Wednesday, December 08, 2010

ke hospital

Pada masa saya menaip entri ini (kira-kira 6.30 petang), saya baru pulang dari hospital. Baru saja jejakkan kaki ke rumah jam 5 petang tadi, terus dapat panggilan daripada pelajar. Nak ke klinik atau hospital katanya. Gatal-gatal. Oh, saya felo on call hari ini.

Awanan mimpi untuk terus rebahkan diri ke tilam setibanya ke rumah, pecah.

Saya demam dan batuk bermula petang semalam. Sebab rindukan seseorang. Kot. (Saja bikin kontroversi yang tak punya)

Perlu juga saya ke hospital.

Tadi sudah berdebat dengan seorang teman. Kata saya, MC itu sangat tak releven. Jika ada kudrat untuk dapatkan MC, adalah juga kudrat untuk ke tempat kerja. Apatah lagi saya yang jarak ke hospital lebih jauh daripada sejengkal ke tempat kerja.

Kata beliau, MC itu beri peluang kita berehat, supaya cepat sembuh.

Saya bermotivasi, "Bukankah dengan berfikiran positif bahawa kita tidak sakit itu lebih mudah untuk sembuh?"

Kemudian, seorang yang berpangkat abang pula tanya kenapa tak dapatkan MC?

Juga, jawab saya, hospital itu lebih jauh daripada tempat kerja. Lagipun, biasanya saya tak makan ubat jika sakit. Biar saja sembuh sendiri.

Panadol dan Breacol tak perlu ke hospital. Di kedai dan farmasi pun ada.

(Saya tak rajin mahu sambung yang Farmasi itu lebih jauh dari hospital. Di pekan sana!)

Sambungnya, tak makan ubat tak apa. Asal banyak minum air dan tidur.

Kemudian, seperti kebiasaannya, beliau sambung topik itu dengan tazkirah-tazkirah berkaitan. Tentang kafarah dosa. Tentang syirik kecil. Saya tak mahu huraikan di sini. Abang itu memang bagus.

Mungkin beliau akan jawab, "Saya tak ada upaya untuk beri tazkirah begini tanpa izin Allah. Ilham itu semua datang dari Allah".

Untung saya punya teman-teman yang mengambil berat begini :)

Jadi, ini pertama kali saya ke hospital ini. Tujuannya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang felo. Tapi juga boleh ambil peluang jalani prosedur dapatkan ubat di hospital ini. Supaya saya dapat rasa apa yang pelajar rasa. Dan tahu menjawab tentangnya jika disoal kelak.

1. Kami diperiksa oleh seorang penolong pegawai perubatan. Lelaki. Saya kira lebih muda daripada saya. Suhu badan saya 38 darjah Celcius.

2. Kami mendaftar pula di kaunter pendaftaran.

"Hospital ini pakai HRMIS atau tidak ya?" tanya saya ingin beramah-ramah. Atau sekadar ingin beritahu bahawa saya pegawai kerajaan yang tak perlu dicaj untuk perkhidmatan hospital kerajaan?

"Kami akan pakai jika pesakit ditahan di wad. Jika sakit biasa-biasa macam ini, daftar biasa saja," jawabnya.

"Alamat di sini di mana ya?

"Politeknik."
Saya jawab ringkas.

"Asrama?"

Oh, saya sangat sukakan soalan ini. Sekali lagilah.

"Asrama?"

Sekali lagi.

"Asrama?"

Ok, cukup. Kembang hati dulu. Niat nak berseloroh dengan soalan biasa dimatikan bila mereka serius saja.

"Tidak, kuarters."

3. Kami dibawa pula berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor Cina. Lelaki. Muda juga.

4. Kami perlu beri slip doktor itu di kaunter farmasi. Ok, patutlah kebanyakan felo akan pulang dulu ke politeknik selepas menghantar pelajar. Prosedurnya sangat panjang.

Dan, kami perlu berjalan sedikit, di luar bilik pemeriksaan untuk ke Farmasi.

Ubat diberi. Ubat demam (panadol) dan batuk itu sudah biasa. Tapi ditambah lagi dengan ubat kumur warna merah. Memang tak pernah guna. Anak tekak saya beradang merah sebab kerap batuk kahak agaknya.

Akhirnya, ubat yang kedua saya peroleh dari hospital kerajaan!

Pertama kali semasa di MRSM. Demam, batuk dan selsema yang agak teruk. Ada kawan sebilik yang mahu pergi sekali. Jadi turut. Di sana terserempak dengan sahabat sekerja mak.

Mak terima laporan dan beritahu saya kembali, "Ni kalau tak duduk MRSM ni tak pandai pergi hospital ambil ubat sendiri."

Sama ada ia kata semangat atau sinis sebab saya tak suka tinggal di asrama. Pada waktu itu. Pertama kali. 'Sakit-rumah'.

Sepanjang prosedur yang panjang itu, saya mesej felo-felo lain jika mereka boleh bertukar waktu bertugas dengan saya malam ini. Saya sangat teringin mahu tidur saja. Saya sudah sangat tak larat. Mata dan badan membahang. Tetapi terasa sejuk.

"Kakak, boleh tak saya nak tukar waktu bertugas saya malam ini dengan waktu bertugas kakak esok? Saya demam.. ingat mahu berehat saja.."

Saya sangka ayat itu sudah cukup buat orang kasihan pada saya. Tapi, tidak. Ada yang di Seremban. Ada yang penat bertugas semalam. Ada pula yang turut MC pada hari itu.

Jadi, saya akan gagahkan juga diri bertugas di pejabat kamsis malam ini. Tuhan, ku pohon dipinjamkan kudratMu~

Jangan tanya saya akan mandi atau tidak. Sangat sejuk, ok~

Thursday, December 02, 2010

garis panduan hiburan dalam islam

GARIS PANDUAN HIBURAN DALAM ISLAM


1. TUJUAN

Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ini disediakan untuk memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain. Garis Panduan ini juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat awam yang menyertai persembahan rancangan hiburan.


2. PENDAHULUAN

2.1. Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

"Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita." (Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

2.2 Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat[1], tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah[2] adalah harus;

b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

c) Pancaragam yang melalaikan[3] hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.


3. KANDUNGAN GARIS PANDUAN

3.1 Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara berikut:

3.1.1 Takrif

3.1.2 Program Hiburan

3.1.3 Persembahan Muzik

3.1.4 Lirik Lagu

3.1.5 Persembahan Artis

3.1.6 Persembahan Tarian

3.1.7 Tanggungjawab Penganjur

3.1.8 Kesimpulan

3.2 Takrif

3.2.1 Hiburan

Maksud hiburan ialah sesuatu (perbuatan, benda dll) untuk menghiburkan (menyenangkan, mententeramkan) hati. (Kamus Dewan).

3.2.2 Nyanyian

Maksud nyanyian ialah gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. (Kamus Dewan).

3.2.3 Muzik

Maksud muzik ialah gubahan bunyi untuk memperoleh keindahan bentuk dan pernyataan perasaan. (Kamus Dewan).

3.2.4 Tarian

Maksud tarian ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik. (Kamus Dewan).


4. GARIS PANDUAN

Garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut;

a) Program Hiburan

i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.

ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.

iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.

iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.

v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.

vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

b) Persembahan Muzik

i. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.

ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.

iii. Tidak melalaikan.

c) Lirik

i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.

ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.

iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.

iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.

v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.

vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.

vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.

viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

d) Persembahan Artis

i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.

ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.

iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

e) Persembahan Tarian

i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.

iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.

iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.

v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

f) Tanggungjawab Penganjur

Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.

5. Kesimpulan

Garis Panduan ini diharap memberikan panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Ia juga dijadikan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamal dan menikmati hiburan berteraskan nilai-nilai akhlak dan syariat Islam.



[1] Sesuatu perbuatan yang haram (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)
[2] Cubaan, gangguan, hasutan dan kekacauan (Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran)
[3] Perkataan dan sebagainya yang tidak mendatangkan hasil serta tidak memberi faedah dan manfaat. (Mausu’ah al-Fiqhiyyah)


Tarikh : 14 January 2009
Editor : PRO JAKIM [Najibah binti Abdul Mutalib]


Sumber: Laman Web Rasmi JAKIM

kronologi muzik dan nyanyian

Sebelum zaman Nabi Muhammad

Nabi Daud dan anaknya, Nabi Sulaiman dikurniakan mukjizat suara yang merdu. Al-Quran ada menceritakan tentang Nabi Daud yang menyanyi memuji Tuhan sambil memetik kecapi. Ketika mendendangkan ayat dari kitab Zabur, manusia dan jin yang sakit jadi sembuh, burung-burung terbang mendekat, angin jadi tenang, semua bertasbih kepada Allah. (al-Quran, Surah Saba' ayat 10)


Semasa zaman Nabi Muhammad

Elemen muzik ada dalam azan dan bacaan Quran. Malah, Nabi Muhammad tidak melarang para sahabat menyanyi dalam sambutan hari raya, keraian jemaah haji dan perkahwinan. Beliau meraikan kebiasaan kaum Ansar, iaitu penduduk asal Madinah yang berhibur melalui seni suara.

Suatu hari, Abu Bakar datang ke rumah Nabi Muhammad. Ketika itu ada 2 orang gadis Ansar yang sedang mendendangkan syair golongan mereka. Abu Bakar kurang senang, tapi Nabi Muhammad membenarkan. Tindakan Nabi Muhammad menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf seni muzik kaum lain selagi tidak bercanggah dengan Islam.


Selepas zaman Nabi Muhammad

Khalifah Abu Bakar kurang berminat dengan seni muzik. Jadi, pada zaman pemerintahan beliau, muzik dan nyanyian diharamkan. Khalifah Umar pula selalu mendengar lagu seniwati zaman Nabi Muhammad. Anak Khalifah Umar iaitu 'Adi, adalah seorang yang aktif dalam bidang muzik.

Pada zaman Khalifah Uthman, politik dan sosial orang Arab telah berubah. Taraf hidup mereka telah meningkat. Ahli muzik juga telah dapat kedudukan yang tinggi dan istimewa.

Pada zaman Khalifah Ali pula, beliau sendiri ialah seorang seniman. Beliau jadi orang pertama yang mengawal kualiti seni dan membenarkan pengajian dalam bidang sains, puisi dan muzik. Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali ini, lahir seniman profesional Islam yang pertama iaitu Tuwais.


Zaman kegemilangan muzik dunia

Selepas zaman empat khalifah, seni muzik terus berkembang. Zaman kegemilangan muzik ialah pada zaman kerajaan Abbasiyyah di Damsyik yang sekarang dikenali dengan Demascus. Pengaruh muzik dan nyanyian sangat besar hinggakan kemahiran dalam bidang seni ini jadi pra syarat diterima bekerja.

Khalifah al-Mahdi telah menjemput ramai penyanyi ke istana untuk menghiburkan beliau. Antaranya Siyath dari Makkah.

Anak murid Siyath, Ibrahim al-Mausili pula dapat tempat semasa pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid iaitu khalifah Abbasiyyah yang paling meminati lagu dan muzik. Ibrahim berketurunan bangsawan Parsi. Beliau hebat bermain gambus dan mempunyai ramai anak murid. Antara anak murid Ibrahim ialah Ishaq yang jadi penghibur istana kepada 4 orang khalifah kerajaan Abbasiyyah.

Disebabkan corak pemerintahan yang beri penekanan dalam bidang muzik, lahirlah ramai pemuzik hebat pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Banyak buku tentang muzik mereka yang dijadikan sukatan pelajaran dan diterjemah ke Bahasa Inggeris.

Antara seniman terhebat ialah al-Syatibi, seorang pemain biola yang terkemuka. Beliau sering menggesek biola pada waktu malam. Dikatakan, ramai gadis yang tak dapat tidur oleh lunaknya gesekan biola beliau.


Al-Farabi, tokoh muzik dunia

Al-Farabi atau nama sebenar beliau, Muhammad ialah salah seorang tokoh muzik Islam terkemuka yang lahir pada zaman kerajaan Abbasiyyah ini juga. Beliau juga digelar dengan nama Abu Nasr.


Al-Farabi


Pernah satu ketika, Sayf al-Dawlah al-Hamdan menjemput al-Farabi ke istana beliau dalam satu majlis perbincangan ilmu bersama dengan para cendikiawan yang lain. Semasa persembahan satu kumpulan pemain muzik terbaik, al-Farabi tunjuk rasa tak minat dan mengkritik mereka. Setelah mengetahui bahawa al-Farabi juga mempunyai pengetahuan dalam bidang muzik, Sayf al-Dawlah meminta beliau bermain alat muzik.

Al-Farabi mengambil 'ud (lute) atau yang kita kenali sekarang sebagai gambus dari beg dan terus memainkannya mengikut sentimen hadirin. Hadirin terbuai dengan emosi. Mereka ketawa, menangis dan terlena. Sayf al-Dawlah kagum dengan kehebatan al-Farabi. Beliau menyukai al-Farabi dan tidak berpisah dengan al-Farabi sehingga akhir hayat.


Gambus, alat muzik yang digunakan oleh al-Farabi


Bangsa Yunani (Greek) merintis seni muzik. Perkataan music itu sendiri berasal daripada bahasa Greek. Orang Islam pinjam perkataan muzik ini pada kurun kelapan hingga kesepuluh Hijrah.

Pythagoras telah buat ringkasan dan perbahasan tentang muzik. Al-Farabi pula sempurnakan ilmu muzik itu dan menjelaskan kekurangan perbahasan muzik Pythagoras.

Al-Farabi telah menulis buku tentang pengajaran dan teori muzik Islam berjudul al-Muziqi al-Kabir yang diterjemah menjadi Grand Book of Music dan beberapa karya lain yang telah diterjemah menjadi Styles in Music dan On the Classification of Rhythm. Buku-buku ini jadi rujukan penting di Eropah dan jadi sumbangan penting dalam penciptaan not-not muzik.

Al-Farabi telah membahaskan tentang estetika dan nilai muzik dalam kedamaian dan keharmonian jiwa, pada masa ahli muzik belum mempelajari dengan mendalam lagi tentang harmoni dalam muzik.

Selain jadi pakar muzik sebagai salah satu cabang ilmu, al-Farabi juga cipta beberapa alat muzik seperti rabab dan qanun.


                 Rabab                           Qanun



Muzik orang Islam pada hari ini

Muzik orang Islam pada hari ini telah banyak terpengaruh dengan muzik bukan Islam terutamanya dari Barat yang tak kenal halal haram. Pengaruh ini menular tanpa ada pihak berkuasa yang mahu kawal.

Pengaruh program realiti dan pembawakan imej dan cara hidup artis Barat diterima bulat-bulat sebagai satu cara hidup moden yang teriktiraf dunia. Siapa yang tahu, maka dialah yang paling mengikut perkembangan semasa. Tidak ketinggalan zaman.

Dunia pada hari ini berada pada zaman hedonisme. Unsur hiburan beri pengaruh dalam kehidupan. Bukan setakat muzik dan nyanyian, malah artis jadi model untuk diteladani.

Muzik dan nyanyian itu mudah mempengaruhi hati disebabkan ia fitrah manusia. Disebabkan muzik dan nyanyian pada hari ini sudah tidak terkawal seperti dahulu, maka kita seolah-olah hidup bersama racun.

Jadi, amat penting bagi kita yang mempunyai kesedaran dan kelebihan ini, mempergunakan segala macam usaha untuk membantu umat Muhammad akhir zaman ini membezakan antara baik dengan buruk. Jadi dan cipta penawar.

Nabi Muhammad tidak memperkenalkan muzik dan hiburan Islam. Tetapi beliau mengawal seni hiburan itu supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Nasyid adalah hiburan nyata selamat orang Islam. Tapi bukanlah bererti selain nasyid itu haram. Sedangkan konotasi nasyid itu berubah-ubah dan berbeza setiap manusia dan bangsa.

Jadi, apa garis pandu muzik dan nyanyian kita?

"Setiap pendengar sebenarnya merupakan orang yang paling mahir dalam menentukan hukum seni muzik. Sekiranya nyanyian tersebut terdapat unsur yang menaikkan syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk menyerjakan ibadah, maka menjadi kewajipan atas setiap pendengar untuk menjauhinya dan menutup pintu fitnah itu demi memelihara dirinya dan agama."
- Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi.


Rujukan utama:
Al-Farabi: Tokoh Seni Muzik
Ke Arah Memperkasakan Islamisasi Seni Muzik Sebagai Satu Alternatif : Satu Pengamatan Awal

Tuesday, November 23, 2010

pasca separuh akhir

Usai persembahan Mirwana pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 25 15 November 2010 yang lepas, seperti dijangka memang banyak respon yang diterima. Menjadi mantan sebuah kumpulan nasyid, gerak-geri Mirwana diperhati oleh banyak pihak.

Mirwana telah buat pembaharuan dalam cara persembahan mereka. Saya juga tak pernah tonton Mirwana yang begitu. Mirwana agresif yang terkawal di atas pentas. Penjenamaan semua Mirwana, kata saudara Yusri Hidayat, pengurus Mirwana.

Seruan tinggalkan semua perkara kala azan berkumandang, bergema di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.


Kredit kepada Ustaz Hafizi untuk gambar ini


Selepas penampilan terkini Mirwana di Muzik-Muzik yang dikira sebagai salah satu platform tertinggi untuk seorang penyanyi, makin banyak pihak yang mempertikai dan mempersoal. Mirwana ini bagaimana sebenarnya? Masih nasyid, atau sudah jadi kumpulan rock?

Sekali lagi, isu yang sama.

Persoalan:

"Jika mereka sekadar menyanyikan lagu-lagu nasyid/ketuhanan/apa-apa yang dalam kategori 'baik-baik' inilah, maka persoalan di atas takkan timbul. Senang sahaja, tak perlu tengok outlandish segala macam. Ungu, Awie, Amy Search, hatta Acha dan Irwanshah kesemua mereka pernah menyanyikan lagu-lagu nasyid/dakwah/ketuhanan. Jelas sekali tiada yang mempertikaikan.

Namun, jika si penyanyi atau kumpulan tersebut men'declare' diri mereka berdakwah melalui hiburan, banyak aspek perlu dilihat."


Jawapan:

"apa beza orang berdakwah dalam medium hiburan dan orang yang menyanyikan lagu dakwah/ketuhanan/nasyid? kerana dari sudut mirwana mana satu pon dikelaskan mirwana pada malam itu tidak menjadi hal." - Hafiz Mirwana


Ini bukan suara rasmi Mirwana. Ini suara saya, seorang Amira Hariyati. Jadi, apa yang diperkatakan tidak boleh digunapakai untuk memberi respon secara langsung kepada Mirwana.

Mirwana sedang bawa satu pendekatan baru dalam menyampaikan 'sepotong ayat'. Perkara baru, memang sukar untuk orang terima.

Kita selalu dengar penyanyi genre lain terbuka hati untuk menyampaikan lagu-lagu ketuhanan, atau sekurang-kurangnya menyanyi bersama penyanyi nasyid. Di negara jiran, Indonesia, perkara ini bukan perkara asing. Lagu ketuhanan boleh disampaikan oleh sesiapa saja, dalam apa jua genre terutama rock, pop rock dan rap.

Tetapi belum pernah kita dengar kumpulan yang dahulunya nasyid, masih dalam kumpulan yang sama, terus menyampaikan mesej-mesej mereka dalam genre lain. Ahli kumpulan nasyid yang keluar dari kumpulan nasyid dan keluar daripada menyampaikan lagu-lagu dakwah banyaklah.

"Baik Faizal Tahir tak payah keluar Mirwana begitu. Sama saja."

Samakah? Anda pernah dengarkah saudara Faizal Tahir dendang lagu ajak solat? Anda pernah nampak Mirwana buka baju?

"Jika mirwana ingin mengikut jejak Faizal Tahir, tidak perlu dia keluar dari mirwana. Kami beramai-ramai menukar haluan." - Hafiz Mirwana


Bagaimana untuk peminat rock dan genre-genre lagu lain mahu rasa yang diri mereka juga boleh jadi sebaik mereka yang minat nasyid sedangkan jiwa mereka tak ke arah itu?

Bagaimana pula untuk meraikan trend penyanyi nasyid yang keluar dari kumpulan mereka sebab tidak serasi dengan kekangan konsep dan nilai kreativiti yang tidak berkembang disebabkan sekatan-sekatan ciptaan manusia ini?

Sedangkan semua manusia fitrahnya pada kebaikan. Yang membezakan di sini ialah kecenderungan terhadap jenis lagu.

Mirwana ingin meraikan minat yang pelbagai itu. Mirwana mahu buka mata semua bahawa jenis lagu yang diminati itu tidak menggambarkan tahap iman seseorang. Mesej kebaikan boleh disampaikan dalam banyak cara.

Masih ada persoalan nasyid vs bukan nasyid?

Jadi, sekali lagi, ini soal penampilan semata-mata. Orang yang tak dapat melihat tak akan berkata apa-apa.

Bagaimana dengan penampilan Mirwana?

Ya, tidak dinafikan, berbeza daripada dahulu.

Dahulu Mirwana pakai penutup kepala, sekarang tidak. Dahulu Mirwana kenakan suit sepasang untuk semua (identiti kumpulan nasyid gamaknya), sekarang sudah seperti orang kebanyakan dan berbeza setiap seorang.

Dahulu Mirwana hanya berjalan-jalan, bergerak sedikit saja di atas pentas, sekarang Mirwana sudah pandai bergerak aktif, agresif mengikut rentak lagu mereka yang rancak. Dan ini yang sebenarnya jadi isu.

Persoalan: Berdosakah Mirwana bersemangat begitu?

Persoalan:

"Dosa dan pahala tentu dah nombor satu. Adat, adab, imej dan ketrampilan semua perlu juga dilihat dan diperhatikan. Islam bukan sekadar dosa dan pahala, Islam meraikan persekitaran. Hidup ini bukan sekadar hitam dan putih, hidup ini berwarna-warni."

"dr segi perubahan muzik mirwana bg aku no hal,cume maybe yg org akan tertanya2 skrg(seperti yg ditanya kpd aku) performance atas pentas masa tu...kalau artis yg terang2 wat maksiat tu hal lain.cth mudahlah...seorg ustaz ngan seorg guru akademik kedua2nya muslim,main bolasepak pakai suar pendek...sape yg org akan 'attack' dulu?"


Jawapan:

"kalo contoh ko yang pakai seluar pendek tuh mmg la jelas dan nyata haramnya. sebagai muslim kita sedia maklum itu tidak boleh. tapi macam kes mirwana nih kitorang tak dedah aurat. kitorang tak buat maksiat di atas pentas tuh. maksud aku sebagai pelaku, perbuatan apa yang menyalahi syarak?" - Hafiz Mirwana


Pelbagai pendapat, banyak cakap-cakap. Setiap perkara luar kebiasaan jadi pertikaian. Akhirnya, ia sama seperti kisah Luqman al-Hakim bersama anaknya dan seekor keldai. Terima kasih kepada saudara Ikram Mirwana timbulkan analogi ini. Ia sangat releven.

Luqman al-Hakim menunggang keldai ke pasar sambil anaknya mengekori dari belakang. Mereka yang di pasar mengutuk Luqman yang membiarkan anaknya berjalan kaki. Lantas Luqman meletakkan anaknya di atas keldai dan beliau pula yang berjalan kaki. Mereka bersuara lagi mengatakan anaknya tidak berhati perut membiarkan Luqman berjalan sedang dia enak menunggang keldai.

Kemudian, kedua-dua Luqman al-Hakim dan anaknya menunggangi keldai itu. Lagi orang di pasar bersuara, mengatakan mereka kejam membebani keldai yang ditunggangi. Akhirnya Luqman dan anak beliau turun dan berjalan kaki bersama-sama sang keldai. Masih, mereka bercakap-cakap tentang kurangnya akal Luqman dan anaknya tidak menunggani keldai yang ada.

Pengajaran yang sempurna, Luqman berpesan pada anaknya: "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

(Sumber)

Manusia boleh dan akan terus mengkritik. Namun sampai bila kita perlu pening kepala, susahkan hati dengar cakap-cakap manusia? Sedangkan kita tahu apa yang kita buat itu tidak bercanggah dengan apa yang Tuhan gariskan?

"ini soal persepsi... persepsi/ tanggapan nih dah jadik penyakit... semua orang suka hidup dengan persepsi... buang fakta buang hukum buang bukti buang hujah... hanya persepsi... hidup dengan persepsi... tanggapan tak habis-habis..." - Hafiz Mirwana


Iya, pada akhirnya, selagi belum ada dalil terbukti Mirwana salah dan berdosa, saya anggap ia sebagai pertentangan budaya dan adat Melayu Malaysia saja. Boleh rujuk pada artikel ini.

Apa yang penting, kita sokong semua yang bergerak atas landasan yang sama. Orang Islam yang ingin memartabatkan Islam dan menyebarkan walau sepotong ayat.

Tidakkah canggung lagaknya apabila kita cuba melemahkan semangat mereka yang seangkatan dengan kita? Selayaknya, kita dan mereka berjuang bersama. Dalam cara tersendiri yang telah ditentukan Tuhan. Mengikut minat masing-masing.

Setidak-tidaknya, mereka telah lakukan sesuatu. Dan berani melakukan perkara itu. Maksud saya, siapa yang sanggup bersemangat menyampaikan mesej untuk meninggalkan semua urusan dunia untuk menyembah Tuhan, sedangkan amat besar kemurkaan Tuhan pada mereka yang berkata tapi tak buat? (Surah As-Saf, ayat 3)

Saya amat kagum dengan bait lirik Seruan Lima Waktu yang amat berani:

Terdengar suara azan
Tinggalkan semua urusan
Ayuh-ayuh mari teman
Laksanakan perintah Tuhan
Namun kau katakan nanti
Nanti sekejap lagi
Kau sering katakan tunggu atau pergi dahulu


Secara peribadi, Mirwana jadi check and balance saya dalam kehidupan. Saya sebagai salah seorang yang mendukung perjuangan Mirwana juga perlu hayati setiap yang ingin mereka sampaikan. Jika tidak, semua tak akan bermakna.

Jadi bagaimana?

Mari, ayuh kita berlapang dada raikan kepelbagaian dan warna-warni kehidupan, dalam pendakian capai cinta Tuhan. Itu yang paling penting di sebalik semua kekalutan dan kekecohan.

Monday, November 15, 2010

MIRWANA @ separuh akhir muzik-muzik 25

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera semua!

Jadi.. esok adalah harinya. Separuh Akhir Muzik-Muzik 25. Hari penentu, sama ada Tika Masanya dan Manifestasi Cinta layak ke Anugerah Juara Lagu atau tidak.

Esok bakal catat sejarah. Buat pertama kali lagu berunsur dakwah dapat sama berentap dengan 11 lagu yang lain pada pusingan kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 25.

Menang atau kalah, adat bertanding. Apa yang penting, mesej "Hayya ala assolah, hayya ala alfalah" dan "tidak kecewa dengan cinta manusia apabila cinta Allah ada bersama" dapat bergema di seluruh Sri Pentas 2 malam esok.

Bagi yang telah beroleh pas masuk dan akan hadir memberi sokongan semangat kepada MIRWANA, pastikan kalian berada di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam seawal selepas Isyak kerana Tika Masanya akan jadi persembahan pembuka tirai pertandingan esok yang akan bermula pada 9 malam.

[Tika Masanya]

Manakala Fiq dan MIRWANA dengan Manifestasi Cinta akan membuat persembahan pada giliran ke 11.

[Manifestasi Cinta]

Bagi yang tidak dapat hadir, kalian boleh tonton di televisyen yang akan bermula pada jam 10. Siaran di televisyen difahamkan akan lewat sejam daripada yang sedang berlangsung.

Sama-samalah kita berdoa supaya usaha dakwah MIRWANA dapat dipermudah dan diterima. Jika kita tidak dapat lakukan seperti mereka, sekurang-kurangnya, berilah sokongan dan doa. Semoga setiap usaha memartabatkan Islam dikira dan dipandang Tuhan.

Ayuh! Kita nantikan esok!

Monday, November 01, 2010

mirwana di mmu

Sabtu 30 Oktober yang lepas, saya berkesempatan ke MMU Melaka untuk hadiri Konsert Nasyid 2010 bertemakan Bumi Akhir Zaman. Artis yang terlibat ialah Mirwana dan Demascus serta penampilan istimewa, Charma.

Semua mereka kenalan, sahabat dan keluarga saya.

Along dan Amy yang diajak sekali, buat kejutan. Amy hadir tanpa disangka. Mereka ialah kariban di UIA yang selalu temani saya ke konsert-konsert nasyid yang diadakan di sana dulu. Mereka sahabat sefikrah. Mereka sahabat setia. Mereka teman tangis dan tawa.

Mula-mula saya canggung untuk ke sana sendiri. Apatah lagi pada malam hari. Nyatanya ada hikmah untuk cekal dan semangat disebalik khuatir. Saya ke sana bukan lagi sekadar minat, tapi lebih pada tanggungjawab atas rasa diperlukan.

Hadir saya memang berbaloi. Banyak kejutan dan kelainan yang dibawa Mirwana ke MMU. Selain ia jadi konsert Mirwana yang paling panjang. 9 lagu semuanya. Puas. Mirwana memang hebat!

Pembuka konsert, Mirwana bawa 2 lagu malar hijau mereka, Aku Tanpa CintaMu dari album pertama dan Seruan 5 Waktu dari album kedua. Saya kira, 2 lagu ini jarang dilupakan di mana-mana konsert Mirwana pun. Tetap merdu di auditori.

Kemudian, Mirwana bawa 2 lagu yang layak ke separuh akhir Muzik-Muzik 25 yang akan bermula pada Isnin minggu hadapan. Tika Masanya dibawa versi akustik yang saya kira lebih enak dan tenang didengar. Kelainan rentak oleh abang Naim dan abang Hafiz memang menjadi.

Juga lagu Fiq, Manifestasi Cinta dibawa dengan versi Mirwana sendiri. Tak ada yang canggung. Oh, sudah lama saya nantikan Manifestasi Cinta versi Mirwana ini. Sejak kata mereka, mahu bawakan di konsert nasyid di KUIS yang tak jadi tempohari.

Lagu Jauh yang sebelum ini beberapa kali menjuarai carta IKIM.fm juga dibawa versi akustik. Lagu Jauh ini sebenarnya berangkaian dengan lagu Andaiku Pergi (tak dipersembahkan di konsert ini). Sebab ia telah disebar ke seluruh alam beberapa tahun sebelum album Bumi Akhir Usia diterbitkan.

Dalam pada artis lain takut-takut karya mereka tersebar sebelum masa kerana khuatirkan plagiat, Mirwana dengan senang hati mempergunakan 2 lagu ini sebagai promosi awal. Mirwana memang pemurah :)

Mirwana juga bawa sebuah lagu baru mereka, Esok Menanti. Beberapa kali didengar, lagu ini tetap bisa mengalirkan air mata. Bait liriknya menyentuh terus ke hati. Ya, masih ada perubahan daripada demo terakhir yang saya dengar, solo dari abang Akmal. Seperti 'Muda' ditukar 'Cinta'.

Saya kira, lagu ini akan terus berevolusi dalam mencari nada dan irama yang paling kena pada Mirwana, sebelum dikeluarkan hasil akhirnya. Lagu ini mungkin akan dimuatkan dalam album Mirwana selepas ini.

2 lagu yang sesuai dengan tema konsert pada malam itu, akhirnya dipersembah kepada umum. Bumi Akhir Usia dan Bukti Cinta.

Dengan penampilan istimewa DJ Erwan Johari (yang akhirnya bersedia dengan sesi rap beliau), dan Edry Demascus yang terkenal dengan kehebatan rap beliau, lagu ini jadi sangat bersemangat. Edry siap tambah lirik pada lagu Bumi Akhir Usia yang tak ada pada versi asal lagu. Hebat, hebat~

DJ Erwan (yang juga serasi dengan panggilan ustaz Erwan) dengan sokongan padu beliau pada Mirwana buat saya terharu dan tambah semangat. Beliau bawa set rakaman untuk rakam konsert itu. Kata beliau, insyaallah, lagu-lagu yang dipersembahkan malam itu akan disiar dalam ruangan 'Nasyid on Stage', IKIM.fm. Terima kasih ustaz! :)

Dan, Konsert Nasyid 2010 ditutup dengan lagu yang jadi iringan lagu Tika Masanya dalam Visi AJL saya, Muhammad the Arrival. Mirwana bawakan lagu itu bersama-sama semua yang membuat persembahan, Demascus, Charma dan DJ Erwan. Waktu itu Visi AJL saya terbayang-bayang.. :)

Ada terperasan sesuatu?

Konsert Nasyid 2010. Ironinya, semua yang membuat persembahan tidak menggelarkan diri mereka penasyid ;)

Akhirnya, semua itu memang bergantung pada individu itu sendiri. Tak ada isu. Tak ada yang benar atau salah. Terpulanglah mana yang lebih selesa di hati kalian. Mirwana itu nasyid atau tidak? Bagi saya, ya, masih ;)

Mirwana, teruskan semangat kalian berkongsi dengan orang ramai! Terus 'muda' dan 'pantas'. Saya bangga dengan kalian. Dan akan terus bersama, sebagai satu keluarga, insyaallah :)


Saya, kak Aznieta, abang Akmal, Ikram, Along, abang Hafiz, abang Naim

P/s 1: Video lagu-lagu yang Mirwana persembahkan pada malam itu boleh ditonton di Youtube.com, channel MiraKimura.

P/s 2: Buat Demascus dan Charma, maaf tak disebut banyak dalam ini. Mungkin perlu cari penulis sendiri :p

Monday, October 25, 2010

lagi lagi nasyid

Bicara tentang nasyid vs bukan nasyid takkan pernah sudah. Saya hampir muak dengan isu yang sama dibangkit berulangkali di mana-mana terutama di Facebook.

Masalahnya, tak ada satu pihak seperti Muzik-muzik untuk lagu-lagu genre lain yang ingin mengklasifikasikan lagu-lagu yang menimbulkan kekeliruan yang ada ini. Siapa yang bertanggungjawab? JAKIM? PIN?

Namun, pengklasifikasian lagu nasyid tidaklah semudah lagu-lagu lain. Sebab nasyid itu melibatkan identiti penyampainya. Lagu sekarang bukan cuma didengar di corong-corong radio. Artis diagungkan sehingga semua tentang mereka ingin diambil tahu.

Perbincangan panjang lebar dengan seorang teman semalam buka mata tentang pandangan umum tentang nasyid dan kriterianya. Siapakah penasyid dan apakah lagu nasyid.

Mirwana sudah terang-terangan mengumumkan mereka sudah bukan artis nasyid. Tapi saya tetap menganggap sedemikian sebab saya mahu rasa yang Mirwana sedang dalam proses memartabatkan nasyid di Malaysia.

Mirwana sedang cipta satu sejarah lagu nasyid apabila tertembus ke carta Muzik-Muzik dan kini lagu mereka, Tika Masanya layak ke separuh akhir Juara Lagu 25. Saya mahu semua pendukung irama yang selama ini dianaktirikan di Malaysia ini berbangga atas kejayaan Mirwana pada hari ini.



Secara asasnya, nasyid adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud lagu. Disebabkan ia perkataan bahasa Arab, tempat asal para nabi, pembawakannya ke tempat-tempat lain menjadi lagu Islami yang berunsur ketuhanan.

Nasyid tak ada definisi. Nasyid cuma ada konotasi. Konotasi nasyid itu berbeza mengikut norma dan budaya sesuatu tempat. Nasyid di Amerika tak sama dengan nasyid di Malaysia. Yang samanya cuma tema yang disampaikan.

Adakah genre lagu itu juga jadi salah satu ciri-ciri nasyid? Atau adakah nasyid itu sendiri jadi satu genre di Malaysia ini?

Secara umumnya, lagu nasyid itu lembut, mendayu dan mendamaikan kerana ia berfungsi mengingati Tuhan. Tapi tak dinafikan ada lagu nasyid yang berbentuk pop dan rap yang rancak untuk menaikkan semangat dan motivasi. UNIC popular dengan rentak sebegitu. Rock bagaimana?

Badar 313 itu lagu rock. Tapi tak ada yang bersuara negatif mengenainya sebab penyanyinya, Mestica itu adalah sebuah kumpulan nasyid. Jadi lagu Badar 313 adalah sebuah lagu nasyid.



Tapi bila Mirwana membawakan lagu rock Tika Masanya, ia tidak jadi nasyid. Ia jadi lagu rock berunsur Islam. Sebab Mirwana bukan kumpulan nasyid.

Jadi, nasyid itu tidak dilihat pada lagunya. Ia dilihat pada penyampainya. Dalam kes ini, Mirwana sendiri yang membuang label nasyid itu daripada diri mereka.

Jika di negara barat, Maher Zain dan Sami Yusuf itu boleh diterima seadanya sebagai seorang penasyid seperti yang kita kenali sekarang. Sebab budaya mereka tak menolak cara pemakaian seorang penasyid yang seperti Mirwana, Demascus dan Firdaus di Malaysia.



Cara pemakaian mengikut tempat inilah yang dikenali dengan pakaian soleh atau pakaian takwa. Pakaian yang mengikut tempat itu boleh menggambarkan kita sebagai orang Islam.

Bagaimana kita mengenali seseorang itu ustaz? Bukankah melalui cara pemakaiannya?

Kenapa perlu pakai pakaian takwa? Bagi seseorang yang mahu dikenali sebagai penyampai risalah atau pendakwah, tentunya pakaian takwa itu menambahkan keyakinan pendengar pada kredibiliti mereka. Bukankah?

Akan berkurangkah takwa sekiranya tidak memakai pakaian takwa? Itu urusan peribadi individu itu. Nilaian takwa hanya pada Tuhan. Hal dosa juga tidak termasuk dalam perbincangan ini, selagi mereka memenuhi syarat menutup aurat.

Bagaimana dengan kumpulan nasyid Nowseeheart yang sejak dari awal pengenalan mereka tidak mengenakan pakaian takwa seperti yang kita perbincangkan ini? Oh, saya tidak tahu setakat mana tekanan yang mereka terima.



Apa yang ada pada pakaian Nowseeheart cumalah beret di kepala. Jadi, adakah sekurang-kurangnya beret, atau topi golf (seperti yang dikenakan Maher Zain) atau kopiah, atau songkok, atau sebarang penutup kepala itu jadi salah satu ciri pengenalan penasyid? Topi dan bandana (key) bagaimana?

Para ustaz yang berceramah agama akan kenakan penutup kepala. Tapi ada sesetengahnya, apabila menyampaian ceramah atau kursus motivasi, mereka membukanya. Adakah pakaian soleh / takwa ini boleh dibuka dan dipakai mengikut kesesuaian waktu dan acara?

Oh, saya keliru dengan pakaian soleh / taqwa budaya Melayu Islam Malaysia ini.

Ironinya, orang Melayu Islam Malaysia yang punya persepsi sendiri mengenai nasyid mengikut norma dan budaya mereka pun menerima baik Maher Zain dan Sami Yusuf, sehingga sambutan yang diberi amat luar biasa.



Kumpulan-kumpulan nasyid asli (mungkinkah perkataan ini yang paling sesuai?) juga berbesar hati menerima, menyambut dan merai, malah berebut-rebut ingin mendekati Maher Zain dalam kunjungan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

Adakah penasyid luar dengan budaya yang berbeza itu dapat diterima, tetapi bukan penasyid dalam negara yang berbudaya sendiri?

Apa-apapun telahan, pendapat saya dan anda tentang nasyid pada hari ini, masih ada pihak yang mahu menganggap kumpulan seperti Mirwana itu sebuah kumpulan nasyid, walau bagaimanapun mereka mengumumkan menggugurkan gelaran itu.

  • Masih ada media yang menggelarkan Mirwana sebuah kumpulan nasyid.
  • Lagu-lagu Mirwana masih diterima baik dalam Carta Nasyid IKIM (ada khabar angin mengatakan IKIM pun mahu menggugurkan nama 'nasyid' itu daripada nama cartanya, menjadi Carta IKIM)
  • Mirwana masih jadi jemputan ke konsert-konsert nasyid. Contoh: Konsert Nasyid 2010
  • Mirwana masih jadi pilihan sebagai artis jemputan parti PAS yang kita maklum agak memilih dalam hiburannya. Contoh: Program Jelajah Generasi Idaman Selangor

Mirwana
sudah jadi fenomena. Ramai artis nasyid yang ingin mengubah penampilan dan pendekatan seperti Mirwana.

Jikalah Mirwana itu bukan artis nasyid dan budaya masih tidak dapat menerima gaya Mirwana sebagai sebuah kumpulan nasyid, tidak mustahil konotasi nasyid bangsa Melayu nanti akan berubah. Atau nasyid di Malaysia akan terkubur.

Jadi? Mahu label perlu garis pandu. Siapa nak buat?

Tuesday, October 12, 2010

ingati diri

Mirwana berjaya ke tahap ini bukan kerana inginkan kemasyhuran. Tetapi mereka ingin kongsikan luahan dalam seni bersama orang ramai. Mereka cuba setiap jalan yang ada untuk menerobos sempadan-sempadan yang terbina atas karya-karya dakwah.

Mirwana tidak perjuangkan genre. Mereka perjuangkan mesej kesejahteraan sejagat yang dibawa dalam lagu-lagu mereka. Sebab itu, mereka tidak takut untuk melakukan sebarang percubaan jenis muzik. Asal saja mereka dapat kongsi minat bersama semua.

Dan sejak belasan tahun lalu, Mirwana tak pernah terus berhenti, walau sebesar mana dugaan dan ujian yang diberi Tuhan.

Atas semangat yang dipertonton, saya terfikir. Itu bidang mereka. Bidang muzik. Bukan bidang saya. Saya cuma berminat membantu. Itupun semangat saya yang suka menyumbang pada sesiapa yang memerlukan. Terutama yang sedang berjuang di jalan Tuhan.

Saya pernah jumpa bidang saya. Saya suka menulis. Saya perlu ingat itulah diri saya. Itulah yang perlu saya perbuat untuk menyumbang dalam usaha menyebarkan ayat-ayat Tuhan dan RasulNya. Terima kasih kepada saudara Firdaus Khairi yang mengingatkan saya tentang sesuatu yang penting yang saya sudah hampir lupa.

(Sekian banyak menaip perkataan Mirwana, mahu menaip mira untuk mirakimura.blogspot.com pun asyik tertaip mirwa...)

Atas sokongan persekitaran pada waktu itu, saya pernah berjaya.

Namun sekarang saya berhenti. Bukan sudah tidak minat, tapi tidak punya semangat, inspirasi dan persekitaran yang sesuai. Saya tak sangka masih ada yang mengharapkan saya terus menulis dan berkarya dalam penulisan. Saya pernah jadi sumber inspirasi mereka.

Saya kurang pasti bagaimana untuk mencari yang hilang itu semula. Perlu sambung belajar di Taman Ilmu dan Budikah? Atau perlu berbahagia dahulu bersama keluarga?

Jika itu yang saya tunggu, saya sebenarnya hanya beralasan dan menunda-nunda masa mencapai kepuasan diri dan saham terbesar untuk kebaikan diri sendiri di sana.

Sedangkan kita semua tak punya cukup masa untuk berselesa-selesa. Kita sudah berada di zon keempat daripada lima zon zaman utusan terakhir, Nabi Muhammad. Dan tak ada lagi zon selepas itu...

Tuhan, berikanlah kami semua kekuatan mengingati hikmah dan memperguna motif penciptaan diri dalam memperjuangkan agamaMu, Ya ALLAH..

Sunday, September 26, 2010

2 makluman MIRWANA

Makluman 1:

Akmal Mirwana telah menghasilkan 2 demo lagu terbaru yang dirancang akan dimuatkan dalam album terbaru MIRWANA. Bila akan dikeluarkan? Tunggu~

Lagu-lagu tersebut boleh didengar di sini:


Roti dan NST:




Esok Menanti:



Selamat mendengar, menghayati dan mengomen! :)


Makluman 2:

Kalian pernah dengar lagu THE CLIMB, nyanyian asal Miley Cyrus versi MIRWANA? Lagu ini telah dirakam oleh MIRWANA atas permintaan pihak Hotfm. Ia telah pun diperdengarkan di stesen radio tersebut.

Persembahan MIRWANA secara langsung membawakan lagu ini:



Kalian juga boleh dapatkan salinan mp3 THE CLIMB versi MIRWANA di sini:

http://www.4shared.com

Istimewa untuk anda semua ;)

Selamat mendengar, menghayati dan mengomen! :D


Itu saja buat kali ini. Sampai lain masa!

Thursday, September 09, 2010

visi AJL

Ada beberapa perkara yang membuatkan saya suka memandu lama sendiri. Antaranya, saya boleh pasang radio kuat-kuat dan menyanyi sampai tak dengar suara sendiri. Mana ada tempat lain yang boleh melalak puas-puas macam tu kan?

Satu lagi, bila bersendiri dan tak ada perkara lain yang boleh dibuat (selain memandu), dengan dendangan lagu, saya akan terfikirkan banyak perkara. Sama ada untuk muhasabah diri atau cipta visi.

Masa tiba di kawasan yang tak dapat isyarat radio, saya pasang album Bumi Akhir Usia.

Dengar saja lagu pertama, Muhammad the Arrival, tiba-tiba rasa.. "Bagusnya, boleh selawat pada Nabi dengan lagu." Lagu rock pula tu. Rancak dan semangat.

Saya tekan butang "repeat". Dalam 18 kali jugalah ulang dengar (dan melalak). Oh, ini mungkin fakta kurang tepat.

Tiba-tiba terbayang lagu ini dimainkan semasa Mirwana naik ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Muhammad. Rasulullah. Muhammad. Habiballah."

Bayangkan bagaimana heningnya keadaan di auditorium (? bergantung pada di mana tempatnya nanti) pada masa itu. Laungan selawat ke atas Nabi Muhammad bergema menaikkan roma.

Manusia paling agung. Dan manusia paling benar. Mewakili seluruh realiti alam. Mengejutkan pendengar dari lamunan hiburan duniawi.

Dan bagi kita yang memang dah selalu dengar Muhammad the Arrival pastinya akan timbul rasa lain. Rasa bangga. Selawat berkumandang, bergema didengari lautan manusia. Dalam auditorium juga di rumah yang sedang menonton. Oh, AJL. Boleh dibilang berapa banyak rumah yang televisyennya tidak dipasang AJL.

Dan. Itu lagu Mirwana. Lagu nasyid. Lagu yang bawa mesej Islam. Mirwana, betapa usaha, susah payahmu telah membawamu ke sini.

Mirwana dan Hujan bawa lagu Tika Masanya. Yang masih belum pernah dengar terlopong. Sudahlah dikejutkan dengan selawat rock. Hujan terlibat sekali dengan lagu artis ini pula tu.

"Hayya ala assolah. Hayya ala alfalah."

Pada malam itu, Mirwana sudah cukup dikenali.

Penyokong-penyokong Mirwana ada dalam auditorium. Dengan sepanduk dan tshirt seragam Mirwana, mereka beri semangat dan motivasi pada Mirwana yang julung-julung kali berdiri di pentas AJL. Penyokong Mirwana ini pasti sangat dihargai.

Mereka tak kisah pun jika tak dapat tempat dalam auditorium. Bukan mudah mahu rebut tiket dengan ribuan penonton dari kalangan selebriti dan penyokong-penyokong dan peminat-peminat selebriti lain itu untuk majlis berprestij dan dinanti ini.

Asal saja dipasang layar untuk tayangan secara langsung AJL kepada mereka yang tidak berpeluang masuk. Dan asal saja Mirwana tahu yang mereka sentiasa ada untuk menyokong Mirwana dan perjuangannya.

Semua sedang tunggu keputusan. Juara lagukah Tika Masanya?

Mirwana kini makin dikenali ramai. Mirwana sedang jadi fenomena. Juga salah satu visi saya dahulu. Fenomena Mirwana. Jadi sebutan dan ikutan.

Dengan visi, kita akan sentiasa mengarah pada mencapainya. Mari, sama-sama kita bantu Mirwana capai visi ini. Undian kalian dalam carta Muzik-Muzik 25 sangat diperlukan.



Tika Masanya. Bertahanlah!

Tiba di destinasi, saya senyum sendiri. Lusa mahu raya, dan saya masih bujang. Tapi saya dapat visi ini. Bukan yang berkenaan Aidilfitri atau pernikahan.

Maka, ini yang akan saya usaha.

Tuesday, August 24, 2010

sentuhan manusia

Sentuhan manusia.

Itu yang selalu saya amalkan setiap kali bertemu dengan sesiapapun, terutamanya yang pertama kali bersua.

Setinggi mana kedudukan, sebesar mana pangkat, sepopular mana di kalangan ramai, seseorang itu masih orang. Masih manusia. Masih insan.

Beliau masih berkeluarga. Beliau tetap ada mesranya. Beliau masih ingin dihargai, didengari dan difahami.

Tetap ada rasa sedih. Tetap ada rasa gembira.

Disebabkan itu mungkin, saya mudah menemukan roh dengan roh (pinjam frasa Pakdin). Saya mudah mengajak seseorang, walau siapapun dia, untuk berbual lama, keluar semua cerita, bagai telah lama berkenalan.

Mungkin ini PR yang baik yang sebenar-benarnya?

Satu saja yang perlu diubah. Beratnya mulut mahu sebarkan salam. Kepada yang kenal atau yang tidak kenal. Sedang para sahabat dulu sanggup bersembunyi sebelum beri salam kepada nabi secara mengejut. (Macam budak-budak main sergah-sergah). Sebab memang payah mau dahului nabi mulakan salam.

Yang kita selalu dengar, "Assalamualaikum! Tak jawab berdosa!". Untuk ganggu anak dara orang.

"Bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW yang mana satu antara amalan dalam Islam itu lebih baik? Jawab Rasulullah, Kamu memberi makan kepada orang yang memerlukannya dan mengucapkan salam terhadap yang kamu kenal dan yang tidak kenal" (Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Layanlah orang lain sebagaimana cara yang kita suka orang lain melayan kita. Dan sebarkan salam sebagai mendoakan kesejahteraan kita semua. Mudah-mudahan hidup ini aman dan diberkati.

puasa di hotel

RM 60 ++ seorang, untuk berbuka puasa di Hotel Quality Jalan Raja Laut.

RM 60 seorang. Makanan pelbagai, tak dinafikan. Makanlah selagi boleh. Jika boleh. Tapi mahu kejarkan solat Maghrib, banyak mana yang kita boleh tala?

RM 60 seorang. Jika saya, boleh guna untuk makan seminggu, bukan dalam bulan puasa.

RM 60 seorang, perlukah? Jika tidak kerana dibayar oleh kerajaan, serasanya takkan berbuka di hotel. Makan sepinggan nasi sudah kenyang, memang rugi.

---

Pertama kali berpengalaman berkursus / berseminar pada bulan Ramadhan. Untungkah dihantar pada bulan puasa jika majlis berbuka puasanya dihibur artis yang mungkin tambah harga pakej?

Kami berpeluang buka puasa setiap hari bersama pelawak terkenal Malaysia, Dee. Pertama kali dapat berjumpa dengan beliau.


Ini bukan gambar yang diambil sendiri. Err.. akan diambilkah?


Harapannya bolehlah bersama dengan mana-mana artis nasyid yang saya dapat tahu kerap juga terima jemputan buat persembahan di majlis-majlis berbuka puasa di hotel-hotel. Tapi bukan rezekilah ini.

Cuma setiap kali selepas azan Maghrib, kami didendangkan dengan lagu-lagu nasyid. Lagu-lagu lama tapi. Kebanyakannya lagu Raihan zaman Iman Mutiara.

Dalam hati, kenapa main lagu lama? Tidakkah mereka kenal artis dan tahu kewujudan lagu nasyid lain selain Raihan? Bukan tidak sesuai, cuma tertanya-tanya. Sebab mereka mainkan lagu yang sama dalam 2 hari saya di sini. Padahal lagu-lagu nasyid amatlah banyak.

(Lagu nasyid hanya untuk berbuka puasa?)

Apa-apapun, saya masih terhibur dan besar hati. Sudah lama tak mendengar lagu nasyid bersama dengan orang ramai, termasuk bukan rakyat Malaysia yang hadir sama ke majlis-majlis berbuka puasa di hotel ini.

---

Disebabkan ini pengalaman pertama berpuasa di hotel, saya hampir lupa cara makan di hotel. Bukan adab guna sudu garfu. Tapi supaya tak ambil nasi dengan kuantiti yang banyak sebab sepatutnya makan buffet perlu cuba semua makanan yang disediakan. Jika nasi sudah penuhi perut, mana lagi nak ditempatkan makanan yang lain?

"Makan lauk banyak tak apa. Jangan nasi yang banyak." Pesan cikgu Suhairi, cikgu senamrobik saya.

Thursday, August 05, 2010

akmal MIRWANA - terima kasih guru



Seronoknya bila salah seorang cikgu sekolah tempat kita kerja ialah seorang artis :)

Wednesday, August 04, 2010

mencari bahagia

Lari.. lari.. lari..

Saya mahu lari daripada ketidakseronokkan hidup. Saya mahu lari dari marah dan garang orang yang buat hati tak tenang. Saya mahu lari dari kehidupan yang kecewa.

Saya mahu lari kepada mereka yang boleh buat saya gembira dan rasa dihargai.

--

2 perjalanan. Agak jauh untuk masa yang singkat cuma. Semuanya kerana bahagia ada di situ.

--

9 Julai 2010. Dari PD jam 7.30 malam. Berhenti makan dan solat di R&R Dengkil. Tiba di Stadium Malawati Shah Alam pada jam 9.30 malam. Mahu hadir ke Nasyid on Stage sempena Karnival Sambutan Ulang Tahun Ke-9 Radio IKIMfm Sempena Konsert Mahabbah Gaza.

Sedang berlangsung forum berkenaan Gaza. Salah seorang ahli panelnya ialah Ust Azman, ketua misi Lifeline for Gaza.

Jam 10.30 malam, Nasyid on Stage bermula. Salah satu kumpulan yang membuat persembahan tentunya MIRWANA. Yang lain As-Saufee, As-Syifaa dan Devotees.

Bila berjumpa Muhammad Devotees,

"Mad! Kenal tak?" Beliau buat muka keliru. "Kak Miralah"

"Oh, Mirawana?" Bagus. Saya suka diingati begitu.

Ingatkan boleh jumpa dengan kenalan yang pernah satu kursus, Shauqi. Tapi katanya beliau ada kursus. Lain kali mungkin.

MIRWANA bawa lagu Seruan Lima Waktu, Tika Masanya dan The Climb, lagu yang asalnya dipopularkan oleh Miley Cyrus. Lagu yang dapat perhatian pihak Hotfm sehingga minta MIRWANA rakamkan The Climb versi MIRWANA, khas untuk mereka.

The Climb versi MIRWANA dah pun ke udara di Hotfm. Pertama kali diperdengarkan di Minijam Hotfm, Kuching, Sarawak pada 3 Julai 2010 yang lalu.

Usai persembahan, kami sempat berkumpul dan bergambar kenangan.





Aktiviti kali ini mempertemukan saya dengan 2 sahabat dari komuniti Telagabiru Fan, saudari Afzan dan Sakinah. Kami dah lama tak bertemu sejak komuniti itu terkubur.

Lain, selain saudara Yasir, saya berkenalan dengan 2 lagi yang selalu bersama MIRWANA; saudara Faiz dan Adi Hariez.

--

31 Julai 2010. Kebetulan, saya berada di Sungai Udang, Melaka, jadi AJK untuk satu program. Masa itu, MIRWANA dijemput untuk mengisi sesi konsert Suarasa yang diadakan di Dataran Bersejarah, Ayer Keroh, Melaka.

Kebetulan juga slot pada malam itu tidak memerlukan saya dan sahabat ini tunggu di program. Jadi, dengan hanya berpandukan GPS, kami menuju ke Dataran Bersejarah. Baru saya tahu, pintu masuknya sama dengan pintu masuk Zoo Melaka.

MIRWANA muncul dua kali. Kali pertama bawa lagu hit mereka dari album pertama, Aku Tanpa CintaMu dan lagu hit dari album ketiga yang tersohor kala ini, Tika Masanya.

Mujur diingatkan oleh saudara Yasir, saya tunggu untuk kemunculan kedua MIRWANA yang membawakan lagu 'pinjaman' yang disukai ramai, The Climb versi MIRWANA.

Aktiviti ini pula pertemukan saya buat pertama kali dengan tuan pengurus MIRWANA, Tuan Yusri Hidayat. Pertama kali jumpa bagai dah lama kenal pula. Pertemuan yang sarat dengan kata motivasi dan nasihat sehingga MIRWANA terpaksa tunggu kami habis bersembang.

Seronok dapat jumpa dengan tuan pengurus :)

Seperti biasa, selepas persembahan, saya tak pulang terus. Perlu berjumpa dengan mereka dulu. Dapatkan restu dari tuan pengurus untuk jadi pengurus kedua (:p) dan tunjuk muka pada MIRWANA.

Rasanya pertama kali mengeteh dengan mereka. Tak berpeluang untuk ke pertemuan mereka bersama peminat yang diadakan beberapa tahun sebelum ini.

"Bukan senang nak cari orang yang nak buat baik ni.." Tuan Yusri Hidayat.

--

MIRWANA. Tak salah saya pilih kumpulan nasyid ini untuk disokong dan diminati.

Perjuangan mereka bendasarkan ukhuwah persahabatan dan ikhlas mahu martabatkan muzik nasyid ke mata pendengar arus perdana industri muzik tanahair.

MIRWANA telah bersama sejak di tingkatan satu lagi. Jika dikira sehingga sekarang, mereka telah jadi MIRWANA 14 tahun lamanya. Setianya mereka, mereka telah bersama sejak di bangku sekolah sehingga telah berumahtangga dan beranak-pinak.

Sejak dari lahirnya album pertama, Hikmah Kembara pada tahun 2004 sehingga yang terkini dengan pelbagai kelainan dalam Bumi Akhir Usia, MIRWANA masih seperti dulu.

Para peminat tak akan rasa jurangnya mereka dengan MIRWANA. Sebab MIRWANA berkarya disebabkan minat dan niat, bukan mahu kejar populariti.

Bagaimana hebatnya cemuhan yang diterima akibat Faizal Tahir, dan bagaimana hebatnya tekanan yang dipikul sebab 'keluar' dari genre nasyid sebenar, mereka sabar, terima seadanya dengan tabah.

Sebab apa yang penting, mereka masih tetap dengan niat perjuangan yang terhadam sejak di tingkatan satu; sebarkan kata kebaikan, motivasi dan dakwah.

Terima kasih MIRWANA!

--

Saya sayang MIRWANA. Dan saya sayang GPS saya ;)

Thursday, July 29, 2010

ku berlari...

Dah lama tak update. Kita mulakan penulisan semula dengan satu lirik lagu yang agak lama dari Firdaus feat Cat Farish dan Akbar, Ku Berlari. Jadi motivasi hari ini :)



Firdaus:
Ku langkahkan kaki ini
Di hangat mentari pagi
Ku syukuri hari ini, aku masih berdiri

Dan aku tinggalkan masa kelabu
Dan lalu mulakan jalannya kerna-Mu

Semangat optimis diri jalan hari dengan pasti
Selama jantung berdetak, selama itupun

Takkan berhenti berlari wujudkan mimpi
Terus berlari agar hidup ini bererti

Terjatuh bangkit aku kembali
Susah payah aku tak peduli
Kerna hidup hanya sekali

Akbar:
Dengarkanlah teman seloka hiburan
Tak perlulah kita asyik nak berlawan
Kita semua kawan tak boleh berlawan
Kalau kita renggang kita ketinggalan

Bebaskan dirimu dari dibelenggu
Teruskan langkahmu ayuh kita maju
Mari bersamaku nyanyi lagu ini
Jangan difikirkan resah yang di hati

Semua itu hanya dimindamu
Tak perlu kau sangsi tak perlu kau ragu
Segala-galanya pastikan berlalu
Mentari kan muncul mendung kan berlalu

Cat Farish:
Suka duka perkara biasa
Kita pasti lalu bezanya pada waktu
Bila berlari kenalah berstrategi
Jangan ikut hati, ikut hati nanti mati
Biarlah terlambat atur jalan cermat
Pelan-pelan kayuh jgn sampai otak penat
Sentiasa bawa diri hati-hati hari-hari beri erti pada diri
Jangan berhenti kejar mimpi senyuman diberi tanpa semua benci menghantui hati
Biarkan saja, takdir semua nyata
Bersyukurlah masih lagi bernyawa

Firdaus:
Dan aku tinggalkan masa kelabu
Takkan berhenti berlari wujudkan mimpi
Terus berlari agar hidup ini bererti

Takkan berhenti
Berlari wujudkan mimpi
Terus berlari
Agar hidup ini bererti

Takkan berhenti berlari wujudkan mimpi…
Berlari..

http://www.marhabandiastro.com

Wednesday, June 02, 2010

sekitar 2 minggu... (sambungan)

VI.

Selepas semua kegembiraan, saya mendapat berita sedih.

Mantan penasihat Ansara Matrik UIA saya dahulu, Tuan Haji Noorazman bin Mohd Samsudin yang lebih kami kenali sebagai Ustaz Azman, adalah ketua Misi Keamanan Lifeline for Gaza (LL4G).

Lantas, beliau berada di atas kapal milik Turki, Mavi Marmara bersama dengan 11 rakyat Malaysia yang lain yang diberitakan telah diserang oleh tentera zionis Isreal ketika berada di perairan antarabangsa, dalam perjalanan menghantar bantuan kepada penduduk Gaza.

Sebab ia sudah melibatkan rakyat Malaysia, sebab ia sudah melampui satu lagi batasan kemanusiaan sejagat dengan menyerang di perairan antarabangsa yang tidak dimiliki mana-mana negara, sebab ia melibatkan seseorang yang saya kenali dan sanjungi, saya jadi berang.

Mereka bukanlah daripada pihak tentera. Jikalah ada senjata tajan yang dibawa (pisau? gunting? garfu?) mungkinlah hanya sebagai pertahanan dalam sebarang kemungkinan yang tidak dapat diagak. Seperti ini.

Zionis Israel menyerang kapal misi dari jauh menggunakan bom, mana mungkin pada waktu itu mereka sudah tahu adanya senjata-senjata tajam seperti yang didakwa? Mereka mendarat atas Mavi Marmara dan kapal-kapal lain dan menyerang penumpangnya seperti mereka menghukum pengganas. Mereka fitnah, katanya sebab penumpang kapal yang cuba menyerang mereka dahulu.

(Siapa pengganas yang sebenarnya? Siapa penceroboh negara dan pencabul hak kemanusiaan dunia? Apa hak mereka untuk fitnah yang sebegitu? Tidak malukah mereka?)

PBB? Ah, ikut sejarah, mana pernah mereka ambil tindakan terhadap kezaliman zionis Israel. Mengutuk dan mengecam saja. Cakap mulut. Tangan tak terangkat.

Demonstrasi telah diadakan di seluruh dunia, termasuk di negara-negara sekutu Israel. Ternyata, rakyat negara sekutu Israel juga tidak merestui dan merelakan perbuatan pemimpin-pemimpin negara mereka.

Mari, bersatulah kita. Kita mungkin tidak seberani mereka yang menjadi sukarelawan penghantar bantuan kepada rakyat Gaza yang terseksa, apatah lagi menjadi mujahid tegar berlawan tentera Israel secara berdepan.

Tetapi kuasa ekonomi ada pada kita sebagai pengguna. Jika kita boikot produk dan perniagaan yang memberi sumbangan ekonomi Israel, sudah tentu mereka akan keputusan bekalan; makanan, ubatan, dan peluru.

Setiap riyal, dirham… yang digunakan untuk membeli produk mereka akan akhirnya menjadi peluru-peluru yang digunakan untuk menembak saudara-saudara dan anak-anak di Palestin. Oleh itu, adalah menjadi kewajiban untuk tidak sekali-kali membantu (musuh Islam) dengan membeli produk mereka. Membeli produk mereka adalah menyokong tirani, penjajahan dan kekejaman.

Sheikh Yusuf al Qaradawi

Jadi, marilah kita ambil tahu produk dan perniagaan yang perlu diboikot dan mulalah untuk tidak membeli barangan-barangan tersebut saat ini!

Lihat sini untuk senarai barangan yang perlu diboikot (klik logo untuk tahu kajian disebaliknya): inminds.com

Dan baca sini untuk tahu relevennya memboikot: haluanpalestin.org.my

sekitar 2 minggu...

I.

Saya dilantik menjadi pereka bentuk grafik buletin jabatan.

II.

Saya dilantik menjadi Setiausaha bagi Minggu Suai Kenal (MSK) pelajar ambilan Jun 2010.

III.

Saya dilantik menjadi salah seorang warden jabatan. Ok, bila saya kata jabatan, jangan bayangkan warden itu JAGA. Cuma tak mahu sebut jabatan itu di sini. Mula bertugas secara rasmi pada 1 Jun 2010.

IV.

Saya terpilih untuk menjadi seorang penulis buku blu print ICT Politeknik Metro. Bertuah mengenali pegawai-pegawai atasan yang terlibat secara langsung dengan perancangan Politeknik Metro.

V.

Saya berpeluang ke Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk menyaksikan persembahan Mirwana dan Hujan dengan lagu 'Tika Masanya'. Persembahan ini adalah untuk rakaman pencalonan baru rancangan Muzik-Muzik 25.

Ya, Mirwana pecah tradisi Muzik-Muzik apabila menjadi satu-satunya kumpulan nasyid (saya masih mahu mengenali mereka sebagaimana yang saya kenal suatu masa dulu) yang berjaya memasuki pencalonan Muzik-Muzik.

Pengacara rakaman itu masih memperkenalkan Mirwana sebagai kumpulan nasyid, walau atas desakan keadaan, Mirwana menyatakan mereka lebih selesa dikenali sebagai kumpulan vokal harmoni yang membawakan lagu-lagu ekperimental.

Yang mana satu pun, saya berbangga dengan Mirwana. Sebab Mirwana berani keluar dari kepompong corak nasyid tradisi untuk lebih mendekati audien dan pendengar yang lebih bersifat global dan universal. Yang penting, niat mereka menyebarkan dakwah dan kebaikan masih sama seperti dahulu. Persembahan dan penampilan mereka masih berlandaskan syariat Islam.

Pertemuan ini adalah yang pertama kali yang dikenali. Banyak kali (mungkin lebih daripada sekali) di UIA dulu, tetapi sebagai peminat biasa yang segan-segan nak tegur artis yang diminati. Tapi untuk kali ini, bermula dalam sebulan sebelum pertemuan, saya terlebih dahulu memperkenalkan diri melalui Facebook dan perkenalan itu disambut baik oleh mereka.

Sehingga sekarang, saya masih berhubungan terus dengan Mirwana, terutamanya saudara Akmal dan saudara Izzat. Masih tak tercapai anggota baru Mirwana, saudara Ikram (yang ada iras Sam Supernatural) sebab beliau tak ada dalam Facebook. Sayangnya :p

Kepada sesiapa yang berhajat menjemput Mirwana untuk sebarang persembahan atau konsert, boleh hubungi saya dan saya akan buat jalan untuk kalian berurusan secara terus dengan Mirwana. Setakat ini saya tak terlibat dalam sebarang penerimaan komisen daripada Mirwana.

Bak kata saya kepada saudara Akmal dahulu, "Motivasi saya menyokong dan membantu Mirwana bukanlah kerana wang ringgit, tetapi hanyalah kerana minat."

Perkembangan terakhir Mirwana: Mereka telah menjayakan proses rakaman untuk klip video 'Tika Masanya' dan dalam proses edit sebelum dilancarkan.

Tuesday, June 01, 2010

Kenapa Perlu Boikot Israel & Sekutunya?

Boikot kepada produk dan perniagaan Israel dan sekutunya adalah merupakan usaha kita sebagai pengguna untuk memilih keperluan yang sentiasa menjurus kepada terhapusnya kekejaman dan kezaliman Israel terhadap bangsa Palestin.

Usaha tersebut harus dilihat sebagai salah satu langkah protes secara aman dan adil, justeru memberi tekanan di peringkat antarabangsa terhadap rejim teroris Israel sepertimana yang pernah dilakukan oleh mesyarakat dunia terhadap rejim aparthied Afrika Selatan dengan jayanya.


Adakah kita memboikot semua kaum Yahudi?

Tidak. Usaha boikot tidak sekali-kali ditujukan kepada agama mahupun etnik tertentu. Boikot hanya ditujukan kepada entiti perniagaan yang secara langsung dan jelas menyokong, terlibat atau membantu penindasan terhadap Palestin.

Kita tidak membezakan antara penyokong Israel – sekiranya sebuah perniagaan yang dimiliki seorang Muslim dengan jelas menyokong kekejaman Israel, ia perlu diboikot sama sepertimana entiti perniagaan yang lain.


Apakah boikot satu tindakan yang adil dan dibenarkan?

Dewan Perniagaan dari seluruh pelusuk dunia, termasuk UNISON, iaitu dewan perniagaan terbesar di United Kingdom dengan keahlian sebanyak 1.4juta mengesyorkan tindakan boikot terhadap semua produk Israel. Pertubuhan Kristian, termasuk Christian Aid, telah bersatu dalam usaha boikot ini, malahan mereka menyeru kepada pemansuhan perjanjian perdagangan Eropah-Israel. Beberapa pertubuhan Yahudi seperti B’Tselem dan Gush Shalom telahpun melancarkan usaha boikot mereka sendiri kepada produk Israel.

Bagi masyarakat Islam, tokoh-tokoh Ulama terkenal dari berbagai latar-belakang menyokong usaha ini dan memberi fatwa yang jelas terhadap tindakan boikot ini. Antaranya, Sheikh Yusuf al Qaradawi berkata:

Setiap riyal, dirham… yang digunakan untuk membeli produk mereka akan akhirnya menjadi peluru-peluru yang digunakan untuk menembak saudara-saudara dan anak-anak di Palestin. Oleh itu, adalah menjadi kewajiban untuk tidak sekali-kali membantu (musuh Islam) dengan membeli produk mereka. Membeli produk mereka adalah menyokong tirani, penjajahan dan kekejaman.



Benarkah perniagaan atau produk tersenarai menyokong Israel? (supaya mereka tidak teriniaya)

Ramai dari kita yang sememangnya ingin turut menyokong usaha boikot Israel, tetapi ragu-ragu dengan maklumat berkenaan syarikat atau produk perniagaan yang tersenarai. Ini merupakan salah satu sikap yang terpuji, lebih-lebih lagi kita sebagai orang Islam seharusnya meneliti setiap maklumat yang diterima sebelum bertindak.

Innovative Minds mengambil inisiatif menjalankan kajian menyeluruh untuk memastikan maklumat yang diberi tidak membawa unsur fitnah dan penginiayaan. Setiap maklumat yang disebarkan disertakan bersama rujukan berkaitan, supaya anda sendiri dapat memastikan fakta tersebut dan memahami bagaimana mereka terlibat menyokong Israel.


Bukankah mana-mana produk juga menjurus kepada Israel?

Benar, dalam situasi umat Islam lemah tidak bermaya, ekonomi dan politik dunia dikuasai oleh mereka yang mempunyai kaitan dengan Israel dan sekutunya. Situasi ini umpama barah yang menyerang dan mencemar saluran darah kita, yang mana ianya boleh sampai ke seluruh badan.

Tapi apakah kita masih ingin mencari alasan, semata-mata kerana kita seperti tidak lagi terdaya melawan barah tersebut? Syarikat perniagaan yang tersenarai adalah merupakan penyokong kuat kepada Israel, yang sentiasa mendapat pujian dan anugerah kepujian atas sokongan mereka. Sekiranya kita berjaya mengurangkan kekuatan ekonomi syarikat tersebut, dan beralih kepada syarikat atau produk alternatif, InsyaALlah mereka akhirkan akan lemah juga.


Perniagaan ini beroperasi di negara Muslim, memberi pekerjaan dan meningkatkan ekonomi. Tidakkah usaha boikot merugikan kita sendiri?

Benar, banyak dari syarikat perniagaan yang tersenarai menjalankan operasi atau perniagaan mereka di negara-negara Islam, justeru mereka memberi pekerjaan kepada masyarakat Islam dan membantu ekonomi negara Islam. Tetapi kita seharusnya belajar dari peristiwa-peristiwa pembangunan ekonomi dunia, di mana keruntuhan sesebuah entiti perniagaan selalunya membuka peluang kepada entiti yang lain. Kita seharusnya mengambil situasi ini sebagai peluang untuk membina ekonomi sendiri, bukan sebagai kehilangan punca ekonomi.

Sebagai contoh, Coca-Cola yang sekian lama mendominasi pasaran Asia Tengah telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 60% akibat boikot. Kemerosotan ini telah membuka peluang kepada produk alternatif milik perniagaan Muslim dari Iran, ZamZam Cola. ZamZam Cola sehinggakan tidak dapat menampung permintaan bagi memenuhi kekosongan pasaran Coca-Cola. Malahan, mereka berjaya menjual sebayak 4milion tin minuman dalam minggu pertama, suatu yang tidak sekali-kali dijangka. Sekarang? ZamZam Cola meluaskan perniagaan dengan membuka kilang-kilang di negara Teluk, sekaligus memberi peluang pekerjaan yang jauh lebih menyeluruh kepada masyarakat. Dan buat pertama kalinya sebuah negara dari Eropah, iaitu Denmark, mula mengimpot ZamZam Cola.

Senario sama berlaku di Mesir pada tahun 2001, di mana penutupan syarikat Sainsbury telah berjaya meningkatkan perniagaan milik tempatan yang tidak mungkin mampu bertahan dengan dominasi pasaran syarikat-syarikat besar dari luar.

Buat kita di Malaysia, apakah salahnya kita meninggalkan ayam goreng McDonald’s dan seterusnya mencuba produk alternatif, contohnya Radix Fried Chicken atau mana-mana restoran Mamak Muslim berdekatan. Tidak rugi kita meninggalkan minuman Coca-Cola dengan memilih alternatif produk tempatan yang diusahakan oleh orang Islam. Apakah salahnya kita beralih daripada mengunjungi Pasaraya Tesco kepada Pasaraya Maidin?

Harus diingat, syarikat-syarikat besar dari luar yang beroperasi di negara-negara Islam tidak membawa manfaat ekonomi kepada kita melainkan eksploitasi terhadap kelemahan kita. Lihatlah bagaimana Delta Galil, sebuah syarikat membuat pakaian yang dipasarkan dengan jenama GAP, Banana Republic, Calvin Klien, BOSS, M&S, DKNY dan berbagai lagi. Syarikat ini membina kilang-kilang di Jordan, Mesir dan juga Palestin. Sikap mereka yang hanya mengeksploitasi pekerja tempatan begitu teruk sekali, sehinggakan Sweatshop Watch (www.sweatshopwatch.org) melabelkan mereka sebagai "Sweatshop Czar." Adakah merugikan kita jika syarikat-syarikat seperti ini mengangkat kaki meninggalkan tanah air kita yang subur dan bertuah ini?


Apakah usaha ini akan berjaya?

Mengapa tidak? Lihat kepada salah satu syarikat yang mengalami kesan teruk akibat boikot – McDonald’s.

McDonald's merupakan "rakan korporat utama" kepada Jewish United Fund (JUF.) JUF menggelarkan diri mereka sebagai “bekerja untuk mengukuh ketenteraan Amerika, sokongan ekonomi dan diplomatik kepada Israel; memerhati dan sekiranya perlu, memberi respon kepada laporan media berkenaan Israel.” Pengerusi dan Ketua Eksekutif McDonald's adalah Jack M Greeberg, yang juga merupakan Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry.

Dalam bulan Oktober 2002, McDonald’s menutup operasi mereka di Asia Tengah kerana kerugian akibat kesan secara langsung daripada usaha boikot. Di Jordan, 2 daripada 6 francais McDonald’s terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Di Mesir, McDonald’s terpaksa menukar jenama mereka kepada Manfoods sebagai usaha untuk mengelirukan pelanggan. Usaha menukar jenama itu tidak berjaya, dan pihak berkuasa Mesir terpaksa diarahkan mengawal pintu-pintu masuk ke restoran McDonald’s akibat tindakan masyarakat yang membaling batu ke arah restoran berkenaan. Sejumlah 175 restoran mungkin ditutup, dengan membawa kerugian sebayak USD350juta.

Sekiranya syarikat gergasi seperti McDonald’s boleh menerima kesan dan tekanan akibat boikot, sudah tentu syarikat-syarikat yang lebih kecil, yang menyokong Israel, akan membuka mata dan berhati-hati dengan usaha boikot ini.

Dalam kes memboikot Amazon.com, perniagaan yang menjual buku dan produk berkaitan melalui internet tersebut telah menghentikan kerjasama mereka dengan Jerusalem Post pada bulan November 2002. Jerusalem Post telah menyumbang sebahagian daripada keuntungan hasil kerjasama dengan Amazon.com kepada tentera Israel yang pulang dari tugasan mereka di daerah Palestin.

Iklan-iklan Amazon.com yang berbunyi “Buy Amazon.com & Support Israel” dipaparkan dalam hampir setiap mukasurat Jerusalem Post. Amazon akhirnya dikatakan memberhentikan kerjasama tersebut akibat desakan pelanggan yang prihatin.

Beberapa syarikat yang sedih dengan apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Palestin, membuat keputusan untuk turut bersama memboikot Israel.

Pada bulan May 2002, Texas Automotive Export, iaitu sebuah syarikat di US yang mengekspot peralatan kereta telah memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan dengan Israel.

Kejayaan dan sambutan boikot memang membimbangkan US dan Israel, sehinggakan US mengancam untuk mengenakan denda terhadap syarikat yang terlibat dengan boikot ini. Jabatan Perdagangan US telah mengenakan lebih dari USD 26milion denda tidak lagi mengeluarkan lesen ekspot kepada syarikat yang terlibat.


Apakah usaha boikot benar-benar akan dapat memberi kesan kepada ekonomi Israel?

Sejak tahun 2002 lagi, ekonomi Israel telah menuju keruntuhan tanpa tanda-tanda pemulihan walaupun begitu banyak dana dasalurkan dari US. Pada bulan Oktober 2002, Sharon memohon USD10bilion sebagai bantuan kecemasan. Inflasi Israel sangat tinggi, sehinggakan angka rasmi mencecah 4 kali ganda sasaran asal rejim zionis tersebut. Cukai dinaikkan, begitu juga kos keperluan asas seperti makanan, perumahan dan minyak.

Israel sering dilanda piket umum sehinggakan semua penerbangan terhenti, siaran radio dan television terputus, pesakit tidak mendapat rawatan dan sampah tidak lagi dikutip.

Pelaburan dari luar kian meruncing. Mengapa? Dari tahun 1999 hingga 2001, pelabur-pelabur kerugian USD5bilion daripada pelaburan mereka berjumlah USD6.5bilion. Jadi, peniaga mana yang bersedia untuk melabur?

Dalam situasi terdesak seperti ini, sudah tentu usaha boikot tidak boleh dipandang remeh. Israel akan mengorek setiap sen untuk diraih – pastikan wang anda tidak sedikit pun sampai kepada mereka!


Sumber: haluanpalestin

Wednesday, April 21, 2010

konvokesyen

Minggu ini minggu konvokesyen di tempat saya bekerja. Kali kedua berpengalaman merasai kemeriahannya di sini. Tapi nampaknya tahun ni lebih meriah.

Lihat saja tempat letak kereta kakitangan yang telah diambil alih oleh pengunjung. Kebanjiran kenderaan terasa macam di tepi pantai pula. Ruang tak cukup.

Tahun ini, setiap jabatan diperuntukkan 1 hari konvokesyen. Hanya ada sidang pagi saja. Sebelah petangnya diadakan raptai. Jadi jumlah hari konvokesyen bertambah.

Baru betul jadi minggu konvokesyen. Berbanding tahun lepas yang cuma 2 hari saja. Tak sempat gerai-gerai yang ada nak panas.

Bila lihat konvokesyen di sini, pastinya teringat Convest (Convocation Fiesta) di UIA. UIA yang telah saya tinggalkan 2 tahun lebih lamanya. Walau dah lama, kenangan-kenangan di UIA, termasuk semasa minggu konvokesyen belum dilupakan.

Apatah lagi sekali berpeluang menyertai komiti Convest dan sekali terlibat dalam Konvokesyen UIA 2008 sebagai graduan.

Kemeriahannya memanglah tak boleh nak dibandingkan dengan di sini. UIA itu universiti. Bilangan pelajarnya ramai. Tapak gerai pun luas. Sehingga boleh letak permainan funfair dalam tu.

Dari legaran bahagian pentadbiran, sehingga ke Bukit Convest (Convest Hill), sama meriahnya. Pentadbiran pada sebelah siang, Convest Hill pada sebelah malam.

Apa yang dijual? Lebih kurang sama saja. Kebanyakannya berkisar wanita. Dari kain pasang, jubah, blaus, tudung hingga ke brooch. Apa yang si lelaki buat dengan wangnya? Belanja si wanita.

Gurau saja. Cuma, memang tak banyak barangan lelaki yang dijual di gerai-gerai Convest. Antara lain yang dijual termasuklah cermin mata, perhiasan telefon, buku, cenderamata UIA, tshirt, makanan dan minuman kesihatan, penitis mata kurangkan rabun, mainan pasir warna warni dengan gambar pelekatnya dan... makanan.

Ini antara program yang ada semasa Convest saya jadi graduan.

Yang paling menarik buat saya pada minggu konvokesyen ialah persembahan pentas pada malam harinya. Selain motivasi kafe-kafe mahallah ditutup sempena konvokesyen yang memaksa semua orang naik ke Convest Hill, persembahan pentas adalah tarikan utama saya ke sana.

Hampir setiap malam akan ada persembahan pentas, sekurang-kurangnya acara kendalian komiti-komiti Convest. Seperti pertandingan taip SMS terpantas dan pertandingan lumba makan terbanyak.

Yang lain saya tak ingat. Yang menarik perhatian cuma persembahan nasyid. Tidak kiralah persembahan artis bawah tanah (underground), atau artis aliran utama (mainstream) (Tapi mestilah lebih tertunggu-tunggu yang kedua tu).

Syurga nasyid. Persembahan nasyid secara percuma mana nak dapat? Tapi yang percuma itulah yang kurang tontonan. Persembahan artis nasyid jadi seperti perkara biasa.

Tapi bukan untuk saya. Saya masih teruja, cuma segan untuk mula bual itu lebih besar daripada keinginan yang ada. Saya ni memang sangat pemalu.

Pentas yang disediakan juga mesra penonton. Bukan apa, jarak antara penonton dengan pentas snagat hampir, tak seperti jika di dewan. Jadi... (malas nak huraikan keterujaan ini lebih-lebih).

Apa yang nyata, saya sangat rindukan persembahan nasyid. Sejak saya keluar dari UIA pada akhir 2007, sekalipun saya tak pernah ke konsert nasyid lagi. Perkara yang jarang sangat saya lepaskan di UIA. Dan sebelum itu di Pusat Matrikulasi UIA. Boleh dikatakan pada setiap konsert pasti ada saya.

Dan sekarang, disebabkan keterujaan itu, saya sedang teralih topik daripada menceritakan tentang majlis konvokesyen ke konsert nasyid.

Ok, apa lagi mengenai konvokesyen?

Tempat terhimpunannya segenap warga universiti. Dari yang tak pernah terlihat muka sebab jarak kulliyyah jauh, kepada yang selalu jumpa sebab satu kulliyyah, mahallah atau selalu lepak di kafe HS, semuanya ada di Convest Hill.

Sesungguhnya, saya amat rindukan wajah-wajah itu. Sungguhpun jika saya berkesempatan untuk sambung belajar di tempat yang, sudah tidak ada lagi wajah yang sama seperti 4 tahun pengalaman di UIA lalu.

Tuesday, April 20, 2010

'keterbukaan terpimpin' - mirwana

Ramai menanyakan soalan mengenai konsep album dan hala tuju Mirwana sebagai sebuah kumpulan vokal harmoni yang dari dulu memperjuangkan irama nasyid. Soalan yang pernah ditanya antara lain adalah seperti berikut, Adakah Mirwana tidak lagi mahu bergelar artis nasyid? Mengapa album ni Mirwana sudah tak pakai kopiah? Apakah yang menyebabkan Mirwana tidak lagi berminat untuk bernasyid dan mula menukar haluan ke arah muzik pop? Adakah genre nasyid sudah tidak laku atau sudah tidak boleh jual? Di manakah pendirian Mirwana bila tidak mahu lagi dilabel nasyid? Mungkinkah Mirwana terpengaruh dengan kejayaan Faizal Tahir yang keluar daripada genre nasyid?

Mirwana ingin menjawab soalan-soalan ini dengan menyatakan bahawa kami mendukung semangat dan slogan 'Keterbukaan Terpimpin'. Sejak dari awal penubuhan Mirwana slogan inilah yang menjadi tunjang kepada Mirwana dalam berkarya. Slogan ini tidak pernah wujud. Cuma akhir-akhir ini Mirwana berasa perlunya satu slogan yang dapat menzahirkan pendirian kami. Ia diharap dapat difahami dan dihayati oleh pendengar, pengkarya, penggiat seni dan masyarakat umum. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan 'Keterbukaan Terpimpin' ini?

Istilah 'Keterbukaan' menurut kamus ialah perihal terbuka hati dan sikap sedia melayani atau menunjukkan minat kepada apa sahaja. (samada unsur, pengaruh, rangsangan, budaya, muzik, genre dan lain-lain). Minat yang dinyatakan dalam istilah ini adalah secara khusus merujuk kepada kecenderungan Mirwana untuk tidak menolak terlebih dahulu, malah dengan secara senang hati menyambut baik setiap bentuk muzik, untuk dikaji dan diperhalusi bagi mencari nilai sesuatu karya. Kami meraikan kepelbagaian dan kelainan yang wujud dalam setiap karya muzik. Dengan keterbukaan inilah Mirwana menghayati serta menghargai beraneka hasil karya muzik dan nyanyian dari pebagai bangsa dan negara, dari timur mahupun barat.

Namun bagi Mirwana dalam proses penghasilan muzik dan lagu, keterbukaan ini tidak akan mendatangkan kebaikan malah bakal mengundang kecelakaan jika ia tidak dikawal. Sikap hanya menerima segala bentuk muzik dan isinya secara semborono dan mencurahkan kembali kepada masyarakat dengan melulu, bakal membawa keburukan kerana muzik yang datang ini tidak hanya mengandungi rentak dan irama malah terkandung juga budaya bahaya yang sarat dengan kebejatan dan kerosakan. Menyedari hakikat ini, satu alat untuk menapis, mengasing atau menyaring perlu ada supaya mana yang dirasakan membawa kebaikan dapat diambil dan dihayati dengan lebih mendalam manakala yang buruk dapat dibuang jauh-jauh. Keperluan ini membawa kepada penghuraian kepada maksud perkataan seterusnya.

Terpimpin merujuk kepada perihal atau keadaaan dibimbing. Pimpinan yang dimaksudkan disini tidak lain dan tidak bukan adalah Al Quran dan Sunnah yang dalam erti kata lain bimbingan Allah dan RasulNya. Kami menyedari muzik dan nyanyian yang halal secara zatnya tidak boleh disalahguna. Ia mesti mempunyai unsur mendidik masyarakat, menggalakan kebaikan dan memerangi kemungkaran. Ia perlu disampaikan dengan cara penuh hikmah dan bijak bersesuaian dengan keadaan, tempat dan masa.

Inilah prinsip perjuangan Mirwana. Kami merasakan persoalan nasyidkah? atau tidak nasyidkah? sebagai persoalan ranting yang tidak perlu ditekankan oleh penasyid. Nasyid dengan apa sahaja istilah yang digunapakai oleh pendengar tidak harus menjadi rungutan yang asyik difikirkan. Pendengar dan masyarakat harus diberi peluang untuk menggunakan kebijaksanan mereka memutuskan persoalan ini.

Dengan prinsip Keterbukaan Terpimpin inilah album 'Bumi Akhir Usia' diterbitkan. Hasrat kami tidak lain hanya mahu berkongsi pengajaran, saling ingat-mengingat dan berpesan-pesan sesama pendengar. Ragam muzik dan nyanyian dalam album ini hanyalah satu usaha kecil Mirwana untuk membawa kelainan di dalam industri muzik tanah air yang sedikit sebanyak diharap dapat menarik golongan baru untuk mendekati kami.



Walaupun Mirwana agak terbuka dalam mencari kelainan sewaktu menghasilkan album, Mirwana sama sekali tidak melupakan prinsip ini. Cuma Mirwana percaya dan yakin hanya dengan sikap terbuka terhadap kepelbagaian, kita dapat menyuntik kesejagatan nilai Islam dalam jamak budaya dan pluralisme masyarakat kita. Mirwana tidak mahu terus tertumpu kepada segolongan kecil kelompok Islam dan meminggirkan yang lain. Mirwana mahu terus berkembang mencakupi kelompok masyarakat yang lebih besar. Perjuangan menyampaikan mesej Islam harus tersebar jauh menembusi sempadan bangsa, budaya dan agama. Biar tembok-tembok perbezaaan ini semakin lama semakin hancur dan rapuh. Agar satu hari nanti yang bersinar cerah adalah nilai Islam itu. Mudah-mudahan, kelainan dan kepelbagaian yang cuba ditonjolkan dalam hasil karya kami tidak disalah ertikan. Semoga, penjelasan yang pendek dan ringkas mengenai 'Keterbukaan Terpimpin' ini dapat sama-sama difahami dan dihayati oleh pendengar, penasyid, pengkarya, penggiat muzik seni hiburan Islam.

Wallahualam.


Mirwana, disampaikan oleh Muhammad Hafiz Tamizi