Friday, December 15, 2006

colgate

Beberapa hari lepas, saya ke Asma', beli beberapa keperluan harian. Ada seorang sahabat nampak, kemudian tanya,

"Eh, dari mana ni?"

"Haleemah"

"Jauhnya beli barang?"

"Kat Haleemah takde jual ubat gigi halal"

Dia gelak, "Haha, Mira ni, perlulah!"
Cashier tu pun turut senyum.

"Hei, perlulah!" Saya gelak sama. Tapi benar-maksudkan ayat tu.

Keluar dari kedai, fikir semula. Aku ni memalukan diri sendiri ke? Rasanya, jika saya tak tahu pasal visi dan misi PPIM, saya pun akan berkelakuan seperti sahabat tu. Ya lah, beli sajalah ubat gigi apa-apa pun. Cuma ubat gigi saja. Buat apa nak heboh?

Colgate ada di Haleemah. Sekarang dah ada logo halal, selepas kontroversi meluas di media-media elektronik. Walaupun Colgate yang di Haleemah tu versi lama, belum ada logo halalnya, dulu saya tak pernah juga ambil kisah. Sebab keluarga saya sekian lama guna Colgate. Malah kebanyakan kita warga Malaysia pun saya rasa. Sebab tu ubat gigi tak disebut ubat gigi, tapi 'Colgate'.



Tapi selepas pendedahan PPIM baru-baru ini [dan masih berada di ruang FAQ di laman web mereka, untuk rujukan kalian], persepsi saya bertukar. Penting untuk mendapatkan barangan yang punya logo halal di pasaran.

Logo halal itu dicipta untuk kita, orang Islam. Untuk keyakinan kita sebagai pengguna untuk menggunakan barangan yang lulus mengikut syariat. Bukan untuk orang bukan Islam. Mereka tak kisah pun logo itu ada atau tidak.

Jadi, adakah kita tidak menghargai mereka yang bersusah-payah berusaha untuk kebaikan kita semua ini?

Itu persoalan sampingan saya kira, tapi amat bermakna buat saya.

Apa yang penting bagi kalian, Colgate tu halal tak? Betul?

JAKIM dah sahkan Colgate itu halal [setelah berpuluh-puluh tahun berada di pasaran], walaupun PPIM masih meragui statusnya. Tapi, baca kenyataan dari laman web PPIM ini:

"Senario di belakang tabir di mana lebih 47 tahun Colgate tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam dengan mengeluarkan produk tanpa sebarang pengesahan halal dan tidak berminat untuk berbuat demikian selama itu? Colgate juga berperanan menaja dan membantu Israel dalam perang dengan negara-negara Islam yang diketahui sejak tahun 1967."

Adakah ini tak bermakna apa-apa buat kita? Menjadi entiti peyokong produk yang menyumbang pada keruntuhan umat Islam sendiri?

Setiap yang was-was itu shubhah dan setiap yang shubhah itu haram. Jadi, jauhi perkara shubhah. Banyak sangat alternatif yang kita ada, terutama yang mempunyai kepentingan orang Islam sendiri. Gunakan tanpa was-was.

WaALLAHu'alam.

Saturday, December 09, 2006

raudhah concert

Nak bicara pasal konsert tu pula. Yang disebut dalam entri sebelum ini. Raudhah Concert. Bersempena dengan Raudhah Festival [Rafest]. Di Pusat Matrikulasi UIAM.

Ada penampilan baru. Ustaz Akil Hayy. Munculnya yang ulung-ulung kali di UIA, juga di hadapan mata saya. Terasa aura segar. Harapan, yang ia sesuatu yang baru dan industri nasyid.

Selain itu, ada juga munsyid-munsyid yang sangat familiar di UIA; Inteam, Suhaimi [walaupun kemunculan dengan personaliti baru, orang semua dah kenal dia], dan Mestica.

Persembahan Ustaz Akil adalah yang terakhir selepas Mestica, Inteam dan Suhaimi. Kiranya sebagai klimaks, yang ditunggu-tunggu semua. Inteam [termasuk Suhaimi] dan Mestica, biasa. Ustaz Akil, luar biasa! Benarkan?



Kemunculan Akil Hayy Rawa pada awalnya yang membawa imej ustaz ialah melalui ceramah-ceramah agama. Sama ada melalui media elektronik [kaset] atau ceramah dari tempat ke tempat. Melalui ceramah-ceramah itu, Ustaz Akil dikenali lebih membangkang kerajaan.

Cuma, sebab apa yang disampaikannya itu betul dan jitu [saya cuma pernah dengan sekali saja ceramahnya], dengan kata-kata yang lantang, direct, dan berani, orang jadi hormat padanya. Saya juga pandang tinggi pada Ustaz Akil.

Walaupun Ustaz Akil bukanlah converter dari bukan Islam ke Islam seperti Yusuf Islam, tapi dia converter dari jahil ke iman. Hidayahnya sama. Dan sejak menjiwai Islam, Ustaz Akil terus berjuang untuk tegakkan Islam, berlawanan sekali dengan apa yang beliau pernah lakukan sebelum ini, rocker.

[Yang ada hari ini, munsyid jadi rocker]

Batu lonjatan. Yang kita semua dambakan. Ustaz Akil dah dapat. Hebatnya beliau, dah setanding dengan ustaz-ustaz lain yang memang sejak kecilnya ustaz.

Beza semangat juang Ustaz Akil juga dapat saya saksikan melalui persembahan nasyidnya. Nasyid dah jadi sebenar-benar nasyid. Yang dihayati dan dijiwai dalam-dalam. Sehingga tempias ikhlasnya kena pada pendengar.

Ya, pendengar, bukan penonton. Bezanya kita ketika di konsert biasa dengan penyampaian dakwah insan seperti Ustaz Akil. Kebanyakan kita ke konsert nasyid sebab nak ketemu artisnya. Nak lihat wajah mereka, nak adili persembahan mereka. Nak tau perkembangan mereka dan perbezaan antara waktu itu dengan yang sebelum-sebelum ini.

Apa yang disampaikan kurang diambil perhatian. Jika hafal, kita nyanyi sekali. Jika tidak, kita renung dan tenung. Apa yang mereka nyanyi? Cuma dengar suaranya sumbang atau tidak saja.

Ini bukan omelan kosong. Tapi pengakuan dari saya juga, yang jarang terlepas mana-mana konsert nasyid di UIA, sejak matrik dulu lagi.

Penyampaian Ustaz Akil membawa saya kembali ke fitrah ketuhanan dan manusia. Erti sebenar konsert nasyid: majlis zikrullah.

Pergantungan dan ingatan pada Tuhan yang satu, setiap masa, dalam apa juga yang sedang kita usahakan. Ustaz Akil lebih-lebih lagi ingatkan kami yang sedang dalam alam belajar memantapkan diri untuk jadi seseorang dalam agama, untuk agama. Mujahid muda.

Ingatan penting atau sepatutnya boleh jadi niat yang kita kena pegang, yang selama ini sering terlepas pandang. Apa yang kita lihat cuma:

Susahnya subjek ni!
Macam mana nak bajet beli buku teks mahal-mahal ni?
Banyaknya nak kena fotostat? Nak kena baca?
Ala, macam mana nak hidup ni, takde geng la dalam kelas ni..
Apa? Ada kelas tambahan hujung minggu ni? Orang nak balik..
Alamak, mana cukup PTPTN nak belanja sem ni..


Semua itu cuma batu-batu kecil yang memang kita kena langkah. Langkah demi langkah, dengan sabar. Yang buat batu tu Tuhan juga. Dan apa yang kita buat semua ni cuma untuk Tuhan. Dia penilai terulung kita, bukan ibu bapa, pensyarah atau kawan-kawan.

Nak jadi orang yang hebat di sisi Tuhan, kita kenalah lalui semua itu. Sebab kita kena juga lalu, maka, kita laluilah dengan penuh sabar dan syukur. Ada Real Reward yang kita boleh kutip di situ.

Kita terpilih, jadi wakil Tuhan. Kita, orang Islam dah ketemu hidayah sebelum orang lain di dunia. Kuasa di tangan kita!

Eh, apa yang Ustaz Akil dah buat ni? Beliau berceramahkah? Tak. Ni semua hasil fikir sendiri yang sepatutnya kita boleh dapat dari bait-baik nasyid yang disampaikan oleh yang ikhlas dan faham apa yang dilakukannya.

coretan awal sem

Dah kembali ke Taman Ilmu dan Budi untuk memulakan sem baru lepas satu sem panjang tinggalkan alam pembelajaran formal ke tugasan staf. Ada rakan sekelas yang tak datang ke kelas pertama hari pertama semester. Katanya dah selesa jadi staf, belum bersedia turun pangkat ke siswi balik :p

Sebarang perubahan? Tak banyak yang directly. Tapi ada juga yang indirectly. Perubahan pada wakil pelajar belum terasa sangat. Tak kenal pun kebanyakan daripada mereka. Sesuatu yang amat asing bagi saya.

Di lab, ada beberapa laman web dah tak boleh buka. Yang saya kira penting juga untuk kebanyakan pelajar sini [mahupun di mana-mana]. Ingatkan dah lengang sikit lab. Tapi ramai juga lagi. Dengan muka-muka baru, yang langsung tak familiar.

[Untuk perhatian: Kepada semua, jika ada sebarang pesanan, tinggalkan di emel saja, jangan di Friendster. Sebab.. website tu la yang tak boleh buka di sini]

Bila dah kembali semula ke sini, terasa macam sekejap saja pula tempoh praktikalnya. Tak terasa. Tapi dulu, nak menghabiskannya punya susah. Rindu nak bekerja semula? Belum lagi kot.

Biasalah, manusia ni tak pernah puas dengan apa yang dia ada. Selalu nak dibanding-bandingkan dengan yang dia pernah ada, tapi tak ada sekarang. Tak ramai yang bersyukur, dan terus hidup atas nama Tuhan.

Tak kisahlah apa yang kita sedang buat sekarang. Penting atau tidak kepada diri sendiri atau organisasi manusia. Yang penting, jika niat betul, untuk perbaiki diri, tambah ilmu dan kemahiran untuk kebaikan diri sendiri dan ummah, setiap atom amalan tetap diambil kira di sisi Tuhan.

Jumaat lepas saya bersama abang, Amran dan Janna ke matrik untuk memeriahkan Raudhah Consert. Sambilan berjalan kembali ke tapak mula kami di alam siswa, menjejaki apa yang telah kami lalui bersama.

Sama juga kesnya dengan praktikal tadi, bagai baru saja berlalu. Tak sangka yang saya dah 3 tahun tinggalkan matrik. Sedang Mdm Maznah, pensyarah subjek programming pertama saya,Visual Basic yang saya temui di konsert pun masih ingat saya dan batch ICT kami. Cuma tersasar tahun.

"Assalamualaikum Madam"

"Waalaikum salam.." Wajah berfikir.

"Madam ingat saya?" Mula bicara.

"Ingat, saya ingat. Tapi lupa namanya"

"Amira." Senyum.

"Oh, ya! Amira Hariyati right?"

"Ha'ah." Bangga rasanya.

"So, you in what year? Second? Third?"

"4th year dah madam.." Senyum lagi. Kami kan batch pertama ICT di matrik?

"Oh, really? Subhanallah.."

Hmm, Mdm Maznah masih seperti yang saya ingat. Walaupun berwatak penting di matrik, Deputy Dean Sciences, yang kami nampak, ramahnya yang keibuan. Begitulah dia.

Masih terimbau, segar dalam ingatan, walau dah bertahun lamanya tak ke sana. Terutama bersama Janna, kariban di matrik dahulu. Dari semester pertama, hingga sekarang. Jika dihitung, sudah hampir 5 tahun perkenalan.

Namun, sahabat pun takkan selamanya bersama, kan? Janna dan sahabat-sahabat dari Kulliyyah Sciences telah dipindahkan ke kampus perubatan UIA di Kuantan.

Yang hilang akan berganti. Tapi takkan pernah sama. Lumrahnya, manusia akan kehilangan segala-galanya jua akhir nanti. Yang penting, kita hargai setiap yang kita ada sekarang, supaya hilangnya nanti bukanlah hilang segala-galanya, tapi menambahkan hikmat dan rahmat.

Buat apa lagi sekarang? Hidup dengan tenang. Jangan ribut-ribut nak itu ini. Pressure, stress, depress. Jangan. Sebab ia tak lama. Sekejap saja. Dan ia akan berlalu tinggalkan kita.

Monday, November 13, 2006

embah kampang

Siapa yang bina Jambatan Kedua Pulau Pinang tu? UEM, United Engineers (Malaysia) Berhad. Siapa CEOnya? Ni dia, Dato’ Ahmad Pardas Senin aka Embah Kampang [tak tau jika dia bangga dengan nama ni :p], atau embah usu saya (^_^)V Jaworld!!



Haha, baru nak rasa bangga dengan Bani Ithnain [nama arwah buyut ni banyak versi; Ithnain, Isnain, Isnin, Senin].

Ada insiden waktu raya hari tu. Masa Embah Kampang datang beraya rumah embah, semua orang sibuk-sibuk keluarkan kamera digital masing-masing. Paman Halim lebih-lebih lagi. Siap minta saya tolong ambil juga. Tapi saya tak keluar. Segan seh!

Dalam masa mereka bertandang tu, mak ajak keluar. Katanya embah usu nak jumpa. Nak kenal. Dia jumpa laman web saya. Tapi tak pasti yang mana [macamlah saya ni banyak benar laman web!]. Jual mahal.

Bukan, sebetulnya, jadi segan. Tiba-tiba jadi tumpuan semua. Dan dinanti-nanti oleh orang besar Malaysia.

Last-last, mereka sekeluarga nak balik baru saya berani tunjuk muka [sebelum tu menyorok di dapur]. Tu pun sebab mak dah tarik. Huhu, malunya!

"Atuk! Ni la cucunya tuk.." kata mak perkenalkan. Mak tumpang bangga anak ke? Hehe..

Salam. "I saw your website. About kampung." kata Embah Kampang.

Huh?! Kampung? Bila lak aku buat website pasal kampung? Sama ada laman web personal saya yang dibuat di matrik atau first sem di main camp, yang saya sendiri pun dah lama tak buka ATAU confuse dengan laman web Paman Jit. Mungkin kebetulan ada nama saya.

Saya nak tulis apa pasal kampung? Tak banyak pun yang tahu :p

Apa-apapun, gembira dapat dikenal oleh orang besar ini. Ahli keluarga sendiri. Datuk saudara pula tu. Paman mak. Moga Bani Ithnain akan terus maju.

Lepas ni akan ada Family Day Bani Ithnain yang kedua. Tak pasti bila. Harapnya, saya dapat tambah glamerkan diri dulu sebelum hari tu nanti. Then, buat kemunculan gempak. Ini dia, Amira Hariyati, anak Melati binti Ahmad Ghazali bin Ithnain! Hehe~

# Err, embah ada baca tak ni? Kalau ada, assalamualaikum embah! Hehe.. :p

Friday, November 10, 2006

dakwah kepada rol model

Dua hari lepas, siri Kiamat Sudah Dekat menonjolkan satu kriteria penyanyi rock yang serasanya tak pernah wujud lagi di dunia ni. Bukan saja penyanyi rock, malah penasyid sekalipun.

Apa yang Fandy dan kumpulan Donkoll nya dah buat? Mereka berhentikan konsert sebab dengar azan Asar sedang berkumandang. Lepas azan, ajak semua penonton, penduduk kampung solat Asar dahulu sebelum sambung berhibur semula.

Ambil kata abang, "Too good to be true.."

Teringat pula kisah Mawi yang dikonfrontasikan sebab tak mahu berlakon, tak mau sentuh tangan perempuan. Dan dari situ dapatlah kita lihat beberapa artis ternama buka pegung dan aib, menentang hukum Tuhan sebab nak menegakkan kebenaran periuk nasi mereka selama ini.

Hari ini, artis ialah rol model yang paling berpengaruh kepada masyarakat, tak kira usia. Bukan ulama, apatah lagi pak menteri. Apa yang artis buat dikira boleh dan tak salah.

Cuma, keadaan belum lagi kritikal sehingga kita dapat dengar remaja perempuan kata, "Dalam TV tu, boleh kira berapa ramai je yang pakai tudung, kenapa mereka tak disalahkan? Kenapa kami diwajibkan pula pakai tudung?" Na'uzubillah..

Seperti yang saya pernah tulis dalam satu yahoogroup, tindakan unggul Mawi dengan kenyataan yang begitu macam seorang kanak-kanak yang cakap raja tu berbogel. Jujur dan tulus. Orang lain dah perasan, tapi sebab tak nak dikata anak luar nikah [haha, itu dalam kisah Nujum Pak Belalang pula, saya tak pasti apa tuduhannya dalam cerita ni], maka semua orang pun menurut saja. "Cantiknya baju raja!" Hipokrit. Menyembunyikan yang benar.

Tapi, bila anak kecil ini dah bersuara mewakili mereka, semua orang mula.. "Ha'ahlah, sebenarnya raja tu berbogel..." Yang pasti, saat ini dalam industri hiburan kita sangat kita tunggu-tunggu..



Apa yang boleh kita buat? Bantu Mawi. Sebab dalam dunia itu, dia sorang-sorang. Bukan nak suruh kita jadi artis juga, tapi sokong dia, jangan takut menyebarkan kebenaran yang ada dalam agama kita yang syumul dan indah ini.

Sebab artis jadi rol model yang paling berpengaruh di kalangan masyarakat, maka kita ini perlu mendekati dan berdakwah kepada mereka, punca segala [rasanya yang ini belum ada lagi di Malaysia, berdakwah kepada artis? huh!]

Jadi di sini: Macam mana nak mula?

Thursday, November 09, 2006

lambang salib di aiskrim wall's & laporan polis PPIM






assalamualaikum...

lanjutan aduan dan bantahan yang diajukan oleh pihak tuan / puan mengenai isu lambang salib di aiskrim moo keluaran wall's, lembaga pengarah PPIM akan membuat laporan polis terhadap pihak wall's di Ibu Pejabat Polis daerah Cheras pada hari Jumaat (10/11/06) pada jam 11.00 pagi.

PPIM memohon jasa baik pihak tuan / puan untuk menyertai program tersebut dan memberikan no telefon untuk pihak kami menghubungi pihak tuan / puan dengan kadar segera bagi memaklumkan perkembangan kes ini. tuan / puan boleh menghubungi cik balqis di talian 016-6572280 atau talian hotline PPIM 019-359 1000.


emel dari: aduan@muslimconsumer.org

Tuesday, November 07, 2006

bermesej dengan Tuhan

"Kenapa kita kena amalkan membaca al-Quran?"
"Kenapa perlu baca al-Quran sedangkan kita tak faham maksudnya?"


Mesti ada antara kita yang tertanya-tanya soalan ini. Saya sendiri pernah tanya diri bila ada seorang sahabat ni bertanyakan malam-malam Ramadhan saya yang lepas. Saya jawab, alhamdulillah, baik, makin rajin baca al-Quran.

Dia tanya semula, sebelum ni tak rajin ke?

Saya jawab, taklah sekerap bulan Ramadhan. Entah, mungkin kepenatan seharian bekerja kot. Bulan Ramadhan agak relax, tak banyak kerja di ofis.

Dia tegur supaya jangan buat alasan.

Ok, saya tahulah itu. Kata-kata motivasi yang sering digunakan di mana-mana. Tapi saya macam nak protes, kenapa semacam jadi wajib pula nak baca al-Quran hari-hari? Sedangkan hukumnya sunat saja.

Itu yang saya tak minta dia terangkan. Sebab saya tahu, tak semua orang terbuka untuk terima soalan-soalan yang seperti itu. Ada yang akan memperlekeh dan tak nak terima itu sebagai kelemahan seorang beriman yang perlu diperbaiki [bukan sifat pendakwah yang baik].

Jadi, saya tanya abang pula [dia ni memang terbuka untuk setiap soalan dan terbuka untuk bincangkan segala hal. Jadi memang selesa untuk bualkan apa-apa dengan dia].

Abang jawab yang al-Quran itu penghubung antara manusia dengan Tuhan. Itu kan mesej-mesej Tuhan? Semua yang Tuhan nak sampaikan ada dalam al-Quran. Kita ni pun, nak rasa terhubung, perlu mesej-mesej juga, bukan hanya bergantung pada hati dan keyakinan.

Cara bermesej dengan Tuhan. Baca al-Quran.



Tuhan sampaikan mesej-mesejNya melalui al-Quran. Kita menjawab dengan hati. Dia dengar setiap luahan dan persoalan.

Abang sambung lagi, walaupun solat tu juga jadi penghubung hamba dengan Tuhannya, tapi cukupkah hanya dengan solat?

Yakin pada kitab Tuhan adalah salah satu daripada Rukun Iman. Iman itu perkara yang paling penting kita kena ada. Ia jadi asas kepada pembentukan peribadi seseorang. Orang yang lain agama, lain keperibadiannya.

Solat pula rukun kedua dalam Rukun Islam. Ibadah yang kita wajib buat untuk menegakkan Islam dalam diri. Solat dan ibadah-ibadah lain ini menyokong iman supaya tak jatuh. Solat mencegah seseorang dari buat perkara tak baik.

Macam mana kita nak yakin pada kitab jika kita tak baca pun?

Al-Quran adalah manual penciptaan manusia. Kita hidup perlu rujukan al-Quran. Jadi, seboleh-bolehnya kita fahamkan isi kandung al-Quran. Bukan wajib hafal. Tapi jadikan ingatan dan panduan. Belajar dari buku tafsir, atau kelas-kelas tafsir al-Quran.

Sedang orang barat pun mengkaji al-Quran sebelum diberikan hidayah ATAU sebagai senjata menakluk hati orang Islam, mengapa tidak kita? Kalau nak, seribu daya...

Jadi, adakah tak berguna kita baca atau lagukan al-Quran jika kita tak faham maksudnya?

Dr Danial Zainal Abidin dalam bukunya 7 Formula Individu Cemerlang menyifatkan orang yang baca al-Quran tanpa faham maksudnya sebagai orang yang tertipu. Dia tertipu dengan alunan bacaan. Dia gah dengan suara merdunya sebagai menenangkan dan membahagiakan. Tapi tak faham apa yang dibacanya.

Iya, seboleh-bolehnya, kita fahamilah mesej dari Tuhan kita.

Saya nak ceritakan semua kisah yang saya dapat dari forwarded emel. Pasal baca al-Quran tapi tak faham maksud.

Ada seorang budak tanya soalan itu kepada datuknya. Kenapa baca al-Quran jika tak faham maksud? Bukankah ia sia-sia?

Datuk beri sebuah raga yang kotor dan bersawang kepada budak itu. Dia minta budak itu ke sungai di belakang rumah, isi air dalam raga dan bawakan kembali kepadanya. Baru datuk akan beri jawapan kepada soalan budak itu.

Budak itu hairan dengan permintaan datuknya. Tentulah tak boleh air ditampung dalam raga yang berlubang-lubang. Tapi sebab nak tahu sangat jawapan kepada soalannya, dia cuba juga. Berkali-kali dia berulang-alik dari sungai ke rumah, tapi tak dapat juga beri seraga air kepada datuknya.

Budak tu putus asa. Sia-sia saja segala usaha, masih tak dapat beri air sungai kepada datuknya.

"Benarkah usaha awak sia-sia?" Datuk mula bercerita. "Cuba lihat raga itu? Beza kan keadaannya dengan yang mula-mula awak nampak tadi?"

Raga itu jadi bersih. Berbeza dengan keadaan sebelum ini.



Walaupun kita mungkin tak dapat sebarang isi melalui pembacaan al-Quran yang kita tak faham, tapi jangan sangka ibadah kita sia-sia. Membaca al-Quran menyucikan hati kita...

Tuhan tak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Sebab segala sesuatu itu datang dari Dia. Apatah lagi sesuatu yang memang dijadikan sebagai panduan hidup kita.

Thursday, October 19, 2006

salam lebaran

Assalamualaikum semua! Maaf untuk yang setia menunggu entri baru blog ni. Dah lama tak menulis. Bukan sibuk atau apa. Tapi sekarang fikirnya tak berapa kritikal :)

Dah di ambang Syawal. Di sini terasa meriah persediaan untuk menyambut. Hati ini apatah lagi. Sebab ada program menarik yang bakal berlangsung pada hari raya nanti. Terima kasih buat Pian, abang, dan adik-adik sebab sudi berkongsi gembira :p

Untuk pelajar universiti mungkin raya ini agak hambar. Sebab tak dapat bergembira sepenuhnya. Peperiksaan akhir selepas raya kan? Sekolah pun sama juga. Tahun ini dan tahun-tahun seterusnya. Mujur cuma tinggal sekali raya di UIA sana. Tahun depan. Rancangan lepas tu? Tak tahu lagi.

Saya dah melengkapkan syarat latihan industri sem ni. Dah habis pembentangan sistem, dah siap laporan akhir. Jadi sekarang buat apa lagi di pejabat? Habiskan, sampai 19 November ni, tarikh akhir latihan industri. Di samping siapkan laporan bulan terakhir.

Mungkin sehingga raya nanti, tak ada lagi yang akan dikemaskini di blog ni. Setakat ini, rasa semacam tak sabar nak raya dan nak mulakan semester baru, jumpa rakan-rakan UIA semua. Rindu kalian, tau! :)

Untuk semua pengunjung, salam lebaran saya ucapkan. Moga kalian semua bahagia dan ceria bersama mereka yang tersayang. Hati-hati di jalan raya dan tak payahlah main bahan-bahan letupan tu. Kalau pun dah mahir, takkan cedera, membazir duit saja. Bukankah membazir itu amalan syaitan? Banyak lagi cara untuk kita hiburkan diri.

Sini dulu. Salam sejahtera buat semua :)

Monday, October 09, 2006

pintu taubat

"Suami itu bukan saja bertanggungjawab memberi nafkah, tapi juga menjadi pembimbing kepada isteri dan keluarga untuk dapat rahmat Allah. Adakah dengan tahu solat saja sudah cukup untuk seorang suami jadi pembimbing yang baik?" soal Pak Haji.

Saya pun terdiam. Tertanya-tanya jawapan yang bakal dikeluarkan oleh Sarah. Setelah beberapa ketika,

"Yang penting, orang itu sanggup belajar."

Pak Haji pun terdiam, mengiyakan kata-kata anaknya Sarah. Mungkin juga malu dengan diri sendiri.

Jikalah setiap orang dinilai dengan masa lampaunya, maka Tuhan itu kejam. Dia tetapkan semuanya berdasarkan kisah silam, bukan usaha orang itu untuk mengubah nasibnya menjadi yang lebih baik. Tak adalah nanti pencuri yang ada hati nak jadi baik. Tak ada juga ustaz yang akan bertaubat selepas melakukan kesalahan. Sebab yang penting permulaannya.

Tidak, Tuhan bukan begitu. Dia sebut yang Dia takkan ubah nasib seseorang itu melainkan orang itu sendiri yang mengubahnya. Kita sendiri yang tentukan nasib kita. Nasib yang diukur dengan timbangan berat; kiri atau kanan bahu?

[Teringat kisah kanak-kanak yang sentiasa nak pastikan bahu kanannya lebih rendah daripada bahu kiri. Untuk memberatkan bahagian pahala katanya]

Kita yang terperangkap dengan kayu ukur manusia ini mungkin sukar nak terima orang yang pernah buat salah. Kita kata, mereka ni menjijikkan, penuh dengan dosa, dah tak ada harapan.

"Dah besar masih tak tahu solat? Habislah engkau!"

Siapa kita untuk menentukan nasib manusia yang lain? Sedangkan Tuhan itu masih menerima, kita pula pandai-pandai nak sisihkannya?

Jadi, mulalah ukur dengan kayu ukur Tuhan. Sebaik-baik manusia ialah mereka yang bertakwa. Apa itu takwa? Takwa maksudnya buat setiap yang disuruh Tuhan dengan bersungguh-sungguh dan berhati-hati dengan setiap amalan supaya tak terbuat benda yang dilarang Tuhan.

Tak ada orang yang dah tak ada harapan untuk ke syurga Tuhan selagi dia belum mati. Pintu taubatNya sentiasa terbuka kepada semua. Syurga itu milik Tuhan, jadi, kepadaNyalah kita bergantung harap. Bukan kepada kata-kata manusia yang tak tahu apa-apa.

Bukan salah Fandi yang tak tahu solat. Juga bukan nak tuding jari pada ibu bapa Fandi yang leka dengan dunia hingga lupa pada agama yang utama. Jalannya masih ada. Sama-sama kita saling membimbing untuk bergerak ke jalan itu. Pasti kita akan selamat.

Thursday, September 28, 2006

mak dan hari lahir

28 September 2006.

Hari ulangtahun kelahiran ke 22.


Mood: Neutral [Sedih sebab mak kena tahan di wad, tapi tenang sebab dalam bulan Ramadhan]

Ya, mak saya ada di wad sekarang. Sakit di jantung. Dah dua hari. Hari ni baru doktor nak buat pemeriksaan.

Semalam saya tak datang kerja [menjawab kepada kenapa saya tak online ym semalam jika ada yang tanya]. Rasa tak bersemangat. Lelah. Letih. Rasa tekanan juga. Nak gantikan tempat mak sementara. Banyak hal kena selesaikan di rumah.

Dulu bila cakap saya anak sulung, banyak tanggung jawab, tak rasa apa-apa sangat. Sebab memang semua urusan rumah, ada ibu bapa yang tangani. Saya di kejauhan, belajar di KL, lupa nak balik. Lupa nak tanya khabar selalu. Harap semua ok ok saja.

Tapi sekarang dah berlaku benda macam ni, baru mula nak risau. Impian nak jadi isteri orang. Tapi ganti tempat mak pun belum mampu sepenuhnya lagi. Rasa. Tekanan kerja dan bebanan urusan rumah. Yang baru 3 bulan rasa. Mak dah bertahun-tahun. Seusia umur saya sekarang. 22.

Dan hari ni, saya tak pasti jika abah ingat hari lahir saya. Sebab selalunya, mak yang ingatkan. Mak yang usaha nak beli kek dan hadiah. Untuk setiap kami adik-beradik. Tapi sekarang mak di wad. Macam mana saya nak gembira? Tapi Ayuni ada cakap dia nak belikan saya hadiah keychain di sekolah hari ni. Saya terharu. Mesti mak yang ingatkan...

4 hari lagi hari ulangtahun Aliah. 3 hari selepas Aliah, Ayuni pula. [Aliah 2/10, ulangtahun ke empat, Ayuni 5/10, ulangtahun ke 8]

Apa-apapun, minta semua bantu doakan yang terbaik buat mak. Saya masih perlukan dia...

Ya Tuhan, aku mohon... Panjangkanlah tempoh nikmat kesihatan yang Kau beri kepada ibuku...

Amin...

Monday, September 25, 2006

allahuakbar

Dalam nak menjengah 'dunia lain' kita perlu benar-benar bersedia. Dunia apa? Dunia yang penuh dengan nafsu noda darah muda. Kita memang takkan selamanya selamat di bawah lindungan ibu bapa. Kita memang kena keluar kepompong. Tapi, kita selamat jika kita tetap berlindung di bawah payungan rahmat Ilahi. Ingat yang kita orang Islam dan kita ada Tuhan yang sebenar-benar Tuan sekalian alam.

Ironinya, tak ramai yang ingat itu. Jika orang Islam sendiri dah tak hormatkan kesucian agamanya, macam mana nak harapkan orang bukan Islam untuk nampak keindahan Islam?? Nak harapkan Pope dan Lee Kuan Yu tutup mulut sendiri?

Mereka bangga jadi pelajar di universiti Islam. Dalam Friendster, nama UIA terpampang. Mudah kawan nak kenal katanya. Lagipun, itu memang tempat dia belajar, buat apa nak sorok-sorok? Dah tak ada kebanggaan sebagai orang Islam selain dapat belajar di salah sebuah universiti ternama negara.

Dalam UIA bertudung [walau tak litup mana]. Ada yang berjubah. Ikut fesyen UIA. Tapi dalam Friendster, tak malu langsung nak dedah rambut. Kenalkan pada dunia wajah mereka yang sebenar.

Ada kawan-kawan yang beri testimonial, "Amboi bangga eh? Dalam UIA, luar USA". Approve. Tanpa banyak soal.

Ada pula yang tak segan silu langsung nak tunjuk gambar sedang buat maksiat dengan pasangan masing-masing [bukan pasangan yang dah bernikah ya?]. Pegang tangan, berlaga pipi juga maksiat kan? Sebab ia salah! Haram! Ya! Memang ada! Dan mereka ini kenalan-kenalan saya! Tak percaya, jengah saja laman Friendster saya. Dalam list tak ramai yang saya tak kenal. Kebanyakkannya memang saya kenal.


Gambar sebenar dari Friendster

Saya kadang-kadang dah tak larat nak soal, ingatkan mereka [saya ni jika dalam alam maya berani la tegur]. Sekarang dalam kebanyakan masa saya dah makin tak hairan dan pandang sebelah mata. Sebab jika ditekan memang akan sakit hati.

"Jika tak mampu dengan tangan dan mulut, tegur dengan hati. Tapi ketahuilah itu adalah selemah-lemah iman."

Selemah-lemah iman...

Kita nak upgrade iman dalam bulan Ramadhan ni kan? Mari kita sama-sama amar makruf nahi mungkar? InsyaALLAH, Tuhan permudahkan usaha kita dalam bulan ini. Dan ganjarannya berlipat kali ganda.

Yang penting, kita juga kena jaga diri. Syaitan dah tak ada. Sekaranglah waktu kita nak ukur nafsu sendiri. Sebanyak mana ia jadi hamba kita, bukan tuan kita.

ahlan ya ramadhan!

Ahlan ya Ramadhan!

Sempena bulan yang penuh rahmat dan ketenangan ini, marilah kita sama-sama cari ambil sebanyak-banyaknya peluang untuk:

Setting niat
Upgrade iman
Delete dosa
Download ilmu
Top up doa dan amalan

Jauhi jahiliah, marilah kita sama-sama berada dalam cahaya Islam.

Friday, September 22, 2006

solat jumaat

Nak tahu apa pemandangan yang baik cantik sekali di dunia? Selepas solat Jumaat. Bila orang lelaki pulang dari masjid. Dengan baju melayu. Memang macam pahlawan Melayu sungguh! Atau jika yang berbaju kemeja [sebab dari ofis], muka masing-masing nampak bercahaya. Nampak beriman. Terasa tenang di dada, sebab yakin, Islam masih lagi tertegak di dunia.

Nak tahu pula apa pemandangan yang paling teruk untuk dilihat? Semasa solat Jumaat. Tengah azan, tengah khutbah, tengah dengar bacaan-bacaan solat dari masjid, depan mata nampak lelaki-lelaki Melayu ni ke hulu ke hilir selamba. Apatah lagi yang bawa awek. Dayus sungguh. Yang awek dia pula, memang macam tak peduli macam mana Islam teman lelaki yang bakal jadi pembimbing dia nanti.

Lebih teruk lagi jika ia dapat disaksikan di UIA. Sekarang masih belum pernah [pernah untuk budak-budak yang bukan UIA, kalau ada sesiapa yang ingat entri pasal tu sebelum ni]. Mungkin malu itu tinggi lagi. Jika biasa tinggal solat pun, solat jumaat kalau dia tak nak solat, dia takkan papar muka pada khalayak.

Sekurang-kurangnya, malu pada manusia itu masih ada [belum lagi sentuh bab malu dengan Tuhan].

Tapi, jika di luar ni, saya tak tahu apa nak cakap. Tak malu langsung! Orang pandang sinis pun boleh dia balas balik. Bila malu pada manusia pun dah tak ada, apatah lagi malu pada Tuhan yang kita tak dapat lihat?

Jika bukan manusia yang dapat jadi pembimbing dan penggerak manusia lain, nak harapkan siapa? Haiwan? Malaikat? Syaitan?

Ada seorang staf di sini hari tu [ustaz] pernah pesan pada saya, "Apa-apapun, solat mesti cukup. Cukup solat, tak berlakulah gejala-gejala sosial macam yang jadi pada remaja sekarang." katanya tegas. "Jaga solat!" ulangnya lagi.

SEMINAR DAN FORUM 'GELOMBANG TAJDID MELANDA MALAYSIA'

SEMINAR DAN FORUM 'GELOMBANG TAJDID MELANDA MALAYSIA'

Tarikh:

7 OKTOBER 2006 (SABTU)

Tempat:

DEWAN UTAMA, PUSAT AKTIVITI KEBUDAYAAN (CAC), UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA, GOMBAK

Masa:

3.00 PETANG HINGGA 10.00 MALAM

Tajdid, Satu Gelombang...

Tajdid, satu istilah yang kini menjadi topic perbincangan hangat oleh masyarakat masa kini. Istilah ini kini tidak asing lagi di kalangan pendokong Islam kerana bukan sahaja tajdid telah menjadi satu identiti malah satu gelombang perubahan ke arah melaksanakan agama Islam sesuai dengan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah.

Menyedari hakikat dan kepentingan akan kebangkitan gelombang ini Pusat Psikologi Gunaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerja sama Majalah I dan Majalah Nur mengorak langkah menganjurkan forum berkaitan kebangkitan gelombang gerakan ini dengan memfokuskan perbincangan kepada arah dan hala tuju gerakan ini. Forum ini secara tidak langsung merupakan lanjutan Forum Gerakan Tajdid : Sejarah, Perkembangan dan Cabaran di Era Globalisasi anjuran Muslim Profesionals Forum (MPF) beberapa ketika yang lalu. Secara umumnya, objektif program ini adalah untuk memberikan penjelasan secara ilmiah dan universal berkenaan cara mengubah pemikiran dan sikap yang lebih baik dan berkesan dalam mengikuti arus tajdid.

Antara lain, program ini juga diharapkan dapat membuka ruang diskusi ilmiah antara ahli panel dan para peserta. Di samping itu, pertemuan yang bakal diadakan nanti juga dapat mengeratkan ukhuwah antara masyarakat awam dan golongan belia, terutamanya mahasiswa sebagai pemangkin kepada gerakan tajdid.

Aturcara Majlis

2.45 petang: Ketibaan audiens dan pendaftaran
3.05 petang: Kata-kata aluan pengerusi majlis
3.10 petang: Ucapan oleh Prof. Dr. Rahmattullah Khan Abdul Wahab
Khan, Pengarah Pusat Psikologi Gunaan UIAM.

3.15 petang: Forum: GERAKAN TAJDID : GELOMBANG PERUBAHAN DI ALAF BARU (Sessi I)

Ahli Panel:

1. Ustaz Mohd Yaakub Mohd Yunus
2. Ustaz Tuan Hassan Tuan Lah
3. Ustaz Maszlee Malik

Moderator: Ustaz Anzaruddin bin Ahmad

4.30 petang: Solat Asar berjemaah
5.00 petang: Forum (Sessi II)

Ahli Panel:

1. Rosmalizawati Ab. Rashid
2. Prof. Madya Dr. Ahmad Farouk Musa
3. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Moderator: Ustaz Adlan bin Abd Aziz

6.15 petang: Sessi soal jawab
7.00 malam: Pembahagian kurma untuk iftar
7.10 malam: Iftar
7.25 malam: Solat Maghrib berjemaah
7.50 malam: Makan malam
8.20 malam: Solat Isya' dan Tarawih berjemaah
10.00 malam: Bersurai

Maklumat Ahli Panel:

PROFESSOR MADYA DR. AHMAD FAROUK MUSA
Ahli Pengasas MPF
Pakar Bedah Kardiotorasik merangkap Pensyarah Fakulti Perubatan UPM
Ahli akademik dan penyelidik yang banyak membentangkan kertas kerja di pelbagai peringkat.

USTAZ MASZLEE MALIK
Pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM
Sering terlibat dalam seminar-seminar keagamaan
Banyak memberi ceramah dan menghasilkan karya berkaitan isu PALESTIN

DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Pensyarah merangkap Penyelaras Seketariat Falsafah Sains Islam USM
Mempunyai pengkhususan dalam bidang hadith dan sering terlibat dalam pembentangan kertas kerja dan kuliah-kuliah agama

USTAZ TUAN HASSAN TUAN LAH
Pengurus, Strategi Perniagaan TM
Salah seorang pengasas laman web al-Ahkam (http://Al-ahkam. net), sebuah laman web yang membincangkan Islam secara konprehensif melalui internet.

USTAZ MOHD YAAKUB MOHD YUNUS
Naib Presiden, Bahagian Perbankan Perusahaan Affin Bank Berhad
Aktif menulis buku-buku agama
Antara buku yang ditulis beliau ialah `Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah', `Sembahyang Jamak dan Qasar Adalah Sedekah Allah dan banyak lagi.

Program Ini Terbuka Untuk Semua Golongan

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM 10. Bayaran termasuk kos pengurusan dan jamuan iftar. KEPADA PARA PELAJAR IPT, hanya RM 5 sahaja dikenakan.

Ahli-ahli professional, para pelajar IPT, pendokong dan penyokong gerakan tajdid, orang-perseorangan dan siapapun anda, pastikan peluang ini tidak dilepaskan. Kepada sesiapa yang berminat, sila hubungi nama di bawah untuk urusan pendaftaran. Kehadiran anda amatlah dialu-alukan.

1. MOHD MASRI BIN RAMLI (019-3269091)
muslimz87@yahoo. com
2. NAZIFAH MUSTAFFHA (019-3022655)
nazifah02@gmail. com
3. ILI DALILA MOHD REDZUAN
rumaisha85@hotmail. com


"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (33:21)

Wednesday, September 20, 2006

motor

Pagi-pagi, jalan memang sibuk. Semua berpusu-pusu ke pejabat.

Pagi tadi, di pertengahan jalan ke pejabat, saya nampak seorang pakcik dengan motor dia di tengah jalan besar yang sibuk. Tengah mengusung motor untuk ke tepi jalan. Tayar belakang tak dapat gerak. Jadi dia kena angkat.

Kereta banyak. Saya pun risau tengok. Sedih pun iya, sebab pakcik tu dah berusia. Saya yang dalam van dengan mak, bisik dalam hati, "Moga-moga ada yang baik hati berhenti untuk hulurkan bantuan pada pakcik tu."

Pakcik tu dah selamat di tepi jalan. Ada seorang pemuda berhentikan motornya di depan sikit. Turun, bantu pakcik tu. Lepas tu saya tak tahu apa jadi. Sebab kami dah ke depan.

Saya berfikir. Kalau tak ada ilmu baiki motor, macam mana nak bantu pakcik tu? Walau seingin mana pun rasa nak menghulurkan bantuan, tapi memang tak boleh. Sebab yang utamanya mesti ada pengetahuan, asas sekurang-kurangnya, pasal motor. Untuk kenal pasti apa rosaknya.

Ini baru pasal motor. Pasal benda-benda lain? Macam mana kita nak bantu mereka yang memerlukan jika kita tak ada ilmu pasal benda tu?

Ilmu ni kita timba bukan untuk kegunaan diri sendiri saja. Tapi juga untuk bantu orang lain. Jadi, jangan memilih untuk belajar. Belajarlah semua perkara! Sebab kita tak tahu kegunaannya pada masa hadapan...

Jikalah saya tahu baiki motor, tentu saya akan minta mak berhentikan van untuk bantu pakcik tu...

Wednesday, September 06, 2006

artikel pilihan - TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA

Saya benar-benar kebingungan. Bagi seorang yang hidup 11 tahun di perantauan, kembali ke Malaysia di era seperti hari ini, memang membingungkan. Semasa di Ireland, saya sudah mendengar tempias American Idol yang sesekali menghiasi dada akhbar Irish Independent dan lain- lain. Talk of the town kadangkala diisi dengan isu siapakah yang sepatutnya mewakili Ireland ke acara Eurovision Contest yang sememangnya tempat pertama pertandingan itu sinonim dengan penyanyi dari Ireland zaman berzaman khususnya penyanyi seperti Johnny Logan. Namun ia hanya acara biasa. Kerja-kerja harian orang ramai berlangsung seperti biasa... tiada yang luar biasa.

Saya terkasima semasa bersiap-siap untuk pulang ke tanah air for good, ketika membaca pengumuman nama Rais Yatim diberikan peranan sebagai Menteri Kebudayaan kabinet Pak Lah yang baru. Hairan bin Ajaib, apa yang saya kenal tentang Rais Yatim, menimbulkan tanda tanya. Mengapakah seorang menteri yang begitu genius khususnya dalam hal ehwal berkaitan undang- undang, tiba-tiba ditempatkan sebagai menteri di sebuah kementerian yang menguruskan hal ehwal zapin dan joget, pesta budaya dan orang filem Malaysia yang sering berbalah sesama sendiri. Adakah ini menjadi langkah ke arah memandulkan politik Rais Yatim?

Namun, kehairanan saya terjawab apabila saya membaca temuramah bersama Rais Yatim di akhbar The Star bersama HL Wong [17 April 2004] di bawah tajuk "Stop ‘Arabising’ Malay Culture" atau "Berhenti MengArabkan Budaya Melayu". Tegasnya, temuramah itu menggambarkan misi Rais Yatim yang mahu mengembalikan semula identiti Melayu yang padanya telah terpadam oleh proses Islamisasi yang diterjemahkannya sebagai Arabisasi. Antara budaya Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari. Orang Melayu tak mungkin dapat dipisahkan daripada tari menari kerana ia telah mendarah daging di dalam tubuh kita, tegas beliau.

Nampaknya apa yang dinyatakan oleh beliau benar-benar terealisasi di dalam masyarakat kita. Usahlah pergi jauh, kampung saya sendiri telah terasa kesannya. Seingat saya, kali terakhir kampung saya dihiruk-pikukkan oleh Joget Lambak ialah semasa saya masih di bangku sekolah rendah. Itu bererti Joget Lambak telah pupus di kampung saya semenjak 20 tahun yang lalu. Tetapi pupusnya Joget Lambak bukanlah kerana kampung saya telah diArabkan seperti bangsa Sudan. Bangsa Sudan membuang bahasa asli mereka dan mengambil sepenuhnya Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan mereka. Kampung saya masih pekat 'kome', 'mike' dan sambal belacannya. Namun yang pasti, apabila masjid makin ramai yang datang, perempuan makin ramai yang tutup aurat, emak ayah makin gemar menghantar anak ke kelas fardhu 'ain, maka dengan sendirinya Joget Lambak terketepi dan terhakis dari keMelayuan orang kampung saya. Tetapi saya kekal sebagai salah seorang daripada beberapa orang anak kampung yang reti Bahasa Arab.

Tetapi, selepas 11 tahun saya meninggalkan kampung, saya dikejutkan dengan suatu pengalaman pahit di malam itu. Hanya beberapa ratus kaki dari rumah saya, kenduri kahwin jiran yang siang tadi diTahlilkan dan di'doa selamat'kan oleh Imam kampung, malam ni berjoget terlambak- lambak. Berdentam-dentum dram dan gitar, anak- anak muda terloncat-loncat dan lebih mendukacitakan saya, ia berlaku bersebelahan masjid. Aduh... gelisah saya sepanjang malam di samping anak-anak saya yang tidak boleh tidur akibat kebisingan mereka yang berlanjutan hingga ke tengah malam. Walaupun anak saya lahir di bandar yang penuh orang mabuk dan saling berbunuhan sesama sendiri (di Belfast), namun fitrahnya masih merintih kedamaian yang dibunuh 'orang kahwin' malam itu.

RAKYAT KETAGIH HIBURAN

Fenomena hiburan melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di Ireland, rancangan realiti TV mencari bakat baru berlangsung satu demi satu, tetapi di Malaysia, lima program berjalan serentak. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja. Lagu-lagu lama muncul kembali supaya jiwa rakyat yang hari ini telah beruban, terusik kembali untuk mengenang zaman remaja mereka di taman-taman bunga. Semua berhibur, semua berkhayal dan semua terbang ke cloud nine masing-masing.

Iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup! Mana-mana yang tidak menghiburkan, tiada makna dan tiada nilai.

Namun, mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa, suara-suara menegur masih kedengaran walaupun tidak begitu diendahkan. Mufti berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh. Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan. Bagai penagih yang keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang sudah ketagih hiburan. Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Tarian dan lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama-nama Tuhan diselitkan jua. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana? Mentor saya memberikan analogi yang menarik. Katanya, nasyid umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang hanyalah iklan dan kecantikan paras rupa modelnya, sedangkan barangan tidak terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu sudah tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon iklan yang naik saham!

Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang kontemporari. Nasyid bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi yang mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari ini, berapa ramai yang 'membeli' Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi meningkat selepas menghayati nasyid seperti itu? Walaupun ada penyanyi wanita tergamak mengheret jubah dan tudung ke pentas tari menari, atau yang lelaki menyelitkan kalimah-kalimah Arab di celah caca merba nyanyiannya itu, persoalannya yang manakah yang laku? Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin dibesarkan? Amat pelik, jika nasyid itu kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam tetap tidak laku di pasaran. Jika ia sebuah iklan, maka nasyid hari ini menjadi contoh iklan yang tidak berkesan. Iklan laku, barang tak laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan.

APAKAH SEMUA INI?

Inilah soalan yang membingungkan saya. Kita melihat bagaimana menyebut kalam-kalam iman seperti Insya Allah, Alhamdulillah, Syukur, Ameen dan lain-lain sudah menjadi seperti adat. "Semoga Tuhan memurahkan rezeki saya dalam bidang ini!", Tuhan mana yang mengurniakan kemurahan rezeki dalam bentuk maksiat dan kebinasaan jati diri? Kepada Tuhan manakah, si artis tadi berdoa? Habis, apa ertinya mereka yang berpenat lelah melawan hawa nafsu dan syaitan dalam kehidupan sedangkan dalam keadaan menaja maksiat, Tuhan masih mengurniakan kemurahan rezeki? Saya masih ingat bagaimana salah sebuah kumpulan ditemuramah oleh televisyen tentang rahsia kejayaan dan keyakinan diri mereka. Mereka menjelaskan bahawa mereka ada sejenis meditation. Apabila diminta membuat demonstrasi, mereka yang terdiri daripada beberapa lelaki dan seorang perempuan berpegangan tangan membentuk bulatan dan... AL-FATIHAH! Selepas itu ketua kumpulan membacakan doa sambil menadah tangan, memohon supaya Allah melindungi band mereka dari kekalahan dan mala petaka bahaya. Terpegun saya menontonnya. Wartawan tersebut pula mengucapkan syabas kerana walaupun kumpulan tersebut menyanyikan lagu kontemporari dan moden, tetapi masih tidak lupakan agama!

Bingung saya memikirkan hal ini. Apakah sebenarnya kefahaman mereka tentang Islam? Adakah mereka benar-benar memaksudkan bahawa Allah, Tuhan Muhammad, Tuhan Abu Bakr, Tuhan Imam Syafie, adalah Tuhan yang sama boleh mengurniakan keredhaanNya kepada acara henjut-henjut mereka di dalam konsert tersebut? Apakah pelajar-pelajar Akademi Fantasia benar-benar percaya bahawa di alam bukan Fantasia, Allah SWT telah menghalalkan perlakuan mereka hanya kerana sebelum jamming, mereka memberikan salam? Seperti orang yang makan daging yang unknown, baca sahaja Bismillah dan baham! Lantaklah daging tu babi ke atau lembu mati dilanggar kereta, yang penting tadi Bismillah telah dibaca. Err... saya benar-benar kebingungan.

Akhirnya, saya sampai kepada suatu kesimpulan. Saya terkenangkan kepada hadith riwayat Huzaifah, bahawa Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan bahawa di akhir zaman, kebenaran itu masih bertahan tetapi bezanya dengan Islam di zaman silam ialah, Islam di akhir zaman ini berdebu, samar-samar dan berasap. Jika realiti di akhir zaman ini begitu, ini bererti Islam tidak boleh dinilai dengan pandangan mata biasa kerana di dalam suasana yang berdebu lagi berasap, dua biji mata di kepala ini akan kemerah- merahan, kabur, berair dan kelam penglihatannya.

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu Nabi Muhammad SAW menyuruh kita meminta pandangan hati dalam menilai kebenaran. Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan di hati dan kebaikan pula mententeramkan jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia akan meilhat dengan pandangan Allah. Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid. Tauhidic Mindset itu adalah suatu pandangan yang menilai kehidupan ini berasaskan pandangan Tuhan. Apa yang baik di sisi Allah, baiklah padanya, dan apa yang keji di sisi Allah, kejilah terhadap dirinya. Hakikat ini tidak dapat dicapai oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada mata di hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut pergi.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penari dan penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita masih mahu berhibur tetapi kita sedar yang kita sudah terlalu terhibur. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Sama seperti seorang artis yang pergi umrah. Menangis-nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke KL berdansa semula. Namun diceritakan kepada wartawan perasaannya semasa berumrah itu. Sedangkan tidak sedikit pun kemungkarannya yang ditinggalkan. Namun, dengan menggunakan hasil nyanyian itu untuk mengerjakan umrah, ia dapat mengurangkan rasa berdosa tersebut. Sama juga seperti orang yang menyamun harta orang lain, menipu dan menindas, kemudian sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang sedikit rasa berdosa.

Sedangkan apa yang saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam pengajarannya ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA! Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir zaman.

Imam an-Nawawi

Wednesday, August 30, 2006

merdekanya kita..

Ada lagi jumpa kes-kes yang tak sepatutnya ada dalam sebuah negara yang sehari lagi akan sambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 49 tahun. Benar-benar majukah kita? Atau cuma satu kampung pedalaman di Tampoi di sebuah bandar yang boleh dikatakan kedua maju selepas Kuala Lumpur yang terlepas pandang dari arus pembangunan?

Ada 2 tanda yang Malaysia ini belum layak digelar negara merdeka yang makmur, cuma dalam 1 cerita.

1. Kampung Hajah Fatimah masih tak dapat bekalan elektrik walau dah mohon sejak 30 tahun lalu.

2. Budak-budaknya ambil kesempatan dalam suasana gelap untuk buat maksiat. Na'uzubillah!!!

Kes ini dah keluar surat khabar. Agaknya, patut tak saya cari pula badan yang bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan ini? Nak saya juga yang hantar emel pada kerajaan Negeri Johor?

Baca terus: Harian Metro

selamat hari merdeka!

Macam-macam hari ini

1.

Wanita dibunuh tunang 2 hari sebelum kahwin

Lagi 2 hari nak kahwin, kena bunuh pula. Oleh tunang sendiri pula tu. Katanya sebab bergaduh masa membincangkan persiapan perkahwinan mereka esok. Katanya lagi, sebelum ni mereka dah pernah putus tunang. Tapi tak termasuklah tu, sebab bila dah bertunang semula, harapnya yang lepas-lepas tu dapat dilupakan [agaknya taklah kot..]

Macam mana nak harapkan bahagia dalam perkahwinan sedangkan pertelingkahan sebelum berkahwin [yang orang kata semua manis, pahit pun terasa manis] pun tak dapat diselesaikan cara baik, apatah lagi jika dah berkahwin esok?

Siapa yang salah? Entah, kita tak tahu kisah lanjut di sebalik kejadian. Yang interview dalam-dalam, siasat betul-betul psikologi orang cuma Melodi dan semua jenis majalah hiburan, juga chit chat Azwan dan Aznil. Berita biasa ini cuma sentuh permukaan saja, apa yang berlaku dan tergapai dek mata kasar.

Tapi, bila dah sampai nak dirogol dan bunuh bakal isterinya sendiri tu yang musykil sikit. Dah marah sangatkah sampai nak ambil kesempatan terhadap lemahnya wanita dan 'kuat'nya lelaki? Tunang sendiri yang bakal dikahwini pula tu. Mana kasih sayangnya? Mana sumpah janjinya untuk melindungi tulang rusuk sendiri hingga hujung nyawa?

Bagaimanalah bisa perempuan nak percaya lelaki yang diharapkan untuk jadi heronya ni?


2.

‘Semarakkan semangat cinta’

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kata, kefasihan berbahasa kebangsaan di kalangan rakyat masih belum mencapai tahap yang diinginkan dan memerlukan kerja keras pelbagai pihak mengatasinya.

Pulak?

Jika rakyat Malaysia tak fasih Bahasa Melayu, siapa yang fasih?

Tak mustahil jika satu hari nanti, syarat memegang jawatan dalam badan kerajaan termasuklah berkebolehan berbahasa Melayu. Mungkinlah, mungkin..


3.

Teknik ajar pendidikan seks penting

Dah kronik sangat agaknya masalah sosial di Malaysia hingga ilmu seks pun nak diajar seawal sekolah rendah. Apa yang nak diajar? Saya tak dapat bayangkan. Seingat saya dulu, dah lepas sekolah rendah baru tahu pasal semua ni. Agaknya bermula Tingkatan 3 dalam subjek Sains. Maju sungguh budak-budak sekarang ni.


# Maka, sudah merdekakah kita? Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Monday, August 28, 2006

berzina dengan ikhlas

Seorang remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu ialah: Dr. Danial yang dihormati. Saya telah bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina. Tetapi saya tidak rasa bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman. Tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.


JAWAPAN DR. DANIAL


Yang Ikhlas yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara.


Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah menulis bahawa: Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas…..Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!


Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu. Nabi bersabda, Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)


Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu! (Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.


Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan cara. Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli.


Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan!


Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia – Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia – Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya. Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserang masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding dengan anak-anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).


Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.


Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina. Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad & Thabrani)


Saya berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran.

Kaum Lut hancur kerananya.

Kota Pompei hancur kerananya.

Empayar Rom juga hancur kerananya.

Justeru, kembalilah ke pangkal jalan.


Formula Cemerlang

Friday, August 25, 2006

siren

Siapa yang tak tahu, jika ada ambulan, polis, bomba atau sebarang kenderaan bersiren kerajaan yang lain di belakang kalian, ingin diberi laluan kalian boleh move forward, tanpa risau lampu isyarat merah?

Saya!!! Hehe..

Pagi tadi, dalam perjalanan ke pejabat, adalah satu kenderaan yang di hadapan sekali ketika lampu isyarat merah, tak berganjak, walau dengar siren dari ambulan yang berada 2 kenderaan di belakangnya.
Siren dah memekakkan telinga semua di sekeliling. Hon bunyi dah bertalu-talu dari semua. Kenderaan-kenderaan yang keluar dari simpang tepi semua dah unjuk isyarat tangan kepada pemandu tu supaya bergerak. Tapi, dia diam macam tu juga.

Sampailah ada seorang kakak ni, dari kereta di belakang dia, keluar dari tempat pemandu, ketuk cermin kenderaan tadi, suruh pemandunya jalan.

Tanya mak, "Boleh eh jalan je masa lampu merah kalau ada ambulan di belakang?"

"Bolehlah, dah ambulan tu nak cepat"

Saya fikir sendiri. Mm, betullah tu. Kalaulah yang dalam ambulan tu ada pesakit yang dah nyawa-nyawa ikan, mana nak tunggu-tunggu lagi sampai lampu hijau untuk ke hospital?

Takut kena saman eh? :p Bimbang nanti kena saman sebab tak beri laluan kepada ambulan, bukan sebab langgar lampu merah.

Saya tak tahu tak apa juga belum ada lesen. Yang dah ada lesen ni patut kena ambil semula. Atau, yang memandu tu memang tak ada lesen? Hehe, macam-macam tekaan lak dah saya ni.

Saja je, sebagai awareness untuk semua yang tak tahu.

antara ilusi dan realiti

“Anta dah siap ke? Jom la ke kelas”, saya memanggil Munawwar untuk keluar bersama ke kelas.

Sebaik sahaja kami mahu melangkah keluar, pandangan kami terlekat ke kaca televisyen.

Pagi itu, Televisyen Israel (Yahudi) Channel 1 menyiarkan rancangan TV Pendidikan. Saya menonton suatu rancangan yang dirakam di sebuah nursery. Guru yang mengajar anak muridnya menyanyi dengan diiringi sebuah piano, menyanyikan lagu berikut:

“Makanan paling sedap daging orang Arab, minuman paling sedap darah orang Islam”

Ya, itulah yang saya baca pada subtitle rancangan tersebut.

Kanak-kanak semuda 3 dan 4 tahun, diajar menyanyikan lagu tersebut dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Demi Allah, suara cikgu dan kanak-kanak itu masih segar di dalam ingatan saya, dan jika saya pandai melukis, saya masih mampu melakarkan di mana cikgu dan piano itu berada, dan bagaimana kanak-kanak itu mendendangkan ‘nasyid’ mereka. Walaupun sudah tepat 10 tahun peristiwa itu berlaku (1996).

Sesungguhnya gambar-gambar di ATAS adalah 'surat cinta' kanak-kanak Yahudi yang menjalani proses pembelajaran yang sama. Mereka melakar 'mesej cinta' itu pada peluru dan bom yang bakal dihantar kepada penpal mereka di seberang sempadan. Dari balik tembok, anak-anak Yahudi ini mengucapkan ‘salam’ kepada rakan Palestin dan Lebanon mereka, moga dipanjangkan usia, bukan di dunia, tapi di alam kematian yang hitam.

Para ulama yang menyokong tindakan suicide bomber kebanyakannya membezakan di antara situasi Palestin dengan situasi bukan Palestin. Adalah tidak harus sama sekali pendekatan suicide bombing dilakukan di kawasan awam seperti di kota New York, London atau Istanbul.

Tetapi Palestin berbeza. Ia adalah medan perang dan di tengah-tengah medan perang tidak ada orang awam. Sama ada kamu sebahagian tentera Islam, atau tentera musuh. Maka jika Yahudi di Palestin tidak mahu diri mereka, kaum perempuan mereka, atau anak-anak mereka terbunuh, mereka mesti keluar dari medan perang. Bagi umat Islam di Palestin, sama ada mereka mati diletupkan dari jauh, atau lebih baik mereka mati meletupkan diri untuk meletupkan musuh. Itu sifirnya. Mungkin kita setuju atau mungkin tidak. Tetapi kita sukar untuk berkata banyak kerana mereka di Palestin itulah sebenarnya yang menderita dan tahu pahit getirnya hidup di medan tempur.

Mungkin sukar untuk dibayangkan hakikat kanak-kanak Yahudi sebagai sebahagian tentera mereka. Tetapi saya tidak lupa kepada program televisyen yang saya tonton, bahawa setiap anak Yahudi memang dididik seawal usia buaian untuk membesar menjadi Yahudi sejati. Sama ada kamu mahu menjadi doktor, jurutera, arkitek atau 'Ustaz Rabai', kamu adalah tentera Yahudi yang wajib mempertahankan bumi 'Israel' dari anjing Arab dan Islam!

Itulah semangat yang disuntik ke jiwa setiap Yahudi di bumi Palestin.

Anak kita bagaimana?

Menjawab soalan ini, saya teringat kepada apa yang telah diungkapkan oleh Abu al-Hasan Ali al- Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah”, al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung ‘pemimpin’ tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?

Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya ‘seorang patung’. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan gambaran.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh. Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Aqidah mereka yang mengelirukan, paderi mereka yang kuat makan duit, kebencian mereka terhadap orang-orang yang beriman dan sebagainya, semua keterangan teori al-Quran itu menepati realiti kaum Nasrani hari ini. Maka orang- orang Kristian hari ini adalah orang Kristian sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.

Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?

Berat untuk lidah kita mengungkapkannya, namun al-Nadawi turut sampai kepada kesimpulan yang sama. Umat Islam hari ini tidak seperti umat Islam yang digambarkan al-Quran. Kita ramai tetapi kita hanya sebuah ilusi, dan ilusi sentiasa dikalahkan oleh realiti!

Muslim ilusi berdepan dengan Kristian realiti.

Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.

Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita berbondong-bondong murtad meninggalkan kita.

Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka sendiri yang selama ini mengkayakan musuh.

Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita masih dibelenggu oleh persoalan- persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.

Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya hanya disebabkan oleh kuatnya dendam kesumat kita terhadap sesiapa sahaja yang tidak mengiyakan apa yang YA di sisi kita, dan menidakkan apa yang TIDAK di sisi kita. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Kita cekap mencari kelemahan orang lain, dan kita begitu berselera menjadikannya sebagai hidang ‘kari daging busuk’ santapan harian.

Ya, jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti.

Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa. Bukankah Allah telah menjelaskan di dalam al-Quran:

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” [Al-Israa’ 17: 7]

Ya, janji Allah itu benar. Kesudahan isu Palestin adalah kemenangan yang akan berpihak kepada umat Islam. Namun kemenangan itu adalah kemenangan bersyarat. Allah mensyaratkan bahawa gerombolan kemenangan kita yang bakal masuk ke bumi Palestin mestilah sebagaimana kumpulan umat Islam masuk buat pertama kalinya dulu. Renunglah ciri-ciri Rasulullah SAW dan sahabat. Renunglah ciri-ciri Umar dan tenteranya semasa masuk ke bumi Palestin dan ingatlah, selagi kita tidak masuk dengan cara kemasukan yang pertama, perjuangan kita hanya ilusi. Ilusi yang dengan mudah dapat dimusnahkan oleh sebuah realiti.

Ajarlah anak-anak kita siapa musuh mereka. Besarkanlah mereka agar menjadi mukmin sejati. Bersiap sedialah untuk menghantar anak-anak kita ke masa depan mereka yang jauh lebih mencabar. Ramai ibu bapa yang sudah berjaya menukar fitrah kanak-kanak itu sehingga mereka membesar sebagai Yahudi, Nasrani dan Majusi yang sejati. Sudahkah kita membesarkan anak-anak kita menjadi Mukmin yang realiti?

Keluarlah dari ilusi, dan jadilah Mukmin sejati. Kamu sedang disembelih oleh sebuah realiti.


Azmil Abrar

Monday, August 21, 2006

tahniah ctdk



Pertama sekali, tahniah untuk Siti dan Datuk Khalid atas pernikahan mereka hari ini. Tahniah, atas segala rintangan yang terpaksa dilalui untuk tiba ke hari ni. Alhamdulillah, semuanya dah selamat. Mereka secara rasminya bergelar suami dan isteri [dan Siti sebagai Datin]

Saya taklah berminat nak ulas panjang pasal hari bahagia Siti. Tapi ada juga beberapa pertanyaan dan persoalan [beza tau!] dalam minda ni [jika ada pendapat, bolehlah dibincang-bincangkan ya?]:

1) Kenapa nak dilangsungkan juga upacara bertunang jika nak nikahnya lepas tu juga? Adat Melayu atau 'adat' Islam?

2) Meriahnya masjid, macam waktu solat hari raya. Jikalah setiap waktu solat meriahnya begini...

3) Huh, anak raja kahwin pun tak dapat liputan menyeluruh dan layanan istimewa macam ni...

4) Erk, semua orang pakai tudung eh? Oh, patutlah, dalam masjid.. [Saya doakan moga-moga dengan bermulanya episod baru hidup Siti, terbukalah juga hatinya untuk berhijrah. Pakai tudung je, yang lain ok dah]

5) Anak dara dengan duda.. tak sekufu lah ek? Ramai orang komen pasal tu waktu tengok lintas langsung tadi. "Habislah Siti dapat orang yang dah berpengalaman ni.." Jika dah jodoh.. Sama-samalah kita doakan agar mereka dapat kekal hingga akhir hayat.

6) Satu, dua, tiga, lima puluh, seratus.. Eh, berapa ramai orang yang tuang kerja hari ni? [mujur tak sampai ada cuti umum]

promo program



Daripada abang Zamri

diari

Hari ni mula cuti sekolah [orang kata: hari ni Siti nak kahwin]. Pagi ni, bila saya nak keluar, adik-adik terbongkang lagi di depan tv. Dalam hati, bestnya diorang ni, ada juga banyak masa nak berehat.

Tengok pula mak abah. Kerja setiap hari tak berhenti. Orang cuti sekolah, mereka tak ikut cuti. Budak universiti cuti semester pun mereka tak cuti. Tunggu cuti umum saja baru boleh berehat. Tapi.. di rumah, kerja-kerja lain masih menunggu.

Kalau saya jadi mak, mesti tunggu sangat bila masanya anak-anak boleh bantu uruskan semua, biar lepas segala beban, biar hilang segala lelah. Tapi.. selagi tak bersara, hari-hari masih kena kerja. Cuti pun ada hadnya...

Tapi... nyatanya, mak abah tak pernah mengeluh dan mengadu...

Saya pula tak sabar nak tinggalkan alam 'sekolah'. Nak kerja, nak ada kehidupan sendiri, nak bantu mak abah. Nak kongsi dengan yang tersayang.. :) [hehe, ilham dari Siti] Tak sabar nak tunggu hari esok :)

Tuesday, August 15, 2006

belajar buat duit dengan internet

klik untuk maklumat lanjut
(Klik kat banner atas ni)


Ikuti seminar langkah-langkah mudah memulakan perniagaan internet yang praktikal dan terbukti berkesan! Disampaikan oleh 2 usahawan internet muda, Sabri Hassan Assaari & Wan Syazwan Wan Sukri.

Promosi menarik untuk masa ini! Siapa yang memang hobinya mengadap internet tu bolehlah ambil peluang ini, ambil kesempatan 'sambil-sambil' yang mudah ;)

Tinggal lagi 16 tempat saja. Siapa cepat, dia dapat!

Selamat buat duit dengan internet! ;)

Pendaftaran dibuka sekarang.

Thursday, August 10, 2006

perhatian!

Eh, tak! Anda tak salah taip URL! Ini memang blog saya, MiraKimura :)

Saja je, tukar semula skin blog ni. Kalau ada yang perasan, saya pernah guna skin ni sebelum ni. Cuma sebab keadaan memaksa [baca: masalah server empunya skin tu], saya guna skin blogger saja.

Tak ada yang berubah dengan berubahnya skin. MiraKimura tetap Amira Hariyati ;)

Terima kasih semua, teruskan menulis!

Tuesday, August 08, 2006

sunsilk III

Tiba-tiba, saya semacam rasa bersalah pada Suzanne Unilever yang beri informasi terkini pasal iklan Sunsilk tempoh hari.


1) Dia mungkin tak tahu pasal sensitiviti orang Islam ni

2) Dia pasti pelik. Iklan aku pegang tangan saja. Dah pakai tudung pun. Iklan syampu lain yang separuh bogel, orang Melayu juga tu, kenapa tak pernah pula sampai komen?

3) Apa kes dengan Lina Joy? Sebab ni la agaknya Lina nak keluar Islam. Sebab Islam ni rumit sangat!

[Mampus aku, apa hujah nak beri nanti?]


Dan tiba-tiba rasa macam nak ubah semua iklan yang tak ikut syariat tu. Mula dari tak tutup aurat, mesti tutup aurat. Then, yang sentuh-sentuh dah tak ada lagi. Lepas tu, bukan setakat iklan, semua yang muncul di kaca televisyen wajib ikut standardasi ini!

Dan akhir sekali, dah tak ada lagi kes macam Lina Joy. Ceh, memalukan Islam saja.

Mujur Suzanne ikut kata saya yang tak perlu sebarang dalil aqli apatah lagi naqli. Dan board of advisor mereka terus setuju! [Ini saya tak arif bagaimana, mungkin ada 'raja yang berbogel' yang dah malu bila ada 'budak kecil' kata dia 'berbogel']. Mungkinlah, mungkin..

Kempen 'Berbudi Bahasa Amalan Kita', ikut standardasi apa? Adat Melayu kan? [atau ada yang lain?]

Adat Melayu juga tak pernah haruskan untuk buka pusat hiburan sampai 5 pagi. Malah, memang melanggar tatasusila orang Timur pun. Tak payahla ada alasan nanti pelancong berkurang ke apa [ni semua kalian boleh fikir sendiri. Ada hujah dan pendapat sendiri saya yakin]. Kenapa yang ni tak ikut pula?

Yang tu dulu. Sebelum mula bercakap pasal 'adat' Islam yang sepatutnya kita letak lebih tinggi daripada adat Melayu.

Dah selesai pasal adat Melayu yang takdelah berat sangat dan disokong ramai ni, baru kita cakap pasal 'adat' Islam yang dibenci 'ramai' ni.

"Uih, Mira, dah terbalik tu! Patut Islam la yang kita utamakan dulu!"

[Ehehe, tau takpe]

Monday, August 07, 2006

sunsilk dah potong bab pegang tangan!

Semalam, bila saya tengok iklan:

Saya baru perasan [memang saya jarang perasan :p ]. Sejak bila pula iklan Sunsilk ni dah dipotong scene pegang tangan tu?? Ya, ingat komentar saya pasal iklan terbaru Sunsilk? Alih-alih dah potong pun..

Saya tersenyum gembira. Gembira sangat. Jika ia adalah melalui notis yang saya emelkan pada Unilever tempoh hari, saya berterima kasih sangat. Anda tak balas emel saya, tapi terus ambil tindakan yang patut. Begitulah sepatutnya, terima kasih.

Jika bukan pun, terima kasih atas pihak lain yang perasan benda yang tak kena tu dan turut komen sama.

Tapi, perubahan ini benar-benar buat saya terus bersemangat dan mengubah persepsi bahawa tak semestinya 'mereka' tak nak dengar 'common citizen' seperti kita. Masih ada yang prihatin..

Bukanlah setiap masa kita kita luahkan ketidakpuasan di blog dan harap mereka yang berkenaan baca atau ada pihak yang ambil tindakan. Tak perlu pun sms banyak-banyak di KOSMO dengan harapan yang sama. Yang baca cuma pembeli, dan 'common citezen' yang lain juga. Bukan pihak yang ditujukan. KOSMO ni picisan, kata mereka. Tak korporat. Bukan seperti New Straits Time atau The Sun.

Akhirnya, kita bertegang leher dan berbalah sesama sendiri. Mereka yang berkewajipan tak tahu pun.

Ada perkara yang akan jadi lebih mudah jika kita cuba mendekati puncanya. Tak kira betapa kecilpun orang nampak perkara tu, tapi jika itulah saja yang mampu kita buat untuk bantu agama, kita buatlah. Biar orang lain yang lebih berkuasa urus yang lebih besar.

Jika ada sesiapa yang nak mengadu apa-apa yang releven, boleh beritahu saya. Nanti saya cuba cari puncanya [inilah kerja saya di UIA. Orang komen, saya repot pada SRC. Susah apa? Hehe..]

Terima kasih semua yang membantu. Dan harap akan terus membantu :)


Hari ini, bila saya cek emel:

Dear Kimura,

Good day, let me first introduce myself. I am Suzanne from the Marketing division of Unilever.

We have received an email from your goodself with regards to our currently on air TV commercial for SunSilk. We would like to inform you that after careful consideration, we have acted upon your feedback and have rectified our TV Commercial accordingly. We greatly appreciate the feedback given and would like to have a casual chat with you over the phone, to find out more on the cultural sensitivities pertaining to a tudung woman. If you do not mind, could you kindly provide me your contact number. Alternatively, please feel free to contact me at 03-2246 2410 everyday between 9am to 8pm.

Thank you once again.

Regards,
Suzanne


Tq, tq, tq!!! :D


Sambungan [selepas entri ni dipos]:

Balasan saya:

thank you suzzane! i really appreciate ur party's concern! actually, i just notice the commercial's change yesterday, as i rarely sit in front of the television, and i am going to send unilever an appreciation notice today. thank you again!

my phone number is 012 *******. actually i'm just a regular university student, acting in my own way when something that is not right occurs. still, i may help if any opinion about anything is asked.

thank you again for ur consideration. i am very glad for this change ;)


[hehe, tak formal langsung! :p]


Dan, Suzzane jawab:

Dear Amira,

It's good to see the kind of righteous spirit reflected amongst our students today. Will certainly give you a call, over the weekend perhaps where you would have more free time in order to not disturb your schedules. Thanks.

Best regards,
Suzanne

Thursday, August 03, 2006

pengumuman

Salam.

Kepada semua warga UIA atau yang tinggal di sekitarnya, saya ada dapat mesej dari Presiden SRC pagi tadi, ada pengumuman sikit:

Forum 'Islam Under Attack' by Tan Sri Sanusi Junid. Yusri Mohamed. 4/8. Jumaat. Masjid UIA. Lepas solat. 2.15 pm. Datang ramai-ramai (sisters at 2nd floor) - sebarkan!


Kepada yang berkelapangan dan nak dengar perutusan Presiden UIA kita ni, komennya pasal situasi sekarang, sila datang ya?

senjata mukmin

Alhamdulillah, kita jauh dari peperangan yang melanda di Asia Barat. Tetapi, hati meronta-ronta mengenangkan saudara-saudara kita di sana. Mungkin ada yang berkata "Kalau lah aku ada sebuah jet pejuang, akan ku bedil kafirun Yahudi". Mungkin ada yang berkata "Kalaulah aku ada magik, akan ku hapuskan rejim zionis satu persatu"

Dan bermacam-macam lagi, ramai yang mengharapkan kemenangan Islam.

PELIK TAPI BENAR!!

Tuan-tuan:- Dengan izin Allah dan dengan penuh keyakinan dan keimanan, saya mohon tuan tuan berdoa kepada Allah memohon bantuan.

RAHSIA MUKJIZAT AL QURAN

Mari kita bertafakur, Dengan penuh keyakinan, fahami terjemahan dan maksud surah Al-Fil... Bacakan surah tersebut dibibir dengan hati mengingati peristiwa kehancuran tentera Bergajah.

KEMUDIAN BERDOALAH BEGINI:-

"Ya Allah!! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepadaMU Ya Allah.. turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang Islam di Lubnan, hancurkanlah rejim zionis... amin..." (kemudian dibaca surah Al Fil sambil membayangkan kehancuran tentera Yahudi - dihancurkan dengan Izin Allah)

SAHAM PIRAMID ANDA!!

Lipatgandakan doa ini. Selepas anda membuat apa yang saya anjurkan, Sila lipatgandakan doa ini, Hantar kepada 7 orang rakan anda yang lain. Maka 7 X 7 X 7 X 7 X 7 X 7 X 7 = 823453 orang akan berbuat perkara yang sama, kemudian 823453 X 7 = 5.8 juta orang... InsyaAllah ... sesungguhnya Allah maha pemurah lagi mengasihani, mendengar doa kita. Adalah dialu-alukan kepada sesiapa yang berinisiatif menterjemahkan dalam bahasa Inggeris untuk dihantar ke saudara Islam di UK dan US serta pelusuk dunia.

surah al fil
--------------
A'lam tara kayfa fa'ala rabbuka bi as-hab al-fil
A'lam ya'jal kaydahum fi tadlil
Wa arsala alayhim tayran ababil
Tarmihim bi hijaratin min sijjil
Fa ja'ala hum ka asfin ma'kul


emel

bantah IFC!

Salam semua!

Kepada sesiapa yang masih belum menurunkan tandatangan petisyen membantah IFC sila ke



selewat-lewatnya esok. Bertindak segera! Untuk masa depan agama Islam di negara kita sendiri.

Wednesday, August 02, 2006

derma darah

Apa jawapan kalian bila saya tanya, boleh tak nak derma darah pada orang bukan Islam?

Ada tiga jawapan yang saya terima bila diajukan pada tiga orang yang berbeza [Mujur bukan dari orang yang sama :p ]

"Eh, tak takut ke nanti awak tanggung dosa dia?"

"Eh, janganlah.."

"Derma organ termasuklah derma darah kepada bukan Islam diharuskan selagi ia tak mencurigakan atau memudaratkan. Tak ada masalah."


Jawapan pertama mengikut saya jelas menyimpang, sebab fahaman orang Islam dan Islam itu sendiri tak pernah kata dosa kita manusia ni melekat, ada yang menanggung orang lain. Fahaman dalam Islam tak sama dengan Kristian. Sebab tu mereka ada pembaptisan. Nak hilangkan dosa orang terdahulu daripada bayi yang baru lahir [boleh rujuk lagi, jika saya silap].

Kita cuma tanggung dosa orang bila kita mengumpat dia sampai dah habis pahala kita dia tarik. Lepas habis pahala kita, dosa dia pula kita tanggung.

Atau, jika kita ajarkan sesuatu yang tak betul yang kita sah-sah tahu benda tu salah pada orang lain. Jadi setiap kali orang tu amalkan, buat apa yang kita ajar tu, setiap kali tu la saham dosa dia akan didebitkan pada kita.

Jawapan kedua itu menunjukkan keraguan kita dalam beragama. Memang hidup kita ni adalah proses pembelajaran. Ilmu di alam ni takkan habis, takkan luak walau banyak mana pun yang kita tahu. Tambah ilmu yang ada dalam otak Einstein dengan semua kita di dunia ini pun baru guna 5% daripada keseluruhan ilmu yang ada.

Jadi, sentiasalah belajar dan mencari ilmu baru. Terutamanya bab syariah dan fiqh Islam. Sebab kita hidup ini dengan peraturan dan undang-undang TUHAN. Kenalah tahu. Tak tahu kena tanya. Tak boleh bodoh sombong.

Jawapan ketiga
itu yang saya cari. Mantap. Yakin.

Jadi, saya pun pergilah derma darah Ahad lepas. Yang pasti, bukan di UIA. Sebab di UIA, tak perlu rasanya saya timbulkan soalan tu.

Memang tak ada keraguan. Walaupun yang menganjurkan itu persatuan cina di Kuantan ni, tapi tabung darah dan yang menguruskannya tetap orang dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, HTAA Kuantan.

Cuma, adalah sesuatu yang kita dapat belajar di sini. Walaupun ada ilmu atau maklumat hari ini yang kita mungkin tak guna lagi, janganlah diremehkan. Sebab ia mungkin akan jadi sangat berguna pada masa hadapan.

Saya pernah tahu hukum ini tapi tak ambil berat sangat masa tu. Terlupa. Bila dah nak guna, tak yakin diri, kena tanya orang yang lebih arif juga. Mujur ada informer yang boleh diharapkan.

Nak berdakwah tak boleh "Err.. emm.."

:)

kenal diri...

"Benarkah Human Science? Adakah Sains Kemanusiaan?"

Kata-kata sahabat tu saya ingat sampai hari ini. Sains dikaitkan dengan teori. Teori pula sesuatu yang tetap sebab dah lalui banyak ujikaji.

Sesungguhnya, manusia itu tak boleh ada teori. Banyak lagi yang kita tak tahu pasal manusia. Banyak yang berada di luar fikiran dan terkaan kita. Tak ada "Dia jadi macam ni sebab ni, dia macam tu sebab tu.."

Orang boleh meneka berdasarkan sejarah mereka. Apa yang mereka alami atau dari apa yang mereka dengar dan lihat orang lain alami. Simpulkan dalam satu bentuk pengetahuan yang seolah-olah benar, dan mereka hukum orang dengan teori sendiri itu.

Benar tak jika saya tanya hari ini, "Pernah tak terdetik, aku tak faham diri aku sendiri. Kenapa aku rasa begini? Kenapa aku buat begini? Kenapa perasaan aku sekarang berubah-ubah? Ada masa-masanya untuk rasa-rasa tertentu. Apa yang aku nak sebenarnya?"

Pakar psikologi atau mereka yang mendakwa tahu psikologi atau motivasi pula akan kata, "Kalau kau sendiri tak kenal diri, jangan harap orang lain boleh kenal."

Itu betul. Kita dah bersama diri sendiri sejak kita lahir. Jadi orang yang paling kenal kita ialah diri sendiri. Tak mungkin orang lain boleh faham kita lebih dari kita sendiri.

Ntahlah, ini juga cuma satu terkaan. Terkaan saya. Saya tak belajar psikologi, jadi pengetahuan saya tentang ini terhad. Tapi saya tahu, saya tak boleh nak gunakan apa yang pernah saya tahu untuk mengukur orang lain. Sebab semua orang memang lain...

Ya ALLAH, bantu aku untuk faham diri dan orang lain. Sesungguhnya, ENGKAU lah yang Maha Mengetahui..

Monday, July 31, 2006

zionis

Israel, oh, Israel, kenapalah kalian ni dah tak serupa manusia? Wanita, kanak-kanak dan orang tua pun kalian bantai.

Dah tak ada alasan dah untuk kalian dera lagi satu demi satu negara Islam, tapi buat juga. Polis antarabangsa dunia si AS pula bukan setakat tutup sebelah mata, tapi dah langsung tak pandang. Adilnya..

PBB melihat saja. OIC juga seakan merelakan saudara kita dianiaya. Sedang kita bersenang di sini, setiap saat, mereka di sana ketakutan. Tak ada jaminan langsung walaupun umat Islam di dunia selaut ramainya.

Lawat laman ini:

from israel to lebanon

from israel to lebanon

Kemudian tanda tangan petition ini untuk menunjukkan sokongan anda dalam mengutuk kekejian [bukan lagi kekejaman] Israel ini:

epetition

Tolong sebarkan kepada semua yang masih mahu begelar manusia.

Friday, July 28, 2006

AMAR dah ada website!!

Salam semua!

Akhirnya, penantian sekian lama telah pun berakhir. Arif Muazzim aka AMAR dah siap pun buat dan publish laman web pertama beliau. Banyak juga isi menarik dalam tu. Dan kepada sesiapa yang nak sumbang ide untuk tambah apa, dipersilakan. Sumbang gambar bersama AMAR dari album peribadi masing-masing pun akan dapat cenderahati menarik dari AMAR :)



Sila, jemputlah ke

Thursday, July 27, 2006

uih? ina mawi dah jadi model daa..




Uish, macam dah tak serupa Ina budak Felda.. :)

Ina dah berhijrah ke Kuala Lumpur. Sekarang, Ina dah jawat jawatan Eksekutif Pemasaran di Etnik Harmoni Sdn Bhd dan mula berjinak-jinak dalam dunia peragaan fesyen.

Baca terus di Bintang Popular Berita Harian

Thursday, July 13, 2006

Peringatan Allah kepada warga Johor Bahru

Gambar ini saya ambil secara kebetulan ketika berada di sekitar kawasan pembinaan jambatan "bengkok" di Johor Bahru.

Ini merupakan kuasa Allah, dan peringatan kepada hambanya yang mahu berfikir.

Fenomena ini belum pernah berlaku di Negeri Johor, malah ini merupakan pertama kali kelihatan di langit Banda Raya Johor Bahru.

Puting beliung hampir-hampir terbentuk. Sekitar 30 minit. Saya yakin, ini adalah petanda awal atau amaran Allah kepada warga Johor Bahru yang hidup dalam kemewahan yang berlebih-lebihan serta bersosial.

Sekiranyanya puting beliung terjadi ketika itu, Banda Raya Johor Bahru akan lumpuh.

Malah saya sendiri menggigil merakamkan peristiwa itu di depan mata saya.

Tidak perlu saya ulas panjang lebar, cuma saksikanlah sendiri gambar yang dirakamkan.



Harakah Daily