Sunday, February 27, 2005

remaja dan kehidupan

Nak tahu bila kita ada konflik? Dalam diri, luar diri, atau apa-apa je la...

Bila kita pandang benda kecil, yang tak real, tiada fizikal [bukan tak wujud], sebagai satu perkara besar.

Sebab sebenarnya, bila kita rasa bahagia dan hidup ini cukup sempurna, kita akan nampak hidup ini mudah, jalannya cuma satu, dan seharusnya nampak arah bahagia itu.

Fikir yang positif-positif, yakin akan gapai kecemerlangan, dan kalau boleh, terasa nak bahagiakan semua orang di dunia!

Persoalannya...

Macam mana nak capai bahagia itu?

Pakar motivasi [atau mereka yang dakwa diri tahu segala] akan kata, cari [atau kalau banyak, senaraikan] apa masalahnya. Lepas tu, cari penyelesaian. Cari butang hijau kata Dr Fazillah Kamsah.

[Yang Al-Qur'an kata fikir!]

Atas idea dari seorang Baasit, [terima kasih, anda memang telah membantu saya!] saya mula perasan yang remaja sebenarnya punya 'masalah' yang lain daripada orang dewasa. Kerana itu, nasihat pakar-pakar motivasi agak kurang boleh digunapakai oleh mereka [dalam hal ni termasuk saya ;p ]

[Ya, Baasit, saudara memang telah menjadikan saya lebih muda! :) ]

{Eh, lupa pula, Along pun pernah cakap benda yang sama -- memang ada istilah 'penyakit remaja' :) ]

Kebanyakan remaja berasa yang diri mereka hilang arah, hanyut dalam perasaan, tekanan, dan konflik [kebanyakannya cuma dalam diri].

Remaja rasa tak selamat. Mereka dalam pencarian. Malah pencarian mereka lebih besar daripada pencarian seorang dewasa. Mereka sedang mencari erti sebuah kehidupan. Sebab itu dikatakan remaja ingin dan berani mencuba sesuatu yang baru.

[Bolehlah dijadikan sebab munculnya pelbagai gelagat yang tak senonoh di kaca mata orang dewasa atau remaja yang tahu berfikir]

Remaja sebenarnya perlu entiti sabar dalam usaha mencari tapak yang kukuh menempatkan diri dalam masyarakat. Tetapi remaja ini muda dan mereka berdarah muda. Mana mungkin nak tunggu lama-lama?

Mereka anggap hanya sahabat yang mampu mengerti luahan hati mereka, sedang mereka tahu, ibu bapa juga pernah menjadi remaja. Silap ibu bapa juga yang tak pandai mendekatkan diri ke dalam jiwa remaja kerana, walaupun idea mereka bernas dan sememangnya itulah jalan penyelesaian, mereka terlalu mengikut logik dan bersifat analitikal. Terlalu berproses dan berlangkah-langkah.

Sedang jiwa remaja itu kompleks dan berserabut. Mereka ingin difahami dan didengari.

Jadi pada asasnya, remaja memang dalam pencarian. Mereka perlu bimbingan dalam mencari tapak itu. Tapak teguh atas dasar Islam, iman dan norma kehidupan sosial. Tapak yang akan buat mereka rasa lengkap, cukup sempurna, selamat, dan bahagia.

Fahamilah remaja. Bukan salah mereka kerana tiada pegangan kukuh dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Bukan salah mereka jika terdorong mendekati sahabat, bukan mereka yang terlebih dahulu makan garam.

Segala jenis pendekatan bermula dari didikan seorang ayah dan ibu. Yang akan menentukan sama ada remaja ini akan mencari mereka atau tidak untuk sebarang rujukan.

Kadangkala ibu bapa terlalu melepaskan anak-anak untuk menentukan arah haluan hidup masing-masing. Supaya mereka mudah berdikari dan tidak terlalu mengharap bantuan mereka. Salah siapa kira nanti, ketidakbergantungan itu membawa kepada anak-anak yang lupa hendak menjenguk orang tua di hari kemudian?

Ada pula ibu bapa yang terlalu mengongkong. Biar mereka buat semua keputusan untuk anak-anak. Mereka terlalu teliti kerana mengharapkan anak-anak itu dapat meneruskan impian mereka yang pernah terbengkalai, bukan impian anak-anak itu sendiri. Salah siapa jika anak-anak itu nanti larinya kala bebas tak temu jalan pulang?

Ada ibu bapa yang terlalu bersifat diktator dan konservatif, kuno, berfikiran kolot. Supaya anak-anak buat apa yang mereka arahkan. Meletakkan tahap beza antara ibu bapa dengan anak. Meletakkan dindingan untuk anak-anak cuba berbual mesra dari hati ke hati dengan ibu bapa kerana menganggap mereka ibu bapa, bukan sahabat! Tak akan dihormati kalau begitu!

Zaman anak-anak dan ibu bapa adalah berbeza. Ibu bapa perlu ubah cara didik mereka kerana anak-anak sekarang semakin maju dan lebih berfikiran terbuka, selari dengan kehidupan yang lebih moden. Pandai-pandailah menyesuaikan diri.

Berbahagialah ibu bapa yang punya anak remaja sedemikian kerana sesungguhnya kalian telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

# Uish, meleret-leret pula bincangan saya kali ini. Bermula dari bahagia --> konflik diri --> remaja --> ibu bapa. Apa-apapun, harapnya ada sesuatu yang dapat diberi.

Tuesday, February 22, 2005

demi masa

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian.

Melainkan, yang beriman dan yang beramal soleh dan saling menasihati pada kebenaran dan kesabaran.


Satu tugas yang mencabar, untuk menjadikan kalimah ALLAH ini sebagai maksud satu pegangan atas penilaian erti seorang sahabat sejati. Jadi, entri ini adalah jawapan, teori saya melalui akal dan ide kurniaan-Nya, dedikasi khas untukmu, sahabat.

Manusia perlu sentiasa bermotivasi. Tanpa motivasi, tiadalah ertinya hidup sebagai manusia. Kerana motivasi itu dalam bahasa Inggerisnya motivation, yang diambil dari perkataan motive yang bermaksud sebab, alasan, tujuan, penggerak atau galakan. Motive ini yang membawa kepada motion iaitu gerakan. Kalau manusia tak bergerak, manusia tak ubah seperti tumbuhan. Ada nyawa, tapi statik, tak boleh ke mana-mana atau buat apa-apa.

Bagaimana untuk bermotivasi [yang diperkatakan di sini ialah *motivasi sekunder -- keperluan untuk terus maju]? Peranan paling penting dimain orang sekeliling. Dalam konteks pelajar, rakan sebaya atau lebih khusus sahabat baik.

Demi masa, manusia dalam kerugian, melainkan yang beriman dan beramal soleh.

Baik, semua sedia maklum. Hidup ini hanya kerana ALLAH. Percaya pada ALLAH [dan kejadian-Nya; malaikat, kitab, rasul, qada' dan qadar] dan sembah ALLAH [patuh segala suruhan dan larangan-Nya].

Demi masa, manusia dalam kerugian, melainkan yang saling menasihati pada kebenaran dan kesabaran.

Apa yang benar?


Tiada yang benar melainkan apa yang diajar dalam Islam.

"...Sebenarnya dia (Muhammad) telah membawa kebenaran kepada mereka dan kebanyakan mereka benci pada kebenaran. Seandainya kebenaran itu adalah menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini dan semua yang ada di dalamnya..."
(Al-Mukminun: 70-71)


Manusia takkan pernah boleh lari dari dugaan hidup. Daripada ujian dan cabaran yang akhirnya mematangkan kita. Tetapi bukan mudah untuk mencapai tahap kematangan yang memberi kepuasan maksima yang akhirnya memberi kekuatan dan keberanian untuk seseorang menoleh kembali melihat dan menghadapi sengsara kisah duka itu.

Sahabat sejati adalah dia yang apabila terpandangkan wajahnya, kita teringatkan ALLAH.

Seorang sahabat yang baik ialah seorang yang sentiasa memperingati sahabatnya mengenai kebenaran Islam. Mengenai indahnya Islam sebagai cara hidup yang menjadi amalan dan pegangan dalam setiap tindakan dan keputusan dalam kehidupan.

Apabila ditimpa perkara yang menyesakkan, sebutlah nama ALLAH, ingatlah Maha Pencipta, berbaliklah pada al-Qur'an dan sunnah, insyALLAH hati akan tenang.

"...Ingatlah, dengan mengingati ALLAH hati akan menjadi tenang."
(Ar-Rad: 28)


Bila hati tenang, akan mudahlah bagi kita membuat keputusan yang rasional. Orang yang kepala tengah serabut, fikiran diganggu emosi, asyik nak memprotes dan mengamuk saja takkan termakan kata-kata yang menasihati walau sebernas manapun ideanya.

Kenapa perlu sabar?

"Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; jika tidak kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan. Sabarlah (menghadapi kesusahan dengan cekal); sesungguhnya ALLAH bersama mereka yang bersabar.
(Al-Anfal: 46)


ALLAH dah cakap. Tinggal lagi kita untuk percaya dan yakin. Jangan banyak komen, jangan cerewet, jangan banyak sangat adu, tak puas hatinya. Sabar, redha, usaha, tawakkal, insyALLAH ALLAH akan tunjukkan jalannya.

Seperti kata Dr. Daniel, penyelesaian masalah teragung sudah sedia tersemat dalam al-Qur'an:

"Sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan ALLAH akan mengurniakan rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangka."
(Al-Talaq: 2-3)


Tugas sahabat adalah untuk pesan dan peringat pada sahabatnya akan janji ALLAH ini.

Jika sahabat seperti ini hadir, maka lengkap dan puaslah hidup seseorang yang sedang berkelana mencari teman yang akan mengiringinya dalam perjalanan menuju keredhaan ALLAH. Imam Syafi'e pernah berkata:

Tidak ada kegembiraan yang menyamai perjumpaan dengan sahabat dan tidak ada kesedihan yang menyamai perpisahan dengan mereka.

WaALLAHualam.

* "Motivasi sekunder mampu mempercepatkan langkah yang lemah, lembik, dan lembam. Motivasi ini mampu membuatkan seorang wanita tua melepasi longkang besar. motivasi ini mampu menjadikan manusia itu super. Motivasi ini mampu menjadikan manusia itu melakukan enam pekerjaan serentak. Motivasi ini mampu menahan haus dan lapar. Pada ketika-ketika tertentu motivasi ini mampu mencairkan besi, membina aura yang bertindak bagaikan baju besi, mencetuskan arus kecemerlangan alpha setiap masa dan... dan... dan... banyak sekali" -- Nak ke Tak Nak, Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

# InsyALLAH Along, ada isi saya tambah lagi. Hanya ini yang terfikirkan buat sementara ini. Berilah saya 'assignment' lagi. Ada juga faedah apa yang Along minta saya carikan ini ;)

Sunday, February 20, 2005

hidup satu pilihan

Petikan kata Along: Hidup ini satu pilihan. Satu assignment untuk saya kupas dan hurai.

Word of wisdom Pakdi:

Two roads diverged in a wood, and I -- I took the one less traveled by. And that has made all the diffrence."
(The Road Taken -- Robert Frost, 1920)

Terima kasih Pakdi. Mengingatkan saya pada zaman di MRSM dulu. Apabila kami, ambilan pertama yang diwajibkan mengambil subjek English Literature untuk SPM.

[Apalah, Pakdi yang tak perlu belajar pun ambil tahu apa yang kami belajar -- atau mencari untuk diaplikasi. Yang dah belajar ni hanya terkenang semula apabila diingatkan atau teringat]

Kami di bawah rimbunan buluh waktu itu. Apabila Mrs. Zee menerangkan segala macam terma sastera yang kami patut tahu mengenai sajak itu. Aku pun tak ingat lagi. Yang aku ingat, cerita yang dibawa sebagai analogi untuk kami mudah faham.

The Road Not Taken

Mrs. Zee tanya, apa yang kami akan buat jika tak ditawarkan ke MRSM dulu? Apa akan berlaku jika kami setia menjadi pelajar di sekolah lama?

Siapa yang pilih? Aku.

Jawapan aku ketika itu, sudah tentu aku tak akan berpeluang duduk mendengar celoteh 'teacher'. Dan aku tak mungkin berkenalan dengan rakan-rakan berlainan negeri. Dan aku takkan belajar duduk di asrama, mengenal Dewan Selera (DS) yang sinonim dengan semua pelajar MRSM seluruh negara [DS je yang penting -- 6 kali sehari maa! ;p ]

Siapa yang pilih? Aku.

Dan aku sekarang takkan merindu rakan-rakan seperjuangan SPM MRSM dahulu. Aku takkan rancang re-union, aku takkan beraya di rumah mereka, aku takkan boleh kata yang aku ketemu semula dengan Amran di UIA! Kerana sesungguhnya, tanpa MRSM, walau satu universiti, Amran mungkin cuma orang asing, atau teman baru [Contoh saja -- maaf Amran, cuma nak tambah modal bercerita ;) ].

Siapa yang pilih? Aku.

Tapi boleh tak kalau nak kata, jika aku tak ke MRSM, aku takkan berada di sini, di Universiti Islam Antarabangsa ini? Boleh, tapi peluangnya mungkin sedikit tipis. Kerana sekolah lama aku tu tak dikenali sehebat MRSM. Mungkin Jabatan Pendidikan tak percaya sangat kebolehan sekolah biasa, walau orangnya, orang yang sama. Tapi, maknanya, tak semesti aku ke MRSM baru boleh ke UIA, bukan?

Aku pernah uarkan pada seorang sahabat yang kecewa kerana tak dapat bertahan di salah satu MRSM yang ditawarkan kepadanya kerana tak tahan dengan ragging senior. Aku jadi pelik juga, kenapa di MRSM Kuantan seniornya baik-baik saja?

Siapa yang pilih? Dia.

Aku kata: Tak penting di mana kita bermula, yang penting di mana kita berakhir. Dia terharu, sebak. Dan sampai sekarang dia ingat kata-kata itu. Alhamdulillah.

Dalam maksudnya tu. Banyak boleh hurai dari segi Islami. Tapi maksud aku waktu itu, sekolahlah di mana pun; pondok, MRSM, agama, asrama penuh, sains, teknik; yang penting keihklasan dan kesungguhan hati sendiri. Rezeki ALLAH ada di mana-mana. Bumi ALLAH luas. ALLAH kan sentiasa bersama orang yang sabar? Kalau Dia kehendakkan kita berjaya atas usaha dan tawakkal kita, kita akan berjaya juga.

"Jika ALLAH menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kamu. Jika ia mengecewakan kamu, maka siapalah yang dapat menolong kamu sesudah ALLAH? Kepada ALLAH jualah orang-orang beriman itu berserah diri."
('Ali Imran: 160)


Nak katanya, punya banyak jalan yang ALLAH sediakan untuk manusia pilih. Manusia ada keistimewaan itu. Keistimewaan memilih. Sedang malaikat tidak. Mereka buat apa yang ditugaskan ALLAH dari awal hingga akhir. Yang sujud, sujud saja. Yang rukuk, rukuk saja.

Manusia boleh jadi sangat bebas. Tapi ALLAH sudah tetapkan syari'atnya. Undang-undang dalam hidup. ALLAH sayang hamba-hamba-Nya. Tak mahu manusia jatuh dalam pelukan panas syaitan. Kerana itu, ALLAH kurniakan iman dan akal sebagai panduan untuk manusia memilih. Walau akhirnya menuju akhiran yang satu, akhirat ALLAH.

Tapi selepas itu, manusia juga yang tentukan untuk ke syurga atau neraka melalui tuaian amalan mereka di dunia.

Tetapi, itulah. Manusia yang perlu membuat pilihan. Jadi baik atau jahat. Jadi busuk atau wangi. Jadi 'rendah' atau 'tinggi'. Jadi hebat atau sebaliknya. Jadi miskin atau kaya. Jadi pemurah atau bakhil. Jadi cerdik atau bodoh. Ramai kawan atau kera sumbang. Sedih atau gembira. Untuk mengingati atau melupakan...

Dan diawal kejadian, manusialah yang memilih untuk menjadi khalifah sedang gunung-ganang, langit, pepohon dan segala kejadian semuanya menolak kerana beratnya tanggungjawab yang perlu dipikul dengan sandaran khalifah.

Sedang pendapat seorang seorang rakan, untuk jatuh cinta pun adalah satu pilihan [Ya, kamulah rakan itu!]

Bagaimana? [Ini aku kupas dan olah sendiri].

Soalan: Bagaimana sebenarnya untuk kita kenali jodoh kita?

Ada siapa yang tahu?

Pandai... hanya Tuhan yang tahu :)

Kan ada Tingkap Jauhari. Satu daripada empat bahagian itu tiada makhluk di dunia ini yang tahu. Atau dengan kata lain hanya ALLAH yang tahu, kerana ALLAH Maha Mengetahui seluruh perkara sebelum dan selepas kejadian, di langit luas terbentang dan di lubang cacing mahupun penjara kurungan Ya'juj dan Ma'juj sekalipun [Gulp!].

Itulah jodoh dan maut yang tidak boleh dipilih-pilih lagi.

Jadi, jika kita tak pernah boleh pasti siapa jodoh kita, bagaimana kita boleh pasti hati ini hanya untuk dia? Sedang yang elok-elok berumah dan bertangga pun boleh roboh, inikan pula yang baru memula detik perkenalan.

Eh, jangan pula ada yang jadi ragu-ragu akan keikhlasan pasangan mereka selepas membaca ini. Memang tugas kita untuk mencari dan mengenalpasti. Takkan pula nak bersendiri seumur hayat? Kasihan siapa yang dijodoh untuk kita itu, bukan kita sahaja, dia juga nantinya akan bersendiri.

Ya, betullah, perasaan cinta itu hadir tak dipaksa. Soalnya hati tidak dimengerti, apa terjadi diluar kawalan diri, bukan? Tahu, aku arif.

Tapi, kita juga yang memilih untuk terusan mencintai dia atau melupakan dan bertemu dengan orang lain, kemudian jatuh cinta sekali lagi, bukan? Takkanlah setiap orang yang kita jatuh cinta itu jodoh kita? Gila kamu!

Yang sukar jatuh cinta, dan baginya cinta cuma satu, sekali dalam semur hidup itu, baguslah. Harapnya, itulah jodoh anda. Tapi, kita tak akan pernah tahu bukan?

Lantas, jatuh cinta juga satu pilihan. Jangan tertipu dengan pandangan pertama. Itu ikutan nafsu semata. Lihat dari segi luaran, cuma boleh kata suka. Tak kenal hati budi sudah boleh dikata cinta?

Wah, Mira jadi Dr. Love pula hari ini ;p

Habis pasal tu, kembali ke topik, hidup ini sememangnya satu pilihan.

Andalah yang memilih untuk berusaha atau goyang-goyang kami sambil peluk tubuh. Andalah yang memilih untuk berjaya atau sedih-sedih sahaja mengenang nasib.

Anda. Kita. Manusia.

WaALLAHualam.

iklan

Huargh! Ngantuk! Penat! Pening!

Tak sabar rasanya nak habiskan semester ni.

Dah lama tak buat iklan. Asyik tulis benda yang serius saja.

Apa perkembangan aku di sini? Aku ok saja. Cuma biasalah, dah akhir-akhir semester ni, semangat tak sekobar awal-awal dulu. Kerja menimbun, dengan assignment dan presentation, tapi tak tahu nak habiskan tang mana. Jadual harian pecah serabai.

Aktiviti kelab, persatuan, dan rakan-rakan berebut-rebut minta perhatian aku. Aku jadi tak pandai nak memilih, nak puaskan hati semua. Last-last, tolak semua, ah, buat kerja sendiri saja.

Aku banyak berehat. Tapi bukan benar-benar berehat. Banyak fikir perkara-perkara sekeliling. Perkara-perkara selain pelajaran. Banyak.

Pulak tu tiba-tiba menghadap komputer jadi senang pening, rasa terawang-awang. Ada beza agaknya menghadap destop dengan laptop. Kalau betullah dulu yang aku pernah belajar dalam fizik, risiko menghadap skrin lcd lama-lama ni banyak sikit [banyak ke sikit? ;p ], lupa pula dari segi apa [rindunya pada fizik!].

Along, terima kasih. 'Diskusi' kita bukan omongan kosong. Ada isinya untuk saya fikir-fikirkan.

1. Kalau tak menyerlah dalam satu bidang, kita boleh sentiasa cuba bidang yang lain. Untuk seimbangkan penghargaan terhadap diri. Kita ada kelebihan masing-masing. Tak perlu diperbanding dengan orang lain yang asyik fikir dan buat perkara besar, cuma banding dengan diri sendiri. Jika semua begitu, siapa pula akan fikirkan perkara kecil yang tak semestinya juga mudah di mata orang lain kan? Kita adalah insan istimewa. Tiada lain Amira di dunia ini [walau ramai yang nama sama].

2. Belajar dalam niat mendapat sesuatu yang baru, mendapat ilmu tambahan, lebih mudah daripada belajar semata-mata untuk lepas syarat, untuk dapat kelulusan, untuk dapat penghargaan dunia. Belajar yang dalam teorinya, niat kerana ALLAH, membolehkan kita lebih berada dalam keselesaan, tanpa perlu bersusah-payah menghafal dan memaksa otak menghadam. Kerana tugas menghadam ilmu itu perlu dilakukan oleh hati. Bila kita tahu menghargai mahalnya satu ilmu, bila kita mengaplikasi dan mengamal ilmu yang dimiliki, itulah kepuasan yang sebenar.

3. Setiap manusia tak akan pernah puas dengan kedudukan mereka sekarang. Dah dapat capai satu, nak yang satu lagi. Kata Dr Fadzillah Kamsah, perbandingan perlu betul. Jika hal dunia, banding diri dengan orang yang lebih kurang bertuah daripada kita, Jika dalam hal akhirat, banding diri dengan orang yang lebih amalnya daripada kita. Apabila merasa diri belum cukup sempurna, kita ada sesuatu yang perlu dicari. Dan pencarian itulah sebenarnya makna kehidupan, untuk menjadi yang lebih baik, untuk menjadi insan kamil, daripada cuma duduk dan menganggap diri sudah cukup bagus.

4. Hidup adalah satu pilihan. Untuk gembira atau sedih. Untuk senyum atau berduka. Untuk ketawa atau menangis. Kita tak betah untuk positif sepanjang masa, sebab setiap manusia ada kelemahan masing-masing. Tugas rakan untuk mengkambus kelemahan itu dan menggantikannya dengan menyedarkannnya akan adanya kelebihan yang boleh dibanggakan. Belajar apa yang negatif, gunakannya untuk tujuan sesuatu yang positif. Supaya apabila peristiwa yang sama berulang, kita tahu bagaimana menghadapinya sambil tersenyum penuh makna.

5. Yang mana lebih kita ingati? Kenangan dirotan kerana mencuri atau kenangan ke atas pentas mengambil hadiah dan sijil atas kejayaan? Kita sememangnya lebih cenderung mengingati peristiwa pahit yang menggambarkan kelemahan kita daripada mengenang sejarah gemilang yang menonjolkan keistimewaan kita. Kita ada keistimewaan dan kelebihan yang boleh dibanggakan. Cuma kita lupa, kerana kabur dilitup kabus hitam itu. Sebab tu, Dr Fadzillah ada pesan, depan meja study tu, letak gambar-gambar kejayaan dan kegemilangan kita. Atau setidak-tidaknya, letak gambar yang dapat mengingatkan kita kenangan manis kehidupan.

6. Aku ini dalam pencarian. Pencarian satu perkara yang besar, satu permata yang tak dijumpai di mana-mana. Satu pencarian yang perlu pengorbanan dan kesabaran yang besar. Motivasi yang biasa-biasa belum cukup memuaskan aku. Tapi, motivasi-motivasi biasa itulah ikan-ikan kecil yang aku perlu setiap hari demi meneruskan kehidupan. Perlu usaha saban hari, kerana jiwa aku perlu makanan. Cuma, pencarian aku adalah ikan yang besar yang dapat mengenyangkan aku untuk beberapa hari, atau mungkin sepanjang hayat. Motivasi terulung yang buat aku tersenyum dalam selesa, tanpa ragu-ragu untuk terus melangkah hingga ke akhirnya. Aku yang dalam pencarian...

7. Satu lagi yang paling penting. Saya temu sesuatu yang baru, sahabat sejati adalah orang yang saya percaya. Bila saya percaya, saya sudah mampu berkongsi cerita dan rasa hati, yang boleh kongsi tawa dan air mata... Makanya,... :)

Mungkin senarai akan bertambah. Kerana aku ini bukan jenis yang menghafal. Cuma sedar bila terdetik dan teringat. Apa-apapun, terima kasih. Kamulah mentor terulung! [Jika bukan untuk orang lain, adalah bagiku! ;)

Aku dah buka semula ruang komen di setiap penghabisan entri. Jadi mudah untuk sesiapa yang nak tinggalkan jejak, komen untuk entri tertentu. Sebab tak ramai pun yang guna gesbook tu ya?

Terima kasih kerana masih setia membaca dan mengikuti.

Salam sukses semua!!!

Saturday, February 19, 2005

motivasi... sampai bila?

Puaskah kalau setiap kali, kita yang nasihat dan beri semangat pada diri sendiri?

Benar-benarnya berkesankah penawar yang diperoleh dari dalam kepala sendiri?

Orang mula kata kita kuat. Kita tabah. Tapi kita bukan begitu. Sebab yang sebenarnya kita menghendaki perhatian. Kerana kita sebenarnya rasa kesunyian. Lantas kita rasa tertekan untuk cuba memenuhi pandangan orang itu. Sukar sungguh untuk menukar pandangan orang menjadi motivasi peningkat diri.

Tapi, jika mereka mendengar, dan tahu ceritanya, dan mereka beri penyelesaian dengan logik akal atau yang mereka gelar motivasi, mungkin ia dapat membantu. Kita akan mengangguk mengiya. Akan berkata dalam hati, ha'ah, betul juga, kenapa aku tak terfikir sebegini dahulu? Aku ni jumud sangat, Pandang dari mata tempurung, tak pernah buka skop untuk lihat keadaan dengan lebih jelas. Kita senyum.

Tapi, lamakah motivasi itu dapat bertahan?

Perasaan yang sebenarnya, masih terpenjara dalam hati tanpa dilawat walau dijengukpun oleh orang lain. Kita kata, tak mengapalah, takkan semuanya hendak dicerita? Setiap orang perlu ada rahsia dan isi hati masing-masing. Pandai-pandailah aku merawat sendiri nanti.

Setelah sekian lama, tiba-tiba kita kembali sedar, orang yang nasihat kita dulu tak faham langsung apa yang kita rasa. Parut itu masih ada. Memori itu tetap kukuh. Bagaimana boleh dia fikirkan inisiatif untuk kita yang lebih faham ini dalam selesaikan masalah?

Akan puaskah kita? Tak, kita akan murung semula. Dan mula cari motivasi lain supaya kembali bersemangat.

Kita kaya dengan motivasi. Semua orang boleh jadi fasilitator. Orang yang kurang ilmu seperti aku ni pun boleh. Orang yang tak mempraktikkan penyusunan jadual yang berkesan dalam kehidupan seharian walau dia tahu caranya pun boleh jadi fasilitator, sebab dia ada ilmu itu. Malah, semua pelajar universiti pun boleh berlakon baik sebagai fasilitator kerana masing-masing ada pengalaman dan pengetahuan sendiri untuk diceritakan.

Soalannya, layakkah?

Dia buat tak apa yang dia cakap pada orang tu? Yang dia dok promote sebagai estetika murni kehidupan tu?

Motivasi, memang dah lepas. Ada satu yang kita kurang yang memang amat diperlukan. Apa? Psikologi. Ilmu untuk benar-benar selami isi hati orang. Sebab dan akibat. Kenapa dia buat satu perkara, kenapa dia tak buat perkara lain? Ilmu yang tidak menyamakan seorang individu dengan satu kelompok secara teliti. Kerana motivasi itu logik. Dan logiknya semua perasaan itu sama. Semua penyelesaian juga mempunyai gol yang sama.

Orang kita kurang itu. Walau sebanyak manapun buku motivasi laris di pasaran, walau sebanyak manapun pelajar universiti di bawah pelbagai persatuan, pulang ke gagang, ke sekolah lama untuk sumbang ilmu dan bakti, walau sebanyak manapun pakar motivasi yang lahir menjadi idola masyarakat, adakah kes buang bayi berkurang?

Adakah kes lumba haram jumpa akhirnya? Adakah 'kes bawah tangga' dan 'dalam semak' sudah tidak ada? Adakah lagi kes pelajar ilmu agama tidak pandai-pandai memanfaatkan ilmunya walau untuk kegunaan sendiri? Adakah masih wujud golongan yang tidak tahu dia buat salah, dan masih nak menyalahkan orang lain, sehingga pihak yang benar termakan ugut, menarik balik saman itu, walau terang-terangan, agama tak membenarkan? Adakah, adakah, adakah?

[Kasihan benar untuk mereka yang menganggap hal kebebasan individu untuk memilih, urusannya antara dia dengan ALLAH sahaja, masyarakat yang memandang langsung tiada hak bersuara! Hei, habis tu, biar saja 'doktor-doktor profesional' itu buat kerja mereka di bawah jambatan. Bukan menyusahkan sesiapa pun, kan? Buat apa nak ambil peduli? Itu urusan mereka dengan ALLAH..! Heh! Budak tadika pun tahu tutup aurat itu wajib.]

Psikologi. Selagi seseorang tak temui jalan psikologi sendiri, selagi itu hati-hati itu tidak diubati dengan betul, dengan lembut, dengan berkesan.

Dan aku tak sediakan jawapan untuk peroleh psikologi itu. Kerana aku cuma ada Dr Fadzillah Kamsah dan HM Tuah Iskandar, belum lagi sepenuhnya Ustaz Zawawi atau Ustaz Wan Sohor [heh, tak bagi penyelesaian, tapi bagi klu!].

Aku tak suka dianggap lebih hebat daripada aku yang sebenar. Cukuplah untuk bersyukur sekadar yang aku ada dan aku mampu. Kerana luka aku, belum sembuh sepenuhnya rupanya, belum ada plaster psikologi yang mujarab. Yang ada cuma plaster motivasi yang berwarna-warni.

# Ini cuma hasil fikiran aku, tidak tertakluk pada mana-mana pihak. Segala kesilapan harap diperbetul.

Friday, February 18, 2005

intelligence... hope its not artificial ;p





Your Dominant Intelligence is Linguistic Intelligence



You are excellent with words and language. You explain yourself well.
An elegant speaker, you can converse well with anyone on the fly.
You are also good at remembering information and convicing someone of your point of view.
A master of creative phrasing and unique words, you enjoy expanding your vocabulary.

You would make a fantastic poet, journalist, writer, teacher, lawyer, politician, or translator.


personaliti





You Have A Type B+ Personality



B+





You're a pro at going with the flow
You love to kick back and take in everything life has to offer
A total joy to be around, people crave your stability.

While you're totally laid back, you can have bouts of hyperactivity.
Get into a project you love, and you won't stop until it's done
You're passionate - just selective about your passions


lihat fikiran dan umur anda





You Are 22 Years Old



22





Under 12: You are a kid at heart. You still have an optimistic life view - and you look at the world with awe.

13-19: You are a teenager at heart. You question authority and are still trying to find your place in this world.

20-29: You are a twentysomething at heart. You feel excited about what's to come... love, work, and new experiences.

30-39: You are a thirtysomething at heart. You've had a taste of success and true love, but you want more!

40+: You are a mature adult. You've been through most of the ups and downs of life already. Now you get to sit back and relax.


Saturday, February 12, 2005

libur bersama kimura

"Kau akan jatuh cinta sekali lagi!"

Betul-betul berlaku. Cerita 5 tahun yang lepas, berulang pada cuti sesingkat ini. Aku benar-benar jatuh cinta sekali lagi...

Aku habiskan cuti kali ini dengan Takuya Kimura [ada yang tengah lepas nafas sambil urut dada tu ;p ]

Kimura sebelum ini tinggal pada nama samaran aku saja. Lupa 'kisah cinta' kami. Sampai apabila aku dihidangkan dengan 3 cerita bersiri lakonannya yang setiap satu punya 8 CD!

Jika 5 tahun lepas dengan Beautiful Life, kali ini;

1. Good Luck! -- sebagai Shinkai, dalam mengejar cita-cita menjadi seorang juruterbang.
2. Pride -- sebagai Satonaka Hulu, kisah suka-duka hidup pemain hoki ais.
3. Love Generation -- err... hehe, tak habis tengok lagi ;p

Jika Kimura seorang pelakon, dia adalah pelakon yang sangat teruk -- sebab lakonannya seperti watak hidup, bukan berlakon!

Gambate Kimura san! To arigato gozaimas!

Thursday, February 10, 2005

sunyi dan ilusi

"Mirul, tunggu!" Aku berlari mendapatkan Mirul yang telah di seberang jalan.

"Ika, awas!"

Belum sempat aku menoleh, aku dihalang satu lengan putih sebesar tiang rumah yang betul-betul di hadapan muka. Telapak gergasi itu memegang kepalaku kemas seolah-olah ingin meramasnya. Kepala terasa panas. Penuh dingin merenik. Aku ketakutan. Sesak nafas!

"Misi aku mencari mereka yang mengabaikan solat. Aku tak sangka kau adalah dikalangan mereka!" kata suara lembaga aneh itu. "Kaulah yang sebenar pemusnah agama! Kau tonjolkan imej yang mulia, sedang kau sebenarnya syaitan bertopeng manusia!"

Ampunkan aku, ampunkan aku! Aku benar-benar insaf... Aku terkulai dalam debaran yang seperti paluan rancak gendang.

Sejak kejadian, aku sering terlihat bayangan makhluk-makhluk halus yang tidak dapat ditangkap pancaindera manusia lain. Semuanya berwajah menakutkan. Seperti dirasuk, aku menjerit histeris apabila terpandangkan jasad seorang wanita bertelekung terbaring di jalanan. Apa yang sudah terjadi padaku?

Setiap kali sebelum azan bekumandang, aku lantas keluar dari rumah menuju ke masjid. Aku dapati ada ketenangan di situ. Malah, aku cukup seram jika terlewat mengerjakan amanah ALLAH. Bimbang makhluk-makhluk aneh itu datang lagi memberi amaran.

Amirul menjadi penyokong terkuat mengembalikan semangat aku. Mungkin pada pandangan orang lain, aku sudah tidak waras, mereka tidak lagi mempedulikan aku, sedang aku dapat rasa menjadi orang yang penting dalam hidup Amirul. Dia masih melayan aku seperti seorang manusia, seperti Ika yang dahulu.

Aku melangkah ke tempat duduk hadapan kereta perak milik Amirul. Aku memandang wajahnya yang bersih ceria. Terharu benar dengan pengorbanan lelaki ini. Tak pernah mengenepikan kepentingan aku walau diburu berjuta gadis lain. Tapi, kami tetap memegang status sahabat. Tidak pernah lebih dari itu.

Kami berhenti di hadapan rumah Bob yang akan ikut sama ke destinasi kami. Bob membuka pintu kereta di tempat dudukku. Aku jadi pelik. Ah, mungkin ada sesuatu yang ingin dikatakan pada Amirul.

Aku tambah pelik apabila Bob menyumbat dirinya ke tempat yang aku sedang duduki. Aku tertolak ke tepi. Aku memandang Amirul. Wajahnya pucat dengan anak mata yang bundar menggambarkan tanda tanya. Bob tak nampak aku?

Aku jadi panik. Kepala memanas, air mata jernih mengalir tiba-tiba. Peristiwa lama tergambar di ruang fikir. A... aku... tak wujud?

Amirul terus menyaksi walau aku tahu dia sebenarnya ingin kalih. Apa yang dilihatnya di wajah ini?

"Mirul... maaf... sa... saya t...tak tahu!" aku gagahkan diri mengeluarkan suara yang seperti terlekat di kerongkong. "Tolong jangan benci saya, jangan takut dengan saya, tolong! Sa... saya pun tak faham..." Amirul masih terbatu. Bob sudah hilang dari dunia kami.

"Mirul, sa... saya, sudah mati?" tiada jawapan. Peristiwa dua minggu yang lepas tiba-tiba menjadi jelas. Tangan gergasi yang menghentak kepala itu... sebenarnya kereta yang melanggar...

"Mirul, saya sayangkan Mirul!" aku tahu masa aku untuk berada di situ tidak panjang. Aku lantas memeluknya. Hangat. Amirul memegang kepalaku lantas mengucup dahiku.

"Saya juga sayang Ika. Sangat sayang." Amirul berbisik. Setitik air matanya membasahi dahiku. Aku terharu dalam sebak yang maha hebat.

"Inilah perjalanan terakhir kita, benarkan saya temani Mirul...?" Amirul mengangguk lemah. Aku terasa kian dingin. Genggaman tangan Amirul sudah tidak terasa. Seluruh tubuh seolah kehilangan reseptor sentuhan. Aku keawang-awangan. Fikiran kian kosong. Yang pasti, aku akan bersendiri nanti. Sunyi...


* * *


Bila tiba satu masa yang kita rasa sunyi, kita memang betul-betul rasa sunyi.

Mak dan abah tiada di depan mata menemani.

Rakan taulan semuanya kelihatan menjauh.

Kala aku rasa aku mampu hidup bersendiri walau cuma untuk kali ini, mimpi-mimpi itu datang lagi. Buat aku termenung sendiri. Benar-benarkah aku rindu akan mereka?

Kerana aku pernah mendengar, jika kita mimpikan seseorang, sama ada kita rindukan mereka atau mereka yang rindukan kita.

Dan aku agak, tiada sebab untuk mereka merindui diri ini...

Hinggakan aku seolah yakin, betapa ruginya seseorang untuk meninggalkan dunia ini tanpa menyatakan betapa aku sangat beruntung dan bertuah mengenali mereka. Bahawa aku sangat sayangkan mereka. Bahawa aku cintakan dia...

Bila itu, aku sedar, bahawa ALLAH telah aku ketepikan. Kerana mustahil untuk kita rasa sunyi jika yakin ALLAH sentiasa di sisi...

[Terlalu lineankah aku? Adakah aku terlalu menolak realiti?]

ALLAH, ya ALLAH, jauh sungguh aku rasa jarak kita...

Kerana aku yang sebenarnya tak pernah mahu insaf. Tak pernah cuba menjadi yang lebih baik...

Aku mungkiri ucapan-ucapan itu...

Engkau murka kan padaku?

Aku sentiasa letak diri di tempat selamat. Aku hanya mengingati nama-Mu yang baik-baik saja. Aku tahu Kau Maha Pengasih, Maha Penyayang. Kau Maha Pengampun, Kau Maha Penyabar.

Tapi aku lupa ya ALLAH, Kau juga Maha Adil, Maha Penghukum, dan Maha Penyiksa. Kau akan laksana apa yang telah Kau janjikan.

Rugilah mereka yang leka dan alpa kerana tidak mengenali-Mu. Walau sebanyak mana kau peringati kami. Kami tetap tak tahu dan tak sedar, kerana lembaran-lembaran itu hanyalah dalam kalam suci-Mu. Bukan terus pada mimpi-mimpi ngeri kami.

Kami tak mengerti. Kami malas mengerti. Kerana Arab bukan bahasa kami.

Ya ALLAH, hanya pada-Mu tempat ku bergantung. Lantas bantulah aku hilangkan rasa sunyi dan berdosa ini...

ALLAH, ampunkan aku! Aku mahu dekat dengan-Mu! Sungguh-sungguh!


# Abang Fauzul ada terdetik idea mengalihbahasa Al-Qur'an daripada Arab kepada Melayu. Bukan untuk mengubah kalimah ALLAH, tetapi menambah kefahaman orang Melayu Islam ini seraya mendekatkan diri dengan ma'rifah ALLAH.

Idea ini sebenarnya telah digunakan beratus tahun yang lalu dengan kitab Injil Kristian. Kita saja belum memulakan kerana terlalu bimbang membuat salah. Memang tanpanya pun, Islam masih menjadi agama yang paling cepat memperoleh penganut-penganut baru di dunia terutama di Amerika.

Tapi itu untuk mereka yang ingin mencari kebenaran. Bagaimana dengan kita yang telah mengunyah kebenaran tetapi belum mencernanya? Kita ini!

Kerana sesungguhnya golongan berilmu itu tertipu kira mereka menganggap diri baik kerana berjaya melancari pembacaan al-Qur'an. Kononnya suara yang lunak dan merdu itu memberi ketenangan pada mereka. Tapi satu perkataan pun yang dibaca tidak mereka fahami. Berbaloikah? -- Dr Daniel

# Hidup ini satu ilusi?

'oil of olay'

Entah apa-apa saja cerita mengenai orang minyak ni. Makin diheboh-hebohkan. Jika dari pelajar sendiri tak mengapa, ini dengan notis pentadbiran mahallah lebih menakut-nakutkan pelajar. Pula tu, pelajar-pelajar disuruh pulang ke rumah pada cuti panjang yang aku tak pulang, bersendiri menaip benda alah ini. Yang tinggal bukan kerana sengaja ini mulalah hidup dalam ketakutan, rasa tak selamat. Apa cerita ni?

Apa yang aku masih buat di sini? Baliklah! :) Kalian kan kenal aku. Setakat cuti yang tak sampai seminggu ni, tak terliur sangat untuk pulang. Jika kerana kerja menimbun pun, bukan sepanjang masa aku duduk menghadap komputer. Tapi masalah malas dan tak mahu bazir wang tambang untuk pulang.

Ha'ah, tengah kering sangat sekarang. Bukan tak boleh meminta begitu saja dari akaun FAMA aku, tapi aku kasihankan mereka. Aku yang harus faham-faham sendiri walau berkali-kali mereka ingatkan untuk meminta saja jika tiada wang.

Ya lah, mereka tahu aku sedang tak berduit, silap cakap nanti, buatnya aku tak meminta langsung, risau pula pada anak sulung mereka ni. Lebih-lebih lagi perempuan.

Alhamdulillah, setakat ini aku ada ikhtiar sendiri mencari wang. Tapi, jika aku meminta bantuan, jangan pula kalian berselindung di balik bayang :)

Sebenarnya nak bercakap isu orang minyak ni. Bukan bertujuan memperbesarkan lagi cerita, tapi untuk menyedarkan kalian. [Aku menggeleng kepala sambil tergelak dalam hati sahaja bila kakak bilik tiba-tiba berada di sisi apabila aku bangun dari tidur. Buatnya aku sakit jantung?]

Aku ni bukanlah selayaknya jadi heroin melindungi kaum wanita. Bukan aku tak seram akan cerita-cerita hantu [setakat ini cuma di balik kaca televisyen saja]. Tapi dalam realiti, buat apa perlu kita takut akan makhluk ciptaan ALLAH jika Penciptanya sendiri payah untuk disemai takutnya dalam hati?

Mentang-mentanglah orang minyak itu dapat dilihat sedang ALLAH tidak, kalian jadi lebih yakin akan kewujudannya? Letakkan ALLAH di hierarki bawah ciptaan-Nya?

Bukan tak boleh percaya, kerana ilmu sihir ini memang wujud. Lagipun, seperti kata Amran, pernah suatu ketika ALLAH memberi kebenaran kepada syaitan menyerupai manusia [orang gelar orang minyak] untuk menguji keimanan manusia. Bezanya, syaitan ini tidak boleh lengkap menunjukkan dirinya, hanya sebahagian. Jadi, mungkin juga ini gurauan syaitan. Itu tak boleh dinafikan.

Ada juga yang mengatakan kemungkinan yang mengganggu ini ialah pekerja Indon yang sememangkan seakan bermastautin di sini. Sama ada saksi salah tafsir rupa mereka atau memang mereka mengamalkan ilmu syirik tersebut. WaALLAHualam.

Dan kita sebagai wanita sewajibnya menjaga nilai kehormatan diri seandainya cerita itu satu kemungkinan tulen. Cuma, jangan sampai kita jadi syirik. Menganggap ada kuasa lain setanding kuasa ALLAH. Tanpa izin-Nya, makhluk-makhluk ciptaan-Nya tidak mungkin dapat mengganggu kita, insyALLAH. Jadi, pohonlah bantuan, sandarkan pertolongan pada-Nya.

Apa-apapun, biar iman menewaskan rasa takut.

InsyALLAH, kita sama-sama akan lepasi ujian ini.

# Teringat akan cerita yang sama semasa di MRSM dahulu. Sehingga setiap bilik dibekalkan 1, 2 batang penyapu untuk menjaga keselamatan masing-masing. Pelajar lelaki ada urutan tertentu menjaga blok perempuan. Alhamdulillah, bukan mereka yang jadi orang minyak itu ;p Tapi cerita itu berakhir begitu saja, apabila orang mula lupa. Tiada kesudahan yang nyata. Atau aku yang tak ingat? Ada rakan-rakan maktab yang ingin membantu?

Wednesday, February 09, 2005

life tracking

Selepas bumi FRIM, Kepong hampir dua tahun yang lepas bersama keluarga GCC, aku mengorak menjelajah bumi Komanwel pula. Hutan Rimba Komanwel yang terletak di Rawang menjadi destinasi Hari Keluarga SRC di bawah pentadbiran Abang Zarifi.

Aku kira perjalanan kali ini lebih payah daripada di FRIM. Kepenatannya amat terasa kerana curamnya menghampiri 90 darjah, dan tak punya banyak peluang berjalan mendatar, walaupun semasa di FRIM dahulu kaki ini ketar kerana hentakan demi hentakan semasa menuruni bukit.

Sempat pula beranalogi :) Semua Along punya pasal :p

Bermula dengan satu semangat dan impian seawal perjalanan, begitulah kita semasa berjanji dengan Maha Pencipta seawal kejadian. Kita telah berjanji menjadi hamba yang baik dan menurut segala perintah-Nya. Tapi kita lupa. Seolah-olah perkara itu tak pernah berlaku. Sebelum ditiup ke dalam jasad, roh kita beriman semuanya. Ibu bapa dan suasana persekitaranlah yang merubah kita menjadi Muslim atau kafir.

"Dan sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tetapi dia lupa; dan Kami mendapati dia tidak mempunyai keazaman yang teguh."
(Ta Ha: 115)


Aku berjalan dan berjalan sehingga curam tegak itu menghalang langkah untuk terus maju. Kami berhenti. Curam itu ibarat ujian. Kita bukan berhenti terus, cuma untuk seketika. Untuk apa? Berikhtiar mencari jalan terbaik pada pandangan ALLAH untuk menyelesaikannya. Kita berhenti mengumpul tenaga dan memulihkan semangat yang sedikit luntur.

"Sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan ALLAH akan mengurniakan rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangka."
(Al-Talaq: 2-3)


Dan mereka yang sama-sama menunggu untuk kembali meneruskan perjalanan bersama-sama itulah sahabat yang sejati. Sahabat yang menegur segala kesilapan dan memberi dorongan kala memerlukan. Mereka tidak pernah jauh daripada kita, namun, kadangkala kita yang terlepas pandang. Menganggap segala kejayaan hasil usaha sendiri, tanpa bantuan sesiapa. Sesungguhnya, tanpa mereka, kesukaran yang ditempuh sepanjang perjalanan akan menjadi lebih berat ditanggung.

Ada yang berpatah balik ke kem kerana kepenatan.

"ALLAH tidak membebani seseorang dengan ujian yang di luar kemampuannya"
(Al-Baqarah: 186)


ALLAH beri kita pilihan. ALLAH tak pernah menzalimi hamba-hambanya. Tetapi mereka menzalimi diri mereka sendiri dengan melakukan sesuatu yang hanya mendatangkan kerosakan dan kemudaratan.

"Sesungguhnya ALLAH tidak menganiaya manusia sedikitpun, tetapi manusialah yang menganiaya diri mereka sendiri"
(Yunus: 44)


Kami berhenti tak lama. Kerana kami tahu yang kami perlu sentiasa bertempur dengan masa. Begitu juga dengan kehidupan. ALLAH beri kita masa berehat setelah keletihan dihujani masalah atau sekurang-kurangnya sesuatu yang kita anggap sebagai masalah. Tapi dalam dunia yang serba mencabar ini, kita tak boleh berhenti berusaha terlalu lama kerana kita akan ketinggalan, terutama dengan masyarakat yang angkuh dengan kelebihan teknologi mereka. Masyarakat yang ingin diagung-agungkan sebagai 'Tuhan' dunia. Menganggap merekalah yang paling bagus.

Dan kita masih belum terlepas daripada tanggungjawab itu. Tanggugjawab untuk meneruskan usaha da'wah. Kerana bimbang nantinya 'Tuhan' dunia ini akan sekali lagi menjadi 'Tuhan' kita di akhirat. Bagaimana? Mereka akan menarik pahala kita yang telah tersemai di dunia ini dengan tuduhan tak berkesempatan mengenali Islam. Walaupun ini zaman teknologi yang membolehkan maklumat tersebar rawak ke serata pelusuk dunia, bimbang masih ada yang terlepas dari pandangan. Kita tak pernah tahu kan?

"Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyeru kepada kebaikan, serta melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang demikian ialah orang² yang berjaya."
('Ali Imran: 104)


Kami berjalan lagi. Pada lereng-lereng bukit di mana tempat bertapaknya cuma sebelah kaki [sebelah bukit, sebelah gaung], kami memperlahankan langkah. Sungguh berhati-hati. Di mulut terkumat-kamit menyebut kalimah ALLAH. Peluh bimbang merenik dingin. Sedikit tersasar, nyawa menjadi galang-ganti.

Kebanyakan manusia, apabila datang kesukaran, masa itulah baru kita ingatkan ALLAH. Kerana itu ALLAH datangkan manusia dengan ujian. Kerana ALLAH nak kita ingat Dia. Untuk apa? Sebab Dia sayangkan kita. Dia nak kita pun sayangkan Dia. Sama juga macam sepasang kekasih. Bila kita sayang dan rindu akan seseorang, kita letak harapan supaya orang itu rasa yang sama.

Kenapa ALLAH guna ujian? Sama juga, kenapa ada kes yang sampai kelar nadi di pergelangan semata-mata minta perhatian pasangannya? Atau sekurang-kurangnya berpura-pura sakit atas tujuan yang sama? Sebab, mereka mahu sentiasa diingati. Mereka ada kuasa ke atas emosi pasangan mereka untuk tarik perhatian.

Jika manusia pun ada kuasa, apatah lagi ALLAH yang Maha Berkuasa. Ujian itu untuk menunjukkan betapa ALLAH selayaknya dianggap tuan sekalian alam. Yang berkuasa mengawal segala sesuatu. Dan kita, manusia² ini cuma hambanya. Yang jika menjadi hamba sesama manusia pun belum tentu akan disayangi.

Dan tanda kasih ALLAH melalui ujian tampak bila Dia tak mahu kita terus terpesong melakukan sesuatu yang akhirnya akan dimungkari-Nya. Sebelum kita makin terjebak, ALLAH peringat kita akan kewujudan dan keesaan-Nya.

Lumrah menyelusuri hutan, kebarangkalian digigit pacat itu ada. Kata orang pacat hanya menghisap darah yang kotor. Aku tak pasti, tak pernah rujuk pakar Biologi pula. Tapi jika ia benar, anggap saja pacat itu sebagai taubat. Taubat menghilangkan cela dosa manusia. Taubat membenarkan diri diampunkan ALLAH. Taubat membawa kita memohon kemaafan dari sesama manusia. Darah kotor itulah dosa yang perlu dibersih. Mustahil untuk dihilangkan semua. Tapi lebih baik daripada langsung tidak cuba menjadi kita yang lebih baik dari hari-hari semalam.

Taubat tak susah, sebagaimana digigit pacat yang hanya rasa gatal-gatal dan kadangkala tidak disedari langsung. Dan taubat mudah dimakbul dan diterima, kerana pengampunan ALLAH Maha Luas. Asal saja kita bersungguh. Manusia tidak langsung berhak untuk bersangka buruk, su'uzon dengan ALLAH, menghukum diri apabila menganggap dosanya tidak mungkin lagi dapat dibersihkan.

ALLAH itu Maha Penyayang. Setulus mana kasih sayang seorang ibu, kasih ALLAH itu lebih dari itu. Tiada kuasa yang dapat menandingi kelebihan-Nya. Dialah yang Maha Agung.

Sesekali tangan ini memaut pepohon yang berlumur lumut menghijau untuk memperoleh imbangan daripada jatuh. Jatuh di bukitan tak sama jatuh di daratan. Sekali tersilap, jatuhnya bukan takat itu. Boleh jadi berguling-guling dan tentunya melibatkan orang lain, mereka yang sekali bersama waktu itu.

Dalam memperoleh pautan, kadangkala leka juga dengan kemudahan itu hingga tak sedar pohon itu berduri. Atau tak cukup kukuh bila sudah reput.

Tempat pergantungan hamba cumalah pada Penciptanya. Pertolongan dan bantuan hanyalah pada yang berhak dan layak membantu. Bukan pada bomoh atau dukun. Bukan pada jin atau syaitan. Waima jika bantuan terhulur oleh ibu bapa, rakan-rakan atau guru-guru, bukan asalnya ia dari mereka. Kerana sesungguhnya mereka cuma penyampai. Dan mereka memang wajib menyampaikan bantuan itu kepada yang memerlukan, kerana setiap kejadian di bumi ini adalah milik ALLAH semata-mata. Yang berkelebihan itu cuma pemegang amanah-Nya. Sudah tentunya tanggungjawab mereka lebih berat.

Pergantungan sesama makhluk melebihi pada ALLAH tidak membawa ke mana-mana.

"Jika ALLAH menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kamu. Jika ia mengecewakan kamu, maka siapalah yang dapat menolong kamu sesudah ALLAH? Kepada ALLAH jualah orang-orang beriman itu berserah diri."
('Ali Imran: 160)


Aku tak pernah ke Hutan Rimba Komanwel ini sebelum ini. Aku tidak dapat menggagak sejauh manakah perjalanan kami dan apakah yang mungkin akan ditempuhi sepanjang perjalanan. Apakah hikmahnya?

Apa hikmah ALLAH menyembunyikan persoalan masa hari kebangkitan?

Jika aku tahu bila kami akan menyudahkan eksplorasi, mungkin tak aku akan mengalah awal kerana tiada keyakinan dapat bertahan selama itu? Jika aku tahu di mana destinasi akhir ujian kemampuanku, tidakkah nanti aku akan tiba-tiba bersemangat apabila tahu saat itu hampir tiba?

Dan persoalan ini, aku yakin kalian dapat mengupas sendiri.

Hari keluarga SRC ini benar-benar memuaskan hati aku kerana sekian lama terperangkap dengan rutin harian yang jarang benar berubah. Dah lama juga tak berjogging mungkin juga mempengaruhi stamina aku pada hari itu. Tapi aku puas kerana berpeluh banyak, kurang sedikit bebanan yang dalam erti kata sebenar yang 'meletihkan' aku sebelum ini.

Terima kasih SRC. Terima kasih Faheem!

# Seronok juga makan berlima satu talam nasi. Pengalaman baru bagi aku. Tertanya-tanya juga apa kelebihan sebenarnya sehingga menjadi salah satu sunnah Nabi Muhammad.

Friday, February 04, 2005

kalimah hamba

"Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya"
(As-Saff; 61:3)


Gerun juga dengan pernyataan ini. Seolah² mencabar diri untuk terus dalam keadaan sedar nilai kehambaan yang sejati. Cabaran untuk seorang da'i walau sekadar menyampaikan satu perkataan ajaran Ilahi.

Masih terasa kekurangan diri. Dan kekurangan inilah yang menyekat kebebasan mengekspresi suara kebenaran. Layakkah aku?

Pendapat 1:

Kita manusia memang tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tiada manusia selain Nabi Muhammad yang sempurna akhlaknya. Tapi jika semua orang mengelak memikul tanggungjawab ini, kita semua akan berdosa!

Pendapat 2:

Tulislah. Asalkan jangan sampai membebankan. Yalah, kita sekarang bukan sahaja berurusan dengan ALLAH tapi juga manusia. Dan kita memang tak boleh lari dari manusia. Bagaimana kira mereka menilai kamu daripada apa yang kamu ajarkan? Mampukah kamu mengingati dan mematuhi setiap patah perkataan yang kamu hamburkan?

Pendapat 3:

Setiap manusia dijadikan tidak sia². Setiap manusia ada misi tertentu yang perlu dilangsaikan mengikut kemampuan masing². Mungkin inilah tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kamu dalam menegakkan kebenaran?

Pendapat 4:

Entah ikhlas entah tidak apa yang dilakukan. Entah² sekadar peroleh nama dan kesenangan saja.

+ + +

Pada aku, aku sedar, aku cuma mampu menyumbang hasil penulisan kepada masyarakat. Yang Islam terutamanya. Kerana aku ini, percakapan tidak mampu menyampai apa yang sebenarnya perlu disampaikan.

Dan melalui penulisan, aku laburkan sesuatu untuk hari akhiratku. Ya, aku pentingkan diri. Bukankah semua manusia pun begitu bila tiba masanya nanti? Mana ada lagi yang akan peduli orang lain. Sedang semasa tsunami melanda sekalipun, manusia lupa mereka ada keluarga, ada anak bini, mencicit lari menyelamatkan diri. Tapi, aku tak menyusahkan orang lain.

Cuma, kita hidup bermasyarakat. Teori sajalah apabila, "Kita nantinya cuma berurusan dengan ALLAH. Biarlah apa yang mereka nak kata asal kau tahu apa yang kau buat itu betul." Praktikalnya, sejauhmana orang Islam hari ini mampu bersabar dengan pandangan asing orang sekeliling dalam menilai ketulusan kita? Silap sedikit, itulah yang lama dipandang.

Benar Along, perjalanan ke syurga dipagari unsur² yang tidak disukai manusia, penuh mehnah, cabaran dan dugaan, sebaliknya ke neraka sana dihiasi sulaman kesukaan mereka, semuanya nampak mudah dan indah.

Tidak ada seorang yang mengajak kepada kebenaran yang tidak didatangi ujian. Dugaan ini membuatkan mereka yang beriman membenci dunia dan merindui syurga...

Seperti biasa, salah dan silapku, minta ditegur untuk diperbetul. Kerana aku ini kurang tazkirah mentarbiyah diri. Cuma mengharap rakan² yang mengerti hakikat perjuangan seorang hamba... mencari kerinduan yang sejati dari Ilahi.

Thursday, February 03, 2005

Keistimewaan Wanita

1. Doa wanita lebih maqbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulallah s.a.w. akan hal tersebut, jawab baginda : "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 orang lelaki yang tidak soleh.

3. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

4. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.

5. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t. akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

6. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedakah.Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail a.s.

7. Tidaklah seorang wanita yang haidh itu, kecuali haidhnya merupakan kifarat (tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan apabila pada hari pertama haidhnya membaca "Alhamdulillahi 'alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah" Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala dosa." ; maka Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah melalui shiratul mustaqim yang aman dari seksa, bahkan Allah Ta'ala mengangkatnya ke atas darjat, seperti darjatnya 40 orang mati syahid, apabila dia selalu berzikir kepada Allah selama haidhnya.

8. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w.) di dalam syurga.

9. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ehsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa taqwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga. Daripada Aisyah r.ha. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."

10. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

11. Apabila engkau dipanggil oleh dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

12. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka

pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

13. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada
suaminya dan meredhainya. (serta menjaga sembahyang dan puasanya)

14. Aisyah r.ha. berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita ?"

Jawab baginda, "Suaminya" "Siapa pula berhak terhadap lelaki ?"

Jawab Rasulullah s.a.w. "Ibunya".


15. Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki.

16. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

17. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

18. Dua rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

19. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

20. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

21. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

22. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

23. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

24. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

25. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

26. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

27. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila diahiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

28. Apabila seorang wanita mencucikan pakaian suaminya, maka Allah mencatatkan baginya seribu kebaikan, dan mengampuni dua ribu kesalahannya, bahkan segala sesuatu yang disinari sang suria akan meminta keampunan baginya, dan Allah mengangkatkannya seribu darjat untuknya.

29. Seorang wanita yang solehah lebih baik daripada seribu orang lelaki yang tidak soleh, dan seorang wanita yang melayani suaminya selama seminggu, maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibukakan baginya lapan pintu syurga, yang dia dapat masuk dari pintu mana saja tanpa dihisab.

30. Mana-mana wanita yang menunggu suaminya hingga pulanglah ia, disapukan mukanya, dihamparkan duduknya atau menyediakan makan minumnya atau merenung ia pada suaminya atau memegang tangannya, memperelokkan hidangan padanya, memelihara anaknya atau memanfaatkan hartanya pada suaminya kerana mencari keredhaan Allah, maka disunatkan baginya akan tiap-tiap kalimah ucapannya, tiap-tiap langkahnya dan setiap renungannya pada suaminya sebagaimana memerdekakan seorang hamba.

Pada hari Qiamat kelak, Allah kurniakan Nur hingga tercengang wanita mukmin semuanya atas kurniaan rahmat itu. Tiada seorang pun yang sampai ke martabat itu melainkan Nabi-nabi.

31. Tidakkan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya.

32. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suaminya melihat isterinya dengan kasih sayang akan di pandang Allah dengan penuh rahmat.

33. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

34. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

35. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.

36. Dari Hazrat Muaz : Mana-mana wanita yang berdiri atas dua kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

37. Thabit Al Banani berkata : Seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya sangat baik khidmatnya kepada suaminya. Apabila ia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegangnya pelita sehingga suaminya selesai makan. Pada suatu malam pelitanya kehabisan sumbu, maka diambilnya rambutnya dijadikan sumbu pelita. Pada keesokkannya matanya yang buta telah celik. Allah kurniakan keramat (kemuliaan pada perempuan itu kerana memuliakan dan menghormati suaminya).

38. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis itu.

Baginda lalu bertanya, "Adakah kamu menyembahyangkan mayat?"

Jawab mereka, "Tidak"

Sabda Baginda "Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat-ibadat orang lelaki.

39. Wanita yang memerah susu binatang dengan 'Bismillah' akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

40. Wanita yang menguli tepung gandum dengan 'Bismillah', Allah akan berkatkan rezekinya.

41. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah.

42. "Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan mebinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak diantara parit itu ialah sejauh langit dan bumi."

43. "Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utus benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat."

44. "Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat."

45. "Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatatkan baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian."

46. "Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya."

47. Sabda Nabi s.a.w. : "Ya Fatimah barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat."

48. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

49. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

50. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

51. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

52. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

53. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggirangkan engkau, jika engkau memerintah ditaatinya perintah engkau (taat) dan jika engkau berpergian dijaga harta engkau dan dirinya.

54. Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.

sumber: www.tauladan.blogspot.com

Jangan Menipu Allah Dengan Tudung

Awal tahun 80 an dahulu, tidak ramai wanita yang bertudung. Ketika itu wanita bertudung terpaksa menghadapi cabaran yang besar kerana sering menjadi bahan umpatan masyarakat. Mereka dituduh ekstreem, sesat dan ketinggalan zaman. Bahkan ada juga yang mengatakan itu fesyen ala Arab padang pasir. Kita tidak pelik hal begini boleh terjadi. Ini disebabkan masyarakat jahil terhadap hukum menutup aurat sehingga mereka tidak dapat menerima, malah memandang serong terhadap syariat menutup aurat. Berkat kesabaran wanita-wanita yang bertudung diwaktu itu, akhirnya masyarakat semakin sedar dan faham bahawa memakai tudung itu adalah untuk memenuhi tuntutan syariat.

Seperkara yang menarik di waktu itu, apabila seseorang wanita itu bertudung, maka akan nampak beza tingkah lakunya berbanding dengan wanita yang tidak menutup aurat dan peribadinya sendiri sebelum memakai tudung. Kalau dahulu dia senang bergaul bebas dengan lelaki, tetapi bila sudah bertudung, pandangannya sudah mula ditundukkan, bercakap dengan lelaki pun jarang sekali, tidak seronok malah tidak menghadiri majlis yang ada percampuran bebas lelaki dan perempuan, tidak suka berkeliaran di tempat-tempat awam, cenderung untuk mendalami ilmu-ilmu Islam, suka untuk beribadah, akhlak dan tutur katanya menjadi semakin lembut dan lunak. Suka menolong orang, bibir sentiasa menguntum senyum sebagai sedekah sesama muslim, sedia membantu kesusahan orang lain, sudah benci kepada kemewahan dunia, tahan diuji dan sentiasa mencari-cari peluang untuk mengajak masyarakat wanita yang lainnya agar sama-sama menutup aurat.

Lantaran berbezanya mereka dengan wanita yang lain, maka orang pandang tinggi kepada wanita yang bertudung, walaupun masih ramai yang tidak suka kepada mereka. Waktu itu, kalau wanita sudah sanggup bertudung, ertinya di dalam dadanya sudah ada sedikit sebanyak ilmu-ilmu agama. Sekurang-kurangnya dia sudah hafal dalil-dalil Al Quran dan hadith mengenai hal penutupan aurat. Ini disebabkan mereka sering dihujani dengan berbagai pertanyaan mengenai apa yang mereka buat. Untuk menjawabnya, mereka sudah bersedia memberi jawapan yang sesuai dengan nas Al-Quran dan hadith untuk menyakinkan orang ramai. Oleh sebab itu orang ramai memandang tinggi kepada mereka.

Di awal 90 an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana-mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang-kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti dan di politeknik malah beberapa pengacara televisyen dan radio pun sudah memakai tudung. Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, di panggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian. Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup dan hendak buka.

Akhlak dan tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat. Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan. Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan dan sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan untuk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat. Bila direnung-renung mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita-wanita yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung. Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik-beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung.

Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya. Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung. Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung. Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka.Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini sudah menurun. Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu.

Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan-jalan di taman bunga atau di tempat-tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung dengan wanita yang memakai tudung diperingkat awal dahulu. Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang dibuat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah. Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenar dan apa yang ada di dalam hati mereka akan diselongkar dan didedahkan oleh Allah di padang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia. Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat : " Ya Rasulullah Dengan apakah mencapai keselamatan kelak?" Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah." Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah?" Jawab baginda " Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."

Di samping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh Allah, wanita yang berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati. Dikala itu tudung bukan menjadi alat untuk menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa. Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan peredaran zaman.

Sementara yang mengamalkan syariat kerena pengaruh sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya. Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya.

Jesteru itu menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh ibadah. Di samping ada ilmu, amalan yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah bukan kerana yang lain dari itu. Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kita dan mempunyai kefahaman yang mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang ujian, betul di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.

Renung-renungkanlah wahai wanita yang berada di luar sana. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata...

sumber: www.tauladan.blogspot.com

pencarian hidup

Bolehkah dibiarkan Luncai dengan labu²nya? Bolehkah dibiarkan UIA dengan seni melampaunya?

Maaf, aku sedikit terangan kali ini. Bukan tujuan membuka pekung di dada [atau di pusat aktiviti keseniannya], tetapi membuka minda² pengunjung supaya tidak mati terperanjat dengan fenomena dinihari UIA.

Aku sangka sesi taaruf hari itu pemula sekaligus menjadi penyudahnya. Rupa²nya baru satu penanda bermulanya kegemilangan zaman gitar di UIA.

iiPAC, Jamuan Hari Raya Rektor, Cultural Week, dan kini... [Apa istimewanya semester ini hingga mampu mengubah sejarah?]

Sebagaimana empangan air mata ini tidak lagi dapat ditahan² daripada pecah menghamburkan isi hati yang kecewa melihat rakan² yang dipercayai memetik talian alat muzik itu, begitulah tergurisnya lapisan tebal harapan ini mengalirkan darah putih pucat ketika menyaksikan 'seni' ini yang tergambar nyata mendapat tempat untuk dianjurkan sebagai aktiviti bulanan mungkin.

Bukan sekadar itu. Bukan sekadar penambah perisa lagu² berunsur nasihat, motivasi atau dakwah, tapi... didendangkan bersama lagu² Simple Plan dan Hoobastank [kalau betullah ejaan untuk kumpulan yang mempopularkan lagu The Reason ini -- aku kurang arif akan lagu² yang penjadi pujaan kebanyakan remaja hari ini].

Mereka bertempik keseronokan hingga hilang rasa malu, sedang aku tunduk menahan sebak. Bukan aku tidak pernah didedahkan dengan acara sebegini. Bisa saja. Yalah, aku ni bukanlah baik sangat. Tapi harapan aku bukan di UIA. Bukan di tanah suci tapak untuk menuntut ilmu ini. Kerana cuma dan cuma di sinilah medium hijrah yang paling sesuai. Untuk menjadi hamba yang lebih baik baik daripada diri sendiri pada hari² semalam. Tapi kini...?

Penghuni UIA sendiri yang perlu menapis setiap acara yang dipersembahkan untuk diikuti. Bukan lagi pihak atasan, bukan lagi rektor atau dekan... Kerana acara ini, jika tidak disahkan oleh pentadbiran tanda 'halal'nya, mana mungkin ia dapat dihidangkan.

Islamikkah jika pelajar UIA melalak melaung di atas pentas dan pelajar UIA bersorak sakan di lantai dewan? Islamikkah jika pelajar UIA terkinja² di atas pentas dan pelajar UIA mengunjuk² jemari ke hadapan tanda menyokong?

Dan Islamikkah jika pelajar² lelaki yang perasan diri adalah perempuan berpakaian seperti perempuan seksi, menggelek gemalai mengikut rentak lagu tanpa ditahan mana² pihak? Terasa seolah² kewujudan mereka sebagai satu kumpulan diiktiraf halal tanpa diambil apa² tindakan? Dan ia berlaku di atas pentas? Yang pada masa yang sama program disaksi oleh orang luar, tua dan muda? Dari gadis² yang tidak bertudung ke pakcik² berkopiah kepala?

[Baru aku tahu untuk apa latihan demi latihan tarian diiringi lagu Puteri Gunung Ledang oleh kumpulan softlan ini diadakan saban hari -- ada saja setiap malam kala kaki ini ingin melangkah keluar bilik]

Orang luar datang, berharap menyaksikan kelainan akan 'Life Quest' UIA, akan kumpulan² muziknya, akan persembahan² teaternya... Tapi, di mana bezanya dengan konsert atau persembahan di luar sana?

Malulah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini!

"Sekurang²nya pelajar kita tidaklah keluar untuk mencari hiburan..."

Apa pendapat kalian dengan pernyataan yang pernah diajukan kepada saya ini?

P/S: Untuk julung² kalinya, aku meminta, jika bukan pentadbiran UIA, wahai SRC, lakukanlah sesuatu. Bantahlah apa yang perlu untuk mengekalkan 'keamanan' universiti kesayangan kita ini. Andalah suara siswa siswi, andalah suara pemimpin agama...