Thursday, April 24, 2008

perlukah kita berubah?

Saya pernah alami perubahan cara kehidupan yang agak drastik dulu, terutama [atau sememangnya] dari segi pemakanan.

Di MRSM, kami diberi makan 6 kali sehari. Dalam pada tak nak membazir setiap makanan yang telah diperuntuk untuk saya, banyak kali juga skip. Sebab tak larat dah nak makan.

Di sana wajib keluar riadah. Tak boleh duduk di asrama setiap hari mula jam 5.30 petang. Kebanyakan masa, jika tak keluar jogging, saya main badminton dengan kawan-kawan dan secompound [jargon di asrama puteri, untuk bilik sendiri dan bilik di hadapan].

Jadi, lapar juga jadinya. Belum tambah dengan stress belajar lagi. Tingkatan 4 dan 5 memang zaman jadi ogre. Makan banyak. Kalian yang kenal saya sekarang akan terkejut jika lihat gambar saya waktu tu. Bulat sungguh. Berat dah cecah 60kg.

Bila masuk matrik UIA, saya masih terbawa-bawa dengan cara pemakanan di MRSM. Hari pertama orientasi, saya bangun awal [memang seperti di MRSM yang kena solat subuh berjemaah di surau]. Saya ajak Siti, kawan sebilik untuk turun sarapan. Dia belum siap. Saya jadi pelik. Katanya nak sarapan di bilik saja.

Dengan skemanya, saya beli sarapan berat [tak ingat apa, mungkin mi goreng] di kafe Zainab College. Tak lupa teh susu secawan. Lengkap macam di MRSM. Cuma bezanya, kali ni saya perlu bayar. Dari situ je saya dah mula berkira-kira.

Jika sekali makan harganya macam tu, macam mana dengan 6 kali sehari? Cukupkah dengan RM1000 satu semester yang diberi kementerian untuk pelajar matrik? Masa tu saya memang belum tahu nak bajet, sebab belum ada pengalaman urus makan minum sendiri.

Tak boleh jadi. Hari selepas tu saya mula kurangkan makan. Sehinggalah kepada sekali sehari saja makan nasi. Makan malam cukuplah dengan roti cicah air milo atau dengan jem saja. Pula tu, roti yang dibeli bukan roti Gardenia. Tapi roti keping yang harganya cuma RM1 sebungkus tu. Dalam plastik yang atasnya warna oren. Saya pun dah tak ingat apa namanya.



Saban hari, macam tulah hidup saya. Janganlah kawan-kawan ajak makan malam, saya takkan keluar duit untuk makan. Walau cuma secucuk nugget. Jika nak jaga hati mereka pun, saya cuma temankan mereka. Tapi takkan keluarkan duit. Takkan.

Pada satu hari tu, masa 'makan malam', saya rasa nak muntah. Tak larat nak habiskan sekeping roti berintikan jem strawberi. Rasa jemu sangat. Sampai saya cakap pada Yonn, kawan saya, "Esok ingatkan saya untuk makan malam dengan nasi. Tak sanggup dah nak makan roti."

Esoknya saya makan nasi tak?

Betul. Tak. Saya cuma 'upgrade' kualiti makan saya dengan... roti ban Sweeties.

Tu pun, saya punya berkira... [Sebab roti ban tu agak mahal... berbanding roti RM1 dulu]. Sehari boleh makan maksimum 2 saja. Kalau tak, lari bajet.

Stail makan nasi sekali sehari tu berterusan sampai ke UIA Gombak. Cuma dah tak stict macam dulu. Kalau malam u rasa nak makan nasi, saya beli saja tanpa banyak sangat fikir.

Dr [bos saya] ada cakap semalam. "Kadang-kadang, kita tak dapat lari dari perubahan. Perubahan tu termasuklah pendirian kita. Cara paling berkesan nak uji pendirian seseorang ialah dengan kuasa. Bagi kuasa pada seseorang, tengoklah sejauh mana dia dapat bertahan dengan pendiriannya."

Macam biasa, saya pun mula fikir falsafah sendiri. Tak mudah nak ikut saja falsafah orang lain tanpa fikir dahulu.

Benarkah kita mesti berubah? Wajibkah kita berubah?

Pada saya, ada sesetengah perkara, untuk maju, kita perlu jadi fleksibel. Badan dan keperluan badan kita berubah, jadi cara pemakanan kita perlu berubah. Kita perlu adaptasi dengan keadaan sekeliling. Kita kena pandai masuk dengan orang. Tak boleh nak keras kepala ikut kita saja. Sebab manusia ni makhluk sosial, hidup bermasyarakat, tak mampu nak hidup seorang diri.

Jika kita mudahkan urusan orang, Tuhan akan mudahkan pula urusan kita.

Dalam Castaway, orang yang tersesat di sebuah pulau pun nak kena sekurang-kurangnya sesuatu yang boleh dianggap 'orang', untuk teman dia berbual. Biar dikata gila [walau tak ada orang pun nak kawa dia gila], asal tak gila betul-betul sudahlah. Sebab memang boleh jadi gila duduk sorang-sorang lama-lama tanpa berkomunikasi.

TETAPI, ada sesetengah perkara lagi yang kita tak boleh ubah ikut keadaan. Iaitu iman dan akidah. Tuhan itu satu. Dan Tuhan takkan berubah sampai bila-bila. Agama yang kita anuti dan kitab pengangan pun tak berubah.

Biar semaju mana dunia dan manusia, biar orang kata kita kolot masih berpegang teguh pada agama, ingatlah yang manusia ini di pandangan Tuhan semuanya sama. Tak lebih tak kurang melainkan yang bertakwa.

Hidup dalam reda Tuhan adalah visi kita. Hidup di dunia untuk ke syurga adalah misi. Berubahlah macam mana pun, tapi jangan lupa asal kita. Dari Tuhan. Dan kita bakal kembali padaNya. Jangan sesekali lupa itu.

Wednesday, April 23, 2008

air mata raji

Sabtu lepas, Cerekarama dengan tak semena-mena tayangkan drama berunsur ketuhanan [bukan lagu je ada yang berunsur ketuhanan tau!]. Tajuknya "Air Mata Raj'i". Saya tak berapa dapat tangkap apa maksud air mata Raj'i yang watak Fizz Fairuz, Asim dok ulang-ulang.

Tapi kehadiran drama yang lari dari norma tema drama pada hari-hari biasa tu menarik perhatian saya. Fizz Fairuz pula yang jadi 'ustaz'nya. Dan mereka berani nak bawa masuk sekali orang bukan Islam dalam lakonan sebagai kayu ukur. Nak membezakan pasangan India ni dengan pasangan orang Islam watak Shahizey Sam dengan ... [saya tak kenal nama wanita tu] yang tak mengamalkan cara hidup Islam.

Dengan terang-terangan, watak Shahizey minum arak dan hidup sebumbung dengan teman wanitanya. Pasangan India tu pelik. Mereka minta penerangan Fizz Fairuz. Kenapa ada orang Islam yang macam tu? Macam ni ke ajaran Muhammad?

Fizz beri analogi. Jika seorang anak mencuri, siapa yang dipersalahkan? Tentu ibu bapanya. Tapi adakah ibu bapanya yang mengajar anak mereka untuk mencuri? Tentu tidak. Begitu juga bila berhadapan dengan situasi orang Islam yang mengamalkan cara hidup Islam ni. Nabi Muhammad juga yang kena fitnah. Tapi adakah benar-benar salah baginda rasul? Nauzubillah.

Pasangan India tu tanya lagi. Macam mana layanan Nabi Muhammad pada orang bukan Islam? Fizz jawab. Mereka angguk. Baik benar perilaku Muhammad, kata mereka.

Satu perkara penting yang saya belajar daripada drama ni. Tentang sunnah Nabi Muhammad yang mengajarkan kita untuk berbuat baik kepada orang yang buat jahat pada kita. Dalam cerita, Shahizey yang sangat marahkan Fizz sebab sibuk nak campur urusan peribadinya, sembur air arak pada muka Fizz. Dia juga dah koyakkan penutup tempat duduk motor dan calarkan kereta kawan-kawannya.

Fizz pesan pada mereka supaya sabar. Nabi Muhammad dulu, orang bukan Islam lempar batu, letak najis di hadapan rumah baginda. Baginda sedang solat di hadapan Kaabah, mereka letakkan batu di tengkuk baginda sewaktu sedang sujud. Tapi Nabi tak mengamuk dan marah-marah. Baginda tetap sabar. Apa sangatlah dengan kena sembur air, kata Fizz.

Cara yang paling berkesan untuk mempengaruhi orang bukanlah dengan kekerasan, tapi dengan kesabaran dan tingkah yang baik.

Tahniah TV3! Dan pihak penerbit cerita. Harapnya yang lain tak segan silu lagi nak terbitnya cerita seumpamanya. Beri pendedahan perkara asas tentang Islam. Jadi penawar 'Fitna'.

Tuesday, April 22, 2008

selamat pengantin baru, amar!

Semalam saya terima kad undangan ke majlis perkahwinan Amar. Alhamdulillah, sampai juga jodoh beliau.

Selama ni Amar sorokkan siapa bakal zaujahnya. Artis katakan, seboleh-bolehnya nak elak kontroversi. Hasilnya, bila terima kad jemputan tu, saya terkejut. Kenalan saya sendiri rupanya. Siti Zawani Zaidan, pelajar jurusan undang-undang juga. Pernah sekelas skil silat di UIA dulu. Saya kira sama batch dengan saya sebab selama ni saya dan rakan-rakan cuma memanggilnya dengan nama. Tapi kata Along, Wani tu tua setahun dari kami. Kakak sekolahnya dulu. Kecilnya dunia.

Teringat masa saya tegur Anas, bekas anggota FarEast di YM. Saya nampak gambar yang beliau pamer seiras wajah Faizal Tahir. "Pandai cari sudut," kata saya. Baru-baru ni saja saya baru tahu yang Anas tu adik Faizal Tahir, memanglah muka mereka iras! Kecilnya dunia. [Atau saya yang tak prihatin?]

Jadi, pada 17 Mei akan datang, Amar akan adakan majlis di rumahnya di Kuala Ketil, Kedah. Akadnya tentu awal daripada itu, tapi saya tak pasti bila. Cuma dapat jemputan dari pihak lelaki saja.

Teringin sangat nak hadirkan diri ke majlis kawan-kawan. Tapi apakan daya, mula dari zaman MRSM, kawan-kawan saya kebanyakannya dari luar Kuantan. Jadi nak pergi tu mungkinlah ada kekangan masa, pengangkutan dan penginapan. Balik hari boleh. Tapi jika dah sampai ke Kuala Ketil...!

Cuma, bila dah sekali sekala jumpa kawan-kawan lama, mesti nak berlama-lama juga. Taklah datang, makan dan terus balik.

Apa-apapun, untuk kawan-kawan yang saya tak dapat hadiri majlis kalian, termasuklah Amar, dari jauh saya ucap selamat pengantin baru, semoga bahagia selalu dengan fasa kehidupan baru ;)

Wednesday, April 16, 2008

kereta? hold dulu!

Baca artikel ni sampai habis. Gerenti buka perspektif baru untuk kalian ;)

***

Saya tahu, anda graduan muda ada ego. Siapa mahu bekerja di bawah terik mentari? Siapa mahu mengutip tin-tin kosong, suratkhabar lama dan menjualnya kembali. Siapa lah yang sanggup berjual di pasar malam. Apatah lagi menebalkan muka untuk membuat jualan direct selling. Tapi ia bukan salah anda, memang anda diajar menjadi seorang pengurus. Anda tidak diajar menjadi kuli atau menjadi bos.

Pekerjaan idaman anda adalah pekerjaan bertali leher, berstatus pegawai dan eksekutif, pejabat berhawa dingin. Ada setiausaha, ada kerani yang menyiapkan kerja-kerja remeh temeh. Gaji masyuk. Itu lah yang terbayang di mata anda bukan?

Akhirnya, dengan gaji hampir RM 2000, anda akhirnya membuat keputusan untuk membeli sebuah kereta baru. Sekarang ini macam-macam ada. Ada Myvi, ada Savvy, ada Viva, ada Gen2. Yang pasti ia mesti baru. Pinjaman kereta 9 tahun pun tidak mengapa. Apalah sangat pembayaran bulan-bulan berjumlah RM 600. Aku seorang eksekutif muda! Mesti ada gaya, mutu dan keunggulan.

Begitulah tindakan pertama rata-rata eksekutif muda. Membeli kereta. Kereta baru. Tempoh pinjaman 9 tahun. Tetapi ramai terlupa. Terlupa yang sesungguhnya yang anda sudah membelanjakan 1/3 pendapatan bulan-bulan untuk kereta, malah jika dicampur kos tol dan minyak, sebenarnya anda sudah membelanjakan 1/2 pendapatan hanya untuk kereta.

Ada yang marah bila dikatakan, “Buying a car is the most stupid thing to do.” “Kalau takde kereta, macam mana aku nak bergerak?” Terpulang. Saya tetap bersetuju sesungguhnya membeli kereta adalah antara tindakan bodoh seorang eksekutif muda. Untuk tempoh 5 tahun pertama, cukuplah beli kereta serendah RM 5,000 dan bukannya RM 50,000. Sekurang-kurangnya anda tidak jadi orang paling bodoh dengan membuat pinjaman 9 tahun untuk sebuah liabiliti.

1/3 pendapatan anda seharusnya disimpan. Saya ulang, disimpan. Buat satu akaun simpanan khas dengan segera. Saya sebut simpanan dan bukannya perlindungan insurans mahupun pelaburan unit amanah. Simpanan adalah simpanan. Jangan campur adukkan simpanan dengan perkara lain.

RM 1000 x 12 x 9 = RM 108,000.

Graduan muda, anda pilih sama ada mempunyi sejumlah simpanan wang tunai sebanyak ini untuk tempoh 9 tahun atau anda memilih sejumlah itu untuk dileburkan demi sebuah kereta?

***

Sumber: www.pakdi.net/my

Entri lama Pakdi ni saya baru baca. Kebetulan, baru nak digunakan. Baru habis belajar katakan. Convo pun belum lagi.

Bila dah baca, rasa lega sikit. Kalau tidak, rasanya sama macam masa mula-mula menganggur dulu. Tak tenteram bila dah tamat belajar tak ada kerja. Sekarang, tak tenteram pula dah ada kerja tak berkereta. Rasa menyusahkan mak abah pun ada. Pergi balik terpaksa berhantar.

Tapi jika nak fikirkan pasal kereta sekarang memang agak mustahil. Kenapa saya cakap macam tu? Hutang pun tak habis bayar lagi! Biarlah PTPTN tu saya ambil cuma untuk 2 semester pengajian, tapi pun masih belum habis bayar. Bulan-bulan, ada saja yang perlu dibeli, diuruskan. Belum mampu menyimpan pun lagi.

[Oh, lupa. Saya beli buku yang sangat banyak dari stor PTS. Kononnya nak meraikan gaji pertama. Juga belikan hadiah buat Fahmi yang dapat 12 1A dalam SPMnya. Belanja untuk diri sendiri? Beli barang Sureco, konon nak maintain poin saja. Ok, ok, lepas habis bayar PTPTN, saya janji akan simpan ;)]

Jadi, begitulah. Kena utamakan yang utama. Paling penting, langsaikan hutang, bukan tambah hutang. Lepas tu, terus menabung [untuk yang lebih bijak, melabur]. Teruskan menyimpan dan menyimpan. Dah cukup barulah beli kereta. Secara cash. Tak perlu bayar riba. Ok tak? ;)

Tuesday, April 08, 2008

produk pork skin bervitamin



PRODUK INI TELAH BERLELUASA DIJUAL DI 7 ELEVEN. Hati-hati. Jangan sampai terbeli...

Sumber: www.muslimconsumer.org.my

Friday, April 04, 2008

Mitos minum 8 gelas air

Pakar berpendapat tiada bukti air banyak manfaat kepada tubuh

LONDON: Sekumpulan saintis menyangkal dakwaan bahawa meminum lapan gelas air sehari adalah baik untuk kesihatan manusia sebaliknya menyifatkan ia sebagai satu mitos.

Kumpulan saintis itu berpendapat bahawa sehingga kini tiada bukti dengan meminum sejumlah besar air dapat memberi manfaat kepada kesihatan seseorang dan mereka tidak mengetahui bagaimana kepercayaan itu boleh tersebar.

Kumpulan pakar buah pinggang di Amerika Syarikat membuat kajian terhadap dakwaan bahawa dengan meminum lapan gelas air sehari dapat membuang toksin dalam badan, menghalang kenaikan berat badan dan meningkatkan tona kulit.

Dr Dan Negoianu dan Dr Stanleu Goldfarb dari Bahagian Hypertensi, Elektrolit dan Renal di Universiti Pennsylvania berkata bahawa tiada satu kajian menunjukkan bahawa purata kesihatan manusia memerlukan untuk meminum sejumlah air melebihi 1.5 liter setiap hari.

"Tidak jelas dari mana datangnya cadangan seumpama itu," kata mereka dalam Journal of The American Society of Nephrology.

Penyelidik mendapati beberapa bukti bahawa individu yang dalam keadaan panas, cuaca kering dan juga atlit perlu meningkatkan jumlah air yang diminum. Kajian juga menunjukkan bahawa meminum banyak air juga membantu badan mengeluarkan garam dan dan urea.

Tetapi tiada kajian mendapati adanya manfaat kepada organ sekiranya pengambilan air adalah berlebihan.

Dr Negoianu dan Dr Goldfarb turut menyiasat teori bahawa meminum lebih banyak air boleh menyebabkan kita berasa kenyang dan hilang selera makan.

Ada pendapat mengatakan bahawa perkara ini dapat mengekalkan berat badan sihat dan mengatasi obesiti tetapi tiada bukti terhadap dakwaan itu. - Agensi

Berita Harian



Ada sumber lain?