Wednesday, April 21, 2010

konvokesyen

Minggu ini minggu konvokesyen di tempat saya bekerja. Kali kedua berpengalaman merasai kemeriahannya di sini. Tapi nampaknya tahun ni lebih meriah.

Lihat saja tempat letak kereta kakitangan yang telah diambil alih oleh pengunjung. Kebanjiran kenderaan terasa macam di tepi pantai pula. Ruang tak cukup.

Tahun ini, setiap jabatan diperuntukkan 1 hari konvokesyen. Hanya ada sidang pagi saja. Sebelah petangnya diadakan raptai. Jadi jumlah hari konvokesyen bertambah.

Baru betul jadi minggu konvokesyen. Berbanding tahun lepas yang cuma 2 hari saja. Tak sempat gerai-gerai yang ada nak panas.

Bila lihat konvokesyen di sini, pastinya teringat Convest (Convocation Fiesta) di UIA. UIA yang telah saya tinggalkan 2 tahun lebih lamanya. Walau dah lama, kenangan-kenangan di UIA, termasuk semasa minggu konvokesyen belum dilupakan.

Apatah lagi sekali berpeluang menyertai komiti Convest dan sekali terlibat dalam Konvokesyen UIA 2008 sebagai graduan.

Kemeriahannya memanglah tak boleh nak dibandingkan dengan di sini. UIA itu universiti. Bilangan pelajarnya ramai. Tapak gerai pun luas. Sehingga boleh letak permainan funfair dalam tu.

Dari legaran bahagian pentadbiran, sehingga ke Bukit Convest (Convest Hill), sama meriahnya. Pentadbiran pada sebelah siang, Convest Hill pada sebelah malam.

Apa yang dijual? Lebih kurang sama saja. Kebanyakannya berkisar wanita. Dari kain pasang, jubah, blaus, tudung hingga ke brooch. Apa yang si lelaki buat dengan wangnya? Belanja si wanita.

Gurau saja. Cuma, memang tak banyak barangan lelaki yang dijual di gerai-gerai Convest. Antara lain yang dijual termasuklah cermin mata, perhiasan telefon, buku, cenderamata UIA, tshirt, makanan dan minuman kesihatan, penitis mata kurangkan rabun, mainan pasir warna warni dengan gambar pelekatnya dan... makanan.

Ini antara program yang ada semasa Convest saya jadi graduan.

Yang paling menarik buat saya pada minggu konvokesyen ialah persembahan pentas pada malam harinya. Selain motivasi kafe-kafe mahallah ditutup sempena konvokesyen yang memaksa semua orang naik ke Convest Hill, persembahan pentas adalah tarikan utama saya ke sana.

Hampir setiap malam akan ada persembahan pentas, sekurang-kurangnya acara kendalian komiti-komiti Convest. Seperti pertandingan taip SMS terpantas dan pertandingan lumba makan terbanyak.

Yang lain saya tak ingat. Yang menarik perhatian cuma persembahan nasyid. Tidak kiralah persembahan artis bawah tanah (underground), atau artis aliran utama (mainstream) (Tapi mestilah lebih tertunggu-tunggu yang kedua tu).

Syurga nasyid. Persembahan nasyid secara percuma mana nak dapat? Tapi yang percuma itulah yang kurang tontonan. Persembahan artis nasyid jadi seperti perkara biasa.

Tapi bukan untuk saya. Saya masih teruja, cuma segan untuk mula bual itu lebih besar daripada keinginan yang ada. Saya ni memang sangat pemalu.

Pentas yang disediakan juga mesra penonton. Bukan apa, jarak antara penonton dengan pentas snagat hampir, tak seperti jika di dewan. Jadi... (malas nak huraikan keterujaan ini lebih-lebih).

Apa yang nyata, saya sangat rindukan persembahan nasyid. Sejak saya keluar dari UIA pada akhir 2007, sekalipun saya tak pernah ke konsert nasyid lagi. Perkara yang jarang sangat saya lepaskan di UIA. Dan sebelum itu di Pusat Matrikulasi UIA. Boleh dikatakan pada setiap konsert pasti ada saya.

Dan sekarang, disebabkan keterujaan itu, saya sedang teralih topik daripada menceritakan tentang majlis konvokesyen ke konsert nasyid.

Ok, apa lagi mengenai konvokesyen?

Tempat terhimpunannya segenap warga universiti. Dari yang tak pernah terlihat muka sebab jarak kulliyyah jauh, kepada yang selalu jumpa sebab satu kulliyyah, mahallah atau selalu lepak di kafe HS, semuanya ada di Convest Hill.

Sesungguhnya, saya amat rindukan wajah-wajah itu. Sungguhpun jika saya berkesempatan untuk sambung belajar di tempat yang, sudah tidak ada lagi wajah yang sama seperti 4 tahun pengalaman di UIA lalu.

Tuesday, April 20, 2010

'keterbukaan terpimpin' - mirwana

Ramai menanyakan soalan mengenai konsep album dan hala tuju Mirwana sebagai sebuah kumpulan vokal harmoni yang dari dulu memperjuangkan irama nasyid. Soalan yang pernah ditanya antara lain adalah seperti berikut, Adakah Mirwana tidak lagi mahu bergelar artis nasyid? Mengapa album ni Mirwana sudah tak pakai kopiah? Apakah yang menyebabkan Mirwana tidak lagi berminat untuk bernasyid dan mula menukar haluan ke arah muzik pop? Adakah genre nasyid sudah tidak laku atau sudah tidak boleh jual? Di manakah pendirian Mirwana bila tidak mahu lagi dilabel nasyid? Mungkinkah Mirwana terpengaruh dengan kejayaan Faizal Tahir yang keluar daripada genre nasyid?

Mirwana ingin menjawab soalan-soalan ini dengan menyatakan bahawa kami mendukung semangat dan slogan 'Keterbukaan Terpimpin'. Sejak dari awal penubuhan Mirwana slogan inilah yang menjadi tunjang kepada Mirwana dalam berkarya. Slogan ini tidak pernah wujud. Cuma akhir-akhir ini Mirwana berasa perlunya satu slogan yang dapat menzahirkan pendirian kami. Ia diharap dapat difahami dan dihayati oleh pendengar, pengkarya, penggiat seni dan masyarakat umum. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan 'Keterbukaan Terpimpin' ini?

Istilah 'Keterbukaan' menurut kamus ialah perihal terbuka hati dan sikap sedia melayani atau menunjukkan minat kepada apa sahaja. (samada unsur, pengaruh, rangsangan, budaya, muzik, genre dan lain-lain). Minat yang dinyatakan dalam istilah ini adalah secara khusus merujuk kepada kecenderungan Mirwana untuk tidak menolak terlebih dahulu, malah dengan secara senang hati menyambut baik setiap bentuk muzik, untuk dikaji dan diperhalusi bagi mencari nilai sesuatu karya. Kami meraikan kepelbagaian dan kelainan yang wujud dalam setiap karya muzik. Dengan keterbukaan inilah Mirwana menghayati serta menghargai beraneka hasil karya muzik dan nyanyian dari pebagai bangsa dan negara, dari timur mahupun barat.

Namun bagi Mirwana dalam proses penghasilan muzik dan lagu, keterbukaan ini tidak akan mendatangkan kebaikan malah bakal mengundang kecelakaan jika ia tidak dikawal. Sikap hanya menerima segala bentuk muzik dan isinya secara semborono dan mencurahkan kembali kepada masyarakat dengan melulu, bakal membawa keburukan kerana muzik yang datang ini tidak hanya mengandungi rentak dan irama malah terkandung juga budaya bahaya yang sarat dengan kebejatan dan kerosakan. Menyedari hakikat ini, satu alat untuk menapis, mengasing atau menyaring perlu ada supaya mana yang dirasakan membawa kebaikan dapat diambil dan dihayati dengan lebih mendalam manakala yang buruk dapat dibuang jauh-jauh. Keperluan ini membawa kepada penghuraian kepada maksud perkataan seterusnya.

Terpimpin merujuk kepada perihal atau keadaaan dibimbing. Pimpinan yang dimaksudkan disini tidak lain dan tidak bukan adalah Al Quran dan Sunnah yang dalam erti kata lain bimbingan Allah dan RasulNya. Kami menyedari muzik dan nyanyian yang halal secara zatnya tidak boleh disalahguna. Ia mesti mempunyai unsur mendidik masyarakat, menggalakan kebaikan dan memerangi kemungkaran. Ia perlu disampaikan dengan cara penuh hikmah dan bijak bersesuaian dengan keadaan, tempat dan masa.

Inilah prinsip perjuangan Mirwana. Kami merasakan persoalan nasyidkah? atau tidak nasyidkah? sebagai persoalan ranting yang tidak perlu ditekankan oleh penasyid. Nasyid dengan apa sahaja istilah yang digunapakai oleh pendengar tidak harus menjadi rungutan yang asyik difikirkan. Pendengar dan masyarakat harus diberi peluang untuk menggunakan kebijaksanan mereka memutuskan persoalan ini.

Dengan prinsip Keterbukaan Terpimpin inilah album 'Bumi Akhir Usia' diterbitkan. Hasrat kami tidak lain hanya mahu berkongsi pengajaran, saling ingat-mengingat dan berpesan-pesan sesama pendengar. Ragam muzik dan nyanyian dalam album ini hanyalah satu usaha kecil Mirwana untuk membawa kelainan di dalam industri muzik tanah air yang sedikit sebanyak diharap dapat menarik golongan baru untuk mendekati kami.



Walaupun Mirwana agak terbuka dalam mencari kelainan sewaktu menghasilkan album, Mirwana sama sekali tidak melupakan prinsip ini. Cuma Mirwana percaya dan yakin hanya dengan sikap terbuka terhadap kepelbagaian, kita dapat menyuntik kesejagatan nilai Islam dalam jamak budaya dan pluralisme masyarakat kita. Mirwana tidak mahu terus tertumpu kepada segolongan kecil kelompok Islam dan meminggirkan yang lain. Mirwana mahu terus berkembang mencakupi kelompok masyarakat yang lebih besar. Perjuangan menyampaikan mesej Islam harus tersebar jauh menembusi sempadan bangsa, budaya dan agama. Biar tembok-tembok perbezaaan ini semakin lama semakin hancur dan rapuh. Agar satu hari nanti yang bersinar cerah adalah nilai Islam itu. Mudah-mudahan, kelainan dan kepelbagaian yang cuba ditonjolkan dalam hasil karya kami tidak disalah ertikan. Semoga, penjelasan yang pendek dan ringkas mengenai 'Keterbukaan Terpimpin' ini dapat sama-sama difahami dan dihayati oleh pendengar, penasyid, pengkarya, penggiat muzik seni hiburan Islam.

Wallahualam.


Mirwana, disampaikan oleh Muhammad Hafiz Tamizi

Wednesday, April 14, 2010

faq derma darah

Selamat ke derma darah ni?

"Sebelum menderma, bakal penderma dikehendaki mengisi borang soal selidik status kesihatan mereka selain menjalani ujian tekanan darah dan pengenalan jenis darah.

Bagi setiap unit darah yang diderma, sampel darah diambil untuk ujian semula kumpulan ABO dan ujian saringan dilakukan bagi menentukan darah yang diderma selamat digunakan.

Ujian saringan bertujuan mengesan virus hepatitis B, hepatitis C, HIV, siflis dan malaria. Jika mereka dikesan mempunyai simptom-simptom ini mereka tidak dibenarkan menderma darah."

- Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Roshidah Hassan

Kalau derma, tak ada ke kemungkinan penyakit boleh merebak?

"Setiap jarum yang digunakan untuk suntikan akan dibuang manakala peralatan perubatan yang digunakan juga akan disteril semula.

- Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Roshidah Hassan

Darah kan boleh tahan lama, kenapa kami nak kena derma banyak kali? Sekali sudahlah..

"Jangka hayat darah adalah terhad kerana darah merah boleh digunakan dalam tempoh 42 hari sahaja manakala platelet hanya boleh bertahan lima hari."

- Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Roshidah Hassan

Orang cakap kalau derma darah, boleh jadi gemuk. Tak mahulah!

"Sekiranya penderma darah mengalami pertambahan berat badan, ia bukan berpunca daripada aktiviti menderma darah tetapi disebabkan oleh faktor lain.

Masalah kegemukan selepas menderma tak benar, jika ini berlaku ia berkemungkinan disebabkan oleh faktor genetik, emosi, pemakanan atau kurangnya aktiviti riadah seseorang itu."

- Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Kesihatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Dinon Mohd

Apa lagi kelebihan derma darah ni?

"Kecekapan badan penderma menggunakan zat besi akan bertambah kerana garam galian ini diperlukan untuk menghasilkan sel-sel darah merah baru dan proses ini boleh membantu badan mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelak masalah pengumpulan zat besi berlebihan pada jantung."

- Pegawai Kesihatan Zon Klang Lama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dr. Umi Ahmad

Sunday, April 11, 2010

aku mahu pulang!

Saya rindu mahu tinggal di rumah. Saya mahu tinggal bersama keluarga saya.

Sekian lama saya hidup di tempat orang. Sejak tingkatan 4 sehingga sekarang. Saya berpeluang tinggal di rumah selepas itu setahun cuma. Semasa bekerja di syarikat swasta di Kuantan.

Orang cakap saya tak ingat rumah, jarang balik, jarang telefon. Tapi nyatanya mereka tak tahu tentang saya. Banyak yang mereka tak tahu tentang saya.

Orang yang kenal saya takkan cakap saya pentingkan diri sendiri. Atau pentingkan orang lain daripada keluarga sendiri.

Salahkah saya tidak menghebahkan tentang diri sendiri? Tidak salahkah mereka menghukum saya tanpa melihat keseluruhan tentang diri saya?

Saya mahu balik rumah. Biarlah orang kata saya anak manja. Yang penting niat saya mahu menghabiskan sebanyaknya masa sementara berpeluang bersama dengan keluarga.



Duduk di rumah seronok. Bersama dengan mereka yang kenal kita. Dengan mereka yang sedarah dengan kita. Tak perlu risau apa. Boleh jadi diri sendiri tanpa dilihat prejudis.

Duduk di rumah boleh tambah motivasi.

Jika sendiri, kita asyik mengeluh penat, bila di rumah kita tak akan sampai hati nak cakap macam tu. Sebab lihat mak tak habis-habis buat kerja rumah semasa kita sedang asyik layan TV. Dan tak akan cakap tak sempat nak mengaji sebab lihat abah habiskan masa lapang dengan telaah al-Quran.

Duduk di rumah, ada adik-adik yang dikagumi. Mereka ada kerja rumah macam kita dahulu. Tapi tak terlihat pula garis tekanan di wajah mereka siapkan kerja rumah itu.

Bekerja ini lebih mudah. Sebab kita tak digalakkan bawa pulang kerja pejabat di rumah. Kita pula jadi seronok nak bantu mereka siapkan semua kerja rumah. Ajar apa yang tahu.

Duduk di rumah, apabila pulang dari pejabat yang meletihkan dan menyerabutkan kepala, pulang ke rumah jadi tenang dan aman.

Boleh bual-bual dengan adik-adik yang nakal, manja dan banyak cerita. Boleh bersiar-siar dengan basikal sekeliling taman perumahan. Boleh main badminton bersama. Boleh tonton TV bersama-sama.

Di rumah, kita terasa diharapkan. Pergi sana sini, beli itu ini. Ada yang anggap ia membebankan dan menyusahkan. Tapi bagi saya, itu adalah satu penghargaan. Terasa ada yang mengharapkan. Terasa diri wujud dan berkepentingan.

Yang paling melegakan, tak ada rasa keberhutangan. Belanja dan berhabis tenaga yang menggembirakan. Sebab dapat buat keluarga sendiri gembira. Ada yang boleh disumbangkan. Sesuatu yang kita tak akan rasa apabila bersama dengan mereka yang bukan keluarga.

Kerajaan kata, keluarga perlu diutamakan. Jadi, janganlah hantar kami bekerja jauh-jauh dari keluarga. Bukan mengelak buka pandangan dan pengalaman, tapi keluarga itu banyak yang boleh dibantu.

Adik-adik masih bersekolah, tetapi ibu bapa tidaklah makin muda usianya. Apalah guna ada anak sulung yang diharapkan dapat balas jasa mereka, sekurang-kurangnya ringankan beban mereka di kemudian hari?

Apatah lagi jika bersama keluarga itu dapat mengurangkan tekanan kerja, tidakkah prestasi dan produktiviti boleh dipertingkatkan?

Hidup berdikari itu dipelajari semasa zaman asrama saja. Sekarang kami sudah bekerja. Kami sudah lepas zaman tinggalkan keluarga untuk belajar!

Harapnya, jika kami mohon bertukar balik bersama keluarga, janganlah ditekankan sebab yang perlu kami lampirkan bersama. Saya memang tak ada sebab untuk dicipta!