Wednesday, May 26, 2004

Maaf (25 Mei 2004)

Lembing paling tajam seorang yang pendiam bukan sifat diamnya (kerana ia menjadi senjata bagi yang peramah) adalah mulutnya. Untuk yang mendengar dan untuk dirinya sendiri.

Untuk diri sendiri, sudah tentu kerana rasa bersalah akibat terlepas cakap.

Saya mesti ada buat salah. Jika tak, mana mungkin ada yang bermasam muka... Marah -- kata kerja transitif. Ada objek. Takkan, tiba² saja naik angin, kecil hati.

Memang, saya sensitif. Jangan risau. Saya tahu ramai yang tak sanggup marah. Sebab objeknya adalah 'saya'. Tapi saya kena belajar atasinya. Kalian kenalah ajar saya supaya kuatkan hati. Supaya lebih mudah hadapi cabaran yang lebit ruwet nanti. Saya ni manja sangat...

Saya nak minta maaf kepada semua yang pernah terasa dengan kata² atau tulisan saya yang tak sempat berfikir sebelum terluah. Pernah, sedang, dan akan. Kadangkala saya tak sedar. Tapi, dosanya tetap ada. Memang susah apabila dihantui rasa bersalah. Lagi lama daripada dihantui pontianak. Maaf ya? Saya memang tak sengaja. Saya ni baru nak belajar bertutur :)

Maaf. Maaf. Maaf!

Kembara (25 Mei 2004)

Selamat berjuang geng KEMBARA '04! Semoga selamat sampai ke Kota Bharu sana.

Seronok bila ada kunjungan dari tempat yang aku amat rindui. Terasa terisi sedikit hati yang makin kosong daripada udara UIA. Sudah tiga bulan di rumah. Harapnya, semangat juang masih terletak baik di situ. InsyaAllah!

Mendengar alunan asma ul-husna versi UIA benar² menyentuh perasaan walau satu ketika dahulu pernah dimuakkan kerana menjadi paksaan untuk melakukan yang terbaik di tapak yang dibahangi mentari. Oh, semua pasti ingat. Bila lagi kalau bukan semasa Taaruf Week di matrik.

Yang pahit pastinya berubah rasa apabila sampai satu ketikanya. Aku percaya itu. Jadi aku tak gentar untuk berhadapan dengan segala² yang bakal jadi kenangan nanti.

<gurau>Oh, dan Paan, terima kasih kerana menjemput saya untuk menjadi penyibuk </gurau>

Tapi terima kasih :)

Saturday, May 22, 2004

Iklan Diri (17 Mei 2004)

Aku tak pernah membezakan antara Mira dan Kimura walaupun perbandingannya pernah bermain² di benak dan hampir tersusun menjadi rangkaian kata (mujur belum tertulis kerana terpengaruh dengan cill).

Kimura adalah Mira tapi Mira bukan sepenuhnya adalah Kimura.

Kewujudan nama Kimura adalah secara tidak sengaja. Dan lahir dari pemikiran kanak² ribena (knocked somebody's mind?) berusia 16 tahun sewaktu menonton Beautiful Life lakonan Takuya Kimura dan Takako Tokiwa.

(Baru sekarang terasa menumpang populariti orang)

Kebetulan pernah berangan menjadi Kimberly, Pink Ranger dalam Power Rangers (ok, sekarang dah tambah malu) dan pernah meminati watak Kenshin Himura dalam anime Samurai X (cukup, cukup!). *blush*

(Terbayang wajah Saleh ketika menyindir tak percaya: "Mira, Mira. Dahla minat Gempak, tengok kartun lagi". So?. Dalam hati, habislah peluang untuk jadi pencuri hati terhormat. Eh, tapi, masa tu cuma di telefon, macam nama boleh terbayang wajah pula ni... :p )

Cuma nama itu terus²an digunakan oleh Mira sebagai nama pena atau mudahnya, nama glamor (walaupun tak sesohor tuannya). Tidak pernah wujud sebagai satu makhluk atau sekurang²nya tunjang pemikir yang baru.

Tapi, memang tidak dapat dinafikan, kelahiran nama ini turut memberi pembaharuan dalam hidup sosial realiti Mira. Kepada yang lebih baik. Pergaulan Kimura dalam alam virtual sungguh memberi impak walau cuma sedikit.

Bagaimana?

Mira ini sebetulnya seorang yang pemalu dan pendiam, low profile dan anti sosial.. Dapat? :) (Oh, bukan sedikit rupanya)

*Yati, Yati tak mahu bawa Achik ke dunia nyata? Seronok tau! :) (Sebut nama Yati lagi :p )

Nama dan cuma nama ini tidak akan pernah dapat menguasai dan mengatasi Mira kerana Miralah pemegangnya. Kimura boleh lahir dalam seribu satu nama yang lain lagi. Tanpa Mira tiada Kimura, kan? Bila² Kimura boleh mati dengan kehendak Mira (tapi, bukan memori yang diciptanya).

Ucapan terima kasih pada nama ini (walau siapapun yang akan menerimanya) kerana memberi pendekatan baru kepada Mira untuk menempuh hari² kemudiannya.

Hidup ini mudah. Jadi, jangan susahkannya! (seperti pernah kudengar, tapi di mana ya?)

P/S: Kepada Saleh, Kimura nak minta maaf sebab 'ter'sebut nama awak dalam entri kali ini (kelebihan untuk yang ada nama lain -- cover diri sendiri). Nama² lain tu, Kimura dah minta maaf pada tuan²nya tapi belum serik kena marah :p

Sunday, May 16, 2004

Saja²

Pencarian 'Secreto de Amor' telah berakhir. Maria Clara dan Carlos Raul akhirnya bersama. Cabaran Survivor All-Stars pun telah berpenghujung. Amber menjadi yang paling baik antara yang terbaik.

* * *


Selamat Hari Guru! Ucapan khas ditujukan kepada semua pendidik yang pernah mencurahkan ilmu ke cangkir pengetahuan diri ini -- guru² Sekolah Kebangsaan Cenderawasih; Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Bandar Indera Mahkota; Maktab Rendah Sains MARA Kuantan terutama Cikgu Hartini, guru 'homeroom' yang telah ditukar ke Kelantan (bagaimana keadaan cikgu sekarang?); pensyarah² di UIA; PJ dan Gombak -- terima kasih. Sesungguhnya saya amat menghargai pengajaran kalian kerana saya bukanlah jenis yang suka membaca saja.

:)

Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berjuang kepada semua rakan di UIA Gombak yang bakal menduduki peperiksaan akhir semester ini pada minggu hadapan terutama kepada Paan dan Amy. Good luck! Selepas itu kita cuti² Kuantan ya?

:)

*Macam ucapan di IKIM.fm saja.

Satu lagi. Sebelum terlupa. Selamat hari ulangtahun kelahiran ke-20 buat Dalela dan Yonn serentak pada 20 Mei ini.

Dalela, awak telah menjadi seorang teman sebilik yang paling menarik untuk saya walau cuma sepanjang satu semester kita bersama. Kita cepat mesra walau sebelum ini kita saling langsung tidak pernah mengenali. Awak senang untuk berkongsi cerita; suka dan duka bersama saya. Awak juga mudah untuk diajak berkongsi minat (boleh dibaca: diajak ke 'rumah kedua' saya). Semester lepas memang menjadi antara semester yang paling pendek, lebih pendek daripada semester yang namanya pun sudah 'pendek'. Saya seronok bersama awak. Harapnya kita akan terus menjadi teman sebilik yang kamceng untuk setahun yang akan datang. Selamat hari ulangtahun. Semoga Dalela berbahagia dan ceria selalu. P/S: nanti kita pakai baju sama lagi ya?

:)

Yonn, awak kawan yang baik. Paling mudah menyelami perasaan orang. Sentiasa menyokong dari belakang. Awak juga adalah lauche @ sifu @ sensei yang baik untuk penulisan saya. Sajak² yang awak tulis, saya memang kagum. Sentiasa berima berbeza dengan saya yang sukakan kebebasan. Menjadi kawan baik awak semasa di matrik bermula dalam jurusan yang sama merupakan satu memori indah. Walaupun selepas ini kalian mungkin akan berpindah ke 'sini' (kampus cawangan Kuantan), harapnya persahabatan kita akan sentiasa kekal seperti dulu. Selamat hari lahir. Semoga peroleh jodoh yang paling sesuai.

:)

Friday, May 07, 2004

Hari Ibu (6 Mei 2004)

"Kenangan Manis Bersama Ibu"


Perhatian untuk gadis remaja sahaja. Memori indah bersama ibu. Tentu ramai yang ingin berkongsi dan mengabadikan memori indah tersebut di dalam majalah kesayangan ini dan paling istimewa kamu juga berpeluang untuk memenangi...

Cukup. Oh, sempena Hari Ibu rupanya.

Berjaya mencuri perhatian mindaku sebentar. Hanya ini kelebihanku. Menulis. Sekurang-kurangnya terisi sedikit masa senggang ini. Untung juga dicapai majalah ini dalam perjalanan pulang dari bandar tempoh hari. Menggantikan kekosongan masa untuk pembacaan novel yang telah dikhatam acap kali.

Aku semak kembali tajuk karangan ringkas yang hendak ditulis. "Kenangan Manis Bersama Ibu". Diam. Fikir. Lama. Buntu. Fikir lagi. Kali ini melebihi realiti. Aku cuba cipta sesuatu. Ah, bukannya penganjur tahu siapa aku! Menerawang ke cereka. Televisyen, cerpen, novel, sajak, lirik lagu... nasyid... Buntu juga. Tumpul amat kreativiti ini.

Aku menaip dan menaip. Karangan belum dimulakan. Cuma menulis perkara lain. Mana tahu ilham akan menjengah kemudian.

Tiba-tiba aku terfikir. Perlukah menjadi bukan diri sendiri semata-mata untuk memuaskan diri sendiri? Mengelak daripada mengatakan bahawa sungguh aku tak punya banyak kenangan manis bersama emak! Kenangannya tetap ada. Tapi, tiada yang istimewa. Hari-hari yang berlalu kelihatan sama sahaja.

Ya, aku lihat. Aku rasa. Bukan cuma pandang. Tapi masih tak cukup. Kekosongan ini tetap ada. Bukannya aku tidak sedar diuntung. Bukannya aku berniat mengaibkan sesiapa. Cuma terkilan kerana keluarga aku bukanlah jenis yang suka menunjukkan kasih sayang dan kemesraan masing-masing. Hampir setiap mata kami tidak berkomunikasi dengan baik. Bukannya kami saling menengking atau meninggi suara, cuma tiada apa-apa. Ya, itulah sebetulnya. Tiada apa-apa.

"Kenapa ya, Mira? Saya tak pernah dengar awak bercerita tentang mak bapak awak kepada kami..." ujar Janna satu ketika.

Senyap. Tidak tahu untuk menjawab. Tidak pernah diduga soalan sebegitu akan menyerang benakku.

Di luar rumah, abah dan emak bukanlah seorang yang pendiam. Malah bekerja dalam pejabat yang sama langsung mengeratkan lagi hubungan mereka seraya punya banyak perkara untuk dibualkan. Tapi, mengapa aku jadi begini? Mengapa Fitri jadi begini? Mengapa kami seolah kehilangan sifat mesra itu? Sekurang-kurangnya kala bersama emak dan abah? Bukan dengan rakan-rakan?

Oh, aku dah lupa. Aku pernah begitu juga dahulu dengan rakan-rakan. Sahabat-sahabat seperjuangan. Bualku hambar. Malah, dalam banyak masa, aku yang membisu, cuma dengar tidak dengar apa yang dibicarakan. Tidak langsung mengaktifkan suara dan pendapat. Cuma mengangguk, menggeleng, melopong, dan menganga. Kelakar.

Aku atasi sifat yang kuanggap bermasalah itu. Aku cuba. Hasilnya Saleh pernah menyuarakan rasa seronok berbual denganku melalui telefon. Dan Faheem yang jujur itupun telah mengiyakan dengan mengatakan aku peramah. Jangan menilai dari rupa yang mancuka itu (ini). Kelakar. Lagi.

Itu di luar. Dengan rakan-rakan yang cuma mengenali aku beberapa ketika. Dengan mereka yang telah bersamaku semenjak lahir? Belum lagi. Amat payah. Benar. Memang benar. Menjadi yang terbaik diluar keluarga tidak semestinya mudah untuk menjadi yang terbaik di dalam keluarga.

Semuanya kerana malu. Dan ego. Dan kerana terasa diri dilayan masih seperti kanak-kanak.

Aku masih ingat. Suatu masa dahulu, semasa aku masih di bangku sekolah, layanan aku terhadap emak amat berbeza. Amat mesra. Pulang saja dari rumah pengasuh setiap petang, aku dan Fitri akan mengucup pipi emak berkali-kali. Menjadi kebiasaan. Menjadi tabiat. Dan mulut ini tidak berhenti-henti menceritakan pengalaman untuk sehari. Di sekolah, dan di rumah Makcik Rubi. Sehingga setiap cerita bercampur-baur. Berbelit-belit tidak nampak hujung pangkal. Semua memori berebut hendak diluah keluar.

Kala itu, aku amat yakin dapat menjadi anak perempuan emak yang paling baik dan paling disayangi. Masihkah?

Satu kenangan yang memang amat menyentuh rasa terharuku. Bahawa emak tidak pernah melupakan. Bahawa emak juga punya rasa serba-salah...

Pagi raya itu. Sewaktu usiaku sudah di awal belasan tahun. Aidilfitri yang pertama buat Ayuni, adik perempuanku yang pertama selepas deretan tiga adik lelaki. Emak memakaikan loket emas padat berbentuk hati kesayanganku padanya. Loket bersama rantai yang telah menjadi milikku semenjak kecil lagi. Loket yang dipakaikan menghiasi leher ini setiap kali hari perayaan Islam menjelang.

Emak kata rantai aku tebal. Tak perlu loket lagi. Biarlah Ayuni yang pakai. Tapi rantai itu juga Mira punya, mak! Menjerit dalam hati.

Aku naik rajuk. Aku bawa diri ke ruang tamu. Melarikan diri dari emak di bilik. Betapa hati ini sangat hiba. Cemburu dengan kehadiran Ayuni yang masih kecil. Menganggap kasih sayang emak telah beralih padanya. Lain. Benar-benar lain rasa ini dengan kehadiran adik-adik lelaki yang datang dahulu. Mereka tak rampas loket aku!

Masa berlalu. Emak menyerahkan satu kotak plastik lutsinar dilapik kapas putih di dasarnya. Hari itu hari lahir aku. Dan emak telah menghadiahkan loket emas padat berbentuk hati padaku...

Loket itu tidak sama dengan loket yang pernah menjadi kepunyaanku dulu. Permukaan sisinya yang tebal dilarik dengan jaluran halus. Corak bintang di kedua-dua permukaan diukir berlatarbelakangkan titik-titik halus sentuhan.

Aku tersenyum kelat. Emak masih dengan muka biasanya. Aku bersegera ke bilik. Menutup pintu. Menekup wajah di bantal. Menangis puas-puas. Emak ingat! Sayang emak tetap sama. Sayang emak tak pernah berubah. Sayang emak tak pernah beralih!

Kisah loket. Cuma loket kata kalian. Bagi aku, lebih dari itu.

Sampai bilakah baru keadaan dapat kembali seperti dulu? Bebas daripada suasana terpenjara penyeksa jiwa dan batin? Lepas daripada kebosanan yang terperangkap dalam hati yang tak pernah puas? Merdeka daripada tahanan nurani yang meminta, meraung, dan merayu minta dilepas kepada yang melahirkan? Sampai bila?

Cuma berharap agar graf kemesraan di rumah ini tidak lagi menurun walaupun tidak meningkat...

Selamat Hari Ibu, mak!

Rahsia dalam Percintaan (5 Mei 2004)

Buenos! Komois taus te?



DUA INSAN

Bila kausenyum kugembira
Bila kausedih kumenangis
Bagaikan taman rindukan kembang
Kurindu padamu oh sayang

Ke mana saja kau berada
Ku kan tetap bersamamu
Walaupun jasadmu jauh
Namun hatimu dekat selalu

Walau kini halangan menimpa
Kerna cinta ada kutetap setia
Hanya dikau dan asmara
Membuat diriku bagai dalam syurga

Biar masa berganti masa
Biarpun musim berubah
Telah kunyatakan padamu oh sayang
Hanya kuasa Tuhan dapat memisahkan

Jika kautanya pada rembulan
Mengapa cahya berseri-seri
Nanti jawabnya kepadamu
Kerna dikau cinta padaku

Kupersembahkan kepadamu
Sekuntum bunga mawar merah
Kau terima sambil tersenyum
Kerna dikau cinta padaku

Bila saja halangan menimpa
Kerna cinta ada kutetap setia
Hanya dikau dan asmara
Membuat diriku bagai dalam syurga

Dua insan sedang bercinta
Dua insan berjanji setia
Telah kukatakan padamu oh sayang
Hanya kuasa Tuhan dapat memisahkan
Senoritas

Maria Clara. Cintanya cinta tulus. Cinta suci. Sekali dia mencintai, hanya itulah yang kekal, tiada yang lain. Bukan memaksa pada pendirian, tetapi itulah perasaan, itulah hatinya. Tiada pintu lagi dibuka untuk insan kedua.

Barbara. Cintanya cinta dominan. Terlalu obses. Tertutup mata kemanusiaan. Terbuka mata ketamakan. Jika bukan dia yang berupaya mencuri hati, yang lain tidak mungkin akan berpeluang. Jangan kaumimpi!

Yenesia. Cintanya memang asli. Tetapi dilempar pada yang salah. Yang sudah terisi. Yang sudah berpunya. Sehingga akhirnya dia mengalah...

Victoria. Cintanya bukan pada rupa atau usia. Sekalipun dihina kerana dikata mencari yang muda, hanya pada insan yang satu itulah kegembiraannya bercambah.

Andrea. Sering tertipu kerana cinta. Keliru dengan definisi sebenar cinta. Mencari dan mencuba. Seringkali kalah dengan yang tidak tahu menghargai ketulusan hati seorang wanita.

Senoras

Carlos Raul. Cintanya sudah ada. Yang sempurna, yang betul² padan dengan jiwanya. Hairan, demi material, sanggup beralih. Kelamlah segala²nya. Kekasih yang setia menjadi korban. Mempergunakan hati wanita yang umpama kerak nasi!

Lisandro. Cintanya seperti Maria Clara. Wujud hanya pada yang satu. Rasionalnya tetap ada. Maksud cinta memang didalami. Penerimaan terhadap yang disayangi adalah seadanya. Jika dia bukan yang terbaik, dia akan melepaskan cintanya pada yang lebih baik. Demi kebahagiaan yang dikasihi.

