Dalam Islam, da'wah adalah satu kewajipan, sama ada dilakukan secara individu atau secara berkumpulan (berjemaah). Keutamaan diberi atas umat Nabi Muhammad S.A.W. sebagai umat yang terbaik antara semua manusia.
"Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyeru kepada kebaikan, serta melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang demikian ialah orang² yang berjaya."
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik² umat yang dilahirkan sebagai (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada berbuat segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar² iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) Antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan daripada mereka orang² yang fasiq."
Apa beza kita dengan Yahudi atau Nasrani seperti dalam ayat - jika kita juga bersifat fasiq - Islam hanya pada nama, tapi ingkar pada arahan Allah dan ajaran Rasul?
Seringkali kita mendengar...
"Iman aku lemah. Aku tak mampu menegur mereka."
...apabila dipersoal akan pengabaian mereka terhadap kemungkaran yang berlaku di hadapan mata.
Kononnya mengikut sunnah, kata Nabi...
"Barangsiapa yang menyaksikan kemungkaran dan mampu mengubahnya dengan tangan, maka hendaklah dia mengubahnya. Jika tidak berupaya, hendaklah dia mengubahnya menggunakan lidah (menegurnya). Jika tidak berupaya, hendaklah dia membenci perbuatan itu dalam hati; itulah selemah² iman."
Tapi, sampai bila hendak dibiarkan iman itu di takuk lama?
Bak kata orang moden sekarang, bila nak upgrade?
Asyik kata diri sendiri tak cukup baik untuk menegur. Bila nak jadi yang lebih baik sekurang²nya daripada diri sendiri yang semalam?
Islam itu moden. Bahkan Islam itulah yang mendatangkan kemodenan, ilmu, cahaya penyuluh pada kejahilan. Islam bukan setakat tradisi, bukan mitos atau dongengan semata. Islam itu adalah cara hidup. Yang selama²nya sesuai diamalkan. Bukan hanya pada umat Islam, tapi pada semua 'jenis' manusia, di mana² jua.
"Maka yang mana satu antara nikmat² Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?"
Islam hari ini makin dianaktirikan oleh dunia [sekurang²nya oleh mereka yang mengaku menguasai dunia dalam segala hal]. Islam semakin ditindas. Islam semakin dipandang serong. Islam tidak lagi dianggap berkuasa [kerana Islam pernah menguasai dunia satu ketika dahulu]. Islam tidak lagi dihormati.
Sanggupkah kita terus hidup dalam situasi begini? Dalam keadaan Islam yang suci dicemuh dan diperlekeh waima oleh mereka yang 'jahil' dan tidak mengetahui?
Ubahlah dunia ini. Selamatkanlah bumi daripada terus berada dalam kesesatan.
Mulakanlah dengan mengubah diri.
Ubah rakan². Tegurlah yang mana patut. Yang mana mengikut kata iman adalah kebenaran. Kau tahu itu, bukan?
Memang ini adalah satu da'wah. Tapi juga adalah jihad jika yang dida'wah telah maklum akan kebenaran tetapi kebenaran itu tidak menjadi amalan. Ramaikan dalam golongan ini? Fasiqkah mereka? Atau cuma terkubur dalam kelemahan terbesar manusia, kealpaan (nisyan) dan kelalaian (ghaflah)?
"Dan sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tetapi dia lupa; dan Kami mendapati dia tidak mempunyai keazaman yang teguh."
Ya Allah! Bersihkanlah hati² kami daripada sebarang rasa riak dan iri. Semoga kami sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan dan rahmat-Mu! Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menyebarkan kebaikan dan menghalang kemungkaran seperti yang telah Kau tugaskan kepada kami.
No comments:
Post a Comment