Masa sudah menunjukkan jam 1.40 pagi. Masa yang sepatutnya aku sudah terlena di bilik. Bilik yang suhunya tak mampu diturunkan walau kipas dipasang pada kelajuan 3. Biasalah, cuti² begini, selalu sahaja aku mengingkari fitrah. Malam dijadikan untuk manusia beristirahat. Tapi yang tak biasanya, ketidakselesaan akibat bahang sepanjang waktu yang aku kira melanda seluruh pantai timur kala ini.
Aku berkira². Ahad ini, 18 April 2004 adalah hari ulangtahun ke-20 kelahiran Nurul, sahabat baik berlainan jurusanku yang hanya kekadang aku dapat jumpa. Lebih² lagi dalam masa aku tiada di UIA sekarang. Sudah 20 tahun. Aku juga bakal menyusul kemudian. Tapi lambat lagi :)
"Mira, ni adik Kak Bai," teringat aku waktu saat pertama bersua dengannya. Diperkenalkan oleh kakaknya sendiri, senior sekolah lamaku, MRSM Kuantan.
Aku terkesima sebentar waktu itu. Sudah jarang² sebenarnya aku ketemu pasangan adik-beradik yang bezanya cuma setahun (memang hampir tepat setahun - Kak Bai hari lahirnya 6 April 1983) seraya berada di institut pengajian yang sama. Lagi pula wajahnya yang aku kira adalah wajah gadis tercantik pernah aku lihat. Betul, tak tipu! Ayu sungguh!
Rupanya bersahaja. Seolah tidak mengendahkan perkenalan itu. Ah, mungkin sedang menumpukan tujuan asalnya waktu itu; ketemu kak long sendiri. Lagipun, aku orang asing buatnya. Kak long... Kak Bai anak sulung. Nurul kedua. Dan masih punya 6 orang adik di bawahnya. Ramai!
Sangkaanku pertemuan itu cuma sekadar memberi makluman bahawa Kak Bai punya seorang adik di UIA. Yang penting pada masa itu adalah Kak Bai; jawatannya sebagai setiausaha dalam ANSARA UIA PJ akan kusandang pula nanti (semuanya adalah kenangan cuma - aku telahpun mencapai kedudukan itu).
Nyata jangkaanku meleset. Kami dijodohkan lagi dalam satu program anjuran Guidance and Counseling Club (GCC) UIA - A Day with the Chosen di Rumah Anak² Yatim, Sekendi, Selangor pada akhir semester 1 di matrik.
Dalam ANSARA (Oh, Nurul pun bekas pelajar MRSM juga rupanya - MRSM Jasin - sama dengan Abang Nazri - oh! Tarikh lahir mereka cuma tahun yang berbeza! - satu pengumuman!), Nurul mengaktifkan diri, menyediakan diri apabila bantuan diperlukan cuma apabila batch kami berkuasa penuh atasnya. Tidak pernah mengendahkannya semasa Kak Bai punya kuasa. Mungkin masih tidak tergerak untuk berpersatuan memandangkan jurusannya memaksanya melakukan satu pengorbanan yang agak besar. Pengorbanan tumpuan selain dalam pelajaran.
Pada semester 1 tahun yang berikutnya, kami ditemukan dalam kumpulan Halaqah pula! Aneh juga kebetulan ini...
Dan semasa aku di MRSM Batu Pahat sebagai fasi untuk program Sireh Pulang ke Gagang tempoh hari, aku telah dikirimkan coklat dari Langkawi melalui Kak Bai yang turut ikut serta dalam program. Siapa lagi jika bukan daripada Nurul yang semasa itu sedang mengikuti program bersama rakan² matriknya. Dia tak pernah lupakan aku...
Berkenalan dengan Nurul membuatkan aku merasa buat kesekian kalinya ada yang dapat berkongsi fikir dan serasi dengan diriku. Selepas Janna dan Yonn - bekas pelajar² MRSM juga. Mungkinlah disebabkan itu; latar persekolahan yang sama menjadi faktor keserasian ini.
Oh, pandai benar dia menyorokkan kegelisahan hati. Aku sendiri sukar membacanya walau kami telah berbicara hati ke hati beberapa kali. Jika bukan kerana ada yang memberitahu, aku tak pernah tahu bahawa Nurul penyendiri. Selalu berseorangan pergi dan balik dari kelas. Pernah dinasihat supaya tidak pulang ke rumah juga bersendiri. Ya lah, faham² sajalah dengan KL ini.
Apa² pun Nurul, saya amat berharap agar persahabatan ini mampu diteruskan sampai bila². Saya amat rindukan Nurul. Untuk berbual² lagi, untuk berkongsi suka duka kisah kehidupan, untuk mengetahui ada yang memahami... Selamat hari ulangtahun. Semoga Nurul sentiasa diselimuti kegirangan dan keselesaan hidup. Semoga Nurul peroleh apa yang Nurul sentiasa dambakan. Dan semoga cinta sejati itu milikmu, sahabat.
No comments:
Post a Comment