MENANGIS kerana perasaan sedih yang tidak tertahan di atas kehilangan orang dikasihi seperti kematian seseorang diharuskan dalam Islam.
Hal ini berdasarkan riwayat Anas beliau berkata yang maksudnya: “Kami masuk bersama Nabi Muhammad saw menemui Abu Saif Al-Qain, suami wanita yang menyusui Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim dan menciumnya, selepas itu kami masuk dengan Baginda dan (ketika itu) Ibrahim menghembuskan nafas (terakhir) dengan tenang, lalu mata Rasulullah mula mencucurkan air mata.”
Kemudian Abd Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: “Engkau menangis wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Wahai putera ‘Auf, sesungguhnya air mata itu rahmat (kasih sayang).” Kemudian air mata (Baginda) terus bercucuran lagi, seraya bersabda: “Sesungguhnya mata mencucurkan air mata dan hati pun sedih dan kami hanya mengatakan apa yang diredai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Menangis walaupun diharuskan, namun meratap, menjerit-jerit, menarik rambut, memukul-mukul pipi dan dada atau mengoyak-ngoyak baju dan perlakuan seumpamanya adalah haram. Hal ini dijelaskan Rasulullah bahawa orang sedemikian diancam dengan seksaan berat.
Baginda bersabda bermaksud: “Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-goyak baju dan berteriak-teriak seperti memanggilnya orang jahiliah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi maksudnya: “Wanita yang menangis menjerit-jerit apabila tidak bertaubat akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dengan memakai pakaian (tembaga) daripada percikan api neraka dan baju besi daripada kurap.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud : “Apabila ada seseorang yang meninggal, kemudian ada orang yang menangisinya mengatakan: Waa jabalah! Waa sayyidah! (Duhai pujaanku! Duhai kemuliaanku!) atau sebagainya, nescaya ada dua malaikat yang ditugaskan kepada mayat itu menusuk-nusuk badan mayat itu dengan mengatakan: “Apakah benar engkau adalah gunung? Apakah benar engkau adalah yang mulia?” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Baginda bersabda lagi maksudnya : “Sesungguhnya mayat itu diseksa dengan sebab tangisan (ratapan) ahli keluarga ke atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Berita Harian, Jumaat, 11 Mac 2005
No comments:
Post a Comment