Friday, November 23, 2007

haji

Saya dan adik-adik bersama keluarga mak dan abah baru lepas menghantar mak dan abah ke lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah yang teletak kira-kira 13 km dari bandar Kuantan. Mereka akan menunaikan ibadah haji pada tahun ni.



Kami bertolak dari rumah pada jam 9.30 pagi. Sepanjang perjalanan, saya rasa kelainannya. Mak dan abah tak bersama kami dalam van kami sebaliknya jadi penumpang kereta Paman Jit. Yalah, orang yang dirai, perlu dapat layanan istimewa. Saya yang memang pendiam ni bertambahlah diam walaupun riuh suara adik-adik dan sepupu-sepupu kecil di tempat duduk belakang. Saya sebak.

Jam 10 pagi, ketika semua jemaah haji dari Kuantan berhimpun, seorang ustaz melaungkan azan dan membacakan doa. Saya yang memang dah sebak, mengelak untuk menghayati doa. Teringin rasanya untuk keluar dari tempat itu dan menangis sepuasnya.

Kenapa ya? Saya memang jenis yang mudah sebak terutama apabila diberi tazkirah walau dalam kelas matapelajaran agama. Juga apabila diperdengar doa yang berkaitan. Semasa kami meraikan hari lahir saya, Ayuni dan Aliah bulan 10 lepas pun begitu. Abah bacakan doa murah rezeki. Panjang. Kalau dihayati, pasti pecah takung air mata.

Tak boleh. Saya anak sulung, kena kuat. Jika adik-adik tak menangis, mana mungkin saya. Walaupun mereka bertiga masih kecil dan tak mengerti banyak hal.

Kami salam abah. Saya kucup pipi mak. Khabarnya, cuaca di Madinah dingin. Siang 15 darjah Celcius, malamnya pula 5 darjah Celcius. Harap mereka dikurnia kudrat yang secukupya untuk menyempurnakan ibadah haji ni.

Petang ni lepas solat Jumaat, kami semua akan bertolak pulang ke kampung. Kami adik-beradik tak dibenar tinggal di rumah, walaupun mak dan abah percaya kami mampu urus hidup sendiri. Fahmi akan pulang sendiri ke Segamat, dengan bas mungkin, selepas tamat SPM. Fitri pula akan pulang terus dari Shah Alam ke Segamat untuk Hari Raya Aidiladha nanti.

Moga Fahmi dapat 1A dalam 12 mata pelajaran yang diambil seperti yang diharapkan oleh pihak sekolah dan kami sendiri. Itu akan jadi salah satu yang sangat bermakna untuk dirai. Prostaz pertama keluarga.

Tak sabar untuk kumpul kembali semua ahli keluarga. Meraikan kejayaan bersama.

Dan, saya mungkin tak akan online sepanjang sebulan selepas ini sebelum sekolah bermula. Kena jadi penjaga adik-adik, semasa cuti dan juga menguruskan pendaftaran adik-adik di sekolah nanti. Doakan semuanya selamat.

Thursday, November 22, 2007

Mobile Money

Saya baru saja mendaftarkan diri sebagai seorang ejen Mobile Money. Mobile Money ialah satu syarikat yang menyediakan perkhidmatan membeli topup dan membayar bil menggunakan SMS. Topup termasuk semua syarikat telekomunikasi yang ada di Malaysia iaitu Maxis, Digi dan Celcom. Tak ketinggalan, boleh juga beli iTalk Mobile dengannya. Bil yang boleh dibayar pula termasuklah bil TNB, air, telefon bimbit, talian tetap TM, ASTRO, kereta, rumah dan kad kredit.

Percaya tak yang kita boleh membeli topup handphone dengan hanya misscall ke nombor fixed line Mobile Money? Ya, Mobile Money boleh melakukannya! ;)

Dari segi operasi Mobile Money, selepas mendaftar, kita boleh terus menyimpan modal ke dalam 'wallet' yang diletakkan di dalam CIMB Trust. CIMB Trust ni bukan unit trust, tapi satu tabung yang Mobile Money minta CIMB wujudkan khusus untuk ahli-ahlinya.

Modal kita ada dalam simpanan bank. Jadi, jangan takut jika syarikat lingkup atau handphone kita kena curi.

Jumlah wang yang ada dalam 'wallet' itu ialah jumlah yang boleh kita guna untuk request topup dan bayar bil. Cara nak masukkan wang modal itu ialah dengan pertama sekali mendaftar nombor akaun CIMB kita di ATM untuk dilinkkan dengan 'wallet'. Selepas daftar, guna saja SMS untuk masukkan berapa saja nilai wang yang ada dalam akaun CIMB itu ke dalam 'wallet'.

Tak ada akaun CIMB? Tak ada masalah. Selain CIMB, ada lagi 3 bank lain setakat ni yang dah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Mobile Money iaitu Maybank, RHB dan Hong Leong. Kalau ada kad kredit Hong Leong, boleh SMS gateway Mobile Money untuk transfer nilai dari akaun Hong Leong kepada 'wallet'.

Untuk yang belum bekerja atau tak bercadang untuk memiliki kad kredit, macam saya, kita boleh buat 3rd party transfer dari dua lagi akaun lain iaitu Maybank atau RHB. Tak ada kedua-dua akaun tu? Tak ada masalah. Boleh juga buat cash deposit transfer ke akaun Maybank atau RHB Mobile Money. Dari mana-mana bank pun, wang modal kalian akan tetap dipindahkan ke CIMB trust.

Kesimpulannya, kalau tak ada akaun bank tu boleh sertai program ni. Akaun bank tu hanya berguna apabila kalian nak keluarkan wang dari 'wallet' ke bank. Ya, pada bila-bila masa ;)

Mobile Money bukan Multi-Level Marketing [MLM]. Jadi, untuk yang ada ideologi negatif pada MLM, ini satu peluang bisnes yang tak patut dilepaskan. Tapi, Mobile Money guna sistem MLM untuk ahlinya dapat komisen dan bonus laju sikit. Taklah dapat untung runcit melalui penjualan prepaid macam di kedai-kedai.

Guna sistem MLM, tapi bukan MLM. Apa maksudya? Dah guna MLM itu maknanya sistem MLM lah!

Tu soalan saya pada orang yang mempromosikan pada saya dulu. Tapi dia terangkan, MLM terikat dengan Akta Jualan Langsung, tapi Mobile Money berdaftar dengan Bank Negara. Akta Jualan Langsung mewajibkan orang nak nak sertai berusia 18 tahun dan ke atas. Tapi, sebab Mobile Money ni bukan MLM, sesiapa saja boleh sertai.

Sekarang, yang ramai guna prepaid ialah budak-budak sekolah rendah sampai sekolah menengah. Yang di universiti dah di tengah-tengah. Dah ada yang guna line. Jadi, kalau sertai program jual prepaid yang MLM, market tak luas. Setakat 18 tahun ke atas cuma sedikit jika dibandingkan dengan usia budak sekolah rendah sampai menengah.

Mereka yang selalu topup mesti nak sertai. Sebab, kalau beli prepaid dengan Mobile Money, dapat komisen pada setiap pembelian.

Untuk pengetahuan semua, Mobile Money bukanlah syarikat pemborong, pengedar atau peruncit prepaid. Mobile Money cuma pengantara yang memudahkan urusan jual beli antara kita dengan syarikat-syarikat telekomunikasi itu. Mobile Money tak ambil sesen pun dari pembelian prepaid kita daripada Maxis, Celcom atau Digi. Kiranya dapat untung bersihlah. Ni senarai komisen yang kita dapat dari nilai topup prepaid yang dibeli melalui Mobile Money.

Maxis dan Celcom 2.75%
Digi 1.375%
iTalk Mobile 12.5%


Nilai ini boleh berubah bergantung pada syarikat-syarikat itu sendiri. Tapi setakat ini, inilah yang saya dapat melalui setiap pembelian.

Tahukah kalian yang menggunakan Maxis, selain nilai topup RM10, RM30 dan RM60, kalian boleh juga buat eReload dengan jumlah minimum topup RM5? Ya, tak payah ke kedai! Boleh buat sendiri!

Berapa yang anda perlu bayar untuk software yang menjimatkan masa tanpa perlu ke kedai dan pejabat pos ini? RM100? RM1000?

Cuma RM10. Dan anda telah pun miliki kedai topup dan pejabat pos mini. Boleh topup sendiri, boleh bayar bil hanya dengan SMS ;)

Macam mana dengan sistem MLM yang digunakan? Aa, yang tu kena tanya saya personally. Ada cerita yang sangat menarik. Jika kalian berminat nak guna teknologi selepas Maybank2u ini untuk kemudahan diri sendiri, baru kita bual pasal bisnes lanjutan yang boleh dilakukan dengan Mobile Money, selain jadi kedaai topup ;)

Hubungi saya di amira_ruzaidi[at]yahoo[dot]com atau ym kimura_16.

Rujuk sini untuk penerangan lanjut mengenai Mobile Money.

Wednesday, November 21, 2007

tak yah la guna colgate...



Saya amat terkejut apabila mendapat info bahawa ubat gigi dari China dikatakan beracun. Bahan – bahan kimia yang beracun dan merbahaya terdapat didalam ubat gigi keluaran China.

Bahan tersebut telah diharamkan di USA dan negara Eropah tapi telah dilambakkan di negara kita yang baru je 50 tahun merdeka. Di pasaran jika kita lihat bagaimana ubat gigi keluaran China seperti Colgate kayu sugi dijual dengan harga yang begitu murah. Di sini dapat dilihat strategi serta pakatan halus untuk menipu pengguna di negara ini dengan mengaburi orang ramai supaya terpedaya dengan iklan kayu sugi ‘Mustapa Maarof’.

Ramai yang terkena bila nampak harga murah tapi tak sedar bahaya bahan beracun dari ubat gigi dari China seperti Colgate dan Darlie. Periksa kandungan serta label dibelakang pengeluar dan pengilang ubat gigi anda jangan beli yang dari China macam Colgate dan Darlie.

Saya juga ada maklumat untuk dikongsi bersama melalui laman web ini: Poisonous Toothpaste Discovered In Chicago Stores.

Harap semua pihak terlibat dalam perkara ini berbuat sesuatu.


Dari laman web rasmi PPIM.

Saya dah lama boikot Colgate. Sejak masa mula-mula ada kontroversi dulu lagi. Banyak lagi alternatif lain yang dijamin halal dan selamat. Mukmin dan Safi kan ada? Kalian macam mana?

