Thursday, September 25, 2008

...

Berapa ramai antara kita yang apabila dah masuk dunia pekerjaan masih mampu meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan rasa bertuhan dan sensitiviti pada agama?

Tanpa ada lagi kelas-kelas agama sekurang-kurangnya kelas wajib FKM/IRK setiap semester.
Tanpa ada lagi program atau ceramah motivasi.
Tanpa ada lagi konsert nasyid mendidik jiwa.
Tanpa ada lagi sahabat-sahabat sefikrah dan setarbiyah di sisi untuk terus mengingati diri pada Tuhan?

Sesungguhnya terasa sangat kurang makanan hati dan rohani Ramadhan kali ini.. dan.. kosong...

Friday, September 05, 2008

pemberitahuan

Sila dapatkan majalah Dewan Siswa September 2008.

Sila selak halaman 46. Karya saya ada di situ. Selamat membaca! ;)

Selamat berpuasa juga. Saya tertanya-tanya bagaimana pula menu iftar di masjid UIA tahun ni. Rindu pada roti dan sup. Sudah setahun ya berlalu sejak iftar dan hidup di lab FYP? :)

Sunday, August 31, 2008

menjelang 31 ogos

1. Selamat Hari Merdeka ke 51!

Jika dihayati benar erti merdeka, kita boleh rasa sebak dan terharunya. Mengenangkan bagaimana masyarakat terdahulu bersusah payah mengusir penjajah daripada menguasai tanahair kita.

Terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam pembikinan filem Leftenan Adnan 8 tahun dahulu. Satu-satunya filem sejarah yang diceritakan kembali dalam dunia moden hari ini yang mendapat tempat dalam hati saya. Bagaimana Leftenan Adnan lakonan Hairi Othman berjuang hingga ke penghabisan.

Askar Melayu pada masa itu telah tumpas. Mereka berundur. Tetapi Leftenan Adnan tak sanggup melihat penjajah mara. Beliau bersendirian keluar dari persembunyian sementara dan merobek perut setiap askar penjajah yang mampu. Dalam keadaan itu, hanya shahid yang diharapkan. Beliau tumpas. Mayat beliau digantung pada pokok dan setiap askar penjajah yang lalu akan menikamnya.

Dahulu, mereka semua boleh bersatu. Sekarang, kita ada duri dalam daging. Musuh dalam selimut. Atau, bagaimana rakyat Malaysia sendiri tak membantu dalam mempertahankan rakan senegara, tetapi cuba merompak, mencabul atau membunuh sesama sendiri.

Dahulu, mereka rindukan kemerdekaan. Sebak yang sukar digambarkan apabila Jalur Gemilang berkibar menggantikan Union Jack. Apakah ertinya Jalur Gemilang itu kepada kita sekarang?

Dahulu, mereka bukan sekadar bertempur dengan satu bangsa, malah begitu banyak bangsa yang cuba nak merampas hak kita. Tapi mereka berjaya pertahankan. Kita, dengan mudahnya membenarkan budaya bangsa asing meresap masuk ke dalam cara hidup kita. Kita memandang sepi pada budaya timur dan agama Islam sebagai agama rasmi.

Kini, kita seolah-olah hilang pedoman. Terumbang-ambing mengikutkan entah siapa. Kita seolah-olah hilang jatidiri. Kita hilang kebanggaan sebagai rakyat Malaysia yang sangat kuat pada masa dahulu. Kita hilang superhero! Kita malu dan rasa kerdil. Sedangkan Islam adalah agama yang terhebat dan Melayu dahulu seperti Hang Tuah dan Tok Janggut!

Apalah lagi erti merdeka untuk kita sekiranya kita tak menghayati, menginsafi dan menghargai perjuangan masyarakat terdahulu dan kembali kepada jatidiri kita yang asli? Jangan hanya tahu membakar bunga api.




2. Tahniah Azhan!

Alhamdulillah, selesai sudah perjalanan Akademi Nasyid musim sulung ini. Finale AN tadi berakhir dengan pengumuman kemenangan pada saudara Azhan. Memang salah seorang daripada tekaan juara saya, selain Cicik. Azhan dan Cicik memang setanding. Tapi mungkin Azhan punya lebih kesederhaan dan nilai ketaqwaan yang memungkinkan beliau jadi juara.

Ini nilaian saya. Kalian pasti ada pendapat masing-masing, bukan?