Showing posts with label hiburan. Show all posts
Showing posts with label hiburan. Show all posts

Thursday, December 02, 2010

garis panduan hiburan dalam islam

GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM


1. TUJUAN

Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ini disediakan untuk memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain. Garis Panduan ini juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat awam yang menyertai persembahan rancangan hiburan.


2. PENDAHULUAN

2.1. Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

"Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita." (Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

2.2 Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat[1], tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah[2] adalah harus;

b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

c) Pancaragam yang melalaikan[3] hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.


3. KANDUNGAN GARIS PANDUAN

3.1 Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara berikut:

3.1.1 Takrif

3.1.2 Program Hiburan

3.1.3 Persembahan Muzik

3.1.4 Lirik Lagu

3.1.5 Persembahan Artis

3.1.6 Persembahan Tarian

3.1.7 Tanggungjawab Penganjur

3.1.8 Kesimpulan

3.2 Takrif

3.2.1 Hiburan

Maksud hiburan ialah sesuatu (perbuatan, benda dll) untuk menghiburkan (menyenangkan, mententeramkan) hati. (Kamus Dewan).

3.2.2 Nyanyian

Maksud nyanyian ialah gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. (Kamus Dewan).

3.2.3 Muzik

Maksud muzik ialah gubahan bunyi untuk memperoleh keindahan bentuk dan pernyataan perasaan. (Kamus Dewan).

3.2.4 Tarian

Maksud tarian ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik. (Kamus Dewan).


4. GARIS PANDUAN

Garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut;

a) Program Hiburan

i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.

ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.

iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.

iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.

v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.

vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

b) Persembahan Muzik

i. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.

ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.

iii. Tidak melalaikan.

c) Lirik

i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.

ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.

iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.

iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.

v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.

vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.

vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.

viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

d) Persembahan Artis

i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.

ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.

iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

e) Persembahan Tarian

i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.

iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.

iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.

v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

f) Tanggungjawab Penganjur

Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.

5. Kesimpulan

Garis Panduan ini diharap memberikan panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Ia juga dijadikan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamal dan menikmati hiburan berteraskan nilai-nilai akhlak dan syariat Islam.



[1] Sesuatu perbuatan yang haram (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)
[2] Cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan (Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran)
[3] Perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat. (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)


Tarikh : 14 January 2009
Editor : PRO JAKIM [Najibah binti Abdul Mutalib]


Sumber: Laman Web Rasmi JAKIM

kronologi muzik dan nyanyian

Sebelum zaman Nabi Muhammad

Nabi Daud dan anaknya, Nabi Sulaiman dikurniakan mukjizat suara yang merdu. Al-Quran ada menceritakan tentang Nabi Daud yang menyanyi memuji Tuhan sambil memetik kecapi. Ketika mendendangkan ayat dari kitab Zabur, manusia dan jin yang sakit jadi sembuh, burung-burung terbang mendekat, angin jadi tenang, semua bertasbih kepada Allah. (al-Quran, Surah Saba' ayat 10)


Semasa zaman Nabi Muhammad

Elemen muzik ada dalam azan dan bacaan Quran. Malah, Nabi Muhammad tidak melarang para sahabat menyanyi dalam sambutan hari raya, keraian jemaah haji dan perkahwinan. Beliau meraikan kebiasaan kaum Ansar, iaitu penduduk asal Madinah yang berhibur melalui seni suara.

Suatu hari, Abu Bakar datang ke rumah Nabi Muhammad. Ketika itu ada 2 orang gadis Ansar yang sedang mendendangkan syair golongan mereka. Abu Bakar kurang senang, tapi Nabi Muhammad membenarkan. Tindakan Nabi Muhammad menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf seni muzik kaum lain selagi tidak bercanggah dengan Islam.


Selepas zaman Nabi Muhammad

Khalifah Abu Bakar kurang berminat dengan seni muzik. Jadi, pada zaman pemerintahan beliau, muzik dan nyanyian diharamkan. Khalifah Umar pula selalu mendengar lagu seniwati zaman Nabi Muhammad. Anak Khalifah Umar iaitu 'Adi, adalah seorang yang aktif dalam bidang muzik.

Pada zaman Khalifah Uthman, politik dan sosial orang Arab telah berubah. Taraf hidup mereka telah meningkat. Ahli muzik juga telah dapat kedudukan yang tinggi dan istimewa.

Pada zaman Khalifah Ali pula, beliau sendiri ialah seorang seniman. Beliau jadi orang pertama yang mengawal kualiti seni dan membenarkan pengajian dalam bidang sains, puisi dan muzik. Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali ini, lahir seniman profesional Islam yang pertama iaitu Tuwais.


Zaman kegemilangan muzik dunia

Selepas zaman empat khalifah, seni muzik terus berkembang. Zaman kegemilangan muzik ialah pada zaman kerajaan Abbasiyyah di Damsyik yang sekarang dikenali dengan Demascus. Pengaruh muzik dan nyanyian sangat besar hinggakan kemahiran dalam bidang seni ini jadi pra syarat diterima bekerja.

Khalifah al-Mahdi telah menjemput ramai penyanyi ke istana untuk menghiburkan beliau. Antaranya Siyath dari Makkah.

Anak murid Siyath, Ibrahim al-Mausili pula dapat tempat semasa pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid iaitu khalifah Abbasiyyah yang paling meminati lagu dan muzik. Ibrahim berketurunan bangsawan Parsi. Beliau hebat bermain gambus dan mempunyai ramai anak murid. Antara anak murid Ibrahim ialah Ishaq yang jadi penghibur istana kepada 4 orang khalifah kerajaan Abbasiyyah.

Disebabkan corak pemerintahan yang beri penekanan dalam bidang muzik, lahirlah ramai pemuzik hebat pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Banyak buku tentang muzik mereka yang dijadikan sukatan pelajaran dan diterjemah ke Bahasa Inggeris.

Antara seniman terhebat ialah al-Syatibi, seorang pemain biola yang terkemuka. Beliau sering menggesek biola pada waktu malam. Dikatakan, ramai gadis yang tak dapat tidur oleh lunaknya gesekan biola beliau.


Al-Farabi, tokoh muzik dunia

Al-Farabi atau nama sebenar beliau, Muhammad ialah salah seorang tokoh muzik Islam terkemuka yang lahir pada zaman kerajaan Abbasiyyah ini juga. Beliau juga digelar dengan nama Abu Nasr.


Al-Farabi


Pernah satu ketika, Sayf al-Dawlah al-Hamdan menjemput al-Farabi ke istana beliau dalam satu majlis perbincangan ilmu bersama dengan para cendikiawan yang lain. Semasa persembahan satu kumpulan pemain muzik terbaik, al-Farabi tunjuk rasa tak minat dan mengkritik mereka. Setelah mengetahui bahawa al-Farabi juga mempunyai pengetahuan dalam bidang muzik, Sayf al-Dawlah meminta beliau bermain alat muzik.

Al-Farabi mengambil 'ud (lute) atau yang kita kenali sekarang sebagai gambus dari beg dan terus memainkannya mengikut sentimen hadirin. Hadirin terbuai dengan emosi. Mereka ketawa, menangis dan terlena. Sayf al-Dawlah kagum dengan kehebatan al-Farabi. Beliau menyukai al-Farabi dan tidak berpisah dengan al-Farabi sehingga akhir hayat.


Gambus, alat muzik yang digunakan oleh al-Farabi


Bangsa Yunani (Greek) merintis seni muzik. Perkataan music itu sendiri berasal daripada bahasa Greek. Orang Islam pinjam perkataan muzik ini pada kurun kelapan hingga kesepuluh Hijrah.

Pythagoras telah buat ringkasan dan perbahasan tentang muzik. Al-Farabi pula sempurnakan ilmu muzik itu dan menjelaskan kekurangan perbahasan muzik Pythagoras.

Al-Farabi telah menulis buku tentang pengajaran dan teori muzik Islam berjudul al-Muziqi al-Kabir yang diterjemah menjadi Grand Book of Music dan beberapa karya lain yang telah diterjemah menjadi Styles in Music dan On the Classification of Rhythm. Buku-buku ini jadi rujukan penting di Eropah dan jadi sumbangan penting dalam penciptaan not-not muzik.

Al-Farabi telah membahaskan tentang estetika dan nilai muzik dalam kedamaian dan keharmonian jiwa, pada masa ahli muzik belum mempelajari dengan mendalam lagi tentang harmoni dalam muzik.

Selain jadi pakar muzik sebagai salah satu cabang ilmu, al-Farabi juga cipta beberapa alat muzik seperti rabab dan qanun.


                 Rabab                           Qanun



Muzik orang Islam pada hari ini

Muzik orang Islam pada hari ini telah banyak terpengaruh dengan muzik bukan Islam terutamanya dari Barat yang tak kenal halal haram. Pengaruh ini menular tanpa ada pihak berkuasa yang mahu kawal.

Pengaruh program realiti dan pembawakan imej dan cara hidup artis Barat diterima bulat-bulat sebagai satu cara hidup moden yang teriktiraf dunia. Siapa yang tahu, maka dialah yang paling mengikut perkembangan semasa. Tidak ketinggalan zaman.

Dunia pada hari ini berada pada zaman hedonisme. Unsur hiburan beri pengaruh dalam kehidupan. Bukan setakat muzik dan nyanyian, malah artis jadi model untuk diteladani.

Muzik dan nyanyian itu mudah mempengaruhi hati disebabkan ia fitrah manusia. Disebabkan muzik dan nyanyian pada hari ini sudah tidak terkawal seperti dahulu, maka kita seolah-olah hidup bersama racun.

Jadi, amat penting bagi kita yang mempunyai kesedaran dan kelebihan ini, mempergunakan segala macam usaha untuk membantu umat Muhammad akhir zaman ini membezakan antara baik dengan buruk. Jadi dan cipta penawar.

Nabi Muhammad tidak memperkenalkan muzik dan hiburan Islam. Tetapi beliau mengawal seni hiburan itu supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Nasyid adalah hiburan nyata selamat orang Islam. Tapi bukanlah bererti selain nasyid itu haram. Sedangkan konotasi nasyid itu berubah-ubah dan berbeza setiap manusia dan bangsa.

Jadi, apa garis pandu muzik dan nyanyian kita?

"Setiap pendengar sebenarnya merupakan orang yang paling mahir dalam menentukan hukum seni muzik. Sekiranya nyanyian tersebut terdapat unsur yang menaikkan syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk menyerjakan ibadah, maka menjadi kewajipan atas setiap pendengar untuk menjauhinya dan menutup pintu fitnah itu demi memelihara dirinya dan agama."
- Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi.


Rujukan utama:
Al-Farabi: Tokoh Seni Muzik
Ke Arah Memperkasakan Islamisasi Seni Muzik Sebagai Satu Alternatif : Satu Pengamatan Awal

Tuesday, November 23, 2010

pasca separuh akhir

Usai persembahan Mirwana pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 25 15 November 2010 yang lepas, seperti dijangka memang banyak respon yang diterima. Menjadi mantan sebuah kumpulan nasyid, gerak-geri Mirwana diperhati oleh banyak pihak.

Mirwana telah buat pembaharuan dalam cara persembahan mereka. Saya juga tak pernah tonton Mirwana yang begitu. Mirwana agresif yang terkawal di atas pentas. Penjenamaan semua Mirwana, kata saudara Yusri Hidayat, pengurus Mirwana.

Seruan tinggalkan semua perkara kala azan berkumandang, bergema di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.


Kredit kepada Ustaz Hafizi untuk gambar ini


Selepas penampilan terkini Mirwana di Muzik-Muzik yang dikira sebagai salah satu platform tertinggi untuk seorang penyanyi, makin banyak pihak yang mempertikai dan mempersoal. Mirwana ini bagaimana sebenarnya? Masih nasyid, atau sudah jadi kumpulan rock?

Sekali lagi, isu yang sama.

Persoalan:

"Jika mereka sekadar menyanyikan lagu-lagu nasyid/ketuhanan/apa-apa yang dalam kategori 'baik-baik' inilah, maka persoalan di atas takkan timbul. Senang sahaja, tak perlu tengok outlandish segala macam. Ungu, Awie, Amy Search, hatta Acha dan Irwanshah kesemua mereka pernah menyanyikan lagu-lagu nasyid/dakwah/ketuhanan. Jelas sekali tiada yang mempertikaikan.

Namun, jika si penyanyi atau kumpulan tersebut men'declare' diri mereka berdakwah melalui hiburan, banyak aspek perlu dilihat."


Jawapan:

"apa beza orang berdakwah dalam medium hiburan dan orang yang menyanyikan lagu dakwah/ketuhanan/nasyid? kerana dari sudut mirwana mana satu pon dikelaskan mirwana pada malam itu tidak menjadi hal." - Hafiz Mirwana


Ini bukan suara rasmi Mirwana. Ini suara saya, seorang Amira Hariyati. Jadi, apa yang diperkatakan tidak boleh digunapakai untuk memberi respon secara langsung kepada Mirwana.

Mirwana sedang bawa satu pendekatan baru dalam menyampaikan 'sepotong ayat'. Perkara baru, memang sukar untuk orang terima.

Kita selalu dengar penyanyi genre lain terbuka hati untuk menyampaikan lagu-lagu ketuhanan, atau sekurang-kurangnya menyanyi bersama penyanyi nasyid. Di negara jiran, Indonesia, perkara ini bukan perkara asing. Lagu ketuhanan boleh disampaikan oleh sesiapa saja, dalam apa jua genre terutama rock, pop rock dan rap.

Tetapi belum pernah kita dengar kumpulan yang dahulunya nasyid, masih dalam kumpulan yang sama, terus menyampaikan mesej-mesej mereka dalam genre lain. Ahli kumpulan nasyid yang keluar dari kumpulan nasyid dan keluar daripada menyampaikan lagu-lagu dakwah banyaklah.

"Baik Faizal Tahir tak payah keluar Mirwana begitu. Sama saja."

Samakah? Anda pernah dengarkah saudara Faizal Tahir dendang lagu ajak solat? Anda pernah nampak Mirwana buka baju?

"Jika mirwana ingin mengikut jejak Faizal Tahir, tidak perlu dia keluar dari mirwana. Kami beramai-ramai menukar haluan." - Hafiz Mirwana


Bagaimana untuk peminat rock dan genre-genre lagu lain mahu rasa yang diri mereka juga boleh jadi sebaik mereka yang minat nasyid sedangkan jiwa mereka tak ke arah itu?

Bagaimana pula untuk meraikan trend penyanyi nasyid yang keluar dari kumpulan mereka sebab tidak serasi dengan kekangan konsep dan nilai kreativiti yang tidak berkembang disebabkan sekatan-sekatan ciptaan manusia ini?

Sedangkan semua manusia fitrahnya pada kebaikan. Yang membezakan di sini ialah kecenderungan terhadap jenis lagu.

Mirwana ingin meraikan minat yang pelbagai itu. Mirwana mahu buka mata semua bahawa jenis lagu yang diminati itu tidak menggambarkan tahap iman seseorang. Mesej kebaikan boleh disampaikan dalam banyak cara.

Masih ada persoalan nasyid vs bukan nasyid?

Jadi, sekali lagi, ini soal penampilan semata-mata. Orang yang tak dapat melihat tak akan berkata apa-apa.

Bagaimana dengan penampilan Mirwana?

Ya, tidak dinafikan, berbeza daripada dahulu.

Dahulu Mirwana pakai penutup kepala, sekarang tidak. Dahulu Mirwana kenakan suit sepasang untuk semua (identiti kumpulan nasyid gamaknya), sekarang sudah seperti orang kebanyakan dan berbeza setiap seorang.

Dahulu Mirwana hanya berjalan-jalan, bergerak sedikit saja di atas pentas, sekarang Mirwana sudah pandai bergerak aktif, agresif mengikut rentak lagu mereka yang rancak. Dan ini yang sebenarnya jadi isu.

Persoalan: Berdosakah Mirwana bersemangat begitu?

Persoalan:

"Dosa dan pahala tentu dah nombor satu. Adat, adab, imej dan ketrampilan semua perlu juga dilihat dan diperhatikan. Islam bukan sekadar dosa dan pahala, Islam meraikan persekitaran. Hidup ini bukan sekadar hitam dan putih, hidup ini berwarna-warni."

"dr segi perubahan muzik mirwana bg aku no hal,cume maybe yg org akan tertanya2 skrg(seperti yg ditanya kpd aku) performance atas pentas masa tu...kalau artis yg terang2 wat maksiat tu hal lain.cth mudahlah...seorg ustaz ngan seorg guru akademik kedua2nya muslim,main bolasepak pakai suar pendek...sape yg org akan 'attack' dulu?"


Jawapan:

"kalo contoh ko yang pakai seluar pendek tuh mmg la jelas dan nyata haramnya. sebagai muslim kita sedia maklum itu tidak boleh. tapi macam kes mirwana nih kitorang tak dedah aurat. kitorang tak buat maksiat di atas pentas tuh. maksud aku sebagai pelaku, perbuatan apa yang menyalahi syarak?" - Hafiz Mirwana


Pelbagai pendapat, banyak cakap-cakap. Setiap perkara luar kebiasaan jadi pertikaian. Akhirnya, ia sama seperti kisah Luqman al-Hakim bersama anaknya dan seekor keldai. Terima kasih kepada saudara Ikram Mirwana timbulkan analogi ini. Ia sangat releven.

Luqman al-Hakim menunggang keldai ke pasar sambil anaknya mengekori dari belakang. Mereka yang di pasar mengutuk Luqman yang membiarkan anaknya berjalan kaki. Lantas Luqman meletakkan anaknya di atas keldai dan beliau pula yang berjalan kaki. Mereka bersuara lagi mengatakan anaknya tidak berhati perut membiarkan Luqman berjalan sedang dia enak menunggang keldai.

Kemudian, kedua-dua Luqman al-Hakim dan anaknya menunggangi keldai itu. Lagi orang di pasar bersuara, mengatakan mereka kejam membebani keldai yang ditunggangi. Akhirnya Luqman dan anak beliau turun dan berjalan kaki bersama-sama sang keldai. Masih, mereka bercakap-cakap tentang kurangnya akal Luqman dan anaknya tidak menunggani keldai yang ada.

Pengajaran yang sempurna, Luqman berpesan pada anaknya: "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

(Sumber)

Manusia boleh dan akan terus mengkritik. Namun sampai bila kita perlu pening kepala, susahkan hati dengar cakap-cakap manusia? Sedangkan kita tahu apa yang kita buat itu tidak bercanggah dengan apa yang Tuhan gariskan?

"ini soal persepsi... persepsi/ tanggapan nih dah jadik penyakit... semua orang suka hidup dengan persepsi... buang fakta buang hukum buang bukti buang hujah... hanya persepsi... hidup dengan persepsi... tanggapan tak habis-habis..." - Hafiz Mirwana


Iya, pada akhirnya, selagi belum ada dalil terbukti Mirwana salah dan berdosa, saya anggap ia sebagai pertentangan budaya dan adat Melayu Malaysia saja. Boleh rujuk pada artikel ini.

Apa yang penting, kita sokong semua yang bergerak atas landasan yang sama. Orang Islam yang ingin memartabatkan Islam dan menyebarkan walau sepotong ayat.

Tidakkah canggung lagaknya apabila kita cuba melemahkan semangat mereka yang seangkatan dengan kita? Selayaknya, kita dan mereka berjuang bersama. Dalam cara tersendiri yang telah ditentukan Tuhan. Mengikut minat masing-masing.

Setidak-tidaknya, mereka telah lakukan sesuatu. Dan berani melakukan perkara itu. Maksud saya, siapa yang sanggup bersemangat menyampaikan mesej untuk meninggalkan semua urusan dunia untuk menyembah Tuhan, sedangkan amat besar kemurkaan Tuhan pada mereka yang berkata tapi tak buat? (Surah As-Saf, ayat 3)

Saya amat kagum dengan bait lirik Seruan Lima Waktu yang amat berani:

Terdengar suara azan
Tinggalkan semua urusan
Ayuh-ayuh mari teman
Laksanakan perintah Tuhan
Namun kau katakan nanti
Nanti sekejap lagi
Kau sering katakan tunggu atau pergi dahulu


Secara peribadi, Mirwana jadi check and balance saya dalam kehidupan. Saya sebagai salah seorang yang mendukung perjuangan Mirwana juga perlu hayati setiap yang ingin mereka sampaikan. Jika tidak, semua tak akan bermakna.

Jadi bagaimana?

Mari, ayuh kita berlapang dada raikan kepelbagaian dan warna-warni kehidupan, dalam pendakian capai cinta Tuhan. Itu yang paling penting di sebalik semua kekalutan dan kekecohan.

Monday, November 01, 2010

mirwana di mmu

Sabtu 30 Oktober yang lepas, saya berkesempatan ke MMU Melaka untuk hadiri Konsert Nasyid 2010 bertemakan Bumi Akhir Zaman. Artis yang terlibat ialah Mirwana dan Demascus serta penampilan istimewa, Charma.

Semua mereka kenalan, sahabat dan keluarga saya.

Along dan Amy yang diajak sekali, buat kejutan. Amy hadir tanpa disangka. Mereka ialah kariban di UIA yang selalu temani saya ke konsert-konsert nasyid yang diadakan di sana dulu. Mereka sahabat sefikrah. Mereka sahabat setia. Mereka teman tangis dan tawa.

Mula-mula saya canggung untuk ke sana sendiri. Apatah lagi pada malam hari. Nyatanya ada hikmah untuk cekal dan semangat disebalik khuatir. Saya ke sana bukan lagi sekadar minat, tapi lebih pada tanggungjawab atas rasa diperlukan.

Hadir saya memang berbaloi. Banyak kejutan dan kelainan yang dibawa Mirwana ke MMU. Selain ia jadi konsert Mirwana yang paling panjang. 9 lagu semuanya. Puas. Mirwana memang hebat!

Pembuka konsert, Mirwana bawa 2 lagu malar hijau mereka, Aku Tanpa CintaMu dari album pertama dan Seruan 5 Waktu dari album kedua. Saya kira, 2 lagu ini jarang dilupakan di mana-mana konsert Mirwana pun. Tetap merdu di auditori.

Kemudian, Mirwana bawa 2 lagu yang layak ke separuh akhir Muzik-Muzik 25 yang akan bermula pada Isnin minggu hadapan. Tika Masanya dibawa versi akustik yang saya kira lebih enak dan tenang didengar. Kelainan rentak oleh abang Naim dan abang Hafiz memang menjadi.

Juga lagu Fiq, Manifestasi Cinta dibawa dengan versi Mirwana sendiri. Tak ada yang canggung. Oh, sudah lama saya nantikan Manifestasi Cinta versi Mirwana ini. Sejak kata mereka, mahu bawakan di konsert nasyid di KUIS yang tak jadi tempohari.

Lagu Jauh yang sebelum ini beberapa kali menjuarai carta IKIM.fm juga dibawa versi akustik. Lagu Jauh ini sebenarnya berangkaian dengan lagu Andaiku Pergi (tak dipersembahkan di konsert ini). Sebab ia telah disebar ke seluruh alam beberapa tahun sebelum album Bumi Akhir Usia diterbitkan.

Dalam pada artis lain takut-takut karya mereka tersebar sebelum masa kerana khuatirkan plagiat, Mirwana dengan senang hati mempergunakan 2 lagu ini sebagai promosi awal. Mirwana memang pemurah :)

Mirwana juga bawa sebuah lagu baru mereka, Esok Menanti. Beberapa kali didengar, lagu ini tetap bisa mengalirkan air mata. Bait liriknya menyentuh terus ke hati. Ya, masih ada perubahan daripada demo terakhir yang saya dengar, solo dari abang Akmal. Seperti 'Muda' ditukar 'Cinta'.

Saya kira, lagu ini akan terus berevolusi dalam mencari nada dan irama yang paling kena pada Mirwana, sebelum dikeluarkan hasil akhirnya. Lagu ini mungkin akan dimuatkan dalam album Mirwana selepas ini.

2 lagu yang sesuai dengan tema konsert pada malam itu, akhirnya dipersembah kepada umum. Bumi Akhir Usia dan Bukti Cinta.

Dengan penampilan istimewa DJ Erwan Johari (yang akhirnya bersedia dengan sesi rap beliau), dan Edry Demascus yang terkenal dengan kehebatan rap beliau, lagu ini jadi sangat bersemangat. Edry siap tambah lirik pada lagu Bumi Akhir Usia yang tak ada pada versi asal lagu. Hebat, hebat~

DJ Erwan (yang juga serasi dengan panggilan ustaz Erwan) dengan sokongan padu beliau pada Mirwana buat saya terharu dan tambah semangat. Beliau bawa set rakaman untuk rakam konsert itu. Kata beliau, insyaallah, lagu-lagu yang dipersembahkan malam itu akan disiar dalam ruangan 'Nasyid on Stage', IKIM.fm. Terima kasih ustaz! :)

Dan, Konsert Nasyid 2010 ditutup dengan lagu yang jadi iringan lagu Tika Masanya dalam Visi AJL saya, Muhammad the Arrival. Mirwana bawakan lagu itu bersama-sama semua yang membuat persembahan, Demascus, Charma dan DJ Erwan. Waktu itu Visi AJL saya terbayang-bayang.. :)

Ada terperasan sesuatu?

Konsert Nasyid 2010. Ironinya, semua yang membuat persembahan tidak menggelarkan diri mereka penasyid ;)

Akhirnya, semua itu memang bergantung pada individu itu sendiri. Tak ada isu. Tak ada yang benar atau salah. Terpulanglah mana yang lebih selesa di hati kalian. Mirwana itu nasyid atau tidak? Bagi saya, ya, masih ;)

Mirwana, teruskan semangat kalian berkongsi dengan orang ramai! Terus 'muda' dan 'pantas'. Saya bangga dengan kalian. Dan akan terus bersama, sebagai satu keluarga, insyaallah :)


Saya, kak Aznieta, abang Akmal, Ikram, Along, abang Hafiz, abang Naim

P/s 1: Video lagu-lagu yang Mirwana persembahkan pada malam itu boleh ditonton di Youtube.com, channel MiraKimura.

P/s 2: Buat Demascus dan Charma, maaf tak disebut banyak dalam ini. Mungkin perlu cari penulis sendiri :p

Monday, October 25, 2010

lagi lagi nasyid

Bicara tentang nasyid vs bukan nasyid takkan pernah sudah. Saya hampir muak dengan isu yang sama dibangkit berulangkali di mana-mana terutama di Facebook.

Masalahnya, tak ada satu pihak seperti Muzik-muzik untuk lagu-lagu genre lain yang ingin mengklasifikasikan lagu-lagu yang menimbulkan kekeliruan yang ada ini. Siapa yang bertanggungjawab? JAKIM? PIN?

Namun, pengklasifikasian lagu nasyid tidaklah semudah lagu-lagu lain. Sebab nasyid itu melibatkan identiti penyampainya. Lagu sekarang bukan cuma didengar di corong-corong radio. Artis diagungkan sehingga semua tentang mereka ingin diambil tahu.

Perbincangan panjang lebar dengan seorang teman semalam buka mata tentang pandangan umum tentang nasyid dan kriterianya. Siapakah penasyid dan apakah lagu nasyid.

Mirwana sudah terang-terangan mengumumkan mereka sudah bukan artis nasyid. Tapi saya tetap menganggap sedemikian sebab saya mahu rasa yang Mirwana sedang dalam proses memartabatkan nasyid di Malaysia.

Mirwana sedang cipta satu sejarah lagu nasyid apabila tertembus ke carta Muzik-Muzik dan kini lagu mereka, Tika Masanya layak ke separuh akhir Juara Lagu 25. Saya mahu semua pendukung irama yang selama ini dianaktirikan di Malaysia ini berbangga atas kejayaan Mirwana pada hari ini.



Secara asasnya, nasyid adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud lagu. Disebabkan ia perkataan bahasa Arab, tempat asal para nabi, pembawakannya ke tempat-tempat lain menjadi lagu Islami yang berunsur ketuhanan.

Nasyid tak ada definisi. Nasyid cuma ada konotasi. Konotasi nasyid itu berbeza mengikut norma dan budaya sesuatu tempat. Nasyid di Amerika tak sama dengan nasyid di Malaysia. Yang samanya cuma tema yang disampaikan.

Adakah genre lagu itu juga jadi salah satu ciri-ciri nasyid? Atau adakah nasyid itu sendiri jadi satu genre di Malaysia ini?

Secara umumnya, lagu nasyid itu lembut, mendayu dan mendamaikan kerana ia berfungsi mengingati Tuhan. Tapi tak dinafikan ada lagu nasyid yang berbentuk pop dan rap yang rancak untuk menaikkan semangat dan motivasi. UNIC popular dengan rentak sebegitu. Rock bagaimana?

Badar 313 itu lagu rock. Tapi tak ada yang bersuara negatif mengenainya sebab penyanyinya, Mestica itu adalah sebuah kumpulan nasyid. Jadi lagu Badar 313 adalah sebuah lagu nasyid.



Tapi bila Mirwana membawakan lagu rock Tika Masanya, ia tidak jadi nasyid. Ia jadi lagu rock berunsur Islam. Sebab Mirwana bukan kumpulan nasyid.

Jadi, nasyid itu tidak dilihat pada lagunya. Ia dilihat pada penyampainya. Dalam kes ini, Mirwana sendiri yang membuang label nasyid itu daripada diri mereka.

Jika di negara barat, Maher Zain dan Sami Yusuf itu boleh diterima seadanya sebagai seorang penasyid seperti yang kita kenali sekarang. Sebab budaya mereka tak menolak cara pemakaian seorang penasyid yang seperti Mirwana, Demascus dan Firdaus di Malaysia.



Cara pemakaian mengikut tempat inilah yang dikenali dengan pakaian soleh atau pakaian takwa. Pakaian yang mengikut tempat itu boleh menggambarkan kita sebagai orang Islam.

Bagaimana kita mengenali seseorang itu ustaz? Bukankah melalui cara pemakaiannya?

Kenapa perlu pakai pakaian takwa? Bagi seseorang yang mahu dikenali sebagai penyampai risalah atau pendakwah, tentunya pakaian takwa itu menambahkan keyakinan pendengar pada kredibiliti mereka. Bukankah?

Akan berkurangkah takwa sekiranya tidak memakai pakaian takwa? Itu urusan peribadi individu itu. Nilaian takwa hanya pada Tuhan. Hal dosa juga tidak termasuk dalam perbincangan ini, selagi mereka memenuhi syarat menutup aurat.

Bagaimana dengan kumpulan nasyid Nowseeheart yang sejak dari awal pengenalan mereka tidak mengenakan pakaian takwa seperti yang kita perbincangkan ini? Oh, saya tidak tahu setakat mana tekanan yang mereka terima.



Apa yang ada pada pakaian Nowseeheart cumalah beret di kepala. Jadi, adakah sekurang-kurangnya beret, atau topi golf (seperti yang dikenakan Maher Zain) atau kopiah, atau songkok, atau sebarang penutup kepala itu jadi salah satu ciri pengenalan penasyid? Topi dan bandana (key) bagaimana?

Para ustaz yang berceramah agama akan kenakan penutup kepala. Tapi ada sesetengahnya, apabila menyampaian ceramah atau kursus motivasi, mereka membukanya. Adakah pakaian soleh / takwa ini boleh dibuka dan dipakai mengikut kesesuaian waktu dan acara?

Oh, saya keliru dengan pakaian soleh / taqwa budaya Melayu Islam Malaysia ini.

Ironinya, orang Melayu Islam Malaysia yang punya persepsi sendiri mengenai nasyid mengikut norma dan budaya mereka pun menerima baik Maher Zain dan Sami Yusuf, sehingga sambutan yang diberi amat luar biasa.



Kumpulan-kumpulan nasyid asli (mungkinkah perkataan ini yang paling sesuai?) juga berbesar hati menerima, menyambut dan merai, malah berebut-rebut ingin mendekati Maher Zain dalam kunjungan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

Adakah penasyid luar dengan budaya yang berbeza itu dapat diterima, tetapi bukan penasyid dalam negara yang berbudaya sendiri?

Apa-apapun telahan, pendapat saya dan anda tentang nasyid pada hari ini, masih ada pihak yang mahu menganggap kumpulan seperti Mirwana itu sebuah kumpulan nasyid, walau bagaimanapun mereka mengumumkan menggugurkan gelaran itu.

  • Masih ada media yang menggelarkan Mirwana sebuah kumpulan nasyid.
  • Lagu-lagu Mirwana masih diterima baik dalam Carta Nasyid IKIM (ada khabar angin mengatakan IKIM pun mahu menggugurkan nama 'nasyid' itu daripada nama cartanya, menjadi Carta IKIM)
  • Mirwana masih jadi jemputan ke konsert-konsert nasyid. Contoh: Konsert Nasyid 2010
  • Mirwana masih jadi pilihan sebagai artis jemputan parti PAS yang kita maklum agak memilih dalam hiburannya. Contoh: Program Jelajah Generasi Idaman Selangor

Mirwana
sudah jadi fenomena. Ramai artis nasyid yang ingin mengubah penampilan dan pendekatan seperti Mirwana.

Jikalah Mirwana itu bukan artis nasyid dan budaya masih tidak dapat menerima gaya Mirwana sebagai sebuah kumpulan nasyid, tidak mustahil konotasi nasyid bangsa Melayu nanti akan berubah. Atau nasyid di Malaysia akan terkubur.

Jadi? Mahu label perlu garis pandu. Siapa nak buat?

Wednesday, August 04, 2010

mencari bahagia

Lari.. lari.. lari..

Saya mahu lari daripada ketidakseronokkan hidup. Saya mahu lari dari marah dan garang orang yang buat hati tak tenang. Saya mahu lari dari kehidupan yang kecewa.

Saya mahu lari kepada mereka yang boleh buat saya gembira dan rasa dihargai.

--

2 perjalanan. Agak jauh untuk masa yang singkat cuma. Semuanya kerana bahagia ada di situ.

--

9 Julai 2010. Dari PD jam 7.30 malam. Berhenti makan dan solat di R&R Dengkil. Tiba di Stadium Malawati Shah Alam pada jam 9.30 malam. Mahu hadir ke Nasyid on Stage sempena Karnival Sambutan Ulang Tahun Ke-9 Radio IKIMfm Sempena Konsert Mahabbah Gaza.

Sedang berlangsung forum berkenaan Gaza. Salah seorang ahli panelnya ialah Ust Azman, ketua misi Lifeline for Gaza.

Jam 10.30 malam, Nasyid on Stage bermula. Salah satu kumpulan yang membuat persembahan tentunya MIRWANA. Yang lain As-Saufee, As-Syifaa dan Devotees.

Bila berjumpa Muhammad Devotees,

"Mad! Kenal tak?" Beliau buat muka keliru. "Kak Miralah"

"Oh, Mirawana?" Bagus. Saya suka diingati begitu.

Ingatkan boleh jumpa dengan kenalan yang pernah satu kursus, Shauqi. Tapi katanya beliau ada kursus. Lain kali mungkin.

MIRWANA bawa lagu Seruan Lima Waktu, Tika Masanya dan The Climb, lagu yang asalnya dipopularkan oleh Miley Cyrus. Lagu yang dapat perhatian pihak Hotfm sehingga minta MIRWANA rakamkan The Climb versi MIRWANA, khas untuk mereka.

The Climb versi MIRWANA dah pun ke udara di Hotfm. Pertama kali diperdengarkan di Minijam Hotfm, Kuching, Sarawak pada 3 Julai 2010 yang lalu.

Usai persembahan, kami sempat berkumpul dan bergambar kenangan.





Aktiviti kali ini mempertemukan saya dengan 2 sahabat dari komuniti Telagabiru Fan, saudari Afzan dan Sakinah. Kami dah lama tak bertemu sejak komuniti itu terkubur.

Lain, selain saudara Yasir, saya berkenalan dengan 2 lagi yang selalu bersama MIRWANA; saudara Faiz dan Adi Hariez.

--

31 Julai 2010. Kebetulan, saya berada di Sungai Udang, Melaka, jadi AJK untuk satu program. Masa itu, MIRWANA dijemput untuk mengisi sesi konsert Suarasa yang diadakan di Dataran Bersejarah, Ayer Keroh, Melaka.

Kebetulan juga slot pada malam itu tidak memerlukan saya dan sahabat ini tunggu di program. Jadi, dengan hanya berpandukan GPS, kami menuju ke Dataran Bersejarah. Baru saya tahu, pintu masuknya sama dengan pintu masuk Zoo Melaka.

MIRWANA muncul dua kali. Kali pertama bawa lagu hit mereka dari album pertama, Aku Tanpa CintaMu dan lagu hit dari album ketiga yang tersohor kala ini, Tika Masanya.

Mujur diingatkan oleh saudara Yasir, saya tunggu untuk kemunculan kedua MIRWANA yang membawakan lagu 'pinjaman' yang disukai ramai, The Climb versi MIRWANA.

Aktiviti ini pula pertemukan saya buat pertama kali dengan tuan pengurus MIRWANA, Tuan Yusri Hidayat. Pertama kali jumpa bagai dah lama kenal pula. Pertemuan yang sarat dengan kata motivasi dan nasihat sehingga MIRWANA terpaksa tunggu kami habis bersembang.

Seronok dapat jumpa dengan tuan pengurus :)

Seperti biasa, selepas persembahan, saya tak pulang terus. Perlu berjumpa dengan mereka dulu. Dapatkan restu dari tuan pengurus untuk jadi pengurus kedua (:p) dan tunjuk muka pada MIRWANA.

Rasanya pertama kali mengeteh dengan mereka. Tak berpeluang untuk ke pertemuan mereka bersama peminat yang diadakan beberapa tahun sebelum ini.

"Bukan senang nak cari orang yang nak buat baik ni.." Tuan Yusri Hidayat.

--

MIRWANA. Tak salah saya pilih kumpulan nasyid ini untuk disokong dan diminati.

Perjuangan mereka bendasarkan ukhuwah persahabatan dan ikhlas mahu martabatkan muzik nasyid ke mata pendengar arus perdana industri muzik tanahair.

MIRWANA telah bersama sejak di tingkatan satu lagi. Jika dikira sehingga sekarang, mereka telah jadi MIRWANA 14 tahun lamanya. Setianya mereka, mereka telah bersama sejak di bangku sekolah sehingga telah berumahtangga dan beranak-pinak.

Sejak dari lahirnya album pertama, Hikmah Kembara pada tahun 2004 sehingga yang terkini dengan pelbagai kelainan dalam Bumi Akhir Usia, MIRWANA masih seperti dulu.

Para peminat tak akan rasa jurangnya mereka dengan MIRWANA. Sebab MIRWANA berkarya disebabkan minat dan niat, bukan mahu kejar populariti.

Bagaimana hebatnya cemuhan yang diterima akibat Faizal Tahir, dan bagaimana hebatnya tekanan yang dipikul sebab 'keluar' dari genre nasyid sebenar, mereka sabar, terima seadanya dengan tabah.

Sebab apa yang penting, mereka masih tetap dengan niat perjuangan yang terhadam sejak di tingkatan satu; sebarkan kata kebaikan, motivasi dan dakwah.

Terima kasih MIRWANA!

--

Saya sayang MIRWANA. Dan saya sayang GPS saya ;)

Thursday, July 29, 2010

ku berlari...

Dah lama tak update. Kita mulakan penulisan semula dengan satu lirik lagu yang agak lama dari Firdaus feat Cat Farish dan Akbar, Ku Berlari. Jadi motivasi hari ini :)



Firdaus:
Ku langkahkan kaki ini
Di hangat mentari pagi
Ku syukuri hari ini, aku masih berdiri

Dan aku tinggalkan masa kelabu
Dan lalu mulakan jalannya kerna-Mu

Semangat optimis diri jalan hari dengan pasti
Selama jantung berdetak, selama itupun

Takkan berhenti berlari wujudkan mimpi
Terus berlari agar hidup ini bererti

Terjatuh bangkit aku kembali
Susah payah aku tak peduli
Kerna hidup hanya sekali

Akbar:
Dengarkanlah teman seloka hiburan
Tak perlulah kita asyik nak berlawan
Kita semua kawan tak boleh berlawan
Kalau kita renggang kita ketinggalan

Bebaskan dirimu dari dibelenggu
Teruskan langkahmu ayuh kita maju
Mari bersamaku nyanyi lagu ini
Jangan difikirkan resah yang di hati

Semua itu hanya dimindamu
Tak perlu kau sangsi tak perlu kau ragu
Segala-galanya pastikan berlalu
Mentari kan muncul mendung kan berlalu

Cat Farish:
Suka duka perkara biasa
Kita pasti lalu bezanya pada waktu
Bila berlari kenalah berstrategi
Jangan ikut hati, ikut hati nanti mati
Biarlah terlambat atur jalan cermat
Pelan-pelan kayuh jgn sampai otak penat
Sentiasa bawa diri hati-hati hari-hari beri erti pada diri
Jangan berhenti kejar mimpi senyuman diberi tanpa semua benci menghantui hati
Biarkan saja, takdir semua nyata
Bersyukurlah masih lagi bernyawa

Firdaus:
Dan aku tinggalkan masa kelabu
Takkan berhenti berlari wujudkan mimpi
Terus berlari agar hidup ini bererti

Takkan berhenti
Berlari wujudkan mimpi
Terus berlari
Agar hidup ini bererti

Takkan berhenti berlari wujudkan mimpi…
Berlari..

http://www.marhabandiastro.com

Wednesday, June 02, 2010

sekitar 2 minggu...

I.

Saya dilantik menjadi pereka bentuk grafik buletin jabatan.

II.

Saya dilantik menjadi Setiausaha bagi Minggu Suai Kenal (MSK) pelajar ambilan Jun 2010.

III.

Saya dilantik menjadi salah seorang warden jabatan. Ok, bila saya kata jabatan, jangan bayangkan warden itu JAGA. Cuma tak mahu sebut jabatan itu di sini. Mula bertugas secara rasmi pada 1 Jun 2010.

IV.

Saya terpilih untuk menjadi seorang penulis buku blu print ICT Politeknik Metro. Bertuah mengenali pegawai-pegawai atasan yang terlibat secara langsung dengan perancangan Politeknik Metro.

V.

Saya berpeluang ke Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk menyaksikan persembahan Mirwana dan Hujan dengan lagu 'Tika Masanya'. Persembahan ini adalah untuk rakaman pencalonan baru rancangan Muzik-Muzik 25.

Ya, Mirwana pecah tradisi Muzik-Muzik apabila menjadi satu-satunya kumpulan nasyid (saya masih mahu mengenali mereka sebagaimana yang saya kenal suatu masa dulu) yang berjaya memasuki pencalonan Muzik-Muzik.

Pengacara rakaman itu masih memperkenalkan Mirwana sebagai kumpulan nasyid, walau atas desakan keadaan, Mirwana menyatakan mereka lebih selesa dikenali sebagai kumpulan vokal harmoni yang membawakan lagu-lagu ekperimental.

Yang mana satu pun, saya berbangga dengan Mirwana. Sebab Mirwana berani keluar dari kepompong corak nasyid tradisi untuk lebih mendekati audien dan pendengar yang lebih bersifat global dan universal. Yang penting, niat mereka menyebarkan dakwah dan kebaikan masih sama seperti dahulu. Persembahan dan penampilan mereka masih berlandaskan syariat Islam.

Pertemuan ini adalah yang pertama kali yang dikenali. Banyak kali (mungkin lebih daripada sekali) di UIA dulu, tetapi sebagai peminat biasa yang segan-segan nak tegur artis yang diminati. Tapi untuk kali ini, bermula dalam sebulan sebelum pertemuan, saya terlebih dahulu memperkenalkan diri melalui Facebook dan perkenalan itu disambut baik oleh mereka.

Sehingga sekarang, saya masih berhubungan terus dengan Mirwana, terutamanya saudara Akmal dan saudara Izzat. Masih tak tercapai anggota baru Mirwana, saudara Ikram (yang ada iras Sam Supernatural) sebab beliau tak ada dalam Facebook. Sayangnya :p

Kepada sesiapa yang berhajat menjemput Mirwana untuk sebarang persembahan atau konsert, boleh hubungi saya dan saya akan buat jalan untuk kalian berurusan secara terus dengan Mirwana. Setakat ini saya tak terlibat dalam sebarang penerimaan komisen daripada Mirwana.

Bak kata saya kepada saudara Akmal dahulu, "Motivasi saya menyokong dan membantu Mirwana bukanlah kerana wang ringgit, tetapi hanyalah kerana minat."

Perkembangan terakhir Mirwana: Mereka telah menjayakan proses rakaman untuk klip video 'Tika Masanya' dan dalam proses edit sebelum dilancarkan.

Tuesday, April 20, 2010

'keterbukaan terpimpin' - mirwana

Ramai menanyakan soalan mengenai konsep album dan hala tuju Mirwana sebagai sebuah kumpulan vokal harmoni yang dari dulu memperjuangkan irama nasyid. Soalan yang pernah ditanya antara lain adalah seperti berikut, Adakah Mirwana tidak lagi mahu bergelar artis nasyid? Mengapa album ni Mirwana sudah tak pakai kopiah? Apakah yang menyebabkan Mirwana tidak lagi berminat untuk bernasyid dan mula menukar haluan ke arah muzik pop? Adakah genre nasyid sudah tidak laku atau sudah tidak boleh jual? Di manakah pendirian Mirwana bila tidak mahu lagi dilabel nasyid? Mungkinkah Mirwana terpengaruh dengan kejayaan Faizal Tahir yang keluar daripada genre nasyid?

Mirwana ingin menjawab soalan-soalan ini dengan menyatakan bahawa kami mendukung semangat dan slogan 'Keterbukaan Terpimpin'. Sejak dari awal penubuhan Mirwana slogan inilah yang menjadi tunjang kepada Mirwana dalam berkarya. Slogan ini tidak pernah wujud. Cuma akhir-akhir ini Mirwana berasa perlunya satu slogan yang dapat menzahirkan pendirian kami. Ia diharap dapat difahami dan dihayati oleh pendengar, pengkarya, penggiat seni dan masyarakat umum. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan 'Keterbukaan Terpimpin' ini?

Istilah 'Keterbukaan' menurut kamus ialah perihal terbuka hati dan sikap sedia melayani atau menunjukkan minat kepada apa sahaja. (samada unsur, pengaruh, rangsangan, budaya, muzik, genre dan lain-lain). Minat yang dinyatakan dalam istilah ini adalah secara khusus merujuk kepada kecenderungan Mirwana untuk tidak menolak terlebih dahulu, malah dengan secara senang hati menyambut baik setiap bentuk muzik, untuk dikaji dan diperhalusi bagi mencari nilai sesuatu karya. Kami meraikan kepelbagaian dan kelainan yang wujud dalam setiap karya muzik. Dengan keterbukaan inilah Mirwana menghayati serta menghargai beraneka hasil karya muzik dan nyanyian dari pebagai bangsa dan negara, dari timur mahupun barat.

Namun bagi Mirwana dalam proses penghasilan muzik dan lagu, keterbukaan ini tidak akan mendatangkan kebaikan malah bakal mengundang kecelakaan jika ia tidak dikawal. Sikap hanya menerima segala bentuk muzik dan isinya secara semborono dan mencurahkan kembali kepada masyarakat dengan melulu, bakal membawa keburukan kerana muzik yang datang ini tidak hanya mengandungi rentak dan irama malah terkandung juga budaya bahaya yang sarat dengan kebejatan dan kerosakan. Menyedari hakikat ini, satu alat untuk menapis, mengasing atau menyaring perlu ada supaya mana yang dirasakan membawa kebaikan dapat diambil dan dihayati dengan lebih mendalam manakala yang buruk dapat dibuang jauh-jauh. Keperluan ini membawa kepada penghuraian kepada maksud perkataan seterusnya.

Terpimpin merujuk kepada perihal atau keadaaan dibimbing. Pimpinan yang dimaksudkan disini tidak lain dan tidak bukan adalah Al Quran dan Sunnah yang dalam erti kata lain bimbingan Allah dan RasulNya. Kami menyedari muzik dan nyanyian yang halal secara zatnya tidak boleh disalahguna. Ia mesti mempunyai unsur mendidik masyarakat, menggalakan kebaikan dan memerangi kemungkaran. Ia perlu disampaikan dengan cara penuh hikmah dan bijak bersesuaian dengan keadaan, tempat dan masa.

Inilah prinsip perjuangan Mirwana. Kami merasakan persoalan nasyidkah? atau tidak nasyidkah? sebagai persoalan ranting yang tidak perlu ditekankan oleh penasyid. Nasyid dengan apa sahaja istilah yang digunapakai oleh pendengar tidak harus menjadi rungutan yang asyik difikirkan. Pendengar dan masyarakat harus diberi peluang untuk menggunakan kebijaksanan mereka memutuskan persoalan ini.

Dengan prinsip Keterbukaan Terpimpin inilah album 'Bumi Akhir Usia' diterbitkan. Hasrat kami tidak lain hanya mahu berkongsi pengajaran, saling ingat-mengingat dan berpesan-pesan sesama pendengar. Ragam muzik dan nyanyian dalam album ini hanyalah satu usaha kecil Mirwana untuk membawa kelainan di dalam industri muzik tanah air yang sedikit sebanyak diharap dapat menarik golongan baru untuk mendekati kami.



Walaupun Mirwana agak terbuka dalam mencari kelainan sewaktu menghasilkan album, Mirwana sama sekali tidak melupakan prinsip ini. Cuma Mirwana percaya dan yakin hanya dengan sikap terbuka terhadap kepelbagaian, kita dapat menyuntik kesejagatan nilai Islam dalam jamak budaya dan pluralisme masyarakat kita. Mirwana tidak mahu terus tertumpu kepada segolongan kecil kelompok Islam dan meminggirkan yang lain. Mirwana mahu terus berkembang mencakupi kelompok masyarakat yang lebih besar. Perjuangan menyampaikan mesej Islam harus tersebar jauh menembusi sempadan bangsa, budaya dan agama. Biar tembok-tembok perbezaaan ini semakin lama semakin hancur dan rapuh. Agar satu hari nanti yang bersinar cerah adalah nilai Islam itu. Mudah-mudahan, kelainan dan kepelbagaian yang cuba ditonjolkan dalam hasil karya kami tidak disalah ertikan. Semoga, penjelasan yang pendek dan ringkas mengenai 'Keterbukaan Terpimpin' ini dapat sama-sama difahami dan dihayati oleh pendengar, penasyid, pengkarya, penggiat muzik seni hiburan Islam.

Wallahualam.


Mirwana, disampaikan oleh Muhammad Hafiz Tamizi

Wednesday, March 24, 2010

syaitan vs malaikat dan kehidupan

Dalam cerita-cerita kartun zaman Mickey Mouse dan Donald Duck, syaitan digambarkan berwarna merah, bertanduk dan membawa tongkat seperti garfu seperti tongkat Poseidon (pun dongengan Roman juga). Malaikat pula berbaju putih dan mempunyai gelung cahaya di atas kepala.


Poseidon


Syaitan dan malaikat saling bersaing mempengaruhi watak cerita. Syaitan suruh buat jahat, malaikat suruh buat baik.



Dalam Supernatural semalam, syaitan masih seperti itu, berwatak jahat. Tapi ia sebenarnya bukanlah syaitan, tetapi hantu (demon). Saya sedar semalam apabila Dean tanya Sam, jika dia mempercayai kewujudan syaitan (devil).

Dalam Islam, hantu itu syaitan juga. Jelmaan syaitan dalam pelbagai bentuk yang kita sendiri beri nama masing-masing.

Malaikat pula bukan tentera Tuhan. Malaikat itu makhluk Tuhan. Macam kita. Tapi kejadian malaikat daripada cahaya. Dan malaikat tak ada nafsu. Kerjanya cuma satu, jalankan kerja-kerja yang Tuhan suruh.

Syaitan juga makhluk Tuhan. Syaitan takutkan Tuhan. Tapi syaitan dengan egonya berjanji akan menyesatkan keturunan Nabi Adam (kita semualah tu - ya, kita ni keturunan Nabi). Syaitan ego tak mau sujud pada Nabi Adam. Katanya, dia lagi mulia sebab dijadikan daripada api. Nabi Adam dijadikan daripada tanah saja.

Syaitan tak takutkan malaikat. Tidak seperti yang ditonjolkan dalam Supernatural. Malaikat bukan seteru mereka. Malaikat tak ada nafsu. Syaitan cuma boleh perdaya makhluk bernafsu. Malaikat tak boleh mempengaruhi manusia tanpa izin Tuhan.

Pasangan syaitan bukan malaikat. Syaitan dengan malaikat bukan macam yin dengan yang. Bukan macam baik dengan buruk. Bukan macam lelaki dengan perempuan. Syaitan dan malaikat tak saling melengkapi. Syaitan itu satu entiti, malaikat itu satu entiti yang lain yang mempunyai peranan masing-masing dalam kehidupan manusia.

Ya, kehidupan ini semuanya tentang manusia. Malaikat buat kerja Tuhan untuk kelangsungan hidup manusia. Syaitan pula ajak manusia masuk neraka. Siapa yang ajak manusia masuk syurga? Bukan malaikat, tapi Tuhan.

Yang mentadbir bumi ialah manusia. Manusia ialah khalifah Tuhan di bumi. Khalifah ertinya wakil. Manusia inilah yang sebenarnya tentera Tuhan. Tentera, untuk mengekalkan kedamaian dan menghindari kerosakan. Manusia juga tentera kepada diri sendiri. Berperang dengan nafsu dan bisikan syaitan.

Semua manusia diberikan tanggungjawab ini. Tanggungjawab yang akhirnya akan mempengaruhi kehidupan kita sendiri. Jika kita bertanggungjawab, maka baiklah sudahnya.

Tuhan dah kata, dunia ini taman permainan saja. Tuhan cipta kita untuk sembah Dia. Yang lain cuma main-main. Emosi, perhubungan, pertarungan, persaingan, penipuan, kes sosial, pembunuhan, nafsu, syaitan, malaikat, gelak tawa dan tangis, semuanya permainan. Yang pastinya bukan main-main, semua kita akan hidup di dunia yang lagi satu.

Siapa yang jadikan dunia ini sebagai ladang tanaman, dialah yang beruntung di akhirat nanti. Ladang tanaman, tanam dengan amal kebaikan, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh. Jika ada, adalah tuaian yang akan kita tunjuk pada Tuhan pada hari pengadilan nanti.

Sekian, penjernihan terhadap onar Supernatural. Siapa yang mahu tonton, sediakan diri dengan perisai iman dan ilmu secukupnya :)

Saturday, March 20, 2010

cara undi / minta lagu MIRWANA di stesen² radio


Pilih LIMA (5) lagu daripada senarai lagu dalam carta dan/atau lagu pencalonan baru.
Hantarkan undian ke emel cartaikimfm@hotmail.com
Rujuk sini untuk carta terkini: http://cartanasyid-ikim.blogspot.com/

Carta minggu lepas:

CARTA NASYID IKIM.FM 12/03/10 (minggu 56)

1. Langkah Tercipta – UNIC (+6) (18) 91
2. Daerah Ini – Algebra (+3) (5) 112
3. Aku Rela –Algebra (+6) (14) 92
4. Tidur Bangun Dengan NamaMu – Demascus (-1) (11) 103
5. Hanyut – UNIC (+6) (8) 107
6. Itulah Impianku – Iwan Reaz & Wan Syah (-4) (4) 114
7. Sesekali Diuji – NICE (+7) (19) 90
8. Mencari Yang Hilang – Fara Leia Az Zahra (+7) (14) 97
9. Patah Hati – Saujana (lagu baru) (1) 120
10. Qurratul Ain – Haikal (-) (11) 98
11. Ke Jalan Lurus – Iwan (+1) (3) 109
12. Aku Milik Mu – Azhan Atan (+1) (12) 100
13. Nikmat Kurnia – Syifa’ (-12) (16) 93
14. For Allah – Hafiz Hamidun (lagu baru) (1) 119
15. Hanya Takdir – Inteam (-11) (8) 106

Pencalonan Baru
Damainya Islam – All for Ummah 115
Sehebat Berita – Marjan 117
Al-Amin – Al-Amin 118
Mahabbah – Rabbani 121
Jauh – Mirwana 122

Lagu Terkeluar
Allahu Rabbi – Inteam (6) 20 minggu
Hati – Rahmat (8) 2 minggu

---------------------------------------


Web: http://www.hotfm.com.my/korner/
Lagu² pilihan ini ke udara setiap Sabtu & Ahad, 12pm - 9pm
Telefon: 03-7710882
SMS: 33399

---------------------------------------


Permintaan Lagu

Web: http://www.era.fm/program/pilihanmu/default.asp
Jika melalui emel atau faks, lengkapkan butiran berikut:
Nama:
E-mel:
Alamat:
Pilihan 1:
Pilihan 2:
Pilihan 3:
Pilihan 4:
Pilihan 5:
Emel: webmaster@era.fm
Faks: 03-9543 5676
Telefon: 03-9543 3355
SMS: Taip ERAPDE [ruang] Lagu Pertama, Lagu Kedua dan hantarkan ke 32555. Contoh: ERAPDE Tika Masanya, Jauh.
ERA akan menunaikan 2 daripada lima pilihan. Jika ada dua lagu dari artis yang sama, mereka hanya akan pilih satu sahaja.

Dedikasi Lagu

Pilihan Muzik Terkini ERA dengan dedikasi dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.
SMS: PMT [jarak] Nama [jarak] Dedikasi & Lagu Pilihan. Hantarkan ke 32555
(Sumber: http://www.era.fm/oap/09/era_top/default.asp)

---------------------------------------


Saya masih mencari. Yang jumpa cuma: http://www.xfm.com.my/radio/servissms.asp, tapi macam tak ada yang kena. Jika sesiapa ada maklumat, tolong beritahu saya, saya beritahu semua semula. Terima kasih!

---------------------------------------

Undi lagu Jauh untuk Ikim FM dan lagu Tika Masanya untuk yang lain-lain.

Mari, kita sama² jadikan Mirwana sebagai kumpulan nasyid pertama yang berjaya menembusi monopoli industri muzik negara, dan memberi semangat kepada kumpulan² nasyid lain untuk terus ke hadapan dalam menyampaikan dakwah cara 'didik ikut zaman'!

Thursday, March 18, 2010

mirwanafc di fb

Salah satu cita-cita saya ialah untuk bersama membantu menaikkan sambutan dalam industri nasyid negara. Tidak kisah bagaimana caranya dan tidak mengharapkan sebarang balasan.

Nasyid ialah salah satu butang hijau saya. Jargon yang DMFK gunakan untuk mendefinisikan perkara yang boleh buat kita ceria.

"Sesungguhnya, dengan mengingati Tuhan, hati akan menjadi tenang"

Sudah tentu selain menulis, aerobik, buat perkara-perkara lasak dan cabar diri dengan perkara-perkara baru.

Jadi, bermula dari sekarang, dengan adanya teknologi-teknologi yang 'mengecilkan dunia', saya mahu jadi penggerak. Bermula dengan kumpulan nasyid kegemaran saya: MIRWANA.

Sila lawat, lihat, sertai dan meriahkan kumpulan Mirwana FC di Facebook. Ahli-ahli kumpulan Mirwana; Izzat, Akmal, Along, Hafiz, Ikram, Naim, semua ada di sana. Kalian boleh tambah mereka sebagai rakan, dan berkomunikasi secara terus!

Jumpa di sana!

Thursday, March 11, 2010

ingat mati

Rupa-rupanya saya tak begitu menghayati lagu "If Today Was Your Last Day", Nickelback.

Kelmarin, saya tonton Supernatural akhir musim ke 3. Selepas setahun perjanjian penjualan roh dengan iblis, Dean akhirnya dimasukkan ke 'neraka', dengan cara kematian yang sangat tragis; dibaham anjing neraka (hell hound). Di 'neraka', kedua-dua tangan dan 'kaki'nya dipasung, tergantung dalam satu ruang seperti dalam lohong atau vakum, sendiri, memanggil-manggil nama Sam yang selalu di sisinya selama ini. Saya terfikir.


Kita nanti sendirian, menghadapi pembalasan terhadap apa saja yang kita telah lakukan di dunia. Jika kita ke syurga tak mengapa. Hidup masih bermasyarakat dalam harmoni. Tapi jika kita ke neraka, sendiri dalam api yang panasnya 70 kali ganda daripada api di dunia.

Dari sebuah hadis, Nabi Adam telah mendapat api dari neraka untuk kegunaannya memasak. Sebesar mana? Biji sawi. Malaikat Jibril basuh api itu dengan 70 buah sungai syurga. Kemudian, Malaikat Jibril letak atas puncak sebuah gunung yang tinggi. Gunung itu cair. Saki bakinya kita guna sampai sekarang.

Dalam ajaran Islam, selagi kiamat belum tiba, yang jahat tidak terus ke neraka. Kita akan melalui satu alam dahulu iaitu alam kubur. Dari alam kubur ini lagi, kita boleh tahu kita ini jahat atau tidak. Ke syurga atau neraka? Hanya Tuhan yang tahu. Alam kubur berlangsung sehinggalah hari akhir dunia.

Mati itu mudah. Kehidupan selepas mati itu yang susah. Bergantung pada amalan dan tinggalan kita di dunia.

Adakah rugi mereka yang mati awal sebab terpaksa berada di alam kubur sehingga hari kebangkitan? Sedangkan pada zaman Dajal dan Yakjuj dan Makjuj nanti pun ada yang sanggup korek lubang kubur sendiri sebab tak tahan dengan fitnah-fitnah mereka?

Bagaimana pula jika ada yang sempat menyaksikan adegan tiupan sangkakala pertama? Sanggupkah?

Lalu berbunyi sangkakala membelah langit
Gegak gempita masing-masing berlindung diri
Ibu kehilangan anak di kandungan
Bintang yang dilangitpun berguguran
Kala itu taubatmu tidak berguna lagi


Khabar Iman, Raihan

Ada yang cakap, "Alah, orang Islam, lepas dah habis pembalasan di neraka, akan masuk syurga juga."

Persoalannya: Sanggupkah? 1 hari akhirat bersamaan dengan 50 ribu tahun di dunia! (Qur'an, Surah al-Ma'arij ayat 1-4)

Dan seksaan paling ringan di neraka ialah dipakaikan selipar dengan tali dari api neraka. Mendidih otaknya seperti mendidihnya air dalam periuk. Dia ingat dialah yang dapat balasan paling teruk, padahal apa yang berlaku sebaliknya. (Hadis, riwayat Bukhari dan Muslim)

Selepas itu, adakah kita boleh kembalikan masa ke dunia? Dan buat amal dan kebaikan sebanyak-banyaknya?

Benar kata hadis, "Manusia yang paling bijak ialah yang paling banyak mengingati mati."

Kenapa dia bijak? Sebab dia sentiasa bersedia jika maut di depan mata. Jadi, dia tak rugi apa-apa dengan sebarang kemungkinan pembalasan di akhirat. Sebab dia tau, dia dah manfaatkan setiap yang ada untuk kebaikan di akhirat.

Semua yang dia lakukan mengarah pada apa yang dia akan dapat di akhirat nanti. Semua pekerjaan yang dilakukan diniatkan ibadah. Jadi, dia tolong orang, sedekah, derma, wakaf, mengajarkan ilmu, tanpa harapkan balasan. Sebab dia cuma nak balasan dari Tuhan.


Konsep iblis dan syaitan, neraka dan kematian orang barat ini mungkinlah sedikit berbeza dari kepercayaan dalam Islam. Sedikit, sebab agama Kristian masih agama wahyu dari Tuhan. Kristian dan Islam ini seperti cahaya yang masuk ke rumah. Puncanya masih sama, cuma dipisahkan melalui lubang mana yang dilalui.

Berbeza, sebab Qur'an sebagai sumber utama ilmu dan maklumat tentang Islam dipelihara Tuhan sehingga kiamat, sedangkan Injil dan kitab-kitab agama wahyu yang lain berevolusi sejajar masa (ayat canggih ni. Tapi sinis).

Walau konsep berbeza, ada sesetengah pengajaran masih boleh diambil, direnung dan dimanfaat bersama.

Jangan buat perjanjian dengan syaitan (bomoh dsb).

Syaitan bersumpah menyesatkan manusia sehingga kiamat. Jadi, jangan percaya walau sedikit kata-kata syaitan.

Mantera serapah kita ialah azan dan ayat al-Quran. Tapi kita cuma boleh halau dan menyakitkan syaitan, bukan bunuh. Syaitan tidak akan mati sehingga kiamat.

Air suci kita ialah yang dilafazkan dengan nama Tuhan.

Jangan bunuh diri, masuk neraka adalah untuk selama-lamanya!


Dean meraung sendiri dalam 'neraka'. Kaki dan tangan terpasung, dia tak dapat bergerak. Statik begitu. Sehingga bila? Adalah kita mahu rasa penyesalan seperti Dean ketika itu?


