Saya jadi marah juga dengan orang yang tak mahu jadi ustaz, dengan alasan ujian untuk ustaz itu lebih berat, syaitan yang datang uji bapak-bapak syaitan. Takut!
Jadi ustaz, bukan pada penampilan. Bukan pada jubah yang dipakai, bukan pada kopiah yang tutup kepala. Jadi ustaz maksud saya di sini, jadi pendakwah. Sekurang-kurangnya pendakwah pada diri sendiri. Atau bahasa motivasinya, pemimpin pada diri sendiri.
Kan dah banyak kali kita dengar, jadi pemimpin batalion tak guna kalau diri sendiri pun tak terpimpin.
Kita ni bila orang tengok baru kita segan. Bila orang pandang baru rasa nak jadi baik sikit. Jadi, penampilan itu sebenarnya satu kekuatan untuk kita kekal dalam kondisi baik. Tapi bukan jadi syarat untuk buat baik atau jadi ustaz.
Ada saja ustaz yang sempoi. Tapi ustaz juga. Kata-katanya berhikmah juga. Akhlaknya menjadi ikutan juga.
Ustaz ini datang dari hati. Jika kita nak, kita akan jadi. Kalau dah tak nak tu banyaklah alasannya. Padahal sayang nak tinggalkan nikmat dunia ni. Kalau ustaz, orang akan mengata itu ini. Tapi bila jadi orang biasa, orang tak berapa nak hairan.
Kisah-kisah dunia hari ini menjadikan hukum wajib berdakwah atas kita tidak lagi hukum yang melampau. Kita ini umat manusia yang diletakkan di makam yang tertinggi di sisi Tuhan sebab iman yang kita ada. Kita ini khalifah kepada khalifah. Orang barat yang 'tak bertamadun' itu khalifah juga, tapi mereka tak sedar tanggungjawab mereka. Tak jaga bumi ni elok-elok.
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik² umat yang dilahirkan sebagai (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada berbuat segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar² iman)..."
(Surah 'Ali Imran: 110)
Amar makruf nahi mungkar. Bukankah itu definisi berdakwah? Kita nak bumi ni baik-baik saja. Tak ada yang nak jadi jahat, sekurang-kurangnya yang benar di hati. Mereka yang nak jadi jahat atau jahat betul tu cuma cakap saja. Rasa kuat, rasa gah dan seronok. Tapi dalam hati, tertanya-tanya juga, "Sampai bila aku nak begini?"
Bila kita nak semuanya jadi baik-baik saja, kita pun ada niat untuk berdakwah. Dakwah itu pula bukan dengan bercakap saja. Kan Nabi kata ada 3 peringkatnya apabila kita lihat kemungkaran? Tangan, mulut, atau hati.
Jadi kita ini seorang pendakwah. Jikalah hukum berdakwah itu ada yang dakwa tak wajib, ia adalah fitrah kita sebagai manusia. Fitrah yang suci, bersih.
Allah Maha Besar dan Maha Tahu. Dialah yang paling berhak memutuskan apa-apa yang paling baik untuk kita. Islamlah agama yang paling baik dan syariat Islamiahlah undang-undang yang paling sempurna. Tak akan ada satu ayat pun yang dapat menyangkalnya. Jadi, kenapa kita masih nak ragu-ragu dan melawan?
"Tergamaklah lantera yang dikiaskan itu dipersalahkan
Sedang kau dibatasi kekurangan?"
[AMAR, Bicara Rasa]
Ikut Tuhan. Maka, kita tak akan rasa bersalah. Pada Dia dan pada manusia.
Pancaran kesedaran dari hati inilah yang lahirkan ustaz. Bukan pada penampilan semata-mata.
Ramai orang yang dah jadi profesional dalam fardu kifayah, tapi ramai yang mengabaikan fardu ain, padahal itulah asas kita sebagai orang Islam. Kita dah lama belajar, dari sebelum ke sekolah lagi. Kenapa jadi sesuatu yang susah pula bila dah besar ni?
Pasal ujian pula, Tuhan dah kata yang Dia takkan bebani seseorang itu apa yang tak sanggup dia pikul. Syaitan yang datang menguji itu dapat kebenaran dari Tuhan, bukan main bantai saja. Tuhan yang merancang segala, jadi syaitan yang datang itu juga ujian dari Tuhan.
Adakah kita nak menidakkan ayat Tuhan? Sebab kita mampulah maka kita diuji begitu. Tahap ustaz hanya pada iman, bukan penampilan. Tahap iman pula, hanya Tuhan yang tahu.
Jika setiap tahap iman kita diuji sesuai dengan kemampuan kita masing-masing, maka, nisbah iman:ujian itu sama saja kepada semua manusia! [maaf, guna istilah matematik, jika ada golongan profesional yang tak faham]
Perjuangan manusia, kita ini adalah untuk meningkatkan iman dan kedudukan di sisi Tuhan. Rugilah mereka yang hari ininya sama saja dengan hari semalam. Dan lebih teruk pula ialah mereka yang tertipu. Sebaik-baiknya, jadikanlah hari ini kita lebih baik dari semalam, dan hari esok kita lebih baik dari hari ini.
Inilah mereka yang sebenar-benarnya berjaya.
Kalau bukan kita yang sedar ini, nak harapkan siapa lagi? Takkan kita yang minoriti ini pun nak resap ke dalam kelompok mereka yang jahil?
Marilah bersama, janganlah takut untuk jadi seorang ustaz.
# Ustaz rujuk pada ustazah juga.
No comments:
Post a Comment