Jadi hobi pula sekarang, jika ada masa senggang, jika pulang ke Haleemah lalu ikut jalan Sport Complex, singgah di barisan pohonan ceri yang makin lebat buahnya.
Terima kasih Dalela, perkenalkan aktiviti 'stretching' ini :)
Semalam, tengah kepala ni berserabut dengan deretan perkara yang perlu diatur untuk dibereskan, aku melangkah melalui jalan itu. Sendiri. Hati tergerak sendiri bila akal kurang memainkan peran.
Dari luar, wah, banyaknya ceri yang merah-merah!
Bila masuk, eh, mana ceri-ceri yang aku nampak tadi?
Keluar semula, oh itu dia!
Masuk semula, dan mula lakukan aktiviti 'menuai'. Sedap! Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang [boleh ubah perkataan kais jadi petik :) ].
Kadangkala, bila kita dah masuk dalam sesebuah organisasi, pertubuhan, kelab atau persatuan, kita tak dapat lihat apa yang orang di luar nampak, seperti yang kita mula-mula nampak sebelum jejak kaki ke dalam.
Seperti aku dapat lihat dan kesan ceri-ceri merah itu dari luar rimbunan pohon dengan mudah berbanding dari dalamnya.
Sebelum kita sertai sesuatu, mesti kita semak dulu pasal organisasi tu kan?
Apa tujuan ditubuhkan, untuk siapa, visi dan misi. Kita banding dengan pertubuhan lain yang punya matlamat yang sama atau lebih kurang sama. Kita buat senarai semak, kenapa yang ini lebih baik daripada yang itu?
Kita kutuk dan kita puji.
Kita buat kritikan dan beri ulasan.
Kita ikut gerak hati dan naluri.
Kita guna sepenuhnya logik akal dan kemanusiaan.
Kita bebas berfikir dan bersuara.
Contohnya, nak sertai kelab peminat MAWI atau FELIX? Kenapa MAWI tak FELIX? Kenapa FELIX tak MAWI? Apa lebihnya MAWI, apa kurangnya FELIX?
Apa yang dibimbangkan, bila kita dah sertai kelab peminat MAWI, kita jadi angguk-angguk geleng-geleng saja dengan apa yang dilakukan. Setiap perbuatan dipandang dan disebut baik, sedang sebenarnya memang dia dah buat silap.
Kita kehilangan diri sendiri.
Kononnya nak akui, tapi, "Alah, semua manusia pun pernah buat silap, tapi alah, MAWI buat gimik je tu. Alah, dia kan gila-gila sikit..." Alah, alah, alah...
Harapnya, kita masih dapat melihat dari luar walaupun kita dah di dalam.
Seperti aku yang masih boleh keluar menjenguk mencari buah ceri yang sudah masak sebelum masuk semula menyudahkan 'kerja'.
No comments:
Post a Comment