Monday, May 29, 2006

kamiran

Entri ni jadi kelebihan untuk mereka yang pernah belajar Matematik Tambahan di sekolah menengah dulu. Bukan bias atau apa, tapi memang tak boleh nak ajar terus benda yang belajar sebulan dalam satu entri ni. Maaf ya? Tapi, konsep yang saya nak kaitkan boleh saja faham untuk semua :)

Ingat lagi pada kamiran tak?

Bukan, bukan nama jawa. Kamiran ni satu konsep dalam matematik, antonim untuk pembezaan. Atau dalam bahasa Inggerisnya, integration. [huh, apa tu??]

Tiba-tiba dapat analogi best daripada benda yang saya baru belajar sem ni [patut kata belajar semula, sebab dah pernah belajar dalam Matematik Tambahan di sekolah menengah].

Kamiran ada dua jenis, kamiran tentu dan kamiran tak tentu.

Dalam kamiran tentu, had untuk kita dapat jawapan pada persoalan dah ditetapkan. Had itu memudahkan kita untuk dapat jawapan bagi pembolehubah x. Selagi tak ada kedua-dua had atas dan had bawah, kita tak akan dapat jawapan pemalar, tetap, constant. Ia akan sentiasa ada + c di hujung jawapan.

Jadi, saya nak kaitkan dengan apa ya?

Soal jodoh :)

Hidup kita adalah untuk mendapat jawapan yang sebenar-benar jawapan. Jawapan yang cuma ada pada Tuhan, bukan tafsiran daripada akal manusia semata-mata. Jawapan itu bukan pada saya atau kamu. Jawapan terbaik yang Tuhan dah tetapkan untuk kita sejak di Luh Mahfuz.

Hidup kita seperti kamiran. Proses mendapatkan jawapan untuk segala jenis persoalan. Soal jodoh lebih kritikal, sebab jodoh itu adalah ketetapan yang kita tak boleh ubah. Seperti maut yang tak boleh dipercepat atau dilambatkan walau senanosaat.

Perbahasan untuk jodoh yang boleh berubah atau tidak ini saya pulangkan kepada anda semua sendiri untuk cari. Saya pun tak boleh nak cakap panjang pasal ni, sebab saya tak arif.

Tapi, sebenarnya tak kisahlah boleh berubah atau tidak, sebab kita memang tak dapat benar-benar pasti siapa jodoh kita yang sebenarnya, kan? Jadi, usaha untuk mendapat yang terbaik itu masih ada dan perlu dalam hidup. Seperti biasa, seperti selalu.

Jika nak dapat Fatimah, kena jadi Ali. Jika nak dapat Ali, kena jadi Fatimah.

[Nanti datang pula persoalan, bagaimana pula dengan Siti Asiah dengan Fir'aun yang nyata berbeza langsung tahap imannya? Hah sudah... Ada orang boleh jawab?]

Tapi setakat yang saya tahu, jodoh memang satu ketetapan yang tak boleh berubah. Atas dasar itulah, saya serahkan semua soal yang berkaitan kepada Dia, untuk diputuskan.

Bagaimana? Doa untuk mendapat yang terbaik. Buat bukan setakat solat hajat, harapnya boleh dapat dia ni yang kita pilih atas dasar manusia, ada sebab-sebabnya yang tersendiri. Tapi juga buat solat istikharah, untuk beri peluang pada hati terima yang terbaik. Sebabnya, surah Al-Baqarah ayat 216. Semak sendiri ya?

Doa-doa ini adalah untuk dapat had atas dan had bawah. Had bawah, minta ditenangkan hati dan berada dalam arus alpha, arus tenang yang membolehkan kita terima segalanya dengan hati yang lapang dan terbuka [teori Dr HM Tuah Iskandar].

Kita takkan dapat terima hakikat dan kenyataan, belajar untuk cari hikmat dan ketenangan selagi hati cuma aim pada si dia, sebelum buat rujukan pada Tuhan itu.

Kemudian, had atas, minta diberikan petunjuk untuk jawapan yang sebenar-benar jawapan itu. Sebab Tuhan tak cakap direct pada kita, "Kau mesti pilih dia", "Dialah jodoh kau", kita tak boleh cakap yang Tuhan beri c, constant, jawapan yang kita nak cari itu. Sebab ilmu dan akal kita yang mentafsir ini sangat terhad.

Manusia terakhir yang dapat c ialah Muhammad bin Abdullah. Selepas baginda, dah tak ada lagi manusia yang dapat kata-kata terus dari Tuhan. Tak ada.

Itulah, assumption yang kita boleh buat atas gerak hati dan kecenderungan.

Payah memang payah. Sebab kita tak mampu untuk benar-benar pasti. Terutama untuk orang sains yang selalu perlu bukti yang kukuh, benarkah, iyakah. Hati was-was, heh!

Tapi jadi tak payah bila kita terima saja apa yang datang. Bila dah tiba masa Tuhan bukakan hati, dan bila yang terbaik untuk kita itu ada depan mata, itulah dia jodoh kita.

Atau juga, akan jadi tak payah jika kita dan dia, minta jawapan itu sama-sama. Usahakan solat hajat dan istikharah sama-sama. Mudah-mudahan keyakinan kita terhadap petunjuk Tuhan akan bertambah.

Takkan Tuhan sekejam untuk tak beri jodoh pada mereka yang tak cop awal-awal dari sekarang, masa yang sepatutnya difokuskan untuk kewajipan dan tanggungjawab lain ini: belajar. Pula tu ramai daripada kita yang tak mampu nak buat dua kerja sekali. Bercouple dan belajar, adalah 2 tugas yang berat untuk dimaintainkan, bagi saya.

[Bagi yang dah lepas belajar tu, soal lain pula lah. Memang patut pun fikir pasal ni :) ]

Tugas kita untuk fikir pasal Tuhan, dan Dia pasti akan fikir pasal kita. Segala-galanya yang terbaik, bukan cuma dalam soal jodoh.

Itulah c kita. Yang sekarang kita belum nampak.

jahat

Bila dah nama manusia, semuanya ada kelemahan. Semua pernah buat dosa, kecuali para nabi dan rasul yang maksum.

Sebab itu, kita disarankan untuk selalu semak diri sebelum mula semak orang lain. Kita nak kata orang tu jahat, kita ni dah baik benar ke?

Kita definisikan 'jahat' itu sebagai itu dan ini, jahat pada pandangan kita. Sedangkan orang lain pula ada definisi jahat mereka sendiri.

Kenapa tak kita sandarkan maksud perkataan 'jahat' itu kepada jahat pada pandangan Tuhan? Adil, semua puas hati. Nyatanya tak akan ada orang yang terlepas daripada sisipan jahat itu.

Kau kata orang tu buat itu ini, tapi yang kau mengumpat, beritahu orang lain aib dia tu tak jahat?

Jahat kan? Lebih-lebih lagi ia dari pandangan Tuhan. Kata Dia, mengumpat seperti makan daging saudara sendiri.

Sebab semua manusia ada silapnya atas sifat nasiyyah, pelupa, kita tak patut hukum seseorang. Memang tugas menghukum itu cuma pada Tuhan, sebab Dia yang Maha Adil. Tapi hukum manusia ini seperti benci dia.

Kita boleh ada rasa benci, sebab benci ini juga rasa kurnia Tuhan. Tapi, untuk digunakan pada tempat-tempatnya. Kita tak boleh benci seseorang, sebab dia makhluk Tuhan yang Tuhan dah ciptakan sebaik-baik kejadian.

Tapi, bencilah pada apa yang tak baik dia pernah buat.
Tegur, cuba bantu dia ubah, dan jadikan pengajaran untuk diri sendiri pula.

Hidup ini sebuah akademi. Hidup adalah sekolah dan peristiwa adalah guru-gurunya. Setiap yang berlaku ada pelajaran yang boleh diambil sebagai iktibar.

Mereka yang paling banyak belajar itulah mereka yang paling berjaya. Di sisi manusia, juga di sisi Tuhan.

Tak kiralah di mana kita bermula, yang penting di mana kita berakhir.

maaf


Maaf adalah kata-kata yang mudah untuk diungkap, jika sebabnya tak nyata. Seperti minta maaf atas segala silap pada hari raya. Tak ramai yang listkan semua yang pernah mereka buat untuk maaf yang macam itu kan?

Abah dulu pernah bergurau dengan mak masa mak nak minta maaf pada hari raya, "Ni minta maaf ni sebutlah sekali kenapanya. Ada orang kata, tak valid maaf tanpa sebut sebab."

Heh, padahal, maaf sesama manusia itu dah settle di situlah jika dah dapat kemaafan tu :)

Bila difikir semula, ada juga benarnya untuk minta maaf dan sebut sekali kenapa. Itu yang payahnya. Dan yang payah itu yang berkesan. Untuk yang meminta maaf, dan untuk yang mahu memberi maaf.

Yang meminta maaf cuma dengan satu perkataan itu saja, kononnya dapat melepaskannya dari silap dan dosa, tanpa perlu buka pekung di dada. Gembiranya, sebab masih ada title 'budak baik', sebab dah minta maaf.

Yang memberi maaf juga takkan puas hati. Bukan tak boleh maafkan yang minta maaf cara begitu, tapi mesti terfikir, dia ni minta maaf, dia tahu atau sedar tak apa salah yang dia pernah buat?

Kemudian, kata maaf itu cuma akan jadi rutin, bukan lagi penghayatan.

Jadi, mintalah maaf dengan sebabnya sekali. Yang nak memberi maaf tu pun, bolehlah buat-buat tanya, "Kenapa nak minta maaf?"

:)

Friday, May 19, 2006

menulis

Seorang sahabat kata, ada antara penulis blog yang menulis sebab nak lari dari dunia sebenar dan wujudkan satu watak lain yang sempurna dalam dunia penulisan tu. Sebab dirasakan dalam dunia sebenarnya banyak sangat kekurangan dan kelemahan, mereka tutup ketidaksempurnaan itu melalui penulisan.

Benarkah? Saya tanya diri sendiri. Evaluate penulisan saya.

Saya geleng. Sebab saya tahu saya menulis untuk sampaikan sesuatu. Sesuatu yang saya nak kongsi dan rasa tak puas hati yang saya tak boleh nak cerita begitu saja pada orang. Sebab saya ni pendiam, tak berapa reti nak cakap dalam huraian yang baik sebarang saja. Jadi saya menulis. Dengan harapan tulisan saya beri manfaat kepada sesiapa yang baca.

Benar, saya tak tulis sebab nama.

Kadang-kadang, diri sendiri pun jadi objek untuk dibandingkan, dikutuk di sini, sebab tahu saya tak lepas juga dari silap. Tapi yang penting kita belajar dari kesilapan tu.

Ada orang yang bila dia nampak seorang penulis tu mengaku pernah buat silap, atau nampak ada silap, dia susah nak percaya pada apa yang penulis tu cakap. Ada pula, sebab penulis tu mengaku silap, dia fikir penulis itu jujur dengan setiap yang disampaikan, jadi dia lebih percaya.

Terpulanglah. Sebab blog ini milik peribadi, penulis boleh buat apa saja dengan penulisannya. Tapi sebab blog peribadi ini dilawat orang, penulis pun perlulah tahu untuk bertanggungjawab pada penulisannya. Kemungkinan apa yang ditulis akan dituruti dan diikuti pembaca.

Dan tanggungjawab kepada Tuhan. Seperti biasa, surah as-Saff ayat 3.

Menulis didik saya untuk terus berakhlak dan beramal seperti yang ditulis. Jadi, bila saya tak menulis lama tu, sama ada saya memang sedang kering ide, tak tahu nak fikir apa, atau tak berani nak tulis yang baik-baik sebab terasa diri tengah dalam banyak kekurangan.

Tapi, jika dah lama tak menulis, sendiri pun rasa tak tenang. Macam banyak sangat beban di kepala. Bila dah tulis, segalanya nampak jelas dan tersusun, sebab dah buang habuk-habuk yang menyemak tu.

Sesekali, saya tulis juga entri yang semacam ini, bukan semuanya benda susah-susah yang perlu pada kritis dan kreatif.

:)

Thursday, May 18, 2006

protaz

Saya jadi marah juga dengan orang yang tak mahu jadi ustaz, dengan alasan ujian untuk ustaz itu lebih berat, syaitan yang datang uji bapak-bapak syaitan. Takut!

Jadi ustaz, bukan pada penampilan. Bukan pada jubah yang dipakai, bukan pada kopiah yang tutup kepala. Jadi ustaz maksud saya di sini, jadi pendakwah. Sekurang-kurangnya pendakwah pada diri sendiri. Atau bahasa motivasinya, pemimpin pada diri sendiri.

Kan dah banyak kali kita dengar, jadi pemimpin batalion tak guna kalau diri sendiri pun tak terpimpin.

Kita ni bila orang tengok baru kita segan. Bila orang pandang baru rasa nak jadi baik sikit. Jadi, penampilan itu sebenarnya satu kekuatan untuk kita kekal dalam kondisi baik. Tapi bukan jadi syarat untuk buat baik atau jadi ustaz.

Ada saja ustaz yang sempoi. Tapi ustaz juga. Kata-katanya berhikmah juga. Akhlaknya menjadi ikutan juga.

Ustaz ini datang dari hati. Jika kita nak, kita akan jadi. Kalau dah tak nak tu banyaklah alasannya. Padahal sayang nak tinggalkan nikmat dunia ni. Kalau ustaz, orang akan mengata itu ini. Tapi bila jadi orang biasa, orang tak berapa nak hairan.

Kisah-kisah dunia hari ini menjadikan hukum wajib berdakwah atas kita tidak lagi hukum yang melampau. Kita ini umat manusia yang diletakkan di makam yang tertinggi di sisi Tuhan sebab iman yang kita ada. Kita ini khalifah kepada khalifah. Orang barat yang 'tak bertamadun' itu khalifah juga, tapi mereka tak sedar tanggungjawab mereka. Tak jaga bumi ni elok-elok.

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik² umat yang dilahirkan sebagai (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada berbuat segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar² iman)..."
(Surah 'Ali Imran: 110)

Amar makruf nahi mungkar. Bukankah itu definisi berdakwah? Kita nak bumi ni baik-baik saja. Tak ada yang nak jadi jahat, sekurang-kurangnya yang benar di hati. Mereka yang nak jadi jahat atau jahat betul tu cuma cakap saja. Rasa kuat, rasa gah dan seronok. Tapi dalam hati, tertanya-tanya juga, "Sampai bila aku nak begini?"

Bila kita nak semuanya jadi baik-baik saja, kita pun ada niat untuk berdakwah. Dakwah itu pula bukan dengan bercakap saja. Kan Nabi kata ada 3 peringkatnya apabila kita lihat kemungkaran? Tangan, mulut, atau hati.

Jadi kita ini seorang pendakwah. Jikalah hukum berdakwah itu ada yang dakwa tak wajib, ia adalah fitrah kita sebagai manusia. Fitrah yang suci, bersih.

Allah Maha Besar dan Maha Tahu. Dialah yang paling berhak memutuskan apa-apa yang paling baik untuk kita. Islamlah agama yang paling baik dan syariat Islamiahlah undang-undang yang paling sempurna. Tak akan ada satu ayat pun yang dapat menyangkalnya. Jadi, kenapa kita masih nak ragu-ragu dan melawan?

"Tergamaklah lantera yang dikiaskan itu dipersalahkan
Sedang kau dibatasi kekurangan?"

[AMAR, Bicara Rasa]

Ikut Tuhan. Maka, kita tak akan rasa bersalah. Pada Dia dan pada manusia.

Pancaran kesedaran dari hati inilah yang lahirkan ustaz. Bukan pada penampilan semata-mata.

Ramai orang yang dah jadi profesional dalam fardu kifayah, tapi ramai yang mengabaikan fardu ain, padahal itulah asas kita sebagai orang Islam. Kita dah lama belajar, dari sebelum ke sekolah lagi. Kenapa jadi sesuatu yang susah pula bila dah besar ni?

Pasal ujian pula, Tuhan dah kata yang Dia takkan bebani seseorang itu apa yang tak sanggup dia pikul. Syaitan yang datang menguji itu dapat kebenaran dari Tuhan, bukan main bantai saja. Tuhan yang merancang segala, jadi syaitan yang datang itu juga ujian dari Tuhan.

Adakah kita nak menidakkan ayat Tuhan? Sebab kita mampulah maka kita diuji begitu. Tahap ustaz hanya pada iman, bukan penampilan. Tahap iman pula, hanya Tuhan yang tahu.

Jika setiap tahap iman kita diuji sesuai dengan kemampuan kita masing-masing, maka, nisbah iman:ujian itu sama saja kepada semua manusia! [maaf, guna istilah matematik, jika ada golongan profesional yang tak faham]

Perjuangan manusia, kita ini adalah untuk meningkatkan iman dan kedudukan di sisi Tuhan. Rugilah mereka yang hari ininya sama saja dengan hari semalam. Dan lebih teruk pula ialah mereka yang tertipu. Sebaik-baiknya, jadikanlah hari ini kita lebih baik dari semalam, dan hari esok kita lebih baik dari hari ini.

Inilah mereka yang sebenar-benarnya berjaya.

Kalau bukan kita yang sedar ini, nak harapkan siapa lagi? Takkan kita yang minoriti ini pun nak resap ke dalam kelompok mereka yang jahil?

Marilah bersama, janganlah takut untuk jadi seorang ustaz.


# Ustaz rujuk pada ustazah juga.

bahana...

Pengakuan dari seorang peminat nasyid:

Tiba-tiba saya rasa saya pun tak bersetuju untuk terus menasyidkan lagu-lagu cinta. Benar, lagu cinta dah melambak di pasaran. Tak ada yang islamik. Hanya nasyid yang membenarkan cinta dalam suasana Islami.

Heh, geleman saya.

TAK ADA CINTA COUPLE LELAKI-PEREMPUAN BUKAN MUHRIM YANG ISLAMIK!

Dan itu pengakuan daripada orang yang dah rasa. Saya.

Sebab cinta, ada ruksahnya. Ringan-ringankan kata-kata Tuhan bahawa setiap yang berdua pasti ada yang ketiga. Dan larangan Dia daripada menghampiri zina. Kita ringan-ringankan sebab dengan pastinya kata, kita boleh jaga diri! Dengan kata lain, boleh lawan syaitan dan nafsu!

Kisah nafsu:

Nafsu sangat degil. Waktu dicipta Tuhan, tiada makhluk ah melawan cakap Tuhan, kecuali nafsu. Iblis yang dilaknat pun mengaku Tuhan sebagai Tuhan dia.

Apabila nafsu tercipta, Tuhan tanya dia, "Siapa aku dan siapa engkau?" Spontan saja dia jawab, "Aku ni akulah. Engkau, engkaulah." Tuhan pun humban nafsu ke neraka paling bawah selama beratus-ratus tahun.

Kemudian, Tuhan suruh dia menghadap kembali. Tuhan tanya nafsu soalan yang sama, "Siapa aku dan siapakah engkau?" Nafsu cakap balik, "Aku ni akulah. Engkau, kaulah." Sombongnya nafsu, langsung tidak mengaku dan hormat pada penciptanya.

Nafsu kena humban lagi ke neraka paling bawah selama beratus-ratus tahun. Sangat azab dan seksa nafsu hinggalah dia diberi peluang menghadap sekali lagi.

Tuhan bertanya, "Siapa aku dan siapa engkau?" Nafsu diam sekejap dan menjawab, "Engkau adalah Tuhanku dan aku ini hambamu." Barulah dia mahu sedar siapa sebenar­nya dirinya.

Hidup Sebagai Sebuah Akademi

Dulu saya selalu pegang pada la takrabuzzina ni, dan banyak lagi guideline asas lain yang boleh diambil sebagai pegangan untuk selamat. Tapi sekarang saya sedar, saya dah banyak berubah. Jadi lalai. Dah tak menulis lagi [lama kan?], sebab takut yang saya tak buat apa yang saya suka nak tulis.

Tak nak. Tak nak terus macam ni. Saya nak jadi kritis semula. Nak jadi MiraKimura semula. Nak jaga diri dan agama macam dulu.

Kita rasa bersalah sebab menduakan partner kita. Tapi kenapa tak rasa macam tu punya bersalah sebab mengingkari hukum Tuhan? Astaghfirullah!

Yang belum pernah berpengalaman, tak payahlah menggatal nak rasa. Takut tak lepas keluar nanti. Mula cuba sikit-sikit lama-lama makin melarat. Percayalah, alam couple tu memang sangat lain. Dari sebaik-baik manusia, semua akan mula tumbuh tanduk.

Lepas habis belajar nanti, kahwin saja terus. Melekatlah nanti dengan 'gam' istimewa, nikmat yang Tuhan beri. Jangan melekat sekarang. Bimbang menyesal tak sudah. Couple ni membingungkan, tahu?

Atau kita terus setuju dengan cadangan Ustaz Maszlee [dalam Majalah i bulan Mei], nikah khitbah saja!

recap

Apa yang saya nak tulis kalini?

Pasal orang yang tak boleh dinilai dari rupa saja
Pasal prejudis saya pada budak sekolah agama
Pasal budak tudung labuh dengan budak tudung 3 segi
Pasal malu yang sebenarnya tak boleh dihilangkan sebagai penjaga kita
Pasal couple yang langsung tak ada faedah malah mendatangkan keburukan
Pasal gejala sosial yang amat saya benci dan menyampah

Semua pasal yang saya pernah tulis bertahun-tahun dulu [eh, saya ni dah menulis berapa lama sebenarnya?]. Tapi sampai hari ini, isu-isu ni masih jadi perhatian saya. Sebab masih lagi berlaku.

Saya jadi geram. Ada tak yang bersama saya?

Sebenarnya kalau boleh nak menjerit, nak ingatkan semua orang yang kiamat tu tak makin jauh, walaupun kita tak tahu sedekat mana ia. Tapi Dr Mohiyuddin kata kalau kita cukup ilmu untuk kira usia matahari yang mengikat semua planet di alam semesta ini, kita memang boleh kira bila semuanya akan berakhir.

Makin nak kiamat, makin banyaklah benda yang tak betul jadi. Sebab memang ini tanda-tanda kecil kiamat. Dah lama. Memang tanda-tanda besar akan datang bila-bila masa saja. Jika tak bertaubat sekarang, bimbang nanti tak sempat lagi...

Dunia ni ramai orang yang baik-baik. Semua orang kan nak jadi baik? Tapi yang baik-baik ini kadangkala lupa. Leka dengan yang tak baik. Dia tahu sebenarnya benda tu tak baik, tapi sebab tak berapa nak yakin pada kiamat dan balasan Tuhan, dia tak kisah. Buat tak endah. Permainkan hukum Tuhan.

Banyak masalah dan kekeliruan dunia boleh selesai jika kita kembali pada sumber kita datang. Tuhan. Al-Quran dan sunnah Muhammad. Tak ada lagi yang benar melainkan itu saja. Dah tak ada masa untuk mempertikaikan keagungan Tuhan dan kebenaran al-Qur'an!

Kenapa masih nak berdegil? Kita mati nanti pun ikut agama juga. Mengucap, kafan, solat, liang lahad. Semua ikut agama. Ikut apa yang Tuhan kata. Kenapa tak nak ikut Tuhan dari sekarang? Sebab banyak lagi masa nak bertaubat? Says who?

Allahuakbar...!