Friday, May 07, 2004

Hari Ibu (6 Mei 2004)

"Kenangan Manis Bersama Ibu"


Perhatian untuk gadis remaja sahaja. Memori indah bersama ibu. Tentu ramai yang ingin berkongsi dan mengabadikan memori indah tersebut di dalam majalah kesayangan ini dan paling istimewa kamu juga berpeluang untuk memenangi...

Cukup. Oh, sempena Hari Ibu rupanya.

Berjaya mencuri perhatian mindaku sebentar. Hanya ini kelebihanku. Menulis. Sekurang-kurangnya terisi sedikit masa senggang ini. Untung juga dicapai majalah ini dalam perjalanan pulang dari bandar tempoh hari. Menggantikan kekosongan masa untuk pembacaan novel yang telah dikhatam acap kali.

Aku semak kembali tajuk karangan ringkas yang hendak ditulis. "Kenangan Manis Bersama Ibu". Diam. Fikir. Lama. Buntu. Fikir lagi. Kali ini melebihi realiti. Aku cuba cipta sesuatu. Ah, bukannya penganjur tahu siapa aku! Menerawang ke cereka. Televisyen, cerpen, novel, sajak, lirik lagu... nasyid... Buntu juga. Tumpul amat kreativiti ini.

Aku menaip dan menaip. Karangan belum dimulakan. Cuma menulis perkara lain. Mana tahu ilham akan menjengah kemudian.

Tiba-tiba aku terfikir. Perlukah menjadi bukan diri sendiri semata-mata untuk memuaskan diri sendiri? Mengelak daripada mengatakan bahawa sungguh aku tak punya banyak kenangan manis bersama emak! Kenangannya tetap ada. Tapi, tiada yang istimewa. Hari-hari yang berlalu kelihatan sama sahaja.

Ya, aku lihat. Aku rasa. Bukan cuma pandang. Tapi masih tak cukup. Kekosongan ini tetap ada. Bukannya aku tidak sedar diuntung. Bukannya aku berniat mengaibkan sesiapa. Cuma terkilan kerana keluarga aku bukanlah jenis yang suka menunjukkan kasih sayang dan kemesraan masing-masing. Hampir setiap mata kami tidak berkomunikasi dengan baik. Bukannya kami saling menengking atau meninggi suara, cuma tiada apa-apa. Ya, itulah sebetulnya. Tiada apa-apa.

"Kenapa ya, Mira? Saya tak pernah dengar awak bercerita tentang mak bapak awak kepada kami..." ujar Janna satu ketika.

Senyap. Tidak tahu untuk menjawab. Tidak pernah diduga soalan sebegitu akan menyerang benakku.

Di luar rumah, abah dan emak bukanlah seorang yang pendiam. Malah bekerja dalam pejabat yang sama langsung mengeratkan lagi hubungan mereka seraya punya banyak perkara untuk dibualkan. Tapi, mengapa aku jadi begini? Mengapa Fitri jadi begini? Mengapa kami seolah kehilangan sifat mesra itu? Sekurang-kurangnya kala bersama emak dan abah? Bukan dengan rakan-rakan?

Oh, aku dah lupa. Aku pernah begitu juga dahulu dengan rakan-rakan. Sahabat-sahabat seperjuangan. Bualku hambar. Malah, dalam banyak masa, aku yang membisu, cuma dengar tidak dengar apa yang dibicarakan. Tidak langsung mengaktifkan suara dan pendapat. Cuma mengangguk, menggeleng, melopong, dan menganga. Kelakar.

Aku atasi sifat yang kuanggap bermasalah itu. Aku cuba. Hasilnya Saleh pernah menyuarakan rasa seronok berbual denganku melalui telefon. Dan Faheem yang jujur itupun telah mengiyakan dengan mengatakan aku peramah. Jangan menilai dari rupa yang mancuka itu (ini). Kelakar. Lagi.

Itu di luar. Dengan rakan-rakan yang cuma mengenali aku beberapa ketika. Dengan mereka yang telah bersamaku semenjak lahir? Belum lagi. Amat payah. Benar. Memang benar. Menjadi yang terbaik diluar keluarga tidak semestinya mudah untuk menjadi yang terbaik di dalam keluarga.

Semuanya kerana malu. Dan ego. Dan kerana terasa diri dilayan masih seperti kanak-kanak.

Aku masih ingat. Suatu masa dahulu, semasa aku masih di bangku sekolah, layanan aku terhadap emak amat berbeza. Amat mesra. Pulang saja dari rumah pengasuh setiap petang, aku dan Fitri akan mengucup pipi emak berkali-kali. Menjadi kebiasaan. Menjadi tabiat. Dan mulut ini tidak berhenti-henti menceritakan pengalaman untuk sehari. Di sekolah, dan di rumah Makcik Rubi. Sehingga setiap cerita bercampur-baur. Berbelit-belit tidak nampak hujung pangkal. Semua memori berebut hendak diluah keluar.

Kala itu, aku amat yakin dapat menjadi anak perempuan emak yang paling baik dan paling disayangi. Masihkah?

Satu kenangan yang memang amat menyentuh rasa terharuku. Bahawa emak tidak pernah melupakan. Bahawa emak juga punya rasa serba-salah...

Pagi raya itu. Sewaktu usiaku sudah di awal belasan tahun. Aidilfitri yang pertama buat Ayuni, adik perempuanku yang pertama selepas deretan tiga adik lelaki. Emak memakaikan loket emas padat berbentuk hati kesayanganku padanya. Loket bersama rantai yang telah menjadi milikku semenjak kecil lagi. Loket yang dipakaikan menghiasi leher ini setiap kali hari perayaan Islam menjelang.

Emak kata rantai aku tebal. Tak perlu loket lagi. Biarlah Ayuni yang pakai. Tapi rantai itu juga Mira punya, mak! Menjerit dalam hati.

Aku naik rajuk. Aku bawa diri ke ruang tamu. Melarikan diri dari emak di bilik. Betapa hati ini sangat hiba. Cemburu dengan kehadiran Ayuni yang masih kecil. Menganggap kasih sayang emak telah beralih padanya. Lain. Benar-benar lain rasa ini dengan kehadiran adik-adik lelaki yang datang dahulu. Mereka tak rampas loket aku!

Masa berlalu. Emak menyerahkan satu kotak plastik lutsinar dilapik kapas putih di dasarnya. Hari itu hari lahir aku. Dan emak telah menghadiahkan loket emas padat berbentuk hati padaku...

Loket itu tidak sama dengan loket yang pernah menjadi kepunyaanku dulu. Permukaan sisinya yang tebal dilarik dengan jaluran halus. Corak bintang di kedua-dua permukaan diukir berlatarbelakangkan titik-titik halus sentuhan.

Aku tersenyum kelat. Emak masih dengan muka biasanya. Aku bersegera ke bilik. Menutup pintu. Menekup wajah di bantal. Menangis puas-puas. Emak ingat! Sayang emak tetap sama. Sayang emak tak pernah berubah. Sayang emak tak pernah beralih!

Kisah loket. Cuma loket kata kalian. Bagi aku, lebih dari itu.

Sampai bilakah baru keadaan dapat kembali seperti dulu? Bebas daripada suasana terpenjara penyeksa jiwa dan batin? Lepas daripada kebosanan yang terperangkap dalam hati yang tak pernah puas? Merdeka daripada tahanan nurani yang meminta, meraung, dan merayu minta dilepas kepada yang melahirkan? Sampai bila?

Cuma berharap agar graf kemesraan di rumah ini tidak lagi menurun walaupun tidak meningkat...

Selamat Hari Ibu, mak!

No comments: