Monday, January 25, 2010

kuasa

Salah satu pembelajaran saya dalam Kursus Induksi ini ialah mengenai kuasa. Boleh diaplikasikan dalam penjawatan awam, juga swasta. Atau di mana-mana adanya kuasa.

(Artikel ni boleh jadi salah satu cara ulangkaji pelajaran. Boleh juga jadi nota mudah faham kepada mereka yang akan ke kursus induksi juga. Atau bagi pemikir dan ahli falsafah di luar sana)

Kuasa ada 7 jenis. Formulanya ialah SPRM GKH.

1. Kuasa SAH


Kuasa ni ialah kuasa mutlak, yang diberi kepada seseorang atas penyerahan kuasa, lantikan atau pilihan majoriti. Contohnya ketua kelas, ketua unit, ketua jabatan ataupun setinggi Yang Dipertuan Agong.

Mereka yang memiliki kuasa ni berhak memimpin di mana-mana atas skala gaya kepimpinan autokratik, demokrasi atau laissez-faire.


2. Kuasa PAKSAAN


Kuasa ini diberi secara paksaan kepada seseorang. Contohnya, kuasa jadi MC atau pengerusi majlis. Terutamanya bidan terjun.

Contoh kes tak ada kena mengena dengan yang telah meninggal, tapi adalah kena mengena dengan yang masih hidup.


3. Kuasa RUJUKAN


Kuasa ni biasanya diperoleh oleh mereka yang senior dan berpengalaman dalam sesuatu hal. Mereka ini menjadi rujukan atas sesuatu urusan. Mereka yang selalu menjadi rujukan atas pelbagai urusan ialah kaunselor dan para ustaz ustazah.


4. Kuasa MAKLUMAT


Kuasa yang dipunyai oleh mereka yang berinformasi. Contoh, seorang juruteknik yang ada kelebihan pengetahuan dalam bidang software. Tahu saja software-software yang sesuai digunakan untuk satu-satu keadaan dan kondisi.

Benarlah, ilmu itu kuasa. Knowledge is power. Jadi, carilah ilmu dan maklumat sebanyak yang boleh. Cara paling mudah untuk mendapatkan kuasa.




5. Kuasa GANJARAN


Dari apa yang saya faham, jenis kuasa ini ialah yang negatif. Sebab mereka yang mempunyai kuasa ini ialah mereka yang menggunakan pengaruh material dan wang untuk mendapatkan sesuatu, sama ada untuk kepentingan diri sendiri atau orang lain.

Rasuah terjadi disebabkan adanya kuasa ganjaran.


6. Kuasa KEPAKARAN


Kuasa ni lebih kurang dengan kuasa rujukan dan maklumat. Tapi, kuasa ni berdasarkan kepakaran. Mereka yang berkemahiran dalam sesuatu hal dari segi praktikal akan mendapat pengaruh dipercayai dengan cara ini.


7. Kuasa HUBUNGAN


Kuasa hubungan ada pada mereka yang mempunyai ramai kenalan, dari segenap lapisan masyarakat. Atau senang cakap, mereka ni ada networking yang bagus.

Mereka yang mempunyai kuasa hubungan akan dicari oleh mereka yang mahu berhubung dengan mereka yang berhubung dengan mereka yang mempunyai kuasa hubungan. Pening? Baca sekali lagi. Kalau perlu, buat rajah di kertas.

Kuasa hubungan biasa dimiliki oleh pegawai perhubungan awam. Yang memang kerjanya berhubung dengan orang.


Mudah kan nak dapat kuasa? Tak perlu jadi pemimpin masyarakat pun. (Perkataan masyarakat kena letak. Sebab nanti ada yang pertikai, semua orang adalah pemimpin).

Bukan semua kita adalah pemimpin masyarakat atau sesuatu kumpulan dengan kuasa sah. Tapi kita masih boleh jadi manusia berpengaruh dengan adanya kuasa-kuasa lain.

Kuasa yang paling mulia ialah kuasa rujukan, maklumat dan kepakaran. Motivasi untuk mendapatkan ketiga-tiga jenis kuasa ni memberi peluang kepada diri sendiri untuk memperbaiki diri. Menjadi manusia yang lebih berilmu pengetahuan dan menjadi manusia terbaik dengan memberi manfaat kepada manusia lain.

Kuasa hubungan juga sangat berguna. Kelebihan untuk mereka yang ramah dan suka berkenalan dengan kawan-kawan baru. Banyak faedahnya ada ramai kenalan ni.

Namun, jika kita ada kelebihan wang dan material, jangan pula gunakan kuasa ganjaran. Ingatlah bahawa harta dan kekayaan adalah ujian Tuhan. Gunakanlah pinjaman ini sewajarnya.

Sekian perkongsian untuk hari ini.

Saturday, January 23, 2010

aferesis

Saya sedang berkursus di INTAN, Jalan Elmu, Petaling Jaya. Hari pertama, saya jengah keluar tingkat dari bilik, saya nampak Pusat Asasi UIAM yang dulunya dikenali Pusat Matrikulasi UIAM. Tempat nostalgia saya.

Jumaat lepas, saya berpeluang ke salah satu tempat yang saya teringin nak pergi sebelum ni. PDN. Pusat Darah Negara.

Saya sedang mendapatkan suntikan pelalian percuma Hepatitis B sekarang. Dapat hadiah tu semasa menderma di politeknik yang lepas. Semua yang menderma minimum 2 kali dalam satu tahun tertentu akan dapat hadiah ni. Pada kali itu, saya mendapatkan suntikan dos kedua.

Di sana, saya dapat maklumat baru. Maklumat inilah yang ingin saya kongsi bersama.

Kepada yang pernah derma darah, kalian tahu yang kita perlukan tempoh 3 bulan untuk menderma sekali lagi.

Tapi.. tahukah kalian bahawa ada cara untuk kita derma sekerap 2 minggu sekali? ;)

Cara ni dikenali dengan aferesis.

Komponen darah terdiri daripada sel darah putih, sel darah merah, plasma dan platlet.



Sel darah merah bawa oksigen. Plasma bawa protein dan nutrisi. Platlet bantu pembekuan darah.

Cara aferesis ini membenarkan kita menderma plasma atau platlet sahaja!

Caranya? Darah kita akan melalui mesin aferesis yang mengasingkan komponen-komponen darah tu. Lepas diasingkan, darah kita akan dipulangkan balik ke dalam badan!

Sel darah merah perlu 4 hingga 8 minggu untuk digantikan semula. Plasma hanya 24 jam saja.

Siapa yang perlukan plasma dan platlet saja?

Plasma diperlukan untuk kes-kes pendarahan semasa bersalin, pesakit buah pinggang, pesakit hati, mangsa lecuran dan pesakit haemophilia.

Platlet pula diperlukan untuk kes-kes pendarahan, pesakit demam denggi berdarah, pesakit anemia, pesakit leukaemia dan lain-lain yang memerlukannya.

Darah secara keseluruhan? Diperlukan untuk kes-kes kecemasan dan mangsa-mangsa kemalangan yang kehilangan darah.

Pendermaan darah cara aferesis ni adalah untuk

  • Penderma darah tetap
  • Umur 18 hingga 50 tahun
  • Berat badan lebih 55 kilogram (alamak, yang ni tak lepas pula!)
  • Ada pembuluh darah besar (ni pun tak ada. Sob sob~) dan..
  • Kandungan platlet lebih 150 x 109 seliter.

Proses ambil plasma atau platlet ni lama sikit dari derma darah biasa. Jika derma darah biasa hanya perlukan 7 hingga 10 minit (setengah jam untuk saya!), pengambilan plasma ambil masa 30 hingga 45 minit, platlet pula 45 minit hingga 1 jam. Yalah, sebab darah tu perlu keluar masuk. Derma biasa keluar saja :)

Info tambahan:
  • Platlet hanya boleh bertahan selama 5 hari (Suhu: 20-24 darjah Celcius)
  • Plasma boleh bertahan selama 2 tahun (Suhu: 40 darjah Celcius)
  • Sel darah merah pula 35 hari sahaja (Suhu: 2-6 darjah Celcius)

Saya berkesempatan bertemu dengan penderma aferesis tegar di PDN. Beliaulah yang memperkenalkan saya tentang cara ini, dan menyebabkan saya bertanyakan pegawai kesihatan yang memberi suntikan Hepatitis B kepada saya.

Beliau dah 'derma darah' dekat 60 kali katanya. Setiap bulan beliau ke PDN untuk derma darah (yang sebetulnya plasma saja).

Wah, mana adil! Saya terpaksa tunggu lebih 3 bulan untuk menderma darah sekali lagi. Tapi buku rekodnya penuh dengan pendermaan yang dibuat sebulan sekali.

Baca punya baca.. kiraan hadiah untuk penderma darah keseluruhan dengan penderma plasma atau platlet tak sama.

Untuk penderma darah keseluruhan 50 kali, penderma plasma atau platlet perlukan 150 kali untuk hadiah yang sama!

Haha. Saya tak kejarkan hadiah itu pun. Saya kejarkan rasa hebat dan puas selepas setiap kali menderma. Dah ketagih! :D

Nak juga cuba derma plasma atau platlet. Tapi tunggulah nanti bila berat dengan sendirinya cecah 55kg (tak adanya saya sengaja nak tambah berat!) dan bila pembuluh darah di tangan ni besar sikit. Uih, karang darah keluar tak masuk balik, naya!

Gurau.

Cubalah! Oh ya. Mesin aferesis hanya terdapat di Unit-unit Tabung Darah. Tak terdapat semasa program derma darah bergerak (mobile).

bencinta

Ramai ilmuan blogger yang mahu mengelak membicara topik yang dianggap picisan dan tak perlu dibincangkan oleh mereka yang mahu dianggap bermotivasi. Tetapi, bak kata bos tempat kerja lama saya, tulislah, asalkan ia dari hati. Sebab yang dari hati itulah yang menarik pembaca. Malah, apa yang dielak dan dipendam itulah yang juga banyak dialami oleh ramai orang. Cuma, mereka tak mahu berbicara tentangnya.

Yang lelaki pun, sebab tak mahu dianggap lemah, maka cerita berkenaan tidak dihamburkan. Sedangkan, apabila dipendam, mahu pecah rasanya hati.

"Aku bukanlah superman
Aku juga bisa nangis
Jika kekasih hatiku
Pergi meninggalkan aku"


Ada yang menganggap kisah seperti ini membuka pekung dan aib, memohon simpati dan perhatian. Apabila telah mencipta nama dan dikenali, kita lupa pada asas pembukaan blog. Saya lupa bagaimana saya membuka blog 8 tahun yang lalu.

Cuma, dalam setiap perkara, ada hikmahnya. Jikalah penulisan ini sekadar meluahkan hibanya rasa, perkongsian itu mungkin membantu. Diri sendiri dan orang lain.

Pernah satu ketika, saya anggap cinta itu perkara kecil, ringan dan bukan keperluan. Sampai sekarang pun, saya cuba tabah dan mahu dilihat tak terkesan oleh hal cinta.

Tapi, hilangnya cinta itu sebenarnya mengundang satu rasa hiba, sunyi dan kehilangan kepentingan diri dalam dunia ini. Apatah lagi jika cinta itu telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Dan apatah lagi sekiranya bekas teman pencinta itu dah temui pengganti diri.



Siapakah kita padanya? Tidak terkesankah kehadiran kita selama ini yang sentiasa di sisi, berhujan dan berpanas bersama, dalam hati dan ingatan mereka? Apakah segala ucapan jiwa, ungkapan rasa dan janji itu dusta belaka? Adakah terdapat kelemahan kita yang tak dapat diterima?

Bagi mereka yang pernah komited untuk meneruskan cinta itu hingga ke hujung nyawa, atau sekurang-kurangnya ke gerbang perkahwinan, apabila cinta itu hilang di tengah jalan, hanya kekuatan emosi dan spiritual yang mampu menguatkan kaki kita untuk terus berdiri di bumi ini.

Bonus, apabila kita mempunyai teman akrab tempat berpaut dan bertongkat.

Putus cinta, maka kita..

Buat kawan ramai-ramai, terutama yang berlainan jantina.

Tiba-tiba nak buat banyak aktiviti lasak dan berpeluh. Lepas satu, satu nak dicuba.

Tulis yang terlalu tersirat di status YM dan FB.

Satu diari sehari.

Cari balik kawan-kawan lama yang terabai semasa bercinta. Hubungi semua orang. Sebab sunyi telefon tak berbunyi dah.

Cakap sorang-sorang. Bayang bukan-bukan. Kejap ketawa, kejap menangis.

Belek hadiah-hadiah pemberiannya, imbas semua kenangan.

Cuba nak tarik perhatian dan simpati dia. Lagi hebat jika emosi mengajak kita cari teman baru bekas kekasih itu dan tabur maki dan fitnah.

Rasa nak dimasukkan ke hospital. Sebab nak tau bekas kekasih tu ambil berat lagi tak pasal kita..

Dan bagi yang tak boleh hidup tanpa teman, terus cari ganti tanpa fikir masak-masak. Semata-mata nak menggantikan rutin yang lompong.


"Pabila kau merenung matanya
Ku rebah jatuh ke bumi
Di saat kau benar-benar mahu pergi
Seperti ku bernafas dalam air.."


Jika ada sahabat-sahabat yang putus cinta dan memanggil kita untuk menemaninya, pergilah kepadanya. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita buat untuk kembalikan semula 'kewarasan' dan 'kesedaran'nya. Mungkin kita dapat menghalangnya dari melakukan sesuatu yang kurang bijak.

Bagi mereka yang sedang bercinta, janganlah dilupakan masa yang perlu diluangkan bersama teman dan sahabat. Sebab kalian takkan mahu bersendiri jika cinta itu hilang. Cinta itu memang rapuh. Hilang cinta, tak mungkin dapat bersahabat seperti biasa lagi. Tetapi sahabat yang baik itu takkan pernah meninggalkan kita, selama kita menghargai dan memerlukannya.

Kepada mereka yang kehilangan cinta, memang nasihat yang datang bertubi tak terkesan. Sebab hanya yang mengalami yang merasa. Mereka tak alami, jadi mereka takkan faham. Carilah sahabat yang serasi, selesa dan kita rasa tak prejudis untuk kita luah rasa.

Lebih bagus jika sahabat itu pakar psikologi. Mujur saya ada kaunselor peribadi. Terima kasih Along. Selalu menyayangimu..