Thursday, September 28, 2006

mak dan hari lahir

28 September 2006.

Hari ulangtahun kelahiran ke 22.


Mood: Neutral [Sedih sebab mak kena tahan di wad, tapi tenang sebab dalam bulan Ramadhan]

Ya, mak saya ada di wad sekarang. Sakit di jantung. Dah dua hari. Hari ni baru doktor nak buat pemeriksaan.

Semalam saya tak datang kerja [menjawab kepada kenapa saya tak online ym semalam jika ada yang tanya]. Rasa tak bersemangat. Lelah. Letih. Rasa tekanan juga. Nak gantikan tempat mak sementara. Banyak hal kena selesaikan di rumah.

Dulu bila cakap saya anak sulung, banyak tanggung jawab, tak rasa apa-apa sangat. Sebab memang semua urusan rumah, ada ibu bapa yang tangani. Saya di kejauhan, belajar di KL, lupa nak balik. Lupa nak tanya khabar selalu. Harap semua ok ok saja.

Tapi sekarang dah berlaku benda macam ni, baru mula nak risau. Impian nak jadi isteri orang. Tapi ganti tempat mak pun belum mampu sepenuhnya lagi. Rasa. Tekanan kerja dan bebanan urusan rumah. Yang baru 3 bulan rasa. Mak dah bertahun-tahun. Seusia umur saya sekarang. 22.

Dan hari ni, saya tak pasti jika abah ingat hari lahir saya. Sebab selalunya, mak yang ingatkan. Mak yang usaha nak beli kek dan hadiah. Untuk setiap kami adik-beradik. Tapi sekarang mak di wad. Macam mana saya nak gembira? Tapi Ayuni ada cakap dia nak belikan saya hadiah keychain di sekolah hari ni. Saya terharu. Mesti mak yang ingatkan...

4 hari lagi hari ulangtahun Aliah. 3 hari selepas Aliah, Ayuni pula. [Aliah 2/10, ulangtahun ke empat, Ayuni 5/10, ulangtahun ke 8]

Apa-apapun, minta semua bantu doakan yang terbaik buat mak. Saya masih perlukan dia...

Ya Tuhan, aku mohon... Panjangkanlah tempoh nikmat kesihatan yang Kau beri kepada ibuku...

Amin...

Monday, September 25, 2006

allahuakbar

Dalam nak menjengah 'dunia lain' kita perlu benar-benar bersedia. Dunia apa? Dunia yang penuh dengan nafsu noda darah muda. Kita memang takkan selamanya selamat di bawah lindungan ibu bapa. Kita memang kena keluar kepompong. Tapi, kita selamat jika kita tetap berlindung di bawah payungan rahmat Ilahi. Ingat yang kita orang Islam dan kita ada Tuhan yang sebenar-benar Tuan sekalian alam.

Ironinya, tak ramai yang ingat itu. Jika orang Islam sendiri dah tak hormatkan kesucian agamanya, macam mana nak harapkan orang bukan Islam untuk nampak keindahan Islam?? Nak harapkan Pope dan Lee Kuan Yu tutup mulut sendiri?

Mereka bangga jadi pelajar di universiti Islam. Dalam Friendster, nama UIA terpampang. Mudah kawan nak kenal katanya. Lagipun, itu memang tempat dia belajar, buat apa nak sorok-sorok? Dah tak ada kebanggaan sebagai orang Islam selain dapat belajar di salah sebuah universiti ternama negara.

Dalam UIA bertudung [walau tak litup mana]. Ada yang berjubah. Ikut fesyen UIA. Tapi dalam Friendster, tak malu langsung nak dedah rambut. Kenalkan pada dunia wajah mereka yang sebenar.

Ada kawan-kawan yang beri testimonial, "Amboi bangga eh? Dalam UIA, luar USA". Approve. Tanpa banyak soal.

Ada pula yang tak segan silu langsung nak tunjuk gambar sedang buat maksiat dengan pasangan masing-masing [bukan pasangan yang dah bernikah ya?]. Pegang tangan, berlaga pipi juga maksiat kan? Sebab ia salah! Haram! Ya! Memang ada! Dan mereka ini kenalan-kenalan saya! Tak percaya, jengah saja laman Friendster saya. Dalam list tak ramai yang saya tak kenal. Kebanyakkannya memang saya kenal.


Gambar sebenar dari Friendster

Saya kadang-kadang dah tak larat nak soal, ingatkan mereka [saya ni jika dalam alam maya berani la tegur]. Sekarang dalam kebanyakan masa saya dah makin tak hairan dan pandang sebelah mata. Sebab jika ditekan memang akan sakit hati.

"Jika tak mampu dengan tangan dan mulut, tegur dengan hati. Tapi ketahuilah itu adalah selemah-lemah iman."

Selemah-lemah iman...

Kita nak upgrade iman dalam bulan Ramadhan ni kan? Mari kita sama-sama amar makruf nahi mungkar? InsyaALLAH, Tuhan permudahkan usaha kita dalam bulan ini. Dan ganjarannya berlipat kali ganda.

Yang penting, kita juga kena jaga diri. Syaitan dah tak ada. Sekaranglah waktu kita nak ukur nafsu sendiri. Sebanyak mana ia jadi hamba kita, bukan tuan kita.

ahlan ya ramadhan!

Ahlan ya Ramadhan!

Sempena bulan yang penuh rahmat dan ketenangan ini, marilah kita sama-sama cari ambil sebanyak-banyaknya peluang untuk:

Setting niat
Upgrade iman
Delete dosa
Download ilmu
Top up doa dan amalan

Jauhi jahiliah, marilah kita sama-sama berada dalam cahaya Islam.

Friday, September 22, 2006

solat jumaat

Nak tahu apa pemandangan yang baik cantik sekali di dunia? Selepas solat Jumaat. Bila orang lelaki pulang dari masjid. Dengan baju melayu. Memang macam pahlawan Melayu sungguh! Atau jika yang berbaju kemeja [sebab dari ofis], muka masing-masing nampak bercahaya. Nampak beriman. Terasa tenang di dada, sebab yakin, Islam masih lagi tertegak di dunia.

Nak tahu pula apa pemandangan yang paling teruk untuk dilihat? Semasa solat Jumaat. Tengah azan, tengah khutbah, tengah dengar bacaan-bacaan solat dari masjid, depan mata nampak lelaki-lelaki Melayu ni ke hulu ke hilir selamba. Apatah lagi yang bawa awek. Dayus sungguh. Yang awek dia pula, memang macam tak peduli macam mana Islam teman lelaki yang bakal jadi pembimbing dia nanti.

Lebih teruk lagi jika ia dapat disaksikan di UIA. Sekarang masih belum pernah [pernah untuk budak-budak yang bukan UIA, kalau ada sesiapa yang ingat entri pasal tu sebelum ni]. Mungkin malu itu tinggi lagi. Jika biasa tinggal solat pun, solat jumaat kalau dia tak nak solat, dia takkan papar muka pada khalayak.

Sekurang-kurangnya, malu pada manusia itu masih ada [belum lagi sentuh bab malu dengan Tuhan].

Tapi, jika di luar ni, saya tak tahu apa nak cakap. Tak malu langsung! Orang pandang sinis pun boleh dia balas balik. Bila malu pada manusia pun dah tak ada, apatah lagi malu pada Tuhan yang kita tak dapat lihat?

Jika bukan manusia yang dapat jadi pembimbing dan penggerak manusia lain, nak harapkan siapa? Haiwan? Malaikat? Syaitan?

Ada seorang staf di sini hari tu [ustaz] pernah pesan pada saya, "Apa-apapun, solat mesti cukup. Cukup solat, tak berlakulah gejala-gejala sosial macam yang jadi pada remaja sekarang." katanya tegas. "Jaga solat!" ulangnya lagi.

SEMINAR DAN FORUM 'GELOMBANG TAJDID MELANDA MALAYSIA'

SEMINAR DAN FORUM 'GELOMBANG TAJDID MELANDA MALAYSIA'

Tarikh:

7 OKTOBER 2006 (SABTU)

Tempat:

DEWAN UTAMA, PUSAT AKTIVITI KEBUDAYAAN (CAC), UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA, GOMBAK

Masa:

3.00 PETANG HINGGA 10.00 MALAM

Tajdid, Satu Gelombang...

Tajdid, satu istilah yang kini menjadi topic perbincangan hangat oleh masyarakat masa kini. Istilah ini kini tidak asing lagi di kalangan pendokong Islam kerana bukan sahaja tajdid telah menjadi satu identiti malah satu gelombang perubahan ke arah melaksanakan agama Islam sesuai dengan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah.

Menyedari hakikat dan kepentingan akan kebangkitan gelombang ini Pusat Psikologi Gunaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerja sama Majalah I dan Majalah Nur mengorak langkah menganjurkan forum berkaitan kebangkitan gelombang gerakan ini dengan memfokuskan perbincangan kepada arah dan hala tuju gerakan ini. Forum ini secara tidak langsung merupakan lanjutan Forum Gerakan Tajdid : Sejarah, Perkembangan dan Cabaran di Era Globalisasi anjuran Muslim Profesionals Forum (MPF) beberapa ketika yang lalu. Secara umumnya, objektif program ini adalah untuk memberikan penjelasan secara ilmiah dan universal berkenaan cara mengubah pemikiran dan sikap yang lebih baik dan berkesan dalam mengikuti arus tajdid.

Antara lain, program ini juga diharapkan dapat membuka ruang diskusi ilmiah antara ahli panel dan para peserta. Di samping itu, pertemuan yang bakal diadakan nanti juga dapat mengeratkan ukhuwah antara masyarakat awam dan golongan belia, terutamanya mahasiswa sebagai pemangkin kepada gerakan tajdid.

Aturcara Majlis

2.45 petang: Ketibaan audiens dan pendaftaran
3.05 petang: Kata-kata aluan pengerusi majlis
3.10 petang: Ucapan oleh Prof. Dr. Rahmattullah Khan Abdul Wahab
Khan, Pengarah Pusat Psikologi Gunaan UIAM.

3.15 petang: Forum: GERAKAN TAJDID : GELOMBANG PERUBAHAN DI ALAF BARU (Sessi I)

Ahli Panel:

1. Ustaz Mohd Yaakub Mohd Yunus
2. Ustaz Tuan Hassan Tuan Lah
3. Ustaz Maszlee Malik

Moderator: Ustaz Anzaruddin bin Ahmad

4.30 petang: Solat Asar berjemaah
5.00 petang: Forum (Sessi II)

Ahli Panel:

1. Rosmalizawati Ab. Rashid
2. Prof. Madya Dr. Ahmad Farouk Musa
3. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Moderator: Ustaz Adlan bin Abd Aziz

6.15 petang: Sessi soal jawab
7.00 malam: Pembahagian kurma untuk iftar
7.10 malam: Iftar
7.25 malam: Solat Maghrib berjemaah
7.50 malam: Makan malam
8.20 malam: Solat Isya' dan Tarawih berjemaah
10.00 malam: Bersurai

Maklumat Ahli Panel:

PROFESSOR MADYA DR. AHMAD FAROUK MUSA
Ahli Pengasas MPF
Pakar Bedah Kardiotorasik merangkap Pensyarah Fakulti Perubatan UPM
Ahli akademik dan penyelidik yang banyak membentangkan kertas kerja di pelbagai peringkat.

USTAZ MASZLEE MALIK
Pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM
Sering terlibat dalam seminar-seminar keagamaan
Banyak memberi ceramah dan menghasilkan karya berkaitan isu PALESTIN

DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Pensyarah merangkap Penyelaras Seketariat Falsafah Sains Islam USM
Mempunyai pengkhususan dalam bidang hadith dan sering terlibat dalam pembentangan kertas kerja dan kuliah-kuliah agama

USTAZ TUAN HASSAN TUAN LAH
Pengurus, Strategi Perniagaan TM
Salah seorang pengasas laman web al-Ahkam (http://Al-ahkam. net), sebuah laman web yang membincangkan Islam secara konprehensif melalui internet.

USTAZ MOHD YAAKUB MOHD YUNUS
Naib Presiden, Bahagian Perbankan Perusahaan Affin Bank Berhad
Aktif menulis buku-buku agama
Antara buku yang ditulis beliau ialah `Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah', `Sembahyang Jamak dan Qasar Adalah Sedekah Allah dan banyak lagi.

Program Ini Terbuka Untuk Semua Golongan

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM 10. Bayaran termasuk kos pengurusan dan jamuan iftar. KEPADA PARA PELAJAR IPT, hanya RM 5 sahaja dikenakan.

Ahli-ahli professional, para pelajar IPT, pendokong dan penyokong gerakan tajdid, orang-perseorangan dan siapapun anda, pastikan peluang ini tidak dilepaskan. Kepada sesiapa yang berminat, sila hubungi nama di bawah untuk urusan pendaftaran. Kehadiran anda amatlah dialu-alukan.

1. MOHD MASRI BIN RAMLI (019-3269091)
muslimz87@yahoo. com
2. NAZIFAH MUSTAFFHA (019-3022655)
nazifah02@gmail. com
3. ILI DALILA MOHD REDZUAN
rumaisha85@hotmail. com


"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (33:21)

Wednesday, September 20, 2006

motor

Pagi-pagi, jalan memang sibuk. Semua berpusu-pusu ke pejabat.

Pagi tadi, di pertengahan jalan ke pejabat, saya nampak seorang pakcik dengan motor dia di tengah jalan besar yang sibuk. Tengah mengusung motor untuk ke tepi jalan. Tayar belakang tak dapat gerak. Jadi dia kena angkat.

Kereta banyak. Saya pun risau tengok. Sedih pun iya, sebab pakcik tu dah berusia. Saya yang dalam van dengan mak, bisik dalam hati, "Moga-moga ada yang baik hati berhenti untuk hulurkan bantuan pada pakcik tu."

Pakcik tu dah selamat di tepi jalan. Ada seorang pemuda berhentikan motornya di depan sikit. Turun, bantu pakcik tu. Lepas tu saya tak tahu apa jadi. Sebab kami dah ke depan.

Saya berfikir. Kalau tak ada ilmu baiki motor, macam mana nak bantu pakcik tu? Walau seingin mana pun rasa nak menghulurkan bantuan, tapi memang tak boleh. Sebab yang utamanya mesti ada pengetahuan, asas sekurang-kurangnya, pasal motor. Untuk kenal pasti apa rosaknya.

Ini baru pasal motor. Pasal benda-benda lain? Macam mana kita nak bantu mereka yang memerlukan jika kita tak ada ilmu pasal benda tu?

Ilmu ni kita timba bukan untuk kegunaan diri sendiri saja. Tapi juga untuk bantu orang lain. Jadi, jangan memilih untuk belajar. Belajarlah semua perkara! Sebab kita tak tahu kegunaannya pada masa hadapan...

Jikalah saya tahu baiki motor, tentu saya akan minta mak berhentikan van untuk bantu pakcik tu...

Wednesday, September 06, 2006

artikel pilihan - TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA

Saya benar-benar kebingungan. Bagi seorang yang hidup 11 tahun di perantauan, kembali ke Malaysia di era seperti hari ini, memang membingungkan. Semasa di Ireland, saya sudah mendengar tempias American Idol yang sesekali menghiasi dada akhbar Irish Independent dan lain- lain. Talk of the town kadangkala diisi dengan isu siapakah yang sepatutnya mewakili Ireland ke acara Eurovision Contest yang sememangnya tempat pertama pertandingan itu sinonim dengan penyanyi dari Ireland zaman berzaman khususnya penyanyi seperti Johnny Logan. Namun ia hanya acara biasa. Kerja-kerja harian orang ramai berlangsung seperti biasa... tiada yang luar biasa.

Saya terkasima semasa bersiap-siap untuk pulang ke tanah air for good, ketika membaca pengumuman nama Rais Yatim diberikan peranan sebagai Menteri Kebudayaan kabinet Pak Lah yang baru. Hairan bin Ajaib, apa yang saya kenal tentang Rais Yatim, menimbulkan tanda tanya. Mengapakah seorang menteri yang begitu genius khususnya dalam hal ehwal berkaitan undang- undang, tiba-tiba ditempatkan sebagai menteri di sebuah kementerian yang menguruskan hal ehwal zapin dan joget, pesta budaya dan orang filem Malaysia yang sering berbalah sesama sendiri. Adakah ini menjadi langkah ke arah memandulkan politik Rais Yatim?

Namun, kehairanan saya terjawab apabila saya membaca temuramah bersama Rais Yatim di akhbar The Star bersama HL Wong [17 April 2004] di bawah tajuk "Stop ‘Arabising’ Malay Culture" atau "Berhenti MengArabkan Budaya Melayu". Tegasnya, temuramah itu menggambarkan misi Rais Yatim yang mahu mengembalikan semula identiti Melayu yang padanya telah terpadam oleh proses Islamisasi yang diterjemahkannya sebagai Arabisasi. Antara budaya Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari. Orang Melayu tak mungkin dapat dipisahkan daripada tari menari kerana ia telah mendarah daging di dalam tubuh kita, tegas beliau.

Nampaknya apa yang dinyatakan oleh beliau benar-benar terealisasi di dalam masyarakat kita. Usahlah pergi jauh, kampung saya sendiri telah terasa kesannya. Seingat saya, kali terakhir kampung saya dihiruk-pikukkan oleh Joget Lambak ialah semasa saya masih di bangku sekolah rendah. Itu bererti Joget Lambak telah pupus di kampung saya semenjak 20 tahun yang lalu. Tetapi pupusnya Joget Lambak bukanlah kerana kampung saya telah diArabkan seperti bangsa Sudan. Bangsa Sudan membuang bahasa asli mereka dan mengambil sepenuhnya Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan mereka. Kampung saya masih pekat 'kome', 'mike' dan sambal belacannya. Namun yang pasti, apabila masjid makin ramai yang datang, perempuan makin ramai yang tutup aurat, emak ayah makin gemar menghantar anak ke kelas fardhu 'ain, maka dengan sendirinya Joget Lambak terketepi dan terhakis dari keMelayuan orang kampung saya. Tetapi saya kekal sebagai salah seorang daripada beberapa orang anak kampung yang reti Bahasa Arab.

Tetapi, selepas 11 tahun saya meninggalkan kampung, saya dikejutkan dengan suatu pengalaman pahit di malam itu. Hanya beberapa ratus kaki dari rumah saya, kenduri kahwin jiran yang siang tadi diTahlilkan dan di'doa selamat'kan oleh Imam kampung, malam ni berjoget terlambak- lambak. Berdentam-dentum dram dan gitar, anak- anak muda terloncat-loncat dan lebih mendukacitakan saya, ia berlaku bersebelahan masjid. Aduh... gelisah saya sepanjang malam di samping anak-anak saya yang tidak boleh tidur akibat kebisingan mereka yang berlanjutan hingga ke tengah malam. Walaupun anak saya lahir di bandar yang penuh orang mabuk dan saling berbunuhan sesama sendiri (di Belfast), namun fitrahnya masih merintih kedamaian yang dibunuh 'orang kahwin' malam itu.

RAKYAT KETAGIH HIBURAN

Fenomena hiburan melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di Ireland, rancangan realiti TV mencari bakat baru berlangsung satu demi satu, tetapi di Malaysia, lima program berjalan serentak. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja. Lagu-lagu lama muncul kembali supaya jiwa rakyat yang hari ini telah beruban, terusik kembali untuk mengenang zaman remaja mereka di taman-taman bunga. Semua berhibur, semua berkhayal dan semua terbang ke cloud nine masing-masing.

Iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup! Mana-mana yang tidak menghiburkan, tiada makna dan tiada nilai.

Namun, mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa, suara-suara menegur masih kedengaran walaupun tidak begitu diendahkan. Mufti berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh. Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan. Bagai penagih yang keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang sudah ketagih hiburan. Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Tarian dan lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama-nama Tuhan diselitkan jua. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana? Mentor saya memberikan analogi yang menarik. Katanya, nasyid umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang hanyalah iklan dan kecantikan paras rupa modelnya, sedangkan barangan tidak terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu sudah tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon iklan yang naik saham!

Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang kontemporari. Nasyid bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari ini, berapa ramai yang 'membeli' Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi meningkat selepas menghayati nasyid seperti itu? Walaupun ada penyanyi wanita tergamak mengheret jubah dan tudung ke pentas tari menari, atau yang lelaki menyelitkan kalimah-kalimah Arab di celah caca merba nyanyiannya itu, persoalannya yang manakah yang laku? Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin dibesarkan? Amat pelik, jika nasyid itu kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam tetap tidak laku di pasaran. Jika ia sebuah iklan, maka nasyid hari ini menjadi contoh iklan yang tidak berkesan. Iklan laku, barang tak laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan.

APAKAH SEMUA INI?

Inilah soalan yang membingungkan saya. Kita melihat bagaimana menyebut kalam-kalam iman seperti Insya Allah, Alhamdulillah, Syukur, Ameen dan lain-lain sudah menjadi seperti adat. "Semoga Tuhan memurahkan rezeki saya dalam bidang ini!", Tuhan mana yang mengurniakan kemurahan rezeki dalam bentuk maksiat dan kebinasaan jati diri? Kepada Tuhan manakah, si artis tadi berdoa? Habis, apa ertinya mereka yang berpenat lelah melawan hawa nafsu dan syaitan dalam kehidupan sedangkan dalam keadaan menaja maksiat, Tuhan masih mengurniakan kemurahan rezeki? Saya masih ingat bagaimana salah sebuah kumpulan ditemuramah oleh televisyen tentang rahsia kejayaan dan keyakinan diri mereka. Mereka menjelaskan bahawa mereka ada sejenis meditation. Apabila diminta membuat demonstrasi, mereka yang terdiri daripada beberapa lelaki dan seorang perempuan berpegangan tangan membentuk bulatan dan... AL-FATIHAH! Selepas itu ketua kumpulan membacakan doa sambil menadah tangan, memohon supaya Allah melindungi band mereka dari kekalahan dan mala petaka bahaya. Terpegun saya menontonnya. Wartawan tersebut pula mengucapkan syabas kerana walaupun kumpulan tersebut menyanyikan lagu kontemporari dan moden, tetapi masih tidak lupakan agama!

Bingung saya memikirkan hal ini. Apakah sebenarnya kefahaman mereka tentang Islam? Adakah mereka benar-benar memaksudkan bahawa Allah, Tuhan Muhammad, Tuhan Abu Bakr, Tuhan Imam Syafie, adalah Tuhan yang sama boleh mengurniakan keredhaanNya kepada acara henjut-henjut mereka di dalam konsert tersebut? Apakah pelajar-pelajar Akademi Fantasia benar-benar percaya bahawa di alam bukan Fantasia, Allah SWT telah menghalalkan perlakuan mereka hanya kerana sebelum jamming, mereka memberikan salam? Seperti orang yang makan daging yang unknown, baca sahaja Bismillah dan baham! Lantaklah daging tu babi ke atau lembu mati dilanggar kereta, yang penting tadi Bismillah telah dibaca. Err... saya benar-benar kebingungan.

Akhirnya, saya sampai kepada suatu kesimpulan. Saya terkenangkan kepada hadith riwayat Huzaifah, bahawa Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan bahawa di akhir zaman, kebenaran itu masih bertahan tetapi bezanya dengan Islam di zaman silam ialah, Islam di akhir zaman ini berdebu, samar-samar dan berasap. Jika realiti di akhir zaman ini begitu, ini bererti Islam tidak boleh dinilai dengan pandangan mata biasa kerana di dalam suasana yang berdebu lagi berasap, dua biji mata di kepala ini akan kemerah- merahan, kabur, berair dan kelam penglihatannya.

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu Nabi Muhammad SAW menyuruh kita meminta pandangan hati dalam menilai kebenaran. Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan di hati dan kebaikan pula mententeramkan jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia akan meilhat dengan pandangan Allah. Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid. Tauhidic Mindset itu adalah suatu pandangan yang menilai kehidupan ini berasaskan pandangan Tuhan. Apa yang baik di sisi Allah, baiklah padanya, dan apa yang keji di sisi Allah, kejilah terhadap dirinya. Hakikat ini tidak dapat dicapai oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada mata di hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut pergi.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penari dan penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita masih mahu berhibur tetapi kita sedar yang kita sudah terlalu terhibur. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Sama seperti seorang artis yang pergi umrah. Menangis-nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke KL berdansa semula. Namun diceritakan kepada wartawan perasaannya semasa berumrah itu. Sedangkan tidak sedikit pun kemungkarannya yang ditinggalkan. Namun, dengan menggunakan hasil nyanyian itu untuk mengerjakan umrah, ia dapat mengurangkan rasa berdosa tersebut. Sama juga seperti orang yang menyamun harta orang lain, menipu dan menindas, kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang sedikit rasa berdosa.

Sedangkan apa yang saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam pengajarannya ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA! Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir zaman.

Imam an-Nawawi