Friday, February 27, 2009

kursus pengurusan islam

Alhamdulillah, saya telah berjaya menamatkan kursus pertama anjuran KPT bagi tahun ni. 4 hari dah lepas. Tinggal lagi 3 hari untuk mencukupkan syarat wajib 7 hari kursus setahun (Baru saya tahu salah satu tanggungjawab sebagai kakitangan kerajaan ni).

Kursus yang diuruskan oleh Fitrah Power ni bermula Isnin lepas dan berakhir semalam. Keseluruhannya, saya tak berapa dapat jumpa tazkirah dan tarbiah yang saya cari-cari sejak bekerja. Kerana pengisian keseluruhannya hanya motivasi pengurusan yang biasa.

Saya sudah usulkan supaya program berkenaan Islam diadakan lagi, mungkin dengan tajuk dan tema yang lebih dapat mendekatkan diri dengan Tuhan dengan mengenali agamanya.

Apapun, saya bersyukur terpilih dan ia memang menarik. Sebab utama ia jadi menarik:

  1. Dapat bertemu dengan Ustaz Ahmad Shukri Yusoff, 'artis' Halaqah TV9.
  2. Dapat satu kumpulan dengan Shauqi Devotees.
  3. Dapat berkenalan dengan Kak Sal (juga dari Politeknik Port Dickson) yang serupa macam saya; pencari program seumpama ini dan juga kipas-susah-mati nasyid!

Sesi Ustaz Shukri adalah pada Selasa pagi. Apabila dapat lihat orang yang selalu kita tonton di kaca televisyen saja ni, memang rasa macam tak percaya dapat lihat 'live'! Sebelum ni pernah berpeluang jumpa Ustaz Zawawi. Kali ni dapat pula jumpa 'kembar' beliau. Memang sangat best!

Shauqi? Memang adalah perkara yang sangat tak disangka-sangka. Belum putus rupanya rezeki saya untuk terus minat pada nasyid ni.

Dapat 1 kursus dengan dia pun dah kira bertuah, apatah lagi dapat satu kumpulan! Rasa teruja yang mendadak. Jika kalian kenal saya, maka kalian tak akan hairan. Saya memang sangat minat nasyid dan semua yang berkaitan dengannya sejak di sekolah lagi. Malah aktif dengan aktiviti bersama munsyeed dan persatuan-persatuan yang ada semasa belajar di UIA.

Cuma, sejak bekerja, saya memang dah lama tinggalkan berita tentang nasyid, kecuali jika keluar di Melodi. Satu, sebab tak ada geng sefikrah. Dua, sebab dah tinggal jauh dari Kuala Lumpur yang jadi pusat segala aktiviti. Dah setahun juga saya menyepi. Forum-forum yang memang saya daftar semua tu pun memang tak aktif.

Jika saya beritahu Shauqi yang saya ni kipas-susah-mati nasyid, dia pun mungkin kurang percaya. Sebab soalan pertama saya pada dia ialah, "Awak belajar mana dulu? Sebab muka macam pernah nampak."

Hahaha, pernah nampak??! Hailah Mira, dia kan artis nasyid, patutnya kau kenallah dia!

Saya yang masa tu memang tak teringat dah pasal artis-artis nasyid ni melainkan lagu-lagu mereka saja memang sangat blurr. Saya langsung tak ingat Shauqi tu siapa walau dah diberitahu nama. Bila dia beritahu yang dia graduan UKM, saya terus capai telefon bimbit, mesej Muhammad, ahli kumpulan Devotees yang pernah belajar di UKM juga.

"Mad, Shauqi tu UKM juga ke?"

Dia balas, "A'ah, kenapa?"

"Oh, betullah. Ni kursus sekali dengan dia. Ingat-ingat lupa mukanya. Dah jadi ustaz ye dia sekarang?"

Dia jawab, "A'ah, saya baru lepas call dia, dia memang tengah kursus. Betullah tu."

Adui, jatuh kredibiliti saya sebagai kipas-susah-mati. Macam manalah boleh tak perasan...

Shauqi, kami lantik jadi ketua kumpulan kami. Kumpulan CERIA dengan sorakkan "Senyum Selalu". Sepanjang kursus, saya memang berdebar. Artis ada berdekatan, kan? Cubalah kalian tukar nama Shauqi dengan nama artis lain yang kalian minat. Faham tak macam mana rasanya?

Untuk poin yang ketiga, memang beri saya ceria yang berpanjangan. Kak Sal memang serupa dengan saya. Fikrah nasyid dan pencarian kami sama. Rindunya saya untuk berkongsi cerita mengenai perkembangan nasyid negara. Memang dah sangat lama saya tak berbual begitu. Yang terakhir mungkinlah dengan Azwan, teman di syarikat lama. Tapi dia pun taklah minat sangat, cuma bolehlah kalau nak dengar.

Yang benar-benar terakhir, siapa lagi jika bukan Along dan Dalela. Rindukan kalian... Jikalah kalian ada bersama saya ketika itu, memanglah saya sangat bahagia. Serupa masa kita berkenalan dengan Amar di UIA dulu...

Kak Sal pun kata dia tak ada geng jika nak manapak ke KL untuk sebarang konsert atau aktiviti nasyid. Sekarang, dah ada lah!

Saya memang tak sabar menanti hari butang hijau saya. Hari yang boleh buat saya kembali hidup!

Saturday, February 21, 2009

dragonball evolution








Wah, saya nak tonton! Saya nak tonton! Dulu saya memang kipas-susah-mati Dragonball. Sekarang dah jadi real! Cayalah!!

Err... siapa yang nak sertai saya?

Wednesday, February 18, 2009

mesyuarat dan experimenting life

Saya suka mesyuarat kerja apabila mesyuarat itu dapat...

1. Memberitahu saya perkembangan semua kerja semua staf syarikat/bahagian tempat saya bekerja.

2. Mengeratkan silaturrahim antara saya dengan rakan-rakan sekerja yang lain.

3. Memperkenalkan saya kepada barisan penjawat tertinggi syarikat lebih-lebih lagi jika dapat berhubung secara terus dengan mereka. Networking!!

4. Memberikan saya suntikan semangat untuk meneruskan khidmat dalam tugas yang telah diberi berbanding senyap dan buat kerja sendiri.

5. Memberi peluang kepada saya mengutarakan apa yang ada dalam kepala untuk diluahkan.

6. Memberi saya tugasan yang tak ramai yang boleh buat.

7. Melibatkan semua individu yang ada untuk menjadi diri masing-masing dan menghargainya.



Jika sesuatu mesyuarat mengandungi kurang perkara-perkara ini, maka saya tak suka mesyuarat. Banyak berlaku dalam kelab dan persatuan semasa belajar dahulu. Iyalah, semua masih belajar. Jika bukan dari situ, tak akan dapat mesyuarat yang lebih baik pada masa kerja.

Setiap fasa dalam hidup saya memang berbeza-beza. Malah, antara 2 pekerjaan yang telah dan sedang saya lakukan pun amat jauh bezanya.

Yang satu saya bermula dengan seorang pelatih (junior) dan bertatih dari bawah, belajar sedikit demi sedikit. Yang satu ini pun belajar sedikit demi sedikit juga, tapi terus dapat jadi ketua. Maka, saya perlu jadi lebih waspada atas segala tindakan.

Yang satu ini di kalangan staf hanya panggil nama (kecuali bos besar). Canggung juga apabila pertama kali memanggil lelaki yang lebih berusia umurnya (beza setahun dua) dengan nama sahaja. Tapi mungkin lebih pelik jika ada 'abang'! Yang satu ini pun memang tak ada 'abang'nya, tapi ditambah dengan panggilan pangkat mengikut gred.

Setiap yang gred lebih rendah akan menunjukkan hormat dalam panggilan kepada penjawat gred yang lebih tinggi. Ini sukar untuk saya, sebab yang sejawat, yang boleh bersaya awak cuma seorang. Itupun lelaki. Dan telah berumah tangga pula. Sebab itu saya mahu berkawan dengan semua yang di bawah saya seolah-olah tak ada perbezaan gred. Tapi saya tahu, ia agak sangat mustahil. Dalam satu unit, apatah lagi antara unit yang berbeza.

(Saya bakal menjadi satu-satunya staf yang bujang dalam unit ICT. Bertambah sunyilah nanti)

Mesyuaratnya pula berbeza dari segi penyertaannya. Yalah, saya antara pegawai kerajaan yang paling muda. Jadi, apabila 2 mesyuarat luar unit yang telah saya sertai dalam 2 hari lepas kebanyakan pesertanya ialah orang dewasa yang berpangkat, patutlah saya merendah diri dan rasa gemuruh. Walaupun dengan hanya menjadi pendengar. Di sini, saya memang membawa diri sendiri dan belajar daripada pengalaman saban hari.

Pegawai Teknologi Maklumat is yet to be experimented. By me myself.

rindu

Saya rindukan teman untuk beriadah bersama.
Saya rindukan teman yang boleh buat saya ketawa.
Saya rindukan teman untuk ingatkan saya.
Saya rindukan teman yang boleh dikongsi duka dan lara.
Saya rindukan teman untuk kurangkan rasa sendiri.
Saya rindukan teman yang tak panggil saya cik atau puan.
Saya rindukan teman untuk menangis di bahunya.
Saya rindukan teman yang boleh buat diri rasa dihargai.
Saya rindukan teman untuk beri semangat dan motivasi.
Saya rindukan teman yang boleh temani saya.
Saya rindukan teman untuk jadikan saya seorang manusia.

Saya rindukan kamu!

Wednesday, February 11, 2009

artikel terbaru siswa feb

Alhamdulillah, artikel tulisan saya tersiar lagi dalam Dewan Siswa. Kali ini yang bertajuk "Anda Gemar Ketawa?"

Pembantu Perpustakaan Politeknik Port Dickson yang baik hati siap scankan artikel tersebut dan diberi pada saya. Terima kasih encik pustakawan!

Artikel tersebut:


Thursday, February 05, 2009

penampilan

Pagi tadi, bercermin. Rasa macam nak tergelakkan diri sendiri. Ini pegawai atau pelajar??

Kalau bab penampilan diri, saya memang tak mengikut zaman. Sekarang saya berpakaian seperti seorang pelajar. Malah dengan pelajar pun saya kalah.

Saya berjalan ke pejabat melalui asrama perempuan. Bila sampai ke ampaian mereka, saya lihat tudung-tudung yang dijemur. Jika tidak yang berbatu keliling, mesti ada kerawang.

Sedangkan tudung hitam untuk berkabung yang saya pakai sampai semalam ialah tudung Wardina yang mak belikan masa pertama kali jejakkan kaki ke matrik. Ya, yang ada bebenang yang disimpul-simpul dikeliling tudung tu! Tapi sekarang simpulnya semua dah terbuka, jadi berjurai macam itu saja.

Hari ini hari pertama kami bebas daripada tempoh berkabung sempena kemangkatan Yang Dipertua Negeri Sembilan. Pun saya tak pakai tudung berbatu. Tapi tudung krim RM7 yang dibeli Amy di Jalan TAR semasa tahun pertama di UIA Gombak.

Apabila bekerja di persekitaran yang ada ramai orang, dari kakitangan ke pelajar, baru saya rasa memang amat tertinggal dari segi penampilan. Teman serumah yang semuanya pensyarah memang pandai bergaya. Jaga dari segi kedut baju, solekan asas, kepelbagaian cara pemakaian tudung dan berkasut tutup dan bertumit.

Saya pula, selain baju yang memang diseterika tapi taklah teliti sangat, saya memang tak amalkan solek, pakai tudung pelbagai gaya dan berkasut tutup bertumit. Memang seringkas-ringkas penampilan. Ditambah pula dengan kad matrik staf yang sikit lebih kurang macam yang pelajar, saya memang nampak macam budak MRSM yang nak pergi prep.

Saya rasa selesa dengan penampilan bersahaja begini, tapi memang rasa agak malu dan tertinggal. Rasa kuno dan tak ikut zaman. Mujur saja saya bekerja hanya di hadapan komputer sendiri dan kurang perlu bergaul dengan staf lain. Sekurang-kurangnya setakat ini.

Adakah penampilan ini menyenangkan atau membuatkan orang segan untuk rapati saya?