Tuesday, July 12, 2005

pemimpin

Sempat aku rangka entri baru ni sementara tunggu masa appointment dengan Pakdi di ofis SRC tadi. Terima kasih Pakdi, luang masa walaupun nampaknya tengah sibuk amat. [Pakdi, saya tak bazir masa la ;p ]

Borak sebentar dengan abang Shakur, program manager CONVEST '05 [merangkap 'bos besar' saya]. Abang Zarifi pun ada sama.

Setiap kali jejak dalam ofis SRC, biar untuk kali yang ke berapa pun, terasa aura orang-orang penting universiti ni. Membuatkan saya pun rasa macam naik taraf juga.

Kagumnya saya pada kalian. Umur kita lebih kurang [lebih kepada lebih ;p ], tapi kalian dapat capai sesuatu yang perkara asasnya pun saya belum kukuh lagi. KEPIMPINAN.

Pakdi kata "Tak semestinya orang macam Pakdi yang boleh jadi pemimpin, Mira pun boleh juga." Agaknyalah. Dalam 20 tahun lagi :)

[Pemimpin di sini merujuk pada ketua satu komuniti, jika kalian mula berfikir akan pemimpin pada diri sendiri]

Bila abang Shakur berseloroh dengan Pakdi nak angkat jawatan aku dalam CONVEST depan, aku senyum dan geleng kepala saja. Kenapa? Kenapa aku macam tu? Bilalah nak mula belajar untuk percaya dan yakin akan kebolehan diri?

Teringat pada Hazira, junior ICT aku. Umurnya muda setahun. Tapi boleh pegang jawatan Assistant Director Ta'aruf serentak dengan Secretary CONVEST. Pergh!!!

Kata-kata tu datang lagi: KALAU MEREKA BOLEH, KENAPA AKU TIDAK?

Apa yang mereka ada yang aku tak ada? Aku tak boleh ada perkara yang sama ke?

Boleh, cuma perlu lebih latihan dan minat saja. Bila ada latihan, tak boleh malas-malas. Bila ada minat, semuanya boleh dihadapi.

Kalau tak ada minat macam mana?

Jawapan standard: Minat boleh dipupuk.

Yalah, tapi macam mana?!

Salah satunya bila kita tahu betapa pentingnya untuk belajar menjadi pemimpin.

Apa pentingnya jadi pemimpin?

Okey, kalian nak sentiasa berada di bawah telunjuk kuasa terbesar dunia sekarang, Amerika Syarikat? Lebih malang lagi, yang kejam seperti Israel?

Kalaupun kalian tak mahu jadi pemimpin, tak semestinya para pencuri, perogol bersiri atau pemakan rasuah tak mahu. Kalau kalian tak buat, mereka akan buat.

Tapi, kalau semua nak jadi pemimpin, siapa pula yang perlu dipimpin?

Apa akan kalian jawab bila diajukan jenis soalan yang sama dalam konsep peniagaan? Bila ada yang pasif bertanya: Kalau semua orang buat bisnes, siapa yang nak membeli?

Pernah tak tengok orang yang buka kedai runcit jual kereta sekali dalam satu kedai?

Setiap pemimpin yang dilantik ada kelebihan sendiri masing-masing. Ambil saja contoh 4 khalifah pada zaman nabi dulu: Aku Bakar, Uthman, Umar, dan Ali. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Mereka tidak sesempurna Nabi, tetapi mereka cuba menjadi pemimpin yang terbaik.

Kalaupun pemimpin-pemimpin sekarang dah cukup bagus, kita tak akan pernah tahu sampai bila mereka dapat bertahan bukan? Mereka masih perlu pelapis yang dipercayai boleh menggantikan tempat mereka. Kalaupun bukan anda yang jadi pengganti itu, anda boleh perturunkan ilmu kepimpinan pada mereka yang berpotensi.

Selebihnya, biarlah jadi urusan ALLAH saja.

Mulalah berurusan dengan diri sendiri dulu.

"Aku tak minat sebab aku tak reti
Aku tak reti sebab aku tak minat"

Minat takkan selama-lamanya ada, juga takkan selama-lamanya hilang. Pandai atau tidak itu pilihan sendiri. Macam kata Pakdi yang saya sangat suka: "Aku tak pandai melukis sebab datuk aku dulu pun tak pandai melukis. Ada genetik 'bodoh melukis'."

Heh, ada ke?

Teringat lagu Kau Boleh yang kami nyanyi setiap hari Isnin waktu perhimpunan zaman sekolah dulu:

"Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu"


Engkaulah apa kau fikirkan!

No comments: