Saturday, December 26, 2009

avatar

Rasanya macam baru pertama kali tonton filem yang wataknya bukan manusia. Selain kartun. Dan animasi 3D. Tak sangka boleh seronok tonton Avatar.

Rancangan nak tonton filem ni tak lama. Sebab ada kawan yang mengajak. Jadi, tak sempat pun nak siasat dan tau sinopsisnya. Hanya sempat lihat watak 'alien' filem tu.

Watak alien biru telinga panjang. Dengan tajuk cerita macam kartun Avatar: The Last Airbender (font face pun sama). Memang langsung tak menarik perhatian saya. Kalau diadaptasi dari kartun Avatar pun, saya memang tak layan kartun tu. Tapi sebab saya ni suka berjalan, saya ikutkan saja ajakan beliau.



Hasilnya, cerita ni sangat memuaskan dan berbaloi ditonton. Apatah lagi agaknya jika dicuba versi 3D (tak berpengalaman lagi).

Avatar sebenarnya bermaksud wakil diri. Macam avatar (gambar) yang kita letak di YM mewakili kita yang sebenar.

Dalam cerita ni, avatarnya ialah satu makhluk campuran DNA manusia dengan makhkluk planet Pandora. Manusia dah jadi alien di Pandora. Manusia datang ke Pandora sebab nak kaut hasil planet yang boleh bawa untung besar.

Manusia yang datang ke situ terdiri daripada kumpulan saintis dan tentera. Kumpulan saintis ni bertanggungjawab dengan teknologi baru penghasilan tubuh seakan makhluk Na'vi dan mesin yang membolehkan otak manusia mengawal Avatar itu dari jauh.

Kumpulan tentera pula bertanggungjawab melatih mereka yang bakal mengendalikan Avatar ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan di tempat asing. Mereka mempergunakan Avatar yang boleh bernafas dalam atmosfera Pandora ini untuk berhubung dan memperoleh kepercayaan puak Na'vi.

Hero cerita, Jake Sully yang lumpuh kaki seolah mendapat kehidupan baru di Pandora. Dia, dengan Avatarnya jadi wakil manusia masuk ke dalam masyarakat orang asli Na'vi. Terlanjur, dia bercinta pula dengan Neytiri, anak perempuan ketua suku Na'vi.

Sebahagian manusia tenggelam dalam nafsu tamak menguasai mineral Pandora. Lupa pada kemanusiaan, mereka guna cara paksa untuk mengusir puak Na'vi dari tapak mineral tersebut setelah rundingan diplomatik diwakili Jake tak berjaya.

Jake bangun mewakili puak Na'vi dan mempengaruhi puak-puak lain Pandora supaya bersatu menentang kaumnya sendiri.. manusia.

Persoalan utama di sini ialah.. pendirian untuk menegakkan keadilan dan kemanusiaan dan bukannya perkauman.

Bila kita tahu ada antara bangsa atau keluarga kita yang salah dan menganiayai orang lain, kita perlu bantu mereka yang dizalimi, walaupun orang itu tak ada pertalian darah atau sebarang kaitan pun dengan kita.

Dan.. persoalan dalam penyesuaikan diri dengan persekitaran asing. Kita akan rasa berat hati, sesak dan terasing berada dalam situasi yang tak pernah dialami sebelum ni, kecuali jika kita pandang sekeliling dari mata mereka yang berada di dalamnya.

Tentera manusia di Pandora menganggap makhluk planet Pandora sebagai musuh dan semua yang ada di dalamnya membahayakan. Sampaikan kapten tentera cakap, mereka akan nak cari neraka sebagai R&R semasa di Pandora.

Tapi Jake dengan mudah menyesuaikan diri, belajar cara hidup dan bahasa Na'vi sebab dia rasa seronok dan nak lepaskan diri daripada kata-kata doktor tentang apa yang dia tak boleh buat.

Tahniah James Cameron, yang selepas 15 tahun, akhirnya berjaya merealisasikan ide filem ini, menggunakan teknologi kesan khas terkini.

Dan terima kasih kawan. Ajak tonton cerita ni ;)

Friday, December 11, 2009

jaga kata dan laku

Saya baru berpeluang sembang online dengan seorang munsyeed ni. Kumpulan nasyid beliau ni popular juga.

Tujuan utama, nak cari sumber paling mudah tanyakan soalan agama. Sebab tak ada lagi dalam senarai sahabat dalam YM itu yang paling sesuai untuk diajukan soalan berkenaan.

Saya maklum, beliau sibuk. Tapi beliau maklum akan bantu mana termampu. Saya anggap pun begitulah. Sebagai seorang ikon masyarakat dalam bidang agama.

Saya tanya soalan, beliau jawab tanpa kepastian. Tapi lepas tu, beliau quote fakta yang diambil entah dari mana (beliau tak beritahu sumbernya).

Entah beliau silap faham agaknya dengan soalan saya, saya tanya kembali soalan itu.

Beliau cakap beliau ada rasa macam nak marah. Siap tulis huruf besar poin soalan saya sebelum itu, mahu membuktikan yang saya sudah tukar soalan. Katanya, tadi saya tanya pasal soalan lain, yang ini lain pula.

Terus persepsi saya pada insan ni berubah.

Saya tanya memang sebab perlukan jawapan. Saya tanya pun dalam ayat yang baik dan mengajak pada perbincangan.

Saya terus memohon ampun atas gangguan dan hentikan perbualan.

Saya tahu beliau sibuk. Tapi apa yang saya lupa ialah, munsyeed ini juga manusia biasa. Ada tahap kesabaran atas tekanannya. Juga saya pun belum tahu bagaimana cara biasa beliau berbual dengan orang kebanyakan.

Cuma, apabila telah jadi ikon masyarakat, setiap kata dan perbuatan jadi nilaian orang. Apatah lagi ikon ini membawa imej agama Islam.

Jika sedang sibuk, apalah salahnya tutup YM itu. Atau sekurang-kurangnya, jika hanya mahu berbicara dengan orang tertentu, invisiblekan saja.

funfair @ sinfair?

Funfair atau taman keriangan patut jadi tempat kita meluangkan masa bersama teman-teman atau keluarga. Atau boleh jadi tempat untuk manjakan diri dengan hiburan sekali sekala.

Tapi tempat berkumpulnya segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak ini seolah-olah menghalalkan permainan berunsur judi.

Bukan satu gerai yang mengoperasikan permainan sebegitu, tapi banyak. Dan kebanyakannya. Taman keriangan dah jadi macam mini casino.

Macam mana sesuatu mainan tu boleh jadi judi? Bila kita mempertaruhkan sejumlah wang (judi = taruhan) ke atas sesuatu dengan harapan akan mendapat habuan hanya berdasarkan nasib.

Kau beli token yang harganya RM1 setiap satu. Kau letak di atas satu bahagian bulatan (macam papan bulatan Roda Impian). Kau pusing tuil yang disediakan atas bulatan tu dan berharap hujungnya akan berhenti atas bahagian yang kau letak token tadi. Kalau dapat, maka dapatlah habuannya.

Judi namanya.


Kau beli token lagi. Kau letak atas kotak warna merah, salah satu warna antara banyak lagi warna lagi seperti biru, kuning, hijau, putih dan merah. Penjaga gerai tu masukkan bola-bola berwarna dalam satu bekas yang membolehkan kau nampak pergerakan bola tu ke bawah. Kalau bola warna macam kotak yang kau letak token tadi jatuh dulu melalui satu turus bawahnya, kau akan dapat habuan.

Judi namanya.

Ada beberapa permainan yang saya tak kategorikan sebagai judi. Termasuklah permainan yang menyediakan hadiah, walau nombor atau huruf apa pun yang kita dapat. Cuma mungkinlah hadiah tu ada besar, ada kecil. (Boleh diperbincangkan)

Atau mainan dart. Bidik kotak yang bertanda, dan kita akan dapat hadiah berdasarkan bilangan tanda yang kita dapat.


Atau main baling gelang. Sasarkan gelang ke penyangkut yang ada poin.

Atau main menembak. Bidik ke arah tanda untuk barang yang kau nak.

Atau boling mini. Sasarkan bola kecil dari satu lubang ke mana-mana lubang bernombor dihujung. 6 bola yang dibaling akan menjumlahkan satu angka. Angka tersebut mewakili hadiah apa yang kau akan dapat.

Atau bingo. Yang memerlukan kecekapan mata mencari nombor yang disebut pengacara.


Semua yang melibatkan kemahiran dan memerlukan usaha untuk kita mendapat jenis hadiah itu bukan judi. Cuma, disebabkan ada kos mengeluarkan hadiah itu, kita bayar dengan token sebagai bayaran penyertaan.

Taman keriangan ini tak patut jadi tapak menyemai perkenalan dengan permainan berunsur judi. Terutamanya tempat ini menarik perhatian kanak-kanak dengan kemeriahan warna-warni lampunya. Apatah lagi ia beroperasi pada musim cuti sekolah.

Jadi, pada pendapat saya, mereka yang bertanggungjawab meluluskan perniagaan sesuatu taman keriangan ini meneliti jenis permainan yang bakal beroperasi.

Sebab tulah saya tak galakkan adik-adik main permainan yang di bahagian belakang tu. Banyak permainan yang meragukan (syubhah). Jika nak sertai, cuma permainan yang boleh naik. Tak kisahlah nak naik kuda, jet, UFO, cawan, eye atau buaian.

Tujuan saya beri adik-adik peluang cuba pun sebenarnya nak uji keberanian mereka. Sekurang-kurangnya boleh latih mereka jadi kurang takut dengan kelajuan dan ketinggian. Boleh hadapi cabaran yang lebih hebat pada masa depan.

Itulah juga tujuan saya ke taman keriangan. Masa kanak-kanak tak berpeluang. Dah bekerja dan berwang, barulah berpeluang uji diri cara ni.

Apa-apapun, jangan terlalu ralit (kata orang Kelantan ghalik) dengan hiburan yang beri gembira sementara ni. Sehingga tak sedar dah berapa banyak duit yang keluar. Membazir amalan syaitan. Boleh jadi haram jika melalaikan dari tanggungjawab.

Wednesday, December 02, 2009

jadi 'ibu tunggal'

Baru tiga hari jadi 'working mama', dah rasa kepenatannya.

Itu baru jaga 3 orang budak sekolah rendah yang dah tahu nak urus diri. Belum lagi kalau ada budak kecil yang terpaksa diteliti makan minum dan pakainya.

Raya haji minggu lepas saya pulang ke Kampung Bukit Tunggal bersama Fahmi yang diambil di stesen komuter Seremban.

Kebetulan cuti sekolah dah bermula. Aliah nak ikut saya pulang ke Port Dickson. Habiskan cuti seminggu di sini. Aliah bila nakkan sesuatu, memang dia akan tuntut sampai dapat. Kalau tak pandai pujuk untuk tangguh, masam je muka.

Bila Aliah yang darjah satu nak ikut, kakaknya, Ayuni yang darjah lima mesti kena ikut juga. Jika tak, siapa yang akan jaga dia masa saya kerja? Adik-adik saya ni memang dah biasa di rumah sendirian masa ibu bapa saya pergi kerja.

Tapi sebab ini tempat yang mereka belum biasa, perlu juga ada seseorang yang boleh diharap kawal itu ini.

Ayuni sayangkan kelas tuisyennya sepanjang cuti sekolah, 3 hari seminggu. Hai, makin mencabar agaknya silibus pelajar sekarang. Sekolah rendah pun ada tuisyen. Seingatnya, sepanjang belajar, sekali pun saya tak pernah sertai mana-mana tuisyen. Kelas tambahan adalah.

Nak pujuk Ayuni, bawalah seorang lagi sepupu rapatnya, Ija. Maka, mereka bertigalah yang berada di rumah saya sepanjang minggu ni.

(Masa balik ke sini Ahad lepas, kereta penuh. Tambah lagi 2 orang adik lelaki bawah saya yang mahu dihantar ke komuter Seremban. Cadangnya nak hantar terus Fahmi ke kolej dia di Banting, tapi sebab jem tak ingat lepas Melaka, saya keluar di Seremban saja)

Dalam kepala penuh dengan perancangan melayan budak-budak ni. Dengan fikir nak makan apa lagi. Bukanlah saya masak setiap masa (tapi ada juga masak!), tapi nak beli lauk pun korban banyak masa. Tu baru duduk dalam tempat kerja~

Isnin malam lepas, saya bawa budak-budak ke funfair dekat roundabout. Hujan pun redah je. Diorang layan hampir semua mainan. Kalau bukan sebab harga sekali main yang agak mahal, saya biarkan aja diorang habiskan satu funfair.

Mula-mula kami berempat naik mainan 'cawan'. Lepas tu Eye on PD (ni saya reka sendiri). Aliah dah tak mau main, Ayuni dan Ija saja yang naik UFO pula. Kemudian diorang naik kapal.

Tak cukup dengan tu, diorang tangkap itik. Kemudian, 'boling'. Tak puas sekali, Ija siap tawarkan duitnya untuk beli token. Haih, bahaya budak-budak ni bawa ke funfair. Semua nak cuba.

Saya naik buaian saja. Itupun 2 kali saja. Sila jangan tafsirkan maksud buaian secara terus. Ia adalah sejenis permainan paling mencabar dalam funfair tu. Tak ramai yang sanggup naik.

Itupun sekali orang belanja. Cuba kali kedua (pada hari yang berlainan) pun sebab tak puas hati dengan yang pertama. Rasa nak jerit-jerit lagi. Tapi tak sangka kali kedua jadi lebih santai dan relaks. Memang tak rasa apa.

(Memang kena buat misi seterusnya ke Genting. Ada yang nak ajak saya flying fox?)

Kalau ikutkan, Ayuni dan Ija nak cuba buaian tu. Tapi saya tak benarkan. Agak bahaya. Tambah dengan hujan waktu tu. Bimbang licin.

"Ish, hujanlah. Demam karang?"

Ayuni, "Ada atap kan atas tu?"

"Ada atap, tapi bila dah terbang nanti, kena jugak."

Aliah, "Ayuni, nanti kalau demam jangan bagitau kakak."


Sarapan pagi, jika sempat nak sediakan sarapan, tak sempat pula nak makan sendiri. Banyak kerja kena siapkan malam sebelumnya jika tak mau kelam kabut. Atau, jangan haraplah sempat kalau bangun paling awal jam 6.30 pagi.

Jika tak sempat sediakan sarapan, kena belikan pula. Makan masa di pejabat.

Macam mana pula dengan ibu bapa yang perlu hantar anak ke sekolah atau nursery?

Tengahari pun tak sempat rasanya nak berkejar beli lauk, makan sekali dan solat. Memang rushing. Macam mana lah dengan ibu bapa yang kondisinya sama, tambah perlu hantar anak ke sekolah petang dan tempat kerja bukan setakat 5 minit perjalanan?

Petang selepas balik kerja, kalau tak terlepek kepenatan, kena juga layan budak-budak main. Kalau diorang main di luar rumah, takkan nak biarkan saja. Ni pun mujur duduk di kuarters, tak perlu risau sangat dengan bahaya luar.

Wah, memang penat jadi 'ibu tunggal' ni. Memang salute pada ibu-ibu tunggal yang bekerja dengan punch card. Kepada para suami, bantulah isteri anda uruskan hal rumah tangga dan anak-anak.

Kalau duduk sendiri, tak kisah makan atau tak. Ni dah ada orang lain, saya makan pun ikut masanya :p

Tiga hari lagi...