Tuesday, December 27, 2005

cerita hidup

Bila kita tonton cerita, apa-apa jenis cerita, kita akan perasan satu bentuk ideal yang berlaku.

Semunya jadi mudah atau banyak kebetulan. Hero dan heroin pasti tahu nak buat apa. Jika mencari, pasti ketemu jawapannya. Menjadikan kita melihat dunia ini sebagai lapangan untuk menunggu. Menunggu keajaiban yang akan menyelesaikan semua permasalahan.

Sebab apa?

Tempoh cerita ada hadnya. Setengah jam, satu jam, dua jam, atau sebulan dua untuk yang bersiri. Ending mesti best. Kalau tak orang marah. Kalau filem, pawagam kena bakar.

Kata orang, "Nak dijadikan cerita..."

Tapi hidup ini tak begitu. Setiap yang akan berlaku pada masa hadapan ditentukan oleh setiap apa yang kita lakukan untuk menghadapinya.

Fikir pasal kebarangkalian berlakunya keajaiban seperti berfantasi dalam cerita buat kita jadi malas dan tak nak berusaha; berfikir dan bertindak. Sedangkan, semuanya mengarah pada apa yang akan berlaku selepas itu.

"Alah, semuanya takkan ada apa-apa. Akan baik-baik saja..." Menunggu dan terus menunggu.

Kalau bukan kita yang gerakkan diri sendiri, siapa lagi? Orang lain pun perlu gerakkan diri mereka juga.

Fikir dan buat. Hidup ini satu perjudian. Ada yang mendefinisikannya sebagai puisi. Semuanya tak pasti. Tersirat. Jika tak gerak, selamanya tak jumpa jalan, tak faham maksud.

Pelakon tahu apa yang perlu dilakukan sebab mereka dah ada skrip. Kita pun dah ada, tapi tak pasti apa. Oleh itu, anggaplah sebenarnya kita bertanggungjawab buat skrip dan tentukan jalan cerita hidup sendiri.

Buat yang terbaik, dan pastinya akan dapat pulangan yang terbaik, insyaALLAH...

apa yang aku nak

Pening-pening kepala saya fikir apa yang saya nak untuk diri sendiri. Matlamat, impian, harapan, dan cita-cita.

Setakat ni masih belum jumpa jawapan yang nyata. Jawapan untuk setiap orang bukan saja berbeza, masa untuk mendapatkannya pun lain-lain.

Jadi, saya anggap saja, jawapan itu ada, mungkin belum masanya untuk difikir-fikirkan, sebab ALLAH nak saya habiskan belajar dulu. Pasti DIA tahu sesuatu yang saya tak tahu. Yang saya tahu, saya ni memang cepat keliru bila fikir banyak benda. Adalah hikmahnya... :)

Matlamat, impian, harapan, dan cita-cita. Uish, banyak definisi, luas maksudnya tu! Simpulnya, segala apa yang kita nak. Maksudnya, memang sekarang belum pasti apa yang saya nak. Ada yang kata, Mira ni tak ada perasaan agaknya :)

Ada pula seorang sahabat, Jamal namanya, kata yang saya ni sebenarnya ada apa yang diinginkan, sebab itulah lumrahnya manusia. Tapi sebab ia terlalu banyak ATAU tak yakin untuk memperolehinya, saya kata yang saya tak nak apa-apa. Hmm, mungkin ada benarnya. Terima kasih Jamal!

Jalannya, sekurang-kurangnya untuk saya, TULIS! Dengan menulis, segalanya jadi lebih jelas, walaupun belumlah sejelas yang saya harapkan. Sebab, kata Fahmi, aktiviti ni boleh menzahirkan apa yang ada dalam otak bawah sedar kita.

[Patutlah dalam seminggu dua ni serabut je kepala, dah lama tak menulis rupanya. Sekali keluar, pergh! Ingat dah hilang semua, sebab 'nampak' dalam otak macam berterabur :) ]

Haha, bayangan dalam otak bawah sedar ni yang jadi permainan tidur kita saban hari. Keinginan yang tak terluah. Jadi, dengan menghayati mimpi pun kadang-kadang boleh ketemu diri. Cubalah :)

Jamal ada nyatakan impian ulungnya. Mudah saja. NAK JADI ORANG BAIK.

Hmm, memang menarik. Sebab saya pun tahu buat, dan memang bercadang nak buat ;)

Haha, susah-susah fikir, rupanya tak perlu tekan diri pun, terutama untuk hal duniawi. Semuanya dah ada di sekeliling. Apa yang kita nak ialah kesenangan, ketenangan, dan pengharapan pada rahmat TUHAN. Semua boleh dapat dengan jadi budak baik.

Apa lagi yang kita nak selain BAHAGIA? ;)

hati dan harapan

Hati ini memang gila. Dil to pagal hai.

Senang-senang dia saja nak buat kita suka itu, tak suka ini, lepas tu terbalikkannya pula. Tak bagi tau lak tu apa yang dia betul-betul nak. Kalau tak ada memanda menterinya si akal, boleh gila juga dibuatnya.

Persandaran makhluk hanya pada Tuhannya [Persandaran, Nowseeheart]

Sebab hati ini pun milik DIA, jadi kenalah minta PENCIPTA yang kawal. Kadang-kadang TUHAN sengaja keliru kan hati, buat kita rasa sedih dan risau. Supaya kita ingat akan pergantungan itu. Supaya kita merayu dan memohon padanya.

Memang selalunya pun, orang cuma akan ingat ALLAH bila ada masalah. Ironinya, jawapan itu ada pada DIA.

Sebab tu, ganjaran untuk orang yang bersyukur lebih besar daripada yang bersabar.

Bersyukur atas kelebihan lebih payah daripada bersabar atas kekurangan.

Signifikasi sahabat ada dalam surah Al-Asr kata Along. Berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran untuk terus beriman dan beramal soleh.

Banyak dugaan atas jihad yang kita pilih. Sahabat sejatilah yang akan jadi pengingat untuk kita terus berada di atas landasan yang sepatutnya, ke daerah yang dituju.

Cuma tak boleh nak bergantung pada sahabat lebih daripada-NYA. Sebab sahabat itu manusia, dan setiap manusia ada kekurangannya. ALLAH itu sempurna, dan DIA tak pernah menolak untuk mendengar rintihan dan menerima permintaan.

SETIAP DOA AKAN DIKABULKAN, kata Dr Fadzillah Kamsah. Cuma masanya yang berbeza. Kalau cepat, alhamdulillah. Kalau lambat, itu caranya untuk menguji. Kadang-kadang, dah sampai dunia yang satu lagi baru doa kita dikabulkan, dengan berlipat kali ganda.

Atau, apa yang kita minta itu bukan yang terbaik untuk kita. Kan ALLAH sentiasa beri yang terbaik untuk hamba-hamba-NYA?

Cerita Dr Fadzillah Kamsah lagi, ada seorang hamba ALLAH ni yang dah ada di syurga. Katanya, kalaulah dia tahu begitu besar apa yang dia dapat berbanding permintaan dia di dunia dulu, dia nak minta ALLAH tunda semua doanya, bawa ke situ. Takpelah kalau tak dapat apa-apa yang diinginkan di dunia pun.

Subhanallah...

Kita ini, WAJIB jadi penyokong yang paling kuat untuk diri sendiri. Kita boleh jadi penyokong yang sangat baik untuk orang lain, jadi boleh juga untuk diri sendiri. Cuma, kita perlu anggap diri sendiri sebagai satu entiti seperti orang lain. Supaya kita lebih hargai apa yang kita buat untuk menggembirakan diri sendiri. Sepertimana orang gembira dengan bantuan dan sokongan kita.

Jika adalah orang lain sebagai penyokong yang lebih kuat untuk kita, bimbang nanti kita akan terus bergantung padanya, hingga tak kenal diri lagi. Tak dapat nak jadi diri kita yang sebenarnya lebih hebat dari itu.

Kenal diri, yakin diri. Sama ada atas kesedaran sendiri, atau kata-kata orang dan sahabat. Sahabat cerminan diri. Melaluinya, kita boleh nampak apa yang tak tercapai oleh pandangan kita. Ingat lagi kata Along, sahabatlah yang akan kata, "Eh, baju kau kotor." :)

Semua manusia ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dan kedua-duanya boleh berubah-ubah. Semuanya bergantung pada tindakan kita. Apa yang kita nak, apa yang kita niatkan.

Boleh tak saya cakap yang semua manusia ada potensi yang sama?

Betul tak saya cakap, kalau kita nak, kita cari, kita pasti dapat?

Apa yang membezakan? Semangat, azam dan iltizam. Dan... minat, kesungguhan, dan latihan.

Betullah kata AMAR untuk orang yang kata dia tak pandai melukis. Cuba lukis sesuatu, seolah-olah kalau kita tak siapkan dengan bersungguh-sungguh, kita akan dibunuh. Tak ke jadi lukisan kita? ;)

Potensi itu sama. Semua orang boleh buat apa yang orang lain boleh buat. Cuma, beza kecenderungan minat kita yang jadikan ia sebagai kekurangan atau kelebihan.

Betul tak?

Ada orang kata, hidup ini mudah, jangan susahkannya. Ada pula yang kata, hidup ini memang payah, perlu pada kecekalan dan ketabahan.

Tapi, hidup itu masih hidup. Sama saja. Penerimaan seseorang itu terhadapan sebuah kehidupan yang akan membezakannya. Tak adil? Haha, tak ada orang di dunia ini yang tak ada masalah...

Seharum kasturi
Seindah pelangi
Segalanya bermula di hati
Segalanya bermula di sini...

[Jendela Hati, Saujana]

_____________________________________________


Sebab harapan, saya gaduh dengan kawan. Sebab harapan, saya dapat kawan baru. Sebab harapan, saya kenal diri. Sebab harapan, saya gembira semula. Dan sebab harapan, saya berani pandang ke depan.

:)


# Hari ini saya celoteh panjang, sebab dah lama tak menulis. Semua yang hanya terperap di otak dah bercampur jadi satu. Harap tak keliru :)

# Dari sini juga, baru saya tahu, hati ini akan lebih tenang dengan menulis. Satu bentuk luahan rasa :)

Tuesday, December 13, 2005

libur ke bandar hilir



Lepas kenduri, kami Cuti-cuti Malaysia ke Bandar Hilir pula. Lawat signifikasi Kota Bersejarah ni.

Dari kiri, Fitri, mak, Ayuni, saya dan Aliah, Fahmi, abah dan embah.

gambar



Sempat saja famili kami ni bergambar. Tak kira apa-apa event. Ye la, dah ada jurugambar rasmi Bani Ithnain kan? :)

Menarik, ukhuwah kami [sekurang-kurangnya generasi atas saya] memang rapat. Jaworld! Hehe...

Ni lepas majlis Kak Yanti di Jementah.

Selamat Pengantin Baru!!!



Gambar pengantin bibik Yanti dengan... er, paman la kot... Ku Nangseh, dengan adik beradik bibik Yanti. Salah seorangnya sahabat baik saya, Shafihan, pakai baju biru duduk di sebelah kiri. Err, budak baju merah di tengah tu tak pasti siapa :)

Tarikh: 11 Disember 2005
Tempat: Taman Sayang Selasih, Melaka


Moga bahagia selamanya Kak Yanti! :)

Sunday, December 04, 2005

semester baru dah datang...

Kalian tahu kan rasanya bila nak mula belajar semula? Terutama lepas cuti yang sangat panjang, macam cuti semester ni la.

Malam terakhir di rumahlah malam yang sangat menyeksakan untuk ditempuhi. Lebih-lebih lagi bila semua orang dah lelapkan mata kecuali kita. Sendirian packing barang untuk balik esok. Sayangnya nak tinggalkan rumah, tinggalkan famili. Alangkah baiknya jika rumah di sebelah universiti saja...

Itulah yang saya alami sekarang.

Kadang-kadang seperti tak sabar nak bertemu semula dengan sahabat-sahabat di kampus, jalani kehidupan yang proaktif dan produktif [yang selalunya memenatkan].

Tapi bila terfikirkan pula hidup kampus yang sangat mencabar semester demi semester, saya jadi gerun. Subjek semakin susah. Nak mula baca buku yang tebal-tebal lagi. Makin dekat pula dengan final year project dan praktikal. Betul-betul tak bersedia.

Harapnya banyaklah perkara menarik yang akan berlaku semester depan ni. Taklah tertekan sangat hidup dengan buku. Haha, saya ni alergi sikit bila asyik nak kena baca buku saja :p

Ada tak warga universiti yang tak pernah rasa bosan belajar? Nak menuntut sikit :p

Here come new semester! Hope to be better than previous semester. AMIN!!!

Friday, December 02, 2005

perjuangan nasyid kita

Berbual dengan seorang sahabat beri saya pandangan lain dalam melihat hiburan nasyid Malaysia. Perbandingan dibuat antara Raihan dengan artis-artis nasyid lain.



Saya tak pasti mengenai artis-artis lain sama ada mereka ada menetapkan satu matlamat yang melangkau sempadan geografi negara dalam berdakwah. Yang pasti, Raihan memang ada. Dan matlamat yang mereka tetapkan itu membawa mereka bertemu dengan saudara-saudara seIslam di seluruh dunia.

