Friday, March 11, 2005

sahabat

Kawan, rakan, teman, sahabat.

Saya kumpulkan kawan dan rakan dalam nama kawan. Teman dan sahabat dalam nama sahabat. 2 kumpulan perkataan yang memberi makna yang sama mengikut kamus, tetapi berbeza dari mata hati.

Kita ada kawan, kita ada sahabat.

Kita tak rapat sangat dengan kawan berbanding sahabat.

Kawan boleh datang dan pergi bila-bila masa saja, kadangkala tanpa kita sedari pun.

Tapi sahabat, kewujudannya di sisi membuatkan kita rasa kewujudan diri sendiri. Dia menghargai kehadiran kita. Dia melibatkan kehadiran kita dalam setiap kerja dan aktiviti. Dia buat kita rasa dihargai, malah berharga, berguna dan ada nilai di mata masyarakat.

Ada yang suka bersendiri, 'lone-ranger' kata orang. Biarlah apa jua yang berlaku di sekeliling, dia ada 'dunia' sendiri. Tak perlu campur dalam aktiviti sosial kerana padanya kejayaan hidup dan kepuasan individu itu lebih utama. Dia beruntung kerana tak perlu fikir banyak, tak perlu pening-pening jaga perasaan orang.

Tapi, dia sunyi. Kerana ada satu fitrah dalam dirinya yang tak dipenuhi.

Bila bersahabat, diri tak pernah risau, kerana kita sentiasa ada dia. Kita tahu dia akan di sisi kita setiap kali kita memerlukan.

Pergi kelas lewat pun ada yang lewat sama. Pula tu, jalan berlenggang kangkung lagi, sempat bergelak tawa. Tapi bila seorang diri, mulalah kelam kabut, rasa tak cukup kaki nak berlari. Malah ada yang terasa nak ponteng kelas saja.

Ke apa-apa acara, sentiasa bersama. Buat kita rasa selamat kerana dia ada. Dia penuhi diari hidup kita. Dia tahu apa yang kita buat, apa yang berlaku pada kita, apa yang kita rasa. Dia... tak perlu dicerita panjang, kerana dia faham walau hanya melalui maksud pandangan mata.

Bila sedih, kita tak perlu sorok-sorok, pendam sampai hati bengkak-bengkak. Kaki akan melangkah cari dia, walau di mana dia berada. Kita menangis di hadapannya, kemudian ketawa semula. Kita boleh gelak-gelak dan makan-makan seperti biasa, kerana kita tahu, dia tahu. Tak ada apa yang perlu dirisaukan.

Bila dia sedih, kita jadi bingung, jadi sedih sama, tak mampu nak ceria. Bila dia dimarah orang, terasa nak marah semula orang yang marah dia. Sampai hati dia buat orang yang kita sayang sedih-sedih... Bila dia gembira, kita dapat kongsi gembira itu, turut syukur bersamanya.

Dialah sahabat itu. Yang kita mampu berbicara hati ke hati bersamanya. Yang akan bersama kita tiap ketika, susah atau senang. Yang sedar bila hati ini menangis...

Wujud pergantungan pada sahabat.

Terasa susah menjalani hidup tanpa mengharap bantuan darinya. Terasa jerih menjalani aktiviti tanpa kehadirannya. Terasa sentiasa ingin bersama kerana jadi sunyi tanpanya. Jadi rindu...

Tapi, keikhlasan ini diuji bila kita dah jumpa sahabat baru. Adakah kita akan masih ingat sahabat semalam?

Mak pernah kata, [sahabat dalam sebutan kawan] "Kawan boleh bertukar-tukar. Tak semestinya kawan di sekolah lama tu akan tetap jadi kawan bila di tempat baru. Buat apa nak korbankan peluang yang lebih bagus sebab bimbang tak ada kawan di sana? Sebab asyik nak bersama kawan di sekolah lama?"

Begitulah aku. Mak faham. Dia tahu aku ni susah nak ubah tradisi, ubah kebiasaan yang hampir bertukar tabiat. Susah nak tinggalkan yang lama untuk suatu yang baru. Konservatif kata Along. Itulah sifat anak sulung.

[Dengan kata lain, aku ni setia orangnya ;p ]

Hidup kita punya jalan sendiri. Dan jalan itu punya lorongan yang mengisahkan sesuatu. Tak selamanya kita mampu mengkhabarkan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang perjalanan pada sahabat yang serupa.

Kerana tu, setiap sahabat itu penting. Kerana pada kita, mereka masing-masing punya nilai sentimental tersendiri.

Bilamana kita bersendiri dan rasa sunyi, bilamana tiada kawan-kawan terdekat yang mampu menjadi teman bicara, bilamana hanya yang kenal kita dahulu yang mampu memahami, kita akan berpaling melihat sejarah. Mencari sahabat semalam yang hilang dari pandangan. Rasa rindu kembang mekar di hati. Seperti ingin bertemu waktu itu juga.

Bila kita mampu menjengah pengertian sebenar persahabatan, bila keihklasan menghiasi pelupuk genggaman paduan dua hati, tiada lain yang diinginkan selain bersama dia. Lantas kecil hati [yang kecil-kecil, kerana namanya pun kecil], mudah diendahkankan dan sepatutnya pun diendahkan. Dia akan kita terima seadanya. Baik buruknya, itulah sahabat kita.

Tidak sempurna iman jika tidak mengasihi sahabat seperti mengasihi diri sendiri.

No comments: