Friday, April 30, 2004

Alumni (25 April 2004)

Perkara: Alumni Batch Millenium MRSM Kuantan
Tarikh: 23 - 25 April 2004
Tempat: Muara Beach Resort, Balok dan MRSM Kuantan


Pertama kali menjejakkan semula kaki di Maktab Rendah Sains MARA Kuantan, Perkampungan Tok Sira, Alor Akar mengundang pelbagai nostalgia. Kenangan semasa perjuangan mengutip ilmu dalam masa dua tahun di salah sebuah MRSM kedua tertua di Malaysia yang mulai kabur terimbau semula.

Aku tiba di sana seawal jam 3 petang, waktu meja pendaftaran mula dibuka untuk peserta mendaftar. Tiba² ada satu suara yang menanyakan hal kelewatan aku sebagai tuan rumah bandar itu. Siapa? Oh, Exco Agama kita rupanya :) Aku yang lewat atau dia yang awal?

Maktab tak banyak berubah daripada masa kami meninggalkan (aku bercerita seolah-olah jauh benar maktab daripada rumah sehinggakan menjenguk pun tak sempat :) ). Cuma pembangunan sedang diusahakan dengan terdirinya dinding zink sepanjang laluan 'cover walk' sebagai keselamatan. Bangunan baru akan didirikan. Bilangan pelajar semakin ramai. Eh, surau pun dah roboh? Hilang satu simbol kenangan kami.

Aku bersama² Iffah dan Tasha waktu itu, kedua-duanya bekas rakan sekelas dulu. Kelas C1 yang paling best :) Bertemu dengan Nafhatun dan Noramiwati yang tiba lebih awal. Semangatnya! Sekurang²nya hanya itulah jumlah 'pelajar puteri' (putera & puteri - gelaran yang diberi pada kami dahulu) yang hadir dalam satu jam selepas itu. Cuak juga apabila setiap kali ada pelajar tiba, semuanya lelaki.

Ustaz Khaidir, ketua warden pengganti Pak Lan kata, urusetia 'eksyen', tak mahu melantik AJK perempuan. Menyusahkan kata mereka. Amboi, sedap mulut saja... Tak apalah. Buatlah kerja² tu, tak perlu minta bantuan kami. Kalian boleh uruskan semuanya, kan? :)

Oh, termasuk menyediakan 'barbeque' untuk kami sekali rupanya. Sudahnya, kami, 'puteri²' kesayangan ni memang sungguh dilayan sebagai puteri. Hanya menanti dihidangkan makanan. Kecuali satu hal. Hanya disaji pada jam 11 malam, apabila selera makan dah kurang, kelaparan. K-own menyedapkan hati kami dengan meminta kami bersabar setiap setengah jam. Sehingga jam 3 pagi, kalian tinggalkan Hirzi sendirian, menyudahkan semua kerja.

Melalui ustaz juga kami dimaklumkan bahawa Azimah, Nazri, dan Marduiyah punya adik yang sedang belajar di situ. Juga, Abang Arip (Arifuddin) apabila dia meminta aku menyampaikan salamnya pada Alliah Jannah, adik perempuannya yang berada di Tingkatan 4.

Kami menginap di Muara Beach Resort, chalet 180 darjah daripada paling tersohor. Abah pun tak pernah mendengar nama chalet itu. Perjalanan ke sana memakan masa setengah jam dari maktab. Agaknya kerana chalet tersebut yang menawarkan harga penginapan yang paling murah, urusetia mengabaikan kos pengangkutan dan masa yang banyak dihabiskan untuk perjalanan.

Aku sebilik dengan Iffah, Tasha, C'mas dan Syikin. Uzur sungguh keadaannya. Televisyen hanya dibawa masuk apabila kami melaporkan ketiadaanya. Air pula nak taknak keluar. Tiada tuala dan penyangkut baju yang disediakan. Ok. Pendingin hawa dan pemanas air dalam bilik air memang ada. Cukuplah, bukannya lama kami di situ.

"Alah, semua pun nak berurusan...!" K-own berseloroh ketika air sudah diperoleh di bilik.
"Orang dah bayar..." Aku mengomel perlahan. RM 50 maa!~
"Ya lah, ya lah!" Eh, dia dengar?


Sebelum 'barbeque' malam itulah kami, aku, Iffah, dan Tasha bersua kembali dengan satu² wakil lelaki kelas kami yang hadir, Afiq Azul. Wah, sudah lain dia sekarang! Tampak lebih matang daripada kali terakhir dia dilihat dahulu. Kalau nak, sebenarnya kami boleh bertemu di tempat kami belajar di KL nun. Kolejnya cuma bersebelahan UIA. BMI. Entah apa yang jadi penghalang, aku pun tak pernah fikir.

Aku masih ingat. Afiq pelajar ambilan kedua yang mendaftar lebih lewat daripada kami yang masuk pada tarikh cantik 14 Februari 2000. Dia menjadi sahabat paling baik pada Amran mungkin kerana berasal dari negeri yang sama. Dalam kelas, selain Yasser, dialah pencerianya. Tapi bila sampai masa, Afiq boleh jadi begitu sensitif. Keseluruhannya, Afiq memang 'happy-do-lucky'. Memang rugi aku tidak cuba bersahabat baik dengannya. Aku memang bersahabat dengan semua orang, tapi tak pernah sepatah halal bercakap dengan pelajar lelaki! Kan, Afiq?

Walau akan menghadapi minggu peperiksaan pada minggu selepas program, Afiq tetap gagahkan diri untuk hadir. Semangat untuk bertemu rakan² lama mengalahkan kekuatan keadaan diri yang kurang sihat. Malangnya, hanya lebih kurang 40 peserta saja yang hadir. Pelbagai alasan menjadi halangan. Yang ada kelas memang diterima. Ada juga menjadikan masalah kewangan sebagai penghalang. Ada juga yang mengikut kawan. Kalau tidak masakan pelajar kelas C2 hanya diwakili Paan? Abang Arip? Oh, dia masih di matrik UIA, tidak berkesempatan untuk hadir atas alasan pembelajaran. Minggu selepas itu juga dia punya peperiksaan. Dan dia mengambil jurusan Perubatan. Tak boleh main²!

Seawal jam 7.30 pagi Sabtu, kami sebilik telah siap siaga di hadapan chalet sebagaimana yang diminta. Seperti jangkaan, tiada yang lain berada di situ seawal waktu itu. Urusetia pun masih di bilik ketika kami keluar. Jam 8.10 pagi barulah bas baru (aku agak cuma catnya saja yang baru) maktab menunjuk muka, membawa kami ke Taman Gelora. Sangkaanku, selain kerana program Sireh Pulang ke Gagang yang disertai bersama² ANSARA UIA, aku tidak lagi akan merasa menaiki bas MRSM.

Di Taman Gelora, para pelajar Tingkatan 4 dan 5 telah berhimpun menunggu untuk aktiviti pagi itu yang diadakan sempena Minggu Aktiviti Semester 1 2004 berlangsung. Seronok apabila dapat bertemu dengan guru² yang sempat bersama kami dahulu yang ditugaskan mengawasi anak² 'homeroom' masing². Aku jadi sebak. Cikgu Hartini, 'mak' 'homeroom' A tiada lagi, ditukarkan ke Kelantan. Pertemuan kembali dengan Cikgu Fatimah, Cikgu Muzahid, Cikgu Wan Salehaton, dan Cikgu Lela yang pernah mengajar kami sekelas dahulu mengurangkan hiba. Mereka masih mengingati wajah² ini...

Para peserta menyerbu kafe berhampiran apabila kami tidak dibekali sarapan. Untung tauke kedai hari itu. Kami sebilik makan semeja sebelum disertai Hirzi, 'member setia' aku sejak sekolah rendah di Cenderawasih. Terus membawa ke Sekolah Menengah Panglima Perang sebelum sama² mendapat tawaran ke MRSM Kuantan. Hirzi betul² telah berubah. Jika tidak, masakan Ustaz Khaidir pun tak putus² memuji dirinya yang amat menghormati guru. Apatah lagi Cikgu Nordin, bapa angkatnya yang tegas. Berlainan benar dengan Hirzi yang acap kali dipanggil ke atas pentas Dewan Ilmu atas kes² ringan atau berat yang telah dilakukan. Aku tak pernah sepenuhnya menyalahkan dia kerana aku faham kebaikannya yang sebenar. Cuma situasi memaksa dia bertindak seolah memberontak begitu.

"Dalam hidup ni kau kena ada matlamat, cita², dan arah tujuan. Tak boleh cuma menanti apa yang bakal diberi kerana pesaing akan menjadi semakin ramai! Kau kena pandai curi peluang itu!"

"Aku cakap dengan kau. Diorang yang ambil kau bekerja takkan pandang pada sijil. Diorang akan fokus pada kemahiran yang kau ada. Kau kena mengadap depan komputer, main sampai berasap!"

"Aku join belia sekarang. Setiap program aku mesti jadi peserta paling muda. Dari situ aku belajar untuk berkomunikasi dengan mereka yang lebih tua. Aku seronok!"


Betul² terkesima aku mendengar ceramah percuma Hirzi pagi itu. Benarkah dia Hirzi?

Ketika berjalan menyusuri barisan pohon pain (pantai jauh sangat) bersama Iffah dan Tasha, aku terdengar nama dipanggil. Terkejut juga apabila Firdaus Saudi mencuri peluang berborak dengan aku. Bukanlah aku tak pernah berborak dengannya semasa di UIA dan Karnival ANSARA di Dataran Merdeka tempoh hari, tapi aku sangka tidak di situ. Di hadapan rakan² lamanya. Ya lah, Exco Agama mesti ada 'standard' sendiri. Takkan nak ditunjuk dia bersahabat dengan pelajar biasa seperti aku yang tak pernah langsung dikenali semasa di maktab?

Oh, aku dah silap. Epi tak pernah bangga dengan jawatannya dulu. Dia tak pernah mempergunakannya sebagai penghalang dalam hal bersahabat. Dia tak pernah hipokrit. Siapa Epi yang aku kenali di UIA, dia jugalah yang aku kenali waktu itu. Dan orang yang sama semasa di maktab dahulu. Tak pernah berubah. Maaf kerana sedikit berprasangka. Aku ni memang mudah memperkecilkan diri di kalangan orang² 'besar' seperti BWP.

Oh ya, dia tetap seorang pendebat yang baik. Jika tak bertekak denganya setiap kali bertemu memang tak sah. Dialah yang mengajar aku :)

Serentak, aktiviti² untuk pelajar tetap berlangsung tanpa mengambil peduli langsung kehadiran 'super duper senior' mereka ini. Sepatutnya diadakan program bersama kami, bekas² pelajar MRSM Kuantan ini. Bertanyakan pengalaman dan perkembangan semasa kami. Untuk memberi sedikit input memanfaatkan kehadiran kami. Seolah bersama fasi untuk Sireh Pulang ke Gagang. Barulah masa kami di situ tidak dibazirkan dengan hanya melepak dan mengenang. Untuk berborak dengan cikgu pun, mereka sedang asyik dengan permainan yang disediakan untuk mereka.

Petang itu, aku, Iffah, dan Tasha ke rumah Cikgu Wan Shahriza, bekas 'mak' 'homeroon' Iffah berhampiran Pantai Sepat. Bertuah sungguh kami tidak perlu berhimpit di bilik² kosong blok² asrama. Namun, kekurangannya, kami tidak merasa untuk kembali ke Blok F yang menjadi rumah kami di sana untuk dua tahun.

Malam itu telah diadakan satu majlis makan malam bersama dengan segelintir guru² yang pernah menyumbang khidmat mengajar kami. Kumpulan pemimpin² pelajar; BWP dan LDP Tingkatan 5 ditempatkan di meja lebih ke hadapan daripada kami. Bukankah sepatutnya yang diraikan perlu diutamakan?

Oh, kepentingan Epi untuk membaca doa masih ada :) Sudah lama tidak mendengar suaranya sebagai pembaca doa dan imam ketika berjemaah.

Aku cuba selami perasaan rakan² perempuan yang hadir tanpa memakai tudung penutup kepala. Oklah, kalian tak mahu menjadi hipokrit, hanya menutup aurat ketika bersama dengan rakan² yang telah mengenali kalian sebagai yang bertudung litup, sedang di tempat lain kalian melepas bebas rambut. Tapi, tidakkah kalian malu pada guru² yang turut hadir? Tidakkah kalian hormat pada mereka yang telah mengajar perilaku baik pada kalian dengan harapan kalian meneruskannya?

Aturcara majlis kurang teratur. Agenda utama; makan, dimulakan dahulu sebelum ucapan² (membuatkan aku teringat semula apa yang membosankan di maktab dahulu) daripada En Saari Sawa, saudara Nazri Nordin (benar² jadi orang penting MRSM Kuantan rakan seangkatan kami ini sekarang ya?), dan Setiausaha Kuatagh (aku lupa namanya). Selesai ucapan yang mengantukkan (ditambah perut yang sudah penuh), barulah tayangan persembahan Power Point pengimbau memori lama disaji. Hirzi yang menyelit sebagai ahli meja kami seperti biasa menjadi pengulas tidak rasmi. Hanya suaranya yang menggamatkan dewan, membuatkan yang lain ikut tertawa dengan leluconnya.

Sampai apabila K-own menyebut tentang pemergian Allahyarham Zaril, rakan sepejuang kami dulu akibat kemalangan jalan raya, hati ini menjadi amat sebak. Air mata bercucuran jatuh di dalam jiwa. Nasyid 'Kau Sahabat Kau Teman' dendangan kumpulan Hijjaz menambah sarat haru. Mengapa yang lain kelihatan sedikit pun tidak tersentuh?

Persembahan pentas para pelajar menyusul. Satu pengalaman yang tak pernah sempat kami lalui sebelum ini. Pertunjukan kreatif daripada 3 bangsa utama Malaysia menghiasi malam itu. Pelajar² Cina menonjolkan tarian hip hop, bercampur antara lelaki dengan perempuan. Pelajar² India pula dengan perkahwinan tradisi mereka diikuti tarian lagi. Tarian moden dengan penarinya yang tampak menjiwai bait² lagu yang tidak kami fahami. Yang Melayu? Memetik gitar sambil yang perempuannya mendayu² menyanyikan lagu yang bukan nasyid...

Terkejut dan terkilan. Pada saat itu, aku amat mengharap Ustaz Asri ada sebagai penyelamat kelunturan moral yang telah cuba kami terap dahulu. Dahulu, kumpulan penasyid perempuan pun diharamkan. Untuk pertandingan, kami asingkan acara antara lelaki dan perempuan. Malah, Hari Puteri sajalah peluang untuk pelajar perempuan bebas menjalankan aktiviti. Pelajar perempuan digalak memaki tudung labuh. Subjek Tasawwur mula diperkenalkan untuk SPM.

Peserta² lelaki mula bersorak mengejek. Ada yang berdiri bertepuk tangan. Merekakan tidak pernah dihiburkan sebegitu? Hati jadi panas dan risau. Bagaimana sekiranya keadaan MRSM berterusan begini? Atau semakin parah? Bagaimana jika kedaulatan dan kehormatan MRSM sebagai sekolah elit terus terpadam ditambah dengan penubuhan MRSM² baru bagai cendawan selepas hujan?

Mrs. Zee, bekas guru Bahasa Inggeris C1 merangkap bekas warden Blok F membawa anaknya, Aiman yang baru berusia 6 bulan. Seorang demi seorang menawarkan diri menunjuk tokoh bapa mitali. Eh, Hirzi dan Afiq pun? :)

Jam 11 malam, kami bertiga menjadi yang terawal dihantar pulang ke chalet kerana yang lain sibuk dengan urusan tidak rasmi masing². Ada yang tidak habis² bergambar, ada yang ber'tenet', ada yang leka berbual dengan rakan² dan guru²... Suasana menjadi bosan. Aku kembali merasakan ketidakpentingan diri di maktab...

Kami dibebaskan seawal pagi Ahad. Eh, tiada aktiviti lagi? Kenapa sekejap sangat? Tiada 'post mortem', tiada perbualan rasmi antara kami sebagai penutup tirai? Masing² telah membawa haluan sendiri. Malah, van yang sepatutnya menjemput kami pulang ke maktab tidak hadir atas sebab² tertentu. Jadi, mesyuarat yang dikatakan akan diadakan pada jam 10 tidak berlaku. Terkilan juga.

"Eh, macam mana kau boleh masuk Gempak ek?" Aku memandang Mohd Nurafiq atau Afiq Ludin, aktor teater maktab dahulu dengan pandangan terkejut yang dibuat². Aku tahu, pasti Amran yang melaporkan. Mereka sama² di matrik Kuala Pilah dahulu. Layankan sajalah. Dalam hati aku bangga lagi kerana ada orang 'besar' yang kenal aku.

Keseluruhannya, pengendalian urusetia adalah memuaskan untuk mereka yang buat kali pertama menganjurkan satu program besar seperti ini. Mungkin selepas ini, urusetia boleh menimbangkan cadangan untuk membuat program perjumpaan semula ditambah dengan serapan peserta ke dalam beberapa kumpulan pelajar MRSM sebagai sesi bersama lepasan MRSM. Dan urusetia perlu merangka pelbagai aktiviti lain untuk memenuhkan masa peserta. Juga urusetia harus melantik seorang peserta menjadi wakil setiap universiti untuk memudahkan urusan penyebaran maklumat kepada peserta lain di universiti yang sama.

Kami bertiga dihantar ke Terminal Makmur oleh Azfar dengan kereta Kancil Miranya. Terkilan lagi kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal pada Afiq dan Hirzi. Tidak sempat juga bertemu muka dengan sahabat² perempuan lain yang telah lesap entah ke mana. Ada juga yang telah bertolak pulang sejak malam sebelumnya lagi. Dari dalam kereta kami sempat menjeling K-own dan Afiq Ludin di tangga pintu chalet yang melambai² ke arah kami. Sedihlah pula.

Sampai di terminal, kami mengambil sarapan. Terserempak dengan JB, Nadzirin, dan Asrul Nazar. Kami meramahkan diri. Lebih² lagi Tasha yang pernah satu kumpulan tesis dengan Nad. Apabila ditanya aktiviti semasa, mereka bagai menghafal skrip yang sama. "Duduk rumah, tak kerja, jaga adik." :) Oh ya, sama jawapan dengan Epi juga. Mereka bertiga; Nad, Asrul dan Epi sama² anak sulung dalam keluarga.

Kami menemani mereka sehingga bas tiba. Seorang demi seorang melepaskan diri daripada pandangan kami. JB dan Asrul ke KL manakala Nad ke Kelantan. Rasa sayu mencengkam lagi.

Kami menapak ke Berjaya Megamall. Puas tawaf, kami ke Kuantan Plaza pula. Terik matahari tengah hari tidak melemahkan kami untuk terus bersama² menjenguk bandar Kuantan buat kali terakhir (aku cuma wakili mereka). Bersua pula dengan Lin dan Kak Long yang sedang enak bersantai dengan mee kari dan milo ais di perkarangan hadapan Plaza. Oh, mereka bekerja di kedai buku Men Men rupanya.

Perhentian terakhir kami adalah di McD Plaza sebelum kembali ke terminal. Jam sudah pukul 2.15 petang waktu itu. Tiba² aku ternampak kelibat Epi dan rakan² lelakinya (maaflah, aku tak pernah tahu siapa nama rakan² itu walau wajah mereka sebagai rakan² semaktab memang aku cam). Tasha yang baru keluar dari bilik air menjadi pelik.

"Eh, bila pula dia ada di sini?"

"Biasalah, di mana ada saya, di situ ada Epi!" Aku berseloroh nakal.


Epi ke terminal menghantar mereka pulang. Terpisah dengan sahabat²nya, Bun, Azfar, Afiq Ludin dan K-own yang masih di maktab menyelesaikan urusan yang belum sudah. Katanya, urusetia² itu akan pulang pada keesokan harinya.

Epi ke Kuantan menaiki motor rupanya. Terus dari Kemaman. Amyruddin di sebelahnya pula dengan kereta. Oh, orang Balok ke?

Sedih sungguh untuk berpisah dengan setiap seorang daripada mereka. Tasha sudah mengundur diri ke Klang, rumah makciknya pada jam 2.30 petang lagi manakala Iffah pulang ke Kuala Terengganu pada jam 3 petang. Epi dan Amyruddin masing-masing bergerak meninggalkan aku pada jam 3.15 petang. Aku turut beransur ke stesen bas di pasar besar.

Entah bila lagi akan ku kembali menghadap wajah² pemberi sejuta kenangan ketika di maktab dahulu. Yang pasti, kami akan terus berhubung dari semasa ke semasa sama ada melalui telefon atau kawanaku.com.

Selamat meneruskan perjuangan, teman²!

No comments: