Tuesday, October 27, 2009

peperiksaan undang-undang kerajaan

Alhamdulillah, syukur, saya dan sahabat² seangkatan yang bertiga; Khairul, Kak Fizah dan Liza, dah selamat menduduki Peperiksaan Undang-Undang Kerajaan di Klana Resort, Seremban pagi tadi.

Dah lama tak menjawab soalan esei. Ada setahun lebih juga jika dikira dari tarikh akhir saya meninggalkan Taman Ilmu dan Budi. Jadi kekok dan serasa tak percaya akan menduduki peperiksaan lagi.

Peperiksaan Undang-Undang Kerajaan ialah salah satu syarat bagi kami gred F ni (bukan fail) untuk disahkan jawatan. Saya tak pasti pula gred apa lagi yang perlu ambil peperiksaan ni, tapi tadi kami nampak Puan Maimunah, CC lama kami yang dah dinaikkan pangkat ambil peperiksaan ini juga.

Bila kena menjawab 10 daripada 14 soalan dalam masa 3 jam, dalam keadaan dah lama tak menulis, apatah lagi berterusan, tulisan memang tak dapat dikawal lagi kemachoannya. Dalam hati asyik terdetik, "Kenapalah mereka tak minta kami taip je jawapan ni~?"

Soalannya tak susah. Sebab open book. Peperiksaan ni lebih kepada menguji keprihatinan kami terhadap kandungan buku setebal 983 muka surat ni.

Settle!

Maknanya, jika pun tak baca semua, kami perlu fasih di mana kedudukan jawapan yang kami perlu cari. Teknik biasa untuk peperiksaan ini: Tagging.

Siapa yang merangkak-rangkak nak cari di mana jawapan bagi satu² soalan, di situlah dia telah membuang masa yang sepatutnya banyak perlu diperuntuk untuk menulis.

Ya, peperiksaan ni jadi ujian latihan tangan juga. Memang lenguh tak ingat.

Di samping yang sebenarnya adalah untuk kami ni buka juga buku Perintah Am dan ambil tahu jugalah, tak banyak, sikit tentang lumrah hidup sebagai kakitangan kerajaan ni.

Bila hilang debarnya? Kata Lan, 3 bulan lagi baru dapat keputusannya.

Bilalah saya boleh nak sah jawatan ni~

Monday, October 26, 2009

jalan dah tak terputus oleh bukit

Alhamdulillah, jalan yang saya perlu lalu untuk pulang ke Kuantan dah dinaiktaraf. Jalan Bukit Putus, Kuala Pilah dah ada alternatif jalan baru yang lurus.

Saya belum berpeluang lalu lagi. Tapi Jalan Bukit Putus tu memang pernah lalu. Semasa pulang ke Kuantan sempena raya lepas. Seorang diri pula tu. Alhamdulillah, tak ada kejadian buruk berlaku.

Bila fikir semula, rasa macam tak percaya hanya selepas sebulan dapat kereta, dah berani (terpaksa memberanikan diri sebab sengaja tak cari tiket bas) pandu selama 5 jam tanpa henti.


View Larger Map
Horror!


Rujuk blog Hazwan untuk komentar selanjutnya dari beliau.

Sunday, October 25, 2009

kembara salasilah

Sabtu, 24 Oktober 2009. Saya berpeluang ikut keluarga Kak Ju hantar pengantin ke Bandar Baru Lukut. Pengantin tu ialah anak kakak Cik Emi, suami Kak Ju. Kira anak saudara Kak Ju lah.

Oh, ya. Kak Ju tu pembantu peribadi (PA) Pengarah tempat saya kerja. Boleh kira orang paling pentinglah :)

Ramai orang di rumah Kak Ju. Semua adik-beradik Cik Emi. Wak Baharom, abang Cik Emi, ketua kampung Bukit Tunggal pun ada. Bukit Tunggal tu sebuah kampung di daerah Segamat, kampung mak saya.

Maknanya, yang ada di rumah Kak Ju itu sekampung dengan mak. Cik Emi pun sebaya dengan mak. Malah sekelas lagi masa di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.

Jika nak cerita kaitan antara kami, berbelit juga. Saya pun tak fasih sangat. Tapi seingatnya, mak cakap:

- Embah Sukarman, adik kepada Embah Tatar
- Embah Tatar tu ayah Cik Emi
- Embah Piah, isteri Embah Sukarman ialah kakak arwah Embah Ipah, isteri Embah Ran
- Embah Ran tu pula adik arwah embah saya..


Saya dah cakap, memang berbelit. Tapi itulah hubungannya.

Tapi bila orang tanya, saya cuma cakap suami Kak Ju tu kawan sekelas mak di kampung dulu.

Kak Lin, biras Kak Ju, Kak Bakyah, adik ipar Kak Ju, dan Kak Ju :) (Ambil gambar curi)

Alhamdulillah, terisi juga hujung minggu saya. Terima kasih Kak Ju!

Sampai sana, tak sangka pula diberi peluang yang saya ambil sebagai penghormatan untuk mengangkat dulang hantaran. Bila dah angkat, saya jadi salah seorang dari keluarga pengantin perempuan. Walaupun hubungannya jauh sangat.

Seingatnya, inilah kali pertama. Seperti samar-samar pernah atau tak angkat dulang hantaran sebelum ni.

Pengantinnya pun saya tak berapa cam di kampung. Yalah, saya balik kampung pun jarang-jarang. Balik pun bukan jumpa semua orang.

Dan sebenarnya, masih ada masalah nak membahasakan diri mereka. Wak? Bibik? Acik? Kakak? Kata Kak Ju, panggil akak-akak je. Sebab jauh sangat hubungannya.

Bila dengar anak Kak Ju, Farah panggil bibik, bibik, terasa nak panggil juga. Dah di Lukut pun rasa macam di Bukit Tunggal. Makan dengan mereka yang cakap Jawa.

Pengantin dengan ibu bapa. Baru kenal Cik Jariah, kakak Cik Emi.

Tapi bila dah jumpa waris-waris begini, terasa nak berkenalan dengan semua. Manatahu, terjumpa lagi di mana-mana, tak kenal pula. Biasalah, dah generasi ke berapa kampung pun.

Paman Jit, Mira masih nak join AJK salasilah ya? :D

Wednesday, October 21, 2009

guna kad kredit

Semalam baru pertama kali gunakan kad kredit Maybank untuk beli benda mahal. Benda mahal tu tak boleh cakap dulu apa. Sebab nak buat kejutan pada salah seorang yang mungkin membaca ni :D

Yang membaca ni pun ada yang dah tahu. Syhhhhh!

(Tak adalah mahal sangat. Had kad tu pun RM4k je)

Kepada sesiapa yang pernah dengar kenyataan saya dulu yang seboleh-boleh tak mau guna kad kredit, saya mengaku, dah macam best pula. Tak perlu tunggu duit cukup untuk dapatkan barang-luar-kemampuan-tunai-dalam-tangan yang perlu.

Tambah lagi dapat poin. Poin tu termasuklah dari penggunaan kad debit Maybank juga. Saya memang dah lama guna kad debit. Barang yang boleh dituntut dengan poin tu pula best-best.

Dalam tak sedar, poin saya dah 800 lebih.

Walaupun pembelian guna kad kredit tu taklah susah mana (sebab semua diuruskan oleh tuan kedai), lama juga nak tunggu dia berurusan dengan pihak bank melalui telefon.

Tuan kedai siap fotostat kad pengenalan dan kad kredit tu.

"Orang bank pun bergayut", kata salah seorang pekerja kedai yang lagaknya macam Saiful Apek. Memang saya gelak habis tengok gelagat dia. Sebijik!

"Eh, saya dengan Apek tu satu kampung tu. Dulu kecik-kecik main guli sama-sama." Katanya bila saya beritahu tentang persamaan mereka.

Ada seorang budak perempuan, pekerja lain kedai tu tengok saya, dia pun nak tergelak sekali.

"Kenapa gelak kak? Saya tak buat apa-apa pun. Nak autograf ke?"

Bayangkan je Saiful Apek cakap. Macam tu la gaya budak ni cakap. Saya gelak memang tak boleh berhenti. Tengok Apek pun saya tak gelak macam tu.

"Kak nak simpan dalam beg atau biar dalam kotak?"

"Letak jelah dalam beg terus"

"Ok, siap"
Dia hulurkan kotak pada saya. Saya dah nak ambil.

"Beg ni saya simpan ye?" Bertuah betul. Dah disandangnya beg tu. Ingat nak beri dua-dua, beg dan kotak sekali.

Berbalik pada cerita kad kredit tadi. Lepas tuan kedai dengan pihak bank berurusan, tuan kedai serahkan pula telefon pada saya.

"Untuk pengesahan, boleh saya dapatkan no telefon cik?"
"No kad pengenalan?"
"Tarikh lahir?"
"Nama ibu?"


Kononnya sebagai langkah-langkah keselamatan, betul tak saya sebagai pemegang kad yang nak buat pembelian.

Kalau setakat soalan-soalan biasa macam tu, bukan susah orang lain nak tau.

Cuma nak kongsi pengalaman pertama guna kad kredit beli barang. Dan jumpa 'adik' Saiful Apek.

Monday, October 12, 2009

sungai congkak 9-11 oktober

Bila dah lepas daripada komitmen ikatan dengan siapa-siapa, memang lain rasa merdekanya. Terasa sangat bebas berkawan, sangat bebas nak ke mana-mana tanpa perlu berhadapan dengan banyak soalan.

Dan saya memang puas.

Cita-citanya, nak buat semua perkara (yang boleh diterima akal saja) yang belum pernah buat sebelum ni.

Setakat sekarang tak ada lagi. Tapi semalam baru pulang dari program perkhemahan di Sungai Congkak, Hulu Langat.

sungai?


Dejavu. Macam pernah datang, tapi langsung tak dapat recall. Tanya Dalela kot kami pernah pergi dengan geng Haleemah di UIA dulu, dia tak jawab pula.

Khemah saja, tak ada yang menghairankan. Tapi aktiviti ni adalah yang pertama kali lepas.. kalau tak silap.. eh, bila kali terakhir saya berkhemah ek? Boleh tak ingat pula.

Ramai tak percaya yang saya suka kembara alam. Apatah lagi dengan semangat nak buat aktiviti rempuh halangan. Ha, jangan pandang saya sebelah mata ;)

Saya fizikalnya memang lembut. Tapi stamina dan semangat bercabaran tinggi (Cop! Kecuali pertandingan uji masa atau kepantasan. Saya ni jenis tak suka bersaing dan berlumba). Apatah lagi bila dah jumpa geng di sini.

(Haiya, tambah lagi 1 sebab kenapa saya tak boleh berpindah dari sini. Selain sebab aerobik yang saya pernah cakap dulu)

Namun, oleh kerana untuk program ke Sungai Congkak minggu lepas adalah program wajib pelajar semester 1 seramai 80 orang dan saya cuma 'pegawai jemputan', maka aktiviti yang ada taklah mencabar sangat dan tak disediakan untuk kami.

Sekurang-kurangnya saya dah dapat keluar sebentar dari kopompong politeknik. Dan dapat lari dari kesibukan Bagan Pinang terima tetamu-tetamu besar.

Untuk kali pertama dalam beberapa lama, saya telah berjungle tracking selama lebih kurang 3 jam (satu jam setengah pergi, satu jam setengah balik). Dengan henti-hentilah. Tapi berhenti pun tak lama. Setakat lepas lelah dan rehatkan kaki dalam air.

rentas rimbun


Dahla tak bawa air. Pergi dengan sandle pula tu. Jalan jauh tanpa rancang.

(Janganlah kau putus wahai sandle. Karang terpaksa ke ofis pakai kasut tumit yang melecehkan. Oh, saya memang tak pandai feminin-feminin)

Setengah jam berjalan atas jalan tar, setengah jam denai hutan, setengah jam lagi dalam sungai. Buat refleksologi dengan batu-batu dalam tu. Huh!

Kononnya nak cari air terjun. Lepas dah sejam setengah jalan tak jumpa-jumpa, kami balik saja. Tapak kaki dah tak dapat terima lebih banyak refleksologi.

me!


Cuaca pun tak mengizinkan. Kejap-kejap mendung. Abang long risau hujan, air boleh tiba-tiba naik dan tambah deras.

Tak apalah. Pengalaman pertama ni jadi latihan. Baru nak mula. Lepas ni insyaallah, dah kenal pensyarah-pensyarah outdoor, akan sertai lagi. Terima kasih kepada Azizul, Kak Nora, Azi dan Hisham atas penerimaan yang best terhadap 'ahli' baru ni.

azi+me


Tak sabar untuk cabaran seterusnya. Tapi perlu bersiap dengan barang-barang keperluan dulu. Baru nak belajar hidup dalam hutan, sleeping beg pun tak ada. Kasut? Kesianlah kalau kasut aerobik jadi mangsa.

Gambar? Tunggu abang long download dari kamera Sony Ericcson 5 MP touch screennya. (Nada jeles)