Thursday, June 15, 2006

dakwah di klcc

"Nahi mungkar itu lebih payah dari amar makruf tau!"

Ini bukan masanya untuk buat teori lagi [walaupun pernyataan ini mungkin datang dari ulama' besar yang terkenal]. Ini bukan masanya nak berhujah telur dan ayam, yang mana dulu.

Tapi ini masanya untuk berani berhadapan dan menegakkan yang benar. Agama Tuhan. Memerangi musuh yang nyata. Apa yang sah-sah haram di sisi Islam.

Apa cadangan saya kali ini?

Pergi ke KLCC atau mana-mana tempat yang kita selalu pergi. Jumpa saja mana-mana pasangan Islam [bila dah bertudung, Islam le tu...], lelaki dan perempuan yang bukan muhrim yang berpegang tangan atau seumpamanya [faham-faham je la...], tegur. Kalau kita perempuan, tegurlah yang perempuan. Kalau yang lelaki, tegurlah yang lelaki.

Tanya dulu, mereka tu dah kahwin atau belum? [biasanya belum... Kata Ustaz Maszlee, kalau yang dah kahwin, biasanya takkan tunjuk yang mereka dah kahwin, atau sekurang-kurangnya berlagak seperti pasangan-pasangan tu. Sebab katanya, di rumah dah boleh buat lebih-lebih, tak perlu la nak tunjuk pada orang kot...]

Kalau belum, inilah masanya, mulakan tugas wajib kita, BERDAKWAH. Tanya, tau tak apa yang diorang buat, bersentuh-sentuhan sesama muhrim itu salah? Hukumnya HARAM?

Kalau mereka tak tahu,mungkin kerja kita akan jadi lebih mudah daripada mereka yang tahu. Tapi, mereka yang dah tahu pun, mungkin tak susah mana nak ingatkan semula. Mungkin selama ini pun mereka dok tunggu saja orang tegur perbuatan mereka. Tapi sebab takde orang komen apa-apa, mereka akan anggap, apa yang best untuk mereka buat ni masyarakat tak marah. Walaupun mereka tahu ia berdosa.

Sebab kiamat itu masih jauh, dan masih ada peluang bertaubat.

Kalau mereka cakap macam tu, kena jadi pandai goreng sikitlah macam dalam cerita Kiamat Sudah Dekat. Cakaplah pasal ozon makin menipis, tarikan graviti yang jadi pengikat antara planet makin loose, apa saja. Fakta sains, tak ada yang boleh sangkal. Kenapalah fakta agama tak begitu?

Sebab dalam agama itu, ada hukum, sunnah dan fatwa. Kuno, ketinggalan zaman. Cuba gantikan dengan teori dan hipotesis, baru terbuka biji mata yang apa yang Tuhan cakap dalam al-Quran itulah yang kita baru cuba nak buktikan dengan sains. Tak percaya, tak yakin dengan Tuhan sendiri.

Tapi, tau nak melenting bila dikata kafir atau tak bermaruah? Hakikatnya, mereka yang senang-senang merelakan diri untuk disentuh oleh yang tak berhak memang begitu. Kafir, orang yang kufur atau ingkar, sebab tak mahu ikut apa yang Tuhan kata, dan tak bermaruah, murah benar bagi pada orang.

Ini juga bukan masa tuding jari. Memang boleh dikatakan ini tanggung jawab ibu bapa untuk didik anak masing-masing. Tapi, tak salah membantu kan? Selalunya, budak-budak nakal ni takkan jadi nakal di rumah. Baik, macam malaikat. Pijak semut pun mati [siapa yang pijak semut tak mati?]

Bila famili dah terbohong begitu, kita yang nampak ni janganlah terbohong pula dengan fitnah syaitan dan nafsu. Hidup ini untuk membantu. Ada tangan, ringankanlah. Jangan tahu nak hentak isteri dengan helmet saja.

Pendakwah kena berhikmah. Walau betapa marahnya kita [seperti saya sekarang], dakwah hanya akan berkesan dengan kasih-sayang. Takkan masuk segala nasihat yang kita beri dalam keadaan marah-marah. Macam curah air ke daun keladi. Silap-silap bergaduh pula di situ.

Kejayaan hanya akan diperoleh bila kita beramai-ramai. Itu hakikatnya. Seperti kisah lidi dengan penyapu lidi. Atau sim card MAXIS dengan...? [syarikat telekomunikasi pun pandai aplikasi].

Nak sampaikan benda baik pun jadi lebih mudah dalam kumpulan. Buat ramai-ramai. Satu, mungkin bila kurang ide, sahabat sejuang kita boleh back up. Dua, manalah tau kalau-kalau ada yang tak berkenan dengan penyampaian kita, kebetulan masa tu mereka satu geng pula... Na'uzubillah.

Cuma, jangan jadikan kebarangkalian dalam kerisauan kita itu sebagai penghalang untuk kita mulakan sesuatu. Belum apa-apa dah fikir yang susah-susah. Baru beri ide atas semangat dan kesedaran, sahabat dah bantai macam-macam. Lemahlah orang Islam begitu.

Ada seorang sahabat cakap, biasanya, apa yang paling teruk yang kita fikir, sebenarnya tak akan berlaku pun... Kita banyak buang masa risaukan benda yang akhirnya tak berlaku. Dan apa yang kita selalu fikir dan risau itu sebenarnya sejenis doa. Takut-takut, sebab kita selalu fikir yang bukan-bukan, Tuhan anggap itu apa yang kita nak.

Beringatlah.

Selagi kita anggap lawan kita tu kuat daripada kita, selagi itulah kita tak yakin diri. Sahabat-sahabatku, kita di pihak yang benar. Tuhan yang Maha Kuat itu bersama kita. Apa yang perlu kita risau? Kita tolong agama Dia, pastinya, janji Dia, Dia akan bantu kita. Lupakah itu?

"Kalau nak buat macam ni, kita pun kena tunjuk imej baiklah. Tak boleh nak saja duduk-duduk di KLCC lagi?"

Kita memang kena tunjuk imej baik. Tapi, lagi-lagi nak berbahas, ayam dengan telur yang mana dulu. Lagi-lagi nak berbalah, boleh ke perempuan dengan lelaki itu berdua walau atas urusan? Kenapa tak hentikan yang dah sah-sah semua orang akui itu haram?

Kita sekarang nak hentikan benda yang nyata salah. Pegang tangan, haram! Apatah lagi, dedah aurat, seperti yang terang-terangan disuapkan pada kita saban hari di televisyen. Berdosa bagi mereka, juga berdosa bagi yang melihat tapi tak tegur.

Seperti kisah pelayar yang biarkan saja mereka di dek bawah tebuk lubang pada lantai kapal untuk mudah dapat bekalan air. Kononnya tak mahu susahkan orang di atas untuk angkut air untuk mereka. Orang dek atas tahu apa yang orang dek bawah tu salah, tapi taknak tegur. Akhirnya semua pun tenggelam.

Orang yang tahu tapi senyap ni, dalam cerita digelar syaitan bertopengkan manusia. Ini bukan saya prejudis atau apa. Saya baca cerita ni waktu kecil. Memang mereka dilabel syaitan bertopengkan manusia. Dah tahu, tapi buat-buat tak tahu. Akhirnya, sama-sama masuk neraka.

Saya dah penat membenci. Lebih penat bila cuma tahu membenci dalam hati tanpa buat apa-apa yang boleh kurangkan faktor kebencian itu.

Saya tahu saya perlu buat sesuatu dengan kelebihan ini. Kita yang sedar ini dipilih-Nya. Jika kita yang terpilih tak gerak juga, nak harapkan siapa lagi? Kasihan Tuhan, dah banyak nikmat-Nya yang kita dah guna. Tuhan minta tolong sikit saja. Ubah mana yang tak betul yang dilakukan oleh orang Islam sendiri. Bukan suruh berdakwah pada yang bukan Islam suruh masuk Islam pun.

Islam itu agama dagang. Gharib, pelik, macam alien. Suatu hari, ia akan jadi dagang semula. Yang masih berpegang padanya berada di jalan yang sempit, tak ramai orang lalu. Yang luas, yang best, yang penuh keseronokan duniawi itulah yang ramai orang. Tapi mereka tak sedar, yang mereka dah salah jalan. Itu bukan jalan ke syurga...

Saya nak buat ni. Kalian bersama saya?

5 comments:

Zamri Mohamad said...

Dakwah di KLCC...

Pernah sekali saya membawa rakan-rakan dari benua europe kita berjalan-jalan satu Kuala Lumpur, sehinggalah ke KLCC...Teka apa yang saya pakai ketika itu?

Baju Melayu Moden ala Raihan berwarna hijau, seluar hitam dan kasut...

Ketika itu kami melalui beberapa budak punk beberapa kali yang cucuk hidung, telinga dan muka...Berbangsa Melayu.

Mereka memerhatikan kami. Hanya senyuman yang saya berikan dengan mesej dalam hati "Kita tidak perlu jadi begitu sekali untuk meniru mereka. Si hidung mancung berkulit putih dari benua eropah tetap menghormati kamu dengan cara melayu dan islam kamu...."

Mereka memerhati dan saya yakin, mereka berfikir...

Tentang couple ni, cadangnya kalau datang-datang tegur tak perlu...tak akan menjadi, buat orang bertambah benci dengan islam dan remaja islam....

Satu perkara yang diajar ketika kursus dakwah anjuran JIM di UIA tahun 2001 ialah penggunaan phamplet yang cantik (bukan fotostat atas kertas warna yang selalu dibuat orang!!!) indirect isinya...panggilah sesiapa yang boleh design profesional (saya ulangi profesional) buatlah kata-kata memujuk seperti...

Tanda-tanda kekasih kumenyayangi...

senaraikan....apa yang islam sarankan...misalnya, Dia yang menyayangiku sentiasa menghormati tubuhku...dia yang menghormati dan menyintaiku sentiasa mencari jalan untuk memperisterikanku dan bla-bla...

Ini namanya psikologi linguistik...

Cuba berkawan dengan muslim bukan melayu untuk buat dakwah diluar....Dahulu kami di JIM, Cina dan India berkot bersama2 kami menyebarkan risalah islam di beberapa shopping kompleks dan membuat soalan kaji selidik kepada muslim dan bukan muslim....Petang itu sahaja kami dapat mengumpulkan hampir 50 nombor telefon untuk di follow up..

dahulu maaruf club pernah buat dakwah dengan merakamkan kumpulan muslimah maaruf datang & berdakwah sambil direkod dengan kamera dan ditayangkan di tepi masjid selepas jumaat...Apa terjadi, maaruf dijauhi...bukan orang nak jadi baik, orang lagi nak lari....

Moga2 ini tak terjadi lagi....

Zamri Mohamad said...

ini adalah catatn komen blog puan ainon tentang seorang budak pengkid yang berubah selepas membaca buku 40 lukisan hati..........


Hello, semua geng-geng yang ada kat sini, sorry la kan aku nak mencelah, yang korang kutuk-kutuk penulis pts cam abang Armie (penulis buku 40 lukisan hati) ni apa hal, korang best sangat ker?, apa dosa yang abang Armie ni dah buat sama korang?, aku tengok abang Armie ni diam jer, tak ada kata apa-apa pun, aku gi blog dia, dia masih gak cita pasal buat skrip sama buat cerita jer, dia tu tak marah ke?, diam aje aku tengok. Korang ni pulak apahal kutuk-kutuk dia ni?, dia orang ada buat pasal sama korang ke?
Aku ni dulukan,kira trash babe ler jugak , aku member sama budak pengkid, selalu kita orang lepak-lepak kat Central Market, akak-akak Ustazah ni soma pandang kita macam la kitaorang ni jalang jual badan. Kita orang ada matlamat hidup la wey, aku suka sama cerita 40 lukisan hati tu, sebab kerana cerita tulah, alhamdulillah, hari ni aku dah pakai tudung, walaupun tak der la pakai cam tudung ustazah, tapi alhamdulillah tak ade la pulak pakai tudung tapi nampak pusat, nampak bentuk badan semua. Antara yang bukakan hati aku nak pakai tudung ni, adalah antara sebabnya buku, 40 LH tu la, Aku betting (haram tu) dengan bakal laki aku, (sebelum tu aku tak kawin lagi, kira cam balak persinggahan la,), kalau dia dapat kerja lagi bagus dari aku, aku akan berenti merokok, aku akan pakai, tudung, cuba-cuba la idup sebagai pompuan soleh, tapi bila dia dah dapat kerja manager ( aku kerani jer), aku dah mula cuak, dia diam lagi, lepas dua bulan dia tengok aku tak berubah-ubah jugak, dia pun mula la start sound aku. Pedih oi!, Aku dah panik, nak ngelat la konon,lari sana lari sini,sekali pakwe aku tu bagi buku 40 lh pada member aku. Dia pesan kat member aku tu suruh aku baca, lepas tu dia suruh aku pikir masak-masak, kira macam kata dua la kan. Lepas aku baca buku tu, baru la aku tau macamana perasaan dia pada aku, Alhamdulillah, sekarang ni, kita orang dah jadi pasangan yang sah, mula-mula tukan aku ingat, suami aku ni la abang Armie tu ( nama laki aku Suhaimi) rupa-rupanya bukan, kuang, kuang, kuang, Tapi kan, aku happy la wey, dia pun handsome gak, cam abang Armie, Aku ada nampak abang Armie kat pesta buku, tapi masa tu dia tengah duduk dengan A Samad Said, dan sebelah dia ada Ustaz mana tah selalu masuk TV ceta Al kuliyyah tu, segan la pulak aku ngan laki aku nak dekat, anyway aku nak ucap terimas la kat abang Armie pasal buku 40 lh tu la aku alhamdulillah dah banyak dapat berubah hari ni. Teruskan menulis buku cam ni abang Armie, buku-buku kau tu, ramai pempuan-pempuan macam aku ni suka, okay sampai sini aje la kot, kirim salam la kat akak.( aku tak tau nama isteri abang armie)

mira said...

alhamdulillah... apa saja usaha kita yang serasanya baik pada pandangan Tuhan, patut lebih utama biar nampak enteng pada pandangan manusia lain...

terima kasih, bang zamri. benar-benar nak sertai perjuangan berjemaah ni. selama ni terasa sendiri saja... :)

Anonymous said...

cam tak hikmah jee...

Anonymous said...

Takut-takut, sebab kita selalu fikir yang bukan-bukan, Tuhan anggap itu apa yang kita nak.------> perlu berhati2 bila berkata2...

saya bukanlah educated sgt dlm Islam, jauh skali bab beri2 dalil

tp saya rasa ayat "tuhan anggap itu apa yg kita nak" x sesuai digunakan...sbbnya Allah sentiasa tahu apa yang kita nak...DIA maha mengetahui..

cumanya kalo kita berfikiran bukan2 seperti kita mengharapkan benda tu berlaku...

sekadar pandangan