammad mengenai perniagaan? Bukan cikgukah??

Macam manalah Melayu kita nak maju? Nak pupuk masyarakat usahawan kenalah dari anak-anak, bukan pada lepasan universiti. Tapi jika warga pendidik pun bermentaliti 'makan gaji', bila kita nak mula?

Sistem pendidikan sekolah kita banyak yang perlu diubah.

Friday, July 13, 2007

perkampungan hadhari

Masa cuti semester lepas, kami sekeluarga sempatlah melawat Perkampungan Hadhari anjuran TV9, TV3 dan Kerajaan Negeri Pahang yang diadakan di Kuantan. Itupun lepas usaha pujuk abah. Abah bukan suka tempat yang ramai orang ni. Takut ada anak yang hilang.


Perkampungan Hadhari


Sebab namanya Perkampungan Hadhari, maka adalah pertimbangan untuk pergi juga. Lagipun, mak pun dah setuju. Benda baik, apa salahnya, kan? Manalah tahu dapat banyak informasi yang berguna? Lagipun, saya sokong kebanyakan program televisyen TV9. Walau bukan semua, tapi kebanyakannya berbentuk keagamaan atau pendidikan.


Pakaian ke Perkampungan Hadhari. Ayuni dan Aliah.


Sesampainya ke Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, kami lihat ada banyak kereta. Mujur kawasan tempat letak kereta pun luas. Walau sesak, tapi tak ada masalah nak parking.

Suasana bising. Setiap gerai dengan pembesar suaranya masing-masing. Gerai pertama yang kam kunjungi, gerai Nick di 9. Adalah heronya si Adruce. Orang ramai, jadi saya dukung Aliah untuk tunjuk Adruce kepadanya. Aliah sengih je.

Ada satu gerai buat pertandingan karaoke [hah?]. Pesertanya kanak-kanak [oh..]. Tapi ada juga yang bukan kanak-kanak sangat pun. Remaja. Remaja tua.

Dan, ada salah seorang peserta yang sempat saya lihat, perempuan. Pakai t-shirt putih dengan seluar track biru, tak pakai tudung, dengan selipar jepun. Nampak janggal untuk program besar macam ni. Ah, orang kampung nelayan dekat-dekat sini je kot. [boleh ke jadi pengecualian? Perkampungan Hadhari pula tu]

Jalan-jalan lagi, ada pameran kereta kebal. Ada tiga buah di situ. Abah, Amir, Ayuni dan Aliah masuk dalam salah sebuahnya. Duduk sekejap, ambil gambar dan terus turun.


Dalam kereta kebal


Gerai sebelahnya jual perabot. Ada juga bantal Spongebob dan rakan-rakan. Jual air? Banyaklah.

Ada gerai Munchi's, Gardenia, ubat gigi Mukmin, dan gerai pendaftaran untuk jadi usahawan. Jalan-jalan lagi, jumpa gerai Wanita Hari Ini. Ada Ezzah Aziz Fauzy dengan seorang chef sedang buat program masakan. Di depannya ada gerai Power Root, gerai terbesar saya kira dalam Perkampungan Hadhari ni.

Pasti ada artis yang jadi dutanya tu. Dari jauh tak nampak, orang ramai sangat. Dah dekat, oh, Adam dan Nurul rupanya.. Hah, Nurul?? Dalam hati, janganlah ada orang bukan Islam di sini. Janganlah ada, janganlah ada.. Malu ada wanita Islam yang tak pakai tudung dalam Perkampungan Hadhari ni.

Saya tersangatlah hairannya. Di mana sebenarnya implementasi Islam Hadhari dalam Perkampungan Hadhari ni? Sebelum datang, apa yang ada dalam kepala saya, semuanya akan jadi Islam yang sempurna, bukan Islam main pilih mana nak macam ni.

Jika bukan Malaysia pun tak dapat nak diIslamkan sepenuhnya, biarlah sekurang-kurangnya dalam 'kampung' ni. Kurang sikit payahnya nak diIslamkan. Dan bolehlah jadi bayangan pertama kepada pengunjung, apa dan bagaimana sebenarnya Islam Hadhari yang Pak Lah nak buat [atau dah buat].

Bila buka mata, barulah perasan yang orang sekeliling ramai juga yang tak pakai tudung [tak payah cakap yang pakai tudung dengan sempurna lagi lah]. Ada juga remaja yang datang berpasangan dan berpegangan tangan. Di Perkampungan Hadhari.

Hadharinya mungkin ada dalam Kompleks Yayasan Pahang tu kot. Adalah pameran sikit pasal Islam. Tapi luasnya gerai-gerai penaja dan produk lebih besar daripada pameran dalam kompleks-yang-tak-ramai-orang-masuk-sebab-tak-ada-artis-tu.

Mak dah cakap awal-awal, Perkampungan Hadhari ni sama saja macam JomHeboh. Bezanya mungkin dengan adanya satu dua gerai pameran Islam. Yang bukan jadi keutamaan kebanyakan pengunjung. Iyakah? Kami pergi JomHeboh pun melalui televisyen. Tak pernah live depan mata.

Saya teringat satu masa dulu, program yang sama dengan nama yang berlainan iaitu Sure Heboh difatwakan HARAM oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Sure Heboh dah tak ada, tapi masih ada JomHeboh. Kenapa hukumnya tak jadi sama? Sure Heboh jadi haram dengan konsertnya yang melalaikan, kan? JomHeboh masih ada konsertnya kan?

Ada juga bayangan kedua untuk tutup isu [saya agak je], Sure Heboh tukar jadi Jom Heboh kononnya sebab nak daulatkan bahasa kebangsaan. Tak boleh ada bahasa rojak. Jadilah ia Jom Heboh.

Entah, kebanyakan konfrontasi atau kontroversi orang kolar putih ini hangat-hangat tahi ayam. Kejap je dah hilang. Cover dengan isu lain. Padahal belum selesai lagi.

WaALLAHualam.

Wednesday, July 11, 2007

derma darah dan.. ?

Assalamualaikum semua! Lama sangat tak menulis. Pertama sebab cuti semester, ada di rumah, tak ada internet connection. Kedua, bila dah di rumah, otak inkuiri dan kritis tak bergerak sangat. Sibuk main dengan adik-adik :p

Hari ni saya nak cerita satu pengalaman baru.

Tengah hari tadi, sebagai rutin setiap semester di UIA, saya derma darah. Masa tu jam 11.45 pagi. It was a success. Tekanan darah normal. Aliran darah pun lancar, tanpa terjadi darah beku sebab darah slow sangat dan tak jadi derma [pernah berlaku dalam salah satu sesi derma sebelum ni]. Alhamdulillah, 450ml darah dapat diambil dalam masa 10 minit.



Jam 2 petang, saya dan Ju berjalan ke Econs, ada kelas bahasa di sana. Jam 2.30 petang kami keluar sebab tak ada lecturer masuk. Kami ke stall-stall jual baju+tudung di depan Bank Muamalat. PTPTN kan masuk awak semester ni? Belum mula hari kelas, PTPTN dah masuk. Tapi bukan yang sayalah :)

Semua ok saja macam biasa. Tapi, bila sampai ke gerai antara yang terhujung, saya rasa semacam. Tiba-tiba lenguh satu badan dan mata rasa berat dan berpinar-pinar. Hah sudah, dah pernah rasa macam ni dulu, masa tu dengan Dalela. Baru lepas derma darah juga.

Tapi kali ni saya tak dapat tahan. Tak mampu lagi tampung berat badan dan beg. Saya pengsan...

Tapi saya tak sempat sedar saya jatuh. Saya pengsan semasa berdiri lagi [nak tunjuk tough la konon, takkan pengsan punya]. Sedar-sedar, orang ramai dah bising-bising. Rasa ada tangan yang pangku bahu saya dan angkat untuk didudukkan. Saya lagsung tak rasa sakit, tapi keliru.

Apa jadi? Apa jadi? Aku jatuh ke? Tu yang saya fikir. Segalanya macam mimpi. Macam kartun. Macam tak percaya jadi. Aku ke yang dikerumun ni? Aku? Alamak, malunya...

Nak bangun dan cakap pada semua orang saya tak apa-apa. Tapi memang saya apa-apa. Saya tak berdaya nak bangun. Apatah lagi tegakkan kepala. Orang keliling dah bising-bising.

"Eh, kenapa ni?"
"Awak puasa ke? Tak makan?"


Ada dua tangan papah saya dan dudukkan saya atas kerusi merah yang ada di situ. Saya tak pasti siapa. Saya disuakan air. Disuruh minum. Minum? Angkat botol tu pun tak daya. Tangan terketar-ketar.

Atas kerusi, saya masih tak daya angkat kepala. Ada yang selak tudung dan sapukan minyak angin ke tengkuk dan bawah hidung. Ada yang hidupkan kipas. Ada yang urut-urut bahu.

2 minit lepas tu baru saya boleh pandang orang. Ramai. Mujur saja itu kawasan perempuan. Tak ramai lelaki yang lalu di lorong yang jual pakaian perempuan.

"Buka pin tudung dia. Biar dapat udara. Panas tu."

Pin tudung saya dibuka. Ah, leganya...

Saya sedar sepenuhnya. Pandang Ju. Ju kata muka saya pucat sangat. Ju call Amy. Amy ada di kuliah. Amy pula announce pada kawan-kawan lain.

5 minit kemudian [saya agak je pasal tak tengok jam pun apa jadi masa ni, apa jadi masa ni], Amy datang. Nawa dan Rafi pun ada. Kemudian, Zu pula datang. Dia bawa air mineral sejuk.

"Saya buat havoc hari ni My..." sambil sengih.
"Kau memang. Terperanjat aku."

"Lepas derma darah tadi, diorang tak bagi Mira makan apa-apa ke? Minum ke?" tanya Zu.
"Ada. Tapi minum Milo je."
"Mana makanan yang lain? Keluarkanlah, makan."
Saya sengih. Ada orang sampuk, "Dah bagi orang la tu."
"Tak suka.." jawab saya. Sengih lagi.
"Kau ni, orang tu bagi makanan suruh kau makan. Buat ganti balik darah tu. Dia bagi orang lak." Entah siapalah yang membebel tu.
"Yela.. janganlah marah"
"Tak. Kitorang bagi kau sihat dulu, pastu baru semua bantai marah!" Kami gelak je.


Entah siapa pula yang belikan tiga air kotak, suruh saya minum. Zu siap jadi pakar diet, baca kandungan gula dalam setiap air yang berbeza-beza tu.

"Hei Zu, kau amik course apa ni?"
"Nasib baik aku tau CPU je, tak tahu CPR."


Hei, kawan-kawan aku ni...

Saya malu. Tapi dalam masa yang sama bangga dan terharu ada sahabat-sahabat macam ni. Apalah nasib saya jika tak ada mereka...

Dalam kereta Amy, puas saya dibebel.

Amy kata, "Kau badan dah kepeng pun nak derma darah lagi. Dulu lainla. Sekarang ni dah kecik daripada dulu. Tula, nak derma darah, sarapan dulu... bla, bla, bla."

Saya jawablah sikit-sikit. Saya memang tak sarapan, tapi sebelum derma tu dah makan nasi. Saya dah tahu peraturannya. Cuma mungkin berjalan jauh sangat tadi, sampai ke Econs. Darah yang ada tak cukup untuk operasi seluruh badan. Badan tak tahan penat sangat.

Lagipula, ini bukan kali pertama saya menderma. Dan, saya dah pernah sebut dulu, setiap kali pun berbeza. Akan ada pengalaman yang berlainan. Setiap daripadanya adalah untuk dipelajari. Ini pengalaman untuk kali ini. Jangan ke Econs selepas derma darah :p

Tapi, saya dengar kata-kata Amy dengan hati terbuka dan senyum bahagia. Dalam hati, alhamdulillah, mereka ada.. :)