Saturday, April 17, 2004

Novel (16 April 2004)

Faisal Tehrani. Mengenali penulis muda yang dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Kuala Lumpur ini mengkakukan persepsi mudahku di titik pusing bidang penulisan. Beliau atau nama sebenarnya Mohd Faizal bin Musa merupakan pemegang ijazah sarjana muda Syariah dari Universiti Malaya dan sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang kesusasteraan di Universiti Sains Malaya.

Tulisku di sini bukan untuk membuat biografi mengenai pemilik nama yang telah dikenali sejak di Tingkatan Empat ini. Tapi untuk menyebut titik beza antara beliau dengan penulis² yang lain. Bacaanku mengenai penulisannya belum cukup banyak, tapi cukuplah untuk aku membuat ulasan bahawa Faisal adalah seorang penulis yang AMAT rajin.

Bukan aku mengatakan penulis lain tak rajin. Malah aku tak pernah tahu. Yang satu ini juga aku terka sudah tentu melalui corak penulisannya. Cerpen pertamanya yang aku baca adalah 'Kerana Manisnya Epal' (Antologi Kesusasteraan Melayu Sekolah Menengah Tingkatan 4, Anak Laut, dipetik dari Dewan Siswa, April 1995).

Beliau bukan sahaja menyatakan di Tsolum River Fruit Trees itu menawarkan 200 jenis epal malah menyebut hampir kesemua jenis dalam cerpennya. Arkansas, yellow bellflower, red beitigheimer, famense, york imperial, wolf river, golden grimes, gravenstien, maiden blush, balwin, ribston, red astrachan, bla... bla... bla...

Dan dalam novel 1515 (boleh kata buku teks rujukan sejarah Melaka), Faisal bukan setakat menyebut mengenai feringgi yang datang hendak menakluk Melaka, bahkan beliau menamakan sebanyak mungkin laskar² tersebut. Alfonso de Albuquerque, Diego Lopez de Sequiera, Dom Joao de Lima, Fernao Peres de Andrade, Joao de Sousa, Antonio de Abreu, Aires Peres, Fernao Gomes de Lemos, Jorge Nunes de Leao, Nuno Vas de Castelo Branco, dan bla... bla... bla... lagi. Bukan sahaja nama, malah tugasan untuk setiap satu dalam usaha penaklukan ini (nak menulis ni pun penat dengan membetulkan lidah yang tergeliat). Reka? Mana mungkin sejarah direka², kan? Kecuali Alfonso, aku abaikan penghayatan nama² lain. Itupun, susah benar hendak dihabiskan... Aku tahu, aku tak minat sejarah...

Kejap... Eh, Melaka pernah menakluk Portugal pada 1515? Satu pengetahuan baru untuk aku. Kenyataan yang selama ini disembunyikan oleh orang Barat untuk mengekalkan sejarah kedaulatan mereka sebagai jentera terkuat dunia. Benar² menarik rupanya serikandi Nyemah Mulya yang ditonjolkan mempunyai karamah ini.

Faisal setakat ini telah menghasilkan lebih kurang 80 cerpen, 3 novel, dan 30 puisi. Kepada sesiapa yang ingin membaca hasil penulisan beliau, bukalah minda anda seluas²nya. Bersedialah menjana longgokan perkataan² asing (sekurang²nya asing untukku) yang memang jarang atau tak pernah langsung ditemui sebelum ini. Bagai membaca novel Inggeris (err... minat aku belum sampai tahap itu), sesi pembukaan kamus hanya sesudah pembacaan berakhir. Jika tidak, sampai hari ke 365 pun bacaan itu tidak sudah dan menjadi MAHA bosan!

Lumrah penulis lelaki, tulisan Faisal padat dengan kejadian dan fakta yang mendorong keghairahan pembaca meneruskan selakan muka. Seperti Ahadiat Akashah juga. Berbeza dengan kebanyakan penulis wanita yang banyak bermain dengan emosi dan kadangkala mengulang perasaan yang sama sehingga meletihkan pembaca, memaksa mereka melangkau² dalam bacaan (cepatnya aku kasi contoh). Ayat meleret² dalam satu perenggan yang panjang... Terpulang pada penerimaan jenis² pembaca dan bahan tema cerita itu sendiri.