Artikel ini mungkin mengandungi khilaf sebab ditulis oleh yang tak diiktiraf dalam bidang agama. Jadi, mudah-mudahan, kita dapat berbincang dan berkongsi ilmu bersama :)

Wednesday, March 10, 2010

bumi akhir usia



Mirwana dah keluarkan album terbaru! 'Bumi Akhir Usia'

Pemberitahuan ini sedikit terlambat, memandangkan ketiadaan promosi meluas di mana-mana media yang mudah didapati. Hanya tahu dengan ke laman web baru yang cantik dan menarik Mirwana: www.mirwana.com.my.

(Cuba lihat kolum 'Community'nya. Nak juga belajar buat macam tu)

Album edisi terhad ini diedarkan oleh Warner Music (M) Sdn Bhd bersama Inteam Records Sdn Bhd bermula 12 Januari 2010 lepas.

Track lagu:
Andaiku Pergi (Instrumental)
Jauh
Andaiku Pergi
Cahaya Kekasih
Bumi Akhir Usia
Jauh (Radio Edit)
Anugerah Istimewa
Kembali Padamu
Bukti Cinta
Fana Pesona

Saturday, February 27, 2010

if today was your last day

My best friend gave me the best advice
He said each day's a gift and not a given right
Leave no stone unturned, leave your fears behind
And try to take the path less traveled by
That first step you take is the longest stride


If Today Was Your Last Day, Nickelback


"Everything has its first time"

Kadangkala kita asyik menolak sesuatu yang kita tak pernah berpengalaman buat. Atau dah pernah buat, tapi atas sebab-sebab tertentu, kita tak mahu buat lagi. Sedangkan perkara itu bukanlah tidak baik malah mampu menambahkan pengalaman dan meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri untuk berhadapan dengan sesuatu yang lebih besar.

"If today was your last day"

Secara kebetulan (atau sememangnya genre lagu-lagu Nickelback adalah berasaskan motivasi), saya dapat ilham lagi untuk bercerita setelah dengar lagu dari Nickelback: If Today Was Your Last Day.

Bagaimana jika hari ini ialah hari terakhir kita? Masihkah lagi kita akan menolak untuk melakukan perkara-perkara yang tidak pernah kita lakukan?

Bagi saya, saya tak lakukan semua yang saya lakukan dengan ingatan "hari terakhir" sebagai motivasi. Tapi saya suka nak cabar diri buat perkara-perkara baru terutamanya perkara-perkara yang sebelum ni tersenarai dalam fear factor saya.

Sebab saya fikir, setiap perkara ada pertama kalinya (sila jangan terjemah kata-kata ni untuk buat perkara yang tak baik). Jika bukan sekarang, lambat-laun saya perlu hadapi juga. Sebab tu saya suka nak umumkan batu-batu tanda (milestone) yang ingin saya capai kepada semua (rujuk laman Bukumuka saya).

Milestone yang saya tetapkan ni adalah salah satu cara berazam. Berazam bukanlah wajib untuk setiap tahun baru, tetapi yang sebenarnya untuk kita nampak apa yang kita mahu dan perlu buat selepas ini untuk menjadikan atau sekurang-kurangnya merasa diri lebih maju.

Bila kita ada rasa itu, maka kita akan jadi lebih yakin dan menghargai diri sendiri.

Oh, saya pernah jadi manusia tanpa azam (ini bukan Azzam IK09 atau nama mana-mana lelaki lain). Sebab memang tak nampak apa yang saya mahu dan perlu buat dalam satu-satu tahun. Tapi bila kita dapat menterjemah azam sebagai batu-batu tanda yang dapat buat kita rasa diri lebih berharga, itulah yang patut kita kejar.

Saya tak pernah nampak diri berdiri dan berucap di hadapan khalayak. Dulu, saya pernah ada cita-cita menjadi guru.

Seorang rakan di Tingkatan 1 (agaknya) tanya saya, "Betul ke awak nak jadi cikgu? Pembentangan pun tak suka?"

Sejak itu saya berfikiran negatif terhadap kemampuan saya menjadi guru atau tenaga pengajar yang lain. Setiap kali pembentangan di sekolah sehingga universiti adalah dalam keterpaksaan. Sama ada setelah cuba untuk buat kerja lain untuk mengelak tugas pembentangan tapi tak berjaya atau setiap ahli kumpulan perlu membentangkan sebahagian hasil kerja, atau itu adalah tugasan individu.

Seboleh-bolehnya memang dielak.

Ada jenis manusia yang memang suka bercakap di hadapan khalayak. Tidak saya.

Kenapa saya tak sukakan pembentangan? Sebab saya gugup dan tak yakin boleh bercakap dengan lancar. Saya cuma akan memalukan diri sendiri atau menghampakan ahli kumpulan yang lain.

Maknanya, persepsi negatif saya itu boleh diubah. Sebab saya bukanlah tak suka berhadapan dengan khalayak sebab saya akan pengsan!

Semasa di universiti, pembentangan tugasan tak dapat dielakkan. Begitu juga semasa pengalaman pertama menjadi pengerusi majlis untuk minggu Taaruf (di dewan besar, CAC!). Saya adalah salah seorang komiti Program Coordinator. Ahli komiti tersebut memang wajib menjadi MC untuk mana-mana slot.

Saya tak boleh buat alasan untuk lari. Walaupun bila di rostrum, memang rasa macam nak lari.

Kelmarin adalah pengalaman ketiga saya menjadi pengerusi majlis di tempat kerja sekarang. Walaupun, ia adalah kali pertama saya mempengerusikan majlis seorang diri dan kali pertama juga menjadi bidan terjun yang sangat lewat diberi tugas (petang mau majlis, pagi baru dapat permintaan!), segala tolakkan yang (jika) saya beri itu cuma alasan, dan bukannya sebab.

Bukan saya tak pernah berpengalaman mempengerusikan majlis seumpama, malah kelmarin adalah yang kedua. Cuma, adanya pasangan pengacara mengurangkan gugup sebab semuanya masih boleh dibincang bersama semasa majlis berjalan. Pasangan pengerusi melengkapi dan menutup kesilapan satu sama lain.

Tapi, jika saya beri alasan tak pernah mempengerusikan majlis tanpa pasangan, bila lagi saya akan diberi peluang latih diri berdiri sendiri?

Pengalaman di universiti dulu tak pernah pun mempengerusikan majlis berdua. Dalam Bahasa Inggeris lagi. Oh, tapi pengalaman di universiti dahulu agak mudah, sebab skrip dah disiapkan, cuma tinggal baca sahaja. Pengalaman kelmarin, saya perlu karang skrip sendiri! Apa susah, saya kan penulis :D

Satu lagi pengalaman baru saya yang serasanya memang layak untuk diketawakan: BOLING.

Baru pertama kali bermain boling di Mines semasa pertemuan semula dengan sahabat-sahabat sekelas MRSM Kuantan 21 Februari lepas. Kenapa saya tak suka boling? Adakah sebab saya kurang minat bersukan? Tapi, boling bukan macam sukan-sukan lasak dan berpeluh yang lain.

Saya tak pernah main boling sebelum itu sebab saya malu. Itu saja.

Saya malu menjadi perhatian semasa giliran saya. Mesti semua orang tengok.

Tapi sebab yang bermain pada hari itu cukup-cukup 8 orang (2 lane), dan sebab tak mau lagi menghampakan sahabat-sahabat seperti banyak kali sebelum ni (maaf ya semua yang pernah mengajak?) maka saya pun dengan rasa berdebarnya main..

Yes! Kurang 1 perkara yang saya tak pernah buat! Maknanya, dah bolehlah nak main lagi lepas ni. Bukankah ia memang meningkatkan keyakinan diri? ;)

Pertemuan semua itu bukan saja catat sejarah pertama kali main boling, tapi juga pertama kali ke Mines, pertama kali memandu sendiri dari Kuantan ke KL, dan pertama kali juga memandu dalam KL yang sangat digeruni sebelum ini.

Cuti Tahun Baru Cina yang lepas juga catat satu milestone. Pertama kali memandu (bawa adik-adik berjalan) ke East Coast Mall. Dan mengadakan pertama kali untuk mereka: tonton wayang.

Hah.. banyak sangat perkara yang masih belum dicuba dan menanti untuk dicuba. Tracking di Tanjung Tuan dah sudah. Main mainan di funfair pun dah sudah (Sila jangan gelak. Sebab realitinya, sangat ramai orang dewasa yang tak berani. Nak buat macam mana, dah besar baru berpeluang ke funfair~). Lepas ni, saya mau main 'pisang' di Teluk Kemang dan main mainan di Genting.

Tidakkah hidup menjadi lebih bermakna dengan debaran perkara pertama? ;)

And would you call those friends you never see?
Reminisce old memories?
Would you forgive your enemies?
And would you find that one you're dreaming of?
Swear up and down to God above
That you'd finally fall in love if today was your last day? - wah, ini isu lain! :D


(Iklan: Lagu yang dimaksudkan boleh didengar di sini)

Friday, February 12, 2010

turn left turn right

Cause nobody wants to be the last one there
Cause everyone wants to feel like someone cares
Someone to love with my life in their hands
There's gotta be somebody for me like that
Cause nobody wants to do it on their own
And everyone wants to know they're not alone
There's somebody else that feels the same somewhere
There's gotta be somebody for me out there


Gotta Be Somebody, Nickelback

(Lagu ni tak ada kena-mengena dengan apa yang ingin diceritakan. Sebenarnya terdengar lagu ni dulu pagi tadi, baru teringat cerita di bawah ni. Macam kena pula)

Semalam, tanpa dirancang, berpeluang tonton "Turn Left Turn Right", filem Hong Kong-China-Singapura tahun 2003 lakonan Takeshi Kaneshiro dan Gigi Leung. Tanpa dirancang, sebab saya memang jarang buka siaran RTM.



Takeshi bawa watak John Liu dan Gigi bawa watak Eve Choi (terpaksa cari nama ni di internet, tak ingat dalam cerita sebab mereka panggil masing-masing dengan nombor - memang pelik). John seorang pemain biola dan Gigi seorang pengalihbahasa. Kedua-duanya hidup sendiri, tak ada kawan dan menjalani hidup yang hambar dan kosong.

Ia berubah apabila mereka ditemukan dalam satu acara dan menghabiskan seharian bersama. Mereka dapat rasakan keserasian dan perlunya mereka dalam hidup masing-masing. Ironinya, mereka cuma bertukar no telefon tanpa tahu nama pun!

Tragisnya, no telefon yang bertukar tangan telah kabur dibasahi hujan pada hari itu. Nasibnya, kedua-dua mereka tak dapat menghubungi satu sama lain. Kecewa dengan rasa itu, demam mereka tambah teruk. Disebabkan mereka jenis pendiam dan anti-sosial, mereka tidak tahu pun yang mereka tinggal sebelah menyebelah dalam bangunan yang sama!

Jadi, jalan cerita ini berkisar pencarian antara satu sama lain dan betapa mereka setia menanti. Bukan tak ada orang lain yang cuba mencuri hati. Tapi hati mereka yang memutuskan untuk menerima dan mengecewa. Mana mungkin melawan kata hati.

Dan.. penantian dan pencarian itu sungguh menyeksakan. Bagai tak ada penghujung dan hanya mengharapkan keajaiban.

Akhiran pertemuan kembali mereka amat mengharukan...

Bak kata seorang teman, apa yang ingin disampaikan melalui cerita ini ialah: "Jika dah jodoh, tak ke mana"

Iya. Cuma beza masa cepat dan lambat saja. Jika John dan Eve keluar rumah, bersiar-siar, berkenal-kenalan, bina hubungan-hubungan persahabatan, mungkin jodoh itu datang lebih segera ;)

Cuma, filem itu cuma boleh jadi metafora kehidupan sebenar. Yang jodoh itu adalah antara hero dan heroin cerita. Wataknya cuma dua. Realitinya, kita jatuh cinta banyak kali, dan kadang-kadang jadi tak tahu siapa jodoh yang sebenarnya. Siapa hero / heroin cerita kita.

Saturday, December 26, 2009

avatar

Rasanya macam baru pertama kali tonton filem yang wataknya bukan manusia. Selain kartun. Dan animasi 3D. Tak sangka boleh seronok tonton Avatar.

Rancangan nak tonton filem ni tak lama. Sebab ada kawan yang mengajak. Jadi, tak sempat pun nak siasat dan tau sinopsisnya. Hanya sempat lihat watak 'alien' filem tu.

Watak alien biru telinga panjang. Dengan tajuk cerita macam kartun Avatar: The Last Airbender (font face pun sama). Memang langsung tak menarik perhatian saya. Kalau diadaptasi dari kartun Avatar pun, saya memang tak layan kartun tu. Tapi sebab saya ni suka berjalan, saya ikutkan saja ajakan beliau.



Hasilnya, cerita ni sangat memuaskan dan berbaloi ditonton. Apatah lagi agaknya jika dicuba versi 3D (tak berpengalaman lagi).

Avatar sebenarnya bermaksud wakil diri. Macam avatar (gambar) yang kita letak di YM mewakili kita yang sebenar.

Dalam cerita ni, avatarnya ialah satu makhluk campuran DNA manusia dengan makhkluk planet Pandora. Manusia dah jadi alien di Pandora. Manusia datang ke Pandora sebab nak kaut hasil planet yang boleh bawa untung besar.

Manusia yang datang ke situ terdiri daripada kumpulan saintis dan tentera. Kumpulan saintis ni bertanggungjawab dengan teknologi baru penghasilan tubuh seakan makhluk Na'vi dan mesin yang membolehkan otak manusia mengawal Avatar itu dari jauh.

Kumpulan tentera pula bertanggungjawab melatih mereka yang bakal mengendalikan Avatar ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan di tempat asing. Mereka mempergunakan Avatar yang boleh bernafas dalam atmosfera Pandora ini untuk berhubung dan memperoleh kepercayaan puak Na'vi.

Hero cerita, Jake Sully yang lumpuh kaki seolah mendapat kehidupan baru di Pandora. Dia, dengan Avatarnya jadi wakil manusia masuk ke dalam masyarakat orang asli Na'vi. Terlanjur, dia bercinta pula dengan Neytiri, anak perempuan ketua suku Na'vi.

Sebahagian manusia tenggelam dalam nafsu tamak menguasai mineral Pandora. Lupa pada kemanusiaan, mereka guna cara paksa untuk mengusir puak Na'vi dari tapak mineral tersebut setelah rundingan diplomatik diwakili Jake tak berjaya.

Jake bangun mewakili puak Na'vi dan mempengaruhi puak-puak lain Pandora supaya bersatu menentang kaumnya sendiri.. manusia.

Persoalan utama di sini ialah.. pendirian untuk menegakkan keadilan dan kemanusiaan dan bukannya perkauman.

Bila kita tahu ada antara bangsa atau keluarga kita yang salah dan menganiayai orang lain, kita perlu bantu mereka yang dizalimi, walaupun orang itu tak ada pertalian darah atau sebarang kaitan pun dengan kita.

Dan.. persoalan dalam penyesuaikan diri dengan persekitaran asing. Kita akan rasa berat hati, sesak dan terasing berada dalam situasi yang tak pernah dialami sebelum ni, kecuali jika kita pandang sekeliling dari mata mereka yang berada di dalamnya.

Tentera manusia di Pandora menganggap makhluk planet Pandora sebagai musuh dan semua yang ada di dalamnya membahayakan. Sampaikan kapten tentera cakap, mereka akan nak cari neraka sebagai R&R semasa di Pandora.

Tapi Jake dengan mudah menyesuaikan diri, belajar cara hidup dan bahasa Na'vi sebab dia rasa seronok dan nak lepaskan diri daripada kata-kata doktor tentang apa yang dia tak boleh buat.

Tahniah James Cameron, yang selepas 15 tahun, akhirnya berjaya merealisasikan ide filem ini, menggunakan teknologi kesan khas terkini.

Dan terima kasih kawan. Ajak tonton cerita ni ;)

Friday, December 11, 2009

jaga kata dan laku

Saya baru berpeluang sembang online dengan seorang munsyeed ni. Kumpulan nasyid beliau ni popular juga.

Tujuan utama, nak cari sumber paling mudah tanyakan soalan agama. Sebab tak ada lagi dalam senarai sahabat dalam YM itu yang paling sesuai untuk diajukan soalan berkenaan.

Saya maklum, beliau sibuk. Tapi beliau maklum akan bantu mana termampu. Saya anggap pun begitulah. Sebagai seorang ikon masyarakat dalam bidang agama.

Saya tanya soalan, beliau jawab tanpa kepastian. Tapi lepas tu, beliau quote fakta yang diambil entah dari mana (beliau tak beritahu sumbernya).

Entah beliau silap faham agaknya dengan soalan saya, saya tanya kembali soalan itu.

Beliau cakap beliau ada rasa macam nak marah. Siap tulis huruf besar poin soalan saya sebelum itu, mahu membuktikan yang saya sudah tukar soalan. Katanya, tadi saya tanya pasal soalan lain, yang ini lain pula.

Terus persepsi saya pada insan ni berubah.

Saya tanya memang sebab perlukan jawapan. Saya tanya pun dalam ayat yang baik dan mengajak pada perbincangan.

Saya terus memohon ampun atas gangguan dan hentikan perbualan.

Saya tahu beliau sibuk. Tapi apa yang saya lupa ialah, munsyeed ini juga manusia biasa. Ada tahap kesabaran atas tekanannya. Juga saya pun belum tahu bagaimana cara biasa beliau berbual dengan orang kebanyakan.

Cuma, apabila telah jadi ikon masyarakat, setiap kata dan perbuatan jadi nilaian orang. Apatah lagi ikon ini membawa imej agama Islam.

Jika sedang sibuk, apalah salahnya tutup YM itu. Atau sekurang-kurangnya, jika hanya mahu berbicara dengan orang tertentu, invisiblekan saja.

funfair @ sinfair?

Funfair atau taman keriangan patut jadi tempat kita meluangkan masa bersama teman-teman atau keluarga. Atau boleh jadi tempat untuk manjakan diri dengan hiburan sekali sekala.

Tapi tempat berkumpulnya segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak ini seolah-olah menghalalkan permainan berunsur judi.

Bukan satu gerai yang mengoperasikan permainan sebegitu, tapi banyak. Dan kebanyakannya. Taman keriangan dah jadi macam mini casino.

Macam mana sesuatu mainan tu boleh jadi judi? Bila kita mempertaruhkan sejumlah wang (judi = taruhan) ke atas sesuatu dengan harapan akan mendapat habuan hanya berdasarkan nasib.

Kau beli token yang harganya RM1 setiap satu. Kau letak di atas satu bahagian bulatan (macam papan bulatan Roda Impian). Kau pusing tuil yang disediakan atas bulatan tu dan berharap hujungnya akan berhenti atas bahagian yang kau letak token tadi. Kalau dapat, maka dapatlah habuannya.

Judi namanya.


Kau beli token lagi. Kau letak atas kotak warna merah, salah satu warna antara banyak lagi warna lagi seperti biru, kuning, hijau, putih dan merah. Penjaga gerai tu masukkan bola-bola berwarna dalam satu bekas yang membolehkan kau nampak pergerakan bola tu ke bawah. Kalau bola warna macam kotak yang kau letak token tadi jatuh dulu melalui satu turus bawahnya, kau akan dapat habuan.

Judi namanya.

Ada beberapa permainan yang saya tak kategorikan sebagai judi. Termasuklah permainan yang menyediakan hadiah, walau nombor atau huruf apa pun yang kita dapat. Cuma mungkinlah hadiah tu ada besar, ada kecil. (Boleh diperbincangkan)

Atau mainan dart. Bidik kotak yang bertanda, dan kita akan dapat hadiah berdasarkan bilangan tanda yang kita dapat.


Atau main baling gelang. Sasarkan gelang ke penyangkut yang ada poin.

Atau main menembak. Bidik ke arah tanda untuk barang yang kau nak.

Atau boling mini. Sasarkan bola kecil dari satu lubang ke mana-mana lubang bernombor dihujung. 6 bola yang dibaling akan menjumlahkan satu angka. Angka tersebut mewakili hadiah apa yang kau akan dapat.

Atau bingo. Yang memerlukan kecekapan mata mencari nombor yang disebut pengacara.


Semua yang melibatkan kemahiran dan memerlukan usaha untuk kita mendapat jenis hadiah itu bukan judi. Cuma, disebabkan ada kos mengeluarkan hadiah itu, kita bayar dengan token sebagai bayaran penyertaan.

Taman keriangan ini tak patut jadi tapak menyemai perkenalan dengan permainan berunsur judi. Terutamanya tempat ini menarik perhatian kanak-kanak dengan kemeriahan warna-warni lampunya. Apatah lagi ia beroperasi pada musim cuti sekolah.

Jadi, pada pendapat saya, mereka yang bertanggungjawab meluluskan perniagaan sesuatu taman keriangan ini meneliti jenis permainan yang bakal beroperasi.

Sebab tulah saya tak galakkan adik-adik main permainan yang di bahagian belakang tu. Banyak permainan yang meragukan (syubhah). Jika nak sertai, cuma permainan yang boleh naik. Tak kisahlah nak naik kuda, jet, UFO, cawan, eye atau buaian.

Tujuan saya beri adik-adik peluang cuba pun sebenarnya nak uji keberanian mereka. Sekurang-kurangnya boleh latih mereka jadi kurang takut dengan kelajuan dan ketinggian. Boleh hadapi cabaran yang lebih hebat pada masa depan.

Itulah juga tujuan saya ke taman keriangan. Masa kanak-kanak tak berpeluang. Dah bekerja dan berwang, barulah berpeluang uji diri cara ni.

Apa-apapun, jangan terlalu ralit (kata orang Kelantan ghalik) dengan hiburan yang beri gembira sementara ni. Sehingga tak sedar dah berapa banyak duit yang keluar. Membazir amalan syaitan. Boleh jadi haram jika melalaikan dari tanggungjawab.