Wednesday, August 31, 2005

dugaan nabi ayyub

Lumrah alam, setiap yang hadir pasti akan pergi. Tiada yang kekal melainkan DIA sahaja. Kehadiran akan membawa seribu bahagia, namun hakikat perit perpisahan itu yang berat untuk ditanggung.

Besar sungguh ikhlasnya pengabdian Nabi Ayyub pada TUHANnya. Sungguh tak tergapai iman yang setinggi itu. Iblis tak pernah puas dengan pujuk rayu yang menyesatkan. Tak berjaya pada manusia, dimohon pula daripada ALLAH sendiri.

ALLAH Maha Mengetahui hati hamba-hamba-NYA, kerana DIAlah yang menjadikan segala. Namun iblis menfitnah Nabi Ayyub. Katanya Nabi Ayyub sentiasa beribadat, berzikir, bertasbih, dan bertahmid kepada ALLAH sebab baginda tak mahu ALLAH menarik nikmat dunia yang dikurniakan.

Nabi Ayyub adalah seorang jutawan dengan puluhan ribu haiwan ternakan, beribu-ribu hektar tanah ladang serta berpuluh-puluh hamba sahaya dan pembantu. Baginda hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak yang soleh.

Namun, untuk memberi kepuasan kepada Iblis, ALLAH membenarkan kekasihNYA diuji. Lalu,daripada seorang jutawan, Nabi Ayyub menjadi papa. Habis langsung mati haiwan ternakan, ladang-ladang menjadi kering, punah gedung-gedung dimakan api.

Nabi Ayyub berkata kepada iblis yang pada masa itu menyamar sebagai seorang tua yang bertujuan memalingkan kepercayaan baginda pada ALLAH,

"Ketahuilah bahawa setiap harta duniawi yang aku miliki adalah hak ALLAH. Tiada salahnya untuk DIA memintanya semula setelah cukup aku menikmati dan menggunakannya selama ini."

"Segala puji bagi ALLAH yang telah memberi kurnia kepadaku dan mengambilnya kembali pada hari ini. DIAlah yang Maha Kuasa memberi kekayaan kepada sesiapa yang dikehendaki dan mengambilnya semula daripada sesiapa yang DIA suka. Kami sebagai hamba-hamba-NYA yang lemah seharusnya menerima qada' dan qadar ini walaupun kadang-kadang kami belum mengerti apa hikmah yang tersirat di sebalik setiap ujian."


Tidak cukup dengan itu, Iblis memfitnah lagi dengan mengatakan Nabi Ayyub masih bertahan kerana baginda masih mempunyai anak-anak tempat baginda berkongsi rasa dan menjadi sandaran pada kemudian hari. Iblis memohon lagi supaya ALLAH mengambil anak-anak Nabi Ayyub dari sisi baginda.

Iblis dan bala tenteranya merobohkan tempat tinggal anak-anak Nabi Ayyub sehingga menghempap mati mereka. Nabi Ayyub yang mendengar perkhabaran itu menangis tersedu-sedu kerana kehilangan ahli keluarga yang amat disayanginya.

"ALLAHlah yang memberi dan DIA yang mengambil kembali. Segala puji bagi-NYA, TUHAN yang Maha Memberi lagi dan Maha Pencabut."

Iblis kecewa dengan kegagalannya keduanya dalam menggugah iman Nabi Ayyub, namun masih tetap tidak putus asa. Iblis memohon pula kepada ALLAH supaya dibenarkan mengganggu kesihatan fizikal Nabi Ayyub dengan alasan, jika dah sakit tentunya baginda jadi malas beribadat dan akhirnya mengabaikan kewajipannya kepada ALLAH.

ALLAH mencabar iblis supaya menguji Nabi Ayyub buat kesekian kalinya. "AKU akan lihat sejauh mana lagi kehebatanmu menguji pilihanKU ini."

Nabi Ayyub menderita demam panas dan batuk-batuk. Wajah baginda pucat seolah tidak berdarah. Kulit baginda tumbuh bintik-bintik. Baginda jadi semakin kurus dan tidak bermaya. Penyakit bagind yang boleh menjangkiti orang sekitar menyebabkan baginda diasingkan.

Hanya isteri baginda sajalah yang setia bersama Nabi Ayyub, menjaga dan merawat baginda dengan sabar dan penuh kasih-sayang walau sakitnya tak nampak tanda akan sembuh. Namun, Nabi Ayyub masih dengan rutin ibadatnya tanpa berkurang sedikitpun.

Iblis marah dan putus ikhtiar. Iblis meminta buah fikir daripada pembantunya.

"Engkau telah berjaya mengeluarkan Adam dan Hawa dari syurga. Bagaimana engkau lakukannya?"

"Dengan memujuk isterinya," jawab Iblis dengan rasa senang hati kerana didatangi helah yang pasti akan berjaya.

Dengan menyamar sebagai seorang sahabat Nabi Ayyub, Iblis mendatangi isteri baginda lalu menaburkan benih-benih penyesalan atas kepayahan yang melanda mereka. Iblis membuatkan isteri Nabi Ayyub mengimbau kembali zaman kebahagiaan mereka berdua dengan kemewahan harta dan anak-anak yang soleh serta sahabat yang ramai dan membandingkannya dengan keadaan sekarang yang serba dhaif.

Iblis mencadangkan supaya isteri Nabi Ayyub itu meminta supaya suaminya berdoa agar dikembalikan semula kegembiraan itu.

"Wahai isteri yang kusayangi. Engkau mengharapkan kesejahteraan masa lalu. Engkau menangisi pemergian anak-anak kita. Engkau memintaku memohon kepada ALLAH agar kita terlepas daripada kesulitan hari ini. Berapa lamakah kita telah mengecap segala kemewahan dahulu?"

"Lapan puluh tahun."

"Berapa lama pula kita hidup dalam penderitaan ini?"

"Tujuh tahun."

"Aku malu."

Nabi Ayyub mengusir isterinya kerana bimbang iman isterinya akan lebih tercabar jika terus berada di sisi baginda. Nabi Ayyub hidup sebatang kara tanpa isteri, anak-anak, saudara mara, juga sahabat taulan. Baginda bermunajat kepada ALLAH dengan sepenuh hati memohon rahmat dan kasih-NYA.

ALLAH menerima doa Nabi Ayyub yang telah berjaya menuju puncak kesabaran baginda. ALLAH berfirman supaya Nabi Ayyub menghentakkan kaki baginda ke tanah. Dari hentakan baginda, terpancut air yang dengan izin ALLAH dapat menyembuhkan penyakit dan mengembalikan kesihatan baginda.

Isteri Nabi Ayyub kembali mencari suaminya kerana tidak sampai hati meninggalkan Nabi Ayyub menderita seorang diri setelah apa yang mereka lalui bersama. Dia hampir tidak mengenaliNabi Ayyub yang kelihatan lebih segak daripada semasa baginda sihat dahulu. Dia memeluk NAbi Ayyub dengan melafazkan syukur yang tak terhingga.

ALLAH telah membalas nilai kesabaran yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ayyub dengan mengembalikan kekuatan fizikalnya dan harta duniawinya dengan berlipat kali ganda. Baginda juga dikurniakan kembali anak-anak dengan bilangan yang sama yang telah terkorban dihempap robohan rumah mereka dahulu.


"Adakah cukup untuk manusia diakui beriman hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman”, sebelum mereka diuji? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui siapa yang benar dan siapa yang berdusta."

Surah al-Ankabut ayat 2 hingga 3


Subhanallah.

No comments: