Sunday, May 15, 2005

titian wahyu

Baru pulang dari sekolah kurang upaya (cacat penglihatan) di Setapak. Ikut program Titian Wahyu S-DEV. Pergi pun berjemput. Baru pertama kali juga walau program ini berjalan setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad dari jam 2 hingga 5 petang.

Apa yang aku buat di situ? Ntahlah, kata aku mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah berasrama tu. Dalam fikiran aku terbayang Program Sireh Pulang ke Gagang ANSARA. Berdebar juga bila mengenangkan kemungkinan untuk memberi motivasi pada mereka. Gulp!

"Nak tolong orang kurang upaya ni tak semestinya guna duit kan? Motivasipun boleh!"

Itu kata aku dalam ketidakmatangan fikiran. Sebab aku sedar, kebanyakan daripada mereka lebih bermotivasi daripada kita yang cukup lengkap fizikal mental ini.

Lagi satu, aku macam yakin sangat saja boleh beri motivasi. Mulut pun susah sangat nak buka! Lainlah jika di sini :)

Tapi, eh, bukan motivasi rupanya?

Habis, apa yang aku buat di situ?

Oh, jadi reader...

Ini bukan program motivasi. Tapi sekadar menawarkan mata aku yang dah ditarik sedikit nikmat ini menjadi mata mereka [satu pakej dengan mulutlah -- baru aku faham kenapa Amizah minta aku siapkan bekalan air sebelum pergi].

Kemudian, bacalah aku subjek Sejarah dan KOMSAS pada dua pelajar cacat penglihatan yang diserahkan pada aku. Hidayah, tingkatan 4 dan Azura tingkatan 5.

Hei, ia tak sebosan itu okey?

Biasalah, aku kan jenis yang suka ambil kesempatan. Jadi bertanyalah aku BANYAK soalan pada mereka. Mujur mereka tak bosan nak melayan.

Tanya latar belakang keluarga dan pelajaran, cara belajar di sana, minat dan hobi termasuk cara menggunakan braille.

Terdetik di hati. Nota ulangkaji mereka terpaksa buat sendiri. Kalau bernasib baikpun, adalah cikgu yang baik hati bekalkan nota braille seorang satu dalam kelas. Nota braille, bukan boleh difotostat.

Nak buat nota pun, perlu orang untuk bacakan buku rujukan. Kalau tak ada orang? Nota yang mereka taip di kelas itulah satu-satunya sumber bacaan ulangkaji. Macam mana pula nak take notes semua yang cikgu cakap? Kalau sepatah cikgu cakap semua orang sibuk menaip, alamat macam guruhlah jadinya. Macam mana cikgu nak mengajar?

Bayangkan sajalah mesin braille yang lebih kurang macam mesin taip biasa tu diguna oleh semua pelajar dalam kelas...

Tapi, nak ulangkaji pun tak boleh nak buat peta mind sendiri untuk lebih faham. Satu helai kertas braille tu, bukannya banyak yang boleh ditaip. Macam kertas A4 yang bertulis tulisan saiz 20, spacing 1.5. Jadi, bayangkanlah nota mereka setebal mana. Untuk satu bab, untuk satu subjek, dan untuk SPM.

Kita yang dah ada nota di depan mata yang boleh melihat ni yang cuma tinggal dibaca saja pun masih reti nak bermalas-malas.

Mesin braille ada cuma di kelas saja. Kalau ada kelas prep, bolehlah dimanfaatkan. Kalau di rumah? Satu mesin kata Hidayah adalah dalam RM2000. Pergh! Kalau desktop paling koman dah dapat dua.

"Diorang ni kalau dapat A dalam apa-apa subjek, kita kena tabik. Kesungguhan diorang belajar berganda-ganda dari kesungguhan kita yang celik.

Mana tidaknya, nak siapkan senaskhah buku braille sahaja makan masa yang lama dan kosnya tinggi. Cuba bayangkan orang buta lukis graf lengkung dalam subjek ekonomi. Jangan gelak. Sebab ada di antara mereka yang mampu buat dengan baik."


Bila Hidayah buka mulut cerita kisah persekolahannya dahulu, hati jadi berapi. Masa sekolah rendah, dia sekelas dengan pelajar normal. Ada ke patut cikgu malas nak mengajar dia sebab katanya susah! Dah tentulah, dia kurang upaya, wahai cikgu! Tapi cikgu sebagai pendidik tak patutlah cakap macam tu, sebab patutnya cikgu dah niat nak didik anak bangsa jadi pandai, tanpa membeza-bezakan mereka.

Tengok situasi macam ni pun dah boleh nilai siapa yang lebih tabah dan suci hati.

Akibat didikan awal yang sengaja diabaikan, Hidayah terbentuk untuk jadi rendah diri. Bukan dia tak ada potensi. Dia minat buat sajak. Sajaknya pernah dapat tempat pertama dalam satu pertandingan peringkat sekolah. Tengok!

Bila bacakan nota sejarah untuk mereka tadi [hehe, aku pun baru nak ingat semula], terlintas nama Hommer, sasterawan Rom kalau tak silap. Beliau dapat hasilkan 2 buku falsafah yang jadi rujukan utama tamadun Rom. Sedang dia buta. Aku kisahkan pada Hidayah. Hidayah cuma senyum.

Tapi, tak tertahan rasa sayunya mendengar cerita bahawa keluarga Hidayah tak suka dia pulang ke rumah di Raub [orang negeri aku tu!].

"Saya pun tak suka nak balik rumah. Kat rumah semua orang tak suka. Sebab saya tak nampak."

Kalau dah keluarga sendiri tak sanggup nak terima, aku dah tak boleh nak kata apa selain, gadis semuda Hidayah memang tabah. Lebih tabah dari kebanyakan manusia yang belum diberi ujian setarafnya termasuklah aku. Makcik, pakcik, Hidayah tak minta dilahirkan begitu!

Tapi, dengan adanya Azura bersama, aku dapat lihat sinar gembira itu di wajahnya. Mereka umpama adik-beradik kandung walau tanpa sebarang ikatan darah.

"Mereka semua dari pelbagai keturunan dan agama. Dan mereka tetap mesra walaupun tidak pernah melihat rupa sendiri, isteri dan kawan-kawan. Berbaris sorang demi seorang, pegang bahu dengan bahu beriringan berjalan pulang. Terjatuh orang depan, orang belakang terjatuh sama."


Insan-insan istemewa ini pastinya akan pelik. Kita tiba-tiba melatah kerana kegelapan atau kepanasan apabila belakan elektrik terputus. Aik, dulu pandai pula suruh orang bersabarlah, ujian Tuhanlah. Gelap sementara ini pun dah tak tahan ke?

Mudah-mudahan kita yang celik mata ini tidak pula buta hati. Ambillah iktibar dari mereka yang sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka ada, tanpa perlu lagi meminta-minta.

"Kita yang celik ni lah selalu buta. Mata melihat tetapi hati buta mentafsir. Kadang-kadang kita tahu dan nampak benda itu salah dan ianya maksiat, tapi buat-buat tak nampak. Jaga periuk nasi punya pasal, angguklah. Demi nak bagi anak bini makan, jadilah umpama lembu yang ditambat hidung. Ini yang Allah telah sebut, ada mata tapi tak melihat. Ada telinga tapi tak mendengar."


# Baca lanjut blog Pakdi dalam entri aku tak pernah nampak kau.

No comments: