Monday, June 30, 2008

akademi nasyid

Saya sekarang mengikuti program realiti TV yang terbaru: Akademi Nasyid.

Saya rasa inisiatif ini sangat baik untuk jadi pilihan utama mereka yang minat dalam bidang seni suara tetapi tak mahu yang melalaikan. Asal saja ia tak jadi alternatif untuk mereka yang nak jadi artis tapi tak boleh masuk ke mainstream [seperti apa yang sesetengah daripada kita definisikan].

Kalau kalian nak tau, saya juga mengikuti perkembangan Gangstarz. Setakat itu sajalah. Nak ikuti Akademi Fantasia tak ada Astro pula :p

Bila dah tonton dua-dua, saya mesti compare. Apa yang saya dapat lihat, konsepnya lebih kurang sama. Markah 50 peratus daripada juri dan 50 peratus daripada undian SMS orang awam. Akan ada 3 peserta [kumpulan/solo] peserta yang dipanggil ke tengah pentas sebelum salah satunya disingkirkan setiap minggu -- bergantung pada penerbit. Komentar diberikan selepas setiap 2 persembahan. Salah seorang juri pasti ada yang suka berikan komen yang jitu dan panas. Untuk Gangstarz ada Ajai, untuk Akademi Nasyid ada pula Tuan Farihin.

Walau terasa kehangatan persembahan dan sorakan lebih di Gangstarz, tapi kalian tak akan rasa betapa damai dan bahagianya mendengarkan nyanyian peserta seperti dalam Akademi Nasyid.

Secara peribadi, saya suka pada persembahan dan penyampaian dari hati peserta Akademi Nasyid yang bernama Azhan Atan [dengan adik-adik, selalu tersasul panggil beliau Pakcik Atan].

Minggu lepas, dendangan lagu 'Kepadamu Kekasih' yang dipopularkan oleh M. Nasir sangat menusuk kalbu. Saya tersentuh. Sesuatu yang agak memeranjatkan saya apabila prejudgement saya terhadap pertandingan ini ialah: Macam mana agaknya nasyid yang dipertandingkan yang para pesertanya akan berebut-rebut menonjolkan kelainan untuk dikenali ini akan dapat menyempurnakan urusan dakwahnya?

Tuan Azhan, saya dah salah.

Kehadiran Tuan menghidupkan pertandingan ini. Memberi nafas keinsafan disebalik sebuah pertandingan duniawi.

KepadaMu Kekasih
Aku berserah
Kerana ku tahu Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali

KepadaMu Kekasih
Aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi
Tanpa harga diri

Hanya padaMu Kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum ku temukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

KepadaMu Kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku
Dalam keadaan begini


Kerana fizikal, Tuan digelar manusia istimewa. OKU kata mereka. Disebabkan inikah lagu yang Tuan sampaikan berjaya mencuit rasa simpati dan insaf kami? Tidak, Tuan memang hebat. Tuan nyanyi dari hati. Kita tahu itu, sebab semua orang mengiyakannya. Saya ingat mungkin saya sahaja yang rasakan, tapi bila Tuan Farihin cakap,

"Tuan Azhan dah berjaya sentuh tauhid kami semua. Bila tauhid dah tersentuh, tak ada apa lagi yang kami perlu komen."

... Adakah yang lain juga rasakannya...?

Selain Tuan Azhan, saya juga gemar pada persembahan saudara Cicik. Bukan sebab beliau berasal dari Kuantan, tapi sebab persembahan bersahaja beliau yang memang menjiwai lagu yang disampaikan berjaya menyampaikan mesej lagu.

Saya bukanlah pakar mengomen pitching atau apa. Tapi bila kita dapat rasa, itu buktinya mereka menyampaikan dari hati. Dan kualiti inilah kelebihan Akademi Nasyid daripada Gangstarz. Lagu memang ada, sedap, kreatif. Tapi yang disampaikan berhenti di telinga cuma.

Kepada mereka yang masih belum berkesempatan menonton, terlupa atau belum terbuka hati untuk mengikuti persembahan peserta Akademi Nasyid, silalah cuba saksikannya pada setiap Sabtu jam 8.30 malam di TV9, Dekat di Hati.. ;)

Preview Akademi Nasyid Sabtu lepas:



Episod 2 - Part 5:



Cicik ialah satu-satunya peserta lelaki berambut panjang diikat dan Tuan Azhan adalah peserta yang memuat persembahan terakhir. Power, kan?

Sunday, June 29, 2008

derma darah - megamall - 290608

Minggu keempat percubaan untuk menderma darah. Nasib baik di Kuantan ni hampir setiap minggu ada kempen derma darah anjuran banyak pihak [terutamanya persatuan Cina].

Dan nasib baik jugalah sekarang ni saya ada direct informer, seorang staf Blood Bank sendiri. Maka, mudahlah saya nak dapat info terkini pasal mana-mana kempen derma darah yang diadakan di sekitar Kuantan ni saban minggu.

Kenapa minggu keempat percubaan?

Minggu pertama, tak cukup 15 hari sebelum 3 bulan selepas menderma kali akhir.

Minggu kedua, tak cukup hemoglobin dalam darah pula. Ada 11.6 saja [dalam unit apa tah]. Sedang yang diperlukan ialah minimum 12.5. Doktor beri ubat untuk tambah darah. Saya tak pernah hiraukan ubat-ubat tu sebelum ni. Saya jarang makan. Tapi nak derma minggu depan pula punya pasal, habis saya makan dalam tempoh seminggu tu.

Minggu ketiga, ada pula halangan lain yang tak membolehkan saya pergi.

Dan hari ini, untuk minggu keempat percubaan, alhamdulillah saya berjaya.



Mulanya tak berapa bersemangat, lepas dah berminggu-minggu mencuba tak berjaya. Dalam jam 11 pagi tadi baru teragak rasa nak menderma. Saya pun mesejlah informer saya tu.

"Encik, hari ni ada tak kempen derma darah di mana-mana?"

"Ada, di Megamall. Eh, yang minggu lepas tak jadi derma ke?"
Dan, panjanglah ceritanya...

Terus cop abah untuk tolong bawakan ke Megamall lepas Zuhur. Seperti biasa. Abah dah boleh agak. "Derma darah?" Saya sengih je.

Cek darah, kata doktor hemoglobin dan tekanan darah cukup-cukup saja untuk derma. Maknanya [agaknya], jika saya pergi minggu sebelumnya pun saya tak lepas lagi untuk menderma. Itupun, mujur saya habiskan ubat yang diberi. Jika tak makan, tak lepas lagi gamaknya.

Tak kisahlah. Saya boleh agak dah yang tu. Sebab di rumah ni, saya kurang makan. Senaman pun kurang. Makanya, selepas ni, mesti kena cukupkan betul-betul 3 bulan atau lebih baru boleh menderma. Kalau ada yang aktif sikit, 2 bulan setengah doktor dah lepaskan derma dah. Saya bukan spesis tu, malangnya.

Ai, lamanya nak tunggu lagi 3 bulan...

* * *


Kenapa saya suka derma darah? Jawapan saya kepada kebanyakkan orang mudah saja. Sebab rasa best. Macam dah jadi hobi [yang hanya boleh dilakukan sekali dalam 3 bulan].

Sebabnya, saya nak dapat untung berlipat kali ganda dari Tuhan. Tuhan janji, kalau kita beri, lebih banyak yang kita akan terima. Disebabkan saya pegang janji tu, saya jadi tak kisah nak memberi. Sebab yakin yang pulangannya akan lebih menguntungkan daripada pulangan stail MLM.

Tak ikhlaskah saya? Saya tak pakar dalam hal agama. Tapi pada saya, ikhlas tak ikhlas itu diukur hanya sesama manusia. Jika kita memberi sesuatu kepada seseorang dengan harapan orang itu akan memberi sesuatu pada kita juga sebagai balasan dan jika kita tak dapat, kita buat muka panjang [long face], itu dah jadi tak iklas.

Tetapi sebab saya mengharapkan balasan dari Tuhan yang semestinya menepati janji, saya tak risau menantikan balasan. Balasannya ada, tapi terpulanglah pada Dia untuk beri apa, bila dan bagaimana. Di dunia, atau akhirat.

Sekurang-kurangnya, jika amalan yang lain kurang, ada yang boleh menampung. InsyaALLAH. Amin!

Wednesday, June 25, 2008

fahmi ke kolej mara banting

Semalam hari pendaftaran Fahmi di Kolej MARA Banting. Saya dan keluarga dah ambil cuti sejak Isnin lagi. Tak pernah ke sana, jadi Isnin digunakan untuk cari jalan ke sana. Mana tahu kalau-kalau sesat, boleh bersedia masa lebih awal.

Alhamdulillah, tempatnya tak susah nak jumpa. Abah pun dah habis study peta sejak malam Isnin. Bila dah sampai, hotel pula payah nak dicari. Yang ada dah penuh, atau mahal.

Malas nak berpusing-pusing lagi di tempat asing macam tu, kami ambil keputusan untuk rehat di hotel yang mahal itu juga. Dah 6 jam berjalan, penat dah duduk saja. Ada pula rombongan pelancong dari Jepun yang menginap sama di hotel tersebut, mereka ambil peluang naikkan harga. Tanpa apa-apa makanan disediakan pula tu. Hari esoknya [hari yang kami nak keluar], mereka akan turunkan semula harga. Nasib, nasib...

Tak apalah, sekali sekala kata abah. Bukan selalu pun kami 'bercuti'.

Dah lama tak merasa duduk di hotel. Seingat saya, yang sebelum itu pun ketika ikut Kem Keusahawanan anjuran Kelab Permata di Hotel De Palma Ampang semasa di UIA. Dah lama jugalah tak rasa mandi shower air panas. Memang seronok!

Dengan keluarga? Bila ya akhir sekali? Saya tak ingat.

Pagi-pagi esoknya [pagi semalam] kami bertolak ke Kolej MARA Banting. Tempatnya sangat hampir dengan KLIA dan Sepang F1 Circuit. Tapi masih dalam kawasan ladang kelapa sawit. Kawasan perkampungan.

Infrustruktur kolej tu taklah secanggih nama dan standardnya. Malah, sebagai bekas tapak MRSM Cheras, kolej ni tak nampak pun acuan MRSMnya. Sekurang-kurangnya seperti MRSM Kuantan dan juga MRSM-MRSM yang saya pernah pergi. Bangunan coklat batu-bata yang original dan nostalgic :)

Tapi, masuk ke dalam kolej, Kolej MARA Banting masih dapat mengembalikan kenangan-kenangan saya di MRSM Kuantan dulu. Cara hidup mereka tak ubah langsung dengan cara hidup MRSM. Masih ada dewan makan, tak perlu beli makanan sendiri-sendiri. Dewan makannya juga masih kekal dengan nama 'Dewan Selera'. Dan... makan masih 6 kali sehari. Dengan setiap kalinya hanya perlu beratur dan tadah lauk sebelum dapat makan :)

Dobi pun bukan kena bayar setiap kali nak guna. Tapi dah dibayar sekali semua. Cuma, buat masa sekarang, mungkin perlu 'taja' diri sendiri sebelum dibayar semula oleh penaja sama ada Felda, JPA atau Petronas.

Ini kali pertama Fahmi berjauhan dengan famili. Sebelum ini dia di asrama juga. Tapi dekat saja. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan [SBPIK] di Indera Mahkota. Jika perlukan duit, hanya telefon dan akan ada yang menghantar [macam saya semasa di MRSM Kuantan juga dulu :p ]. Kolej ini, sama seperti di MRSM, belum ada kemudahan ATM dalam kawasan mereka. Masih perlu keluar ke pekan jika perlu dapatkan duit.

Sekarang, Fahmi agak jauh, malah, tempoh perjalanannya lebih lama daripada Kuantan-UIA Gombak. Belum pun tahu macam mana dan di mana nak dapatkan bas ekspes untuk pulang. Tapi Fahmi jenis yang tahu bawa diri. InsyaALLAH, sekejap saja akan dapat sesuaikan diri dengan persekitaran.

Yang paling membanggakan, rutin harian bangun pagi dan mengaji yang diperoleh dari SBPIK tak langsung ditinggalkan walau dah 7 bulan terperap di rumah sejak tamat SPM lepas. Agaknya, disiplin ini juga penyumbang keputusan cemerlangnya dalam SPM.

Sampai ke rumah malam semalam, Amir, adik kami kata, "Sedihlah..."

"Sebab Abang Mi dah tak ada?" saya tolong jawab.

"Mesej la Abang Mi kata kita dah sampai," pujuk abah.

Agaknya, waktu saya nak pulang ke UIA dulu, begini juga lebih kurang dialognya. Sebab abah selalu mesej tanya sama ada saya dah sampai atau belum. Amir yang tanya katanya. Amir, Amir.. :)

Lagi 2 tahun, Fahmi akan catat sejarah baru dalam keluarga. Ke oversea. InsyaALLAH. Amin!

Friday, June 13, 2008

sanusi dilucutkan sebagai presiden uia?

1. Saya berasa amat sedih dengan tindakan untuk menamatkan khidmat Tan Sri Dato Seri Sanusi bin Junid dari menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa.

2. Mungkin dia telah melakukan kesalahan yang besar yang tindakan ini perlu diambil. Tetapi secara kebetulan tindakan terhadap Presiden UIA ini diambil sejurus selepas dia keluar daripada UMNO. Apakah perbuatan beliau ini yang menyebabkan dianya disingkir?


- Tun Dr Mahathir Mohamad

Saya malas nak komen.

Monday, June 09, 2008

mirwana - faizal tahir - rock

Mengenang apa yang dibangkitkan oleh kawan saya, Ajen tentang muzik rock dan penyampaian dakwah kepada peminat muzik itu...

Saya sedar yang nasyid juga mempunyai variasi rentaknya. Ada yang slow, ada yang pantas. Berbeza-beza untuk menawan hati pendengar mengikut mood dan kecenderungan minat pada suatu ketika.

Saya juga begitu. Saya paling suka pada muzik world yang dibawa Mirwana. Pada ketika saya sedang bersedih, muzik jenis slow dapat layan perasaan saya. Berbeza dengan lagu lagha dari genre muzik yang lain, muzik slow nasyid dapat bangkitkan kesedaran untuk tak bersedih lagi.

Muzik laju juga, bila kena pada ketikanya, adalah satu-satu bait kata yang dapat sentuh hati, boleh jadi insaf juga.

Dalam kedua-dua keadaan, hati saya akan jadi tenang. Kerna diri akan kembali kepada fitrah mengingati Tuhan.

Daripada lagu-lagu laju yang dibawa Mirwana dalam album pertama mereka, saya sangat tertarik pada suara Faizal Tahir. Beliau memang ada suara yang sangat power. Bila beliau menyanyi, beliau dapat tarik fokus kita untuk benar-benar menghayati apa yang disampaikan. Macam Allahyarham Sudirman saya kira.



Sekiranya saudara Faizal masih terus dapat sampaikan mesej dakwah, walau dalam genre rock sekali pun, alangkah indahnya. Alangkah kuatnya terasa syiar Islam ini. Sebab ternyata beliau punya pengaruh yang sangat kuat sekarang. Sehingga saya pun dapat menerima lagu-lagu rock nyanyiannya.

Kepada yang di luar sana yang minat pada muzik rock, tapi tak mau menyimpang, anda punya pilihan. Iaitu menasyidkan lagu rentak rock. Isytiharkan anda sebagai pejuang Islam, pendakwah, tapi bergiat dalam rock, tarik pendengar-pendengar muzik itu. Biar mereka memberontak, tapi gunakan tenaga yang ada itu untuk menegakkan syiar Islam! Biar apa kata orang, asal kita nampak tujuannya.

Apa-apapun, Mirwana masih best! Klip video di bawah adala salah satu lagu yang dimuatkan dalam album kedua mereka yang bakal berada di pasaran awal tahun depan.


Andaiku Pergi

Thursday, June 05, 2008

insan istimewa II

Semalam, jumpa insan istimewa lagi :p

Tapi kami tak YM, tapi berjumpa depan mata. Dia istimewa, sebab kami berkawan dah lama, sejak dari matrik. Dan semalam bertemu, berbual dan berjalan sama setelah bertahun-tahun lamanya.

Dia ni pernah jadi topik utama di awal-awal pembukaan blog, malah masa blog di Upsaid lagi [terpaksa tutup sebab Upsaid dah upgrade sistem kepada yang berbayar]. Malah, dialah pencetus kepada penulisan saya pada hari ni. Dia mentor secara tak langsung saya.

Dia pencetus kepada Amira Hariyati pada hari ni. Maka sebab itu dia istimewa.

Awak, terima kasih ya sudi beritahu singgah ke Kuantan. Harap tak serik [baca: InsyaALLAH, Secret Recipe boleh dipertimbangkan ;) ].

kes nak cepat kaya

1. Imam Dijerat Skim Hadiah AF 6 : Apa Sudah Jadi ??!

2. Hukum Peraduan SMS Menang CAMRY

Juga di Utusan.

Ustaz dah beri komen lengkap di blognya. Silalah baca.