Menyingkap tirai kehidupan hitam putih, zaman kanak-kanak yang hampir luput. Bersama mengimbau wajah kecil yang pernah menghiasi halaman 21 dan 23 lorong 15, semuanya mempamer keriangan.
Satu hari bersama sahabat yang paling lama, sejak tadika lagi, Khairi Lutfi. Jika pernah terlintas namanya di mana-mana ruangan entri blog, dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang mengorbankan bekas presiden kelas aku, 5C1, Mohd Firdaus aka Alang, akhir tahun lalu.
Satu hari yang penuh tawa. Satu hari yang penuh gembira. Satu hari yang mengukir kembali senyum di bibir Heri...
Benar sahabat, kau hilang sesuatu, tapi pada hari kita bersatu kembali, kau, kita, peroleh sesuatu yang lebih. Satu hubungan pudar yang digilap bersinar.
Kebetulan, Amy, Nawa dan Ana, sahabat-sahabat sejuang ada di Kuantan, merentas sempadan Timur-Barat Semenanjung, bercuti di bandar terbesar sebelah timur. Lalu mereka sekali kubawa berkenalan dengan seseorang dari zaman lampauku. Well, tiga orang sebenarnya, termasuk mak dan ayah Heri ;p
Kononnya nak lepak di Benteng, atau paling koman di Parade saja, sebab paling dekat dengan rumahnya yang betul-betul di hadapan UIA Kuantan. Tapi sudah terbawa ke Teluk Cempedak pula.
Kasihan Heri, dengan kaki bertompang tongkat, masih gagah menemani hari kami berempat yang sungguh banyak kerenahnya.
Tak mengapalah kan? Bukan selalu. Entah bila lagi mereka akan ke sini. Dan entah bila lagi saya akan pulang ke teratak kerinduan ini. Heri pula, selepas ini akan menyambung kembali pelajaran yang tertinggal. Bukan dekat, di Perlis pula tu!
Pilu benar. Dalam bayangan semalam, seorang kanak-kanak kecil yang lincah dan comel, Heri muncul pada hari ini sebagai jejaka [masih comel ;p ] yang terhincut jalannya.
Satu sejarah dan fakta yang tak mungkin dapat berubah: Kau Heri, adalah seorang sahabat semalam yang amat dirindui dan diingati.
Harapan saya, kita akan terusan begini, menjadi kenalan bukan hanya pada nama rakan sepermainan di usia muda, tetapi pada hakikat sahabat yang terlalu besar nilainya. Bukan kita sahaja, keluarga juga, ibu bapa yang pernah menjadi teman, dan adik-adik kita yang berlima itu yang tak sempat berkenalan dengan kisah kita :)
Ketemu lagi, apabila kita bertemu nanti...
No comments:
Post a Comment