Monday, January 21, 2008

keliru bertudung

Jumaat dua minggu yang lepas, saya berpeluang menonton rancangan Galaksi di TV9 [setelah beberapa kali terlepas]. Kebetulan, tetamu undangan rancangan itu ialah pengacara baru Malaysia Hari Ini iaitu Wardina Safiyyah dengan topik mereka, bertudung selepas menunaikan haji.



Tertanya-tanya juga saya bagaimana perbincangan itu akan berlangsung, sebab pengacara Galaksi si Nana tak bertudung. Bila ditanya apa pendapat Wardina tentang topik tu, mula-mula, katanya, terpulang pada individu itu sendiri. Ayat yang kerap diulang, "Tudung tu hanya sehelai kain yang diletakkan di atas kepala."

Sepanjang perbincangan, hati saya mendesak supaya Wardina dapat menyatakan sesuatu kebenaran. Tapi bimbang juga tersilap cakap, digam pula nanti. Tapi saya yakin, kesedaran orang Melayu mengenai Islam masih menebal dan majoriti kita takkan mengalah pada benang yang basah.

Diselitkan juga rakaman penampilan baru Siti Nurhaliza yang nyata telah bertudung lengkap setelah pulang dari Makkah. Alhamdulillah. Sebagai artis nombor satu negara, harapnya, Siti dapat memberi pengaruh yang baik kepada rakan-rakan artis yang lain atau peminat-peminat seni tanahair untuk mengikut jejaknya.

Tak apa, pakai dulu. Jangan banyak bagi alasan. Sebab ini arahan Tuhan yang dah jelas dan nyata. Bukan lagi bab belum sampai seru. Sambil menunggu seru dan mencari pelbagai alasan, dosa dah bertimbun, hati dah makin hitam. Lelaki-lelaki di sekeliling pun sama. Sebab tengok maksiat saban hari.

Dosa yang melihat bukan dikira satu kepala satu dosa, tapi sehelai rambut yang disengajakan membukanya sebagai satu dosa. Adillah dengan bacaan al-Qur'an yang diberikan pahala berdasarkan bilangan huruf yang dibaca, bukan ayatnya.

Baru nak lega dan berlapang dada, ada pula rakaman komentar Deja Moss yang walau dah bergelar hajah, masih dengan penampilan lamanya. Diberi pula kenyataan yang salah mengenai konsep bertudung.

"Memang kita tahu, Islam menyarankan supaya wanita Islam bertudung. Tapi kita tak boleh paksa seseorang buat sesuatu yang dia tak suka. Tiada paksaan dalam Islam, kan? Tunggulah, bila masanya, saya akan bertudung juga."

Tersedak saya. Tak pandai, tapi nak memandai-mandai. Tiada paksaan untuk memeluk Islam. Tapi sekali dah Islam, memang kena paksa untuk ikut apa yang Tuhan suruh! Dan, bukan menyarankan, tapi mewajibkan!

Oh Wardina, katakan sesuatu, betulkan kenyataan tadi!

Akhirnya, Wardina sebut juga frasa wajib bertudung tu. Nana mengangguk. Tapi untuk mengurangkan ketegangan, beliau tambah, "Apa-apa pun, kita tak ada hak paksa seseorang untuk bertudung. Bukan kita dapat dosa pun dengan orang yang tak pakai tudung tu."

Salah pula, Wardina. Kita, terutama orang di sekeliling memang berdosa jika tak menegur kesilapan yang tak bertudung tu. Kita hanya lepas dosa hanya selepas 3 kali teguran tapi masih tak diendahkan.

Banyaknya dosa kita kan? Tu yang dalam Friendster tu, berapa ramai je yang dah kita tegur? Saban hari, memang makin ramai dalam senarai tu yang berani meletakkan gambar mereka tak bertudung. Tak malukah mereka dengan kawan-kawan satu sekolah yang tak pernah nampak rambut mereka di sekolah dulu?

Juga, kepada satu dunia yang bebas add mereka dalam senarai sahabat. Bukan hanya dalam kelompok masyarakat mereka, malah, satu dunia boleh tahu betapa rapuhnya iman mereka!

Monday, January 14, 2008

tamadun pada teknologikah?

Milton Fine kata manusia tanpa teknologi sangat rapuh dan menjadi seperti haiwan.

Siapa Milton Fine?

Dia bukan seorang tokoh, tapi cuma seorang [atau sebuah ciptaan] orang planet Kripton dalam siri Smallville.



Bukan nak highlightkan pasal dia. Tapi kata-katanya.

Dalam siri akhir Smallville Season 5 semalam, tanpa teknologi yang dijana kuasa elektrik, manusia [yang semalam diwakili oleh masyarakat New York] jadi seperti hilang pedoman. Mereka hilang kawalan. Kemalangan di mana-mana. Rusuhan di sana-sini. Rompakan dan kes kecurian banyak tak terkira. Bunuh orang macam bunuh nyamuk. Dah hilang langsung tamadun yang diusaha selama ini.

Ini satu cerita fiksyen. Tapi jika inilah akibat hilang teknologi seperti yang digambarkan oleh orang-orang Barat, maka virus Y2K dulu, jika benar berlaku memanglah sangat memudaratkan.

Orang Barat maju dalam teknologi. Tapi kes-kes jenayah di sana masih lebih tinggi daripada Malaysia. Walau ada CSI sebagai gambaran betapa hebat teknologi mereka menyelidiki kes, namun masih ada pelajar-pelajar yang bebas membawa senjata ke sekolah dan bebas pula mengamuk dan membunuh warga sekolah. Keadaan di Malaysia masih jauh dari itu. Alhamdulillah.

Sebab pedoman kita orang Islam yang mendominasi bilangan masyarakat di Malaysia bukanlah teknologi. Tetapi pemilik teknologi. Pemilik kita, manusia. Pemilik bumi ini. Tuhan. Tanpa teknologi, kita masih ada Tuhan.

Tapi, walau bukan dalam kes juvana, orang kita dah mula 'gila'. Lepas satu, satu kanak-kanak jadi mangsa culik, rogol dan bunuh. Bukan dalam selang masa yang lama dan bukan juga dalam jarak yang jauh berbanding kes yang sebelum itu.

Moga adik Sharlinie dapat ditemui dalam keadaan yang selamat. Beliau ada asma, dan dah 5 hari hilang tanpa ubat yang perlu diberi.



Dulu: "Apa ni asyik main komputer saja. Pergilah keluar, main di taman dengan kawan-kawan, keluar peluh!"

Sekarang: "Jangan keluar rumah tau? Kalau nak main, dalam pagar saja"

Dulu: "Berdikarilah. Pergi sekolah naik basikal, tak perlu tunggu mak abah balik kerja, hantar jemput.."

Sekarang: "Habis sekolah tunggu dalam pagar. Jangan ke mana-mana. Tunggu abah datang."

Nak didik anak-anak atau adik-adik gaya hidup sihat dan berdikari pun dah jadi serba salah. Semuanya jadi terbatas di dalam rumah saja.

Sebab kekurangan teknologi CCTVkah? Pedoman kita sudah ke arah teknologikah?

Sunday, January 13, 2008

kepulangan

Alhamdulillah, mak abah dah selamat sampai ke Malaysia Isnin lepas dan di Kuantan sehari selepas itu. Memang banyak buah tangan yang dibawa pulang. Bukan hanya untuk ahli rumah ini, tapi juga untuk seluruh sanak-saudara serta sahabat-sahabat sekerja di pejabat.



Bila mereka dah pulang, terasa ringan sangat bebanan di bahu sehinggakan terasa tempoh 40 hari dengan ketiadaan mereka itu hanya seperti mimpi satu malam. Seolah-olah tak pernah berlaku.

Apa-apapun, dah ada pengalamanlah jadi suri rumahtangga sepenuh masa. Bukan ibu tunggal. Sebab ibu tunggal terpaksa berkerja juga mencari nafkah untuk keluarga. Kami dah dibekalkan dengan terlebih cukup wang untuk kegunaan sendiri sepanjang tempoh tu.

Tapi dengan saya sebagai 'Bendahari', jangan harap wang tu dapat dibelanjakan sewenang-wenangnya. Semuanya digunakan cukup-cukup untuk mandiri kami, termasuk bayar segala jenis bil, buku dan yuran persekolah adik-adik yang bertiga tu.

Menguruskan rumah memang perkara yang menyeronokkan. Agaknya sebab dapat keluar peluh. Ilmu memasak pun dah adalah sikit-sikit [terima kasih mak dan Along! :p ]. Yang lain biasa saja. Kemas rumah, menyapu dan mop, basuh dan lipat kain.

Ada adik kedua, Fahmi yang sedang tunggu keputusan SPM pun membantu juga. Ke kedai jadi kadang-kadang saja bila terlalu banyak barang dapur yang nak dibeli, tak mahu Fahmi yang belum berpengalaman tersalah beli. Setakat beli roti, telur dan surat khabar tu memang dah jadi rutin harian dia. Kerja menghantar dan menjemput Ayuni dan Aliah pergi dan pulang dari sekolah pun jadi tugas dia.

Peluang ni datang bukan selalu. Dari pengalaman tu, memanglah sangat membantu untuk buat yang lebih baik lepas ni. Memandangkan saya masih lagi pegang status surirumah tu sekarang :p

Maaf dah lama berdiam. Sibuk dan penat jadi ALASAN untuk saya berhenti menulis seketika :p