Cuma, untuk kem penulisan ini, sejujurnya, ada dua pihak dalam diri yang berperang hebat.
Aku maksudkan kekurangan aku berbanding mereka, gadis-gadis bakal penulis yang lain.
Mereka, hampir semuanya bertudung labuh! Paling tidakpun yang besar. Sedang aku, tudung saiz bawal biasa inilah yang melitupi kepala. Mujur juga ada kak Shikin. Tapi, alamak, dia jurusan IRK pula... Lebih pula ilmu agama...
"Pakailah baju kurung, awakkan nak tulis pasal agama."
Aku berang benar dengan mesej itu. Habis, yang pakai seluar tu takde agamalah?
Bukanlah begitu. Tapi pandai-pandailah menyesuaikan pemakaian ikut keadaan... dia balas begitu. Buat aku makin rasa rendah diri, tak layak benar bergaul dengan mereka.
Hati besar aku sungguh-sungguh memujuk. Katanya, Mira, jangan hipokrit. Tunjukkan dirimu yang sebenar. Biar kau dan mereka selesa bekerja dengan Mira, bukan Ustazah Mira!"
Benar, sungguh benarlah tu, ikut logik.
Tapi hati kecil ini meronta lagi. Ah, nampak benar asingnya nanti. Seperti negro yang berada di kalangan orang kulit putih...
Seawal petang ketibaan kami di kem, mereka tak buang sikit masapun untuk berjemaah Asar bersama. Masa Maghribnya diikuti pula dengan bacaan ma'thurat.
ALLAH, hipokritnya aku!
Bukan aku tak biasa baca ma'thurat, tapi tak selalu. Itupun MRSM Kuantan yang mendidik.
Itu, sebelum kem.
Semasa kem, rasa kecil diri semakin kurang. Bergaul dan berkenal mesra dengan mereka buat aku rasa dipunyai, seperti berada dalam kelompok sahabat sendiri. Aku jadi seronok, terutama tiada lagi perkara-perkara penyakit hati dan mata seperti yang selalu terpaksa dihadapi semasa di universiti.
Mereka, memang Islamik!
Cuma, aku wajib jaga batas pergaulan dan perhubungan aku... dengan lelaki [walaupun sedikit bersyukur kerana tiada yang betul-betul macam ustaz]. Tak boleh sewenang-wenang berbicara tanpa ada apa-apa penting untuk diperbual. Bukan, bukan peraturan kem menetapkan, cuma aku sendiri yang jadi malu.
Aku dah jadi seperti aku yang dulu. Skema amatlah, kata orang. Betul-betul ikut seperti dengar ceritanya di MRSM Jasin dulu, lelaki-perempuan kalau nak bercakap, jarak tak kurang 6 meter. WaALLAHualam.
Kalau diikutkan, payah juga, kerana seperti semua sedia maklum, sahabat lelaki aku boleh kata lebih ramai daripada perempuan. Tapi, alhamdulillah, kemahiran menjadi 'penyenyap bunyi' dahulu masih berbaki.
Lagipula, mood aku tak berapa baik semasa kem. Entah mengapa, tak pernah boleh lari dari peristiwa silam. Jiwa melankolik.
Ah, persetankan semua itu! Tak perlu lagi diselongkar dari awal. Yang penting, aku dah di sini. Ada peluang perbaiki diri. Perlu diperguna sebaik-mungkin!
Cuma, apa yang hendak difokuskan di sini adalah penerimaan remaja terhadap pendakwah. Aku tak guna da'i sebab aku tahu tak ramai yang faham maksudnya. Dan aku amat arif akan perasaan orang yang cuba nak perbaiki diri tapi tiada medium yang sesuai... semua tak faham!
Tapi, sebetulnya perkataan da'wah pun dah menggerunkan ramai pihak. Sebab, macam kata Abang Fauzul, masyarakat terlalu menyempitkan definisi da'wah itu sendiri. Aku pun, kalau tak faham mungkin tak pernah mahu bicarakan soal ini. Kerana mereka fikir da'wah dilakukan oleh mereka yang pakai ketayap, berserban, berjanggut dan berjubah saja. Da'wah bermaksud para tabligh.
Betul abang Fauzul, takkan nak tunggu dapat master dalam ilmu agama, bergelar ustaz ustazah [yang dalam Melayunya bermaksud professor] baru boleh berda'wah? Sampai bila boleh orang Melayu ini dinasihati?
Keratan entri aku yang terdahulu:
Da'wah adalah mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.
Dalam Islam, da'wah adalah satu kewajipan, sama ada dilakukan secara individu atau secara berkumpulan (berjemaah). Keutamaan diberi atas umat Nabi Muhammad S.A.W. sebagai umat yang terbaik antara semua manusia.
"Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyeru kepada kebaikan, serta melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang demikian ialah orang² yang berjaya."
Ini adalah pemahaman aku sesudah mengambil subjek Methods of Da'wah semester lepas. Bahawa da'wah itu WAJIB! [Marah pula abang Wan Anuar dan Kak Maz baca ni -- okeyla, betulla kata korang, da'wah itu fardu kifayah].
Abang Wan kata kalau kata wajib, maknanya yang takde ilmu, yang sewel tepi jalan tu pun wajib berdakwahlah?
ALLAH... kata wajib saya samalah dengan kata solat itu wajib KECUALI untuk orang yang sekian-sekian... Adalah syarat-syarat wajibnya. [Maaflah, tapi bab berdebat depan-depan saya kurang sikit. Lidah saya di sini :) ]
Da'wah wajib bila kita perlu saling mengingat untuk amal makruf, nahi mungkar [insyALLAH, yang ini semua boleh faham. Ini termasuklah da'wah pada diri sendiri. Itu yang utama. Kerana sesungguhnya, pemimpin yang berjaya bukanlah pemimpin yang boleh mengawal rakyatnya, tapi yang mampu mengawal dirinya [kata-kata sahabat mungkin, tak ingat pula siapa, tiba-tiba mengetuk pintu minda].
Ingat lagi kata-kata Ustaz Yamin Cheng, kalau kita tak dapat jadi da'i pada diri sendiri pun, tak gunalah kita hidup di dunia ini! [bagusnya Ustaz, nampak kelas majoriti Melayu, beliau guna Bahasa Melayu dalam selingan, sebab yang penting bukan lulus dan memenuhi, tapi menyampaikan -- rindu benar pada pensyarah-pensyarah agama aku]
Kes aku dengan remaja yang ingin didakwah memang lain. Kerana aku yang sepatutnya menda'wah, tapi entah mengapa merasakan diri perlu sentiasa dida'wah juga.
Sebab aku penda'wah, bukan aku sepatutnya rasa terasing dalam dunia da'wah ini; bukan aku yang sepatutnya rasa tak selesa berada di kalangan gadis-gadis bertudung labuh, bukan aku yang sepatutnya banyak soal perkara remeh.
Tapi aku dah di sini, aku harus atasi kelemahan ini. Perlu pecut, kerana mereka yang lain telah jauh dihadapan, bayang mereka sukar benar kelihatan. Mereka tak tunggu, tak saing sekali dengan aku sebab aku tak pernah beritahu keadaan aku yang jahil ilmu ini.
Harapnya sahabat seperjuangan sekalian dapat faham melalui entri ini. Aku... perlu BANYAK bantuan.
Untuk mewakili remaja-remaja melalui aku, ada beberapa perkara yang ingin dihighlight
Remaja sukar mendekati penda'wah yang 'berupa penda'wah'.
Mereka ingin berubah, tapi awal-awal lagi dihalang oleh sikap prejudis terhadap remaja yang sinonim dengan salah laku mereka. Penda'wah tak ada kemahiran psikologi mendekati remaja. Penda'wah lebih gemar memberi hukum daripada mendengar cerita dan membimbing tingkah.
Penampilan penda'wah yang 'digeruni' punca remaja selalu lari daripada cuba merapati mereka. Jangankan kata yang berpurdah [insyALLAH boleh menjadi sumber utama ilmu agama yang boleh digunapakai], yang bertudung labuh pun mereka dah naik segan. Bukan nak minta penda'wah buang semua yang dah jadi amalan. Tapi dalam mendekati remaja bermasalah, jangan jadikan penampilan satu benteng menghubung dua jiwa. Kalau remaja tak selesa, cuba tukar, asal tak lari dari syariat.
Boleh jawab sekarang kenapa kebanyakan ustazah atau penda'wah bebas yang selalu muncul di kaca televisyen pakai tudung fesyen Wardina atau Waheeda; besar tapi bukan tudung bulat?
Gaya bahasa penda'wah pun tak boleh terlalu Arabic. Takut-takut remaja rasa jahat sangat sampai ada 'perkataan agama' pun mereka tak faham. Bila dah macam tu, macam mana nak buka pintu hati mereka terima Islam. Akan terasa jauhnya mereka mencapai tahap 'baik' itu mengikut ukuran Islam, pada fikiran mereka.
Yang baik-baik tu cubalah begaul dengan remaja nakal ni. Terutama yang tudung labuh tu jangan bersama set-set kalian saja. Biar remaja rasa apa yang saya rasa di kem setelah cuba 'masuk' dengan set-set tudung labuh ni ;) Yang penda'wah ini punya hati yang sama seperti mereka, dan sebenarnya boleh diajak berborak mesra.
Akhir pesan, remaja adalah manusia. Manusia punya fitrah ke arah kebaikan. Remaja nakal cuma kerana tiada bimbingan dalam mempelajari sesuatu yang baru. Remaja harapkan masyarakat untuk menegur memperbetul, kerana bukan mudah untuk mereka mencari sendiri cahaya keinsafan itu. Jadinya, kita, yang berilmu walau sepicing ini yang perlu menyelami hati mereka. Kita ini yang memikul tanggungjawab mendidik dan mengubah itu!
WaALLAHualam.
1 comment:
salam.
waa, baiknya sahabat yang seorang ni! :) tq. tapi... terpaksa memasukkan entri berkaitan lagi...
Post a Comment