Monday, October 25, 2010

lagi lagi nasyid

Bicara tentang nasyid vs bukan nasyid takkan pernah sudah. Saya hampir muak dengan isu yang sama dibangkit berulangkali di mana-mana terutama di Facebook.

Masalahnya, tak ada satu pihak seperti Muzik-muzik untuk lagu-lagu genre lain yang ingin mengklasifikasikan lagu-lagu yang menimbulkan kekeliruan yang ada ini. Siapa yang bertanggungjawab? JAKIM? PIN?

Namun, pengklasifikasian lagu nasyid tidaklah semudah lagu-lagu lain. Sebab nasyid itu melibatkan identiti penyampainya. Lagu sekarang bukan cuma didengar di corong-corong radio. Artis diagungkan sehingga semua tentang mereka ingin diambil tahu.

Perbincangan panjang lebar dengan seorang teman semalam buka mata tentang pandangan umum tentang nasyid dan kriterianya. Siapakah penasyid dan apakah lagu nasyid.

Mirwana sudah terang-terangan mengumumkan mereka sudah bukan artis nasyid. Tapi saya tetap menganggap sedemikian sebab saya mahu rasa yang Mirwana sedang dalam proses memartabatkan nasyid di Malaysia.

Mirwana sedang cipta satu sejarah lagu nasyid apabila tertembus ke carta Muzik-Muzik dan kini lagu mereka, Tika Masanya layak ke separuh akhir Juara Lagu 25. Saya mahu semua pendukung irama yang selama ini dianaktirikan di Malaysia ini berbangga atas kejayaan Mirwana pada hari ini.



Secara asasnya, nasyid adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud lagu. Disebabkan ia perkataan bahasa Arab, tempat asal para nabi, pembawakannya ke tempat-tempat lain menjadi lagu Islami yang berunsur ketuhanan.

Nasyid tak ada definisi. Nasyid cuma ada konotasi. Konotasi nasyid itu berbeza mengikut norma dan budaya sesuatu tempat. Nasyid di Amerika tak sama dengan nasyid di Malaysia. Yang samanya cuma tema yang disampaikan.

Adakah genre lagu itu juga jadi salah satu ciri-ciri nasyid? Atau adakah nasyid itu sendiri jadi satu genre di Malaysia ini?

Secara umumnya, lagu nasyid itu lembut, mendayu dan mendamaikan kerana ia berfungsi mengingati Tuhan. Tapi tak dinafikan ada lagu nasyid yang berbentuk pop dan rap yang rancak untuk menaikkan semangat dan motivasi. UNIC popular dengan rentak sebegitu. Rock bagaimana?

Badar 313 itu lagu rock. Tapi tak ada yang bersuara negatif mengenainya sebab penyanyinya, Mestica itu adalah sebuah kumpulan nasyid. Jadi lagu Badar 313 adalah sebuah lagu nasyid.



Tapi bila Mirwana membawakan lagu rock Tika Masanya, ia tidak jadi nasyid. Ia jadi lagu rock berunsur Islam. Sebab Mirwana bukan kumpulan nasyid.

Jadi, nasyid itu tidak dilihat pada lagunya. Ia dilihat pada penyampainya. Dalam kes ini, Mirwana sendiri yang membuang label nasyid itu daripada diri mereka.

Jika di negara barat, Maher Zain dan Sami Yusuf itu boleh diterima seadanya sebagai seorang penasyid seperti yang kita kenali sekarang. Sebab budaya mereka tak menolak cara pemakaian seorang penasyid yang seperti Mirwana, Demascus dan Firdaus di Malaysia.



Cara pemakaian mengikut tempat inilah yang dikenali dengan pakaian soleh atau pakaian takwa. Pakaian yang mengikut tempat itu boleh menggambarkan kita sebagai orang Islam.

Bagaimana kita mengenali seseorang itu ustaz? Bukankah melalui cara pemakaiannya?

Kenapa perlu pakai pakaian takwa? Bagi seseorang yang mahu dikenali sebagai penyampai risalah atau pendakwah, tentunya pakaian takwa itu menambahkan keyakinan pendengar pada kredibiliti mereka. Bukankah?

Akan berkurangkah takwa sekiranya tidak memakai pakaian takwa? Itu urusan peribadi individu itu. Nilaian takwa hanya pada Tuhan. Hal dosa juga tidak termasuk dalam perbincangan ini, selagi mereka memenuhi syarat menutup aurat.

Bagaimana dengan kumpulan nasyid Nowseeheart yang sejak dari awal pengenalan mereka tidak mengenakan pakaian takwa seperti yang kita perbincangkan ini? Oh, saya tidak tahu setakat mana tekanan yang mereka terima.



Apa yang ada pada pakaian Nowseeheart cumalah beret di kepala. Jadi, adakah sekurang-kurangnya beret, atau topi golf (seperti yang dikenakan Maher Zain) atau kopiah, atau songkok, atau sebarang penutup kepala itu jadi salah satu ciri pengenalan penasyid? Topi dan bandana (key) bagaimana?

Para ustaz yang berceramah agama akan kenakan penutup kepala. Tapi ada sesetengahnya, apabila menyampaian ceramah atau kursus motivasi, mereka membukanya. Adakah pakaian soleh / takwa ini boleh dibuka dan dipakai mengikut kesesuaian waktu dan acara?

Oh, saya keliru dengan pakaian soleh / taqwa budaya Melayu Islam Malaysia ini.

Ironinya, orang Melayu Islam Malaysia yang punya persepsi sendiri mengenai nasyid mengikut norma dan budaya mereka pun menerima baik Maher Zain dan Sami Yusuf, sehingga sambutan yang diberi amat luar biasa.



Kumpulan-kumpulan nasyid asli (mungkinkah perkataan ini yang paling sesuai?) juga berbesar hati menerima, menyambut dan merai, malah berebut-rebut ingin mendekati Maher Zain dalam kunjungan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

Adakah penasyid luar dengan budaya yang berbeza itu dapat diterima, tetapi bukan penasyid dalam negara yang berbudaya sendiri?

Apa-apapun telahan, pendapat saya dan anda tentang nasyid pada hari ini, masih ada pihak yang mahu menganggap kumpulan seperti Mirwana itu sebuah kumpulan nasyid, walau bagaimanapun mereka mengumumkan menggugurkan gelaran itu.

  • Masih ada media yang menggelarkan Mirwana sebuah kumpulan nasyid.
  • Lagu-lagu Mirwana masih diterima baik dalam Carta Nasyid IKIM (ada khabar angin mengatakan IKIM pun mahu menggugurkan nama 'nasyid' itu daripada nama cartanya, menjadi Carta IKIM)
  • Mirwana masih jadi jemputan ke konsert-konsert nasyid. Contoh: Konsert Nasyid 2010
  • Mirwana masih jadi pilihan sebagai artis jemputan parti PAS yang kita maklum agak memilih dalam hiburannya. Contoh: Program Jelajah Generasi Idaman Selangor

Mirwana
sudah jadi fenomena. Ramai artis nasyid yang ingin mengubah penampilan dan pendekatan seperti Mirwana.

Jikalah Mirwana itu bukan artis nasyid dan budaya masih tidak dapat menerima gaya Mirwana sebagai sebuah kumpulan nasyid, tidak mustahil konotasi nasyid bangsa Melayu nanti akan berubah. Atau nasyid di Malaysia akan terkubur.

Jadi? Mahu label perlu garis pandu. Siapa nak buat?

2 comments:

Ibnu Ahmad Al-Asghar said...

Saya sndiri selalu bermuhasabah diri..kita pd hari ni lebih mengutamakan sunnah yg x syar'i drpd sunnah yg syar'i..

Nb s.a.w x mensyariatkn kopiah, serban, jubah..

kdg2 Nb s.a.w pakai serban, kdg2 x..kdg2 pkai jubah, kdg2 pakai ja pkaian dr ngara lain..jubah Rom misalnya..

yg Nb s.a.w syariatkn adalah sebarkn salam..tp x plak kita amalkn..

berapa ramai org yg pakai jubah, berkopiah..tp bibir masih berat nk bg salam..apa nilainya "berpakaian taqwa"??

mira said...

terima kasih untuk tambahan input husnul :)