Bahagia seluruh semesta
Bermula dari keluarga
Dari titisan susu ibu tercinta
Mengalirlah sungai kasih abadi
Tumbuh dari keringat ayah
Kita kerah pengorbanannya yang melimpah
Derai air matanya mengalir
Di darah kita membina cita-cita
Rentaslah seribu lautan
Kembaralah ke seluruh alam
Takkan kau temui
Semurni cinta, semurni cinta
Keluarga
Langkah remajamu ditusuk sembilu
Kembara dewasamu diamuk nafsu
Ingatlah pesan ibu
Dengarlah pesan ayah
Kembalilah ke jalan ALLAH
Sayangi keluarga
Di situlah bahagia...
Keluarga Bahagia
Nowseeheart
Berjalan, Melihat, Mentafsir
Tiada ibu yang tidak sayang akan anak. Tiada ayah yang tidak bimbang akan anak. Namun, cara mereka mengekspresi itu yang bergantung pada pendekatan mereka masing-masing.
Kita ada ramai rakan taulan. Kita bandingkan ibu bapa kita dengan ibu bapa mereka. Kita bangga kerana kita berkelebihan dalam kasih sayang mereka [yang kadangkala, kita namakan dengan kebendaan].
Tapi adakala, kita rasa kurang dalam sesuatu apabila hasrat tak dipenuhi, sedang rakan-rakan lain berpeluang mendapatkannya. Mulalah rasa tak puas hati.
Orang kata, nak lihat bagaimana seorang ibu itu, lihat pada anak perempuannya.
Bila kita jengah bagaimana diri sendiri, tanyalah pada hati [yang kecil, bukan yang besar, yang kadangkala cuma berkata-kata mengikut suasana sebagai penyedap rasa], layakkah aku minta itu dan ini, diperlaku begitu dan begini kepada ibu sedang kita tahu cara ibu itu hampir sama dengan cara kita.
Aku minta perhatian.
Manatahu mak tak tumpu perhatian pada aku hanya kerana dia tak hubungi aku, sama saja semasa ada atau tidak telefon bimbit itu. Baik saja tak perlu ada! Orang lain, paling kurang 3 hari mesti dapat call dari rumah sekali. Aku? Tunggu nak balik saja baru abah call confirmkan bila, supaya nanti dia boleh ambil aku di terminal.
ALLAH... abah sanggup turun ambil di terminal... sedang orang lain, wang yang diberi kepada mereka itulah yang digunakan untuk uruskan hal sendiri. Mereka banyak wang, tapi mereka kurang kasih ibu bapa.
Kasihkah mak dan abah kepada aku? Mereka tak pernah cakap pun?
Alahai, tengok diri sendirilah. Aku pun payah benar nak ekspresi kasih sayang aku pada orang yang aku sayang, yang aku ambil berat [sebab itu ramai yang kata aku ego]. Aku luahkan rasa kasih bukan dengan kata-kata, tapi dengan perlakuan. Dan saban hari aku pendam saja rasa rindu... [kecuali pada kaum sejenis yang tak perlu tempias rasa malu]
Sebab itu aku cuma perlu yakin bahawa mak dan abah sayangkan aku.
Tapi, banyaknya kehendak aku yang tak tertunai...
Aku minta dibeli basikal mountain sebagai hadiah untuk kecemerlangan dalam UPSR lepas. Aku tak dapat, tapi adik dapat [dan adik hilangkan pula basikal itu]. Aku minta lagi apabila tiba masa aku menonjol dalam PMR pula. Sama saja. Tetap kosong. Untuk SPM, aku teruskan dengan hajat yang sama. Tapi dikata aku tak perlu basikal lagi, cari kereta saja nanti. Aku? Kereta? Tahu, bukan sekarang, bertahun-tahun lagi. Rindunya aku untuk mengayuh basikal...
Aku tahu. Mak dan abah tak mahu didik aku begitu. Untuk meminta balasan apabila selesai melaksana tugas dengan cemerlang. Buat niat berubah. Bukan kerana kepuasan diri sendiri, tetapi mengharap benda lain.
Aku minta komputer. Sangat segera. Semua pun maklum betapa perlunya sebuah komputer dalam jurusan ini. Sekarang aku dah punya satu. Cumanya, ia hasil wang tabungan sendiri. Tambah dengan PTPTN satu semester ini.
Aku tahu. Mak dan abah kurang wang. Nak-nak untuk disalur pada anak sulung mereka ini yang diharap sudah faham segala. Susah dan senang mereka, ada dalam perhatian aku. Aku tahu, aku faham. Dan aku cukup kasihan. Takkan meminta yang bukan-bukan lagi.
Aku bukan materialistik. Bukan mahu semua benda. Aku seorang yang sangat penjimat. Namun demi sahabat-sahabat kesayangan aku, aku rela berkorban sedikit, semampu boleh. Tapi, untuk diri sendiri, aku jatuhkan kepentingan itu, sebab aku rasa aku masih mampu terus hidup walau tanpa penghargaan daripada diri sendiri.
Cuma, kadangkala, ingin sangat rasa untuk dihargai daripada orang lain. Ingin dipenuhi hasrat ini. Kerana yang lain, aku kerap pendam sendiri.
Ingat lagi suatu hari semasa membeli-belah untuk persiapan raya bersama mak dan Cik Yah, kawan baik mak. Aku kecil lagi. Agak-agak semasa masih bersekolah rendah. Mak nak belikan aku satu kain ela baju kurung yang sangat cantik di matanya. Tapi beria aku pilih yang lain. Sekurang-kurangnya memenuhi warna tema kami tahun itu. Balik rumah mak tanya kenapa nak sangat kain yang aku pilih tu. Aku jawab sebab yang ini murah lagi. Mak tanya Cik Yah. Cik Yah kata, adalah dalam sepuluh atau dua puluh sen. Mak senyum, geleng.
Bila diingat-ingat, banyaknya nilai 20sen di mata aku. Sekarang? RM10 tu macam 20sen.
Kehendak aku memang ada [bukan semua] yang tak tertunai. Tapi kebebasan memilih di tangan aku. Mereka latih aku berdikari dan buat keputusan sendiri.
Aku tak dipaksa ke MRSM, itu pilihan aku [walau adalah pengaruh kawan sedikit... banyak!]. Aku tak dipaksa ambil jurusan komputer, itu pilihan aku [kerana aku tak menyerlah langsung dalam bidang lain -- komputer ini belum tahulah, sebab sekolah tak tawarkan elektif ini dahulu]. Aku tak dipaksa ke UIA, itu pilihan aku [sekali lagi, pengaruh abang-abang dan kakak-kakak ANSARA yang ke maktab dalam program Sireh Pulang ke Gagang, yang aku sertai sekarang].
Aku tak dipaksa belajar bersungguh-sungguh, kesungguhan ini pilihan aku, sama ada hendak fokus atau bermalas-malas. Aku tak dipaksa sertai itu dan ini, aktiviti-aktiviti berpersatuan ini pilihan aku, malah mereka tak pernah tahu kegiatan aku di sini, kerana mereka tak pernah menyoal, dan aku tak suka bercerita.
Aku suka [walau kadang-kadang rasa terabai]. Buat aku rasa aku punya kehidupan sendiri. Tapi aku tiada panduan dari mereka. Memang lepas-selepas-lepasnya. Mereka jarang tanya apa-apa. Aku tak punya kakak dan abang sebagai rujukan. Cuma teman-teman yang berkelebihan dalam pengalaman. Selebihnya, aku cari sendiri. Dan, aku... sendiri...
Mak dan abah tak latih kami adik-beradik untuk bermesra dengan mereka. Berbual, cuma apabila ada bendanya, tak pernah dari hati ke hati. Itu yang buat aku rasa kurang. Rasa janggal bila nak mula berbicara soal hati. Mulalah dada sebak semacam. Air mata bergenang dan senanosaat kemudian terus melimpah. Tak dapat teruskan bicara. Masuk bilik, sembam muka ke bantal.
Hasilnya, aku dengan kawan-kawan pun begitu :)
Itu yang orang kata aku ni sensitif benar.
Tak, aku tak sensitif. Cuma belum biasa lagi menjengah sastera hati. Dan biasa nanti, kalah Awanis dalam 'Seteguh Karang' :)
Apa-apapun, bersama Puan Melati dan Encik Ruzaidi adalah didikan terbaik seorang yang bernama Amira pernah dapat. Itu sangat aku hargai.
Aku tak pernah ingin sakitkan hati mereka. Kerana aku tahu, mereka menyayangiku dalam diam [kata hati kecilku]. Seperti aku menyayangi sahabat-sahabat aku dalam diam [tapi aku dah banyak cakap dalam blog ini :) ]
Aku tahu, aku ada guriskan hati mereka. Tapi mereka tak pernah tunjuk atau kata. Maafkan Mira, itu semua dalam jahil.
Jangan pernah merajuk atau kecil hati dengan ibu bapa. Kerana tanpa mereka, kita tak pernah akan ada. Tak pernah berpeluang rasa bahang marah pun. Mereka tetap yang telah bertanggungjawab melahir, membesar dan mendidik. Merekalah yang paling mengenali. Merekalah yang sewajarnya mendapat kasih major kita, bukan orang lain. Mereka yang telah banyak harung segala mehnah dan tribulasi kehidupan. Merekalah guru terbaik, ibu dan bapa terbaik!
Kata Kak Linda, kakak kepada Amy, sahabat aku yang paling best, "Kau belum ada anak lagi. Tunggulah bila dah ada nanti, baru kau faham macam mana pedih rasa bila anak lawan cakap mak!"
Kita cuma ada seorang ibu dan seorang bapa di dunia ini. Hargailah mereka sementara berpeluang...
;)
1 comment:
i like this story
love it's so much.
thank for give me some reason !!
Post a Comment