Thursday, May 21, 2009

kesihatan dan aerobik

Satu keajaiban telah berlaku pada saya. Secara tiba-tiba, setelah ambil makanan tambahan multivitamin, saya dah tak mudah nak pitam-pitam lagi. Dalam 4 kali kelas aerobik terkini, saya langsung sihat dan tak rasa sakit di bahagian pinggang.

Berbanding hampir 2 bulan lepas sebelum pengambilan vitamin itu, dalam kelas aerobik yang pertama, 2 kali saya tahan diri daripada pitam. Semasa rehat sebentar, cikgu yang tak tahu keadaan saya tak beri saya duduk. Nanti punggung besar katanya.

Saya tak mahu beritahu cikgu kondisi saya. Nanti tak pasal-pasal kecoh 1 kelas. Entah-entah kelas diberhentikan pula sebab saya.

Jadi, dalam pada tak larat, saya gagahkan terus beraerobik. Bila pandangan dah kelam, saya berhenti sekejap. Cikgu tak cakap apa. Mungkin beliau ingat saya penat biasa.

Tambah kronik, keadaan biasa yang dialami kebanyakan mereka yang bersenam terutamanya berjogging; rasa sakit di buah pinggang, sama ada sebelah kiri atau kanan.

Kata cikgu, jika sakitnya di sebelah kiri, ia beri kita signal supaya jaga pemakanan sebab ada kemungkinan akan kena gastrik. Jika sakit di sebelah kanan, mungkin ada apendiks. Kes bila kita suka kunyah jambu batu telan sekali biji-bijinya atau yang suka makan sambal dengan biji lada yang banyak.

Masa tu memang pinggang sangat sakit belah kiri. Kata cikgu, sarapan jangan tinggal. Saya memang jarang tinggal sarapan, kalau tak memang pagi tu akan kelaparan. Tapi saya jarang makan malam, sebab tak lapar. Cikgu kata, kalau tak makan nasi pun, alas perut. Jangan sampai perut berbunyi, katanya.

Tapi sekarang, tanpa ubah pun cara pemakanan, saya beraerobik dalam jangkamasa yang sama, lebih kurang 1 jam, tanpa sebarang rasa nak pitam dan sakit pinggang. Langsung. Siap minta cikgu teruskan lagi step-step yang kami belajar pada masa pelajar lain dah nak surrender.

Ahad lepas pada Hari Keluarga Kelab Pentadbiran Politeknik Port Dickson, ada diadakan sesi aerobik pada sebelah pagi. Saya sebelum tu yang dah lama berdiri nak tunggu aktiviti mula cuak. Dulu memang tak dapat berdiri lama. Jika tak duduk, memang akan rebah di situ juga.

Jadi, saya segera cari kerusi. Belum pun lama duduk, dah mula aerobik. Saya risau, was-was mampu tak buat. Lagipun, pagi tu memang tak sempat nak sarapan. Akhirnya, alhamdulillah saya berjaya sudahkannya tanpa ada sebarang masalah.


Hamper cabutan bertuah Hari Keluarga


Saya kurang pasti apa yang kurang dalam badan saya. Kata abang, saya memang dah cukup zat makanan, tapi badan tak dapat nak serap zat yang diambil. Ada satu bahan dalam multivitamin tu yang membantu badan menerima zat-zat dari makanan dan menjadikan saya segah semula.

Siapa ada sebarang pendapat?

(Oh ya, saya sertai aerobik untuk staf Politeknik. Nak sambung minat yang dah mula sejak di Tingkatan 4 dan 5 dulu. Walaupun jadi antara pelajar yang paling baru, saya dapat ikuti semua step tanpa banyak masalah. Puas? Tak dapat dinafikan. Sebab inilah saja aktiviti keluar peluh yang dapat saya sertai di sini.)

Wednesday, May 20, 2009

kursus induksi khusus @ vistana kl

Minggu lepas saya berpeluang menghadiri Kursus Induksi Khusus, salah satu syarat sah jawatan dalam sektor awam ni. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar walaupun sepanjang diumumkan yang kami perlu bersedia dengan satu tajuk pengucapan awam setiap seorang, saya tak senang duduk.



Ingatkan saya memang tak normal bila tangan lebih sejuk daripada orang lain waima yang duduk di sebelah. Rupanya pendingin hawa ada atas kepala. Macam mana boleh tersalah pilih tempat duduk ni.

Di kursus itu, saya berpeluang bertemu kembali dengan sahabat-sahabat PTM yang sama melapor diri di Putrajaya awal tahun lalu. Juga dengan kenalan UIA. Seorang sahabat Computer Science dan seorang kenalan Engineering. Kenalan Engineering itu pernah jadi teman sebilik sahabat Sains Fizik. Dan jawatan beliau sekarang terus lari daripada Engineering. Pembantu Tadbir Diplomatik, PTD.

Rezeki masing-masing.

Hotel Vistana tempat penginapan kami rupanya hanya di belakang stesen bas Pekeliling yang saya agak biasa pergi dahulu. Tapi sebelum ni memang tak perasan.




Dari tingkat 7 Vistana


Dari Politeknik, kami naik teksi ke pekan Port Dickson dengan tambang RM2.50 seorang. Memang murah dan tak banyak beza dengan bas, RM2.30. Tapi hala balik, tambang teksi jadi RM12. Adalah buruk dan baiknya teksi tanpa meter.

(Kepada yang berkenaan, sila gunakan maklumat ini sekiranya sesuai untuk diambil tindakan)

Dari Port Dickson, kami ambil masa satu jam naik bas untuk ke Stesen Komuter Seremban. RM4 tambang. Dari Seremban, kami ambil komuter ke bandar Tasik Selatan dengan tambang RM5.40. Dari Bandar Tasik Selatan, tukar LRT RapidKL terus ke Titiwangsa dengan tambang RM1.70.

(Kenapa saya tak tahu LRT Star dah tak wujud lagi di muka bumi ni??)

Apa yang saya dapat dari Akademi Kehidupan kursus induksi khusus ini?

Poco-poco.

Banyak yang saya dapat. Tapi kebanyakannya terlalu teori yang melibatkan pekeliling-pekeliling yang baru saya dengar (sebab belum duduki Penilaian Tahan Kecekapan, PTK lagi). Menjadikannya sesuatu yang sukar untuk difokuskan lama-lama.

Mujur kebanyakan penceramah tahu itu dan mereka lebih banyak bercerita kes-kes yang terlibat, termasuklah tazkirah-tazkirah yang berkenaan daripada terus dengan konsep-konsep dan tanggungjawab-tanggungjawab penjawat awam dan yang bernaung di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang mengantukkan orang.



Perjalanan pulang sama dengan pergi. Kecuali apabila tiba di Stesen Komuter Seremban, selepas bangun dari lelap yang sebentar (sebab perjalanan Bandar Tasik Selatan-Seremban adalah selama 1 jam). Kami yang dah keletihan dengan mamai-mamainya ambil teksi dan terus ke Politeknik. Kos? 1 teksi RM45. Mujur ada 3 orang untuk dibahagi-bahagi.

bersangka baik

Semalam saya telah didatangi oleh seorang pensyarah perempuan Cina yang meminta bantuan saya untuk perihal rekod kedatangan pelajarnya dalam sistem.

Sementara itu, kami berbual.

Beliau sudah berusia 52 tahu. Geraknya dah tak lancar. Tulis pun dah ketar-ketar. Saya sangat kasihan lalu bertanya jika beliau ada perancangan untuk bersara awal.

"Tak cukup duit maa. Kalau saya bersara, saya cuma dapat RM1500 sebulan. Memang tak cukup."

"Sekarang saya cuma mau maintain saja. Nak naik pangkat pun segan. Sebab saya tak mampu buat kerja. Saya sudah sebulan cuti sakit. Doktor dah tak bagi cuti lagi. Sebab saya masih mampu berjalan."


Pernyataan terakhir beliau sebelum meninggalkan saya,

"You mau tau ka? Saya sakit ni, semua yang tolong saya bukan orang Cina. Orang Melayu yang banyak tolong saya. Dalam kaum sendiri, kami lebih selfish. You dengan hal you. Saya dengan hal saya. Kalau dalam Islam, orang Melayu mesti bantu-membantu. Seorang sakit, kita tarik sama."

Sedangkan kita sesama Melayu merendahkan martabat kaum sendiri dan memandang diri pada mereka.

Bersangka baiklah kepada semua.

"Manusia yang paling baik ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia lain."