Tuesday, December 27, 2005

cerita hidup

Bila kita tonton cerita, apa-apa jenis cerita, kita akan perasan satu bentuk ideal yang berlaku.

Semunya jadi mudah atau banyak kebetulan. Hero dan heroin pasti tahu nak buat apa. Jika mencari, pasti ketemu jawapannya. Menjadikan kita melihat dunia ini sebagai lapangan untuk menunggu. Menunggu keajaiban yang akan menyelesaikan semua permasalahan.

Sebab apa?

Tempoh cerita ada hadnya. Setengah jam, satu jam, dua jam, atau sebulan dua untuk yang bersiri. Ending mesti best. Kalau tak orang marah. Kalau filem, pawagam kena bakar.

Kata orang, "Nak dijadikan cerita..."

Tapi hidup ini tak begitu. Setiap yang akan berlaku pada masa hadapan ditentukan oleh setiap apa yang kita lakukan untuk menghadapinya.

Fikir pasal kebarangkalian berlakunya keajaiban seperti berfantasi dalam cerita buat kita jadi malas dan tak nak berusaha; berfikir dan bertindak. Sedangkan, semuanya mengarah pada apa yang akan berlaku selepas itu.

"Alah, semuanya takkan ada apa-apa. Akan baik-baik saja..." Menunggu dan terus menunggu.

Kalau bukan kita yang gerakkan diri sendiri, siapa lagi? Orang lain pun perlu gerakkan diri mereka juga.

Fikir dan buat. Hidup ini satu perjudian. Ada yang mendefinisikannya sebagai puisi. Semuanya tak pasti. Tersirat. Jika tak gerak, selamanya tak jumpa jalan, tak faham maksud.

Pelakon tahu apa yang perlu dilakukan sebab mereka dah ada skrip. Kita pun dah ada, tapi tak pasti apa. Oleh itu, anggaplah sebenarnya kita bertanggungjawab buat skrip dan tentukan jalan cerita hidup sendiri.

Buat yang terbaik, dan pastinya akan dapat pulangan yang terbaik, insyaALLAH...

apa yang aku nak

Pening-pening kepala saya fikir apa yang saya nak untuk diri sendiri. Matlamat, impian, harapan, dan cita-cita.

Setakat ni masih belum jumpa jawapan yang nyata. Jawapan untuk setiap orang bukan saja berbeza, masa untuk mendapatkannya pun lain-lain.

Jadi, saya anggap saja, jawapan itu ada, mungkin belum masanya untuk difikir-fikirkan, sebab ALLAH nak saya habiskan belajar dulu. Pasti DIA tahu sesuatu yang saya tak tahu. Yang saya tahu, saya ni memang cepat keliru bila fikir banyak benda. Adalah hikmahnya... :)

Matlamat, impian, harapan, dan cita-cita. Uish, banyak definisi, luas maksudnya tu! Simpulnya, segala apa yang kita nak. Maksudnya, memang sekarang belum pasti apa yang saya nak. Ada yang kata, Mira ni tak ada perasaan agaknya :)

Ada pula seorang sahabat, Jamal namanya, kata yang saya ni sebenarnya ada apa yang diinginkan, sebab itulah lumrahnya manusia. Tapi sebab ia terlalu banyak ATAU tak yakin untuk memperolehinya, saya kata yang saya tak nak apa-apa. Hmm, mungkin ada benarnya. Terima kasih Jamal!

Jalannya, sekurang-kurangnya untuk saya, TULIS! Dengan menulis, segalanya jadi lebih jelas, walaupun belumlah sejelas yang saya harapkan. Sebab, kata Fahmi, aktiviti ni boleh menzahirkan apa yang ada dalam otak bawah sedar kita.

[Patutlah dalam seminggu dua ni serabut je kepala, dah lama tak menulis rupanya. Sekali keluar, pergh! Ingat dah hilang semua, sebab 'nampak' dalam otak macam berterabur :) ]

Haha, bayangan dalam otak bawah sedar ni yang jadi permainan tidur kita saban hari. Keinginan yang tak terluah. Jadi, dengan menghayati mimpi pun kadang-kadang boleh ketemu diri. Cubalah :)

Jamal ada nyatakan impian ulungnya. Mudah saja. NAK JADI ORANG BAIK.

Hmm, memang menarik. Sebab saya pun tahu buat, dan memang bercadang nak buat ;)

Haha, susah-susah fikir, rupanya tak perlu tekan diri pun, terutama untuk hal duniawi. Semuanya dah ada di sekeliling. Apa yang kita nak ialah kesenangan, ketenangan, dan pengharapan pada rahmat TUHAN. Semua boleh dapat dengan jadi budak baik.

Apa lagi yang kita nak selain BAHAGIA? ;)

hati dan harapan

Hati ini memang gila. Dil to pagal hai.

Senang-senang dia saja nak buat kita suka itu, tak suka ini, lepas tu terbalikkannya pula. Tak bagi tau lak tu apa yang dia betul-betul nak. Kalau tak ada memanda menterinya si akal, boleh gila juga dibuatnya.

Persandaran makhluk hanya pada Tuhannya [Persandaran, Nowseeheart]

Sebab hati ini pun milik DIA, jadi kenalah minta PENCIPTA yang kawal. Kadang-kadang TUHAN sengaja keliru kan hati, buat kita rasa sedih dan risau. Supaya kita ingat akan pergantungan itu. Supaya kita merayu dan memohon padanya.

Memang selalunya pun, orang cuma akan ingat ALLAH bila ada masalah. Ironinya, jawapan itu ada pada DIA.

Sebab tu, ganjaran untuk orang yang bersyukur lebih besar daripada yang bersabar.

Bersyukur atas kelebihan lebih payah daripada bersabar atas kekurangan.

Signifikasi sahabat ada dalam surah Al-Asr kata Along. Berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran untuk terus beriman dan beramal soleh.

Banyak dugaan atas jihad yang kita pilih. Sahabat sejatilah yang akan jadi pengingat untuk kita terus berada di atas landasan yang sepatutnya, ke daerah yang dituju.

Cuma tak boleh nak bergantung pada sahabat lebih daripada-NYA. Sebab sahabat itu manusia, dan setiap manusia ada kekurangannya. ALLAH itu sempurna, dan DIA tak pernah menolak untuk mendengar rintihan dan menerima permintaan.

SETIAP DOA AKAN DIKABULKAN, kata Dr Fadzillah Kamsah. Cuma masanya yang berbeza. Kalau cepat, alhamdulillah. Kalau lambat, itu caranya untuk menguji. Kadang-kadang, dah sampai dunia yang satu lagi baru doa kita dikabulkan, dengan berlipat kali ganda.

Atau, apa yang kita minta itu bukan yang terbaik untuk kita. Kan ALLAH sentiasa beri yang terbaik untuk hamba-hamba-NYA?

Cerita Dr Fadzillah Kamsah lagi, ada seorang hamba ALLAH ni yang dah ada di syurga. Katanya, kalaulah dia tahu begitu besar apa yang dia dapat berbanding permintaan dia di dunia dulu, dia nak minta ALLAH tunda semua doanya, bawa ke situ. Takpelah kalau tak dapat apa-apa yang diinginkan di dunia pun.

Subhanallah...

Kita ini, WAJIB jadi penyokong yang paling kuat untuk diri sendiri. Kita boleh jadi penyokong yang sangat baik untuk orang lain, jadi boleh juga untuk diri sendiri. Cuma, kita perlu anggap diri sendiri sebagai satu entiti seperti orang lain. Supaya kita lebih hargai apa yang kita buat untuk menggembirakan diri sendiri. Sepertimana orang gembira dengan bantuan dan sokongan kita.

Jika adalah orang lain sebagai penyokong yang lebih kuat untuk kita, bimbang nanti kita akan terus bergantung padanya, hingga tak kenal diri lagi. Tak dapat nak jadi diri kita yang sebenarnya lebih hebat dari itu.

Kenal diri, yakin diri. Sama ada atas kesedaran sendiri, atau kata-kata orang dan sahabat. Sahabat cerminan diri. Melaluinya, kita boleh nampak apa yang tak tercapai oleh pandangan kita. Ingat lagi kata Along, sahabatlah yang akan kata, "Eh, baju kau kotor." :)

Semua manusia ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dan kedua-duanya boleh berubah-ubah. Semuanya bergantung pada tindakan kita. Apa yang kita nak, apa yang kita niatkan.

Boleh tak saya cakap yang semua manusia ada potensi yang sama?

Betul tak saya cakap, kalau kita nak, kita cari, kita pasti dapat?

Apa yang membezakan? Semangat, azam dan iltizam. Dan... minat, kesungguhan, dan latihan.

Betullah kata AMAR untuk orang yang kata dia tak pandai melukis. Cuba lukis sesuatu, seolah-olah kalau kita tak siapkan dengan bersungguh-sungguh, kita akan dibunuh. Tak ke jadi lukisan kita? ;)

Potensi itu sama. Semua orang boleh buat apa yang orang lain boleh buat. Cuma, beza kecenderungan minat kita yang jadikan ia sebagai kekurangan atau kelebihan.

Betul tak?

Ada orang kata, hidup ini mudah, jangan susahkannya. Ada pula yang kata, hidup ini memang payah, perlu pada kecekalan dan ketabahan.

Tapi, hidup itu masih hidup. Sama saja. Penerimaan seseorang itu terhadapan sebuah kehidupan yang akan membezakannya. Tak adil? Haha, tak ada orang di dunia ini yang tak ada masalah...

Seharum kasturi
Seindah pelangi
Segalanya bermula di hati
Segalanya bermula di sini...

[Jendela Hati, Saujana]

_____________________________________________


Sebab harapan, saya gaduh dengan kawan. Sebab harapan, saya dapat kawan baru. Sebab harapan, saya kenal diri. Sebab harapan, saya gembira semula. Dan sebab harapan, saya berani pandang ke depan.

:)


# Hari ini saya celoteh panjang, sebab dah lama tak menulis. Semua yang hanya terperap di otak dah bercampur jadi satu. Harap tak keliru :)

# Dari sini juga, baru saya tahu, hati ini akan lebih tenang dengan menulis. Satu bentuk luahan rasa :)

Tuesday, December 13, 2005

libur ke bandar hilir



Lepas kenduri, kami Cuti-cuti Malaysia ke Bandar Hilir pula. Lawat signifikasi Kota Bersejarah ni.

Dari kiri, Fitri, mak, Ayuni, saya dan Aliah, Fahmi, abah dan embah.

gambar



Sempat saja famili kami ni bergambar. Tak kira apa-apa event. Ye la, dah ada jurugambar rasmi Bani Ithnain kan? :)

Menarik, ukhuwah kami [sekurang-kurangnya generasi atas saya] memang rapat. Jaworld! Hehe...

Ni lepas majlis Kak Yanti di Jementah.

Selamat Pengantin Baru!!!



Gambar pengantin bibik Yanti dengan... er, paman la kot... Ku Nangseh, dengan adik beradik bibik Yanti. Salah seorangnya sahabat baik saya, Shafihan, pakai baju biru duduk di sebelah kiri. Err, budak baju merah di tengah tu tak pasti siapa :)

Tarikh: 11 Disember 2005
Tempat: Taman Sayang Selasih, Melaka


Moga bahagia selamanya Kak Yanti! :)

Sunday, December 04, 2005

semester baru dah datang...

Kalian tahu kan rasanya bila nak mula belajar semula? Terutama lepas cuti yang sangat panjang, macam cuti semester ni la.

Malam terakhir di rumahlah malam yang sangat menyeksakan untuk ditempuhi. Lebih-lebih lagi bila semua orang dah lelapkan mata kecuali kita. Sendirian packing barang untuk balik esok. Sayangnya nak tinggalkan rumah, tinggalkan famili. Alangkah baiknya jika rumah di sebelah universiti saja...

Itulah yang saya alami sekarang.

Kadang-kadang seperti tak sabar nak bertemu semula dengan sahabat-sahabat di kampus, jalani kehidupan yang proaktif dan produktif [yang selalunya memenatkan].

Tapi bila terfikirkan pula hidup kampus yang sangat mencabar semester demi semester, saya jadi gerun. Subjek semakin susah. Nak mula baca buku yang tebal-tebal lagi. Makin dekat pula dengan final year project dan praktikal. Betul-betul tak bersedia.

Harapnya banyaklah perkara menarik yang akan berlaku semester depan ni. Taklah tertekan sangat hidup dengan buku. Haha, saya ni alergi sikit bila asyik nak kena baca buku saja :p

Ada tak warga universiti yang tak pernah rasa bosan belajar? Nak menuntut sikit :p

Here come new semester! Hope to be better than previous semester. AMIN!!!

Friday, December 02, 2005

perjuangan nasyid kita

Berbual dengan seorang sahabat beri saya pandangan lain dalam melihat hiburan nasyid Malaysia. Perbandingan dibuat antara Raihan dengan artis-artis nasyid lain.



Saya tak pasti mengenai artis-artis lain sama ada mereka ada menetapkan satu matlamat yang melangkau sempadan geografi negara dalam berdakwah. Yang pasti, Raihan memang ada. Dan matlamat yang mereka tetapkan itu membawa mereka bertemu dengan saudara-saudara seIslam di seluruh dunia.

Kata sahabat itu lagi, konsep universal brotherhood yang dibawa kumpulan Raihan membolehkan mereka diterima hampir segenap umat Islam berbilang bangsa seluruh dunia. Saya masih samar-samar mengenai konsep ini kerana kurang benar-benar memerhatikan perbezaan antara mereka.

Namun, memang ada sesuatu yang membezakan apabila pendengar yang kurang dapat menerima konsep nasyid hari ini kerapkali membandingkannya dengan Raihan. Kata mereka, Raihan masih kekal dengan konsep asli nasyid sama ada melalui konsep dan elemen dalam lagu-lagu mereka. Tema dan muzik.

Hal ini berbeza dengan nasyid Mawaddah kerana pendekatan mereka untuk mencapai tahap antarabangsa itu adalah melalui pembukaan 'cawangan-cawangan'. Ada Mawaddah Indonesia, Australia, dan sebagainya. Orangnya lain-lain, bukan yang sama. Masih, mereka guna nama Mawaddah.

Memang, garis pemisah konsep brotherhood ini tak jelas. Saya sendiri kurang pasti di mana sebenarnya perbezaan yang boleh disebut dan dinyatakan.

Namun, pendapat peribadi turut mengiyakan, Raihan merupakan salah satu [atau boleh kata satu-satunya] kumpulan nasyid yang berjaya menyampaikan lagu-lagu mereka dengan kesan yang mendalam di hati. Banyak lagu-lagu Raihan yang mampu mengalirkan air mata pendengar tanpa perlu menyelami sebenar-benar maksud lagu yang tersirat.

Malah, Raihan adalah kumpulan pertama yang berjaya mengetengahkan kembali arena nasyid kita di persada seni hiburan tanahair. Tak hairan menjadi artis nasyid pertama yang saya kenal walaupun telah banyak juga yang ada sebelum itu. Dan, mereka masih bertahan sehingga sekarang, malah lebih maju lagi.

Dalam masa yang sama, ramai artis-artis nasyid [atau bukan] kita yang tenggelam timbul sepanjang perjuangan mereka.

Apa pula pendapat anda?

Kembali ke matlamat perjuangan Raihan ke pentas antarabangsa. Selain konsep yang dapat diterima umum seluruh dunia, Raihan juga mengambil inisiatif untuk buat 'link' dengan 'orang nasyid' luar negara.

[Atau boleh disebut sebagai orang Islam yang memperjuangkan lagu-lagu berunsur dakwah, sebab konsep nasyid kita dengan mereka di luar sana mungkin lain.

Tak percaya? Ok, nak tanya, adakah lagu ALHAMDULILLAH, Too Phat + Yassin itu lagu nasyid?

Tapi, lagu-lagu rap sebegitulah yang digelar 'nasyid' terutama oleh orang kulit hitam. Sebagai contoh, kumpulan Soldiers of ALLAH dan Mynarap]

Dalam laman web antarabangsa, youth.ibn.net, cuma Raihan dan Qatrunnada [yang saya tak pernah dengar, mungkin, lagu-lagu mereka]. Kenapa? Serasanya ramai lagi artis-artis kita yang tak kurang hebatnya lagu-lagu mereka.

Raihan cari hubungan dan peluang itu sendiri. Mereka tukar-tukar maklumat dan lagu untuk dikongsi bersama. Raihan diterima dengan baik di negara sendiri, bahkan di negara luar juga.

Dari sumber yang sama, lagu-lagu Raihan dikatakan telah menjadi silibus dalam pembelajaran di sekolah-sekolah Muslim di Afrika. Belum hebat lagi pencapaian mereka?

Persoalannya, adakah artis nasyid Malaysia lain itu terlepas pandang matlamat yang mereka patut ada ini? Atau, memeng mereka cuma ingin mengkhususkan dakwah dalam negara sahaja?

Apa kata artis-artis nasyid kita sendiri?


# Raihan memang WORLD! :)

# Terima kasih Abang Zamri. Teruskan buka kesedaran saya dan yang lain-lain tentang apa yang saya terlepas pandang :)

# Lawat ALIF untuk perbincangan lanjut.