Braulio. Cinta mampu memusingkan dunia. Daripada sejahat² manusia bertukar seratus lapan puluh darjah. Cintalah yang suci. Cintalah yang agung. Dan cintalah kocek Doraemon!

Ricardo Sandoval. Wanita cuma ibarat baju. Bertukar² sesuka hati. Apabila sudah terurai kelemahan dicampak saja dibuat serbet. Mengakui lelaki memang tidak pernah dapat setia pada yang satu.


Rasa apakah ini?

Apabila di hadapan mata, rasa terusik dengan yang bersamanya. Seperti hendak menggantikan tempat gandingan itu. Seperti mahu bersamanya setiap ketika, setiap detik, setiap saat. Berbicara... atau setidak²nya mendengar suaranya.

Jauh selangkah, rasa rindu menebal. Tidak keruan. Gelisah. Lemah. Lemas. Mahu menjerit meminta dibantu. Tetapi, tiada kata² mampu terucap. Apa yang patut dikata? Apa yang patut diminta? Hadirlah penawar! Datanglah kepadaku! Datanglah...

Kembali ke norma, tingkah pasti canggung. Di mana² saja pasti terdampar wajah dan kenangan. Hati terusik lagi. Sedih, pilu... Apa khabarnya? Di mana dia? Apa yang dilakukannya? Siapa yang diingatinya? Rasakah dia seperti apa yang hati ini rasakan?

Betapa lega dan gembiranya menerima perutusan itu. Cuma sepotong ayat. Yang bermakna kajangan nyawa. Hari ini berbunga ceria. Senyum ini tidak pernah lekang. Langkah ini bagai tidak berpijak. Air mata hangat penyubur rasa. Rasa suci dari nurani...

Lama terasa diri diabai. Ah, mungkin sudah dilupa. Atau sendiri yang melupakannya? Melupakan segala rasa yang pernah hadir? Mengapa tidak ego dibuang jauh demi dia yang pernah merajai hati? Atau memang itu cuma serpihan dari jutaan rasa yang sama pewarna kehidupan? Langsung tidak dihargai...

Kalian pernah rasa? :)

Rasa² sebegini sememangnya membuat seseorang lupa diri. Dimensi yang membutakan mata kata Dian Sastrowardoyo. Seperti hati telah mula berkata². Kononnya lahir atas nama CINTA. Yakinkah? Benar² yakinkah? Dari rusuk diakah diri ini dijadikan? Ada bukti biologi?

Tak. Takkan pernah ada jawapannya. Hidup ini adalah satu perjudian. Jika benarlah dia jodohnya, maka bersamanyalah kita sepanjang hayat. Sama ada di mata atau di hati. Jika bukan, anggap saja ini dugaan. Ujian. Untuk meningkatkan keyakinan. Untuk menaiktarafkan keimanan. Kerana Allah sayangkan kita. Tidak mahu kita mudah leka. Cepat lupa. Lekas lalai.

Tapi, usahlah terbawa². Kerana PERCINTAAN cuma sebahagian rencah asam garam hidup. Banyak lagi yang perlu lebih² diambil perhatian. Seperti SAYANG. Sayang keluarga, sayang rakan², sayang para pendidik, syang agama, sayang negara. Dengan sayang, wujudlah harmoni, tiada yang akan dimusuhi. Mengapa harus bersengketa sedang manusia lahir atas nama kasih sayang?

Dengan sayang, semua kerja menjadi. Dengan sayang, syaitan segera tertewas. Dengan sayang, tiada lagi ragu² dan syak wasangka. Dengan sayang diri akan disayangi...

Harga SAYANG kadangkala lebih bernilai daripada CINTA.

RonaRonda Kuantan

Hujan sudah memenuhi sekurang-kurangnya satu jam sehari dalam masa dua hari berturut-turut. Suhu sekeliling mula jatuh. Rimas berpeluh mula hilang. Namun, kipas angin masih tak boleh dipisahkan daripada aktiviti seharian. Harapnya keadaan ini akan berterusan kecuali jika aku ada aktiviti luar. Tapi, seingat aku, masih tiada yang menjemput.

Fahmi sudah pulang ke asrama. Komputer menjadi sepi daripada bunyi titipan jemari ke atas aksara papan kekunci. Bermain permainan komputer. Jika tiada Fahmi, Fitri pun mula menghilang. Kejap² bermain bola keranjang, kejap² ke Giant, kejap² ke kafe siber. Aku juga dengan tiga budak kecil di rumah.

Sabtu lepas aku dan Fitri bercadang ke bandar. Kali ketiga sepanjang cuti merangkap sepanjang hidup. Tapi dua kali sebelum ini kami bukan berdua. Kali pertama dengan Janna ketika dia ke sini dalam minggu kedua cuti tempoh hari. Kali kedua dengan Saifuddin, ahli kumpulan Wasatiah dalam Program Khidmat Sosial Negara 2002 merangkap penghulu kem. Puden ringan mengajak aku sebelum mula kembali semula ke Politeknik Ungku Omar, Ipoh keesokan harinya. Fitri jadi 'angel' antara kami.

Asbab bas yang tidak jua kunjung tiba selepas lebih setengah jam menunggu, kami berjalan kaki ke Giant. Ah, penat lagi berjalan ke hulu ke hilir dalam UIA. Kami ikut jalan belakang. Jalan melalui kawasan perumahan setinggan sebelum sampai ke rumah flat Medan Warisan, Tanah Putih.

Puas meronda dalam 'mini market' itu (Fitri kata tak layak digelar 'supermarket' -- kecil sangat!), tanpa sebarang rancangan kaki mula melangkah ke arah pusat bandar. Mak oi, ke bandar berjalan kaki tu! Macam kampung sendiri saja dibuatnya. Nasib baik berteman. Kepenatan tak sangat dirasa.

Dah nampak hospital! Kuantan Parade tak jauh lagi! Hangat mentari jam tiga petang langsung diabai. Oh, ada promosi Maxis EUFA rupanya! (buat² terkejut -- sedangkan mesej sudah diterima). Aku cadangkan untuk Fitri mendapatkan satu 'freeby' untuk aku. Sekali-sekala berniat nak cuba sesuatu yang lain dengan khidmat mesej aku ni (boleh dibaca: aku nak cuba² membazir). Bosan maa! Telefon asyik berdiam diri, tiada siapa yang boleh aku mesej (sebab aku akan hanya membalas mesej orang -- senyum senget).

Dia menolak. Katanya, kaki 'kureng'. Kalau nak suruh 'shoot' bila² masa. Bila pula akan ada kejohanan bola keranjang antarabangsa?

Cakap pasal bola keranjang ni, fuh, Fitri obses sungguh! Bukan ada pertandingan atau masuk apa² persatuan, cuma MINAT. Oh, dia ni tidaklah tinggi sangat. Malah ketinggianku pun dia tidak lepas. Fahmi yang baru berada di Tingkatan 2 pun hampir mencecah ketinggiannya. Tapi dia tetap ada usaha. Walau setakat ini tidak nampak sangat hasilnya. Dia ambil vitaman. Percepat tumbesaran.

Fitri berlatih tiap² petang dengan kasut ANDI, khas untuk sukan ini yang mencecah ratusan ringgit! Guna wang sendiri. Kalau nak minta daripada FAMA, maaflah, tunggu dah besar, dah kerja, guna duit sendiri. Semasa di Teknik dulu, kasut sukannya banyak kali hancur. Banyak kali juga Paman Kasah 'sponsor' yang baru, tapi tidak pernah tahan lama.

Baru² ini, setelah puas memerah otak memikirkan akan satu jirim yang kecil tapi berat, baru berbuah hasil. Sepasang beg kanvas biru bertali diisi padat dengan pasir. Dililit di kaki. Dalam hati, budak ni tiru ide Goku ke? Goku kan pernah pakai gelung hitam yang punya berat masing², di tangan dan kaki, supaya nanti latihan tambah mencabar dan akan terbiasa dengan keadaan begitu. Supaya apabila mencabar musuh, pergerakan akan tambah laju kerana badan terasa ringan. (aku ni kipas-susah-mati Dragonball juga)

Bukan sekali dua, malah banyak kali juga disuakan hasrat untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini. SEKURANG-KURANGNYA menjadi pemain bola keranjang antarabangsa. Majalah bola keranjang import yang berharga puluhan ringgit itu pun sudah lunyai hasil belekan saban hari. Belum campur dengan VCD Michael Jordan to the Max yang sudah tentu dibeli sendiri. Sumber inspirasi sulungnya, Slam Dunk; Hanamichi, Khaede, Sendoh... (yang lain aku tak berapa ingat namanya -- sudah lama tak tersiar -- bekas kipas-susah-mati juga). Dan lukisan² kartun hasil tangan sendiri yang disusun dalam log menjadi komik... semuanya mengenai bola keranjang!


Kagum, kagum... Adik yang seorang ini akan cuba bermacam cara untuk memenuhi impiannya. Tak pernah puas, tak pernah bosan, tak pernah putus asa. Aku yang mengeluh melihat kefanatikannya. Akhirnya, dia yang jadi contoh pada aku. Aku pula mudah bosan dengan apa yang aku buat. Nak menulis ini pun, bila sudah kontang ide, mulalah ditinggal²kan. Kalau dulu, apa² saja boleh direpekkan. Jangan aku bosan dengan jurusan aku sudahlah. Dan janganlah aku bosan dengan suami setelah berkahwin nanti. Kasihan dia ya?

Back to the 'journey'. Di Kuantan Parade, kami ke Bata di The Store. Fitri bayarkan kasut sukan merah yang aku pilih. Memang niat dia nak belanja aku. Apa nak kata? Diam saja. Rezeki jangan ditolak, kan? Lagipun, walaupun belum berkerjaya, tapi tetap dah ada kerja. Ada gajinya. Bila lagi nak ambil hati kakak sendiri. (banyaklah celoteh aku -- kalau dah suka tu...)

Oh, dia ke kedai komik pula. Apalagi, dah kuagak. Komik Slam Dunk the Movie. Katanya, tak dapat tengok (kami dah cuba mencari VCDnya di kedai² CD sebelum itu), bacapun jadilah...

Selepas itu, kami terus berjalan ke Ocean menunggu bas untuk pulang. Lalu di hadapan Kuantan Plaza, singgah di kedai roti. Baru ingat lapar. Mujur bas Kuantan Town Service (KTS) ada. Mana tahu, nama Hari Pekerja, 'driver' pun nak cuti juga.

* * *


Malam itu (boleh dibaca: pagi itu -- memang pun, dah pukul 1.20 pagi!), rombongan dari kampung sampai. Nak meminang akukah? :) Kalau ada yang memerhati mesti sudah disangka begitu. Mana tidaknya, bukan satu, tapi dua kereta yang datang. Cuma, mungkin mereka akan kata, oh, nak cuba pecah tradisi, datang meminang pagi² buta. Bagus jiran² aku, sangat bersangka baik. Dah², beranganlah Mira ni.

Embah, Wak Pin dan Wak Ani beserta dua orang anak mereka Jai dan Edel dan Bibik Nan dan Paman Halim beserta anak² mereka Ayong, Ira, Ijah, dan 'baby' Syamila datang menjenguk kami. Sengaja datang bercuti di Kuantan. Bukan selalu. Lebih² lagi apabila perhimpunan keluarga akan ditunda pada bulan Ogos ini. Sudahlah aku hampir mati kebosanan di rumah, hilang lagi satu aktiviti yang sudah dirancang bakal mengisi sedikit daripada masa gangsa (turun pangkat daripada emas) ini.

Pagi esoknya (jam 11 masih pagi bukan?), Ahad, 2 Mei, kami ke Sungai Lembing. Entah ke berapa kali buat kaum keluarga aku termasuk yang baru datang semalamnya, tapi kali pertama untuk aku. Apalah orang Kuantan ni kan? Nak buat macam mana, walau tak masuk dalam darah dan keturunan, tempias gerimis Kuala Lumpur itu ada :)

Lebih kurang 45 minit perjalanan dari rumah, Delica merah hati ini terus menjejak ke gigi sungai. Bukan tuannya saja, dia pun nak mandi juga. Oh, sudah tambah sebuah kereta lagi. Paman Kasah dan Bibik Ita serta tiga orang anak buah mereka turut serta. Datang terus dari rumah Bibik Ita di Neram (pelik bila orang Terengganu pun terpaksa digelar dengan nama Jawa apabila bersama kami).

Emak siap dengan baldinya untuk mengutip batuan sungai yang cantik berkilat. Harapnya, apabila batuan itu hampir 'pupus', yang mengambil tidak terus dituduh mencuri. Sebab aku tahu mak akan datang lagi untuk memenuhkan laman rumah dengan karpet batu. Sebab itu mak meminta aku mengambil yang licin, tidak sakit apabila dipijak. Sebelum ini pun, sebaldi cuma cukup untuk mengelilingi rumpun keladi dibuat benteng.

Selepas itu, apalagi. Arus sungai langsung menggamit aku untuk turut serta bersama adik² dan sepupu² ke dalam air. 'Muchas problemas'? Peduli apa! Bukan selalu dapat peluang menghidupkan kembali kesukaan aku satu waktu dahulu ini.

Tapi air sungai ini tidak senyaman dan sejernih Sungai Pandan, Sungai Gunung Ledang, atau sungai di Bukit Tunggal, Segamat seperti yang pernah aku ingat. Walau berendam selama mana, sejuknya tidak langsung menggigit, memaksa aku untuk ke daratan. Sedangkan dahulu, jika ke daratan pun, sejuk itu tetap hadir kerana tiupan angin rimba sepoi². 'Kurang enak bah'! Tapi... seronok juga beramai begini!

Kedatangan kami sebentar cuma. Jam 1.30 petang, kami sedia berangkat untuk pulang. Semua tidak membantah. Hairan, sedang dulu, tidak kira di sungai² atau di Pantai Sepat, Pantai Gelora, atau Pantai Batu Hitam, pasti ada yang merengek tidak puas lagi. Atau sekarang, yang merengek dulu sudah besar, sudah tahu mengawal emosi (boleh dibaca: sudah tahu malu)? :) (Akukah kepalanya? -- aku kan cucu sulung kedua² keluarga, paling besar antara sepupu)

Jika dikenang² kembali, aku sewaktu kecilnya memang AMAT nakal. Jika ada perbuatan jahat menyakitkan hati, akulah ketuanya, akulah kepalanya. Dan budak² hingusan bawahan aku inilah askar bataknya. Mengikut saja.

Kami main pasir di hadapan rumah selepas hujan (rasa seperti di pantailah tu). Kami patahkan dahan mangga di belakang rumah (manggakah? -- tak ingat -- pokok itu sudah tiada) yang menjulur melintang rendah.

Kami selinap bawah katil paman mencari dan menyelongkar barang² yang boleh dimain -- terjumpa daun terup (memang teruk aku dimarah dan dicubit selepas itu -- dahlah tak ikut embah ke kenduri -- dituduh sengaja bersendirian di rumah).

Kami main pondok² dengan tilam nipis, menjerit² dengan nyanyian suara kanak² di tengah malam, mengganggu tidur ahli rumah. Kami berlari dan berkejaran di atas rumah papan yang langsung tidak terjamin tempoh usianya. Kami ber'sumo', berlawan, dan bergaduh sesama sendiri (macam tak percaya kan?).

Kami buat kacau di rumah arwah boyot (gelaran untuk emak kepada embah), main buaian boyot, ganggu pula Pian adik-beradik (Pian -- anak kepada embah Said, adik bongsu arwah embah lanang -- taraf paman -- tapi diabai kerana dia seusiaku -- atas arahan sendiri :) )


Dan akulah ketuanya. Akulah kepalanya!

Seringkali aku dimarahi embah kerana berkawan dan bermain dengan lelaki. Mak pun tak marah... Nak buat macam mana? Emak beri aku adik lelaki selepas aku tiga orang berturut²! Aku cuba panjat pokok, kena marah. Aku keluar rumah melalui tingkap, kena marah. Aku berlari²an di tapak pembinaan rumah, main tembak² dengan 'kawan²' lelaki aku, kena marah.

Memang jauh beza usia aku dengan mereka. Sedang sepupu aku, Jai yang paling tua pun seusia Fitri. 17 tahun sekarang. Apa²pun, merekalah teman sepermainanku semasa kecil (sebab itu agaknya aku lambat matang). Dan, jika bukan kerana penulisan kali ini, sudah lama memori itu terkubur tidak dikenang. Kerana siapa sangka Mira semasa kecil adalah senakal² budak? Aku sendiri pun tak ingat!

Geng² antara sepupu yang wujud sekarang tidak seaktif geng aku dulu (aku, Pian, Syafiz (adik Pian merangkap paman aku juga), Fitri, Jai, dan Edel). Mereka agak pasif (boleh dibaca: terkawal). Jika berlasak sedikit pun cuma dengan adik-beradik sendiri. Aku ni, bila balik kampung pun, sudah pandai jadi gadis Melayu terakhir. Sopan amat (boleh dibaca: takut dimarah embah lagi).

Sekarang, Jai dan Edel pun tidak lagi betah bebas berkata² dan berbual dengan kami adik-beradik. Semua sudah mula melepaskan akar masing². Lagipun, entahlah, aku rasa kami semua malu sesama sendiri. Lagipula, gen untuk fizikal mereka cepat benar matang. Edel yang baru di tingkatan tiga pun lebih tinggi dan besar daripada aku! Apatah lagi Jai, yang sememangnya menjadi lumrah lelaki untuk tumbuh matang secara drastik. Kalau dikata Jai dan Fitri sebaya, orang akan was², fikir beratus kali. Benar² nyata bezanya!

* * *


Malam itu, Bibik Ita mengajak kami ke rumahnya.

"Mak, Neram dengan Kemaman jauh tak?" Saja je tanya.

"Neram tu dalam daerah Kemamanlah." Perbualan mak dengan Fahmi selepas itu aku buat tak dengar. Oh, rupa²nya aku dah pernah ke Kemaman sebelum ini. Terimbau pula novel Seteguh Karang tulisan Tuan Faridah Syed Abdullah yang dijadikan tajuk KOMSAS tingkatan lima dahulu.


Teringin aku nak ke bandarnya pula. Din pernah kata, bandar Kemaman itu lebih maju daripada Kuala Terengganu. Tempias pembangunan di Kuantan. Maklumlah, jarak perjalanan Kuantan-Kemaman mengambil masa tak sampai satu jam seperti kata Epi. Aku ringan saja hendak berjalan. Cuma tunggu yang mempelawa. Lagipun, bas ke sana yang diambil di Benteng, Kuantan pun tidak sampai empat ringgit. Kos tambang tidak jadi masalah.

* * *


Mereka bertolak pulang ke Bukit Tunggal, Segamat pada jam 10 pagi Isnin. Lekas benar. Tidak puas bersama. Sekurang²nya, jika mereka ada, berjalan juga aku (boleh dibaca: banyak sikit makanan di rumah ini).