Monday, August 24, 2009

paula abdul "get up and dance". akhirnya!

Akhirnya.. setelah lama menanti.. saya berjaya mendapatkan semula video aerobik Paula Abdul "Get Up and Dance (1995)" yang pernah Kelab Aerobik MRSM Kuantan 00/01 jadikan panduan setiap kali kelas.


Bila tonton video tu buat pertama kali selepas 8 tahun, saya kagum bagaimana kami semua boleh fasih dan hadam setiap step tarian yang cantik-cantik tu. Sebab bila newbie tonton buat kali pertama, memang pening juga. Agak mencabar.

Namun, saya yakin, sebab ilmu tu dah ada dalam kepala, bila dah mula gerak semula nanti, semuanya akan jadi mudah. Sekarang, saya cuma perlu panggil semula memori itu dan saya yakin, saya akan terus boleh sambung saja kemahiran yang ada, tanpa perlu ulang semula dari 1.

Terima kasih Zul. Sungguh, video ni sangat usang. Terpaksa guna torrent mencarinya, dan makan masa berminggu-minggu untuk download!

But it's worth it ;)

Saturday, August 22, 2009

perkembangan aerocppd

Aktiviti aerobik diberhentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan pada bulan Ramadan.

Buat sementara itu, kami masih aktif dalam proses merancang strategi pendekatan yang lebih baik untuk diaplikasi selepas bulan puasa ini.

Antaranya, penghasilan blog untuk Kelab Aerobik Politeknik Port Dickson @ AerocPPD.

http://aerocppd.blogspot.com/

Minta sebarang komentar membina untuk menjadikan blog ini lebih menarik.

Wednesday, August 19, 2009

mc @ program bersama angkasawan malaysia

Alhamdulillah, dah selesai tanggungjawab mencabar untuk Mathscomp kali ini. Jadi pengerusi majlis untuk program Bersama Angkasawan Malaysia tadi agak menyeronokkan walaupun sebelum mula majlis, debaran itu tetap kuat.

mc tak terlatih

MC tak terlatih. Saya suka gambar ni


Kenapa ia jadi menyeronokkan? Sebab program itu sendiri sudah menyeronokkan. Bertemu dengan idola masyarakat Malaysia, siapa yang tak teruja? Maka, sambutan majlis sangat hebat.

Hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar memang ramai. Tapi mereka tak kisah untuk berdiri di belakang dewan, asal dapat bersua dengan insan yang telah mengharumkan nama Malaysia ini di depan mata.

Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor ini memang mengagumkan. Penampilannya bersahaja, seperti tidak tergantung pada gelaran datuk. Senyum yang tak pernah lekang dari wajah membuatkan beliau tampak mesra sentiasa.

Dari segi wajah, ketinggian dan perwatakan, beliau memang sesuai jadi Prince Charming kisah dongengan puteri barat. Ini komentar sampingan, tak masuk dalam motif cerita kali ini.



Price charming Malaysia


Keterujaan hadirin menyambut hangat kedatangan angkasawan pertama Malaysia ini juga membuatkan kata-kata saya, "..program kemuncak Karnival Mathscomp 2009 anjuran Jabatan Matematik, Sains dan Komputer Politeknik Port Dickson." disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Saya tak percaya yang saya boleh membuatkan mereka beri tepukan :)

Tu belum bila saya panggil Datuk Dr Sheikh Muzaphar beri ceramah. Pelajar politeknik ni memang happening. Cikgunya pun sama naik.

Tambah menyeronokkan apabila Datuk Dr Sheikh Muzaphar beri ceramah yang sangat menarik. Dengan persembahan video kenangan harian semasa di ISS sehinggalah dalam setiap cerita yang penuh berinformasi.

Saya jadi 'kisah apa aku duduk di depan?'. Sama gelak dengan hadirin bila Datuk Dr Sheikh Muzaphar keluarkan cerita-cerita yang melucukan.

Sesi soal jawab dibuka sendiri oleh Datuk Dr Sheikh Muzaphar. Dah kurang tugas pengerusi majlis di situ. Beliau berjalan sendiri kepada yang nak tanya tu. Sangat sporting.

Pelajar yang gila-gila dan sangat teruja ni masing-masing dengan semangatnya angkat tangan. Soalan memang ok, tapi yang mencuit hati bila mereka sempat bergambar peluk bahu Datuk Dr Sheikh Muzaphar sambil tanya soalan. Jadi, mereka nak tanya soalan sebab nak panggil beliau datang dekat dan ambil kesempatan ambil gambar. Nak tunggu lain ketika memang tak adalah.

Alahai korang ni. Pandai ye? :D

Kami kakak dan abang MC ni jugalah yang tak dapat bergambar sama Datuk Dr Sheikh Muzaphar. Hailah nasib~

Datuk Dr Sheikh Muzaphar, terima kasih sebab sudi hadir di Politeknik Port Dickson dan beri sedikit pendedahan keadaan dan kehidupan di angkasa lepas sana. Pengalaman Datuk memang menarik.

Puan Zainaton, Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, terima kasih sebab beri saya peluang jadi pengerusi majlis. Bukan senang nak dapat peluang yang dapat buat kita lebih kenal diri ni.

Terima kasih juga untuk cenderahati buku ni:



Menggapai Bintang


Buku ni saya dah baca hampir habis. Memang best. Kisahnya sangat mengharukan. Rasa kesedihan keluarga Datuk Dr Sheikh Muzaphar apabila kehilangan seorang anggota keluarga yang sempat menyiapkan buku ini untuk Datuk Dr Sheikh Muzaphar sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Terima kasih kepada partner pengerusi majlis saya (masih tak mau sebut nama beliau. Tapi rasanya nanti bila saya publish gambar, semua boleh kenal). Saya ada juga tambah ilmu ke'MC'an bila bekerjasama dengan beliau.

nafi + mira @ program bersama angkasawan malaysia

Inilah dia


Dan terima kasih kepada Cikgu Suhairi, kak Juliah Aman dan Encik Azizul untuk ucapan semangat sebelum majlis dan ucapan tahniah selepas majlis. Saya sebagai 'budak baru belajar' dalam hal capub-mencapub ni memang sangat memerlukan sokongan seperti itu.

Saya sangat hargai ucapan cikgu sebagai orang yang lebih dulu berpengalaman jadi pengerusi majlis dalam perjumpaan ahli Kelab Pentadbiran sebelum ini. Terima kasih cikgu! Jika ada peluang, bolehlah realisasikan visi saya tu ya? ;)



Bergambar kenangan bersama kakitangan Unit ICT

Tuesday, August 18, 2009

mc + cikgu @ karnival mathscomp

Dalam masa sehari, saya telah melalui 2 tekanan cabaran. Kedua-duanya untuk Karnival Mathscomp anjuran Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) Politeknik Port Dickson.

Entah kenapa, saya jadi pilihan pula untuk menjadi salah seorang pengerusi majlis bagi majlis perasmian karnival tersebut, juga menjadi 'penceramah' untuk Bengkel Pembinaan Blog.

Seperti apa yang saya cakap pada Cikgu Suhairi, "Bukan senang orang nak 'nampak' kita. Jadi, kenalah buat yang terbaik dan tidak menghampakan harapan mereka yang percaya." Dan sekaligus, kita pun dapat menambahkan pengalaman untuk masa depan.

Menjadi pengerusi majlis merupakan pengalaman pertama di Politeknik ini, dan yang ketiga kali sepanjang hidup. 2 kali yang pertama ialah semasa program Taaruf Week di UIA semasa saya menjadi komiti Program Coordinator.

2 pengalaman pertama itu, walau dah berlaku 3 tahun lalu jadi pemangkin kekuatan saya untuk tugasan kali ini. Sekurang-kurangnya, debaran tadi tidaklah seperti sewaktu 2 kali yang pertama itu.

Lagipun, tanggungjawab kali ini dipikul berdua. Bebannya kurang berbanding apabila majlis itu sepenuhnya di bawah kendalian kita.

Walaupun saya 'sasterawati negara', teks pengacara majlis perasmian Karnival Mathscomp tadi diserahkan kepada pasangan pengacara majlis saya, seorang pensyarah lelaki dari JMSK (tak perlulah saya sebut nama beliau. Nanti saham beliau naik mendadak).

nafi + mira @ perasmian karnival mathscomp


Penguasaan Bahasa Melayu, protokol majlis, pengalaman dan kespontanan beliau agak baik. Jika dibanding dengan saya, saya kalah 4-1. Jadi, saya lepaskan sedikit tanggungjawab menguruskan teks kepada beliau.

Bagi saya sendiri, apabila teks tersedia dan yang tinggal cuma untuk dibacakan, saya lebih yakin. Apatah lagi tak perlu speaking macam dulu.

Itu cerita mengenai pengalaman mengacara majlis.

Pengalaman jadi cikgu ialah yang paling kelakar. Saya tak pernah mengajar satu kelas sebelum ini. Saya tak pernah beri ceramah. Tapi saya rasa penguasaan kelas saya tadi agak boleh tahan (rasa macam nak perasan).

mira @ bengkel pembinaan blog


Mula-mula masuk kelas (makmal komputer) memang sangat kekok. Macam buat presentation kelas di UIA dulu. Depan pensyarah. Rasa macam saya membaca saja. Dan tak faham pula tu apa yang saya baca. Bos pula ada di belakang memerhati. Dengan pakai topeng pelindung virus H1N1nya, saya tak tahu, beliau ni sedang senyum atau tidak.

Walau bagaimanapun, mula-mulanya agak lega, sebab saya dapat portable mic. Risau sebab saya dah lama tak bercakap kuat, apatah lagi untuk 2 jam setengah.

Malangnya, portable mic tu tak reliable. Baru cakap beberapa minit, suara dah jadi normal. Saya pelik, macam tak ada kesan pakai mic ni. Bos kat belakang dah buat signal 'tak dengar'. Saya apa lagi, guna kudrat yang ada untuk lontar suara sehabisnya.

Haha, masa tu dah hilang segala malu terlebih yang ada. Saya dah tak kisah siapa yang masuk kelas tu. Saya agak, technicians saya pun terkejut pada perwatakan saya petang tadi: Akan buat apa yang tak pernah dan segan untuk buat bila kedaan memaksa.

Ya, motivasi (tekanan) memang dapat mengeluarkan tenaga harimau dalaman kita.

Dan tiba-tiba, entah kekuatan dan semangat dari mana, saya dapat mengeluarkan ayat-ayat yang biasanya terkeluar waktu saya bermonolog. Dah tentu ayat-ayat tu lancar, tanpa tersekat-sekat, tak dirancang, tapi cantik.

Fuh, saya dah dapat keluarkan sikit potensi dalaman! Dari bercakap sendiri kepada bercakap depan khalayak secara spontan! Saya dah dapat keluarkan potensi diri. Saya agak, ia akan keluar bila saya dah selesa dengan satu-satu keadaan asing tu.

Maksudnya, semuanya memerlukan masa. Untuk menjadi yang lebih baik daripada semalam, kita hanya perlu beri peluang kepada diri kita, dan biarkan masa melakukan tugasnya.

Jika saya ikutkan rasa gementar dan tak boleh buat (sebab tak pernah buat), saya tak akan terima tanggungjawab untuk menjadi pengacara majlis dan penceramah.

Bila saya tak terima, mana tau yang saya boleh buat atau tidak? Dan macam mana pula nak tahu jika ada antara tugasan yang diberikan itu sebenarnya adalah kekuatan kita?

Esok ada lagu satu tanggungjawab menjadi pengacara majlis. Mengendalikan program Bersama Angkasawan Malaysia. Iya, akan ada Datuk Dr. Sheikh Muzaphar Shukor. Doakan yang terbaik.