Kata sahabat itu lagi, konsep universal brotherhood yang dibawa kumpulan Raihan membolehkan mereka diterima hampir segenap umat Islam berbilang bangsa seluruh dunia. Saya masih samar-samar mengenai konsep ini kerana kurang benar-benar memerhatikan perbezaan antara mereka.

Namun, memang ada sesuatu yang membezakan apabila pendengar yang kurang dapat menerima konsep nasyid hari ini kerapkali membandingkannya dengan Raihan. Kata mereka, Raihan masih kekal dengan konsep asli nasyid sama ada melalui konsep dan elemen dalam lagu-lagu mereka. Tema dan muzik.

Hal ini berbeza dengan nasyid Mawaddah kerana pendekatan mereka untuk mencapai tahap antarabangsa itu adalah melalui pembukaan 'cawangan-cawangan'. Ada Mawaddah Indonesia, Australia, dan sebagainya. Orangnya lain-lain, bukan yang sama. Masih, mereka guna nama Mawaddah.

Memang, garis pemisah konsep brotherhood ini tak jelas. Saya sendiri kurang pasti di mana sebenarnya perbezaan yang boleh disebut dan dinyatakan.

Namun, pendapat peribadi turut mengiyakan, Raihan merupakan salah satu [atau boleh kata satu-satunya] kumpulan nasyid yang berjaya menyampaikan lagu-lagu mereka dengan kesan yang mendalam di hati. Banyak lagu-lagu Raihan yang mampu mengalirkan air mata pendengar tanpa perlu menyelami sebenar-benar maksud lagu yang tersirat.

Malah, Raihan adalah kumpulan pertama yang berjaya mengetengahkan kembali arena nasyid kita di persada seni hiburan tanahair. Tak hairan menjadi artis nasyid pertama yang saya kenal walaupun telah banyak juga yang ada sebelum itu. Dan, mereka masih bertahan sehingga sekarang, malah lebih maju lagi.

Dalam masa yang sama, ramai artis-artis nasyid [atau bukan] kita yang tenggelam timbul sepanjang perjuangan mereka.

Apa pula pendapat anda?

Kembali ke matlamat perjuangan Raihan ke pentas antarabangsa. Selain konsep yang dapat diterima umum seluruh dunia, Raihan juga mengambil inisiatif untuk buat 'link' dengan 'orang nasyid' luar negara.

[Atau boleh disebut sebagai orang Islam yang memperjuangkan lagu-lagu berunsur dakwah, sebab konsep nasyid kita dengan mereka di luar sana mungkin lain.

Tak percaya? Ok, nak tanya, adakah lagu ALHAMDULILLAH, Too Phat + Yassin itu lagu nasyid?

Tapi, lagu-lagu rap sebegitulah yang digelar 'nasyid' terutama oleh orang kulit hitam. Sebagai contoh, kumpulan Soldiers of ALLAH dan Mynarap]

Dalam laman web antarabangsa, youth.ibn.net, cuma Raihan dan Qatrunnada [yang saya tak pernah dengar, mungkin, lagu-lagu mereka]. Kenapa? Serasanya ramai lagi artis-artis kita yang tak kurang hebatnya lagu-lagu mereka.

Raihan cari hubungan dan peluang itu sendiri. Mereka tukar-tukar maklumat dan lagu untuk dikongsi bersama. Raihan diterima dengan baik di negara sendiri, bahkan di negara luar juga.

Dari sumber yang sama, lagu-lagu Raihan dikatakan telah menjadi silibus dalam pembelajaran di sekolah-sekolah Muslim di Afrika. Belum hebat lagi pencapaian mereka?

Persoalannya, adakah artis nasyid Malaysia lain itu terlepas pandang matlamat yang mereka patut ada ini? Atau, memeng mereka cuma ingin mengkhususkan dakwah dalam negara sahaja?

Apa kata artis-artis nasyid kita sendiri?


# Raihan memang WORLD! :)

# Terima kasih Abang Zamri. Teruskan buka kesedaran saya dan yang lain-lain tentang apa yang saya terlepas pandang :)

# Lawat ALIF untuk perbincangan lanjut.

Monday, November 21, 2005

tudung dan uia

Walaupun kita tak usik orang lain, orang lain suka cari peluang usik kita. Kalau kita tak kuat, kita pasti jatuh. Jadi, untuk jadi kuat atau tidak bukan lagi satu pilihan. Tak boleh lagi rasa selamat walaupun di rumah sendiri.

Kes tudung dan UIA baru-baru ni memang menakutkan. Walau jauh di timur, getarannya sangat terasa. Nampak seperti 'orang lain' itu sedikit-sedikit mengesot nak kuasai hak kita. Apa akan jadi kalau kita jenis yang mengikut saja?

Terima kasih untuk pihak yang sudi berdiri wakili kami, kaum hawa Islam yang dipertahankan ini. Ini bukan sekadar kisah tudung. Ini kisah akidah dan hak yang diinjak-injak sewenang-wenangnya.

Pelik. Dari dewan graduasi, melimpah ke pentadbiran UIA keseluruhannya. Jangan nanti membabitkan Malaysia pula sudahlah.

Bila bicara mengenai peraturan graduasi, batasilah ia di situ saja. Tak ada kaitan dengan peraturan universiti yang telah dijalankan bertahun-tahun lamanya tanpa ada sebarang komen dan komplen.

Mungkin mereka boleh pertikaikan kenapa perlu wajib sopan di universiti sedang negara yang perintah universiti itu tak wajibkan pun?

Saya dah cerita pasal kisah artis sebelum ini. Belum lagi menteri dan barisan pentadbiran Malaysia, sebuah negara Islam, Islam Hadhari. Jauh sebelum itu, kisah uncle teksi yang dah langsung tak ada hormat pada orang Islam. Mujur saja kami selamat sampai ke asrama.

Apa kita nak jawab bila orang tanya, kenapa orang Islam kena pakai tudung? Lain ke hukumnya untuk rakyat biasa dengan masyarakat kolar biru?

Harapnya jawapan kita tak fitnah Islam dengan sebahagian besar rakyat Malaysia yang beragama Islam yang menyimpang.

Jadi, apa yang boleh dan perlu kita buat akan kes kita ini?



Boleh terus baca kisah di

Memorandum SRC

Tudung @ IIUM

Pelajar Non-Muslim dan Tudung di UIAM

Saturday, November 19, 2005

artis

Dalam era hedonisma yang mengagung-agungkan warga seni terutama bidang seni suara ini, memang susah nak anggap seseorang artis itu seperti manusia biasa. Dalam zaman yang bukan hedonisma pun sukar, apatah lagi bila berada dalam jangkawaktu itu sendiri.

Tak boleh nak pertikaikan persoalan ini bila bilangan manusia yang kenal Mawi itu lebih daripada yang kenal mana-mana tokoh politik atau tokoh pendidikan. Dan sambutan 'rumah terbuka' hari raya Mawi yang buat di padang setanding dengan sambutan rumah terbuka Perdana Menteri kita di PWTC lepas.

Kenapa tak ada [atau saya yang tak pernah dengar] VCD Dr Fadzillah Kamsah atau kaset rakaman Ustaz Wan Sohor yang dicetak rompak? Tapi berlambak-lambak siri artis kita yang bukan saja dicetak rompak, malah boleh download secara percuma dari internet, tanpa rasa ragu-ragu atau bimbang.

Artis jadi model dan idola. Cara pemakaian mereka ditiru, setiap perilaku mereka diikuti. Persembahan dan pertandingan yang mereka sertai tak pernah dilepaskan.

Artis jadi golongan berpengaruh kala ini. Merekalah agen pengubah manusia, sama ada ke arah yang lebih baik atau yang sebaliknya.

Bingung saya bila merlihatkan kebanyakan wanita yang datang ke pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik Kategori Irama Malaysia/Etnik Kreatif Selasa lepas pakai tudung, manis tutup kepala. Tapi bila lihat di atas pentas, alahai, selain Waheeda, siapa lagi yang kenakan tudung? Adakah mereka yang di atas pentas itu memang semata-mata jadi bahan hiburan saja? [maaf, kasar sikit]

Bila luaskan pandangan, memang tak ramai pun yang terlibat di sebalik kaca televisyen itu yang sekurang-kurangnya pakai tudung, walau tak sepenuhnya Islamik pun [ie pegang tangan sesama bukan muhrim -- perkara biasa]. Depan tv, mak dan anak sakan tengok sama-sama. Bila sedih, teriak. Bila kelakar, gelak. Masing-masing tak pernah mengomel bab kepincangan dalam beragama yang dah berlaku.

Apa nak bising-bising, kami tonton saja, kami bukan buat pun apa yang diorang buat tu. Lagipun, orang lain tak pernah cakap apa-apa pun? -- semua tuding jari pada orang lain.

Bila mak tak cakap apa-apa, anak anggap benda tu tak salah. Kalau bila lepas tu anak tiru dan mak tegur semula, cakap yang dalam tv tu tak betul, jangan ikut, tak apalah. Tapi macam mana kalau itupun dibiarkan?



Teringat cerita Lady Anne yang disiarkan raya lepas. Yang si ibunya bolehlah kata dah insaf dan cuba nak belajar apa yang dia tertinggal sebelum ni, sebab dia tahu dia akan mati tak lama lagi. Elok dah cuba-cuba belajar pakai skarf, walaupun masa tu sebab rambut dah mula gugur.

Tapi, bila si anak, Lady Maria kata ada function dengan kawan-kawan, dipakaikannya baju yang memang sah haram. Siap bangga lagi, sebab ada anak yang cantik. Dalam hati, agaknya dia nak ke syurga sorang-sorang je kot...

Ke rumah kawan mak sempena rumah terbuka hari raya, ada tetamu yang lain. Seorang makcik dengan 2 anak perempuan, seorang tingkatan 5 seorang lagi darjah 4. Tak boleh nak tertipu dengan panggilan makcik, walau usianya selabih kurang mak, sebab 'makcik' tu moden. Blaus merah ketat dan sendat. Pakai tudung, tapi pinnya terlalu atas, tak tutup dada. Nampak rambut di atas dahi.

Anak-anaknya buat gaya gothic. Bawah mata dihitamkan. Makeup jangan dikira. Rambut panjang kerinting sedikit diwarna perang. Dua-dua kakak dan adik berbaju sendat, kakak dengan blaus leher luas dengan skirt labuh, adik dengan t-shirt dan seluar jean. Pakaian hari raya.

Ini Kuantan, bukan Kuala Lumpur!

Saya terkejut. Tak biasa lihat gambaran begitu di hadapan mata. Mana silapnya?

Wahai warga Timur, biarlah orang barat saja beri pengaruh tak baik kepada anak-anak bangsa kita, tak perlulah kita sumbangkan sekali, kalau ia nak glamor pun.

Di sini, perlu pada kesedaran kedua-dua pihak, penghibur dengan yang dihiburkan.

Bila jadi penghibur yang berdiri di pentas dunia hari ini, kalian kena sentiasa ingat bahawa kalian jadi perhatian, atas apa saja tingkah perbuatan. Orang ikut, orang ungkit. Walaupun kalian bukan malaikat atau manusia maksum, tapi ingat, peminat tak selalunya ingat itu. Selalunya lupa. Sebab kalian idola mereka. Jadi, jadilah kalian yang terbaik.

Yang dihiburkan pula, kebanyakannya masih tahu timbang baik buruk, benar batil. Hiburan mungkin setakat hiburan. Bila minat akan seorang artis, harus diingat bahawa dia itu manusia biasa seperti kita, Lebihnya dia kerana peroleh tumpuan kelompok yang lebih besar atas bakat seninya. Itu saja. Tak semestinya dia lebih pandai dan berilmu daripada kalian dalam urusan lain pun, kan?

Artis itu cuma manusia biasa yang berkerjayakan bidang seni hiburan yang glamor. Titik.

Jadi, yang di belakang kaca televisyen itu tak selalunya betul. Mereka betul bila sampaikan berita dan fakta. Tapi mereka tak kurang betul bila tak pakai tudung [contoh saja].

Friday, November 18, 2005

perginya lebaran

Dah beberapa minggu kita tinggalkan hari lebaran. Yang cuma benar-benar bermakna pada minggu pertama. Saya tahu banyak rumah yang masih terbuka sambut kedatangan tetamu dan ramai juga yang masih ziarah-menziarahi sesama taulan. Cuma, rasa itu sudah tidak lagi sama.

Rasa sayang kan? Hari yang cuma sekali setahun, yang ditunggu saban tahun oleh semua umat Islam. Hari yang menggabungkan semua rasa meriah dan bahagia, hari yang menghimpunkan setiap daripada ahli keluarga yang kunjungnya cuma sekali-sekala, hari yang terasa benar sewaktu mengagungkan kebesaran dan kasih-sayang-Nya.

Langsai raya, semangat gembira yang membara itu jadi semakin pudar dimakan hari. Hidup kembali jadi biasa-biasa saja. Cuma kadang-kadang bila televisyen masih belum sudah dengan tayangan hari rayanya, rasa indah muncul semula.

Kita takkan rasa bahagia setiap hari, sebab memang itu aturan kehidupan, sebuah roda. Tetapi kita jadi bersemangat untuk teruskan perjuangan apabila kita tahu yang bahagia akan datang lagi nanti.

Kita semua lalui masa dan waktu perayaan yang sama. Tapi mungkinkah semua orang punya rasa yang sama?

Dan, bagaimana ya untuk hidupkan setiap hari kita jadi sebegitu bermakna seumpama hari raya?

Tuesday, November 15, 2005

mencari fitri [fitrah diri :) ]

Kenapa sampai sekarang saya masih tak pasti apa yang saya ingin dalam hidup? Persoalan terbesar yang selalu berlegar-legar dalam ruangan minda.

Terasa seperti nak cuba semua benda, nak tahu semua bidang, sampaikan rambang jadinya [teringat siri THE PRETENDER, he is a genius! Benar-benar kagum bila dia dapat jadi sesiapa yang dia nak]. Akhirnya terasa masih lagi kosong, sebab dalam banyak-banyak saya masih tak kuasai walau satu...

Tamak le tu... :)

Cuba nak fokus, tapi masih dalam penilaian. Saya ni nak yang macam mana sebenarnya? Nak apa? Kalaupun nak fokus dalam bidang saya sekarang, masih terlalu luas. Mana satu? Programming? Networking? Atau Multimedia? Heh, minat sendiri pun tak tahu.

Nanti abang Moha kata, "Takkan budak CS nak buat Multimedia?"

Lepas tu akan ada suara yang lebih optimis, "Hentamlah apa saja, asalkan berkait komputer." Tu lah suara abang Hamdi :) Saya ingat, sebab sama dengan kata mak. Cuma dari sudut pandangan berbeza, dari seorang yang fasih dengan yang tak fasih pasal komputer :)

Risaunya memuncak bila kami cuma terdedah dengan pengajaran secara teori saja. Pratikalnya, langsung terabai. Macam mana nak buat praktikal nanti? Aduh...

Subjek yang ada praktikal pun, setakat satu sem, lepas tu lupalah. Memang kena selalu gilap, tapi selalu lupa, sebab tak pasti pentingnya di mana-mana. Apa sebenarnya yang penting...?

Dalam jurusan ini, dan juga dalam hidup ini...

Kata pujangga: Jack of all trade is master of none.

Ehehe, tak akan cukup bila hanya tahu tapi tak kuasai sekurang-kurangnya satu. Sendiri akan rasa tak puas. Masih ada yang hilang. Rasa kekosongan itu.

Along kata target saya tinggi sangat, sampai terlepas pandang apa yang sedia ada. Tapi apa yang saya ada?

Fahmi kata saya terlalu merendah diri. Bukan sengaja, tapi memang terasa macam tu, diri kecil di kelompok manusia, tak kiralah siapa mereka. Sebab setiap daripada mereka dapat dilihat keistimewaan masing-masing, trademark untuk dikenali. A pandai ini, B mahir itu. Saya?

Bila fikir semula, bidang apa jadi pilihan tak penting, sebab tak semestinya kita hanya boleh kuasai satu bidang saja, kan? Lihat saja tokoh-tokoh ilmuan Islam dahulu. Hampir semua bidang ilmu major dunia mereka kuasai, selalunya tak ada kaitan langsung antara satu dengan yang lain, masih, mereka tak abaikan ilmu akhirat.

Apa motivasi mereka? Bagaimana nak ada rasa cinta akan ilmu dengan sebegitu hebat tanpa ada rasa konflik diri?

Terjahan orang biasa-biasa ini: Janganlah diperbanding kita dengan mereka yang memang terkenal hebat. Tak ada pun orang sebegitu sekarang. Be real!

Tapi, apa kurangnya kita dengan mereka? Mereka bukan nabi pun, manusia biasa macam kita. Jatidiri dan peribadi. Situasi dan kehendak sekeliling. Itu yang membezakan.

Lantas, Fahmi cadangkan sesuatu. Pilih saja satu bidang yang terasa paling dekat dengan diri, kuasainya, jadikan sebagai penggerak untuk cuba yang lain nanti.

Brilliant. Saya akan ingat.

Memang bangga dikenali oleh orang-orang besar atau yang bernama besar. Harapnya akan jadi seperti mereka. Seseorang dalam masyarakat.

Cuma, saya rasa, payah untuk jadi seseorang di mata masyarakat daripada seseorang pada pandangan seseorang yang lain. Namely, ibu bapa, atau yang lebih bermotivasi buat seorang remaja, teman istimewa dalam hidup.

Semuanya akan jadi mudah apabila yang pentingnya, kita ialah seseorang di hati mereka :)

Dan saya rasa memang itulah yang akan melengkapkan sebuah rasa seorang manusia...


# Banyak betul konflik diri mereka yang diperantara ini, remaja yang sedang cari tempat dalam hidup di dunia, dalam hati-hati manusia.

Tuesday, October 18, 2005

mencari cinta

Seminggu dua ni, hujan lebat turun tak henti-henti. Alhamdulillah, tambah rahmat di bulan yang memang tersedia penuh berkat.

Along kata, hujan lebat ni, doa makbul. InsyaALLAH, tambah makbul di bulan mulia. Tambahnya, bila hati YAKIN segalanya mungkin.

Membuka jalan mengalirkan persoalan yang lama terpendam.

YAKIN. Atau kata lain, IMAN. Yalah, beriman kepada ALLAH kan sama dengan YAKIN akan ALLAH? Macam mana nak peroleh? Boleh beri saya jawapan?

Nanti ada yang kata, kejadah? Buang tebiat? Kau ni biar betul? Kata orang Islam?

Memang ada yang pernah tegur saya bila terlalu banyak tanya soalan yang berkait dengan akidah.

"Mira, kau ni tanya soalan banyak-banyak, asas kau dah kukuh belum?"

Eh, apa kena-mengena nak tahu lebih tentang Islam dengan asas yang saya ada? Tak pun, beritahulah apa yang saya perlu tahu dulu, pre-requisites, nak tanya soalan-soalan tu.

Itulah masalahnya. Tak tahu, tapi tak mahu persoal, bimbang nanti dikata murtad. Sedangkan jawapan kepada persoalan itu amat perlu dalam nak tambah keYAKINan kita pada ALLAH.

Ini juga masalah segelintir orang Islam. Kalau tidak, mengapa ada yang mengaku Islam dan marah apabila dikata kafir, tetapi tetap tak tutup aurat, tak jaga solat? Bukankah itu berkait dengan keYAKINan?

Hari ini saya buka pekung. Kalian katalah apa saja. Asalkan saya dapat jawapan, saya dapat puaskan hati sendiri, tak lagi hidup dalam 'aku ada persoalan, tapi kalau aku tanya, apa orang kata?'

Sedangkan Nabi Ibrahim sendiri minta ALLAH tunjukkan pada baginda bagaimana ALLAH menghidupkan kembali makhluk-NYA yang sudah mati. ALLAH tanya Nabi Ibrahim, "Tidakkah engkau berIMAN dan PERCAYA pada kekuasaan-KU?"

Nabi Ibrahim jawab, "Betul wahai Tuhan, aku telah beriman dan percaya kepada-MU dan kepada kekuasaan-Mu, namun aku ingin sekali melihat itu dengan mata kepalaku, agar aku mendapat ketenteraman dan ketenangan dalam hatiku dan agar main menjadi tebal dan kukuh keyakinanku kepada-MU dan kepada kekuasaan-Mu."

(Surah al-Baqarah ayat 260)

Nabi Musa pula meminta untuk dibukakan hijab antara baginda dengan ALLAH agar dapat melihat wajah-NYA. Inilah kisah apabila dinampakkan wajah ALLAH pada gunung pun, gunung itu hancur luluh masuk ke dalam perut bumi tanpa meninggalkan bekas.

(Surah al-A'raf ayat 143)

Kenapa perlu nabi-nabi ini akan bukti? Sedangkan mereka itu nabi dan rasul, yang memang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan yang benar?

Melalui pembacaan, kaum Israil ni kaum yang paling ramai Nabi yang diutuskan kepada mereka. Lihat saja dalam al-Qur'an, nama Bani Israil, selalu saja disebut. Tapi kenapa jadi semacam degil sangat? Iman mereka tak pernah sebati. Lihat saja apa dah jadi sekarang? Entah iman dari mana yang mereka ambil pun saya tak pasti. Kenapa jadi begitu?

YAKIN - satu benda abstrak. Sebab ia payah nak diukur, kita biasanya hanya mengabaikan kepentingan untuk tokok keyakinan itu. Padahal, yakin adalah satu perkara yang sangat penting dalam hati seorang yang bernama hamba.

Hanya dengan yakin sajalah kita akan ada rasa perhambaan dan pergantungan kepada-NYA, Tuhan yang telah mencipta kita.

Dari yakin, kita akan dapat ikhlas. ILMU IKHLAS, ilmu yang memberi pengertian kepada 'Inna solati wanusuki wamahyaya wamamati LILLAHI RABBIL ALAMIN". Pengertian yang akhirnya memungkinkan kita


Untuk belajar bukan lagi kerana peperiksaan.

Untuk mengelak bertemu dengan bukan muhrim bukan lagi kerana takutkan kehadiran dan pujukan jahat syaitan.

Untuk berpuasa dan terus bersolat tanpa peduli ada orang yang memandang atau tidak.
Untuk berderma tanpa ragu-ragu akan balasan ALLAH di akhirat kelak.

Untuk saling membantu sesama insan tanpa prejudis, bimbang nanti jadi ini, nanti jadi itu.

Untuk membaca al-Qur'an sebanyak-banyaknya tanpa jemu, tanpa bimbang tak cukup masa nak study.

Untuk menyanyi "Akan ku tunggu dirimu di pintu SYURGA" sambil pakai tudung... [hek eleh, nyanyi pandai, macam mana nak masuk syurga tak pernah ambil peduli]



dan banyak lagi. Segalanya jadi indah bila dilakukan ikhlas kerana ALLAH.

Tapi, bagaimana untuk betul-betul yakin bahawa ALLAH adalah seperti 99 nama-NYA?

Semasa di konsert amal Caring Club lepas, Mestica ada cerita pasal seorang hamba ALLAH ni yang hari-hari, tak putus-putus berdoa minta bantuan dari ALLAH tapi ALLAH masih tak perkenankan doanya. Sampaikan malaikat pun kasihan lalu tanya pada ALLAH kenapa tak dimakbulkan saja permintaannya?

ALLAH jawab, "AKU bimbang sekiranya AKU berbuat demikian, dia tak akan lagi meminta daripada-KU."

Itu memang benar. Tapi, bagaimana kiranya sebelum ALLAH memperkenankan permintaannya, hamba ALLAH ini terlebih dahulu berputus asa dan tak lagi yakin kepada-NYA?

Astaghfirullah, harap ALLAH ampunkan saya atas persoalan ini.

Tapi satu perkara, saya perlu tahu jawapannya.

Apa yang saya percaya, janji ALLAH itu benar. Bila DIA kata bulan Ramadhan ini bulan rahmat dan berkat di mana setiap permintaan akan diperkenan, maka, saya minta pada-NYA. Minta agar hati ini dipupuk rasa cinta dan pergantungan kepada-NYA.

Memang malanglah bagi mereka yang tak percaya akan kewujudan ALLAH dan pernah tahu akan tawaran ini. Lebih malang lagi kepada mereka yang tahu tapi tak yakin, sebab lepas tu mereka tak akan rebut pun.

Jadi, ustaz ustazah, alim ulama' di luar sana yang membaca, minta komen atas persoalan YAKIN dan IKHLAS ini.

Terima kasih.

Bertemu cinta teragung
Di dalam sujudku asyik menyanjung
Umpama pengembara di malam gelita
Sinar cintanya menerangi jiwa

Sekian lama terbiar
Dalam belantara hidup nan liar
Di bukit ku tersepit
Di lembah terhina
Hidup yang perit mengajarku MENCARI CINTA

Oh, ku sangka teguh kiranya MASIH RAPUH
Ku sangka mudah namun AMAT PAYAH
Ku sedar semua pasti ada akhirnya
Moga akhirku diselimut cinta
CINTA AGUNGNYA

Sekian lama diri terlara
Kehidupan terabai
Oh, akhirnya aku temui
Kedamaian abadi...


Mencari Cinta
Saujana

Monday, October 17, 2005


Bila yakin syaitan dirantai pada bulan Ramadhan, maka adalah yang tak tutup mulut bila menguap.

Contoh kecil ironi bulan Ramadhan. Ingatkan nak jadi lebih baik...

Bila syaitan dah tak ada ni, bolehlah berdua-duaan dengan bukan muhrim kan? Dah tak ada yang akan jadi pihak ketiga. Sesak-sesak kafe di mana-mana dengan pasangan-pasangan ini masa nak berbuka puasa.

Macam mana nak jawab tu?

Tapi, tak ada pula bila nak mula baca al-Qur'an orang tinggalkan ''A'u zubillahi minasyaitan nirrajim' sebab dah tak ada syaitan untuk direjam?

Mari kita belajar sesuatu daripada lagu ini:

Ramadhan bulan ibadah
Bulan kerahmatan dan keampunan
Para malaikat merendahkan sayap
Untuk menghitung pahala berganda

Ramadhan bulan berpuasa
Bulan kesabaran dan keinsafan
Lapar dahaga mendidik jiwa
Menundukkan nafsu mengawal indera

Pintu syurga dibukakan
Ditutup pintu neraka
Dibelenggu syaitan yang durjana
Dihentikan azab di pusara

Bersyukurlah pada rahmat-NYA
Dikurnia bulan yang mulia
Beruntunglah bagi mereka
Yang mendapat keberkatan-NYA

Tiap satu pahala ibadah
Tujuh puluh ia digandakan
Sepuluh akhir Ramadhan dikurniakan Lailatul Qadar
Malam yang terbaik diumpamakan seribu bulan

Solallahu ala Muhammad
Solallahu alaihi wassalam
Solallahu ala Muhammad
Solallahu alaihi wassalam
Solallahu ala Muhammad
Solallahu alaihi wassalam
Solallahu ala Muhammad
Ya Rasulullah


Kemuliaan Ramadhan
HME


# Sahabat di USM buat satu program '30 Hari Mencari Cinta'. Untuk memberitahu atau menyedarkan pelajar dengan perkara-perkara yang boleh dilakukan dalam bulan berkat ini. Brilliant! Benar-benarlah yang 30 hari ini patut dikejar dan direbut dalam mendapat cinta-NYA.

Sunday, October 16, 2005

parenting

Alhamdulillah. Dah langsai satu paper... Parenting.

Kata Amy, kami dah patut dapat sijil kahwin ni. Kursus kahwin pun 2 hari saja. Kami dah buat satu semester.

Haha, entahlah, tak tahu pula apa beza Parenting CCAC ni dengan kursus kahwin. Yang pasti apa yang kami belajar dalam Parenting sama saja dengan bab Munakahat dalam Pendidikan Islam tingkatan lima.

Harap penghayatannya lebih. Boleh terus manfaat untuk masa depan :)

Tuesday, October 04, 2005

You have two choices

Cerita motivasi dari emel

Jerry is the manager of a restaurant. He is always in a good mood. When someone would ask him how he was doing, he would always reply,

"If I were any better, I would be twins!"

Many of the waiters at his restaurant quit their jobs when he changed jobs, so they could follow him around from restaurant to restaurant.

Why? Because Jerry was a natural motivator.

If an employee was having a bad day, Jerry was always there, telling the employee how to look on the positive side of the situation.

Seeing this style really made me curious, so one day I went up to Jerry and asked him

"I don't get it! No one can be a positive person all of the time. How do you do it?"

Jerry replied, "Each morning I wake up and say to myself, I have two choices today. I can choose to be in a good mood or I can choose to be in a bad mood.

I always choose to be in a good mood.

Each time something bad happens, I can choose to be victim or I can choose to learn from it. I always choose to learn from it.

Every time someone comes to me complaining, I can choose to accept their complaining or I can point out the positive side of life.

I always choose the positive side of life."


"But it's not always that easy," I protested.

"Yes it is," Jerry said.

"Life is all about choices. When you cut away all the junk every situation is a choice.

You choose how you react to situations.

You choose how people will affect your mood.

You choose to be in a good mood or bad mood.

It's your choice how you live your life.
"




Several years later, I heard that Jerry accidentally did something you are never supposed to do in the restaurant business.

He left the back door of his restaurant open.

And then???

In the morning, he was robbed by three armed men.

They want?

#123*+!@$%&*~

While Jerry trying to open the safe box, his hand, shaking from nervousness, slipped off the combination. The robbers panicked and shot him.

Luckily, Jerry was found quickly and rushed to the hospital.


After 18 hours of surgery and weeks of intensive care, Jerry was released from the hospital with fragments of the bullets still in his body.


I saw Jerry about six months after the accident.

When I asked him how he was, he replied, "If I were any better, I'd be twins. Want to see my scars?"

I declined to see his wounds, but did ask him what had gone through his mind as the robbery took place.

"The first thing that went through my mind was that I should have locked the back door," Jerry replied.

"Then, after they shot me, as I lay on the floor, I remembered that I had two choices: I could choose to live or could choose to die. I chose to live."

"Weren't you scared?" I asked.

Jerry continued, "The paramedics were great. They kept telling me I was going to be fine.

But when they wheeled me into the Emergency Room and I saw the expression on the faces of the doctors and nurses, I got really scared.

In their eyes, I read 'He's a dead man.'

I knew I needed to take action."

"What did you do?" I asked.

"Well, there was a big nurse shouting questions at me," said Jerry.

"She asked if I was allergic to anything."

'Yes,' I replied.

The doctors and nurses stopped working as they waited for my reply.

I took a deep breath and yelled, 'Bullets!'

Over their laughter, I told them,

'I am choosing to live. Please operate on me as if I am alive, not dead'.


Jerry lived thanks to the skill of his doctors, but also because of his amazing attitude.

I learned from him that every day you have the choice to either enjoy your life or to hate it.

The only thing that is truly yours -- that no one can control or take from you -

is your attitude.


So if you can take care of that, everything else in life becomes much easier.


Ingatkan saya :)

# Ahlan ya Ramadhan. Moga dengan berkatnya Ramadhan, maka berkatlah juga segala yang dilakukan dan diperoleh dalam bulan ini. Amin.

Monday, October 03, 2005

soldiers of allah

Pernah dengar 'nasyid' Soldiers of ALLAH?

Apa pendapat kalian?

Pertama kali dengar, rasa terharu. Inilah semangat perjuangan Islam yang sebenar. Kerana mereka mengalami lantas merasainya.

Terima kasih kepada abang Hamdi untuk mp3 tu :)

Saya tahu, ada yang tak setuju, tak suka dengan cara persembahan mereka yang bawa imej rap dalam menyampaikan Islam.

Mereka tak setuju sebab mengadili dengan 'label' bukan 'pengisian'.

Cubalah dengar dan hayati dulu. Berapi-api semangat mereka untuk membangunkan Islam. Meluap-luap kemarahan mereka ke atas penentang Islam. Semangat dan kemaharan yang dapat meresap dalam jiwa seorang Muslim yang mendengar.

Tak ada pun yang asyik nak memperihalkan 'cinta' saja.

1924 -- menceritakan sejarah dan kisah jatuh bangun Islam sejak tahun itu sehingga kini. Penuh fakta dan cerita.

Fikiran kita dan fikiran mereka benar berbeza walau kita sama-sama beragama Islam. Kerana kita di sini, di zon selesa, jadi dakwah yang kita bawa pun yang ringan-ringan saja, masih nak menyatupadukan sesama Muslim yang taksub dengan ideologi masing-masing. Jika mereka pun begitu, memang amat mudahlah musuh-musuh Islam menguasai mereka.


ummatic week di uia

ummatic week di uia


Apa akan jadi jika target musuh-musuh Islam itu tertuju ke arah kita?

Apa sajalah yang jadi penghalang untuk mereka berbuat demikian sekarang?

Apa pula yang kita sedang usahakan untuk kekalkan keamanan dan kesefahaman itu? Adakah mengikut apa yang musuh-musuh Islam mahu atau apa yang ALLAH mahu? Baguslah jika kedua-duanya mampu dipenuhi.

Realitinya? Mereka memang sedang target untuk memusnahkan kita. Neo-kolonis. Perang secara halus. Perang saraf. Benda yang kita tak nampak nyata musuhnya. Sebab kadang-kadang, ia datang dalam bentuk 'seorang sahabat'. Sangat senang untuk didekati.

Mustapha Kamal Attarturk, Astora Jabat, Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mencari Cinta.

Apa saja. Apa-apa saja.

Bila begini, memang hanya iman sajalah penyelamatnya. Untuk beza antara baik dan buruk. Benda yang kita semua dah belajar sejak tadika lagi.

Jika dan hanya jikalah penasyid kita di Malaysia ini buat seperti Soldiers of ALLAH, apa agaknya respon masyarakat?

"Buang tebiat? Kejadah semangatnya lebih daripada yang nak berperang? Ke ni contoh nasyid yang terpengaruh dengan hedonisma?"

# Sebetulnya, album terbaru Brothers Reunited dah mula bawa pendekatan itu. Tapi mesej tak sejelas Soldiers of ALLAH.

Download di sini: www.4shared.com
Lirik pula di sini: nadeem.lightuponlight.com

Monday, September 26, 2005

seketika dalam teksi

"Lu orang buat apa keluar sini?"

"Beli tiket uncle, nak balik raya."

"Bukanla, lu orang nak mencari cinta ho?"

"Mencari cinta?"

"Bukan ha?"

"Bukanla uncle. Kami tak mainla cinta-cinta ni."

Saya pandang Dalela, Dalela pandang saya. Kami di tempat duduk belakang teksi uncle Cina tu waktu tu.

"Uncle ni gurau je kot." kata saya dalam hati.

Saya belek Majalah i yang baru beli di stesen bas Greenwood sebelum tu. Isu utama: MAWI & RM, Siapa Untung, Siapa Rugi? Lain: Realiti TV: Menjana Ilusi atau Visi? Ada lagi nama-nama rancangan realiti tv berbentuk hiburan di kulit majalah. Mentor, Malaysian Idol, Suara Jati Malaysia, Mencari Cinta, Akademi Fantasia...



Menarik, benar nak tahu apa yang ditulis.

Uncle tanya lagi nak masuk ikut pintu mana. Saya kata pintu depanlah, mana lagi? Dia tanya semula, tak kena tahan ke? Eh, kenapa pula kena tahan?

"Uncle tak pernah masuk UIA?"

"Saya tak suka masuk UIA."

Diam.

"Lu orang suka negro ka?"

"Negro?" soalan uncle ni makin pelik pula.

"Yala, negro. Semua perempuan suka negro kan?"

"Tak tahulah uncle, tak pernah fikir pula saya ni suka atau tak negro-negro tu."

"Semua perempuan suka negro kan?"

"Kenapa uncle cakap macam tu?"

"Yala, itu hari saya hantar budak AIU [dia seboleh-bolehnya tak nak sebut pun perkataan UIA] dengan negro. Balik tidur sana kolej," katanya sambil unjuk ke arah A&R. Saya masih blur.

Dalela dah panas. Agaknya dia tahu cerita. "Uncle, tak semua perempuan suka negro!"

Kami bayar tambang, turun di hadapan A&R tu juga.

Uncle Cina yang seorang ni benar-benar ada impresi buruk terhadap orang Melayu. Terutamanya terhadap orang Islam. Sekurang-kurangnya saya dah jumpa seorang yang berani terus-terang. Apalagi lautan mereka yang diluar sana.


Isu 1: 'Sumbangsih' pelajar universiti beragama Islam.

Saya mungkin pernah [atau tidak] dengar cerita-cerita macam tu. Kisah pelajar universiti yang seolah tak ada ilmu, tak pernah belajar apa-apa pasal agama. Tapi selama ini, sebelum ditegur uncle yang saksi sendiri, saya tak pernah ambil peduli. Sebab saya tak rasa mampu buat apa-apa.

Sedang yang selalu SRC buat, 'Bi'ah Solehah Campaign' tak nampak ada kesan positifnya. Yalah, pelajar pandang banner sebelah mata, apatah lagi nak hayati dan adaptasi.

Macam yang saya beritahu Amy [maaf ya SRC [bekas], komen sikit], apalah faedahnya buat benda-benda alah ni? Saya tak rasa pun akan ada yang 'Smile and Salam' lepas baca banner. Buang duit dan tenaga je. Tapi oklah daripada tak buat apa-apa.

Kita patut fikirkan sesuatu yang lebih efektif, bukan setakat gantung banner dan flyers, takkan ada orang yang sanggup berhenti dan baca. Along pernah cadang letak gambar Mawi pada gantungan tu ya? Satu pendekatan yang baik, kalau tak fikirkan apa pula konsekuennya pada interpretasi pelajar.

"Apahal letak gambar Mawi tengah tersenyum ni? Takkan UIA nak promote dia pula? Nak suruh semua masuk Akademi Fantasia? Apa kejadah?"

Pandai, pandai. Orang yang semacam ni memang ramai. Bab bercakap pasal agama nombor satu. Tapi nak laksanakan tu jadi satu hal besar pula.

Ah, peduli apa lagi pada apa yang pelajar fikir? Mereka memang lebih suka kutuk daripada ambil pengajaran dari apa yang telah diusahakan oleh pihak atasan.

Akhirnya, kisah ini berlalu juga. Ya lah, semuanya tetap akan berbalik kepada diri sendiri. Pandai-pandailah korang. Orang dah nasihat tak nak dengar. Kalian dah bertanggungjawab dengan dosa pahala diri sendiri.


Isu 2: Realiti TV

Malunya saya bila uncle sebut 'Mencari Cinta'. Takkan dia maksudkan lagu 'Mencari Cinta' Devotees? Dah tentu apa yang ada di kaca televisyen.

Saya dah pernah tonton sekali sewaktu cuti tengah semester di rumah tempoh hari. Malunya macam tak sanggup nak lihat lagi.

Pelik bin ajaib sungguh. Takjub saya lihat betapa 10 lelaki ni nak popular [agaknya, tapi sebab apa lago?] sampai sanggup korban maruah sebagai bakal pemimpin dan ketua keluarga.

"Masyarakat Melayu khususnya berpegang teguh dengan adat dalam mencari jodoh. Namun, apabila 10 orang jejaka terpaksa berebut bertanding sesama sendiri untuk merebut hati seorang wanita, hal ini jelas mencemarkan budaya dan tatasusila kita. Malah si jejaka terpaksa melakukan sesuatu untuk menawan hati si gadis.

Dalam hal ini, di manakah maruah si jejaka? Adakah wanita tersebut seorang yang begitu sempurna, sangat berbudi bahasa dan solehah? Malah keluarga si gadis akan menjadi lebih sudu dari kuah untuk memilih pasangan hidup adik mereka.

Pelbagai kelemahan si jejaka didedahkan. Malah si jejaka terpaksa keluar dengan si gadis untuk memenangi hatinya. Inilah yang digambarkan melalui siri Mencari Cinta. Di mana sensitiviti kita? Di mana para budayawan dan karyawan kita? Di mana para ahli agama dan ustaz-ustaz? Apakah kita ingin biarkan kemungkaran ini terus berlaku?"

[Saharom Abd Aziz, Editor Malajah i, Oktober 2005]


"Saya hairan bagaimana masyarakat Malaysia boleh menerima program seumpama ini. Ini mungkin sesuai dengan budaya masyarakat Barat, tapi sama sekali tidak sesuai dengan budaya masyarakat Melayu yang penuh dengan adab sopan dan akhlak mulia. Calon lelaki yang cuba merebut cinta seorang wanita, disingkir seorang demi seorang, seolah-olah mereka tidak ada maruh diri."

[Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid, Pensyarah di Jabatan Usul Fikh, UM]


[Untuk pengetahuan, Akademi Fantasi menggunakan format La Academia dari Mexico, Malaysian Idol berilhamkan rancangan American Idol dan Mencri Cinta berdasarkan program Bachelor Lorette.

They have said it all. Dan saya yakin, rasional semua orang pun cakap benda yang sama. Tapi, siapa yang dengar? Siapa yang patut ambil tindakan?

Semua orang asyik nak tuding jadi, bazir tenaga [bukan air liur] kata itu ini dalam forum. Er, ada ke mana-mana menteri yang baca tulisan kita?

Dan saya tak rasa pun, ada seorang yang pernah tanya betul-betul persoalan-persoalan yang selalu kita timbulkan atas identiti Mawi pada Mawi sendiri. Macam mana nak selesai masalah?

Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi dalam temubual pun ada sebut cadangan beliau supaya media tv dan radio diletakkan di bawah satu kementerian saja iaitu Kementerian Penerangan supaya kerajaan boleh menyusun program-program tv yang lebih sesuai untuk masyarakat Melayu.

Suara kita jangan cuma di sini. Mesti terus didengari pihak berwajib. Tak mahu masyarakat Melayu jadi macam masyarakat yang cuma seorang kanak-kanak yang boleh kata, "Eh, kenapa semua orang kata baju raja tu cantik? Dia kan berbogel?"

Bukalah mata, bukalah hati. Kita hidup ni bukan sebab sesiapa, tapi inna solati wanusuki wamahyaya wamamati LILLAHI RABBIL ALAMIN. Hidup ini atas nama ALLAH dan agama-Nya. Tak ada kepentingan lain yang lebih penting daripada kepentingan kita di sisi-NYA.

Mencari cinta haluan sempurna
Cari cinta namun tak ketemunya
Mencari cinta devosi jiwa
Cari cinta belum kuketemunya

Lemah serba serbi mahu itu mahu ini
LUPA SITUASI DUNIA DAN REALITI
Bimbingku dalam mencari-MU
Bimbingku kasih bertemu dengan-MU...

alpha


Alpha beta gamma
Hubbal mali hubban jamma
Bila dukka dakkan dakka
Dan hadirnya saffan saffa


Salamz :) [ingatkan Akbar ambil trademark saya bila bagi mesej ;p ]

Baru jumpa ayat al-Qur'an yang dimaksudkan dalam lirik lagu Alpha, Devotees ni. Saya tahu ramai yang pernah terlintas tapi tak ingat di mana. Tahu ramai yang mencari, tapi belum jumpa [atau ada yang dah jumpa]. Kebetulan mengaji, terlintas ayat yang familiar ni [teruk betul, bukan lirik lagu tu yang familiar, tapi ayat al-Qur'an]. Lambat pun, kira ok la sebab tak tanya Devotees sendiri :)

Ayat yang dimaksudkan ialah ayat 20 hingga 22 dalam surah Al-Fajr:

20. Wa yuhibbun almaala hubban jamma
dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebih-lebihan.

21. Kalla iza dukkatilardu dakkan dakka
Jangan (berbuat demikian). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut,

22.Wajaa arabbuka walmalaku saffan saffa
dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.


Kisahnya mudah. Banyak contoh-contoh yang disenaraikan dalam ayat-ayat sebelumnya. Kaum 'Aad (6), kaum Tsamud (9), dan kaum Fir'aun (10). Kisah mereka yang leka dengan kesenangan dan kemewahan dunia sehingga abaikan akhirat.

Macam dalam lagu Lament juga.

Jumped into the monies
And never looked back
Moved away from righteousness
You want it all
And don't care if you fall
You wanna see the world
You wanna to be the world.


Ada link tak dengan kita? Kena cari contoh ni. Bila masa kesnya yang orang utamakan dunia hingga korbankan akhirat?

Buat kerja sehingga lupa solat?
Study lewat malam sampai tak subuh?
Cari duit dengan cetak rompak hasil karya orang lain?
Utamakan lapar perut sampai sanggup mencuri? [henset, laptop, motor...]
Ikut apa yang masyarakat nak sampai korbankan agama? [contoh: artis kita la...]

Pengajaran lain: Kalaulah setiap surah dalam al-Qur'an dilagukan macam lagu Alpha yang best ni, gerenti habis satu al-Qur'an saya baca, sebab nak cari maksudnya.

Jahat tak? Sebenarnya tak khatam lagi maksud ayat al-Qur'an walaupun dah khatam baca banyak kali.

Well, it seems to be one of the answers.

Jadi, apalagi penansyid-penasyid kita? Cari apa yang perlu mengikut keutamaan. Translasikan maksud kata-kata Tuhan dalam al-Qur'an atau kata-kata Nabi dalam sunnah Baginda. Bukan sekadar melagukan sesuatu yang common sense yang sebenarnya ramai boleh fikir sendiri.

Back to the root.

# Jemputlah ke 'Malam Amal Impresi Seni' anjuran PIBG sekolah Al-Amin. Artis dah tukar sebab Brothers, Rabbani dan Nowseeheart ada program lain dalam jadual. Jadi, yang datang mungkin kurang sibuk. Devotees, SaffOne dan Dehearty.

# Album sulung Devotees dapat sambutan hebat. Rata-rata peminat nasyid puji lagu-lagu mereka. Saya pun suka :)

Sunday, September 18, 2005

nisfu syaaban

Hari ni 15 Syaaban atau nisfu Syaaban. Buku amalan kiri dan kanan kita akan ditukar dengan yang baru bermula maghrib semalam. Selepas tu, dosa dan pahala kita akan mula dicatat dalam satu buku yang baru.

Adakah ini bermakna apa-apa pada kalian?

Bulan Ramadhan juga tinggal 2 minggu saja lagi. Satu lagi masa untuk bina azam.

Untuk pengetahuan, saya tak pernah buat apa-apa azam, sempena apa-apa pun. Tahun baru masihi? Tahun baru hijrah? Hari kelahiran? Nisfu Sya'aban? Ramadhan? Tak pernah.

Sebab itu agaknya saya tak pernah rasa apa-apa atas sebarang pencapaian. Seolah-olah, kalau ada adalah. Tak ada pun tak apa. Sebabnya, saya tak pernah tahu [mungkin belum] apa yang saya mahu dalam hidup ini.

Saya kalah dengan Fitri, adik lelaki bawah saya. Kami bermesej sakan malam kelmarin. Keluarga saya ada di rumah Wak Ani, kakak sulung mak di Labis, Johor. Mereka akan ke majlis kahwin Bibik Winda di sana. Embah ada di Jakarta sekarang, bersama rombongan kampung Bukit Tunggal. Sebab tu mereka tak pulang ke kampung.

Jakarta... asalan saya yang tak pernah dijengah... ingin juga ke sana... Suatu hari, insyALLAH suatu hari.

Fitri kata yang dia nak jadi pro mangaka atau animator. Yakin sekali. Siap berjanji dengan sahabat mayanya, Kylee untuk bertemu jika mereka telah ke peringkat antarabangsa nanti. Sila rujuk http://riza.deviantart.com.



Saya bangga dengan Fitri. Dia tahu ke mana dia akan pergi. Azam itu yang membuatkan dia bersungguh-sungguh dengan apa yang dipelajari sekarang. Rekabentuk dan Grafik, di Politeknik Johor Bahru.

Saya boleh sebut pasal Tuhan, pasal dosa dan pahala, pasal Islam. Tapi saya memang tak boleh cakap apa-apa pasal masa depan. Belum ketemu apa yang saya mahu.

Harapnya saya akan. Akan ada seseorang yang menjentik sedar itu keluar dari dalam diri. Seseorang... yang saya belum tahu siapa.

:)

di barisan hadapan

Kagum sungguh saya dengan mereka yang berani berada di hadapan masyarakat. Menjadi tontonan, menjadi idola.

Tak kisahlah penyanyi nasyid, SRC atau Mawi. Sama saja.


Tahniah buat Mawi sebab dapat rangkul anugerah pilihan DiGi pada malam Anugerah ERA kelmarin walau belum sampai sebulan pun jejak ke bumi glamor, bumi artis.

Tahniah juga buat Mirwana sebab buat kali kedua dapat gelaran artis nasyid terbaik. Aku tanpa cintaMU... memang tak bermakna apa-apa.

Semasa jadi penyampai anugerah nasyid terbaik, Umi Aida tanya Farah AF2:

"Nampaknya ramai kumpulan nasyid hari ni guna ARTIS KITA dalam lagu MEREKA. Bila pula Farah nak menyanyi bersama dengan artis nasyid?"

"InsyaALLAH suatu hari. Tengoklah." Jawab dengan sangat tak yakin.

"Tapi jangan lupa, nak nyanyi nanti Farah kena pakai TUDUNG MAWI!"

"Tudung Mawi? Ah, ye..." Ada getaran tak sedap hati dengan persoalan yang dikeluarkan Umie Aida. Umie Aida nampak selamba saja. Teringat pula lakonannya dalam Qaisy & Laila. Ya, pakai tudung di bumi Afghanistan.

ALLAH... hukum-MU jadi permainan ya? Ampun ya ALLAH... Astaghfirullah...

*Bukan mereka yang seperti ini yang jadi kaguman aku.


Apa saja yang mereka lakukan akan jadi jaminan kepada yang menyaksikan bahawa mereka dapat pelepasan untuk melakukan perkara yang sama.

"Eh, dia tu boleh buat macam tu, kenapa aku tak boleh?!"

Mereka kata, rasa tanggungjawab itu hadir bila kita dah berada di tempat itu sendiri.

Sama juga dalam menjadi isteri orang atau mak orang. Dah ada suami baru tahu macam mana nak jadi isteri. Dah ada anak baru tahu macam mana nak jadi mak. Benda-benda macam ni nak dapat pengalaman dari mana? Tak ada sebelum yang kali pertama.

Tanggungjawab mereka yang berada di kalangan mereka yang jahil atau pura-pura tak tahu pasal agama ini lebih besar.

Tak pasal-pasal kena jadi pemimpin sekali.

Sebab, jika mereka yang terpilih ke hadapan itu pun pandang sebelah mata, mereka cuma tempah murka ALLAH. Tahu tapi tak buat. Baik tak payah ke hadapan langsung.

Betul tak kalau saya sebut: Mawi kena mula usaha dakwah antara rakan artis supaya sekurang-kurangnya mereka tahu asas agama.

[Benda ni sepatutnya dilakukan pada orang bukan Islam, bukan pada orang yang dah sedia Islam]

Orang yang berilmu itu juga galas tanggungan yang sama, walau bukan di pentas sohor dunia. Ilmu itu adalah amanah dari ALLAH untuk disampaikan kepada orang lain.

Pelajar universiti memang dipandang tinggi oleh orang luar, walaupun mereka tak jawat SRC atau sebarang jawatan lain dalam universiti. Orang luar tak tahu itu. Apa yang mereka peduli ialah pelajar universiti ialah seseorang yang terpelajar, lebih bijak daripada mereka. Jadi, pelajar universiti pasti dapat buat sesuatu yang lebih baik daripada apa yang mereka buat.

Walau realitinya, usaha dan praktik orang luar lebih releven daripada pelajar universiti yang terkurung dalam lingkungan orientasi peperiksaan.

Andainya mereka tahu...

Atau, nak mula buat sesuatu agar mereka takkan pernah tahu?

;)

Friday, September 16, 2005

minta bantu

Dah pernah tanya soalan ni.

Siapa tahu macam mana nak dapat skil komunikasi dan kepimpinan?

Respon tak best sangat. Suruh baca buku motivasi itu, buku karisma ini.

Nak tukar sikit.

Siapa boleh bantu saya bina skil komunikasi dan jadi seorang pemimpin?

Banyaknya perkara yang saya tak boleh buat sendiri tanpa kedua-duanya.

Atau, positifkan sikit ayat, banyaknya perkara yang saya boleh buat jika saya ada kedua-duanya.

Tuesday, September 13, 2005

AMAR

Semalam, AMAR dah beri saya dan Along VCD silap mata dia yang dia janji nak beri. Katanya kami berdua yang pertama dapat. VCD 'AMAR IPT MAGIC' baru dipasarkan kelmarin. Terima kasih AMAR, jadikan kami berdua antara 10 orang yang layak dapat sampel artis.

"Berapa sen?"

"Takpelah, percuma untuk model." Hehe...

"Bukan kami patut dapat komisen ke?" AMAR senyum je.

"Ni sample artis je."

"Kami ambil ni, AMAR ada simpanan lagi tak?"

"Ada. Saya dapat 10."

"10?! Banyaknya sampel untuk artis?"

"Sepatutnya 25." tersembur saya. "... yelah, nanti nak beri keluarga, kawan-kawan, takkan nak minta diorang bayar."


Ok, ok, tak tau, informasi baru, tengah belajar juga ni. Belajar? Untuk apa Mira? Jadi artis? Hehe...

Terima kasih AMAR, terharu sangat! :)

Ok, tau AMAR takkan baca ni, saya tak boleh nak cakap terima kasih banyak-banyak di sini, tapi nak tunaikan janji untuk uar-uarkan pasal VCD ni pada semua melalui dunia maya ni.

Jadi, siapa yang berhajat untuk tonton koleksi silap mata AMAR, bolehlah dapatkan di pasaran ye? Edisi terhad. Siapa cepat dia dapat :)

Saya tengok jadi sampai tepu otak, tak tahu nak fikir apa lagi. Jadi, saksi sajalah. Gelak sakan bila sampai adegan muka terkejut mereka yang lihat persembahan silap mata AMAR. Muka konfius :)

Itulah cara penghibur yang seorang ni menghibur dan membuat orang gembira. Tahniah.

Dan, lebih tahniah untuk diri AMAR sendiri sebab berjaya kenalpasti potensi diri. Berjaya jelajah diri kata Along.

[Macam mana AMAR boleh tahu kita fikir nombor berapa antara 1 dan 100 dengan tengok muka je? Hish!!!]

Tunjuk ajarku sifu! Nak minta jadi protege, boleh? :)

journey to the... innerself

Sebetulnya, aku jadi kagum dengan aturan perjalanan hidup yang ALLAH tentukan untuk aku. Aku tahu aku tak pernah buat apa-apa dalam hidup yang benar-benar sangat significant dan bermakna.

Aku pernah rasa SANGAT rendah diri sebab pendiam. Dulu, aku tak pernah ada sahabat yang benar-benar sejati. Kawan pun tak ramai. Sebab, aku tak pandai nak masuk dengan mereka yang sangat ceria dalam dunia kecil mereka. Aku terabai.

Sebab tu, aku sedih bila ada sahabat-sahabat yang sengaja menjauhkan diri. Seolah-olah, aku masih berada dalam kepompong 'kekurangan' itu. Tak boleh keluar.

Kalian tak boleh bayangkan macam mana pendiamnya aku dulu bila lihat aku yang sekarang. Tak tahulah macam mana nak gambarkan bagaimana sunyinya aku waktu tu. Mujur ada ramai adik di rumah.

Pernah cikgu kelas semasa aku di Tingkatan 1, Cikgu Khairiyah tanya pada abah dalam sesi ambil kad laporan.

"Amira ni di rumah pendiam juga ke?"

"Eh, taklah!" Jawapan abah. Tak tahulah apa yang cikgu fikir waktu tu :)

[Saya tak tahulah pasal orang lain, tapi bagi saya, agak susah nak samakan perwatakan di rumah dengan di luah rumah. Entahlah kenapa]

Sekarang ni pun masih dalam belum dalam kategori peramah [mesra tu mungkinlah ;p ].

Cuma, sepanjang hidup ni, aku sedar yang aku ni mudah sangat dapat apa yang cuma TERDETIK saja dalam hati. Semua yang aku pernah dapat, tak pernah diimpi pun, sebab serasanya, dengan keadaan aku yang 'tak pandai bercakap ni', aku takkan dapat semua tu.

Tapi nyata aku silap. Atas kekurangan [atau sekurang-kurangnya apa yang aku rasa], ALLAH sebenarnya datangkan sesuatu yang lain sebagai memuaskan hati aku untuk tutup kekurangan itu. Subhanallah, sayang benar KAU pada hamba-hambaMU...

KAU tak nak aku rasa sedih kan?

Sekarang air mata menitis lagi. Bukan sedih, tapi terharu sangat. ALLAH beri pula aku sahabat-sahabat yang tak pernah aku ada dulu. ALLAH hantar mereka untuk temankan perjalanan dan perjuangan hidup. Teman-teman sefikrah yang boleh sama kongsi rasa, suka dan duka, cita dan cinta.

Kerana mereka, aku jadi kuat untuk kenal dan hargai diri. Aku jadi berani untuk kejar minat sendiri. Sekarang, macam dalam Hurricane Model, semakin jauh aku berjalan, gambaran itu semakin jelas. Gambaran diri. Tamsilan Amira Hariyati yang sebenar.

Tak percaya rasanya bila peminat nasyid ni dah sampai tahap bersahabat dengan artis nasyid. Sungguh tak pernah terbayang.

[Sebelum ni cakap yang sama, tapi ganti nasyid dengan lelaki. Sekarang ni boleh kata orang lain pun hairan, macam manalah budak ni boleh ada ramai kawan lelaki? ...Tapi pakwe tak pernah ada. Haha! -- Er, tapi, aku sebenarnya hairan juga :p ]

Ya, memang tarikan lagu Akrab Persahabatan [In-Team] yang dibawa sebagai lagu tema ANSARA UIA semasa ke MRSM Kuantan dulu yang menguatkan keinginan untuk ke UIA. Semasa di MRSMlah aku perasan yang aku ni memang cenderung ke arah muzik terutama lagu.

Lagi pula AMAR dah teka yang lebih kurang sama. Katanya aku suka menyanyi. Aku pula ya, er, a, iya, iya, iya ke? Betullah tu kot! ;p

Tapi aku takkan di sini jika ALLAH tak izinkan. Dahlah tak isi pun borang matrik kementerian, sekali tak dapat ke matrik UIA, tak dapatlah ke mana-mana IPT. Tapi alhamdulillah, ALLAH tahu apa yang terbaik untuk aku. DIA beri aku jalan ini.

Dan di sini, aku belajar banyak perkara. Aku dapat banyak peluang puaskan diri yang tak pernah ada sebelum ni. Sebab ALLAH dah tunjuk peluang-peluang tu, aku kena usaha sendiri pula. Inilah perjuangannya. Bermula di sini. Bermula di hati. [Saujana]

Sampai sekarang, aku belum tahu dan tak pernah begitu pasti akan cita-cita aku yang sebenar [dalam konsep yang kanak-kanak selalu jawab bila cikgu tanya]. Oh, Pakdi, secara tepatnya, senarai 10 perkara 10 tahun akan datang tu masih kosong. Bukan tak boleh kalau nak letak apa-apa, tapi belum jumpa yang betul-betul kena dengan hati.

Yang pastinya, akan aku usahakan kecenderungan minat itu jadi salah satu aktiviti aku selepas ini, walau selama mana pun ia mampu bertahan. Pasti! [Perlu sangat sokongan daripada teman-teman sefikrah ni untuk sentiasa pastikan adanya semangat itu]

Terima kasih Tuhan! [Eh, Mawaddah pula ;p ]

gerak hati

"Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih."


Pernah dengar rangkap nasyid evergreen di atas? Pernah faham?

Pandangan mata tentu tak selalunya benar walaupun ada orang kata mata tak boleh menipu. Pernah dengar ilusi optik? Logamaya? Atau nama lainnya fatamorgana yang dalam bahasa inggerisnya disebut 'mirage'?

Silap mata juga ada guna teknik ilusi optik, selain yang ramai sedia maklum teknik kelajuan.

Ahli silap mata [yang tak menggunakan sihir atau bantuan syaitan] adalah mereka yang berilmu terutamanya dalam fizik dan kimia. Ilusi optik dan matematik ada dalam ilmu fizik, dan kalau yang main silap mata guna api dan sebagainya guna ilmu kimia.

Just seeing is not supposed to be believing.

Pandangan akal selalu tersalah. Akal cuma ikut logik, dan logik tak boleh dapat gambaran sesuatu keadaan sepenuhnya.

Akal kata kalau benda itu ada, jadi benda itu wujud. Tapi ALLAH tak ada, ALLAH tak wujudkah? [Baru teringat kata Dr Zaini dalam kelas Islam, Knowledge and Civilization, perbezaan perkataan ada dan wujud, supaya kita tak silap guna].

Sebab itu diturunkan wahyu untuk memandu akal. Di sinilah fungsinya iman atau keyakinan.

Lain, logiknya, semua orang nak berjaya. Tapi kenapa tak semua orang berjaya? Padahal, semua orang ada akal. Sila-silalah fikirkan.

Pandangan nafsu? Dah tentu tak boleh nak dipakai.

Tapi pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih.

Macam mana hati memandang ya? Atas ukuran apa? Yalah, kalau mata, kita boleh lihat, kalau akal boleh fikir, kalau nafsu, desakan untuk keperluan dan keselesaan hidup. Hati?

Hati raja diri. Hati adalah penghubung hamba dengan TUANnya. ALLAH beri sixth sense bukan pada seorang dua, tapi pada semua manusia. Kuat atau tidak saja bezanya.

Sixth sense. Gerak hati. Macam mana ia berfungsi ya? Macam mana cara nak kuatkan gerak hati? Supaya nanti boleh jadi macam Pheobe dalam Charmed atau Tru dalam Tru Calling? [eh, ini contoh saja, kalau dah Barat, adalah unsur-unsur 'barat'nya]

Contoh untuk kita, gerak hati ni sinonim dalam 'mencari cinta'. Nak cari pasangan hidup guna gerak hati. Yang orang putih kata 'chemistry'. Nak kuatkan lagi gerak hati tu yang kena buat solat hajat, solat istikharah, minta petunjuk dari ALLAH.

Kita cakap gerak hati sebab ALLAH tak beri jawapan terus-terang depan-depan. Kalau ada datang dalam mimpi pun boleh keliru lagi, ini petunjuk atau mainan tidur semata? ALLAH datangkan petunjuk melalui gerak hati.

Gerak hati ini bukan silap mata atau sejenis ilmu yang kena belajar. Gerak hati ni memang ada pada semua. Saintifiknya, sila tanya pihak CVT, Color Vibration Therapy sebab mereka guna ilmu ni.

Dari apa yang mereka terangkan pada saya dahulu, gerak hati ni ada dalam ilmu sains, teori fizik. Gerak hati guna getaran atau resonans yang mediumnya molekul udara.

Yang menerangkan masa program Kids of the World lepas kata, setiap gerakan ada getaran. Hati kita bergetar mengikut perasaan [walaupun disebut gerak hati, tapi hati tak bergerak ya? Cuma bergetar di satu tempat :) ].

[Saya lebih selesa rujuk hati sebagai jantung, sebab jantung yang berdegup bila 'kuch kuch hota hai'. Hati? Hmm... budak biologi, minta bantu!]

Perasaan kita mempengaruhi pengeluaran hormon dan enzim dalam badan. Bila hati bergetar, molekul di sekeliling akan turut sama bergetar.

Analoginya seperti baru-baru ni, orang buat kerja pecah batu jauh di tempat lain, tapi rasanya sampai ke kolej. Bergegar bangunan. Yang lebih kuat impaknya melalui gempa bumi. Satu tempat terkena, yang berhampiran pun akan terasa.

Beliau beri contoh, kadang-kadang kita yang duduk jauh dari rumah ni rasa tak sedap hati je. Macam ada sesuatu yang berlaku di rumah. Bila telefon rumah tanya khabar, mak kita tengah demam. Tapi macam mana kita dapat rasa? Lebih kurang macam tu la.

Bila kita hendakkan sesuatu, kita minta dari yang empunya, kan? Macam yang seorang penceramah semasa kem usahawan lepas sebut, kita nak printer, digicam, PDA dan sebagainya, sebenarnya kita bukan minta pada tokei kedai, tapi kita minta pada ALLAH.

Kita nak minta naik gaji, bukan minta pada bos, tapi pada ALLAH. Sebab semua yang wujud di alam semesta ini, apatah lagi yang cuma di dunia ini adalah milikNYA. DIA pemilik hak segala sesuatu yang patut kita minta.

ALLAH Maha Pemurah. Mintalah apa saja, DIA sedia dengar dan bantu. Takkan kenakan charge pun. Mintalah sebanyak mana, ALLAH akan sentiasa rindu untuk dengar permohonan dan rayuan hamba-hambanya.

Jadi, nak dapat gerak hati yang kuat, kenalah minta daripada YANG MENCIPTA.

Siapa minta dia dapat. Tak minta, tak dapatlah.

13 going on 30

Baru usai tonton '13 Going on 30', lakonan Jennifer Garner dan Mark Ruffalo. Ya, cerita lama, tapi saya baru saksi :)



Ceritanya agak tak logik [memang tak logik pun bila Jenna Rink dapat lihat dan lalui masa hadapannya dan masih boleh kembali ke zaman silam]. Tapi, sayang bila kita pun akan jadi seperti Jenna yang dah berusia 30 tahun tu.

Dia dapat apa yang diimpikan, untuk jadi seseorang dengan nama dalam masyarakat, bekerja sebagai pegawai tertinggi dalam syarikat penerbitan majalah yang selama ini diidamkan dan dipandang cantik kerana status dan harta.

Tapi dia hilang keluarga, dia hilang kawan, dia hilang peribadi. Dialah si Tanggang perempuan barat.

Lantas, Jenna cari Matt, sahabat karibnya sewaktu berusia 13 tahun untuk mengungkai segala rahsia dalam 'mencari diri'.

Takkan datang bahagia bila kita asyik nak puaskan hati orang lain tanpa ambil peduli apa yang kita sendiri inginkan.

Gembira menjadi diri sendiri dan menggunakan apa yang kita ada sebagai kelebihan kita adalah yang terbaik untuk kita. Kita semua cantik. ALLAH jadikan manusia dengan SEBAIK-BAIK kejadian. Dan setiap kejadian pasti ada manfaatnya.

Dan, bila segala-galanya seakan-akan menjauh, pulanglah pada akar kehidupan, sumber segala. Pasti kita akan peroleh semuanya kembali.

p/s: I wonder, what have I done in the past 21 years of living...? I went through 13 and I am approaching 30 [of course not this year!].

Monday, September 12, 2005

kisah hari minggu

1. Air

Buat kali kedua selepas kejadian jerebu tempoh hari, saya lihat berduyun-duyun pelajar perempuan dengan beg baju masing-masing pulang ke rumah.

Saya? Masih 'cekal' di sini. Air ada saja di tangki bekalan air yang dibawa ke setiap kolej. Tinggal nak ditadah saja. Tak perlu sampai ke Kuantan cari air kan?

Terdetik juga dalam hati bila lihat sisters beratur dengan baldi masing-masing tunggu giliran tadah air di paip air luar blok saya. Ramai!

"Kalaulah aku tawarkan pada mereka khidmat angkut air ke bilik diorang dengan RM5 seorang, huish, kaya!" ;p

Tapi tak jadilah, tak cukup kudratnya nak angkat seorang. Buatnya setiap seorang bilik di tingkat 4 atau 5? Nak buat ranger tak sempat pula. Sahabat semua sibuk dengan urusan sendiri masing-masing [baca: tak ada halnya aku nak buat kerja tu!].

Biasalah, nak mula bisnes dengan ide baru ni, banyak halangannya. Dan sebahagian besar halangan-halangan itu dicipta oleh diri sendiri. Betul tak Pakdi? Kalau nak, sebenar-benarnya boleh saja. Setakat tawarkan khidmat angkut air.

[Haha, dah fasih maksud duit ada di mana-mana :) ]

Nak fikir malu, sampai bila pun tak gerak. Percaya atau tidak, orang Melayu ni selalunya kalau nak buat sesuatu, kena tengok orang lain mulakan dulu. Sekali dah nampak, mereka pun akan ikutlah.

Macam di Kem Motivasi Usahawan Mahasiswa lepas, nak makan makanan alas perut untuk makan pagi atau petang [bihun, kuih, dll.] yang disediakan di luar dewan pun jadi masalah. Kerusi tak disediakan. Ha'ahlah, tu satu bisnes yang tak terfikirkan. Pelik bila makanan ada, kerusi tak ada.

Jaga standard punya pasal, sanggup makan berdiri. Alahai orang Melayu. Makan dan minum berdiri ya?

Bila saya dah jumpa satu sudut strategik untuk duduk [tak kotornya, atas karpet, kata hotel?], mulalah orang lain pun [masih sisters saja] ikut duduk.

Tapi bukan dalam setiap hal saya mampu mulakan dulu... :)

Tapi, lain pula kesnya, bila dah nampak ramai yang buat, dia tak nak buat pula dengan alasan persaingan banyak sangat. Nanti tak ada orang nak guna servis atau beli barang aku!

Dalam tempoh satu jam pada Sabtu lepas mula jam 2.00 petang, elektrik di blok asrama saya terputus sebentar. Tak boleh nak buat apa dalam kepanasan tu, apalagi? Tidurlah! Hehe...

Sekarang elektrik ada. Walaupun tak ada air, katanya sampai Rabu ni, saya masih boleh gembira sebab masih boleh guna komputer :)


2. Konsert

Tiba-tiba, pulang saja dari cuti pertengahan semester [saya pulang juga walau cuti cuma tinggal 2 hari], kejapan UIA jadi meriah.

Mula dengan iPS Rabu lepas, semalam ada pula konsert nasyid amal anjuran Caring Club. Dah tentu saya tak ketinggalan, lebih-lebih lagi bila dapat tiket percuma :) Eh, janganlah salah faham, kan saya tolong mereka jual tiket?

Konsert semalam menampilkan Mirwana [lepas mereka dah popular ni, teruja pula nak saksi konsert], Mestica, FarEast [pun salah satu kumpulan nasyid yang cuba ikut jejak Mirwana], Al-Masaar, Amrain [perkusi dan menyanyi sekali], dan OneFaith, kumpulan abang-abang saya yang sangat 'peramah' dan berbakat tu. Oh lupa, Ajeen sekali [sebab dia bukan pangkat abang :) ].

Jumpa lagi Amar di konsert :)

Terima kasih Dr Ariffin dari Kem Motivasi Usahawan Mahasiswa lepas, sebab cukupkan kuota tiket yang saya jual untuk dapat yang percuma itu :p

Saya ni bukan promoter yang baik [lisan saja, tulis boleh tahan :) ]. Masih dalam pembelajaran. Tunjuk ajarku sifu! Ahaks!

Rabu ni ada satu lagi konsert nasyid amal. Tapi anjuran pihak luar. PIBG Sekolah al-Amin. Ada Rabbani, Nowseeheart dan Brothers Reunited. UIA juga yang dicari untuk tapak konsert. Biasalah, tak boleh nak dinafikan, dah sinonim sangat. Untung CAC dapat bisnes lagi.

Dan, untung juga kami, boleh buat bisnes sendiri. Apa dia? Tunggu! InsyaALLAH, kepada yang datang konsert Rabu ni akan tahulah :) [tak pasal promote konsert orang pula]

Sebelum Rabu [Selasa, esoklah], datang pula A. Samad Said, Faisal Tehrani, Rahimidin Zahari dengan geng-geng seni yang lain ke UIA. Entah program apa yang mereka nak buat, saya pun kurang ambil tahu. Along dengan Fahmi mesti ambil tahu kan? :)

Haha, meriahnya UIA. Macam ni baru best :)

Lagi meriah bila ada sahabat sejuang dan sefikrah macam Along, Paan dan Fahmi, serta mentor macam Pakdi. Terima kasih kasih semua, jadikan hidup saya lebih bermakna :)

Pakdi, terima kasih sebab beri cuti sekali lagi kepada penduduk bumi gersang UIA :)

Thursday, September 08, 2005

ips



Nak ulas apa yang abang Ajim cakap masa post mortem i-Pocket Show semalam.

Katanya, komiti ni ada dua jenis; thinker and worker.

Thinker ini juga boleh jadi worker, tapi tak semua worker akan jadi serious thinker.

Thinker inilah yang menggerakkan program, mengambus mana silap dan kurang. Thinker ini kebanyakannya terdiri daripada mainboard yang kerjanya kata kau buat itu, kau buat ini. Thinker yang bagus ialah yang turut sama buat apa yang dia arahkan orang untuk buat.

Selalunya memang macam ni pun. Ada juga yang hanya thinker yang buat kerja. Atas pelbagai sebab.

Siapa worker? Worker pula yang bukan mainboard, bukan headcom, juga bukan headcomah [assistant headcom]. Pendek kata, dia ni subcom biasa, yang kepentingannya tak jelas dinyatakan dan diiktiraf dalam jobscope.

Kenapa worker susah nak jadi thinker?
Sebab kurangnya rasa tanggungjawab untuk laksanakan tugas biro sebaik mungkin.

Kenapa kurang rasa tanggungjawab?
Sebab kehadirannya kurang dikenalpasti. Maknanya, alah, kalau aku tak ada pun tak apa, program jalan juga.

Kenapa rasa macam tu?
Sebab headcom tak pandai nak menghargai sumbangan setiap daripada ahlinya. Ada yang nama subcom sendiri pun tak kenal.

Kenapa headcom jadi macam tu?
Sebab fikir yang subcomnya tahu fikir sendiri apa yang patut dibuat, tak perlu disuruh-suruh.

Jadi, subcom hanya akan laksana apa yang headcom suruh buat. Kalau tak disuruh, tak tahu nak fikir dan pandai-pandai sendiri. Kalau headcom lupa? Alahai, habislah program.

Sekarang, jadi tanggungjawab kedua-dua thinker dan worker untuk mengenalpasti apa yang masing-masing perlu lakukakan.

Thinker dengan tugasnya fikir mendahului orang. Hargai serta pergunakan sehabisnya tenaga subcom yang ada. Sebenarnya, jadi satu motivasi juga untuk subcom lebih bersemangat buat kerja bila diminta lagi buat itu ini dan sumbangannya dihargai.

Subcom perlu buat apa yang sepatutnya dan buka mata untuk lihat keadaan. Perlu jadi sepeka headcom untuk teliti apa yang kurang. Tanya pendapat headcom, dan mula ambil tindakan. Jangan biar semuanya dipikul headcom seorang. Anda sendiri akan dapat rasa seronoknya bekerja apabila ada hubungan emosi dengan bos.

Networking! [Perkataan yang selalu sangat saya dengar dari budak-budak Law]

Faham?

Thursday, September 01, 2005

puji-pujian

Kadang-kadang kita ni selalu dipuji orang dengan perkara yang serasanya tak sinonim langsung dengan kita.

"Wei, aku bukan macam tu la!"

Bukan tak mahu terima pujian, tapi malu juga dengan pujian yang tak cocok dengan diri sendiri. Tapi, orang kata, kawan ni macam cermin diri. Mereka akan beritahu apa yang kita tak nampak. Macam Along kata, kawan yang akan tegur jika baju kita kotor.

"Dah aku memang nampak kau macam ni, nak buat macam mana?"

Daripada buka pekung di dada kata yang kita ni sebenarnya kurang daripada yang dikatakan, baik kita jadikan diri kita seperti pujian itu kan? Manatahu yang kita sebenarnya memang ada potensi untuk menjadi yang lebih baik?

Tak tumbuh tak melata, jika tak sungguh aku tak kata.

:)

Wednesday, August 31, 2005

merdeka

Hari ini rakyat Malaysia sambut merdeka. Sambutan tahunan dengan tujuan mengenang kembali pengorbanan dan kesusahan datuk nenek kita dahulu dalam mendapatkan kembali tanahair yang tercinta ini [untuk mereka] daripada genggaman penjajah.

Ironinya, sambutan ini cuma sebagai cuti untuk kebanyakan rakyat negara merdeka, Malaysia.

Pelajar negara lain tak apalah, berada di sini, tumpang gembira sebab dapat cuti. Kadang-kadang, mereka yang lebih ingat akan tarikh 31 Ogos ini.

Benar-benar patriotik dan merdekakah kita jika mengenakan bendera Malaysia saja sebagai pakaian penutup tubuh?

Itu kes seorang peramugari yang baru nak kenal dunia.

Kembali pada diri sendiri saja.

Sambutan countdown di sini semalam memang sungguh dapat sambutan penuh seluruh warga universiti. Tak muat tangga besar simbol gahanya universiti itu menjadi tempat temu semua. Sehingga kedua-dua dinding tangga pun dipanjat oleh pelajar-pelajar lelaki. Seram juga, takut jatuh nanti. Dahla beramai-ramai di atas tu.

Di lantai jalanan yang selama ini jadi laluan kenderaan pun diduduki. Hampir ke pentas juga limpahan pelajar. VIP pun tenggelam dek banjiran mereka.



Berbeza benar dengan tahun lepas. Mungkin sebab tahun lepas ramai yang pulang ke rumah, atau promosinya tidak sehebat yang kali ini, tak ramai yang hadir. Entah, tak pasti pula.

Pelbagai persembahan dihidangkan kepada yang hadir. Tapi, mengikut perkiraan saya, tak ada satu pun yang benar-benar mengarah pada mengenang kembali saat-saat merdeka itu. Kalau nak harapkan pelajar supaya ingat saja apa yang dipelajari dalam subjek Sejarah di sekolah dahulu, hmm... [haha, saya memang tak cenderung kepada subjek yang perlu hafalan].

Dulupun, penggerak untuk tahu lebih pun sebab ada filem 'Leftenan Adnan', filem pertama yang saya tonton di pawagam. Lakonan Umi Aida dan Akashah. Masa itu saya Tingkatan 5. Itupun, cikgu aerobik yang bawa dan belanja. [Sejarah dan aerobik, hmm...]

Persembahan yang ada semalam kebanyakannya cuma membawa kami menghayati kedudukan orang Melayu hari ini di bumi sendiri. Ada juga sajak bertajuk 'Anak' yang terlalu tersirat untuk mereka yang datang cuma untuk hiburan untuk dikaitkan dengan orang Melayu yang semakin lupa diri. Siapa nak fikir?

Nasyid? Ye ke munsyid semalam tu nak release album? Hoho, maaf, tapi persembahan kalian belum cukup mantap. Ramai yang geleng kepala dan tutup telinga. Macam mana nak hayati liriknya pula?



Yorala? Alat muzik yang asalnya dari Australia? Kaitannya dengan merdeka? Heh, dah sah-sah cuma untuk hiburan dan isi masa sebelum jam 12 tengah malam.

Entah, saya pun tak berapa ada juga alternatif persembahan yang sepatutnya diutamakan. Memang sukar untuk mendatangkan keinsafan dalam diri bila yang datang memang cuma untuk isi masa lapang dalam masa yang terhad. Daripada bersesak di Dataran Merdeka, baik di UIA saja.

Cuma, kalau skrin tayangan lebih besar dan terpampang betul-betul di hadapan audien, boleh dicadangkan untuk buat persembahan multimedia dengan tema yang tepat, supaya orang Melayu insaf akan kepayahan orang terdahulu menempuh hidup di bumi sendiri. Tambah dengan efek lagu yang menusuk kalbu, fuh, mengancam!

'Leftenan Adnan' pun ok apa?

Ada lagi ke filem-filem macam tu di pasaran perfileman?

Kalau tak berkesan pada semua, sekurang-kurangnya boleh dimanfaatkan kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan mengenai subjek berkenaan. Kan?

Sambutan semalam, persediaannya kurang kemas. Saya tahu, tak mudah untuk jadikan sesuatu program berjalan lancar tanpa banyak silap di sana sini. Terutama untuk komiti PC dan Prep and Tech. Cuma, yang semalam, agak banyak juga lompongnya terutama dari segi teknikal.

Terbantut semangat pelajar yang dah bersedia nak kibar bendera. Sedihnya bila nyanyian Asma ul-Husna pun jadi haru biru. Pelajar UIA ni tak perlu bimbingan audio untuk ber'asma ul-husna'. Mereka boleh nyanyi dengan baik. Dan dilatih berbelas-belas kali dalam minggu ta'aruf.

Hmm, tak kisahlah tu. Asalkan, mesej merdeka bukan hanya berkesan semasa countdown, tetapi juga semasa countup [hari-hari selepas ulangtahun kemerdekaan].

Salam merdeka.

Semoga kita semua merdeka daripada neokolonis, hedonisme, dan nafsu dunia dan menuju fitrah insani. InsyaALLAH.

dugaan nabi ayyub

Lumrah alam, setiap yang hadir pasti akan pergi. Tiada yang kekal melainkan DIA sahaja. Kehadiran akan membawa seribu bahagia, namun hakikat perit perpisahan itu yang berat untuk ditanggung.

Besar sungguh ikhlasnya pengabdian Nabi Ayyub pada TUHANnya. Sungguh tak tergapai iman yang setinggi itu. Iblis tak pernah puas dengan pujuk rayu yang menyesatkan. Tak berjaya pada manusia, dimohon pula daripada ALLAH sendiri.

ALLAH Maha Mengetahui hati hamba-hamba-NYA, kerana DIAlah yang menjadikan segala. Namun iblis menfitnah Nabi Ayyub. Katanya Nabi Ayyub sentiasa beribadat, berzikir, bertasbih, dan bertahmid kepada ALLAH sebab baginda tak mahu ALLAH menarik nikmat dunia yang dikurniakan.

Nabi Ayyub adalah seorang jutawan dengan puluhan ribu haiwan ternakan, beribu-ribu hektar tanah ladang serta berpuluh-puluh hamba sahaya dan pembantu. Baginda hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak yang soleh.

Namun, untuk memberi kepuasan kepada Iblis, ALLAH membenarkan kekasihNYA diuji. Lalu,daripada seorang jutawan, Nabi Ayyub menjadi papa. Habis langsung mati haiwan ternakan, ladang-ladang menjadi kering, punah gedung-gedung dimakan api.

Nabi Ayyub berkata kepada iblis yang pada masa itu menyamar sebagai seorang tua yang bertujuan memalingkan kepercayaan baginda pada ALLAH,

"Ketahuilah bahawa setiap harta duniawi yang aku miliki adalah hak ALLAH. Tiada salahnya untuk DIA memintanya semula setelah cukup aku menikmati dan menggunakannya selama ini."

"Segala puji bagi ALLAH yang telah memberi kurnia kepadaku dan mengambilnya kembali pada hari ini. DIAlah yang Maha Kuasa memberi kekayaan kepada sesiapa yang dikehendaki dan mengambilnya semula daripada sesiapa yang DIA suka. Kami sebagai hamba-hamba-NYA yang lemah seharusnya menerima qada' dan qadar ini walaupun kadang-kadang kami belum mengerti apa hikmah yang tersirat di sebalik setiap ujian."


Tidak cukup dengan itu, Iblis memfitnah lagi dengan mengatakan Nabi Ayyub masih bertahan kerana baginda masih mempunyai anak-anak tempat baginda berkongsi rasa dan menjadi sandaran pada kemudian hari. Iblis memohon lagi supaya ALLAH mengambil anak-anak Nabi Ayyub dari sisi baginda.

Iblis dan bala tenteranya merobohkan tempat tinggal anak-anak Nabi Ayyub sehingga menghempap mati mereka. Nabi Ayyub yang mendengar perkhabaran itu menangis tersedu-sedu kerana kehilangan ahli keluarga yang amat disayanginya.

"ALLAHlah yang memberi dan DIA yang mengambil kembali. Segala puji bagi-NYA, TUHAN yang Maha Memberi lagi dan Maha Pencabut."

Iblis kecewa dengan kegagalannya keduanya dalam menggugah iman Nabi Ayyub, namun masih tetap tidak putus asa. Iblis memohon pula kepada ALLAH supaya dibenarkan mengganggu kesihatan fizikal Nabi Ayyub dengan alasan, jika dah sakit tentunya baginda jadi malas beribadat dan akhirnya mengabaikan kewajipannya kepada ALLAH.

ALLAH mencabar iblis supaya menguji Nabi Ayyub buat kesekian kalinya. "AKU akan lihat sejauh mana lagi kehebatanmu menguji pilihanKU ini."

Nabi Ayyub menderita demam panas dan batuk-batuk. Wajah baginda pucat seolah tidak berdarah. Kulit baginda tumbuh bintik-bintik. Baginda jadi semakin kurus dan tidak bermaya. Penyakit bagind yang boleh menjangkiti orang sekitar menyebabkan baginda diasingkan.

Hanya isteri baginda sajalah yang setia bersama Nabi Ayyub, menjaga dan merawat baginda dengan sabar dan penuh kasih-sayang walau sakitnya tak nampak tanda akan sembuh. Namun, Nabi Ayyub masih dengan rutin ibadatnya tanpa berkurang sedikitpun.

Iblis marah dan putus ikhtiar. Iblis meminta buah fikir daripada pembantunya.

"Engkau telah berjaya mengeluarkan Adam dan Hawa dari syurga. Bagaimana engkau lakukannya?"

"Dengan memujuk isterinya," jawab Iblis dengan rasa senang hati kerana didatangi helah yang pasti akan berjaya.

Dengan menyamar sebagai seorang sahabat Nabi Ayyub, Iblis mendatangi isteri baginda lalu menaburkan benih-benih penyesalan atas kepayahan yang melanda mereka. Iblis membuatkan isteri Nabi Ayyub mengimbau kembali zaman kebahagiaan mereka berdua dengan kemewahan harta dan anak-anak yang soleh serta sahabat yang ramai dan membandingkannya dengan keadaan sekarang yang serba dhaif.

Iblis mencadangkan supaya isteri Nabi Ayyub itu meminta supaya suaminya berdoa agar dikembalikan semula kegembiraan itu.

"Wahai isteri yang kusayangi. Engkau mengharapkan kesejahteraan masa lalu. Engkau menangisi pemergian anak-anak kita. Engkau memintaku memohon kepada ALLAH agar kita terlepas daripada kesulitan hari ini. Berapa lamakah kita telah mengecap segala kemewahan dahulu?"

"Lapan puluh tahun."

"Berapa lama pula kita hidup dalam penderitaan ini?"

"Tujuh tahun."

"Aku malu."

Nabi Ayyub mengusir isterinya kerana bimbang iman isterinya akan lebih tercabar jika terus berada di sisi baginda. Nabi Ayyub hidup sebatang kara tanpa isteri, anak-anak, saudara mara, juga sahabat taulan. Baginda bermunajat kepada ALLAH dengan sepenuh hati memohon rahmat dan kasih-NYA.

ALLAH menerima doa Nabi Ayyub yang telah berjaya menuju puncak kesabaran baginda. ALLAH berfirman supaya Nabi Ayyub menghentakkan kaki baginda ke tanah. Dari hentakan baginda, terpancut air yang dengan izin ALLAH dapat menyembuhkan penyakit dan mengembalikan kesihatan baginda.

Isteri Nabi Ayyub kembali mencari suaminya kerana tidak sampai hati meninggalkan Nabi Ayyub menderita seorang diri setelah apa yang mereka lalui bersama. Dia hampir tidak mengenaliNabi Ayyub yang kelihatan lebih segak daripada semasa baginda sihat dahulu. Dia memeluk NAbi Ayyub dengan melafazkan syukur yang tak terhingga.

ALLAH telah membalas nilai kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ayyub dengan mengembalikan kekuatan fizikalnya dan harta duniawinya dengan berlipat kali ganda. Baginda juga dikurniakan kembali anak-anak dengan bilangan yang sama yang telah terkorban dihempap robohan rumah mereka dahulu.


"Adakah cukup untuk manusia diakui beriman hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman”, sebelum mereka diuji? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui siapa yang benar dan siapa yang berdusta."

Surah al-Ankabut ayat 2 hingga 3


Subhanallah.

arnab dan kura-kura

Nak korek cerita arnab dengan kura-kura. Cerita yang lama terfikirkan, tapi tak pernah dizahirkan. Kalau ada orang lain tulis dulu dari ide saya, kata abang Fauzul, tak boleh nak dapat hakcipta :)

Kisah arnab dengan kura-kura.



Arnab ni angkuh. Pantang dicabar, pasti menggelegak egonya. Yakin diri, itu satu keperluan dalam hidup. Kalau arnab tak yakin, ia takkan masuk bertanding.

Kalau kita tak yakin diri, melepek sajalah di bilik. Tak pernah nak cuba buat satu benda baru. Tak pernah nak cabar diri cari potensi lain.

Tapi terlalu yakin diri buat arnab tak sedia apa-apa. Jadi terlalu optimis sebab berada di zon selamat.

"Aku akan menang! Aku akan menang!"

Lepas tu tidur di tengah jalan.

Islam pun tak membenarkan sikap optimis yang melampau. Kita akan kurang berusaha dan cuma mengharap dan bergantung pada apa yang sedia ada. Otak jadi tak kreatif untuk memikirkan sebarang kemungkinan, sebab kemungkinannya cuma satu, "Aku akan berjaya!"

Macam kes orang yang tak mahu solat lagi sepanjang hidupnya sebab dah yakin yang dia akan masuk syurga.

Atau, "Solat aku dah cukup lima waktu sehari. Puasa aku pun tak pernah tinggal. Tak payahlah nak bersedekah lagi, confirm masuk syurga!"

Sedang Nabi Muhammad yang memang betul confirm masuk syurga pun solat sampai bengkak-bengkak kaki.

Kura-kura pula wajar dicontohi. Ia tahu ia lambat. Jadi ia tahu ia kena usaha lebih daripada arnab. Ia pupuk satu azam yang membuatkan ia lupa pada letih dan penat.

Istiqamah. Usaha, biar tak banyak, asal terus. Macam tajuk buku Chef Li, 'Biar Kecil Asalkan Berhasil'. Sikit-sikit, lama-lama jadi banyaklah.

Tapi janganlah, dahlah memang sedia sikit, dikoreknya pula yang sedikit itu, sebab dah malas nak usaha lagi. Lama betul nak jadi banyak. Fikir yang sikit tu takkan bertambah. Sikit tu akan kekal sikit.

Apa akan jadi kalau kura-kura fikir macam tu? Sejak awal lagi, ia takkan terima pun cabaran arnab. Atau sebab penat, ia akan rehat bersama arnab.

Penat dan letih itu hanya difikiran kita saja. Kalau kita fikir penat, maka jadilah kita penat.

Tak percaya?

Kenapa penat kita dengan mak kita lain? Kita buat kerja rumah sikit dah mengeluh, keluar bilik tengok tv. Mak dah habis masak, basuh pinggan, cuci baju, sidai kain, dan masa kita tengok tv, mak tengah lipat kain pula.

Mak jaga kita dari kecil. Mak jaga ayah. Mak jaga makan minum. Mak jaga rumah. Bertahun-tahun, tak lepas walau sehari. Mana nak melayan kerenah setiap orang lagi. Tak penatkah?

Pernah nampak ayah kita ponteng kerja sesaja? Kita ni bukan kena kerja pun, pergi kelas saja. Itupun bukan dari jam 8 pagi ke 5 petang [kebanyakannya]. Mujur hari Sabtu dah cuti, kalau tak boleh jadi modal lagi.

Padahal kudrat orang tua kurang berbanding kita yang muda. Macam mana boleh buat kerja sekejap dah penat?

Wajarlah untuk kura-kura untuk penat. Bebannya berat. Langkahnya lambat. Sepuluh langkah kura-kura baru satu larian arnab. Tapi, apa akan jadi kalau kura-kura putus asa?

Ia takkan tahu yang ia berpotensi untuk menang. Dan yang utama, arnab tak akan pernah sedar dari silap dan angkuhnya.

Jadi, untuk jadi bangsa yang maju,

  1. yang laju bimbinglah yang perlahan untuk belajar jadi laju macam anda.
  2. yang perlahan kena sedar diri usaha lebih supaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan yang laju.
  3. jangan putus asa atas perkara yang nampak mustahil sebab, nothing is imposible, imposible is nothing.

    dan [pesanan untuk diri sendiri],

  4. jangan banyak tidur.