Melalui pembacaan ketiga² novel Pemenang Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera 2002 Kumpulan Utusan iaitu 1515, Rona Bosphorus (Zaid Akhtar), dan Merdekakan Cinta Ratna (Sri Rahayu Mohd Yusop) yang ketiga²nya telah mengisi secebis daripada waktu cuti ini, aku terbuka mata. Menjadi penulis bukan satu kerja yang gampang. Saingan semakin sengit. Lihat saja pada tajuk novel pun, memang kreatif.

Yang pastinya, penulis perlu mengisi dada dengan pengalaman dan ilmu serta maklumat semasa dengan jumlah maksimum. Perbendaharaan kata dan bunga² sastera yang luas untuk digunakan mengelakkan penggunaan perkatan yang sama menambah respek pembaca pada penulis. Jadi bukan sebarang pelajar jurusan sains juga yang mampu menulis. Penulisan seperti ini akan dianggap berinformasi dan berkualiti. Dan hasilnya, novel yang terjual dengan harga paling murah RM16.00 senaskah. Atau setepatnya, 1515, RM22.00! - ketebalan 312 muka, saiz biasa novel.

Penulis bukan saja perlu termenung kosong seperti aku, tetapi juga perlu mengisi menungan itu dengan fantasi dan anganan. Membaca apatah lagi. Seperti Faisal, beliau selalu ke Dewan Bahasa dan Pustaka bertemu Editor Dewan Budaya, Zaiton Abu Samah untuk menyumbang artikel dan membincangkan topik² hangat. Kemudian ke Galeri buku DBP atau MPH, Mid Valley untuk mencari buku² rujukan. Dan lagi, penulis mestilah merasai sendiri suasana cerita yang ingin digambarkan pada pembaca dengan ke lokasi² latar cerita itu sendiri. Jika di Melaka, Melakalah (Oh ya, saudara Faisal kita ini asalnya memang dari Melaka). Jika di Lisbon, Lisbonlah. Jika di Turki (Rona Bosphorus) Turkilah.

Hmm... berbaloi jika mampu membalikkan modal (Eh, penggunaan perkataan 'balik' dan 'pulang' di sini boleh digunakan antara duanya, ya?). Sama ada melalui penganugerahan seperti Hadiah Satera ini atau penjualan novel itu sendiri.

Sebaliknya, untuk penulis yang menulis sekadar menjadi hobi, menjadi pengisi masa senggang, memberi warna dalam kehidupan atau sekurang²nya menjadi penjelas pada situasi yang berserabut, modal bukanlah menjadi masalah utama. Asalkan ada pena dan sekeping kertas, cukuplah. Malah, menurut kata seorang psikologis yang pernah didengar, salah satu cara melegakan perasaan yang gundah adalah dengan mencurahkannya di atas sekeping kertas kemudian membuangnya ke dalam tong sampah.

Bagi aku, diari dan jurnal inilah. Diari, untuk diri sendiri, jurnal, untuk dikongsikan bersama jusnalis² dan pengguna Internet yang lain. Sekurang²nya jika ada yang boleh membantu, aku amat alu²kan. Bantu dari segi apa? Dari segi memberi pendapat mengenai penyelesaian pada apa² yang aku tulis, atau memperbetul tindakanku melalui penulisan, atau sekadar menjadi pengingat jika aku kealpaan.

Ok, aku ingin meminta bantuan di sini. Kepada sesiapa yang mempunya novel menarik untuk dikongsikan bersama aku, sila²kanlah hubungi aku. Aku ni bukannya cemerkap membeli novel selalu. Lainlah jika aku sudah bekerja kelak.

p/s:
  • Din, bila nak kasi pinjam 'Bukan Puteri Lindungan Bulan' tu?

  • Apis, kongsilah dengan saya kalau² ada novel baru yang awak pinjam daripada 'kawan' awak tu... :)

  • Aku sudah punya komik 143 & Colours (Kaoru) dan Satu Sisi Dunia (Keiko Honda), daripada Koleksi Gempak Starz. Boleh beritahu aku di mana boleh aku dapatkan Hanya... (Fakhrul Anour) dan Innocent (Ben)? Yang ini aku nak punya koleksi sendiri, taknak pinjam² :) (Manalah tak habis duit aku cuti ni...). Aku tak jumpa di Kuantan ini.



Trimas!!!

No comments: