Friday, January 30, 2009

isu solat jemaah

Kenapa kita perlu berhijrah? Sebab ada banyak perkara yang kita perlu tahu, perlu belajar. Jika kita statik, maka kita akan jumud. Ilmu untuk dicari bukan ditunggu.

Disebabkan saya berhijrah ke 'asrama' ini, ada beberapa persoalan yang timbul. Hari ini, saya kongsikan bersama kalian.

Dalam kebanyakan waktu solat di masjid (warga politeknik seluruh Malaysia menggelarkannya sebagai Pusat Islam) Politeknik Port Dickson ini, saya merupakan jemaah wanita tunggal.

Seperti di kebanyakan institut pengajian tinggi; awam atau swasta, cara hidup dalam beribadah tak sama seperti di asrama sekolah. Jika di asrama sekolah, solat jemaah telah menjadi salah satu aktiviti wajib pelajar. Tetapi di institut pengajian tinggi, ia menjadi satu pilihan.

Namun, apa yang berbeza, politeknik ini masih mewajibkan para pelajarnya yang tinggal di asrama (hanya pelajar semester satu dan yang aktif berpersatuan) supaya berjemaah di masjid setiap Maghrib dan Isyak Isnin dan Khamis. Hari-hari lain, ruangan solat wanita memang lengang.


Soalan saya:

1. Adakah sah solat jemaah sendirian dalam satu saf?

2. Pada kebanyakan masjid, ruangan solat wanita bertingkat-tingkat. Yang mana yang lebih afdal yang perlu dipenuhkan dahulu?

3. Bahagian saf mana yang lebih utama untuk dipenuhkan; kiri atau kanan?



Jawapan al-fikrah.net:

1.

Mesti penuhkan saf hadapan sampai tiada ruang, mereka yang membuat saf baru tanpa memenuhkan saf hadapan telah MELANGGAR SUNNAH NABI. Sebahagian ulama menyatakan WAJIB memenuhkan saf. Maka mesti penuh hingga tiada ruang. Ini sering berlaku di UIA, kerana malas nak bergerak jauh dan sibuk nak kejar imam, terus bina saf baru sedangkan saf depan belum penuh sampai ke dinding.

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sempurnakanlah saf pertama, kemudian saf berikutnya. Jika kurang (saf pertama telah penuh/tidak mencukupi), maka hendaklah ia mengambil saf yang belakang.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

Tapi ini hanya untuk yang sama jantina. Untuk perempuan memang kena duduk belakang walau seorang diri.

Dari Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan seburuk-buruknya adalah yang paling belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah yang paling hadapan.” (Hadis Riwayat Muslim)

2.

Ambil saf yang di tingkat sama level dengan imam dulu. Kalau dah penuh baru ke ruang berikutnya.

3.

Sheikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah menyatakan,

“Barisan itu dimulai dari tangah di dekat posisi imam. Barisan sebelah kanan lebih afdhal daripada barisan sebelah kiri. Yang wajib dilakukan adalah tidak dimulakan membuat barisan baru sehinggalah barisan pertama sempurna. Tidak ada masalah jika orang-orang yang berada di sebelah kanan barisan lebih banyak dan tidak perlu dilakukan penyeimbangan kerana perkara tersebut bertentangan dengan sunnah. Hanya saja, tidak diperbolehkan membuat barisan kedua sehingga barisan pertama sempurna dan tidak boleh juga membuat barisan ketiga hingga barisan kedua sempurna. Begitu jugalah barisan yang seterusnya.” (Fatawa Ibni Baaz, 11/205)

Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a.. dia berkata,

“Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, memegang dada dan bahu kami seraya bersabda, “Jangan lah kalian berbeza (tidak lurus safnya), kerana akan menjadikan hati kalian berselisih.” (Hadis Riwayat Muslim)

Disunting daripada forum al-fikrah.net. Terima kasih kepada semua yang terlibat.

No comments: