Saturday, December 26, 2009

avatar

Rasanya macam baru pertama kali tonton filem yang wataknya bukan manusia. Selain kartun. Dan animasi 3D. Tak sangka boleh seronok tonton Avatar.

Rancangan nak tonton filem ni tak lama. Sebab ada kawan yang mengajak. Jadi, tak sempat pun nak siasat dan tau sinopsisnya. Hanya sempat lihat watak 'alien' filem tu.

Watak alien biru telinga panjang. Dengan tajuk cerita macam kartun Avatar: The Last Airbender (font face pun sama). Memang langsung tak menarik perhatian saya. Kalau diadaptasi dari kartun Avatar pun, saya memang tak layan kartun tu. Tapi sebab saya ni suka berjalan, saya ikutkan saja ajakan beliau.



Hasilnya, cerita ni sangat memuaskan dan berbaloi ditonton. Apatah lagi agaknya jika dicuba versi 3D (tak berpengalaman lagi).

Avatar sebenarnya bermaksud wakil diri. Macam avatar (gambar) yang kita letak di YM mewakili kita yang sebenar.

Dalam cerita ni, avatarnya ialah satu makhluk campuran DNA manusia dengan makhkluk planet Pandora. Manusia dah jadi alien di Pandora. Manusia datang ke Pandora sebab nak kaut hasil planet yang boleh bawa untung besar.

Manusia yang datang ke situ terdiri daripada kumpulan saintis dan tentera. Kumpulan saintis ni bertanggungjawab dengan teknologi baru penghasilan tubuh seakan makhluk Na'vi dan mesin yang membolehkan otak manusia mengawal Avatar itu dari jauh.

Kumpulan tentera pula bertanggungjawab melatih mereka yang bakal mengendalikan Avatar ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan di tempat asing. Mereka mempergunakan Avatar yang boleh bernafas dalam atmosfera Pandora ini untuk berhubung dan memperoleh kepercayaan puak Na'vi.

Hero cerita, Jake Sully yang lumpuh kaki seolah mendapat kehidupan baru di Pandora. Dia, dengan Avatarnya jadi wakil manusia masuk ke dalam masyarakat orang asli Na'vi. Terlanjur, dia bercinta pula dengan Neytiri, anak perempuan ketua suku Na'vi.

Sebahagian manusia tenggelam dalam nafsu tamak menguasai mineral Pandora. Lupa pada kemanusiaan, mereka guna cara paksa untuk mengusir puak Na'vi dari tapak mineral tersebut setelah rundingan diplomatik diwakili Jake tak berjaya.

Jake bangun mewakili puak Na'vi dan mempengaruhi puak-puak lain Pandora supaya bersatu menentang kaumnya sendiri.. manusia.

Persoalan utama di sini ialah.. pendirian untuk menegakkan keadilan dan kemanusiaan dan bukannya perkauman.

Bila kita tahu ada antara bangsa atau keluarga kita yang salah dan menganiayai orang lain, kita perlu bantu mereka yang dizalimi, walaupun orang itu tak ada pertalian darah atau sebarang kaitan pun dengan kita.

Dan.. persoalan dalam penyesuaikan diri dengan persekitaran asing. Kita akan rasa berat hati, sesak dan terasing berada dalam situasi yang tak pernah dialami sebelum ni, kecuali jika kita pandang sekeliling dari mata mereka yang berada di dalamnya.

Tentera manusia di Pandora menganggap makhluk planet Pandora sebagai musuh dan semua yang ada di dalamnya membahayakan. Sampaikan kapten tentera cakap, mereka akan nak cari neraka sebagai R&R semasa di Pandora.

Tapi Jake dengan mudah menyesuaikan diri, belajar cara hidup dan bahasa Na'vi sebab dia rasa seronok dan nak lepaskan diri daripada kata-kata doktor tentang apa yang dia tak boleh buat.

Tahniah James Cameron, yang selepas 15 tahun, akhirnya berjaya merealisasikan ide filem ini, menggunakan teknologi kesan khas terkini.

Dan terima kasih kawan. Ajak tonton cerita ni ;)

Friday, December 11, 2009

jaga kata dan laku

Saya baru berpeluang sembang online dengan seorang munsyeed ni. Kumpulan nasyid beliau ni popular juga.

Tujuan utama, nak cari sumber paling mudah tanyakan soalan agama. Sebab tak ada lagi dalam senarai sahabat dalam YM itu yang paling sesuai untuk diajukan soalan berkenaan.

Saya maklum, beliau sibuk. Tapi beliau maklum akan bantu mana termampu. Saya anggap pun begitulah. Sebagai seorang ikon masyarakat dalam bidang agama.

Saya tanya soalan, beliau jawab tanpa kepastian. Tapi lepas tu, beliau quote fakta yang diambil entah dari mana (beliau tak beritahu sumbernya).

Entah beliau silap faham agaknya dengan soalan saya, saya tanya kembali soalan itu.

Beliau cakap beliau ada rasa macam nak marah. Siap tulis huruf besar poin soalan saya sebelum itu, mahu membuktikan yang saya sudah tukar soalan. Katanya, tadi saya tanya pasal soalan lain, yang ini lain pula.

Terus persepsi saya pada insan ni berubah.

Saya tanya memang sebab perlukan jawapan. Saya tanya pun dalam ayat yang baik dan mengajak pada perbincangan.

Saya terus memohon ampun atas gangguan dan hentikan perbualan.

Saya tahu beliau sibuk. Tapi apa yang saya lupa ialah, munsyeed ini juga manusia biasa. Ada tahap kesabaran atas tekanannya. Juga saya pun belum tahu bagaimana cara biasa beliau berbual dengan orang kebanyakan.

Cuma, apabila telah jadi ikon masyarakat, setiap kata dan perbuatan jadi nilaian orang. Apatah lagi ikon ini membawa imej agama Islam.

Jika sedang sibuk, apalah salahnya tutup YM itu. Atau sekurang-kurangnya, jika hanya mahu berbicara dengan orang tertentu, invisiblekan saja.

funfair @ sinfair?

Funfair atau taman keriangan patut jadi tempat kita meluangkan masa bersama teman-teman atau keluarga. Atau boleh jadi tempat untuk manjakan diri dengan hiburan sekali sekala.

Tapi tempat berkumpulnya segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak ini seolah-olah menghalalkan permainan berunsur judi.

Bukan satu gerai yang mengoperasikan permainan sebegitu, tapi banyak. Dan kebanyakannya. Taman keriangan dah jadi macam mini casino.

Macam mana sesuatu mainan tu boleh jadi judi? Bila kita mempertaruhkan sejumlah wang (judi = taruhan) ke atas sesuatu dengan harapan akan mendapat habuan hanya berdasarkan nasib.

Kau beli token yang harganya RM1 setiap satu. Kau letak di atas satu bahagian bulatan (macam papan bulatan Roda Impian). Kau pusing tuil yang disediakan atas bulatan tu dan berharap hujungnya akan berhenti atas bahagian yang kau letak token tadi. Kalau dapat, maka dapatlah habuannya.

Judi namanya.


Kau beli token lagi. Kau letak atas kotak warna merah, salah satu warna antara banyak lagi warna lagi seperti biru, kuning, hijau, putih dan merah. Penjaga gerai tu masukkan bola-bola berwarna dalam satu bekas yang membolehkan kau nampak pergerakan bola tu ke bawah. Kalau bola warna macam kotak yang kau letak token tadi jatuh dulu melalui satu turus bawahnya, kau akan dapat habuan.

Judi namanya.

Ada beberapa permainan yang saya tak kategorikan sebagai judi. Termasuklah permainan yang menyediakan hadiah, walau nombor atau huruf apa pun yang kita dapat. Cuma mungkinlah hadiah tu ada besar, ada kecil. (Boleh diperbincangkan)

Atau mainan dart. Bidik kotak yang bertanda, dan kita akan dapat hadiah berdasarkan bilangan tanda yang kita dapat.


Atau main baling gelang. Sasarkan gelang ke penyangkut yang ada poin.

Atau main menembak. Bidik ke arah tanda untuk barang yang kau nak.

Atau boling mini. Sasarkan bola kecil dari satu lubang ke mana-mana lubang bernombor dihujung. 6 bola yang dibaling akan menjumlahkan satu angka. Angka tersebut mewakili hadiah apa yang kau akan dapat.

Atau bingo. Yang memerlukan kecekapan mata mencari nombor yang disebut pengacara.


Semua yang melibatkan kemahiran dan memerlukan usaha untuk kita mendapat jenis hadiah itu bukan judi. Cuma, disebabkan ada kos mengeluarkan hadiah itu, kita bayar dengan token sebagai bayaran penyertaan.

Taman keriangan ini tak patut jadi tapak menyemai perkenalan dengan permainan berunsur judi. Terutamanya tempat ini menarik perhatian kanak-kanak dengan kemeriahan warna-warni lampunya. Apatah lagi ia beroperasi pada musim cuti sekolah.

Jadi, pada pendapat saya, mereka yang bertanggungjawab meluluskan perniagaan sesuatu taman keriangan ini meneliti jenis permainan yang bakal beroperasi.

Sebab tulah saya tak galakkan adik-adik main permainan yang di bahagian belakang tu. Banyak permainan yang meragukan (syubhah). Jika nak sertai, cuma permainan yang boleh naik. Tak kisahlah nak naik kuda, jet, UFO, cawan, eye atau buaian.

Tujuan saya beri adik-adik peluang cuba pun sebenarnya nak uji keberanian mereka. Sekurang-kurangnya boleh latih mereka jadi kurang takut dengan kelajuan dan ketinggian. Boleh hadapi cabaran yang lebih hebat pada masa depan.

Itulah juga tujuan saya ke taman keriangan. Masa kanak-kanak tak berpeluang. Dah bekerja dan berwang, barulah berpeluang uji diri cara ni.

Apa-apapun, jangan terlalu ralit (kata orang Kelantan ghalik) dengan hiburan yang beri gembira sementara ni. Sehingga tak sedar dah berapa banyak duit yang keluar. Membazir amalan syaitan. Boleh jadi haram jika melalaikan dari tanggungjawab.