IKIM.fm cari juara lagu nasyid
Kuala Lumpur 6 Ogos - Buat pertama kalinya, pencarian juara lagu nasyid diadakan pada Anugerah Carta Nasyid Ikim.fm 2004 yang akan diadakan pada 21 Ogos ini, di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, membabitkan sembilan kumpulan dan seorang artis nasyid popular bersaing sesama mereka. Persaingan menerusi 10 lagu yang masuk ke peringkat akhir itu diambil berdasarkan pencapaian konsisten dalam carta lagu nasyid yang diadakan setiap minggu di saluran IKIM.fm sejak ia dimulakan 11 Oktober 2002.
Kumpulan yang layak ke peringkat akhir ialah Raihan melalui lagu Untuk Mu Palestin, Rabbani (Handzalah), Hijjaz (Sumayyah), Saujana (Rahmat Kasihmu dan Lakaran Minda), Unic (Ke Makam Bonda), Firdaus (Ratu Hati), In-Team (Damba kasih), Nowseeheart (Hijrah) dan Amar (Cebisan Kenangan).
Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob, berkata Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm yang akan dijadikan acara tahunan bertemakan Membudayakan Warisan dalam usaha menyampaikan mesej Islam menerusi irama nasyid.
“Tema ini dipilih bagi menepati aspirasi kegemilangan tamadun dan budaya Islam yang selaras dengan hasrat kerajaan. Nilai estetika dapat dihayati melalui kesenian serta hiburan yang dipersembahkan menerusi maksud lirik, lagu dan ketrampilan nasyid masa kini.
“Anugerah ini bermula dari segmen Carta Pilihan Utama Nasyid yang disiarkan setiap Jumaat, bermula jam 10 malam sejak 11 Oktober 2002 yang dicetuskan ideanya oleh salah seorang penerbit stesen ini, Mohd Erwan Johari sekali gus turut bertindak sebagai penyelaras Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm 2004.
“Carta Pilihan Utama Nasyid hanya membabitkan lagu nasyid tempatan. Dalam tempoh tertentu, segmen ini sudah pasti memerlukan klimaks dalam bentuk menentukan Juara Pilihan Utama Nasyid. Motif mengapa Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm 2004 perlu diadakan bukan sekadar sebagai acara kemuncak carta pilihan ini semata-mata tetapi bagi membuktikan lagu nasyid juga sebenarnya mempunyai nilai tersendiri di kalangan masyarakat.
“Sebagai stesen radio baru, anugerah ini adalah percubaan pertama seumpamanya di Malaysia, selain objektif penganjurannya ialah menampilkan Ikim.fm sebagai medium penting bagi lagu nasyid yang disebarkan untuk berdakwah, mengetengahkannya sebagai salah satu usaha dakwah berkesan terhadap seluruh lapisan masyarakat dalam mendidik ke arah kefahaman Islam sebenar menerusi mesejnya. Ini penting bagi memberi pengiktirafan nasional kepada penggiat industri nasyid di negara ini.
“Pemilihan lagu ke peringkat akhir berdasarkan dua ciri iaitu lagu yang kerap menjuarai carta dan lagu bertahan lama. Sebanyak 10 lagu layak ke peringkat akhir menerusi sembilan kumpulan dan seorang artis mewakili individu. Pecahan kategori anugerah adalah tiga lagu terbaik untuk tempat pertama, kedua dan ketiga, selain penulis lirik terbaik, persembahan terbaik serta lagu paling banyak menjuarai carta dan lagu paling lama bertahan dalam carta.
“Selain hadiah wang tunai, pemenang diberikan trofi, sijil dan buku terbitan Ikim. Peminat nasyid dipelawa menyaksikan konsert ini kelak dengan tiket percuma boleh didapati di ibu pejabat IKIM di Jalan Duta Kuala Lumpur,” katanya pada siang media, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Tuan Haji Nik Mustapha Nik Hassan dan Pengarah Radio IKIM.fm, Asa'ari Mat Noh serta beberapa kumpulan nasyid yang layak ke peringkat akhir. Undian menentukan giliran persembahan setiap kumpulan juga diadakan sempena majlis itu.
Datuk Dr Abdul Monir berkata, artis undangan yang akan mengambil bahagian sempena Anugerah Carta Nasyid Ikim.fm pada 21 Ogos ini ialah D’Hearty dan Alarm Me.
“Kita berharaqp anugerah lagu nasyid akan memberi satu anjakan paradigma dan dimensi baru terhadap imej lagu nasyid,” katanya.
www.ikim.gov.my
1 comment:
alhamdulillah..
Post a Comment