Sunday, March 04, 2007

Dia Bersama Kita

Bayangkan keadaan kita yang dalam keresahan. Risau, gundah gulana. Fikiran tak tenang memikirkan apa yang bakal berlaku. Atau nasib apakah yang telah menimpa kita.

Kita cari ibu. Kita mengadu dan menangis sesungguhnya. Ibu dakap kita, usap ubun-ubun kita. Ibu tak putus-putus tenangkan, nasihatkan kita supaya jangan risau, semuanya pasti akan selamat. Kita akan depani semua itu bersama-sama. Kita pasti boleh.

Apa yang kita rasa? Pilu, terharu. Air mata itu bukan lagi simbol kesedihan dari hati yang kecamuk, tapi air mata kesyukuran dan ketenangan. Lega kerana masih ada yang sayang. Masih ada yang peduli.

Kondisi yang sama, tapi tanpa ibu. Ibu di kejauhan, tak ada yang dapat belai kita. Nak mengadu bimbang ibu risau. Lagipun, masalahnya tak rumit, cuma kita nak orang tahu. Resah bila sendiri.

Kita bentang sejadah. Dengan wuduk, kita menangis pada Tuhan. Menangis saja tanpa kata apa. Kita bercerita dari hati.

Kemudian sayup-sayup kita didengarkan dengan irama nasyid yang dah lama tak kedengaran di telinga. Kita hayati bait kata liriknya. Hati tersentuh. Dapat segala jawapan yang diperlukan. Sama rasanya dipeluk ibu. Tenang. Terharu.

Dapatkah kita rasa yang kita sebenarnya dipeluk Tuhan..?

Tuhan sentiasa mendengar kata-kata hambanya. Walau di mana, walau siapa. Sebab Dia Maha Kuasa dan Maha Mendengar. Cuma kita yang nafi kerna kurang yakin yang Tuhan bersama kita. Kerana dosa hati yang menjadi hijab antara kita dengan Dia.

Destinasi cinta yang kucari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya habut kerana dosa di dalam hati

Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang kutemui
Hanya kecewa

Adakah kita lupa yang kita sentiasa berteman walau rasa bersendiri?

"...Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada..." (Surah al-Hadid: 4)

No comments: