Friday, April 08, 2005

duhai pentafsir

Duhai Pentafsir

Pentafsir, sebenarnya telah lama kucari
suaramu yang sarat
ke mana jatuhnya gema itu?
Di manakah tempat istirahat
setelah pengembaraan yang penat
di manakah telah kaurakamkan
pertemuan matahari, rimba, dan hutan?

Senja ini menemuiku
dengan lusuh catatanmu
angin sedang cuba mengoyak-ngoyakkan lembar-lembar buku
sedang aku belum ketemu
surat yang kautuliskan padaku.

Telah hilangkah ia
atau kau tidak pernah menulisnya
ah, aku tidak bisa tidur dan melupakan
racun keresahan telah membunuh lenaku
sejak kudahagai penawar dalam lautan nota-notamu
kiranya terdampar dalam angin yang ragu
yang tidak mengenal arah tiupannya
angin tanpa sabar yang telah melunturkanku
kehijauan dalam keriangan masa kecilku.

Pentafsir, masa telah terlalu tua
kaca jendela menjadi kelabu
dan aku telah terlalu lesu
untuk menari bersama bayang-bayangmu
senja pun semakin larut
lembar-lembar jadi semakin kuning
apakah aku harus mengebumikan buku-buku ini
di samping pusaramu yang sepi.

Hentikan ejekanmu
biar kupecahkan kaca ini melihat keluar.
Lalu mengenal rumpun-rumpun yang redup
adalah pengakuanmu, Tuhanku!
yang menjernihkan mataku.

Zurinah Hassan
Kumpulan Puisi Malaysia, 1988.
Dewan Bahasa dan Pustaka.



Inilah ceritera juang tulisku selama ini. Kisah kehidupan. Kisah yang mengisi menghiasi buku-buku manusia. Buku-buku yang berbeza. Juang kehidupan yang takkan pernah sama, walau kita seiring.

Ya, muka-mukanya kuning, dijilat waktu yang berlalu. Membuat kita jadi teragak akan kesahihan dan kebenarannya. Pernahkah? Atau memang tak pernah? Apa yang dirasai waktu itu... satu keyakinan!

Buku-buku yang memuatkan seluruh sungai, rimba, matahari dan hujan. Perjalanan merentas hutan batu dan konkrit, katanya kota laknat, kota maksiat. Riang, dengan tangis dan tawa. Alangkah!

Inilah paduan dan panduan. Demi berjalan menerobos kehidupan.

Kisah aku dan kau tak sama. Kerana itu kita punya buku sendiri. Buku-buku yang menarik untuk dikongsi atau disimpan. Jadikan hari lebih bermakna, jadikan hidup penuh tanda tanya...

Jangan lupa, muka suratnya masih belum habis. Kau tentu mahu coretkan yang terindah bukan? ;)

Alangkah rugi melihat cebisan hari semalam tanpa rasa dan akal mentafsir...

No comments: