Sunday, September 18, 2005

nisfu syaaban

Hari ni 15 Syaaban atau nisfu Syaaban. Buku amalan kiri dan kanan kita akan ditukar dengan yang baru bermula maghrib semalam. Selepas tu, dosa dan pahala kita akan mula dicatat dalam satu buku yang baru.

Adakah ini bermakna apa-apa pada kalian?

Bulan Ramadhan juga tinggal 2 minggu saja lagi. Satu lagi masa untuk bina azam.

Untuk pengetahuan, saya tak pernah buat apa-apa azam, sempena apa-apa pun. Tahun baru masihi? Tahun baru hijrah? Hari kelahiran? Nisfu Sya'aban? Ramadhan? Tak pernah.

Sebab itu agaknya saya tak pernah rasa apa-apa atas sebarang pencapaian. Seolah-olah, kalau ada adalah. Tak ada pun tak apa. Sebabnya, saya tak pernah tahu [mungkin belum] apa yang saya mahu dalam hidup ini.

Saya kalah dengan Fitri, adik lelaki bawah saya. Kami bermesej sakan malam kelmarin. Keluarga saya ada di rumah Wak Ani, kakak sulung mak di Labis, Johor. Mereka akan ke majlis kahwin Bibik Winda di sana. Embah ada di Jakarta sekarang, bersama rombongan kampung Bukit Tunggal. Sebab tu mereka tak pulang ke kampung.

Jakarta... asalan saya yang tak pernah dijengah... ingin juga ke sana... Suatu hari, insyALLAH suatu hari.

Fitri kata yang dia nak jadi pro mangaka atau animator. Yakin sekali. Siap berjanji dengan sahabat mayanya, Kylee untuk bertemu jika mereka telah ke peringkat antarabangsa nanti. Sila rujuk http://riza.deviantart.com.



Saya bangga dengan Fitri. Dia tahu ke mana dia akan pergi. Azam itu yang membuatkan dia bersungguh-sungguh dengan apa yang dipelajari sekarang. Rekabentuk dan Grafik, di Politeknik Johor Bahru.

Saya boleh sebut pasal Tuhan, pasal dosa dan pahala, pasal Islam. Tapi saya memang tak boleh cakap apa-apa pasal masa depan. Belum ketemu apa yang saya mahu.

Harapnya saya akan. Akan ada seseorang yang menjentik sedar itu keluar dari dalam diri. Seseorang... yang saya belum tahu siapa.

:)

No comments: