Wednesday, April 20, 2005

perjalanan

Dah di UIA. Pulang awal sebab ada persiapan untuk program SRC, Kids of the World. Kembali ke laman sendiri, aku bagai musafir, menumpang di bilik lain, bukan di bilik sendiri. Aku tak ada bilik sendiripun, mahallah office belum keluarkan senarai bilik tetap untuk setahun akan datang lagi.

Bila begini, aku bersyukur kerana telah siap siaga dengan barang-barang sedia ada yang disediakan untuk KEMPRIT lepas. Tak perlu sangat ambil barang-barang dari dalam almari bilik yang sebelum ini [aku tak simpan di stor pun ;p ]. Tempohnya 4 hari pula tu, sama saja, sebelum aku diberi bilik tetap Sabtu ni.

Alhamdulillah!

Begitulah, pengalaman memang banyak membantu mengajar manusia menghadapi kehidupan. Bertuahlah mereka yang berkelebihan dalam ilmu pengalaman. Sebab, pengalaman yang dibeli dari cerita orang tak sama dengan pengalaman yang dicungkil dari hari-hari sendiri.


Pembeli Masa Sudah

Penyair ialah pengunjung pasar kisah
peraih pengalaman
dan pembeli masa sudah.
Kerana kupenyair kupenuhi kehidupanku
dengan kembara dan deria
yang kian memberat di pundakku.
Kulalui lorong-lorong hari sepiku
dari gelisah ke payah
dari sedih ke perih

Di pasar yang dihingari kisah ini
aku dipanggil peraih cerewet
pemilih yang sukar membuat pilihan
pembeli yang keliru dengan tawaran.
Kerana aku pemilih ruwet
aku harus hati-hati;
pilihan menonjolkan mutu
dan mutu memantulkan peribadi

Aku pembeli masalah orang
menyusunnya menjadi kata-kata
dan menjualnya kepada pemikir.
Aku juga kadang-kadang pembeli
masalah dan masa sudah sendiri.
Tidak seperti ikan dan sayuran,
masa sudahku lebih mahal
sesudah senja dan murah
di sebelah pagi.

Tengku Alias bin Taib
Utusan Zaman
28 November 1993



Tadi, aku pulang ke sini dari Kuantan bersendiri. Lone ranger, seperti biasa. Dan aku lihat, kebanyakan penumpang bas Transnasional yang lain pun begitu juga [nampak sangat sebab kami dapat dua seat seorang].

Begitu juga semasa pulang ke Jengka dari kem Khamis lepas. Juga sewaktu pulang ke rumah yang pertama untuk cuti semester 26 Mac lepas. Sendiri...

Ya, kita memang perlu berada dalam halaqah untuk berjihad [mak, ekstrimnya ayat ni, takutlah!]. Seperti ayat Melayunya, bagai sebatang lidi dengan sebatang penyapu. Atau, bersatu teguh, bercerai roboh! [bukan bercerai masak sendiri ya?]

Itu, dalam perjuangan. Mencari kekuatan maksima adalah melalui kumpulan. Mencari semangat kental adalah menerusi kepaduan antara hati-hati.

Tapi, jangan sampai berada dalam kumpulan, atau sekurang-kurangnya selalu berdua saja buat kita tak betah hidup sendiri. Itu yang wujud pergantungan sesama manusia. Betullah, kita memang tak boleh hidup sendiri. Memang kita tak tinggal di gua pun untuk hidup sendiri. Adalah pemandu basnya, adalah penumpang-penumpang lainnya.

Maksud saya, apabila ketiadaan seseorang yang dipercayai, teman atau rakan.

Pengalaman di waktu-waktu itu juga perlu dicari sendiri. Supaya kita tak lekas melatah apabila hilang arah, tak cepat risau kala hilang tujuan. Dan tak sedih-sedih bila tak berteman...

Aku akui, memang, pilu juga kadangkala hati ini apabila hanya mampu berceloteh dengan hati, bukan dengan teman sebelah.

Tapi hidup ini memang begitu. Kadang di atas kadang di bawah [baca dengan rentak lagu Indon tu]. Ada masanya kita sendiri, ada masanya kita beramai-ramai. Ada ketikanya kita gembira, ada masanya kita berduka...

Yang penting, kita ambil setiap peluang, yang bukan perlu dicari, tapi perlu dicipta. Peluang untuk mencari pengalaman dan penghayatan akan erti dan nilai sebuah kehidupan.

Kita mesti cekal!!! :)

# Tapi nak tahu sesuatu tak? Aku angin betul bila tiada kelebihan pun duduk di negeri sendiri. Nak pulang ke Kuantan dari Bentong ingatkan bolehlah lebih segera daripada biasa. Hakikatnya, terpaksa ke KL semula! Hampeh! Err, cekal, cekal! ;p

No comments: