Tuesday, July 20, 2004

Khusus buat adik² MRSM Terendak

Assalamualaikum adik² sayang. Apa khabar kalian hari ini? Harap sihat dan ceria seperti semasa kedatangan kakak² dan abang² ANSARA UIA hujung minggu lepas. Akak dah beri alamat jurnal ini, sebab itu akak tahu, adik² pasti singgah :)

Warkah ini untuk adik² semua. Terutama untuk kumpulan 4 bersama akak dan Kak Ayu [bukan wasiat terakhir ya? :) ].

Cuma, akak kami belum berkesempatan meletakkan gambar² kita bersama hari ini seperti yang telah dijanjikan sebab Abang Fird dan Kak Fiza masih belum menghantarkan gambar² tu kepada akak [kerana hanya mereka yang punya kamera digital dan paling cepat boleh diharapkan memberikan gambar² itu].

Sepanjang tak sampai 2 hari bersama adik², akak rasa puas. Sebab akak memang suka bercerita dan membantu kira diperlukan. Cuma, adik² pasti dapat lihat kejanggalan akak sewaktu mengendalikan modul² Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Akak kurang senang dalam aktiviti formal apabila akak seorang yang bercakap dan yang lain hanya mendengar. Dapat lihat bezanya apabila kita makan bersama kan? Banyak pula celotehnya :)

Akak tahu. Memang kelemahan akak. Sebab akak pertama kali memegang kumpulan. Di Batu Pahat dahulu, akak conduct mass bersama Abang Nan, Kak Widya, Kak Jannnah dan Kak Ain [itupun untuk pelajar² Tingkatan 1]. Maaf. Tapi akak akan cuma perbaiki dan jadi yang yang lebih baik.

Kami akan datang lagi jika ada kesempatan. Kerana Kak Ani, kaunselor adik², 'kononnya' [kak Ani memang gemar perkataan ini ya?] dah buat persetujuan supaya kami ke sana 2 kali setahun [!!]. Tapi, jika ada pun, dengan adik² yang lebih muda daripada kalian [ya lah, adik² kan sudah di tahun terakhir di sana?].

Akak harap sangat supaya adik² tak menyimpan dendam atau perasaan tak puas hati kerana kepercayaan adik² dipermainkan dalam LDK3, sewaktu modul 3 nama tersayang. Akak tahu betapa adik² ingin mengulang masa kerana terasa tertipu apabila hanya menuruti kata² fasi untuk merenyuk dan memijak kertas bertulis nama 3 orang yang adik² sayang itu. Akak tahu, ada antara adik² [atau mungkin kebanyakan] yang terlalu lurus dan mudah mempercayai, tidak sesuai untuk aktiviti itu. Adik² akhirnya menyumpah seranah fasi dan menyimpangkan kepercayaan daripada kami.

Sepatutnya, LDK4, pertemuan terakhir kita adalah masanya untuk kami menerangkan kedudukan sebenar aktiviti dan motif kami melakukannya. Memandangkan masa yang kami ada amat suntuk, ada yang meninggalkan adik² dalam pertanyaan.

Maaf, akak belum arif. Akak tak sertai LDK3 kerana terpaksa membuat persiapan untuk demolish malam itu [ada tak yang perasan suara ibu itu suara akak? :) ].

Cuma tujuannya tak lari daripada memberi kesedaran atau mengingatkan kembali adik² akan niat dan tujuan asal adik² dihantar belajar ke sana. Renung kembali wajah ibu bapa, kenang kembali harapan dan hasrat mereka yang inginkan kita berjaya. Gembirakan mereka, adik². Cuma dengan kejayaan, kegemilangan dan kegembiraan kita. Cuma itu.

Akak harap adik² faham. Adik² pun telah banyak menyertai program² motivasi sebelum ini bukan?

Dan kami akan terima pandangan dan pendapat kalian untuk menjadikan program Sireh Pulang ke Gagang lebih berkesan pada masa² akan datang. Terima kasih atas kerjasama yang adik² berikan.

Dan harapan akak, semoga adik² juga suatu hari nanti akan turut menyumbang khidmat memberi sesuatu untuk bangsa Melayu terutamanya. Memartabatkan kembali bangsa yang kian tertindih oleh kemajuan bangsa² lain.

Sertailah ANSARA :)

Ada kesempatan akak masukkan gambar² kita nanti ya?

No comments: