Monday, November 21, 2005

tudung dan uia

Walaupun kita tak usik orang lain, orang lain suka cari peluang usik kita. Kalau kita tak kuat, kita pasti jatuh. Jadi, untuk jadi kuat atau tidak bukan lagi satu pilihan. Tak boleh lagi rasa selamat walaupun di rumah sendiri.

Kes tudung dan UIA baru-baru ni memang menakutkan. Walau jauh di timur, getarannya sangat terasa. Nampak seperti 'orang lain' itu sedikit-sedikit mengesot nak kuasai hak kita. Apa akan jadi kalau kita jenis yang mengikut saja?

Terima kasih untuk pihak yang sudi berdiri wakili kami, kaum hawa Islam yang dipertahankan ini. Ini bukan sekadar kisah tudung. Ini kisah akidah dan hak yang diinjak-injak sewenang-wenangnya.

Pelik. Dari dewan graduasi, melimpah ke pentadbiran UIA keseluruhannya. Jangan nanti membabitkan Malaysia pula sudahlah.

Bila bicara mengenai peraturan graduasi, batasilah ia di situ saja. Tak ada kaitan dengan peraturan universiti yang telah dijalankan bertahun-tahun lamanya tanpa ada sebarang komen dan komplen.

Mungkin mereka boleh pertikaikan kenapa perlu wajib sopan di universiti sedang negara yang perintah universiti itu tak wajibkan pun?

Saya dah cerita pasal kisah artis sebelum ini. Belum lagi menteri dan barisan pentadbiran Malaysia, sebuah negara Islam, Islam Hadhari. Jauh sebelum itu, kisah uncle teksi yang dah langsung tak ada hormat pada orang Islam. Mujur saja kami selamat sampai ke asrama.

Apa kita nak jawab bila orang tanya, kenapa orang Islam kena pakai tudung? Lain ke hukumnya untuk rakyat biasa dengan masyarakat kolar biru?

Harapnya jawapan kita tak fitnah Islam dengan sebahagian besar rakyat Malaysia yang beragama Islam yang menyimpang.

Jadi, apa yang boleh dan perlu kita buat akan kes kita ini?



Boleh terus baca kisah di

Memorandum SRC

Tudung @ IIUM

Pelajar Non-Muslim dan Tudung di UIAM

Saturday, November 19, 2005

artis

Dalam era hedonisma yang mengagung-agungkan warga seni terutama bidang seni suara ini, memang susah nak anggap seseorang artis itu seperti manusia biasa. Dalam zaman yang bukan hedonisma pun sukar, apatah lagi bila berada dalam jangkawaktu itu sendiri.

Tak boleh nak pertikaikan persoalan ini bila bilangan manusia yang kenal Mawi itu lebih daripada yang kenal mana-mana tokoh politik atau tokoh pendidikan. Dan sambutan 'rumah terbuka' hari raya Mawi yang buat di padang setanding dengan sambutan rumah terbuka Perdana Menteri kita di PWTC lepas.

Kenapa tak ada [atau saya yang tak pernah dengar] VCD Dr Fadzillah Kamsah atau kaset rakaman Ustaz Wan Sohor yang dicetak rompak? Tapi berlambak-lambak siri artis kita yang bukan saja dicetak rompak, malah boleh download secara percuma dari internet, tanpa rasa ragu-ragu atau bimbang.

Artis jadi model dan idola. Cara pemakaian mereka ditiru, setiap perilaku mereka diikuti. Persembahan dan pertandingan yang mereka sertai tak pernah dilepaskan.

Artis jadi golongan berpengaruh kala ini. Merekalah agen pengubah manusia, sama ada ke arah yang lebih baik atau yang sebaliknya.

Bingung saya bila merlihatkan kebanyakan wanita yang datang ke pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik Kategori Irama Malaysia/Etnik Kreatif Selasa lepas pakai tudung, manis tutup kepala. Tapi bila lihat di atas pentas, alahai, selain Waheeda, siapa lagi yang kenakan tudung? Adakah mereka yang di atas pentas itu memang semata-mata jadi bahan hiburan saja? [maaf, kasar sikit]

Bila luaskan pandangan, memang tak ramai pun yang terlibat di sebalik kaca televisyen itu yang sekurang-kurangnya pakai tudung, walau tak sepenuhnya Islamik pun [ie pegang tangan sesama bukan muhrim -- perkara biasa]. Depan tv, mak dan anak sakan tengok sama-sama. Bila sedih, teriak. Bila kelakar, gelak. Masing-masing tak pernah mengomel bab kepincangan dalam beragama yang dah berlaku.

Apa nak bising-bising, kami tonton saja, kami bukan buat pun apa yang diorang buat tu. Lagipun, orang lain tak pernah cakap apa-apa pun? -- semua tuding jari pada orang lain.

Bila mak tak cakap apa-apa, anak anggap benda tu tak salah. Kalau bila lepas tu anak tiru dan mak tegur semula, cakap yang dalam tv tu tak betul, jangan ikut, tak apalah. Tapi macam mana kalau itupun dibiarkan?



Teringat cerita Lady Anne yang disiarkan raya lepas. Yang si ibunya bolehlah kata dah insaf dan cuba nak belajar apa yang dia tertinggal sebelum ni, sebab dia tahu dia akan mati tak lama lagi. Elok dah cuba-cuba belajar pakai skarf, walaupun masa tu sebab rambut dah mula gugur.

Tapi, bila si anak, Lady Maria kata ada function dengan kawan-kawan, dipakaikannya baju yang memang sah haram. Siap bangga lagi, sebab ada anak yang cantik. Dalam hati, agaknya dia nak ke syurga sorang-sorang je kot...

Ke rumah kawan mak sempena rumah terbuka hari raya, ada tetamu yang lain. Seorang makcik dengan 2 anak perempuan, seorang tingkatan 5 seorang lagi darjah 4. Tak boleh nak tertipu dengan panggilan makcik, walau usianya selabih kurang mak, sebab 'makcik' tu moden. Blaus merah ketat dan sendat. Pakai tudung, tapi pinnya terlalu atas, tak tutup dada. Nampak rambut di atas dahi.

Anak-anaknya buat gaya gothic. Bawah mata dihitamkan. Makeup jangan dikira. Rambut panjang kerinting sedikit diwarna perang. Dua-dua kakak dan adik berbaju sendat, kakak dengan blaus leher luas dengan skirt labuh, adik dengan t-shirt dan seluar jean. Pakaian hari raya.

Ini Kuantan, bukan Kuala Lumpur!

Saya terkejut. Tak biasa lihat gambaran begitu di hadapan mata. Mana silapnya?

Wahai warga Timur, biarlah orang barat saja beri pengaruh tak baik kepada anak-anak bangsa kita, tak perlulah kita sumbangkan sekali, kalau ia nak glamor pun.

Di sini, perlu pada kesedaran kedua-dua pihak, penghibur dengan yang dihiburkan.

Bila jadi penghibur yang berdiri di pentas dunia hari ini, kalian kena sentiasa ingat bahawa kalian jadi perhatian, atas apa saja tingkah perbuatan. Orang ikut, orang ungkit. Walaupun kalian bukan malaikat atau manusia maksum, tapi ingat, peminat tak selalunya ingat itu. Selalunya lupa. Sebab kalian idola mereka. Jadi, jadilah kalian yang terbaik.

Yang dihiburkan pula, kebanyakannya masih tahu timbang baik buruk, benar batil. Hiburan mungkin setakat hiburan. Bila minat akan seorang artis, harus diingat bahawa dia itu manusia biasa seperti kita, Lebihnya dia kerana peroleh tumpuan kelompok yang lebih besar atas bakat seninya. Itu saja. Tak semestinya dia lebih pandai dan berilmu daripada kalian dalam urusan lain pun, kan?

Artis itu cuma manusia biasa yang berkerjayakan bidang seni hiburan yang glamor. Titik.

Jadi, yang di belakang kaca televisyen itu tak selalunya betul. Mereka betul bila sampaikan berita dan fakta. Tapi mereka tak kurang betul bila tak pakai tudung [contoh saja].

Friday, November 18, 2005

perginya lebaran

Dah beberapa minggu kita tinggalkan hari lebaran. Yang cuma benar-benar bermakna pada minggu pertama. Saya tahu banyak rumah yang masih terbuka sambut kedatangan tetamu dan ramai juga yang masih ziarah-menziarahi sesama taulan. Cuma, rasa itu sudah tidak lagi sama.

Rasa sayang kan? Hari yang cuma sekali setahun, yang ditunggu saban tahun oleh semua umat Islam. Hari yang menggabungkan semua rasa meriah dan bahagia, hari yang menghimpunkan setiap daripada ahli keluarga yang kunjungnya cuma sekali-sekala, hari yang terasa benar sewaktu mengagungkan kebesaran dan kasih-sayang-Nya.

Langsai raya, semangat gembira yang membara itu jadi semakin pudar dimakan hari. Hidup kembali jadi biasa-biasa saja. Cuma kadang-kadang bila televisyen masih belum sudah dengan tayangan hari rayanya, rasa indah muncul semula.

Kita takkan rasa bahagia setiap hari, sebab memang itu aturan kehidupan, sebuah roda. Tetapi kita jadi bersemangat untuk teruskan perjuangan apabila kita tahu yang bahagia akan datang lagi nanti.

Kita semua lalui masa dan waktu perayaan yang sama. Tapi mungkinkah semua orang punya rasa yang sama?

Dan, bagaimana ya untuk hidupkan setiap hari kita jadi sebegitu bermakna seumpama hari raya?

Tuesday, November 15, 2005

mencari fitri [fitrah diri :) ]

Kenapa sampai sekarang saya masih tak pasti apa yang saya ingin dalam hidup? Persoalan terbesar yang selalu berlegar-legar dalam ruangan minda.

Terasa seperti nak cuba semua benda, nak tahu semua bidang, sampaikan rambang jadinya [teringat siri THE PRETENDER, he is a genius! Benar-benar kagum bila dia dapat jadi sesiapa yang dia nak]. Akhirnya terasa masih lagi kosong, sebab dalam banyak-banyak saya masih tak kuasai walau satu...

Tamak le tu... :)

Cuba nak fokus, tapi masih dalam penilaian. Saya ni nak yang macam mana sebenarnya? Nak apa? Kalaupun nak fokus dalam bidang saya sekarang, masih terlalu luas. Mana satu? Programming? Networking? Atau Multimedia? Heh, minat sendiri pun tak tahu.

Nanti abang Moha kata, "Takkan budak CS nak buat Multimedia?"

Lepas tu akan ada suara yang lebih optimis, "Hentamlah apa saja, asalkan berkait komputer." Tu lah suara abang Hamdi :) Saya ingat, sebab sama dengan kata mak. Cuma dari sudut pandangan berbeza, dari seorang yang fasih dengan yang tak fasih pasal komputer :)

Risaunya memuncak bila kami cuma terdedah dengan pengajaran secara teori saja. Pratikalnya, langsung terabai. Macam mana nak buat praktikal nanti? Aduh...

Subjek yang ada praktikal pun, setakat satu sem, lepas tu lupalah. Memang kena selalu gilap, tapi selalu lupa, sebab tak pasti pentingnya di mana-mana. Apa sebenarnya yang penting...?

Dalam jurusan ini, dan juga dalam hidup ini...

Kata pujangga: Jack of all trade is master of none.

Ehehe, tak akan cukup bila hanya tahu tapi tak kuasai sekurang-kurangnya satu. Sendiri akan rasa tak puas. Masih ada yang hilang. Rasa kekosongan itu.

Along kata target saya tinggi sangat, sampai terlepas pandang apa yang sedia ada. Tapi apa yang saya ada?

Fahmi kata saya terlalu merendah diri. Bukan sengaja, tapi memang terasa macam tu, diri kecil di kelompok manusia, tak kiralah siapa mereka. Sebab setiap daripada mereka dapat dilihat keistimewaan masing-masing, trademark untuk dikenali. A pandai ini, B mahir itu. Saya?

Bila fikir semula, bidang apa jadi pilihan tak penting, sebab tak semestinya kita hanya boleh kuasai satu bidang saja, kan? Lihat saja tokoh-tokoh ilmuan Islam dahulu. Hampir semua bidang ilmu major dunia mereka kuasai, selalunya tak ada kaitan langsung antara satu dengan yang lain, masih, mereka tak abaikan ilmu akhirat.

Apa motivasi mereka? Bagaimana nak ada rasa cinta akan ilmu dengan sebegitu hebat tanpa ada rasa konflik diri?

Terjahan orang biasa-biasa ini: Janganlah diperbanding kita dengan mereka yang memang terkenal hebat. Tak ada pun orang sebegitu sekarang. Be real!

Tapi, apa kurangnya kita dengan mereka? Mereka bukan nabi pun, manusia biasa macam kita. Jatidiri dan peribadi. Situasi dan kehendak sekeliling. Itu yang membezakan.

Lantas, Fahmi cadangkan sesuatu. Pilih saja satu bidang yang terasa paling dekat dengan diri, kuasainya, jadikan sebagai penggerak untuk cuba yang lain nanti.

Brilliant. Saya akan ingat.

Memang bangga dikenali oleh orang-orang besar atau yang bernama besar. Harapnya akan jadi seperti mereka. Seseorang dalam masyarakat.

Cuma, saya rasa, payah untuk jadi seseorang di mata masyarakat daripada seseorang pada pandangan seseorang yang lain. Namely, ibu bapa, atau yang lebih bermotivasi buat seorang remaja, teman istimewa dalam hidup.

Semuanya akan jadi mudah apabila yang pentingnya, kita ialah seseorang di hati mereka :)

Dan saya rasa memang itulah yang akan melengkapkan sebuah rasa seorang manusia...


# Banyak betul konflik diri mereka yang diperantara ini, remaja yang sedang cari tempat dalam hidup di dunia, dalam hati-hati manusia.