Monday, November 19, 2007

eznet

Sebelum pulang ke rumah, saya dah berkira-kira untuk online di pejabat mak saja atas apa jua urusan di alam maya. Uish, kalau tak ada internet, memang tak produktif langsung rasanya. Kalau tak buat kerja rumah, melepek saja.

Alhamdulillah, semalam, saya nampak solusinya. Saya tak tahu kalian pernah dengan pasal EZnet 1315 atau tak.

EZnet 1315 ialah perkhidmatan Internet sedia ada untuk pelanggan talian tetap TM seluruh Malaysia. Cuma sambungkan talian telefon untuk melayari Internet. Tidak perlu mendaftar atau membayar caj bulanan tambahan. Anda hanya perlu membayar apa yang digunakan, dengan hanya caj 4 sen seminit.

Tu, ayat iklan.

Saya pun tak pasti dah berapa lama teknologi ni ada. Tapi macam dah lama, tapi sebelum terdesak ni tak berapa nak ambil tahu. Yalah, UIA syurga internet. Dari 8 pagi sampai 11 malam hari bekerja, internet, percuma!

Jadi, untuk sesiapa yang tak ada Streamyx [atau yang tak mampu nak biayai macam saya] atau tak ada juga TMNet, Jaring, Broadband Maxis dan sebagainya, jangan risau. Asal ada telefon talian tetap, sambungkan wayar pada komputer, dail 1315, tak perlu username dan password. Tadaa! Dunia di hadapan kalian! ;)

Sunday, November 18, 2007

award presentation

Ahad terakhir saya di UIA, saya mengomel-ngomel sendiri. Mak abah dan adik-adik datang ke UIA, tapi saya tak dapat ikut mereka pulang ke Kuantan sekali sebab Selasa lalu saya ada FYP Award Presentation kepada orang luar sebagai juri profesional.

Sudahlah tak dapat pulang sekali dengan mereka, kena naik bas lagi. Ingatkan dah tak ada lagi kisah naik bas KL-Kuantan selepas pulang kali terakhir untuk Hari Graduasi Fahmi di SBP Integrasi Indera Mahkota.

Pula tu, kena tambah tekanan dengan persiapan untuk membentangkan sekali lagi projek FYP kami. Saya ni bab-bab presentation memang tak suka. Saya tak suka bercakap. Saya boleh bercakap. Tapi dengan menulis. Nak dipersembahkan kepada orang luar pula tu. Kena jaga standard pelajar Sains Komputer UIA.

Along seperti biasa jadi pembakar semangat. Walau tak jadi sepenuhnya ikhlas, tapi at least saya dah tak merungut-rungut. Along kata, "Mungkin ada hikmahnya. Penulis kena berminda positif. Lepas present nanti boleh balik, tak balik-balik sini lagi."

Selepas Ahad, saya hadapi hari-hari dengan separuh hati. Tak sabar rasanya nak sudahkan semua dan pulang ke rumah untuk selama-lamanya. Hari Selasa present, malam sebelumnya baru buat slide Power Point.

Pada hari pembentangan, melihatkan persembahan projek-projek hebat sahabat-sahabat lain, saya dan partner, Do Chamilah makin tawar hati. Mereka dalam bidang networking dan embedded system yang payah nak faham, padahal kami cuma buat software, yang memang sangat mudah nak faham. Kami memang tak harap apa-apa daripada pembentangan itu.

Pembentangan kami sangat ringkas. Dan jadi satu-satunya kumpulan yang tak perlu bergerak ke mana-mana untuk tujuan demo. Sebab 'barang' kami cuma dalam komputer. Soalan yang diaju agak mudah dijawab. Skop kami tak besar. Cuma kena tahu pasal VB6, Boolean Algebra, Truth Table dan Digital Gates Circuit.

Lepas bentang, kami bergerak ke tempat duduk dengan rasa lega teramat. Semasa diumumkan pemenang tempat ketiga, kami dah bersandar di kerusi, menantikan sahabat-sahabat ambil plaque yang disampaikan oleh Dr Maziah.

Tapi tanpa disangka,

"The first runner up... BOOLEAN ALGEBRA TOOLKIT!"

Sebutan nama yang sangat familiar tu buat saya tersentak dari lamunan 'nak balik'. "Bro Rizal panggil kami ke?" tertanya-tanya dalam hati. Yang lain semua dah buat muka takjub. Seperti tak ada yang sangka kami akan dapat antara 3 nombor tertinggi tu.

Sepanjang nak berjalan ke depan, saya rasa macam dalam mimpi. "Tipulah!" berulang kali dalam hati. Rasa gembira dan teruja. Tapi dalam masa yang sama kehairanan. Juga simpati dengan sahabat-sahabat lain yang bekerja lebih teruk daripada kami sepanjang semester.

"We have to ask the examiners how they marked us."

"Yea, it's like in dream. I can't believe it."

"We have defeated Robot and Smart Home??!"


Itu antara kata-kata saya dengan Chamilah. Sambil sahabat-sahabat lain ucap tahniah, saya rasa kurang senang. Kami tak layak untuk menang. Tapi kenapa...?

Mungkin benarlah kata AbdulRahman [ya, CEO syarikat EOP saya]. Masa present, jangan terangkan pasal teknikal sangat. Tapi tumpu macam mana nak pasarkan produk kami. Sebab orang industri ni, yang pentingnya macam mana kita boleh jual produk. Mereka bukan nak tahu sangat macam mana produk tu dibuat. Tapi nak lihat hasil akhirnya.

Saya gembira juga. Hari pembentangan ni dah tersenarai dalam 'benda yang saya dapat dengan mudah' atau 'nasib saya memang baik'. Saya dah ulang semula kejayaan Pesta Type III di MRSM dulu...

Apa-apa pun, terima kasih untuk semua yang membantu, secara langsung atau tidak. Dan, terima kasih TUHAN. Hikmah atas ujianMU ini sangat jelas.

Tahniah Sidek, Najma, Malik dan Muiz.

Kawan-kawan semua, kita jumpa lagi pada hari graduasi nanti!

[Sebab keterujaan dapat tempat kedua keseluruhan FYP, saya berjaya habiskan jualan buku Akrab dengan Tuhan di dalam conference room itu juga. Tak sempat nak bawa pulang untuk dijual di rumah. Indahnya rahmat ujian!]

Baca sini: best computer science fyp awards

Friday, November 09, 2007

dah tamat...

Saya hampir menamatkan hari-hari terakhir saya di sini, UIA. [Yeay!] Saya tak akan lagi bergelar pelajar, sekurang-kurangnya pelajar yang belajar secara formal. Dan tak ada lagi dalam perancangan untuk sambung belajar.

Saya berhajat untuk bekerja dengan kerajaan, dan setakat ni ramai yang menyokong. Kerja kerajaan gaji dah tinggi dan ada banyak kemudahan. Jadi, kenapa perlu bersusah-payah?

Saya tahu. Kalian akan.. "Huh?!"

Ya, ada program lain yang akan berlangsung disamping kerja 'formal' yang akan saya buat lepas ni. Saya tak betah nak bangunkan syarikat orang. Baik saya tolong kerajaan dan negara. Ada juga sesuatu yang disumbangkan. Sambil-sambil tu, rancang untuk jadi bos pada syarikat sendiri ;)

Saya belum pun terpanggil untuk sebarang interview. Malah, saya ditahan selama sebulan untuk duduk di rumah. Mak abah saya sporting ya? Tak, saya kena jaga adik-adik yang masih kecil sementara mereka pergi menunaikan rukun Islam kelima 23 November ini.

Saya akan terus dengan 'hobi' saya. Kita lihat saja nanti kemampuan saya bekerja sambil berhobi. Pasti seronok ;)

Oh, ya. Itu jawapan saya untuk persoalan kehidupan bekerja pejabat yang membosankan untuk sahabat-sahabat yang dah pun mulakan kerjanya.

Ya, teruskan dengan hobi kalian! Teruskan dengan perkara atau aktiviti yang selalu kalian lakukan waktu belajar! Jangan hilangkan keseronokan hidup!

My plan seems to be rather simple and general. But I kinda like it.

Dulu, saya ni jenis yang suka menanti saja apa yang hidup bakal tentukan untuk saya. Tak nampak cita-cita dan arah tuju. Tapi sekarang, saya memilih untuk menanti jika ada sebarang plan yang saya suka, dan saya akan teruskan dengan plan tu. Tentunya yang ada kaitan dengan:

Menulis, internet, nasyid dan BISNES!

Haha, saya sangat suka dengan ide Pakdi yang disumbangkan dan yang saya gunakan sekian lama. BUAT DUIT DENGAN HOBI SENDIRI!

Kalian ada projek untuk saya?

Monday, November 05, 2007

nasyid VS lagu ketuhanan

2 minggu lepas, Rabbani telah ditemubual oleh terjah Melodi. Melodi kata, ramai yang keliru antara nasyid dengan lagu berbentuk ketuhanan. Macam dalam Anugerah ERA baru-baru ni yang mencalonkan Mawi dan Radja bersama mereka dalam ketegori Anugerah Lagu Nasyid Pilihan. Jadi Melodi tanya Rabbani, apa pendapat mereka?

Yang saya ingat, Rabbani kata kalau nak buat lagu tentang ketuhanan, semua orang boleh buat, sesiapapun boleh nyanyi. Tapi yang penting, penjiwaannya. Jika mereka benar-benar menghayati apa yang mereka sampaikan, ia akan terpancar juga melalui perwatakan dan cara pemakaiannya.

Mereka tak kata mereka contoh penasyid yang terbaik. Tapi bagi mereka, penasyid ada identiti dan ciri-cirinya yang tersendiri. Tapi untuk anugerah yang semacam ini, terpulanglah kepada penganjur untuk menetapkan.

Nasyid sememangnya kurang mendapat tempat dalam industri muzik tempatan. Walaupun pendengarnya adalah yang paling ramai jika dibandingkan dengan genre muzik yang lain. Dengan adanya kekeliruan antara genre asli nasyid macam ni, dicampur dengan genre lain yang membawa konsep ketuhanan, ruang untuk penasyid menonjol semakin kurang.

Jika nak diikutkan, Sifu M. Nasir juga banyak membawakan tema ketuhanan. Beliau sifu. Jika dapat dikategorikan dalam lagu nasyid, lagilah nasyid yang sebenarnya terkebelakang. Begitu juga dengan Ramli Sarip yang lagu ketuhanannya memang tak terlawan oleh orang lain. Memang boleh menitis air mata. Tapi kenapa beliau tak dikenali sebagai penasyid?



Ini masalah kekeliruan yang belum dapat difahami orang kebanyakan walaupun saya sendiri. Puncanya mungkin daripada bekas penasyid sendiri.

Apa yang penasyid bawakan itu sesuatu yang mulia. Tentang Islam. Jadi, mereka yang dah keluar dari landasan nasyid bukan mudah untuk dihilangkan titlenya. Seolah-olah, turun pangkat. Dari sesuatu yang molek kepada yang agak bercampur. Dari situ kekeliruan timbul.

Jika kita kekal dengan identiti penasyid yang asal seperti Raihan dan Rabbani, ciri-ciri utamanya ialah mereka berkumpulan, pakai songkok atau kopiah dan menggunakan alat muzik tradisional seperti kompang dan perkusi. Bagi saya, itu ciri-ciri asalnya.

Dari segi alat muzik, penasyid kita dah alami satu revolusi, kepada yang lebih bebas. Saya tak mahu komen yang ini, sebab saya bukanlah yang arif. Tapi bagi saya, asal ia tak melalaikan dan mesej dalam liriknya masih tersampai, tak mengapa.

Kumpulan atau solo juga sudah bukan persoalan. Sejak Amar atau nama sebenar beliau Arif Muazim Abdul Rahman, bekas ahli kumpulan nasyid Sabda jadi penasyid solo yang pertama Malaysia [betulkan saya jika saya silap] dan masih mengekalkan ciri-ciri nasyidnya, persembahan secara individual masih dapat diterima.



Namun, walaupun Hafiz Hamidon, bekas ahli kumpulan nasyid UNIC dalam situasi yang sama, saya tak dapat lagi melabelkan beliau sebagai artis nasyid disebabkan penampilan dan lagu-lagu yang dibawa beliau. Apatah lagi Faizal Tahir [ex-Mirwana]. Akbar [ex-Brothers]? Mungkin tidak..

[Tonton klip video terbaru Hafiz]

Tapi, songkok, kopiah, atau sebarang jenis penutup kepala seperti yang dipakai oleh kumpulan Nowseeheart dan Mirwana masih jadi trademark utama nasyid. Jika itu pun tertinggal, maka, saya tak tahu lagi apakah dia ciri sebenar artis atau sebuah kumpulan nasyid.



Seperti kata Asri Rabbani, jika seorang penyanyi nasyid benar-benar menghayati mesej yang dibawanya, kata ia akan terpancar pada cara pemakaiannya. Mungkin maksud pemakaiannya itu, salah satunya ialah dengan memakai penutup kepala.

Seseorang yang benar-benar mencintai Tuhan dan Rasulnya akan cuba sedaya upaya mengikut apa yang diperintahkan Tuhan dan apa yang diamalkan Nabi. Memakai penutup kepala itu ialah sunnah Nabi. Ia bukan wajib, tapi bukankah di situ saja kita nampak siapa yang benar-benar mahu menasyid? Yang benar-benar mahu menyampaikan?

Mungkinkah nanti hanya mereka yang pernah menjadi artis nasyid yang akan dikenali sebagai artis nasyid? Adakah kehadiran kumpulan baru yang juga mahu dikenali berada dalam arena ini sudah tak dapat label itu lagi?

Atau adakah semua yang membawa lagu berbentuk ketuhanan akan dikenali sebagai penasyid? Alangkah hodohnya jika Radja itu dikenali sebagai penasyid! Maafkan saya, tapi saya benar-benar tak suka jika ia terjadi.

ISLAM boleh jadi MLM

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas dua minggu lepas, saya terfikirkan sesuatu apabila terpandang seorang lelaki Cina tua yang sedang makan sepotong buah betik.

Cerita ni tak ada kena mengena dengan apa yang beliau makan. Tapi bila terpandangkan sesiapa dalam usia emas, hadir rasa simpati dalam diri. Kasihan, sudah berusia, kudrat makin kurang. Tapi masih perlu banyak melangsaikan hal dunia untuk keluarga.

Jika sepanjang usia mereka beramal jariah, mereka menolong orang, menderma dan buat lain-lain perkara baik, adakah amalan itu diterima?

Tidak, sebab mereka tak beriman!

Jadi, ke manakah halanya mereka selepas di dunia ini?

Adakah mereka yang sepenuhnya silap dengan pilihan ini?

Bagaimana dengan kita? Adakah kita akan terlepas dari segala tanggungjawab?

Mengapa kita tak mempromosi ISLAM sebagaimana ralitnya kita mempromosi produk MLM yang kita sertai?

Mengapa tak kita kuasai ilmu berkaitan ISLAM itu sebagaimana kita sedaya upaya menguasai maklumat mengenai produk yang kita promosikan dengan harapan yang mendengar akan membeli?


Saya cuba membayangkan situasi jika ia berlaku.

Wah, sudah tentu dunia ini dipenuhi dengan umat Muhammad yang beriman!



MLM itu ada pelbagai. Yang menyertainya pula bukan semua orang dan bukan juga kebanyakan orang. Tapi lihatlah bagaimana kukuh dan gahnya bangunan HQ syarikat MLM yang ahlinya bersungguh-sungguh buat kerja?

Islam, satu nama bagi agama yang agung. Islam juga adalah agama yang paling pesat perkembangan pengaruhnya. Walau sepesat mana, tanpa usaha, ia akan jadi cuma nama. Tapi adakah kita nampak usaha itu di sekeliling kita? Dapatkah kita lihat orang Islam yang duduk dalam bas bersama dengan seorang yang bukan Islam menerangkan mengenai Islam sepanjang perjalanan mereka?

Kita sedia maklum dengan nama-nama seperti HPA, Luxor, Healin, Sureco, Mymode dan sebagainya. Yang sertai sudah tentu merasai hasil pulangannya. Tapi kenapa tak semua orang yang mendengar itu sertai dan buat kerja yang sama? Apalagi dengan mereka yang tak pernah dengar pun mengenai program-program itu?

Dalam isu Islam, kebarangkalian kedua iaitu mereka yang tak pernah dengar pasal Islam mungkin boleh diabaikan. It's a big word. Tinggal lagi yang nak ambil tahu mengenainya.

Jika tak ada yang mempromosi dan menerangkan dengan mendalam, siapa yang nak ambil pusing pun? Saya pun, jika tak ada orang terangkan dengan lengkap kelebihan sertai MyMode, takkan saya nak sertai walau pernah dengar mengenainya?

Takkan semua nak tunggu Tuhan yang buat kerja? Kitakan wakilNYA di bumi?

Tahukah kita, amalan kita yang dilihat dan dicontohi orang itu, balasannya dalam bentuk 'MLM' juga?


Hah, nak pendapatan berterusan? Dengan sebarkan ilmu mengenai Islam, kita akan dapat dapat pahala berterusan. Selagi 'downline' kita menggunakan ilmu itu, selagi itu kita akan dapat hasilnya. Selagi 'downline' kita menyebarkan pula ilmu itu kepada orang lain dan orang itu menggunakannya, kita masih dapat hasil.

Tak ke selamat kita di akhirat nanti dengan tuaian hasil pahala yang terkumpul?

Jadikanlah ISLAM sebagai produk kita orang ISLAM.

bisnes dengan minat

Bisnes ialah satu pekerjaan. Jika ditambah dengan minat dan kesungguhan, ia boleh jadi satu kerjaya.

Bila bisnes dilakukan tanpa minat, ia takkan ke mana.

Ada yang nak bisnes sebab nak duit banyak dalam masa singkat. Contohnya, beliau pilih MLM antarabangsa dengan produk luar negara. Jika produk laku, memang boleh dapat hasil yang banyak. Tapi dalam nak menjadikan produk MLM tu laku [tak boleh guna kata terbitan 'melakukan' di sini], kena ambil berat beberapa aspek pula.

Beliau duduk di kampung. Tapi di kampung ni pun ada akses internet juga. Sebab tu beliau boleh tahu pasal MLM ni. MLM ni menawarkan komisen dan bonus yang tinggi. Sesuailah dengan taraf antarabangsanya.

Tapi, harga produk itu juga mestilah tinggi. Sesuai juga dengan taraf antarabangsanya. Produknya pula produk kesihatan. Siapa yang kebanyakan masa sihat tu jarang perlukan. Lagi pula harganya mahal. Bukan kata orang kampung ni tak mampu nak beli. Kebanyakan orang kampung ni lebih kaya daripada orang bandar. Tapi mereka ni jenis yang berjimat cermat. Bijak bezakan yang perlu dan yang mahu.



Jika MLM itu jual barangan harian pula, kita ada produk MLM tempatan yang sama kualiti tapi harganya yang jauh lebih murah. Nama produk itu juga dah tersohor satu Malaysia. Jikal mereka jual kopi, Radix HPA, siapa tak kenal? Apa alasannya untuk bakal pengguna menggunakan produk antarabangsa tu?

Jadi, orang boleh nampak, tujuan beliau sertai program MLM antarabangsa tu cuma untuk peluang mendapatkan lebih wang.

Tapi, perlu diingat, tanpa pasaran, wang takkan ada.

Jadi, percayalah yang orang akan utamakan barangan buatan Malaysia dibandingkan dengan produk antarabangsa yang tak dikenali, tak ada jaminan kehalalannya dan mahal. Biar kecil asal berhasil kata Chef Li.

Ada pula kes yang nak join bisnes [MLM setepatnya] sebab nak balas budi. Yalah, memang fitrah MLM, pendaftaran kita akan beri bonus pada upline.

Tapi jika yang nak membalas budi itu tak minat, beliau takkan menjual. Apatah lagi nak menaja. Bila tak menjual, payah nak kekalkan poin. Bila tak kekalkan poin, pendaftaran akan digantung atau tak ada bonus lagi. Setakat mana budi yang boleh dibalas? Dengan pendaftaran saja? Bagi saja jumlah wang tu kepada dia. Habis cerita.

Saya tak tahu pendapat orang lain, tapi bak kata Along, setiap yang kita lakukan, lakukan dengan bersungguh-sungguh. Bagi saya, nak jadi bersungguh-sungguh, perlu disertai dengan minat.

Sekadar ulasan ringkas dari yang berlaku di sekeliling. Ada pendapat lain mungkin?

Friday, November 02, 2007

ah,kena TAG!

Aduhai, saya dah kena tag pula. Walaupun tak suka nak buka pekung, tapi rasa nak menghargai juga orang yang ingat pada saya [baca: orang yang ingat nak TAG saya]. Terima kasih Ana :)

Sebenarnya, dalam entri awal-awal dulu, mungkin masih ada dalam blog ini atau dalam blog sebelum ini di Upsaid.com], menceritakan perihal diri adalah niche utama saya. Saya bercerita seolah-olah bercerita dengan diari. Saya tulis saja apa yang saya suka.

Tapi, bila saya dah sedar yang pembaca 'diari' saya bukan saya seorang atau bukan juga hanya pembaca rawak blog-jumpers, saya kena 'mahalkan' semula diri. Takkan nak cerita semua tentang diri pada orang sebarangan, kan?

Apa-apapun, kalian nilailah sendiri bagaimana isinya untuk entri yang satu ni :)

Baik, 8 perkara yang tak ramai orang tahu pasal saya:


1. Suka main permainan komputer, tapi tak suka 'lawan' dengan komputer dan tak suka permainan RPG.

Saya tak suka 'lawan' dengan komputer walaupun komputer ialah sebaik-baik lawan untuk kita tingkatkan kemahiran dan kecekapan dalam main permainan komputer. Tapi saya jenis yang berdebar bila tahu sedang lawan dengan yang lagi terrer. Selalunya main dengan adik-adik saja. Tapi ada masanya kalah juga.

Kalau main permainan berbentuk puzzle atau yang perlu berfikir, janganlah cabar Fahmi dan Amir. Mereka memang handal. Kalau permainan lawan-lawan yang perlu banyak gabungan kekunci atau guna cheat, susah nak tandingi Fitri. Sebab dia ni rajin surf internet untuk teknik paling bagus.

Dan mereka, boleh tahan main permainan RPG yang ambil masa yang lama malah berhari-hari untuk sudahkan. Kalau saya, memang dah bosan.



2. Saya tak suka bertanding dengan lawan yang 'nampak'.

Saya memang bukan orang sukan. Saya tak suka bertanding. Tapi saya selalunya ada kebarangkalian yang tinggi untuk menang bila sertai sebarang peraduan. Masa kecil dahulu, saya selalu juga dapat hadiah dari majalah-majalah dan komik-komik untuk pertandingan mewarna. Antaranya Bambino, Mingguan Kanak-kanan [warna gambar Cybercop] dan komik Kawan [warna seorang superhero Kawan ni. Siapa entah namanya].

Pada pertandingan Pesta Type III di MRSM dulu, dalam berserabutnya kumpulan di bawah pengurusan saya [entah macam mana boleh dilantik sebagai ketua], kami dengan tajuk tesis 'Bawang Putih.. Satu Penerokaan' boleh dapat tempat ketiga kategori Kajian Umum. Rasa macam tak percaya naik ke pentas ambil sijil kemenangan.

Saya juga dengan tak sangkanya boleh menang tempat pertama kuiz Maal Hijrah anjuran.. err.. persatuan mana ya? Saya tak ingat. Mungkin QYC. Pada dua semester lepas kalau tak silap. Dapat hamper biasa-biasa saja. Tak banyak beza dengan yang dapat tempat kedua atau ketiga. Tapi yang tak sangka tu, slogan Hijrah yang saya rangka dalam masa tak sampai 2 minit boleh dapat tempat pertama!

Saya ni jenis yang kalau ada pesaing, terutamanya jika pesaing itu cuma seorang, saya cenderung untuk tarik diri atau menyerah kalah. Itu memang saya.

Saya akui, dalam banyak hal kehidupan, saya memang bertuah dan selalu bernasib baik walaupun dalam banyak banyak pertandingan, saya sertai suka-suka saja dan tak ada niat untuk menang. Alhamdulillah.


3. Saya tak pernah pegang jawatan tinggi dalam sekolah sejak darjah 1 hingga Tingkatan 5

Ini kalian boleh teka sendiri agaknya. Saya tak pernah jadi pengawas waima pengawas pusat sumber atau pembimbing rakan sebaya yang boleh pakai baju lain daripada orang lain.

Di MRSM pun sama. Saya bukan Badan Wakil Pelajar [BWP], Lembaga Disiplin Pelajar [LDP], Jemaah Dakwah Islamiah [JDI], English Motivational Committee [EMC] atau Pembimbing Rakan Sebaya [PRS].

Sampai ke UIA sekarang ni. [Atau ada antara anda boleh namakan walau satu?]

Kenapa ya? Ke poin yang seterusnya.


4. Saya tak suka jadi tumpuan khalayak.

Biasalah. Jika dah nama 'introvert', memang beginilah sifat-sifatnya. Saya pendiam [rasanya yang ini, akan ada yang nak menidakkan. Boleh ke poin 5] dan saya tak suka jadi tumpuan. Dalam banyak hal, saya lebih suka berada di 'belakang tabir'.



[Buat ke poin ke poin ni dah macam buat algorithm atau use case la pulak]


5. Saya hanya ramah dengan yang saya selesa dan betul-betul rapat.

Sebenarnya, dari masa ke masa, saya cuba nak kurangkan testimoni orang yang mengatakan saya ni pendiam. Tapi setakat ni cuma boleh pilih-pilih orang. Ada juga penulis testimoni di Friendster yang akui saya ni pendiam. Tapi ada satu-satu masa saya akan bercakap lebih dari dia.

Tapi kesimpulannya, jika nak dengar suara saya, kalian kenalah tegur dulu :p

Hanya keluarga saya saja yang tahu betapa 'pendiam'nya saya.


6. Saya suka ada networking atau line dengan orang ternama.

Sejak masuk ke UIA ni, saya dapat banyak sangat peluang untuk berkenalan dengan mereka yang ada nama. Memanglah semua orang ada nama, tapi maksud saya, orang yang dikenali ramai. Atau bahasa mudahnya 'glamer'.

Nabi kata, jika kita buat sesuatu dengan niat tertentu, maka kita akan dapat apa yang diniatkan. Dah jadi salah satu sebab saya nak ke UIA pun sebab tahu di sini tempat lahirnya kebanyakan artis nasyid. Saya pun mula minat nasyid sewaktu di MRSM. Tingkatan 4. Sebelum tu Hindustan dan omputih je. Sebab minat tu, saya masuk UIA. Tanpa terdedah pada info pasal universiti-universiti lain. Bias betul.

Maka, kenallah saya dengan mereka. Dan sekarang, bila bertemu mereka, taklah rasa takjub macam jumpa Wardina Safiya di Ampang Poin semalam bersama suaminya [iklan]. Masih pandang tinggi pada mereka, tapi taklah terkesima sangat :p

Bila di UIA ni pula, saya suka bila dapat berkenalan dengan orang penting UIA [SRC saja. Taskforce tak termasuk. Kak Zeti, saya tak cakap pasal akak, tapi takut ada seorang dua ahli Taskforce yang terasa bangga lak].

Rasa kebanggaan tu termasuklah bila dapat Ustaz Maszlee Malik sebagai pensyarah kelas dan dapat Ustaz Zawawi Yusoh sebagai mentor untuk buku 'Akrab dengan Tuhan'.


7. Saya ni jenis konvensional. Susah nak keluar dari sesuatu kebiasaan.

Bila dah habis sekolah rendah, mesti sedih nak ke sekolah menengah pula. Bila dapat tawaran ke MRSM Kuantan, berat hati nak tinggalkan sekolah Panglima Perang. Padahal saya dapat peluang yang baik dan tak ramai yang dapat. Lama jugalah baru dapat sesuaikan diri hidup berasrama [jangan salah baca].

Dari matrik UIA, nak pindah ke Gombak pun sama, banyak sangat ngomelnya. Kelas jauhlah, tak macam kat matrik dulu, 5 minit sebelum kelas baru keluar pun boleh sampai on time. Dulu, tv ada di setiap aras kolej. Di sini kena ke blok lain nak tonton tv. Padahal, tak mati pun tak dapat tengok tv.

Nak keluar dari jurusan Sains Fizik ke ICT pun bimbang sangat susah nak dapat kawan. Macam tu juga bila nak khususkan ke Sains Komputer [CS], sebab masa tu, kebanyakan kawan rapat semua ambil Sains Maklumat [IS]. Semuanya bimbang. Padahal, sebab saya ni bukannya jenis yang terlalu bergantung pada kawan, boleh juga teruskan hidup. Sampailah sekarang.

Mm, apa poin yang terakhir ya?


8. Saya suka duduk di rumah :)

Macam lagu Nowseeheart yang saya quote di entri sebelum ni, "Takkan kau temui, semurni cinta keluarga."

Itu poin utama. Lagipun, dalam ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Nabi, banyak ditekankan untuk menjaga hubungan dengan ibu bapa lebih daripada hubungan dengan orang lain. Maka, tentunya ada hikmah di situ. Tanpa mereka, kita takkan ada di dunia. Tanpa mereka yang membesarkan, kita takkan jadi elok begini.

Tanpa adik-adik yang ada banyak perwatakan, saya takkan dapat pendedahan awal kepelbagaian watak manusia di dunia. Tanpa mereka juga, tak adalah suara ketawa yang menghiburkan. Kata DMFK, jika kita peluk bayi, kita dapat rasa tenang. Sebab bayi tak ada dosa. Begitu juga dengan kanak-kanak. [Untung jadi anak sulung. Ramai adik]

Sementara belum ada apa-apa tanggungjawab besar untuk digalas, sebaiknya, kita habiskanlah masa bersama keluarga. Sebab tu sementara boleh ni, saya lepas ni bercadang nak cari kerja di Kuantan saja. Nak duduk di rumah, ringankan beban mana yang patut. Dan tak perlulah nak tambah beban dengan saraan hidup lain di tempat selain 'rumah'.

Ini semester terkhir saya. Maka kalian tak akan jumpa lagi saya di UIA [kecuali waktu clearance dan Convest tahun depan], atau di KL pun. Tapi di KL mungkin lagi. Masih banyak urusan. Saya kira.


Tagging rules:

1. Each blogger must post these rules.

2. Each blogger starts with eight random facts/habits about themselves.

3. Bloggers that are tagged need to write on their own blog about their eight things and post these rules. At the end of your blog, you need to choose eight people to get tagged and list their names.

4. Don’t forget to leave them a comment telling them they’ve been tagged and to read your blog



Baik, tiba masa kita lihat siapa yang kena. Senarai seterusnya yang saya nak TAG:

1. tintamadani
2. along
3. abang zamri
4. firdaus ariff
5. azree
6. paan


6 orang je cukuplah kot :p Selamat bercerita!