Wednesday, March 19, 2008

hari lahir muhammad

Pernahkah kalian rasa rindu sangat pada Muhammad, nabi kita? Bila...

Berlaku pergolakan sana sini, penindasan atas umat Islam ditambah dengan pertelingkahan antara sesama Islam sendiri? Apa agaknya tindakan Muhammad?

Dalam negara, banyak kontroversi dalam kepimpinan. Dari pemilihan pemimpin sehinggalah dalam kepimpinan itu sendiri yang penuh dengan unsur-unsur yang sangat bertentangan dengan ajaran Muhammad. Apakah agaknya Muhammad akan buat?

Dalam persekitaran hiburan melampau yang tidak langsung bertujuan mengingatkan kita kepada Muhammad dan perjuangannya menyampaikan kalimah-kalimah Tuhan. Bagaimana hampanya rasa beliau apabila dapat tahu ajarannya tak sampai sepenuhnya kepada kita untuk dipraktikkan dalam amalan seharian?

Dan juga bila kita berhadapan dengan mereka yang ingin mengelirukan kita. Guna akal atau sumber autentik yang tak habis, bermain dengan akidah dan kepercayaan yang dipegang selama ini.

Betapa, jika Muhammad itu ada, saya pasti ada tempat mengadu...

Saya rindu. Sangat rindu. Rindu untuk Islam dapat pembelaan seperti dulu. Rindu pada kasih sayang dan keteguhan hati Muhammad. Wahai kekasih Allah, maafkan kami.. Pengorbananmu tak dapat kami pertahankan...

Pernah satu ketika, sedang Nabi Muhammad berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat, tiba-tiba bergenang air mata beliau. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Muhammad. Bila ditanyakan oleh Abu Bakar, beliau mengatakan bahawa beliau terlalu merindui umatnya di akhir zaman yang disebut–sebut sebagai ikhwannya. Para sahabat merasa iri hati, hinggakan Abu Bakar bertanya, "Bukankah kami ini ikhwanmu?". "Tidak, Abu Bakar, kamu semua adalah sahabat-sahabatku, kata Muhammad. "Ikhwanku itu, adalah mereka yang belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman dan mencintaiku. Aku sangat rindu untuk bertemu mereka."


[Dalam beliau berperang dengan kesakitan sakaratulmaut, masih sempat memikirkan kita, umatnya yang pada masa itu masih belum wujud lagi. "Sakit ya Jibril.. Wahai Jibril, biarlah kesakitan ini kutanggung untuk umat-umatku. Janganlah mereka rasa apa yang aku rasa. Umatku, umatku, umatku..."]

Ya Tuhan, bantulah kami. Kuatkanlah semangat kami untuk mengembalikan permata Islam di tempat yang sewajarnya... Semoga dengan kehadiran hari ulangtahun Muhammad ini, sinar cahaya terang dengan bebintang bergelapan yang menyambut kelahiran beliau dulu kembali menerangi jalan untuk kami teruskan perjuangan. Bantu kami Ya ALLAH...

"Dan bersaksilah, sesungguhnya kami merinduimu..."

[Masih menunggu kompilasi segmen sirah yang kata Ustaz Zamri IKIM.fm nak keluarkan. Dah lama, masih tak dengar cerita. Harap dapat juga satu hari nanti. Bila kita betul-betul menghayati kisah perjalanan hidup Utusan Terakhir...]

No comments: